Monday, September 21, 2020

Ajaran sesat 'Rasul Melayu' kembali aktif

 

(GAMBAR fail) Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam, mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya 'rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, 59, selepas mahkamah menolak rayuannya. FOTO arkib NSTP

Shah Alam: 'Rasul Melayu' yang kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza, di sini, malam tadi.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Abdul Kahar Ahmad ditahan di sebuah rumah di Kemensah, Ulu Klang selepas empat tahun dibebaskan.

"Dia bersama 16 pengikutnya yang berumur lingkungan 14 hingga 70 tahun ditahan di tiga rumah di Kemensah di Ulu Klang, Sungai Long di Kajang dan Keramat, Kuala Lumpur dalam satu Operasi Khas Penguatkuasaan JAIS ke atas kumpulan itu.

"Penahanan itu susulan risikan dan maklumat orang awam yang banyak membantu menyalurkan maklumat sejak beberapa bulan lalu sehingga JAIS berjaya menahannya malam tadi.

"Dia dipercayai mengamalkan Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Mesra Media 2020 di SACC di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, melalui risikan dan maklumat awam yang diterima oleh JAIS, ajaran ini dipercayai kembali aktif dengan modus operandi baru.

"Mereka menggunakan kumpulan WhatsApp dan kumpulan Facebook untuk berinteraksi dengan pengikut, berkongsi pandangan dan sebarkan ajaran," katanya.

Beliau berkata, mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu); Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu) dan Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

"Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa); Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan).

"Dalam operasi itu, JAIS turut menyita buku-buku, telefon bimbit, komputer riba, Al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran," katanya.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan lapan perempuan dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut.

"Dalam kumpulan WhatsApp itu ada kira-kira 97 orang, yang ditahan 17, jadi JAIS sedang mengesan saki baki ahli kumpulan ajaran sesat ini.

"JAIS juga sedang menyiasat, memperhalusi dan memperincikan 17 lagi kumpulan ajaran sesat termasuk beberapa ajaran sesat yang baru," katanya.

Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat, sementara pada Mei 2016 dia dibebaskan. (Mymetro)


Mahkamah kekalkan LTTE sebagai pengganas

 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan pemandu teksi, V. Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas. 

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Balamurugan selaku pemohon kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya semalam. 

Omar Kutty berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan tersebut sepatutnya difailkan dalam masa tiga bulan selepas LTTE diwartakan sebagai kumpulan militan pada 2014. 

“Balamurugan juga telah lepas bebas daripada tuduhan LTTE,  jadi dia sudah tiada locus standi untuk memfailkan permohonan itu. Mahkamah menolak permohonan tersebut tanpa sebarang perintah terhadap kos,” katanya. 

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali bertindak bagi pihak responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. 
 
Pada 6 Februari lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Balamurugan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman  terhadap Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. 

Balamurugan, 38, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 8 Januari lalu, bagi memohon suatu perintah certiorari untuk  membatalkan  serta-merta butiran mengenai LTTE dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 November 2014.

Dalam permohonan itu, Balamurugan memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Februari lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Balamurugan daripada lima pertuduhan berkaitan LTTE selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap tertuduh. – BERNAMA

Gambar atas, Peta Tamil Eelam menunjukkan Malaysia adalah salah satu negara yang termasuk dalam tanah tuntutan mereka atas nama The Greater Tamil State.

Hibur Hibur Sikit

Jom segera selesaikan masalah ini.. -Jofri Jaraiee

 

Pesakit buah pinggang, kanser perlukan perhatian

LINA Anyie adalah salah seorang pesakit buah pinggang di Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri (MRCDC) sejak 10 Julai 2008. Seorang ibu tunggal dan tidak bekerja.

Membiayai rawatan dialisisnya 3 kali seminggu seumur hidup di bawah subsidi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dia adalah penerima bantuan bulanan dari JKM sebanyak RM200 dan pencen hilang upaya PERKESO mendiang suaminya sebanyak RM300 sebulan.

Dia tinggal di rumah yang sama dengan anak perempuan dan menantunya (pesakit barah tahap 4) dan cucu angkat.

Ong Ching Chai, 46 tahun juga merupakan pesakit barah tahap 4 (Tahun 2020). Telah menerima rawatan kemoterapi di hospital Kuching sebanyak 6 sesi (Februari – September 2020)

Dia dulu bekerja sebagai mekanik tetapi sejak dia sakit dia tidak lagi dapat bekerja. Penerima elaun bulanan JKM mulai September 2020. Dalam proses memohon pencen hilang upaya dari PERKESO. Mempunyai isteri dan anak angkat (6 tahun). Tinggal di rumah bersama Lina Anyie (ibu mertua).

Mereka mengadu masalah mereka dengan PAS Miri agar pihak berwajib dan pihak berkenaan mengambil tindakan segera. Antara masalah yang perlu diatasi dengan segera adalah: 

(1) Kerana menantunya (Ong Ching Chai) disahkan oleh doktor dengan barah tahap 4 dan dia terpaksa berhenti bekerja. Kesannya, mereka tidak mampu membayar sewa (RM550) sebulan.

(2) Mereka terpaksa berpindah ke rumah abang angkat Lina Anyie di kawasan setinggan Piasau Utara, Miri, Sarawak. Rumah ini telah lama tidak didiami dan usang.

(3) Keadaan rumah itu sangat usang dan tidak ada bekalan elektrik. Sementara itu mereka berkongsi paip air dengan jiran mereka di sebelah.

(4) Kos pengangkutan Lina Anyie (pesakit buah pinggang di Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri (MRCDC) berulang-alik dari rumah ke MRCDC (3 kali seminggu atau 12 @ 13 kali sebulan) dengan kos RM300 sebulan. 

(5) Kos setiap rawatan kemoterapi Encik Ong Ching Chai di Hospital Kuching, Sarawak. Lebih kurang RM600 – RM700 (tambang tiket bas dan perbelanjaan makanan dan minuman selama 2 minggu). Puan Penny akan menemani suaminya setiap kali menjalani kemoterapi di Hospital Kuching.

Ini adalah keluhan mereka kepada PAS Miri, keadaan rumah yang usang perlu segera diperbaiki dan mereka juga telah memohon tanah dari jabatan tanah dan ukur dan juga dari Temenggong Ketua masyarakat kaum Kayan bahagian Miri untuk skim PPRT apabila ada pemberian tanah. Begitu juga, kos pengangkutan rawatan mereka sangat diperlukan untuk meringankan beban mereka.

Kami menggesa pihak berkuasa dan pihak-pihak yang berkenaan untuk segera membantu menyelesaikan masalah ini tanpa mengira bangsa dan agama. Kerjasama dengan pihak yang terlibat amat dihargai.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak 

Merenung Kehidupan Tempua Ini, Tergambar KebesaranNya..

 

Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong

Ungkap Rahsia Yang Maha Agung
Sarang burung tempua jadi tarikan

KEINDAHAN desa permai dengan kicauan burung pelbagai spesices berwarna-warni bertengek di atas pepohon menghijau dan ada berterbangan bebas di ruang angkasa antara pemandangan indah alam semula jadi yang begitu mendamaikan.

Suasana itu membuatkan sesiapa sahaja leka sambil fikiran tenggelam melayang, mungkin mengingatkan imbauan kenangan manis zaman silam. Bagi pasangan muda-mudi hangat bercinta, pasangan suami isteri saling menyayangi dan mungkin juga ada insan yang sedang berduka lara inilah saat mereka melayan perasaan.

Di Kampung Rumput Minyak, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah umpamanya mempunyai tarikan tersendiri yang mampu mengetuk pintu hati bukan sahaja penduduknya, malah pengunjung luar untuk melihat burung tempua berwarna-warni membuat sarang di atas pokok, sekali gus menghiasi suasana di situ, sejak 10 tahun lalu.

Keunikan sarang burung tempua dahulunya hanya dapat dilihat di kawasan hutan dan penempatan terpencil.

Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong
Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong

Penduduk, Nadri Ghazali,37, berkata kehadiran burung di kawasan kampung itu menjadi tarikan penduduk untuk melihatnya menganyam sarang sehingga membentuk pemandangan berbeza di daerah berkenaan.

"Saya mula perasan burung tempua atau burung cak raya ini membuat sarang sejak 10 tahun lalu, selepas projek kuari batu berhampiran kampung ini beroperasi.

"Mungkin habitatnya sudah terancam apabila bukit berdekatan ditarah, sehingga kini lebih 200 sarang burung sudah 'dibina' pada pokok kelima dan kelapa di sini.

"Sarang diperbuat daripada helaian halus rumput yang dianyam dengan rapi membentuk struktur seperti kon yang tergantung dari dahan pokok. Ini menjadikan ia unik dalam pelbagai segi," katanya.

Sarang bagi burung tempua jantan berbeza dari segi rekaan, bentuk, struktur dan saiz. Sarang burung tempua jantan mempunyai tempat bertenggek baginya menunjuk-nunjukkan dirinya.

Bagi sarang burung tempua betina mempunyai bahagian bawah yang melengkung bagi menyimpan telur. Sarang burung tempua kerbau (buffalo-weavers), bagaimanapun, membina sarang besar yang tidak kemas dan mungkin mempunyai beberapa sarang bulat yang dianyam dalamnya.

Nadri menunjukkan sarang burung tempua diperbuat daripada helaian halus rumput yang dianyam rapi. - Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong

Seorang lagi penduduk, Lu Soon Hock, 70, berkata beliau sangat kagum melihat burung itu membuat sarang dan menganggapnya sebagai terapi minda yang menenangkan.

Katanya, burung itu sanggup terbang beratus kali untuk mengambil rumput dan daun padi dari kawasan sawah berdekatan.

"Tiada penduduk yang mengganggu burung membuat sarang di sini, rata-rata penduduk akan singgah dan ada yang leka melihatnya pada waktu petang. Ia menjadi pemandangan yang sangat indah di sini.

"Saya lihat burung ini hidup dalam 'komuniti' mereka sendiri, mereka bijak bersosial, tahu membina sarang sendiri tanpa ada gangguan daripada manusia mahupun haiwan lain," katanya.

Jurugambar dan pemerhati unggas, Shaiful Azhar Abu Bakar, 52, berkata habitat burung tempua sangat banyak di negeri ini berikutan ia mudah mencari makanan di sawah manakala daun padi dan rumput yang segar digunakan untuk membuat sarangnya.

Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong
Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong

Katanya, keunikan sarang burung tempua yang terjuntai di dahan-dahan pokok mempunyai tarikan tersendiri kerana kekemasan buatannya yang hanya menggunakan paruh.

"Burung tempua jantan biasanya mempunyai warna lebih terang berbanding dengan burung tempua betina dan membuat sarang yang cantik untuk ditayangkan kepada burung tempua betina.

"Pemerhatian saya mendapati sarang burung tempua jantan mempunyai lubang dari bahagian bawah dan ada tempat untuk bertenggek bagi memikat burung tempua betina.

"Sarang burung tempua betina pula mempunyai pintu masuk agak berbeza dan ada bahagian melekuk untuk burung betina menyimpan telur," katanya yang berpengalaman 10 tahun dalam pemerhati unggas.

Shaiful atau lebih dikenali sebagai A'Pong berharap agar pihak berwajib dapat memperkenalkan kawasan habitat burung di negeri ini sebagai produk baharu pelancongan di Kedah.

Foto Amran Hamid dan Ihsan A’Pong

Beberapa habitat burung tempua serta burung lain turut dikenal pasti beliau di tempat lain antaranya di sekitar Gunung Keriang dan Kepala Batas.

Katanya, sarang burung tempua di Kampung Rumput Minyak boleh menjadi salah satu tarikan pelancong terutama kepada pecinta burung berikutan lokasinya yang tidak jauh dari Pekan Tunjang.

"Kedah kaya dengan habitat dan sebagai tempat persinggahan burung yang berhijrah sebelum terbang ke wilayah lain.

"Bagi habitat sarang burung tempua ia tidak bermusim, pengunjung boleh melihat keunikan sarang burung ini bila-bila masa sahaja, ia burung yang sangat rajin kerana saya pernah membilang rumput atau daun padi yang digunakan adalah kira-kira 1, 500 hingga 2,000 helai untuk setiap sarang.

Kawasan itu juga boleh diperkenalkan kepada jurugambar dan peminat burung di seluruh negara sekali gus akan menarik ramai pengunjung untuk pergi melihat dengan lebih dekat habitat burung itu,"katanya

Keunikan sarang burung tempua di Kampung Rumput Minyak, Tunjang, Kubang Pasu mampu menarik pengunjung khasnya jurugambar dan pemerhati unggas. - Foto Amran Hamid/BH

INFO: Burung Tempua

•Kebanyakan burung jantan berwarna terang, biasanya merah, kuning atau hitam

•Dikenali kelebihan membina sarang yang besar dijalin daripada rumput dengan pelbagai bentuk bergantung kepada spesies.

• Mempunyai keupayaan khas menganyam sarangnya.

•Sarang mempunyai struktur besar dianyam daripada rumput dan ranting tergantung pada dahan pokok.

•Mempunyai laluan masuk yang menjulur.

•Sifatnya hidup berkawan dan sering membiak dalam kelompoknya.

- FotoAmran Hamid dan Ihsan A’Pong

Allah Maha Kreatif @ burung Tempua (Video)

Al-Quran Seberat 70 Kilogram Dipamerkan di Istanbul

 

Al-Quran yang dikenali sebagai yang terbesar di Turki, mendapat perhatian yang sangat besar.

Al-Quran, yang dipamerkan di halaman Masjid Büyük Çamlıca di Istanbul, mempunyai berat 70 kilogram.

Para pelawat yang datang dari seluruh penjuru dunia berduyun-duyun datang ke Masjid Büyük Çamlıca untuk melihat Al-Quran gergasi dengan dimensi 71-98 sentimeter, yang mengambil masa selama dua tahun untuk menyediakannya. (IH)

Gigit kemaluan perogol sampai putus..

 

Rio De Janeiro: Seorang wanita membuat laporan polis di Brazil apabila menggigit alat sulit seorang lelaki hingga putus dalam percubaan mempertahankan diri daripada dirogol.

Wanita dikenali sebagai Bruna itu mengakui melakukan tindakan berkenaan kepada perogol terbabit pada 5 September lalu.

Portal Kompas melaporkan tindakan itu dilakukan untuk mempertahankan diri selepas perogol dikenali sebagai Pedro yang juga jirannya cuba menyerangnya.

Kejadian berlaku di Miguel Alves, utara Brazil apabila Bruna sedang bersama lelaki lain ketika Pedro berusaha memperkosanya.

Dalam video yang tular, Bruna mendakwa Pedro menolaknya ke katil dengan sekuat hati sebelum cuba merogolnya.

Bruna mengaku menggigit anu Pedro dua kali sehingga alat sulit lelaki itu putus.

Laporan media tempatan mengatakan lelaki itu sebenarnya bekas kekasih Bruna dan cuba menyerang wanita itu kerana cemburu apabila cintanya ditolak.

"Pedro naik ke katil dalam keadaan berbogel dan tidak membiarkan lelaki (yang bersama Bruna) membuka pakaian, dia (Pedro) mengatakan kini gilirannya," kata Bruna dalam satu video yang menjadi tular.

Katanya, Pedro menarik rambutnya dan dalam usaha melepaskan diri, dia menggigit alat sulit Pedro sehingga putus.

"Wanita tiada kekuatan seperti lelaki, jadi saya sasar titik lemah dia," katanya. -Agensi.


Hibur Hibur Sikit

Saudi tidak pernah umum kebenaran tunai umrah

 


KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pengumuman rasmi dari Kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu disentuh beliau dalam pertemuannya dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan, lima hari lepas.

“Saya bertemu dengan Duta Arab Saudi lebih kurang empat hari lepas, saya ada utarakan. Rasa-rasa bila (agaknya) visa umrah secara rasmi dibuka, dan beliau nyatakan setakat ini tidak ada pengumuman rasmi mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa ‘Sehati Sejiwa’ 2020 di sini, kelmarin.

Mengenai program berkenaan, Zulkifli berkata ia merupakan projek perintis sebagai sebahagian daripada insiatif bagi mengurangkan kadar penceraian dalam negara.

Kursus yang dihadiri 15 pasangan suami isteri itu diadakan khusus bagi memantapkan ilmu dan pengetahuan peserta ke arah mengukuhkan keharmonian rumah tangga bagi mendepani pelbagai cabaran kehidupan termasuk ujian pandemik COVID-19. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails