Saturday, May 04, 2019

80 Asnaf Fakir Miskin Terima Bantuan Sambut Ramadan.



KUALA BERANG: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 80 asnaf fakir dan miskin di Kampung Bukit Diman, Ajil selepas menerima bantuan keperluan harian sebagai persediaan menyambut Ramadan pada Isnin ini.
Bantuan keperluan harian seperti beras, gula dan bahan makanan lain bernilai RM150 itu diserahkan Terengganu Runner Comunity (TRC) hasil sumbangan orang ramai bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.
Presiden TRC, Nor Azam Sidek berkata, bantuan itu adalah sumbangan orang ramai termasuk pelanggan yang menggunakan khidmat penghantaran 20 ahli TRC sebelum ini.

“Sumbangan ini dikumpulkan sejak bulan lalu dan kita berjaya mengumpul sebanyak RM7,000 namun kita hanya membelanjakan RM5,000 sahaja untuk program kali ini manakala selebihnya diserahkan pertengahan Ramadan melalui program sama,” katanya.
Nor Azam berkata, TRC teruja dapat membantu golongan memerlukan dan kawasan Kampung Bukit Diman dipilih sebagai lokasi penyerahan bantuan Ihya Ramadan yang pertama kerana difahamkan ada ramai asnaf fakir dan miskin di kawasan berkenaan.
“Program ini unik kerana peserta TRC menyampaikan sumbangan bermotosikal.
“Perjalanan kami dari rumah ke rumah lebih lancar dengan bermotosikal malah penerima sumbangan juga teruja menyambut kedatangan kami,” katanya.
Menurutnya, TRC berharap inisiatif dan sumbangan itu membantu asnaf fakir serta miskin membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan.
“TRC akan mengenal pasti lebih ramai golongan memerlukan sepanjang Ramadan ini dan menghulurkan bantuan sama hasil sumbangan orang ramai.
“Ramai orang berkemampuan mahu menghulurkan sumbangan namun tiada saluran boleh digunakan, justeru kami menggunakan peluang ini untuk membantu mereka,” katanya.
Bagi Mohamad Salim, 42, dia berterima kasih kepada TRC kerana bantuan itu sedikit sebanyak membantu dia dan keluarganya membuat persiapan menyambut Ramadan.
“Barang keperluan harian ini boleh digunakan untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga sepanjang Ramadan,” katanya. (HMetro)

Tak Masuk Akal Tanam Padi Waktu Malam - Petani



BATU RAKIT - Pesawah menyifatkan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan penanaman padi pada waktu malam sebagai satu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan di sini.

Pesawah, Mamat Engah, 67, berkata, sudah menjadi kebiasaan pesawah mengusahakan tanaman itu pada waktu siang dan berehat pada waktu malam selepas seharian bekerja.
"Cadangan menanam padi pada waktu malam juga akan menambah kos kerana kami perlu memasang lampu.


“Selain itu, kami juga terdedah bahaya kerana pada waktu malam ular dan haiwan berbisa lain keluar dari sarang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bapa sembilan anak dari Padang Maras itu berkata, secara tradisinya tanaman padi di tanam sekali setahun di kawasan itu walaupun menghadapi masalah sistem pengairan.
“Jadi saya lihat cadangan tanam padi waktu malam tidak sesuai di sini walaupun masalah pengairan diatasi. Kos akan meningkat dan kami tidak mampu menampung kos tambahan,” katanya
Seorang lagi pesawah, Mohamad Rani, 46, berkata, mereka sudah lama bekerja di bawah panas terik matahari dan tidak menjadi masalah untuk meneruskan tradisi nenek moyang mereka itu.
"Mana boleh tanam padi waktu malam. Waktu malam tidak sesuai berada di sawah. Cadangan ini mustahil dan agak tidak masuk akal,” katanya yang mengusahakan tanaman padi lebih 10 tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu meringankan kerja rakyat.
Pengerusi PH itu berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing. (SH)

Institusi Diraja Berhak Tegur K'jaan -Presiden PAS



MARANG - Institusi diraja berhak untuk memberikan sebarang pandangan, teguran mahupun kritikan terhadap pentadbiran di negara ini demi kepentingan rakyat dan negara, demikian menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tiada salahnya teguran dibuat terdapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika itu untuk kebaikan semua.

"Institusi diraja mempunyai kaitan dengan kerajaan dan rakyat jadi, bukan kesalahan jika pihak istana campur tangan dalam hal-hal tertentu.

"Pada saya tak salah untuk (istana) memberi pandangan kerana sesi pemerintahan kita merangkumi istana dan juga kalangan politik," katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya selepas berakhir kuliah di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Beliau berkata, politik di Malaysia merentasi semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Ia luas dan bukan parti politik sahaja tetapi termasuk raja berperlembagaan," ujarnya.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai respons kepada krisis yang dikatakan berlaku antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membabitkan pelbagai isu termasuk Statut Rom.

Kerajaan PH didakwa cuba menghapuskan Raja-Raja Melayu tetapi menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom selepas mendapat bantahan pelbagai pihak. (SH)

PAS Sokong PBS Kerana DAP Ekstrem Terhadap Pribumi Sabah.



Fanatik Perkauman Ada Dalam DAP
MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan memberi sokongan kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
“Ini termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan. Setiausaha Agung telah membuat kenyataan, PAS akan menyokong PBS di atas semangat peribumi.
“Calon (PBS) mewakili peribumi dan atas semangat pembangkang, kita sokong. Kerana penduduk peribumi di Sabah diabaikan. Jadi kita perlu bagi menguatkan calon peribumi walaupun calonnya bukan Islam,” jelasnya kepada media di Rusila, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, sokongan parti itu kepada PBS kerana DAP bersikap ekstrem terhadap pribumi Sabah.
“Ini kerana, kita melihat DAP ekstrem terhadap peribumi ini. Semangat fanatik perkauman ada dalam DAP. Budaya ini kita kena lawan.
“Kita hidup dalam masyarakat majmuk, mesti jangan ada sifat-sifat fanatik kaum ini. Dengan sebab itu, PAS berpihak kepada calon peribumi di Sabah dan Sarawak,” tegasnya.
Beliau turut berpesan kepada rakyat dan pengundi agar cermat membuat pilihan memilih kerajaan dalam pilihan raya.
“Rakyat jangan terlalu cepat membuat keputusan untuk menyokong dalam pilihan raya, dengan janji-janji. Mesti dengan teliti, dengan cermat pilih kerajaan yang betul.
“Jangan kita berdasarkan kepada Facebook, WhatsApp dan propaganda yang segera. Sebabnya, kita hendak melihat dalam masa lima tahun,” jelasnya.
Menurutnya, keputusan memilih sesebuah kerajaan itu bukan boleh dibuat dengan hanya membaca di media sosial. – HARAKAHDAILY 3/5/2019

Pondan Mengajar Kanak-kanak Di KEMAS?

Transgender dilarang mengajar di Kemas - Rina Harun
Rina Harun berkata, kerajaan amat teliti dalam proses pengambilan guru Kemas. - Gambar fail

Transgender dilarang mengajar di Kemas - Rina Harun


KERAJAAN tidak akan membenarkan pengambilan tenaga pengajar yang terdiri daripada golongan transgender di Taman Asuhan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas).

Ketetapan itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak tidak terkeliru dengan status guru yang mengajar mereka, 

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kementerian amat teliti dalam proses pengambilan guru Kemas.


Pengambilan guru Kemas, jelas beliau, amat ketat sehingga setiap pemohon perlu lulus ujian psikometrik selain lulus dalam beberapa ujian lain.

“Setakat ini, tidak ada. Transgender ini kadang-kadang kita tak tahu bahawa dia adalah transgender. Kalau tengok dokumen, namanya mungkin Ali bin Mohamad, tapi yang datang (temuduga) ala-ala Anita.

“Ini budak-budak kecil, nanti budak-budak keliru,” kata Rina seperti dilaporkan portal berita Utusan Online pada Jumaat.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) di Institut Kemajuan Desa (Infra) Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin.

Pada majlis itu, seramai 198 pelatih menerima sijil SPAK masing-masing dan 18 daripadanya merupakan pelatih lelaki. (AA)

Friday, May 03, 2019

Urus Tadbir PH S'gor Makin Ketara., Beli Air 10 Kali Ganda -Sallehen Mukhyi.



Kelemahan urus Kerajaan PH Selangor makin ketara

MEMBACA kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor jelas menunjukkan Kerajaan Negeri PH Selangor tidak berupaya dan berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus negeri dengan baik.

Pegawai berkenaan dengan senang dan tiada sedikit rasa bersalah menyatakan kerajaan negeri tidak terbeban membayar hutang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ripada tawaran asauntuk pembelian syarikat air SPLASH sejumlah RM1.9billion - 10 kali ganda dal. Alasan beliau kerana bayaran balik dibuat dalam jangka masa panjang. 

Beliau juga mendabik dada kerana Kerajaan Negeri PH telah membelanjakan sejumlah RM628 juta melalui program kebajikan IPR; yakni dua kali ganda lebih banyak daripada dana yang dikeluarkan untuk MES ketika Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan MB. 
Persoalannya adakah beliau akan juga mendabik dada apabila rizab kerajaan negeri semakin menurun sejak 2015. 

Laporan tahunan Akauntan Negara jelas menunjukkan prestasi kewangan kerajaan negeri mengikut Baki Wang Yang Disatukan menurun secara sistematik iaitu RM3.2 billion (2014), RM3.25 billion (2015), RM3.051billion (2016) dan RM2.82 billion (2017).
Imej yang berkaitan

Adakah beliau bangga bahawa Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2017 dengan defisit pada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM368.56 juta berbanding defisit pada tahun 2016 berjumlah RM144.66 juta dengan peningkatan sejumlah RM223.90 juta (154.8 peratus).

Mengikut laporan Akauntan Negara, ini telah disebabkan kesan daripada peningkatan perbelanjaan sejumlah RM534.34 juta (20.2 peratus) melebihi peningkatan hasil sejumlah RM310.44 juta (12.4 peratus). Dengan mengambil kira defisit ini, baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan tahun 2017 berkurangan menjadi RM1.08 bilion berbanding RM1.45 bilion pada tahun 2016.

Kerajaan yang berkebolehan serta bertanggungjawab tidak akan membelanjakan wang dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan pada masa hadapan. Serakah politik PH untuk memenangi PRU14 yang lalu adalah begitu besar dan akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsa. 

Jika dahulu mereka sanggup membelanjakan RM628 juta kononnya untuk program rakyat, sekarang sudah tidak banyak lagi dana untuk dibelanjakan justeru kebanyakan program rakyat seperti SMUE, TAWAS dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia telah ditamatkan. 

Malah banyak program seperti KISS tiada lagi kedengaran berita, umpama tergantung tanpa tali. 
Berbalik kepada pembelian SPLASH, alasan kononnya ianya pinjaman jangka panjang adalah alasan dangkal dan tidak bertanggungjawab. Apa yang pasti, bayaran tetap perlu dibuat kepada SPAN dan akan berterusan selama 9 tahun lagi. 

Alangkah baiknya jika dana yang digunakan membayar hutang ini digunakan untuk membiayai program-program kebajikan  untuk rakyat. 
Saya yakin rakyat tidak lupa bahawa pembelian SPLASH pada harga 10 kali ganda lebih tinggi akan menjejaskan program air percuma 20 meter kubik yang diberi kepada semua rakyat, serta kenaikan tarif air yang lebih  tinggi daripada yang dirancangkan.

Rakyat juga pasti tahu aset berkaitan air milik kerajaan negeri yang bernilai RM2 billion sebelum ini telah dipajakkan kepada SPAN dan bagi mendapatkan pinjaman membeli SPLASH pada harga 10 kali ganda tersebut akan menyebabkan kerajaan negeri perlu membayar sewa pada kadar lebih tinggi dan tempuh yang lama. Malah pasti terdapat terma dan syarat-syarat baharu yang ditetapkan di dalam perjanjian di antara PAAB dan Air Selangor.

Paling mengewakan, perancangan memberi saham syarikat air milik kerajaan negeri kepada rakyat tidak lagi boleh diteruskan. Mereka tiada kemampuan dan kebolehan untuk melaksanakan impian rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

USTAZ SALLEHEN MUKHYI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Jumaat 3 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 3/5/2019

Duit Ambil, Sijil Halal Tak Dapat. PH Sila Tangani..



KUALA LUMPUR: Lebih 80 usahawan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) diperdaya perunding atau orang tengah untuk mendapatkan sijil halal dengan jumlah kerugian lebih RM100,000 sejak empat tahun lalu.
Lebih menyedihkan, sebahagian besar daripada mereka usahawan di luar bandar yang kurang maklumat mengenai prosedur dan mengharapkan bantuan pihak ketiga memperoleh dokumen berkenaan.
Pengerusi Halal DPMM, Ahmad Hussein Tajuddin berkata, ada antara mereka dikenakan bayaran sehingga RM20,000, namun tidak menerima sijil halal seperti diharapkan selepas perunding menghilangkan diri.
“Kita terima banyak kes seperti ini. Kebanyakannya tidak tahu Jakim tidak melantik perunding untuk tujuan ini. Mereka dipelawa untuk mendapatkan sijil itu kononnya sebagai jalan mudah.

“Tapi sebenarnya itu tidak berlaku. Prosedurnya mudah dan tidak perlu ke kaunter pun. Mereka yang mendakwa itu dan ini kononnya prosedur susah sebenarnya hanya ingin mengaut untung atas angin.
“Sepanjang berurusan dengan Sekretariat Halal Malaysia, tidak ada isu berbangkit mengenai perkara itu,” katanya.
Bagi mengatasi isu berkenaan, Ahmad Hussein berkata, pihaknya menganjurkan Mudah Cara Halal kepada usahawan DPMM bagi memudahkan mereka memohon sijil halal selepas ini.
Katanya, sesi taklimat diberikan bagi memastikan semua prosedur dipatuhi selain praaudit dan bengkel untuk mengisi secara online seperti mana ditetapkan.
“Kami ada 5,000 ahli di seluruh negara dan setiap tahun kita adakan program ini beberapa kali untuk memberi kefahaman kepada ahli. Alhamdulillah, kesedaran itu sudah mula ada, jadi kita harap dapat diperluaskan lagi kepada semua pihak.
“Cuma yang mereka perlu tahu, prosedur ditetapkan Jakim sangat mudah tanpa sebarang kos dan pembabitan orang tengah. Jadi berhati-hati dengan sebarang tawaran daripada mana-mana pihak kononnya ingin membantu, tetapi mengenakan caj,” katanya.
Sementara itu, pemerhatian wartawan mendapati lebih 10 laman Facebook menawarkan khidmat rundingan untuk mendapatkan sijil berkenaan.
Memberikan pelbagai testimoni kejayaan, mereka turut menyediakan pakej kursus dan sesi penerangan secara berkelompok kepada usahawan yang ingin memohon.
Bagaimanapun, tiada harga yang diletakkan kerana mereka perlu menetapkan temu janji terlebih dulu sebelum perbincangan lanjut dijalankan. (myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PH selaku pihak berwajib, sila tangani segera, jangan lepas tangan atau melepas!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails