Saturday, May 04, 2019

Jangan Usik Tiang Seri Negara! Umat Islam Tidak Akan Diam -T/Presiden PAS



Sekat Islam, usik tiang seri, masuk agenda asing
KL: Terdapat pihak yang bekerja keras menyekat dan menghalang kedaulatan Islam serta mengganggu usik tiang-tiang seri negara, dalam masa sama membawa masuk agenda dan idea sangat asing ke bumi Malaysia.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan golongan tersebut bahawa umat Islam sedang memberi amaran bahawa mereka tidak akan berdiam diri sebagaimana ditunjukkan pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam.
Beliau mengungkapkan penegasan tersebut dalam pidatonya di pentas himpunan tersebut yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Kongres Rakyat di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini sebentar tadi.
Jelasnya, umat sedang menunjukkan bahawa keadilan, keamanan dan ketenteraman perlu terus dipertahankan, sedangkan mengusik tiang-tiang seri negara hanya mendedahkan kepada suasana tidak harmoni.
Beliau turut memberi amaran supaya fitnah melampau terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dihentikan, selain menyelar pihak-pihak yang masih cuba mengganggu gugat institusi-institusi agama,
"Hentikan segera agenda LGBT, hentikan gerakan Liberalisma yang cuba jadikan agama sebagai perkara peribadi dan menjadikan Islam sebagai bukan agenda negara. Islam Agama Persekutuan yang mesti dihormati.
"Islam telah letakkan asas utama pembinaan negara kita. Kita ada Rukun Negara yang dipertahankan sejak merdeka, meletak Allah S.W.T sebagai Tuhan. Raja-raja Melayu mesti dihormati dalam institusi yang ada waktu ini," tegasnya.
Beliau menyelar ancaman termasuk untuk membunuh Mufti yang belum diambil tindakan, selain menyuarakan bahawa kedatangan Ramadan ini akan menjadi bulan menyatupadukan kekuatan umat Islam.
Katanya, himpunan tersebut tidak akan berakhir, sebaliknya suatu memorandum akan dihantar kepada pihak berwajib dan dibawa ke Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya kedaulatan Islam dipertahankan. - HARAKAHDAILY 4/5/2019

Tidak Mustahil! Pastikan PH Jadi K'jaan Sepenggal.. -Ibnu Hasyim

 JASIN, 3 Mei–Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki ketika hadir pada Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Kompleks PAS Kawasan Jasin di sini malam ini. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Foto-MediaUMNO  

KL: Adalah tidak mustahil PH atau Pakatan Harapan akan jadi kerajaan sepenggal sekiranya ia terlalu mengabaikan kehendak manifesto pilihan raya gabungan politik mereka itu. Kata editor Weblog Ibnu Hasyim sebentar tadi.

"Setahun lalu pernah berapa penganalisis pula meramalkan bahawa PH akan menjadi kerajaan satu penggal jika ia terlalu mengikut kehendak manifestonya. Tetapi yang jelas sekarang, realitinya rakyat mula mempertikaikan pentadbiran PH sekarang. Contohnya seperti perjumpaan hari ini.." Jelas beliau lagi.

"Jom kita telusuri perhimpunan ini, sekarang!". Ajak Ibnu Hasyim. "Tidak mustahil! Pastikan PH jadi kerajaan sepenggal.."

2 Gambar atas perjumpaan aman sebentar tadi.

Ibu Negara Mulai Menbentuk 'Gelombang Putin' Pertahan Kedaulatan Islam..


KL: Suasana putih sedang melatari kebanyakan lokasi utama Ibu Negara terutama di KL Sentral, Masjid Jamek, Masjid Negara dan termasuk juga di Dataran Merdeka, Sogo serta sekitarnya seawal Subuh pagi tadi.
Individu dan kumpulan ini dijangka akan bergerak membentuk gelombang putih menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang bermula dari Masjid Jamek selepas Zohor nanti dan berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.
Penganjur himpunan iaitu Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Kongres Rakyat menganggarkan sekitar 10,000 peserta akan bersolidariti menggemakan amaran terhadap usaha pihak tertentu yang cuba mencabul Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Timbalan Pengerusi UMMAH, Kamaruzaman Mohamad, himpunan tersebut bukan sahaja didukung kira-kira 1,000 NGO, malah mendapat sokongan dari dua parti Melayu-Islam utama negara iaitu PAS dan Umno.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan bahawa pihak penganjur telah mengemukakan notis berkaitan himpunan.
Terang beliau, perbincangan kedua pihak telah menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi para peserta, termasuk melibatkan kelancaran trafik dan tindak tanduk berkaitan bagi menjayakan perjalanan himpunan secara aman.
Mutakhir ini kembali berleluasa usaha pihak tertentu untuk menunggang Kerajaan PH bagi merealisasikan ratifikasi Statut Rom yang didahului sebelumnya ICERD, termasuk juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu.
Malah, gugatan secara berani dan melampau telah ditunjukkan terhadap Majlis Raja-raja, penghinaan terhadap agama Islam, selain membangkitkan hal perkauman secara mengancam hak Melayu dan Bumiputera. 
Turut disuarakan dari himpunan ini adalah bantahan terhadap PPSMI yang dilaksanakan kembali Kerajaan PH, selain pembelaan terhadap Pegawai Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim. - HARAKAHDAILY 4/5/2019

Statut Rom: Hormati Perlembagaan Persekutuan!



UMMMAH menyokong penuh keputusan Kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom.
UMMAH berpendirian bahawa perkenan Majlis Raja-Raja mesti diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan terutamanya dalam isu Statut Rom ini selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memberi kesan langsung terhadap keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja.
Kerajaan Malaysia perlu mengambil tanggungjawab penuh untuk meredakan kesangsian dalam kalangan rakyat Malaysia dan tidak terburu-buru untuk meratifikasi Statut Rom apatah lagi sehingga melibatkan campur tangan daripada Majlis Raja-Raja.
UMMAH berpendirian bahawa sebarang bentuk jenayah serius yang membimbangkan (serious crimes of concern) sepertimana yang termaktub dalam Statut Rom wajib ditentang sekeras-kerasnya. Namun peruntukan Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dan dirujuk dahulu kepada Majlis Raja-Raja secara terperinci terutamanya:-
i)   Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang mempunyai kesan langsung dengan Perkara 27 dan 28 Statut Rom; dan
ii)    Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Mahkamah Khas Raja-Raja yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mendakwa hatta Yang di-Pertuan Agong.
UMMAH percaya dalam keadaan apa sekalipun Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Malaysia, pada setiap masa, menentang sekeras-kerasnya kesalahan jenayah dalam Statut Rom walaupun tanpa meratifikasinya dan komited menangani dan mendakwa pelaku jenayah ini di Malaysia sepertimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam kes Al-Maunah pada tahun 2000 dan pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013.
Majlis Raja-Raja yang sekian lama menjadi 'payung' dan 'pelindung' kepada asas dan kepelbagaian dalam negara ini wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia sepertimana prinsip ketiga dan keempat yang termaktub dalam Rukun Negara; Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
UMMAH dengan sepenuhnya menyokong keputusan dan pendirian Majlis Raja-Raja untuk tidak bersetuju meneruskan ratifikasi Statut Rom ini. UMMAH juga percaya bahawa kedudukan Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan selagimana adanya bulan dan bintang.
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Timbalan Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - HARAKAHDAILY 4/5/2019

Cabaran 16 Jam Aktivis Kemanusiaan Ke Gaza



GAZA: Seramai 41 sukarelawan dan aktivis kemanusiaan termasuk tujuh rakyat Malaysia selamat memasuki bumi Gaza, Palestin malam tadi selepas menempuhi perjalanan getir selama 16 jam dari Kaherah, Mesir.
Semua peserta yang menyertai misi dinamakan Miles of Smiles berjaya masuk ke Gaza tepat jam 11.20 malam pada Khamis. (5.20 pagi Jumaat waktu Malaysia) melalui pintu sempadan Rafah.
Selain Malaysia, peserta misi selama lapan hari itu turut membabitkan aktivis kemanusiaan dari Afrika Selatan, Kuwait, Jordan, United Kingdom, Algeria, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Sweden.
Peserta dari Malaysia pula membabitkan anggota tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Viva Palestina dan Aman Palestin.
Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, perjalanan dilaluinya kali ini paling mencabar berbanding empat misi ke Gaza yang pernah disertainya sebelum ini dengan kali terakhir pada 2013.

“Ketika saya datang ke Gaza sebelum ini perjalanan saya dari Kaherah ke Gaza cuma lima jam dan menaiki jambatan untuk menyeberangi Terusan Suez.
“Tapi kali ini kami menempuh perjalanan selama 16 jam dan menyeberangi Terusan Suez dengan feri di mana kami terpaksa menunggu hampir empat jam sebelum diberi pelepasan,” katanya.
Beliau berkata, biarpun misi ini mendapat kerjasama daripada kerajaan Mesir dan peserta misi diiringi kereta perisai polis serta tentera sepanjang perjalanan, cabaran tetap tinggi disebabkan urusan birokasi yang ketat.
“Sebagai contoh, urusan mengecap pasport saja di pejabat imigresen Mesir di Rafah kami terpaksa menunggu lebih empat jam,” katanya.
 KERETA perisai tentera Mesir yang mengiringi kenderaan peserta misi.
Menurutnya, misi kali ini Muslim Care membelanjakan RM210,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia ang prihatin terhadap penduduk Palestin.
Zulkifli berkata, RM42,000 daripada jumlah itu digunakan untuk pembelian ubat-ubatan dan kesihatan, RM50,000 untuk pek berbuka puasa kepada 2,500 orang manakala bakinya untuk projek pembangunan termasuk panel tenaga solar untuk bekalan elektrik.
Katanya, orang ramai boleh terus menyumbang kepada Muslim Care melalui nombor akaun Maybank (564490413882), CIMB (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).(HMetro)

20 ‘anak Chow Kit’ Sudah Ada Pusat Ilmu.



KUALA LUMPUR: Jika dahulu mereka belajar di lorong yang hanya diterangi cahaya lampu jalan, namun kini lebih 20 ‘anak Chow Kit’ dapat menikmati suasana pembelajaran di sebuah pusat yang baru dibuka dalam keadaan lebih selesa.
Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit yang dibuka pada 29 April lalu dikelolakan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mempunyai pelbagai kemudahan fasiliti.
Terletak di Jalan Chow Kit, di sini, pusat berkenaan mempunyai empat aras dengan setiap aras akan dilaksanakan pelbagai jenis program pembelajaran kepada anak jalanan itu, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti kepada remaja dan ibu tunggal selain turut dijadikan transit.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, berkata dia sangat teruja dapat belajar di tempat baru yang lebih selamat dan bersih selain turut diterangi dengan lampu bagi memudahkannya belajar.

Dia yang belajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) berkata, tiga lagi adiknya berusia lapan, 10 dan 12 tahun turut tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di pusat yang baru dibuka itu.
“Sangat seronok belajar di sini kerana keadaan sekitarnya lebih bersih, terang dan selamat. Saya boleh belajar dengan selesa, malah pekerja di pusat ini juga sangat baik dan mesra.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada DBKL dan semua NGO (badan bukan kerajaan) kerana mengadakan pusat belajar ini untuk anak-anak di Chow Kit,” katanya pada majlis kesyukuran Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit, kelmarin.
 NOR Hisham (dua dari kanan) hadir pada Majlis Kesyukuran Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit, kelmarin.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, beliau mahu melihat imej Chow Kit berubah pada masa akan datang dan tidak mustahil bakal akan digelar Serambi Mekah.
Dengan mengambil contoh Kota Mekah suatu ketika dahulu pada asalnya bukanlah kota bagi kaum Muslimin, namun mampu bertukar wajah menjadi tempat suci bagi penganut Islam.
“Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi pusat pembelajaran seperti ini di seluruh Kuala Lumpur dalam usaha membantu golongan gelandangan, ibu tunggal dan anak jalanan, bukan setakat di Chow Kit.
“Pusat ini akan memberi lebih tumpuan terhadap aspek pendidikan agama Islam dan kita juga membukanya kepada bukan Islam bagi menerapkan kefahaman mereka terhadap Islam,” katanya. (HMetro)


Mari Bersedekah Kepada Pengemis Bermusim Di Kota Bharu..



KOTA BHARU: Pengemis warga asing dan rakyat tempatan termasuk golongan kanak-kanak mula membanjiri bandar ini menjelang Ramadan untuk mengambil kesempatan meminta sedekah serta simpati ramai.
Mereka mampu memperoleh lebih RM100 sehari dengan hanya minta derma dan ada juga menjual pelbagai jenis kerepek.
Tinjauan Harian Metro di bandar Kota Bharu mendapati beberapa pengemis termasuk kanak-kanak dan wanita yang membawa bayi meminta simpati ramai di sekitar Masjid Muhammadi dan bandar ini.

Mereka terdiri daripada rakyat tempatan, Thailand dan etnik Rohingya membawa bekas plastik. Ada juga beberapa kanak-kanak lelaki yang membawa kerepek dijual dengan harga RM2.50 sepeket.
Ketika ditanya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang berasal dari Narathiwat, Thailand berkata, dia ke negara ini sejak dua minggu lalu bersama ibunya.
Katanya, dia masuk ke negara ini dengan menaiki van yang menghantarnya ke rumah sewa dan membawa bekalan kerepek untuk dijual.
“Saya menyewa rumah di bandar bersama ibu dan rakan ibu yang turut menjual kerepek di lokasi berdekatan.
“Setiap hari saya mampu memperoleh pendapatan lebih RM100 sehari kerana rakyat negeri ini bukan sahaja membeli kerepek yang dijual, malah ada yang memberi wang sebagai sedekah.
“Saya seronok datang ke sini kerana ramai yang pemurah dan saya memperoleh wang yang banyak bagi membantu ibu,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Hilir, di sini.
Menurutnya, walaupun perlu berpanas mencari pelanggan tetapi dia gembira kerana dapat wang yang boleh digunakan di sepanjang Ramadan ini.
Katanya, dia tidak bersekolah kerana kemiskinan hidup dan seronok dapat mencari wang sendiri.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Said Sidup berkata, pihaknya akan mengadakan 50 operasi bagi membanteras pengemis dan kutu rayau di sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, operasi gempur itu akan diadakan di semua jajahan dengan membabitkan beberapa agensi kerajaan.
Katanya, kegiatan pengemis sukar dikawal kerana rakyat negara ini terkenal dengan sikap pemurah dan bersimpati dengan mereka.
“Menjelang Ramadan ramai pengemis membanjiri bandar ini kerana mereka mengambil kesempatan dengan kebaikan masyarakat yang memberi derma tanpa mengira masa.
“Mereka (pengemis) mampu memperoleh pendapatan purata RM100 sehari. Faktor ini disebabkan masyarakat kita yang terlalu pemurah.
“Jika masyarakat mahu membantu, saya nasihatkan mereka supaya menyalurkan ke badan tertentu termasuk masjid dan pusat zakat,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu akan diagihkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan. (HMetro)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails