Monday, October 12, 2020

Ismail Sabri: Gesa lebih tegas terhadap pub &kelab malam yang degil..


HALAMAN HIBURAN

PBT Digesa Tarik Lesen Pub, Pusat Hiburan Langgar PKPP

Menteri Pertahanan Ismail Sabri menggesa majlis tempatan lebih tegas terhadap pub dan kelab malam yang berdegil meneruskan operasi ketika di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bertujuan untuk mengurangkan penyebaran Covid-19.


Ismail berkata walaupun telah banyak kelonggaran selama fasa pemulihan yang bermula pada 10 Jun, bar dan kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi.

"Suka saya ingatkan walauapun PKPP kita berikan banyak kelonggaran tapi pusat hiburan seperti bar, kelab malam dan seumpamanya masih tidak dibenarkan beroperasi.

"Ramai lagi nampaknya masih melakukan kesalahan berkaitan pusat hiburan. Kita telah minta pihak PBT (pihak berkuasa tempatan), yang mana tempat masih anjur aktiviti hiburan ini sepatutnya lesen mereka ditarik balik dan perniagaan mereka ditutup.

"Kita harap tindakan lebih tegas daripada pihak PBT," katanya pada sidang media di rumahnya yang disiarkan secara langsung.

Ismail kini menjalani kuaranti selepas terlibat dalam mesyuarat yang sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kemudiannya positif untuk Covid-19.

Kenyataan Ismail itu dikeluarkan setelah sebahagian besar tindakan polis semalam melibatkan pelanggaran yang berkaitan dengan tempat hiburan.

Katanya, polis semalam mengambil tindakan terhadap 674 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengeluarkan 563 kompaun, sementara 91 orang direman.

Dia mengatakan hampir separuh daripada kesalahan itu, atau 325, berkaitan dengan tempat hiburan.

Dia menambah bahawa 170 orang pesalah melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka, 80 tidak mencatat maklumat mereka ketika mengunjungi premis perniagaan dan 53 orang gagal mengamalkan penjarakan sosial.

"Jadi SOP asas ini masih tidak dipatuhi individu tertentu. Saya amat harapkan kita semua patuhi SOP," katanya.

Kerajaan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang menyaksikan hampir semua kegiatan ekonomi dan sosial dihentikan.

Bagaimanapun, susulan penurunan kes, peraturan dilonggarkan di bawah PKP Bersyarat pada 4 Mei dan kini dalam PKP Pemulihan yang akan berlangsung hingga akhir tahun.

Di bawah PKPP, hampir semua aktiviti dibenarkan untuk beroperasi tetapi dengan SOP tertentu.

Walau bagaimanapun, premis hiburan tertentu seperti kelab malam masih tidak dibenarkan dibuka.

Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Sunday, October 11, 2020

Cubaan Pecah-perintah PH-Anwar Melalui Mengadap Agung.. - Dr Mohd Khairuddin

 

Kesatuan 3 parti gerunkan Anwar dan PH

KUALA NERUS: Muafakat Nasional (MN) bukan hanya antara PAS dan Umno tapi juga telah disertai oleh Bersatu.

Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dipayungi oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai kerjasama politik nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kesatuan antara 3 parti ini dalam MN melibatkan semenanjung sangat digeruni oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketegasan itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini.

Tambahnya, percubaan pecah dan perintah sedang dibuat oleh PH khususnya Anwar antaranya menerusi percubaan mengadap Yang DiPertua Agong membawa senarai nama MP Umno yang kononnya menyokong beliau.

Khairuddin berkata, sepertimana penjelasan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamid dan juga Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agong BN, Ahli Parlimen Umno bertindak secara en bloc dalam memberikan dukungan kepada kerajaan PN bersama-sama Ahli Parlimen PAS.

“PAS, Umno dan Bersatu bekerjasama untuk memperkasakan kerajaan yang mempertahankan kepentingan Melayu-Islam dan memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Ini suatu yang gagal diberi jaminan oleh PH khususnya DAP yang tersangat tidak mesra Islam dan Melayu. Apa yang penting ialah kerajaan bersama Umno, PAS dan Bersatu dan parti-parti lain terus mengukuh bagi melaksanakan amanah rakyat sebagai kerajaan prihatin.

“Ahli-ahli PAS dan Umno jangan terperangkap dengan mainan cyber trooper untuk menimbulkan kesangsian terhadap sokongan bulat kepada kerajaan PN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2020

Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Masalah sawit: Gunapakai saluran G2G (kerajaan-ke-kerajaan)..

 

Pengumuman Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada 30 September lalu bahawa minyak dan produk sawit Felda Global Ventures (FGV) yang kini dikenakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO), mengejutkan Malaysia - yang pada dasarnya menghalang kemasukannya di pelabuhan.

Menurut CBP, WRO dikenakan susulan 'hasil penyelidikan selama setahun yang menunjukkan penggunaan buruh paksa, termasuk penyalahgunaan kerentanan, unsur tipu muslihat, pembatasan pergerakan, pengasingan, kekerasan fizikal dan seksual, ugutan serta ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, perhambaan hutang, keadaan kerja dan kehidupan yang ditindas serta kerja lebih masa yang keterlaluan.

Siasatan juga menimbulkan kebimbangan bahawa ada potensi buruh paksa kanak-kanak yang digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.

Sebelum WRO dikenakan, CBP sudah menerima petisyen daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) pada 2019 yang mengandungi beberapa tuduhan terhadap FGV. Tuduhan dibuat bersandarkan petikan beberapa sumber, termasuk satu artikel Wall Street Journal yang diterbitkan pada 26 Julai 2015.

FGV mengakui beberapa tuduhan terbabit adalah fakta pada masa itu. Namun, kebanyakannya diperbaiki mulai Disember 2018 dengan satu isu utama berkaitan regulasi pekerja asing di Sabah yang sepatutnya diselesaikan pada akhir 2019.

FGV secara tegas menyatakan, dalam kes Semenanjung, amalan menggunakan tenaga kerja yang disediakan kontraktor dilarang pada November 2018 dan seterusnya.

Oleh itu, semua pekerja asing dalam operasi FGV di Semenanjung diperoleh secara langsung dari negara asal mereka menggunakan agensi pengambilan yang diiktiraf dan diluluskan kerajaan masing-masing.

Sekarang, sebagai tindak balas kepada WRO, FGV harus menyoroti dan mengulangi tindakan pemulihan dan pembetulan yang dilakukannya selama lima tahun terakhir, iaitu sejak isu buruh paksa muncul dalam wacana umum. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada:

Pertama, tiada pengambilan pelarian. Mulai tahun ini, FGV merekrut pekerja migrannya terutama dari India dan Indonesia melalui saluran dan proses yang sah di sisi undang-undang dan diluluskan pihak berkuasa Malaysia dan negara sumber.

Kedua, penyimpanan pasport pekerja tidak lagi diamalkan dan diperkuat dengan pemasangan 32,250 kotak keselamatan di seluruh 68 kompleksnya. Ia sebagai pilihan bagi pekerja migran untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.

Ketiga, penyediaan perumahan yang mencukupi. Selama tiga tahun terakhir, FGV melabur kira-kira RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerjanya dengan membina kediaman baharu di ladang seluruh negara.

Keempat, penyediaan faedah penjagaan kesihatan. Ia meliputi perbelanjaan tahunan untuk rawatan pesakit luar dan peruntukan tidak terhad untuk rawatan pesakit dalam.

Kelima, keahlian Persatuan Buruh Adil (FLA). FGV kini melaksanakan rancangan tindakan jangka panjang dan menyeluruh yang merangkumi sejumlah inisiatif untuk memperkukuhkan lagi pelbagai aspek amalan pekerjanya seperti proses pengambilan pekerja, program latihan hak asasi manusia, keadaan kerja dan kehidupan serta mekanisme aduan antara lain.

FGV perlu segera perbetul tuduhan negatif industri sawit

Walaupun bahagian eksport FGV ke AS hanya lima peratus, yang penting bukan kos ekonomi dan kewangan, tetapi juga kesan reputasinya di luar negara dengan kesan seterusnya terhadap FELDA sendiri dan secara amnya, pekebun kecil FELDA.

Oleh itu, pertama sekali, tuduhan harus diaudit dan disahkan dengan teliti berdasarkan bukti oleh pihak ketiga – yang dilantik CBP (dengan persetujuan NGO yang berpusat di AS, sebagai kepastian, jika perlu) dan FGV.

Kini, ia sangat sukar untuk mengesahkan dakwaan CBP bersama NGO yang berpusat di AS adalah mutakhir dan konklusif.

Jika CBP menolak permintaan FGV untuk menyerahkan laporan dibuat NGO berpusat di AS, maka pengenaan WRO boleh dianggap tidak adil dan berat sebelah. Asas bukti keputusan mengeluarkan WRO tidak dapat ditentukan secara objektif.

Apa lagi dapat dilakukan FGV untuk meredakan kebimbangan yang ditimbulkan NGO berpusat di AS dan 'menyelamatkan' reputasinya? Ini membawa kita kepada ulasan kedua.

FGV harus melabur bersama dalam pembuatan dokumentari yang dapat disahkan secara bebas oleh pihak NGO mengenai keadaan pekerja asing di ladangnya.
Pegawai CBP dan NGO yang berpusat di AS juga harus diundang untuk melihat sendiri kemajuan dan penambahbaikan dilakukan untuk mengatasi kekurangan dalam pemerolehan tenaga kerja dan juga penjagaan pekerja asing di ladang milik FGV.

Akhir sekali, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri harus mendampingi rakan sejawat masing-masing di AS.

Usaha juga harus digerakkan kedua-dua kementerian itu untuk menyelesaikan masalah yang melanda ini mengguna pakai saluran kerajaan-ke-kerajaan (G2G).

Penulis adalah Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research

Anwar miliki 123 AP, X termasuk Presiden UMNO &2 mantan PM?

 

Konsensus tubuh kerajaan tanpa DAP dan Anwar

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Kerajaan mesti bermuafakat dan meneguhkan tekad hati untuk menolak pelan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya mahu mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau yakin Ahli-ahli Parlimen Kerajaan kebanyakannya akan terus tetap setia kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didukungi bersama.

“Sebagaimana prinsip yang telah kita persetujui sebelum ini bahawa kita mahu menegakkan kerajaan tanpa DAP dan tanpa Anwar Ibrahim. Kerana saya juga yakin bahawa dakwaan yang disebut oleh Anwar itu tidak akan berjaya.

“Cuma mungkin kalau-kalau ada Ahli-ahli Parlimen di sebelah kerajaan yang diberikan tawaran yang boleh menggugat ataupun tawaran yang menarik.

“Perlulah diingatkan bahawa apa jua tawaran yang dikemukakan itu tidak berbaloi untuk kita menggadaikan masa depan rakyat dan negara dengan memberikan semula negara ini kepada kerajaan yang dianggotai oleh DAP,” ujarnya.

Anwar beberapa hari menjelang PRN Sabah membuat ‘kejutan’ apabila mendakwa dalam sidang medianya bahawa kerajaan Muhyiddin telah jatuh dan beliau mempunyai nombor yang sangat selesa untuk membentuk kerajaan baharu.

Sidang media yang turut mengejutkan serta tidak diketahui pimpinan-pimpinan utama Pakatan Harapan lainnya itu cuma dihadiri isteri Anwar, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha Agong PKR, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, banyak pihak termasuk penganalisis politik melihat tindakan tersebut hanya pengakuan kosong yang tidak dibuktikan dengan sebarang sandaran, bahkan dilihat mengulangi ‘drama September’ pernah dibuat Anwar sebelum-sebelum ini.

Malah, ramai yang sependapat ianya satu gimik politik untuk meraih sokongan dan mengganggu pertimbangan pengundi bagi PRN Sabah di mana setelah itu menyaksikan koalisi PH diketuai WARISAN gagal mempertahankan kerajaan mereka.

Lebih mengundang pertikaian apabila senarai nama yang tular dinafikan sendiri oleh Ahli-ahli Parlimen berkenaan kepada pihak media, malah ada juga tampil membuat laporan polis atas dakwaan tersebut.

Semalam, Anwar mengeluarkan pula satu kenyataan bahawa telah diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 13 September minggu depan.

Menurut Anwar, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana disebutnya sebelum ini.

Terdapat dakwaan bahawa Anwar sudah memiliki 123 Ahli Parlimen tidak termasuk Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dua mantan Perdana Menteri iaitu Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad. – HARAKAHDAILY 9/10/2020

Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Tiada Langkah Sheraton jika PH tidak berpecah -AP K/Krai.

 

Lim Kit Siang jangan berlepas tangan

CUKUPLAH menuding jari dan tuduh menuduh dalam isu penularan COVID-19. Usaha sekarang perlu difokuskan kepada menangani pandemik ini dari terus merebak dan dapat putuskan rantaian secepat mungkin.

Tuduhan Lim Kit Siang bahawa gelombang kedua adalah berpunca dari Langkah Sheraton manakala gelombang ketiga adalah disebabkan ‘ahli politik pintu belakang’ yang cuba membawa kepada kejatuhan Kerajaan Negeri Sabah.

Tiada Langkah Sheraton jika PH tidak berpecah. Dan lebih tepat lagi Langkah Sheraton sendiri memang tidak wujud kerana pertemuan malam itu hanya makan-makan dan balik. Tiada sebarang perbincangan dan perancangan.

Bahkan ‘Langkah Sheraton’ lah yang telah menyelamatkan negara ini. Belum tentu jika Pakatan Harapan (PH) masih lagi sebagai kerajaan mampu menangani pandemik wabak ini dan dapat menyediakan pelbagai pakej ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan. Kerana semua orang tahu 22 bulan sebagai kerajaan, kerjanya menyalahkan kerajaan terdahulu dan memotong sebahagian besar subsidi kepada rakyat.

Sama juga dengan Sabah. WARISAN-PH berpecah dan sebahagian ADUN telah hilang kepercayaan kepada Kerajaan WARISAN-PH.

Dalam masa yang sama PRN boleh dielakkan jika Shafie Afdal berjiwa besar dengan menyerahkan kerajaan kepada mandat baru sebagaimana Johor, Melaka, Perak dan Kedah yang bertukar kerajaan tanpa perlu kepada PRN.

Jika nak dipersalahkan, bermula gelombang pertama, adakah kerajaan di waktu itu tidak cuai dan memandang remeh kepada pandemik yang baru menular?

Boleh rujuk kenyataan beberapa orang Menteri di waktu itu khususnya Menteri Pelancongan.

Jadi marilah sama-sama kita berganding bahu membantu kerajaan dalam menangani krisis besar yang melanda negara ini. Jangan ada yang sibuk untuk menukar kerajaan kerana kononnya mempunyai bilangan yang mencukupi dan selesa bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Kita amat mengharapkan Lim Kit Siang dapat menasihati kawan baiknya supaya menangguhkan hasrat dan impian terlebih dulu. Belum tentu ‘Kerajaan Baharu’ nanti akan dapat melakukan yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
21 Safar 1442 | 9 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 9/10/2020

Gambar kenangan. Depan sekali, YB Abdul Latif Abd Rahman Timb Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan, NGO Negeri Kelantan (waktu itu), dalam penerbangan dari Beijing ke Urumqi, beberapa tahun lalu.

Protes Undang-Undang Cipta Kerja yang baru diluluskan..

 

Peserta dalam demonstrasi yang memprotes terhadap Undang-Undang Cipta Pekerjaan yang diluluskan baru-baru ini. - Foto EPA

Beribu ditahan, lebih 100 cedera. 3,862 peserta demonstrasi di seluruh Indonsia.

JAKARTA: Polis Kebangsaan Indonesia menahan seramai 3,862 peserta dalam demonstrasi di seluruh negara yang memprotes terhadap Undang-Undang Cipta Kerja yang diluluskan baru-baru ini.

Antara yang ditahan ialah pekerja, pelajar dan kumpulan 'anarki' di mana mereka adalah kumpulan melakukan vandalisme dan menghasut untuk mencetuskan rusuhan.

Jurucakap Polis Kebangsaan Indonesia, Inspektor Jeneral Argo Yuwono, berkata seramai 796 tahanan dikenal pasti sebagai anggota kumpulan 'anarki' dan kira-kira 1,991 yang lain adalah pelajar.

Jelasnya lagi, 145 penunjuk perasaan yang ditahan di seluruh negara termasuk di Sumatera Utara dan Selatan, Jakarta, Jawa Timur dan Sulawesi Selatan turut disahkan positif COVID-19 selepas ujian saringan dilakukan.

Seramai 27 penunjuk perasaan lain yang ditahan di Jakarta dan positif COVID-19 dikejarkan ke hospital kecemasan di Kemayoran, Jakarta Pusat.
Selain itu, 129 peserta perhimpunan dan orang awam di Jakarta yang cedera semasa tunjuk perasaan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Tunjuk perasaan yang berlaku di seluruh negara juga dikatakan berubah menjadi ganas di beberapa bahagian negara itu.

Aktivis dan pengkritik mengecam tindakan melampau anggota polis dalam menangani demonstrasi dengan mengatakan pasukan itu harus melindungi hak rakyat terhadap kebebasan bersuara. - AGENSI

Pekerja membersihkan kesan kemusnahan di Jakarta akibat protes terhadap undang-undang cipta pekerjaan yang diperkenalkan oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini. - Foto EPA
Anggota polis anti-rusuhan di Jakarta. - Foto EPA
Demonstrasi di Jakarta. - Foto EPA

Prof Shamsul Amri: Anwar X kan jadi PM. Apa Ulasan Dr Kamarul Zaman?

 

Anwar tak kan jadi PM – Prof Shamsul Amri

PROFESOR Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari KITA, UKM, adalah salah seorang ahli akademik tempatan yang sangat saya hormati kerana tahap keilmuan dan keberanian beliau yang tinggi.

Pada 19 Januari 2020 lalu, tatkala orang lain masih belum bercakap apa-apa mengenainya, beliau telah secara terbuka menyebut kepada sahabat saya, Philip Golingai, dalam akhbar The Sunday Star mengenai kemungkinan terjadinya dua perkara ini dalam tahun ini:
(1) Terbentuknya kerajaan baru yang dianggotai oleh BERSATU, Umno, PAS, puak Datuk Seri Azmin Ali dari PKR, parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta parti-parti lain.
(2) Parti-parti yang tidak dijemput menyertai kerajaan baru seperti puak Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan DAP pula akan membentuk barisan pembangkang yang baru.

Pada akhirnya, tidak sampai dua bulan kemudiannya, kedua-dua unjuran beliau ini telah benar-benar berlaku.Hari ini pula, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyebut dalam portal baru bernama MalaysiaNow mengenai tiga perkara ini, iaitu:
(1) Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak akan jadi Perdana Menteri.
(2) DAP tidak akan menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
(3) PAN akan tetap mengikut DAP kerana DAP ada duit.

Sama-samalah kita tunggu apakah ketiga-tiga unjuran beliau ini akan benar-benar berlaku.

Berita MalaysiaNow tersebut:

DAP hilang sokongan Cina jika sokong Kerajaan Melayu-Islam Anwar, kata penganalisis

Penganalisis Politik Shamsul Amri Baharuddin berkata, DAP sudah semestinya boleh mengagak “impak negatif” yang bakal diterima jika berkomplot dengan Anwar.

Katanya, ini kerana Anwar dikatakan disokong bekas penyokong kuatnya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan juga beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berdepan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.

“DAP kukuh dengan undi orang Cina. Mereka tidak akan menyertai Anwar, tidak mahu mengambil risiko kehilangan sokongan orang Cina,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

“Mereka memerlukan sokongan Cina yang kuat untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini ada di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.”

MalaysiaNow melaporkan sebelum ini pemimpin DAP “menyatakan dengan jelas” kepada Anwar 42 ahli Parlimen parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan bersama ahli Parlimen Umno “terutama mereka yang terpalit dengan kes rasuah”.

Zahid kini berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, merupakan yang tertinggi dalam kalangan bekas pemimpin kerajaan BN sejak tumbang pada tahun 2018.

Shamsul menambah, jika Anwar membawa orang-orang Umno terpalit rasuah dalam senarai “sokongan kukuh dan meyakinkannya”, akan berlaku perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bila perpecahan ini berlaku sebelum Anwar jumpa Agong, atau selepas jumpa Agong kalau ada undi tak percaya di Parlimen (kesannya Anwar gagal); dan jika Anwar dan pasukannya menang, Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan PRU15 dan saya lihat Anwar tetap tidak akan jadi Perdana Menteri ke-9,” katanya.

Shamsul menambah, Amanah (PAN) yang masih belum menyatakan pendirian tentang bekerjasama dengan pemimpin Umno terkait rasuah hanya akan mengikut sesiapa sahaja yang menggunakan kuasa “duit”.

“DAP ada duit untuk terus membuatkan Amanah (PAN) memberikan sokongan penuh kepada mereka.”

Sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2020/10/10/dap-hilang-sokongan-cina-jika-sokong-kerajaan-melayu-islam-anwar-kata-penganalisis/

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 10/10/2020

Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails