Tuesday, September 08, 2020

Kilang haram, beroperasi 6 tahun, nak tunggu menteri PAS baru jalan?

 PENGUAT KUASA MPS mengawal di hadapan kilang yang disyaki punca pencemaran Sungai Gong. FOTO Shahmi Imran

Kilang haram penyebab pencemaran sungai sudah beroperasi 6 tahun

Rawang: Kilang penyelenggaraan jentera di kawasan industri Sungai Gong di sini, yang disyaki punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihentikan Khamis lalu beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kilang itu juga sudah dikompaun pada Mac kerana beroperasi tanpa lesen dan sehingga kini belum melakukan sebarang permohonan,

Katanya, premis terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak 2014 lalu dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

"Berdasarkan data oleh MPS, pengurusan kilang berkenaan tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen sejak 2014.

"Pihak MPS juga sudah dua kali menyarankan kepada kilang terbabit untuk membuat permohonan lesen selepas dikesan beroperasi sejak enam tahun lalu.

"Selain beroperasi tanpa kebenaran, kilang yang dipercayai sering menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain ini turut membina struktur bangunan dalam kawasan premis mereka tanpa kebenaran bertulis dari MPS," katanya ketika ditemui dalam operasi kilang haram di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilik atau pengurusan kilang ini langsung tidak menghantar sebarang permohonan untuk menjalankan perniagaan.

"Pengurusan kilang dilihat tidak mempedulikan notis yang dikeluarkan sejak Mac lalu dan terus menjalankan perniagaan tanpa kebenaran serta mendirikan bangunan tanpa kebenaran," katanya.

Sehubungan itu katanya, MPS mengeluarkan notis kepada kilang penyelenggaraan jentera yang membuat binaan tanpa kelulusan itu.

Menerusi notis itu, pihak syarikat perlu mengemukakan dokumen berkaitan dalam tempoh tiga hari dan akan dirobohkan jika gagal berbuat demikian.

Mohamad Zin berkata, notis mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan kerana kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan bukti.

"Dalam tempoh tiga hari jika gagal mengemukakan bukti premis berkenaan akan dirobohkan," katanya.

Katanya, bagi isu dan kes berkaitan pencemaran yang dikaitkan dengan pengurusan kilang, kesalahan itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar (JAS). MyMetro)


Komen Weblog Ibnu Hasyim:

(i) Dah kilang haram,

(ii) penyebab pencemaran sungai,

(iii) sudah beroperasi 6 tahun lalu. 


Mesti tunggu PM ke 8 dan menteri-menteri PAS baru boleh bertindak?? Al-hamdulillah, nasib baik ada PAS di bawah naungan PM ke 8!


Monday, September 07, 2020

PH S'gor lagi, Projek RTB S/Pelepas Pampasan RM390,000. Main Politik?

 

PAS akan lapor SPRM

KUALA LUMPUR: PAS akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelepas melibatkan perobohan kediaman penduduk Desa Subang Perantau 2, hari ini.

Menurut Yang di-Pertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Dr Zaharudin Muhammad berkata, kemungkinan besar terdapat permainan politik licik dalam projek RTB berhubung beberapa perkara yang cuba diselindungkan.

Antaranya ialah penerimaan bayaran pampasan (ex-gratia) yang tidak telus kepada penduduk yang terjejas.

“Jumlah pampasan yang dicatatkan oleh pejabat tanah bernilai lebih daripada RM390,000, tetapi jumlah yang diterima oleh penduduk hanya RM240,000 sahaja.

“Malah, kerajaan negeri memberikan tempoh selama seminggu sahaja bagi menjelaskan cek yang telah diberikan.

“Kemudian, penduduk dipaksa untuk menandatangani surat akur janji dan salinannya tidak diberikan kepada penduduk,” ujar Zaharudin dalam satu sidang media di Pusat Sumber dan Komuniti, Desa Subang Perantau 2, di sini, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan pihak kerajaan negeri mempamerkan sikap kesamsengan apabila mengganggu proses penduduk dalam mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut.

“Sepatutnya pihak tertentu itu mengugut juru ukur yang telah melencongkan pelan sungai sehingga mengganggu tanah penduduk tetapi sebaliknya yang berlaku, juru ukur yang diupah penduduk pula yang diugut.

“Contohnya, katakanlah dengan nilai RM1 juta yang diminta oleh juru ukur untuk buat semula pengukuran, kerajaan negeri boleh ugut dia dengan tidak akan memberikan projek kepada mereka, tetapi berlaku sebaliknya.

“Isu lain ialah kalau wang tersebut diperuntukkan oleh pihak kerajaan negeri bagi mengupah juru ukur, pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah sediakan perkhidmatan tersebut secara percuma, jadi apa isunya?,” soalnya.

Zaharudin menambah, di peringkat PAS pusat juga tidak putus-putus membantu penduduk untuk meyakinkan pihak kerajaan negeri agar memilih jalan penyelesaian yang terbaik buat penduduk di situ.

“Saya rasa dalam seminggu tidak kurang daripada tiga kali kami (Dr Zaharudin dan Dr Zuhdi) turun naik untuk berjumpa dengan pihak kerajaan negeri supaya memilih pilihan yang kedua iaitu melebarkan sungai di bahagian tanah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kami sudah teliti segala impak dan kesannya terhadap alam sekitar dan sungai tersebut dari segi profesionalnya, arkiteknya dan pengukurannya, semuanya tiada masalah,” katanya.

Jelasnya, walaupun acap kali ditekankan hal yang sama, kerajaan negeri Selangor tetap berkeras untuk melencongkan laluan sungai ke kediaman penduduk dan menjejaskan hampir 19 buah keluarga.

Katanya, pihaknya tekad untuk menyokong dan membantu kerana prihatin akan nasib orang Melayu dan Islam yang teraniaya oleh pemerintahan kerajaan negeri.

“Kalau orang ceroboh tanah kerajaan, kami tak akan sokong tapi isu penduduk ini, kesnya lain kerana mereka sudah duduk dari tahun 1990an, sudah lama.

“Mereka dirikan rumah sebelum Tun Mahathir ubah beberapa undang-undang berkaitan tanah, ketika itu budayanya berbeza, jika mahu mohon tanah kerajaan, maka tapak rumah harus dibina terlebih dahulu, selagi mana tanah itu bukan milik sesiapa dan tidak digazetkan kepada sungai.

“Maka, dari segi Undang-undang Islam, mereka berhak ke atas tanah tersebut tetapi oleh kerana Land Acquisition Act diubah beberapa kali yang menyebabkan kuasa mutlak itu ada pada kerajaan sekarang dan rakyat yang menetap daripada tahun 1990an dan ke atas dinafikan haknya,” ucapnya.

Jelas Zaharudin, pihak kerajaan negeri juga seolah-olah tidak mengambil berat dan perhatian terhadap keluhan penduduk di situ.

“Menteri Besar Selangor tak turun pun tengok sungai dan keadaan sebenar persekitaran di situ, setakat datang naik kereta pada waktu malam maka beliau tak jelas akan isu tersebut.

“Bila saya tengok pelan dan lihat kawasan dengan teliti, saya tahu isu ini sebenarnya boleh mendapat pembelaan kepada penduduk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2020

Hibur Hibur Sikit
Baik didengar oleh perasuah-perasuah!!

Roboh rumah, lagi bukti k'jaan PH S'gor gagal jaga kebajikan rakyat,

  Pemandangan dari seberang Sungai Pelempas di Desa Subang Perantau 2, barisan kediaman penduduk dimusnahkan semalam (gambar kecil: Ustaz Hanafi Zulkapli)

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Selangor merobohkan 19 buah rumah penduduk di Desa Subang Perantau bukti kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan kebajikan penduduk.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pihaknya sangat kecewa dengan tindakan meroboh rumah penduduk dengan alasan untuk melaksanakan projek pelebaran sungai bagi mengelakkan kejadian banjir.

“Peristiwa sedemikian bukan pertama kali berlaku sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mempersoalkan kewajaran meneruskan pelan pelebaran sungai sehingga terkena kepada kawasan rumah sekali gus perlu dirobohkan, sedangkan ada cadangan untuk pelebaran dibuat tanpa melibatkan kawasan perumahan penduduk.

Selain itu, katanya penduduk juga telah membuat rayuan hak untuk menduduki tapak secara sah hampir lebih 15 tahun, sedangkan sebahagian besar penduduk kawasan yang sama telah memperolehi hak hanya berbaki lebih kurang 19 lot sahaja.

Dalam pada itu, katanya pampasan perpindahan yang diberi jauh lebih rendah dari nilai rumah semasa.

Malahan, tawaran untuk menduduki rumah di Rimbayu didakwa belum wujud melainkan setelah 3 tahun sebagaimana video dari BMF Media TV pada 5 Jun lalu.

“Wakil rakyat yang berkaitan jelas gagal memainkan peranan sebagai pemimpin rakyat yang dipilih bagi mencari penyelesaian untuk menjaga kebajikan penduduk.

“Jika benar merobohkan rumah pada kawasan yang tidak dapat dielakkan kerana tiada pilihan lain, sepatutnya kebajikan penduduk mesti dijamin dari sudut menyediaan penempatan baru yang telah wujud sedia ada, bukannya baru hendak dibina.

“Pampasan ganti rugi mesti setimpal atau tidak jauh beza dengan nilaian semasa diberikan kepada penduduk yang dirobohkan rumah,” ujar Hanafi. – HARAKAHDAILY 4/9/2020

Hibur Hibur Sikit
Baik didengar oleh perasuah-perasuah!!

H2S Pilihan: 37 -Nasyid Singapore &Ikan Todak

 

Doa Taubat (Astaghfirullah) - Pelajar Madrasah Al-Junied Islamiah Singapura



Nasyid Singapore




IkanTodak - J.Rukimin


Kewibawaan Polis Dicabar Lagi.. K'jaan, Kaji Balik Pusat Hiburaan Bermaksiat Begini

 ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di tiga pusat hiburan di Kelana Jaya dan Damansara, Petaling Jaya dalam Op Noda, kelmarin

Makin ramai tauke pusat hiburan cabar polis!

Kuala Lumpur: Degil dan sengaja beroperasi walaupun mengetahui larangan kerajaan.

Itu tindakan tiga pusat hiburan di Kelana Jaya dan Damansara, Selangor, yang membuka operasi kepada beratus pengunjung tanpa mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini dibuktikan apabila seramai 227 pengunjung di premis hiburan itu ditahan dan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 susulan tindakan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya turut menahan penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan serta empat lelaki warga asing yang bekerja di premis berkenaan dalam serbuan itu.

"Semakan mendapati satu daripada tiga premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras selain menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja.

"Kami turut mengeluarkan sebanyak 227 kompaun kepada pengunjung tiga premis terbabit kerana melanggar peraturan mengikut Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya merampas sebuah komputer riba, sebuah mesin pengisar dan 15 botol arak pelbagai jenama dalam serbuan itu.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim

(i). Kewibawaan polis seolah-olah masih dicabar  lagi. Siapa yang mencabar?

(ii). Pihak kerajaan perlu kaji balik aktiviti maksiat bertopengkan pusat hiburan. Malulah, negara  kita negara umat Islam atau majoriti Muslim.

Hibur Hibur Sikit
Baik didengar oleh perasuah-perasuah!!

Menurut Dr Kamarul Zaman, Menteri PH Bodoh! Ini Buktinya..

  

Isu sekolah vernakular serlah kebodohan Lim Guan Eng

DI DALAM kenyataan media beliau semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyatakan:

(1) Kewujudan sekolah vernakular adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan (kata beliau, “Under such guarantees in the Federal Constitution, vernacular primary schools have existed”).

(2) Tidak pernah ada mana-mana ahli pentadbiran dalam mana kerajaan di Malaysia yang mendesak supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “Never in history, has any member of an administration called for the closure of vernacular schools”).

(3) Terdapat seorang Ahli Parlimen yang didakwa dan dihukum di atas kesalahan menghasut pada 1982 kerana menggesa di Parlimen supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “There was even an MP who was charged and convicted of sedition in 1982 for speaking in Parliament calling for the closure of vernacular schools”).

(4) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan dengan menggesa supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “Deputy Youth and Sports Minister seeked to undermine and pervert the Federal Constitution… To close vernacular schools is irrational and extreme in nature”).

(5) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana mendesak supaya sekolah vernakular ditutup adalah satu serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan (kata beliau, “The Deputy Minister should withdraw and apologise as calling for the closing down of vernacular schools is an attack against the Federal Constitution”).

Kenyataan media ini menyerlahkan kebodohan Lim Guan Eng kerana:

(1) Kewujudan sekolah vernakular sebenarnya adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Seorang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga pernah menyebut bahawa keputusan membenarkan kewujudan sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah keputusan politik dan tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkannya. Seorang pakar Perlembagaan terkenal negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil sebenarnya adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan, tetapi banyak parti politik, demi mencari populariti, menyebut ia dilindungi oleh Perlembagaan”. Seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, juga pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan kerana ia memecahbelahkan masyarakat dan tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan”.

(2) Desakan supaya sekolah vernakular ditutup sebenarnya telah pernah disuarakan oleh beberapa ahli pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan di Malaysia sebelum ini. Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan semua kanak kanak dikehendaki mengikut satu sistem persekolahan untuk mencapai kesamarataan dan perpaduan”. Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyebut bahawa beliau “berharap untuk melihat wujudnya satu sistem sekolah sahaja”. Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah penghalang kepada perpaduan nasional”.

(3) Ahli Parlimen yang dihukum di atas kesalahan menghasut kerana ucapan yang beliau buat di Parlimen pada 11 Oktober 1982 bukanlah kerana beliau menggesa supaya sekolah vernakular ditutup seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng tetapi adalah kerana beliau mempersoalkan kewujudan dan menganjurkan rombakan ke atas Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Persekutuan jelas memutuskan di dalam kes ini bahawa “Mark Koding adalah tidak bersalah kerana menghasut apabila beliau menganjurkan penutupan sekolah-sekolah Cina dan Tamil” tetapi beliau bersalah kerana menyebut “sekiranya tindakan-tindakan ini (menutup sekolah-sekolah vernakular tersebut dan menyekat sama sekali penulisan papan-papan tanda dalam bahasa-bahasa selain bahasa kebangsaan itu) kelak bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan maka kita harus merombak Perlembagaan tersebut demi kepentingan rakyat dan negara”.

(4) Gesaan supaya sekolah vernakular ditutup bukanlah satu gesaan yang tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan. Gesaan begini telah pernah dikemukakan oleh begitu ramai pakar pendidikan negara, termasuk paling mutakhir oleh Prof Emeritus Dr Isahak Haron, Prof Dr Mohd. Sahandri Gani Hamzah dan Dato’ Abdul Raof Husin di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran pada 1 September 2020 dalam mana mereka menyebut “Kerajaan hendaklah berani mengambil langkah strategik, beransur-ansur, untuk memperkukuhkan Satu Sistem Pendidikan Negara dengan melaksanakan Sistem Pendidikan Satu Aliran menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang bersatu dan stabil dalam jangka panjang” di mana “Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Malaysia (Artikel 152 di mana Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu), Laporan Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996, bagi membina identiti negara bangsa dan menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang bangsa, etnik, budaya dan latar belakang.” Apabila Lim Guan Eng menyebut gesaan supaya sekolah vernakular ditutup adalah satu gesaan yang tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan, apakah beliau mahu menyatakan pihak-pihak seperti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang telah berulangkali menggesa supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah satu aliran, atau Kerajaan Singapura idola beliau yang telah lama menghapuskan sekolah vernakular juga adalah tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan?

(5) Berdasarkan kepada semua hujah yang telah dikemukakan, langsung tiada keperluan untuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana desakan supaya sekolah vernakular ditutup bukanlah satu serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi adalah satu usaha untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, Lim Guan Eng lah yang perlu menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana membuat pelbagai dakwaan membabi-buta yang bertentangan dengan fakta-fakta sejarah dan fakta-fakta perundangan negara.

Usahlah bercakap berdegar-degar mengenai usaha untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan kalau kenyataan media pun hanya dibuat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin sahaja.

RUJUKAN:

  1. Tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 November 2014 bertajuk “Malaysian Education” yang boleh dibaca di sini: http://chedet.cc/?p=1526
  2. Kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pada 5 Mei 2013 bertajuk GE13: “No need for two-thirds to govern” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/story/?file=/2013/5/5/nation/13069018 atau di sini: https://jebatmustdie.wordpress.com/2013/05/06/no-need-for-two-thirds-to-govern/ dan Kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pada 18 September 2015 bertajuk ‘Constitution does not protect vernacular schools’ yang boleh dibaca di sini: https://www.theedgemarkets.com/article/%E2%80%98constitution-does-not-protect-vernacular-schools%E2%80%99
  3. Kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah pada 9 Oktober 2014 bertajuk “Tiada peruntukan SJK dalam Perlembagaan” yang boleh dibaca di sini: https://www.malaysiakini.com/news/277038
  4. Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada 1 Disember 2008 bertajuk “Scrap vernacular schools, one system for all” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/12/01/mukhriz-scrap-vernacular-schools-one-system-for-all. Kenyataan ini telah disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Disember 2008 di mana sokongan ini boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/12/14/mahathir-format-of-schools-makes-unity-difficult
  5. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Jun 2018 bertajuk “Without vernacular schools, people will be more united” yang boleh dibaca di sini: https://twentytwo13.my/issues/dr-m-without-vernacular-schools-people-will-be-more-united/
  6. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 2018 bertajuk “Vernacular schools a stumbling block to unity” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/10/28/multistream-education-to-nations-advantage
  7. Tulisan Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff pada 30 November 2014 bertajuk “Presiden Umno mengelirukan para perwakilan dalam isu penutupan Sekolah Cina dan India?” yang boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=875656829145043&id=100001022016761
  8. Tulisan Prof Emeritus Dr Isahak Haron, Prof Dr Mohd. Sahandri Gani Hamzah dan Dato’ Abdul Raof Husin di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran pada 1 September 2020 yang boleh dibaca dengan menghubungi Pengarah Konvensyen.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 7/9/2020

Komen Weblog Ibnu HasyimMenurut Dr Kamarul Zaman, menteri PH rupanya bodoh!  Patutlah PH merudum cepat..

Hibur Hibur Sikit
Baik didengar oleh perasuah-perasuah!!

Peluang kerja di Makkah

 RAMLI fokus  ketika  mengendalikan tren bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

Kuala Lumpur: Bukan mudah bergelar pemandu tren monorel. Tambahan pula, perkhidmatan pengangkutan awam itu masih menggunakan 100 peratus khidmat pemandu dari segi kawalan.

Berkongsi pengalaman, seorang pemandu tren monorel Ramli Masdar berkata, dia bertanggungjawab menjaga kawalan seperti mengemudi dan had kelajuan, melakukan pengumuman stesen dan mengawal sistem pintu serta penumpang.

"Apa yang penting fokus dan tumpuan ketika memandu. Ia sama seperti apabila kita memandu di jalan raya, tidak boleh leka supaya sebarang rintangan atau masalah dapat diatasi dengan baik," katanya.

Jelasnya, ia berbeza dengan tren yang bergerak secara automatik yang dikendalikan sepenuhnya oleh menara kawalan, sekali gus lebih memudahkan.

"Namun, saya masih perlu berhubung dengan menara kawalan bagi melaporkan maklumat," katanya.

Ramli antara pemandu terawal tren monorel sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada 31 Ogos 2003.

Kini, monorel dengan jajaran sepanjang 8.6 kilometer (km) yang menghubungkan laluan dari KL Sentral ke Titiwangsa masih lagi menggunakan sistem sama walaupun sudah beroperasi 17 tahun.

"Jika dulu, memang ada banyak masalah, tetapi sekarang semua operasi bertambah baik. Setiap hari kita buat penyelenggaraan kerana keselamatan penumpang keutamaan. Inilah kelainan bagi monorel berbanding pengangkutan awam lain mengikut kesesuaian jaraknya," katanya.

Bagaimanapun, pengalaman anak jati Batu Pahat, Johor selama 16 tahun itu turut membawanya menjadi antara lebih 500 petugas Malaysia yang terbabit dalam pengendalian selama tiga tahun pengoperasian tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Makkah bermula 2015.

"Apabila ditawarkan untuk bekerja di Makkah, saya terus merebutnya tanpa berfikir panjang. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di sana.

"Kerana itu, saya sentiasa bersedia untuk bertugas di Makkah bagi mengendalikan operasi haji sekiranya terdapat lagi peluang seperti ini pada masa hadapan," katanya.

MMMSL membabitkan jajaran sepanjang 18.1 km merentasi sembilan stesen yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, diiktiraf sebagai pengangkutan paling padat dan tersibuk di dunia.

Istimewanya, ia hanya beroperasi khusus untuk musim haji bagi membawa kira-kira dua juta jemaah dari Dunia Arab dan Asia Selatan, yang ditempatkan berhampiran stesen.

"Tren beroperasi 24 jam, tetapi hanya bagi tempoh tujuh hari. Memang singkat, tetapi sangat mencabar bukan sahaja kerana jumlah penumpang yang ramai pada satu-satu masa, tetapi juga cuaca panas.

"Berbeza dengan tren monorel, MMMSL tren yang panjang kerana mempunyai 12 gerabak dan secara keseluruhannya terdapat 120 pintu keluar masuk," katanya.

Bukan itu sahaja, bekas tentera ini juga berkesempatan menunaikan ibadah haji sepanjang tempoh berkhidmat di sana.

"Alhamdulillah, ia (tunai haji) kenangan manis yang paling tidak boleh lupakan. Mungkin berkat berkhidmat memudahkan tetamu Allah SWT, Allah SWT juga mempermudahkan urusan saya," katanya.

(MyMttro)

Sambungan dari..


Hibur Hibur Sikit


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails