Monday, November 05, 2018

K'jaan PH Perlu Tegas Terhadap LGBT – Mufti Pahang

ABDUL RAHMAN OSMAN

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap tegas terhadap mana-mana pihak yang menggalakkan kepada perbuatan tidak bermoral terutamanya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, sehingga kini kerajaan PH belum mengeluarkan satu arahan yang tegas bagi mengharam­kan sebarang penganjuran perhimpunan, persembahan atau apa juga sambutan yang melibatkan golongan songsang ini.
“Saya tidak bermaksud untuk membandingkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang dilihat mampu menyekat mana-mana pihak daripada mempromosikan aktiviti LGBT di negara ini.
“Jadi mengapa tidak perkara baik seperti ini diteruskan de­ngan PH juga bersuara dan bersikap tegas tanpa sebarang kompromi terhadap golongan ini.
“Ini kerana saya percaya, mempamerkan kononnya sikap terbuka hanya menggalakkan golongan ini berleluasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran Ikon Gay Antarabangsa atau Ratu LGBT , Sinon Loresca dari Filipina yang akan mengadakan persembahan famous catwalk di ibu kota.
Abdul Rahman berkata, tidak timbul isu perkara ini disebabkan menyalahi ajaran Islam semata-mata tetapi beliau percaya ke­semua agama yang ada di negara ini menentang keras perbuatan songsang ini.
“Mereka yang tidak mempercayai tuhan atau atheis sekalipun, saya percaya mereka juga menentang LGBT kerana ia menyalahi kejadian dan fitrah manusia yang normal,” katanya.
Menurutnya, kerajaan PH perlu menunjukkan sikap yang tegas supaya tidak ada mana-mana pihak akan menggunakan kaedah mereka sendiri untuk menghalang LGBT.
“Saat itu keadaan tentunya tidak lagi aman tetapi kita masih belum terlambat sebelum keadaan kian menjadi parah,” katanya. (Utusan)

Tindakan Biadap DAP, Lucut Yew Yin dalam MPEN..




DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) mengecam tindakan biadap taikun DAP, Koon Yew Yin yang secara terang dan jelas mencemarkan institusi Di-Raja Perak dengan membuat dakwaan yang sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dan tuduhan berat bahawa campur tangan Tuanku Sultan Nazrin untuk tidak meneruskan lantikan beliau sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri.
Tindakan Koon Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian kepada rakyat terhadap sultan malahan seolah mencabar kontrak sosial yang telah dimeterai dalam Perlembagaan Malaysia yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak.
DPPN Perak bersetuju dan merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan tepat Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhomat Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat Koon Yew Yin menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri. Walaupun Koon Yew Yin penyuntik dana politik dalam Pakatan Harapan, namun ianya bukanlah membolehkan beliau mengatakan sewenangnya.
DPPN Perak menggesa supaya Koon Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada KDYMM Tuanku Sultan Perak dan keluarga Di-Raja Perak. Dalam masa yang sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindak balas negatif.
DPPN Perak menyeru semua pihak untuk sama-sama membuat laporan polis sekiranya beliau enggan memohon ampun dan meminta maaf juga terus berkeras dengan sikap ego dan sombongnya dalam tempoh yang ditetapkan.
DPPN Perak sentiasa komited dalam memperjuangkan isu yang berkaitan Islam, Raja dan Melayu. Justeru itu juga diingatkan kepada semua pihak sama ada individu, parti politik mahupun badan NGO agar menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan sultan serta memastikan kontrak sosial yang terbina dapat dijaga dan disemat utuh dalam jiwa rakyat supaya negara kekal dalam kesejahteraan.
"Islam Memimpin" 
"Terus Mara"
"Terus Berjuang"
YB AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 5/11/2018

K'jaan Akan Buat Hutang Baharu, Lebih Tinggi?

MOHAMAD HASAN
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan akan terus membuat hutang baharu berdasarkan petunjuk kadar defisit tahun ini yang lebih tinggi diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Menurutnya, anggaran defisit fiskal bagi tahun ini pada kadar 3.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah jauh lebih besar berbanding unjuran kadar defisit 2.8 peratus dalam Bajet 2018 dan defisit tiga peratus yang direkodkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2017.
“Kadar defisit 3.7 peratus ini bersamaan dengan RM53.3 bilion iaitu RM13 bilion lebih tinggi daripada defisit tahun sebelumnya dan merupakan defisit tertinggi dalam sejarah negara.
“Ini juga bermakna Kerajaan Persekutuan akan terus membuat hutang baharu, malahan dengan jumlah yang jauh lebih tinggi,” katanya dalam status akaun Facebook milik beliau, hari ini.
Baginya, tema Belanjawan 2019 iaitu Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera adalah tidak selari dengan dasar polisi fiskal yang ingin dilaksanakan.
Tambah beliau, walaupun kadar defisit dijangka menurun pada tahun berikutnya, penguncupannya akan berlaku pada kadar sangat perlahan,iaitu kepada 3.4 peratus pada 2019 dan 3.0 peratus bagi 2020. - UTUSAN ONLINE

Malaysia Fair Tokyo 2018 Dapat Sambutan? Apa Yang Menarik..



TOKYO: Program Malaysia Fair Tokyo 2018 yang berlangsung selama tiga hari di Shinjuku Chuo Park, dekat sini, mendapat sambutan hebat masyarakat Jepun.
Lebih 30,000 pengunjung menyertai program julung kali diadakan itu yang turut menghimpunkan ramai rakyat Malaysia di negara ini.
Apa yang menarik, mereka sanggup beratur panjang lebih sejam termasuk dalam hujan semata-mata untuk menikmati kepelbagaian menu makanan Malaysia yang disajikan.
 PENGUNJUNG beratur panjang untuk membeli makanan di Malaysia Fair Tokyo 2018.
Antara menu makanan yang dijual dari harga serendah ¥500 (RM18) ialah nasi lemak, laksa Sarawak, mee kari, bihun sup, pisang goreng, pulut kuning, rendang, roti canai, satay dan satar.
Kebanyakan makanan habis dalam tempoh singkat sehingga memaksa segelintir peniaga, terdiri rakyat Malaysia menambah hidangan dari masa ke semasa bagi mengelak pengunjung kehampaan.
 KUIH-MUIH seperti Puteri Ayu, bahulu, karipap, seri muka dan bingka turut laris dan menjadi pilihan warga Jepun pada program Malaysia Fair Tokyo 2018.
 PISANG goreng turut laris pada program Malaysia Fair Tokyo 2018.
Selain makanan enak, pengunjung juga tertarik melihat persembahan bintang rock tanah air, Amy Search, dan menunggu sehingga lewat petang untuk menyaksikan acara kemuncak Malaysia Fair itu.
Program itu anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Tourism Malaysia.
Penasihat Pertanian di Jepun, Mohd Taqiuddin Zakaria, berkata selain kepelbagaian menu, Malaysia Fair Tokyo 2018 turut memaparkan keunikan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di Malaysia.
Beliau berkata program turut menonjolkan elemen perdagangan dan pelaburan dalam sektor agromakanan, pelancongan dan pendidikan.
"Malaysia Fair Tokyo 2018 adalah kemuncak kepada program promosi yang diadakan sepanjang tahun ini di Jepun.
"Selain daripada memperkenal dan mempromosi Malaysia secara keseluruhannya, program ini juga membuka peluang kepada usahawan Malaysia mempromosikan produk makanan keluaran tempatan, kebudayaan dan produk pelancongan kepada masyarakat di sini.
"Tambahan pula, permintaan kepada produk halal Malaysia semakin meningkat di Jepun terutamanya menjelang Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020," katanya.
Majlis pelancaran Malaysia Fair Tokyo 2018 disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.
 DATUK Ahmad Izlan (bersongkok) memotong riben pada majlis pelancaran Malaysia Fair Tokyo 2018 di sini semalam.
Sebanyak 35 agensi kerajaan, syarikat swasta, persatuan pelajar dan individu menyertai program itu termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Kesatuan Pelajar Malaysia di Jepun, Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri, Janji Beger, Malay Asian Cuisine, Brahim's Food Japan, Ayam Brand, Petronas dan Tanamera Spa Kemaman.
 PENYANYI Amy Search turut mempromosi produk air kopi berperisa nanasnya, Phewiiit.
 BINTANG rock tanah air, Amy Search turut membuat persembahan menghiburkan penonton pada program Malaysia Fair Tokyo 2018.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apa yang menarik faedahnya? Dari sudut bisnes, pengembangan budaya, agama atau lain-lainnya berbanding kos modal?

3 Tunggang Motosikal Kapcai Ke Makkah.



KOTA BHARU: Tiga rakyat Kelantan memulakan ekspedisi mencabar dengan menunggang motosikal jenis kapcai untuk menjejaki Tanah Suci Makkah.
Pengembaran mereka yang dinamakan ‘Konvoi Gi Mekoh Nga Mutor’ bermula pagi semalam, di mana pelepasan jelajah itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.
Mereka memulakan ekspedisi melalui Thailand diiringi anak-anak muda dengan menunggang motosikal sehingga ke sempadan negara jiran.
Wan Roslan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada peserta jelajah berkenaan mengembara bagi melihat keindahan alam ciptaan Allah Taala.
Menurutnya, langkah tersebut bertepatan dengan dasar Membangun Bersama Islam supaya amalan keagamaan terus berkembang dalam jiwa setiap rakyat Kelantan.
"Kita memberi galakan kepada golongan muda-mudi melakukan pengembaraan seperti ini, selain bersantai-santai, ia juga merupakan sebahagian tuntutan agama,” katanya selepas melakukan flag off konvoi tersebut di Dataran Rehal di sini semalam. - HARAKAHDAILY 4/11/2018


ICERD Gugat Negara! PH Angkuh Belakangkan Raja..




KEPUTUSAN PH untuk meratifikasi ICERD adalah sikap unilateral; tanpa merundingkannya dengan pelbagai pihak terutama Raja-raja Melayu. Juga dengan golongan rakyat terbesar sebagai pemegang taruh utama hal ini sebelum pelaksanaan yang bakal menyentuh sensitiviti survival Islam dan Melayu di tanah air ini.
Ia jelas membelakangkan Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan. Ratifikasi ICERD diusahakan secepatnya tanpa rundingan, persetujuan mahu pun perkenan Raja-raja Melayu atau Majlis Raja-raja. Sedangkan isu ini cukup kritikal dan memberi impak ke atas survival negara bangsa Malaysia.
Ketiadaan usaha untuk merundingkan isu ratifikasi ini secara meluas dengan rakyat, sebaliknya tergesa-gesa dalam suku pertama 2019; jelas bercanggah dengan prinsip dilaungkan PH. Walhal kononnya selama ini PH memperjuangkan prinsip keterangkuman (inclusivity), ketelusan(transparency) dan demokrasi.
Ini menunjukkan PH begitu angkuh membelakangkan prinsip dan juga penghormatan kepada institusi beraja yang merupakan tiang seri negara kita. Persoalan juga, dalam keadaan begitu banyak janji Manifesto PH yang belum dan gagal ditunaikan, mengapa terburu-buru untuk menandatangani ICERD secepat ini?
Menerusi ratifikasi ICERD, pelbagai persetujuan telah dimeterai dalam konstruk ‘ala-kontrak sosial’ antara Raja-raja Melayu, kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kaum bukan Melayu akan kembali dirungkai dan diperdebatkan. Sedangkan ia telah sedia tersemat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
ICERD jelas sekali membuka ‘kotak pandora’ apabila bakal memberi ruang kepada pihak yang kuat berusaha sejak sekian lama mahu mengubah landskap politik negara ditunjangi Melayu, Islam dan Beraja. Antaranya, Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Bumiputera Sabah dan Sarawak akan segera dicabar.
Sandaran bahawa negara-negara Arab yang tidak demokratik dan monarki sekalipun turut meratifikasi ICERD, menjelaskan lagi betapa sempit dan cetek pemikiran pemimpin PH. Hujah dangkal begini menunjukkan penuturnya tidak faham komposisi demografi kaum yang cukup berbeza antara negara Arab dengan Malaysia.
Malaysia masih berada dalam keadaan di mana kerajaan perlu untuk mengimbangi antara kepentingan umat Melayu Islam dengan bukan Melayu. Jika selama ini kita berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan politik akomodatif menerusi acuan sendiri, maka mengapa perlu tunduk kepada telunjuk tali barut dengan meratifikasi ICERD?
Suara penentangan terhadap keghairahan PH ini juga sedang dinyatakan begitu banyak pihak. Antaranya juga adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang amat dihormati. Beliau telah memberi amaran keras kepada Kerajaan PH berhubung hakikat dan implikasi terhadap keputusan meratifikasinya.
Sehubungan dengan itu, kami mendesak Kerajaan PH menghentikan segera usaha ini kerana ia bakal menggugat perpaduan, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara. PH perlu sedar, sikap degil mereka hanya akan mengundang bantahan keras rakyat atas cinta mereka mempertahankan negara ini.
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
*ICERD - International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination - HARAKAHDAILY 4/11/2018

Berarak ‘Bantah ICERD’ Dari Masjid Jamek Menuju Ke Sogo, KL..



KL: Laungan ‘Bantah ICERD’ bergema sepanjang jalan dari Masjid Jamek menuju ke tempat perhimpunan di pekarangan hadapan pusat membeli belah Sogo di ibu negara hari ini.
Orang ramai berarak menunjukkan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang didakwa akan diratifikasikan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 8 November nanti.
Turut sama berarak membantah ICERD ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Pengerusi NGO Generasi, Ustaz Roslan Md Esa dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Fadhli Shaari usaha untuk meratifikasikan ICERD oleh kerajaan Pakatan Harapan semakin rancak dirangka.
“Rakyat perlu bangkit menyuarakan bantahan supaya kerajaan tidak meratifikasikan ICERD ini.
“Jika kerajaan tetap untuk meratifikasi ICERD ini, bantahan lebih besar akan berlaku di seluruh negeri,” katanya.
Peneraju Utama Gerakan Srikandi Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin berpendapat isu meratifikasikan ICERD sepatutnya tidak berlaku memandangkan kita mengizinkan mereka untuk hidup bersama dengan aman.
"Tanah air kita, kenapa mereka nak pertikaian hak bumiputera. Ini membabitkan institusi pendidikan, tanah dan adat. Sekiranya ratifikasi ini berjaya, kita bakal merempat di tanah air sendiri seperti Rohingya dan Syria," ujarnya yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek sebelum berarak Sogo.
Orang ramai tanpa mengira fahaman politik memberi reaksi positif terhadap himpunan itu. – HARAKAHDAILY 4/11/2018



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails