Tuesday, April 14, 2020

COVID-19 Bekas ratu cantik, doktor barisan hadapan

Dr Nisha Thayananthan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dr Nisha Thayananthan yang pernah merangkul gelaran Miss World Malaysia 2019, turut membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Doktor perubatan dari Hospital Putrajaya itu memandu ke beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Seremban, negeri kelahirannya, untuk mengagihkan sumbangan seperti beras, minyak masak dan susu.
“Saya dididik dengan prinsip memberi adalah lebih baik daripada menerima, terutama kepada golongan kurang bernasib baik. Ibu bapa saya menjadi inspirasi. Saya sudah lama sertai misi kemanusiaan, sepanjang perjalanan ini, saya telah bertemu ramai orang susah, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau yang juga petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya, berkata ramai orang yang memerlukan bantuan menghubunginya sejak pandemik COVID-19 global bermula.
“Selalunya saya guna duit sendiri untuk membantu mereka dan meluangkan masa dengan kerja amal,” kata Dr Nisha yang ibunya menguruskan rumah penjagaan orang tua serta pusat perlindungan haiwan terbiar di Petaling Jaya, Selangor.
“Semasa krisis ini, banyak pengorbanan dibuat oleh rakan-rakan saya demi menyelamatkan nyawa, bekerja siang dan malam selain terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.
“Sebagai doktor, saya mahu semua orang berhati-hati dan duduk di rumah kerana kami sedang bertungkus lumus membasmi COVID-19,” katanya.
Mereka yang mahu menyumbang boleh menghubunginya melalui e-mel nisha@live.com.my. – BERNAMA

T/Menteri Wanita Memuji Pengkritiknya. Siti Zailah

Nicole ‘berjiwa besar’ sanggup mohon maaf – Siti Zailah

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan Nicole Wong ‘berjiwa besar’ apabila bersedia memohon maaf kepadanya.

Menurut Zailah, Ketua Pemuda MCA itu telah memohon maaf kepadanya secara peribadi malam tadi melalui aplikasi WhatsApp. Ketika dihubungi Zailah berkata beliau telah memaafkan dan mengucapkan terima kasih kerana sanggup memohon maaf serta menganggap salah faham itu sudah berakhir.

“Nicol sudah WhatApp secara personal (peribadi) malam tadi dan meminta maaf pada Kak Lah (Siti Zailah).
“Kak Lah ucap terma kasih atas permohonan maaf dia. Kak Lah bagitahu dia Kak Lah sayang dia, seorang anak muda yang berjiwa besar seperti Nicole,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun, jelas Zailah, beliau berpesan kepada Nicol agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Katanya, beliau (Nicole) perlu berhati-hati dalam memberi komen terhadap sesuatu perkara yang tidak jelas dan perlu disemak dahulu sebelum membuat sebarang ulasan

Menyentuh tentang rakaman video baru-baru ini beliau hanya berkongsi tip sebagai panduan kepada masyarakat di negara ini dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama keluarga.

“Kak Lah berkongsi tip bagaimana untuk mengharmonikan sesebuah keluarga ketika kita diberi ujian di musim PKP ini.
“Kita perlu banyak bersabar, bersangka baik antara sesama keluarga, sentiasa hargai setiap anggota keluarga, berterima kasih dan berbagai lagi,” ujarnya.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang perlunya sikap toleransi dan kesabaran yang tinggi antara pasangan supaya tidak timbulnya pertengkaran dan sebagainya.

Jelasnya, sekiranya setiap anggota keluarga mengikuti ajaran Islam dengan betul, tidak akan berlaku masalah rumah tangga di samping perbanyakkan doa setiap hari untuk mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia.- HARAKAHDAILY 12/4/2020

Maklumat Pencemaran Alam Sekitar Dibayar Sehingga RM5,000..


Kerja pembersihan Sg Meru dimulakan

KUALA LUMPUR: Kilang sarung tangan yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran hampir 1km Sungai Meru di Jelapang, Ipoh sehingga mengakibatkan ratusan ikan mati telah memulakan operasi pembersihan di sungai berkenaan.

Exco Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan segera dilakukan selepas kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Khamis (9 April) antara jam 3 petang dan 4 petang.
Kilang sarung tangan yang terletak di kawasan Perindustrian Taman Meru, Jelapang, Ipoh mendapat kebenaran oleh kerajaan supaya beroperasi semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menghasilkan produk keperluan ‘essential’.
Insiden pencemaran di sungai berhampiran kilang tersebut mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang berkongsikan video pencemaran itu di akaun Facebooknya dan menegaskan siasatan sedang dijalankan ke atas insiden itu.
Exco Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin meninjau lokasi sungai yang tercemar.
Di dalam video berkenaan, terakam suara seorang lelaki berkata sungai itu bertukar putih dan permukaan sungai dilitupi dengan buih.
Mohd Akmal berkata, pencemaran berlaku atas kecuaian dipercayai dua pekerja kilang tersebut gagal menutup injap tangki selepas membersihkannya.
Akibat dari kecuaian itu, menyebabkan pelepasan bahan mentah sintetik latex dari kilang membuat sarung tangan ke longkang awam dan mengalir ke sungai yang berhampiran.
“Daripada video itu kita boleh lihat bahan pencemaran yang terdapat di dalam sungai itu adalah bahan mentah getah dan bukan sisa buangan perindustrian seperti yang didakwa sebelum ini,” kata Mohd Akmal.
Beliau yang turun menjalankan siasatan bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul semalam berkata, kilang itu didapati bersalah kerana tidak melaporkan kejadian itu ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.
Kata Mohd Akmal, JAS Negeri Perak hanya mengetahui mengenai insiden itu pada 9 April sekitar jam 11 malam
“Kita juga mendapati pekerjanya tidak mematuhi SOP. JAS Negeri Perak telah menjalankan persampelan dari dalam kilang dan longkang
awam berhampiran kilang untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.
“Dalam pada itu, sampel ikan mati dari beberapa lokasi di Sungai Meru juga diambil dan dihantar ke Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk dianalisis.
“Pemantauan dron telah dilakukan untuk memastikan keadaan sungai di hilir lokasi kejadian,” kata Mohd Akmal.
Sementara itu, Tuan Ibrahim memberi amaran keras kepada kilang yang beroperasi semasa tempoh PKP agar mematuhi pengurusan buangan berjadual bagi mencegah pencemaran.
Katanya JAS turut menawarkan ganjaran sehingga RM5,000 kepada individu yang memberikan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar supaya pihak yang terbukti bersalah melakukan pencemaran ditangkap dan didakwa.
“JAS juga akan memberikan ganjaran sehingga RM5,000.00 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar sehingga tertangkapnya pihak-pihak yang terbukti bersalah.
“Identiti pemberi maklumat berkenaan juga akan dilindungi seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi kenyataannya, semalam.
Maklumat boleh disalurkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.- HARAKAHDAILY 11/4/2020

PKP: Masih Ada Lagi Parti Liar. Tangkap!

SERAMAI 34 individu, termasuk dua penjawat awam ditahan berhibur dalam parti liar. FOTO Ihsan PDRM
SERAMAI 34 individu, termasuk dua penjawat awam ditahan ketika leka berhibur dalam parti liar di dua apartmen berasingan di Johor Bahru dan di Masai, malam kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat lima serbuan berasingan di dua apartmen berkenaan hasil makluman awam dan risikan.
Beliau berkata, dalam lima serbuan yang diadakan selama dua hari di dua apartmen di Johor Bahru dan Masai itu, pihaknya menahan 23 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 31 tahun sedang leka berhibur sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam serbuan berkenaan juga lapan individu yang ditahan didapati memiliki dadah jenis ketamin (6.68 gram), pil ecstacy (20 biji) dan pil eramin 5 (tiga biji).
“Hasil ujian air kencing mendapati seramai 20 lelaki dan lapan perempuan yang ditahan itu positif dadah ketamin, malah siasatan mendapati mereka bukan penghuni di dua apartmen, selain gagal memberikan alasan munasabah untuk berkumpul, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SEBAHAGIAN individu yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN individu yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, hasil semakan lanjut mendapati tiga suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala dua penjawat awam masih lagi di dalam perkhidmatan kerajaan.
Katanya, seramai enam suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala yang positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua 34 suspek turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
“Kesemua suspek yang ditahan kini direman mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 sejak kelmarin hingga Jumaat ini, ” katanya.

Monday, April 13, 2020

Istimewanya Islam. RM153.24 Juta T/Kasih 'hero' Asnaf.


RM153.24 juta zakat diagih bantu asnaf sepanjang PKP

PUTRAJAYA: Sebanyak RM153.24 juta zakat sudah diagihkan kepada asnaf di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bantuan zakat itu disalurkan ke institusi zakat seluruh negara bagi membantu asnaf yang terjejas dengan penularan COVID-19.

Jumlah berkenaan katanya, adalah agihan yang dibuat sepanjang tempoh PKP sahaja dan tidak termasuk pelbagai skim bantuan lain.
Jumlah bantuan itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keadaan wabak COVID-19 dan tempoh pelaksanaan PKP.
“Terima kasih kepada pembayar zakat, anda semua adalah ‘hero’ kepada asnaf.
“Sekiranya pihak kita tidak mengadakan dakwah dan seruan kepentingan berzakat sudah tentu tidak dapat mengumpul sejumlah besar itu, sekali gus dapat menyalurkan bantuan kepada pihak memerlukan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Setakat ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat sudah mengagihkan RM34.41 juta; Zakat Pulau Pinang (RM14.52 juta); Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang serta Pusat Pungutan Zakat Pahang (RM12.2 juta); Majlis Agama Islam Kelantan (RM12.6 juta); Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (RM14.35 juta).
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM20.2 juta); Lembaga Zakat Selangor (RM15 juta); Majlis Agama Islam Johor (RM7.4 juta); Lembaga Zakat Kedah (RM16.7 juta); Perbadanan Baitul Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (RM4.3 juta); Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (RM4.26 juta).
Tabung Baitulmal Sarawak pula sudah mengagihkan RM6 juta; Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Agama Islam Sabah (RM6 juta) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (RM3.98 juta).
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Itulah istimewanya Islam dalam membela rakyat miskin. Dalam harta orang kaya, ada hak orang miskin. Hanya puak-puak anti Islam sahaja yang 'melelong' harta pengumpulan orang Islam hingga terlepas ke tangan 'kapitalis bukan Islam' di bawah kerajaan PH yang lalu.

Perang Harga Minyak Tamat. Al-hamdulillah, Berita Baik Untuk M'sia!



ALHAMDULILLAH syukur, berita gembira untuk kita. Akhirnya selepas sebulan perang harga minyak meletus antara Arab Saudi dan Rusia yang menjatuhkan harga minyak global di saat krisis COVID-19, hari ini kedua-dua negara melalui OPEC+ telah bersetuju untuk menamatkan perang berkenaan.

Tamatnya perang harga minyak ini menjanjikan potensi berita baik untuk negara kita dan negara pengeluar minyak lain yang lebih bersifat ‘price taker’ – Kerajaan yang pendapatannya agak bergantung pada kenaikan harga minyak, tetapi tidak mampu untuk mempengaruhi harga minyak.

Bagi negara kita, sekitar 30.9 peratus daripada pendapatan Kerajaan adalah disumbang oleh hasil petroleum. Tamatnya perang harga minyak ini dijangka meningkatkan harga minyak sebanyak USD15 setong dalam masa terdekat. Setiap kenaikan harga minyak sebanyak USD1 satu tong pula akan menyaksikan Kerajaan kita meraih pendapatan sebanyak RM300 juta.

Kedua-dua Arab Saudi dan Rusia serta negara-negara anggota OPEC yang lain bersetuju untuk memotong pengeluaran minyak masing-masing sebanyak 9.7 juta tong sehari, kurang sedikit berbanding cadangan asal iaitu 10 juta tong. Sekali gus menjanjikan kenaikan harga minyak ke paras yang stabil.
Presiden Amerika Donald Trump menjadi pemenang terbesar apabila beliau bukan sahaja ‘berjaya’ menjadi perantara Presiden Andres Manuel Lopez Obrador (Mexico), Presiden Vladimir Putin (Rusia), dan juga Raja Salman (Arab Saudi) dalam rundingan menamatkan perang harga minyak ini, bahkan beliau ‘berjaya’ memastikan bahawa tiada pemotongan besar dalam pengeluaran minyak Amerika.
Hal ini bermakna dalam keadaan Arab Saudi dan Rusia bersetuju untuk memotong pengeluaran minyak masing-masing – sekali gus menjanjikan kenaikan harga minyak global – Amerika yang tidak perlu memotong banyak pengeluaran minyak mereka akan menikmati keuntungan.
Keadaan ini menjadikan peluang Donald Trump untuk menghadapi Pilihan Raya Presiden Amerika 2020 semakin cerah kerana ‘kejayaan’ beliau menamatkan perang harga minyak ini akan menaikkan harga minyak, tanpa Amerika perlu memotong banyak pengeluaran minyak, sekali gus menguntungkan industri ‘shale oil’ Amerika, negeri-negeri pengeluar minyak di Amerika, dan juga gergasi minyak seperti Exxon.
Untuk rekod, perang harga minyak ini meletus pada Mac 2020 apabila Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak – kemuncaknya hingga ke 12.3 juta tong sehari pada April – di samping memberikan diskaun kepada para pelanggannya di Eropah, Asia, dan Amerika Syarikat.
Arab Saudi sengaja bertindak sedemikian untuk menjatuhkan harga minyak dengan lebih buruk sebagai isyarat tidak berpuas hati dengan tindakan Rusia yang sebelum itu enggan untuk mengurangkan pengeluaran ketika wabak COVID-19 mula memberi impak.
Tindakan Rusia ketika itu adalah sebagai balasan kepada Amerika Syarikat – sekutu rapat Arab Saudi – yang menekan pengeluar minyak terbesar Rusia Rosneft (ROSN.MM) supaya menjual aset mereka di Venezuela, negara yang dikuasai sekutu Rusia iaitu Nicolas Maduro (Sosialis pewaris Hugo Chavez yang ingin digulingkan Amerika).
Hakikatnya, meski pun Rosneft melepaskan pegangan mereka daripada aset-aset di Venezuela, namun ia telah dibeli oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan Rusia (kroni Presiden Vladimir Putin) juga. Maka pelan Amerika untuk menghapuskan pengaruh Rusia di Venezuela tetap gagal meski pun Rosneft menjual aset mereka di Venezuela.
Ternyata, pihak yang paling rugi dalam perang harga minyak ini ialah Arab Saudi sendiri. Saham Aramco jatuh, manakala sekitar 40 peratus pendapatan Kerajaan mereka bergantung pada harga minyak yang telah mereka sendiri jatuhkan. Amerika khususnya Trump menang di mata syarikat gergasi minyak dan juga negeri-negeri pengeluar minyak di Amerika. Rusia pula masih berjaya mengekalkan pengaruh mereka dalam industri minyak Venezuela melalui proksi Kremlin.
Apa yang pasti, kita di Malaysia perlu berdoa semoga tamatnya perang harga minyak ini akan menyaksikan kenaikan harga minyak yang signifikan demi meningkatkan pendapatan Kerajaan bagi terus berhadapan dengan krisis COVID-19.
Semoga Allah peliharakan ekonomi politik kita.
Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 13/4/2020

Pengurusan emosi dan tekanan sepanjang PKP


RAKYAT Malaysia harus akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 April 2020 hingga 28 April 2020 demi memutuskan rantaian pandemik COVID-19. 

Bagi sesetengah pihak, lanjutan PKP ini dilihat sebagai rahmat dalam bencana. Manakan tidak, hampir dua bulan lamanya masa cuti ini dapat diisi dengan penuh berhemah bersama keluarga tercinta. Namun, PKP ini menjadi pembunuh psikologi secara senyap terhadap sebilangan besar masyarakat. Tekanan ekonomi keluarga dan himpitan isu dalam rumahtangga dilihat menjadi pencetus kepada pelbagai isu emosi seperti tekanan perasaan dan kemurungan (depresi).

TV AI-Hijrah barsama rakan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd (Karangkraf), Yayasan Warisan Ummah lkhlas (WUI), Majalah Pa&Ma dan Majalah Keluarga menerusi kempen #MUSAADAHCOVID19 memulakan inisiatif baru iaitu MyCareCoV19 khusus untuk memberikan khidmat bimbingan kerohanian, nasihat perundangan dan pengurusan emosi buat rakyat Malaysia merentasi agama dan bangsa.

Program MyCareCoV19 akan bersiaran sebagai segmen dalam rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum di TV Al-Hijrah setiap hari, di antara jam 8 hingga 9.30 pagi bermula 13 April 2020. Penonton boleh menghubungi talian 03 – 2260 2412 untuk berkongsi rasa jiwa bersama pakar-pakar yang kita bawa setiap hari di dalam rancangan ini.

Saya maklum, ini adalah saat yang sukar buat segelintir masyarakat kita. Justeru, izinkan kami untuk cuba memeluk emosi dan menenangkan jiwa anda seupaya kami. Dengan izin-Nya, kita mesti menang.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/4/2020

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails