Monday, May 18, 2020

New Norm. Jana Pendapatan Bisnes Makan Delivery.


Sikit Tazkirah Ekonomi: 
Tips Mudah Jana Pendapatan Lumayan Dengan Buat Bisnes Makan Delivery


As Salam,

Alhamdulillah.Syukur sangat-sangat.Meskipun kita sudah melalui beberapa fasa PKP dan juga PKPB, kita masih dapat menguruskan kehidupan dengan New Norm. Korang pula macam mana?
 Salah satu jenis makanan yang boleh djadikan bisnes jualan makanan di rumah
Pulut kuning dan rendang daging sedap.
Bisnes part time sahabat baik saya yang dilakukan hanya dari rumah

Saya tertarik dengan satu hashtag yang saya jumpa time scroll FB kengkawan, bila dia tulis begini : jangan hanya #stay@home tapi #stayproductive@home-Hebat betul pemikiran begini. Saya setuju dengan cadangan rakan di FB tadi.
               
Buat Bisnes Makanan Tanpa Perlu Menyediakan kedai makan atau permit menjual makanan.
Menarik bukan ?

Yelah.Kita dok dalam rumah, tak kanlah otak pun kena beku dan terkurung sama.Betul tak?.Saya pula, walaupun masih lagi Work From Home (WFH) dalam tempoh PKPB ni, saya juga dah beralih minat.Kalau sebelum ni, time cuti sekolah panjang atau ada masa lapang, hobi saya ke dapur dengan buat macam-macam menu kegemaran kami sekeluarga, membaking, dan juga berblog. 

Bila awal PKP dulu, saya dah mula berminat untuk berkebun pula.Macam-macam benih sayuran dan tanaman saya semai.Paling havoc bila ubi keledek yang tumbuh daun kat dapur rumah, saya cambahkan dan tanam.Yang kelakarnya, rumah saya ni, manalah ada tanah yang luas.Akhirnya, saya usahakan juga tanam dalam baldi yang dah tak guna.Tak tahulah boleh membesar atau menjadi tak.Tapi saya tengok, daunnya tumbuh menjalar dengan sangat subur dan hijau.Harap-harapnya adalah rezeki saya nanti.

Apakah Bisnes Makan Delivery ?
Yup.Inilah yang sebenarnya saya ingin kongsikan dengan anda semua.Dalam pada kita mendapat moratorium daripada Bank Negara, janganlah sesekali kita lupa untuk merancang kewangan keluarga selepas habis tempoh moratorium.Jika anda biasa tempah makanan melalui Grab Food, Marketplace atau Panda, anda pastinya tahu tentang bisnes makanan yang menggunakan perkhidmatan Delivery.

Dalam tempoh PKP, walaupun bisnes lain menghadapi masalah untuk beroperasi, bisnes makanan terus meningkat naik permintaannya.Bisnes makanan ini bertambah masyuk tatkala kerajaan hanya membenarkan makanan yang dijual dibungkus atau delivery sahaja.Dilarang sama sekali makan di restoran atau kedai makanan sedia ada.

Nampak tak kat situ.Betapa peluang Delivery makanan ini menjadi new norm atau trend terbaharu yang menjana pendapatan berganda dari biasa kepada pengusaha makanan tak kira sama ada kecil-kecilan atau dengan skala besar.

 Hanya buat promo di FB timeline, sahabat saya ini menerima tempahan kuih raya yang tak putus-putus.Tidak mustahil bisnes makanan dari rumah ini mampu bertahan lama kerana dapat jimat banyak kos dan menguntungkan.

Antara jenis kuih yang dibuat hanya melalui order-Jika tiada tempahan, tiadalah berlaku pembaziran kos atau barang tidak terjual- 

Boleh ke kita Buat Bisnes Delivery Makanan dari rumah? 
Jawapannya, boleh.Kita buat dia.Sebenarnya buat bisnes makanan dari rumah ini lebih untung, jimat banyak dan mudahkan kita urus masa dengan lebih baik.Tambah mengujakan, kita boleh buat sebagai part time sahaja, tapi dengan pendapatan yang lumayan.Anda berminat tak ?

Bagi anda yang sudah bermula dengan bisnes ini, teruskan dan perkukuhkan lagi.Jika anda baru sahaja merancang untuk memulakan bisnes delivery makanan dari rumah, saya ingin kongsikan beberapa tips mudah yang dapat membantu anda menjana pendapatan lumayan.

 Ini bisnes sahabat baik saya- dia hanya buat makanan ini berdasarkan tempahan yang diterima.Paling menariknya sahabat saya ini hanya buat part time, tapi bila kita tengok time line di FBnya, berdesup-desup order masuk hanya apabila dia share sahaja pic makanan yang dijualnya-

 Selain Pulut kuning, sahabat saya ini juga mempunyai kepakaran membuat nasi ambeng yang sangat terkenal di Johor.Dan dia buat semua ini hanya dari rumahnya sahaja.

Ini pula Nasi Lemak air tangan sahabat saya, yang sangat sedap sambal bilisnya :) Jadi, tak mustahil sebenarnya jika kita berminat untuk buat bisnes makanan hanya dari rumah.

Jika anda tinggal di area JB, Pasir Gudang atau kawasan yang berhampiran, boleh pm personal sahabat baik saya ini di FB beliau-Boleh add beliau di FB dan silalah dapatkan makanan dari air tangan beliau yang sangat sedap dan berbaloi dengan portion yang banyak.

Tips Mudah Jana Pendapatan Lumayan Dengan Buat Bisnes Makan Delivery
  1. Pilih jenis makanan yang simple, mudah dan tak perlu banyak bahan sebagai permulaan.Misalnya kita cuba buat Mi Kari, Nasi Lemak atau Tauhu Bergedil.Tapi dah ramai orang jual nasi lemak ?Haa..yang itu kita selesaikan kemudian. Anda kena baca E-book ini kalau nak tahu solutionnya : Klik sini : Cara Pilih Jenis Makanan Untuk Delivery Dari Rumah (KLIK)
  2. Hanya buat makanan apabila ada tempahan-Dengan ini kita dapat elakkan pembaziran.Kita juga dapat kawal perbelanjaan kos bahan kita.
  3. Kongsi gambar makanan yang anda jual dengan syarat pilih gambar yang paling cun, yang paling sedap dan melting dalam media sosial anda.Ingat, marketing ini secara percum sahaja.Ambil tempahan jika ada rakan yang berminat.
  4. Dapatkan testimoni pelanggan-Ada kala bukan semua pelanggan akan wassap kita untuk respon atau bagi feed back selepas depa order makanan kita-Tapi tak salah pun kalau kita follow up pelanggan kita untuk kenalpasti tahap kepuasan pelanggan.Secara tak langsung, feedback pelanggan boleh menjadi "marketing" kepada produk kita.
  5. Jangan jual produk makanan anda secara direct, tapi kongsi resepi.Ini juga tips atau petua terbaik dan juga soft sell yang kita boleh gunakan.Kadang-kadang ada rakan kita yang tak suka kalau kita syik up pasal bisnes kita.Apa kata sesekali kita kongsi resepi produk yang kita jual atau makanan lain.Kena selalu keep in touch dengan bakal pelanggan kita yang berpotensi tu!
  6. Pilih atau tentukan waktu delivery makanan yang sesuai. Bisnes kita, maka kita boleh tentukan waktu terbaik yang kita boleh buat delivery.Ini juga suatu kelebihan kalau kita nak buat bisnes ini secara part time.Dalam e-Book ini ada kongsi cara bahagikan waktu delivery seperti yang kita mahukan- Bila waktu sesuai Buat Delivery Makanan- (KLIK)

Orait, kalau ikutkan banyak lagi tips yang boleh anda perolehi.Saya hanya kongsikan sedikit tips dan panduan Bisnes Delivery Makanan ini dari sebuah e-Book yang saya sudah baca iaitu : e-Book Panduan Memulakan Bisnes Makanan Di Rumah dan Delivery-(KLIK).

e-Book Tips Dan Panduan memulakan Bisnes Makan Dan Delivery Dari Rumah-
Dapatkan naskhah ini segera sebelum kehabisan stok-klik Gambar untuk dapatkan naskhah ini-

Secara logiknya, dalam tempoh PKP ini-yang kita pun tak pasti bila akan berakhir, maka haruslah kita mula memikirkan untuk buat another part time job yang tak susah, jimat dan yang pasti menguntungkan.

Kita banyak mendengar tentang kemungkinan ada majikan atau company yang akan buang pekerja atau mengurangkan bilangan pekerja.Dan kita yang bekerja dalam sektor tertentu, pasti sudah dapat tempias atau kemelut ekonomi yang semakin merosot.Jadi, tak kan kita nak duduk diam sahaja sampai duit simpanan kita semakin susut?

Semuanya bergantung atas kemahuan dan tindakan kita.Saya mempunyai pendirian, jika hal itu baik, dan saya dapat banyak faedah, buat apa kita tunggu masa yang lama atau bertangguh untuk memulakannya?

Tepuk Dada Tanya selera:)

Terima kasih berkongsi baca post saya tentang Bisnes Delivery Makanan-Jika tidak sekarang, bila lagi?

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-128: Sikit Tazkirah Ekonomi..



COVID-19&Ramadan, Pun Berjudi Di Ladang Sawit. Ini 7 Ditahan..



KUANTAN, 17 Mei  -- Polis menahan tujuh lelaki dipercayai berjudi dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 7, Maran dekat sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata suspek yang berumur 50 hingga 72 tahun itu merupakan warga tempatan dengan majoriti daripadanya peneroka di tanah rancangan itu. 

"Serbuan dilakukan pada 1.00 tengah hari semalam atas aduan orang awam dan semasa itu, semua suspek dilihat berkumpul di sebuah meja dan leka berjudi menggunakan daun terup. 

"Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu berdasarkan penemuan 56 keping kad daun terup dan wang tunai berjumlah RM1,501 di lokasi kejadian," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Norzamri berkata polis juga merampas tiga meja dan 13 kerusi plastik dipercayai dibawa ke lokasi itu bagi kegiatan tersebut. 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kesemua suspek juga disiasat kerana melanggar Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) kerana berhimpun untuk bermain judi di tempat awam. 
- BERNAMA


Komen Weblog Ibnu HasyimStatistik Kegiatan Perjudian di Malaysia.. Sehingga Julai 2017, di Wilayah Persekutuan sahaja, sekurang-kurangnya 3,000 premis perjudian online (dalam talian) yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur. 

Jumlah ini dilaporkan meningkat berbanding tahun 2016 yang mencatatkan sebanyak 615 premis perjudian yang beroperasi di sebalik rumah kedai, pusat internet serta pusat hiburan keluarga.

Wakil rakyat juga bantu pemungut sampah.


RANTAU PANJANG: Penduduk yang mencari rezeki di tempat pelupusan sampah di Pusu 40 dekat sini dianggar memperolehi pendapatan kira-kira RM300 hingga RM500 seminggu.


Malah gaya hidup mereka juga agak berbeza berbanding penduduk lain di mana anak-anak dan cucu masing-masing memiliki handphone berjenama.
Mereka juga memiliki rumah sendiri dan ada yang menyewa di luar tempat pelupusan sampah tersebut.
ADUN Apam Putra Abdul Rasul Muhammad berkata, sehingga sekarang terdapat 9 keluarga penduduk yang tinggal di bangsal sementara di kawasan pelupusan sampah tersebut.
Katanya, seorang daripada mereka tinggal di tapak sawmill di kawasan berdekatan.
“Mereka tinggal di bangsal sementara bagi memudahkan untuk mengutip besi buruk dan bahan-bahan buangan yang boleh dijual semula, di mana ada ketika lori sampah sampai waktu malam.
“Jadi mereka memilih tinggal di situ bagi memudahkan kerja memunggut sampah. Bagi ada yang ada anak bersekolah mereka tinggal di rumah dan ketika hari minggu anak-anak juga datang membantu,” katanya di sini.
Pusat pelupusan sampah itu wujud sejak 40 tahun lepas menjadi tapak pembuangan sampah Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.
Ustaz Ebit Lew - Home | Facebook Ustaz Ebit Lew
Bagaimanapun isu pengutip sampah tersebut diviralkan, apabila kelmarin pendakwah dermawan Ustaz Ebit Lew menviralkan usahanya, membantu dua penduduk di situ dengan membayar sewa rumah untuk mereka.
Abdul Rasul juga berkata, orang luar yang jarang datang ke situ tidak mengetahui perkara sebenar memandangkan rata-rata pemungut sampah sudah memiliki rumah sendiri.
“Mereka tinggal di bangsal buruk hanya untuk memudahkan mencari rezeki di tempat pelupusan sampah. Kalau tidak rumah pun anak dan cucu mereka,” ujarnya.
Menurutnya juga MDPM akan mewartakan kawasan itu sebagai tempat larangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku termasuk tanah jerlus di tempat pembuangan sampah itu.
Kata beliau juga pemungut sampah terbabit yang tinggal di rumah sewa akan dipertimbangkan rumah secara percuma di Pusat Penempatan Masyarakat Setempat di Lubok Jong.
Katanya rumah tersebut bernilai kira-kira RM70,000 dan tanah pula berharga RM100,000.
Beliau juga berkata, wakil-wakil rakyat dan penghulu sejak dahulu lagi membantu pemungut sampah terbabit dan tidak berbangkit mereka diabaikan. – HARAKAHDAILY 15/5/2020

Mesyuarat Akhir Presiden PH 21 Feb Lalu, Bocor. Amanah&DAP Punya Hal?

Malaysiakini
MENURUT 'malaysiakini' Diterbitkan Dikemaskini Hari ini 1:08 am 'Konspirasi, kata dua dan konsensus dalam mesyuarat 'terakhir' PH'..


KRISIS perpecahan dalam Bersatu kian meruncing apabila pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin masing-masing mempertahankan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagi kem Mahathir, langkah Muhyiddin mengeluarkan Bersatu daripada PH merupakan satu pengkhianatan manakala bagi kem Muhyiddin pula, ia disebabkan rakan sekutu Bersatu yang tidak sabar sehingga mengasak parti itu ke satu sudut.
Laman Facebook Bersatu semalam membocorkan rakaman audio lebih dua jam mesyuarat terakhir Majlis Presiden PH ketika masih menjadi kerajaan pada 21 Feb lalu, dengan mendakwa rakan sekutu Bersatu bersikap 'biadab' terhadap Mahathir.
Perbincangan selama dua jam itu kadang kala menjadi panas apabila pemimpin komponen PH menimbulkan soal sama ada Mahathir harus menetapkan tarikh peralihan kuasa atau sebaliknya.
Meskipun rakaman yang bocor hampir tiga bulan itu mungkin merupakan perang saraf, ia memberi gambaran menarik mengenai apa yang berlegar dalam fikiran pemimpin PH, beberapa hari sebelum gabungan itu 'tersungkur'.
Dalam mesyuarat itu, Amanah dan DAP mendesak Majlis Presiden PH membuat keputusan mengenai tarikh yang tepat bagi peralihan kuasa, manakala pemimpin Bersatu menegaskan Mahathir tidak boleh ditekan, selain menyatakan terdapat pemimpin tertentu dalam PH menyerang Mahathir di khalayak umum.
Lebih menarik timbalan presiden PKR pada masa itu, Azmin Ali dan naib presidennya, Zuraida Kamaruddin, menegaskan bahawa Mahathir perlu menghabiskan sepenggal penuh - satu pendirian yang tidak diusulkan oleh pemimpin Bersatu dalam mesyuarat itu memandangkan mereka hanya mahu Mahathir menetapkan tarikh itu sendiri.

"Tun, you kata selepas APEC (Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan tak ada tarikh, dan mungkin juga sepenggal penuh," kata Zuraida.
Untuk rekod, Azmin dan Zuraida kemudiannya memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan PH apabila mereka berpaling tadah untuk menyertai PN. 
Berdasarkan rakaman tersebut, adalah jelas bahawa pemimpin PH tidak sedar mengenai wujudnya konspirasi berkenaan.
Konspirasi
Apabila Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman bersuara lantang menentang pemimpin PH yang menekan Mahathir untuk menetapkan garis masa peralihan kuasa, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat konspirasi yang telah diatur.
"Syed Saddiq, kamu mungkin tidak tahu, cubaan merosakkan keseluruhan rancangan (peralihan kuasa). Yang nyata, konfigurasi baru, saya bincang dengan Muhyiddin. 
"Konfigurasi baru yang melayani PAS, Umno itu yang sebabkan orang marah.
"Tapi bila saya tanya, Tun kata diorang datang, dia tak beri kelulusan. Tapi banyak orang termasuk dalam dewan ini malam ini kata Tun setuju."
Anwar berkata beliau mahu Majlis Presiden bertindak tegas terhadap kewujudan gerakan berkenaan.
"You tak boleh cakap sokong Tun dan Pakatan Harapan dan khianat di luar. Kemudian kamu mengharapkan kami meletakkan kesetiaan sepenuhnya. Ini yang kena stop," jelasnya.
Anwar juga mengakui pihaknya mengumpulkan akuan bersumpah (SD) sebagai respons kepada satu lagi langkah berasingan yang dinamakannya "konfigurasi baru".
Bagaimanapun, Anwar berkata SD oleh pihaknya bukan seperti penyokong "konfigurasi baru", dan peralihan kuasa seharusnya diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.
Pada penghujung mesyuarat yang menemui jalan buntu itu, Anwar berjanji mengekang ahli PKR yang masih berdegil dan akan menyatakan sokongannya kepada Mahathir di media.
"Saya akan cuba yang terbaik tapi setakat ini saya support Tun kalau ditanya media. Saya akan katakan kepada mereka bahawa ia telah diselesaikan dan menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Tun," katanya walaupun tiada keputusan dicapai mengenai tarikh peralihan kuasa.
Bagaimanapun, Azmin kemudian mencelah dengan mengatakan: "Tun, saya nak minta penjelasan adakah dengan menyokong Tun untuk serve full term (berkhidmat sepenggal penuh) itu merupakan pengkhianatan kepada Pakatan Harapan?"
Ini mencetuskan pertikaian apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad akhirnya bersuara.
"Saya rasa paling penting tentang pengkhianatan adalah bawa masuk orang lainlah. Bawa masuk PAS, Umno, nak form gabungan baru, itu pengkhinatan yang kita sedang ceritakan.
"Kita tidak bincang tentang PAS dan Umno punya penglibatan," jawab Azmin.
Bahang ketegangan juga dapat dikesan ketika mesyuarat itu apabila setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berulang kali menyindir dengan menyatakan beliau tidak pernah sesekali "ponteng" daripada mesyuarat parti dan PH - satu dakwaan yang sebelum ini dibuat terhadap Azmin dan kumpulannya.
Kata dua
Khalid akhirnya berkata perkara itu harus diserahkan antara Anwar dan Mahathir untuk membuat keputusan.
Mahathir, yang sepanjang mesyuarat itu tidak memberi sebarang pandangan mengenai kedudukannya sebagai perdana menteri dan pada satu ketika mengatakan beliau tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat yang banyak tertumpu kepadanya, kemudian bertanya apakah yang mahu diberitahu kepada pihak media di tengah-tengah kebuntuan berkenaan.
"Kita nak bagitahu press yang kita pecah dua atau kita ada konsensus?" soalnya.
Mahathir juga mengulangi bahawa beliau akan meletakan jawatan selepas Apec.
Bagaimanapun Azmin sekali lagi mencelah dan berkata:  "Tetapi tiada konsensus walaupun selepas Apec", menyebabkan suasana bising apabila ada yang membantah.
"Saya tahu kamu ada sesuatu yang peribadi terhadap saya. Berapa banyak pandangan berbeza, mengapa kamu pilih saya?" bidas beliau.
Pertikaian itu berterusan selama beberapa minit sebelum Syed Saddiq sekali lagi membantah gesaan agar Mahathir menetapkan garis masa bagi peralihan kuasa.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, yang banyak mendiamkan diri akhirnya bersuara dan menggesa Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Mahathir untuk membuat keputusan mengenai tarikh peralihan kuasa.
Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa PH kehilangan sokongan dan rancangan peralihan kuasa telah menjadi perhatian rakyat.
Beliau mengakhiri kata-katanya dengan mengatakan sekiranya Majlis Presiden tidak boleh patuh, maka Bersatu boleh membuat keputusan sendiri, menyebabkan keadaan menjadi senyap seketika.
Presiden Amanah Mohamad Sabu kemudian bersuara dengan mengatakan:
"Bersatu buat keputusan, Amanah buat keputusan, DAP buat keputusan. Pecahlah kita jadi pembangkang balik".
Khalid kemudian menggesa agar tiada kata dua diberikan dalam mesyuarat berkenaan.
"Janganlah bagi ultimatum. Bila you nak cari konsensus, bila kamu bagi ultimatum, kamu tak cari konsensus."
Mat Sabu kemudian berkata "Bersatu nak buat keputusan sendiri itu ultimatum, kami pun dah jadi pembangkang lama".

Konsesus
Perdebatan ini berlangsung selama beberapa minit sebelum Anwar mencelah.
"Sekarang Bersatu bagi ultimatum, kita kena capai konsensus. Saya tak nak usulkan apa. Saya serah pada Tun, saya percaya kamu sebab ultimatum ada risiko pecah. Saya harap jangan buat begitu.
"Saya akur, serah pada Tun," katanya.
Mahathir kemudian secara bergurau memberitahu beliau mahu menyandang jawatan perdana menteri selama lima penggal.
Pada nada yang lebih serius, Mahathir berkata:
"Jangan tetapkan saya tempoh. Saya akan buat keputusan.Kalau kamu percaya saya, akan buat keputusan tapi jangan beritahu bila.
"Mungkin satu hari sebelum parlimen dibubarkan - mungkin, saya tidak mengatakan begitu, jangan petik saya Tapi jangan tetapkan satu tempoh, saya akan buat keputusan.
"Jadi, jika kamu tidak boleh bersetuju (menetapkan tarikh), maka kamu terima pandangan saya. Adakah itu okay?" katanya.

Para pemimpin dalam mesyuarat itu kemudian didengar menyatakan persetujuan sebelum beralih untuk membincangkan isu-isu pentadbiran.
Pada sidang akhbar lewat malam itu, Mahathir diapit Anwar dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail di mana beliau mengumumkan bahawa PH memutuskan untuk membenarkan beliau membuat keputusan sendiri mengenai tarikh peralihan kuasa.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, Azmin dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memulakan "Langkah Sheraton".
Azmin, yang juga Anggota Parlimen Gombak, berpaling tadah bersama 10 anggota Parlimen PKR yang lain, manakala Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada PH.
Bersama-sama dengan Umno, PAS, GPS, PBS dan STAR, mereka membentuk kerajaan PN yang baru.
Mereka pada mulanya menggesa Mahathir mengetuai gabungan baru itu tetapi apabila ia ditolak, sokongan beralih kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baru.

Sekian (IH).

6 Parti Bentuk K'jaan Sokong Tubuh Perikatan Nasional (PN)

Mengimbau sejarah bendera Malaysia, Jalur Gemilang – MelakaKini

KL: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong penubuhan Perikatan Nasional melalui kerjasama gabungan parti politik.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani pemimpin utama enam parti itu turut menegaskan, satu Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka.


Memorandum Persefahaman PN itu dirangka bertujuan memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

"Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.


"Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63," kata kenyataan itu.

Kesemua enam parti itu juga menegaskan bahawa Memorandum Persefahaman PN juga akan memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Selain itu, dokumen itu turut menyatakan hasrat memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. (IH)

Sunday, May 17, 2020

Dakwaan Rasuah B/Menteri Di Bawah PH Selama 22 Bulan..

Malaysiakini
Kononnya,PH komited banteras rasuah walaupun sokongan merosot.
Bekas menteri akan dipanggil selepas pembantu ditahan dalam kes babit pemaju KL


KL: Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan seorang bekas menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, FMT mendapat tahu daripada sumber.
Difahamkan, setiausaha politik menteri itu sudah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.
Satu laporan dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pemeriksaan FMT mendapati siasatan sedang dijalankan polis Brickfields dan Sentul atas “2 jenayah komersial”.Satu sumber turut memberitahu FMT, polis akan memanggil bekas menteri itu dan timbalannya tidak lama lagi, serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
FMT sudah menghubungi polis untuk mendapatkan butiran lanjut dan bekas menteri itu yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu pengesahannya. (FMT)

Polis dijangka menyoal siasat pegawai DBKL dan seorang bekas menteri di bawah kerajaan PH.

K/Skrikandi Keluar Parti. Giliran PKR Pula Merudum?


Ketua Skrikandi PKR umum keluar parti

Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya dan bertindak meninggalkan parti berkenaan.

Nurainie dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil selepas tidak lagi yakin dan percaya kepada idealisme perjuangan serta hala tuju PKR ketika ini.

"Saya telah mengambil keputusan meletak jawatan dan keluar daripada menjadi anggota PKR. Keputusan ini diambil kerana saya tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti pada hari ini," katanya.


Nurainie juga memaklumkan bahawa beliau turut meletakkan jawatannya selaku exco Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat dan anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Keputusan ini diambil atas prinsip bahawa jawatan ini adalah atas kapasiti saya selaku anggota PKR," katanya.

Sehubungan itu, Nurainie merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

"Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada anggota PKR yang memberi mandat kepada saya sebagai exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat yang menang pada pemilihan PKR lalu.

"Juga kepada menteri besar Selangor dan Datuk Bandar MBPJ kerana memberikan kepercayaan serta kerjasama sepanjang saya menjadi anggota PKR dan Ahli Majlis MBPJ.

"Saya berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara melalui platform saya yang sedia ada serta memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membantu golongan yang memerlukan melalui kapasiti saya sebagai seorang peguam," katanya. – Mkini


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini tanda-tanda PKR pun mulai merudum? Kita tunggu dan lihat..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails