Monday, November 23, 2020

Berita gembira! Saudi lulus Visa Lawatan 2 hari SR100 & 4 hari SR300.

 

Foto Saudi Gazette

Arab Saudi lulus visa lawatan transit 48 jam, 96 jam

RIYADH: Arab Saudi meluluskan pengeluaran visa lawatan transit untuk tempoh sah 48 jam (dua hari) dan 96 jam (empat hari) masing-masing pada kadar SR100 (RM109) dan SR300 (RM327).

Saudi Gazette yang memetik laporan akhbar Umm Al-Qura di laman web akhbar itu melaporkan Majlis Menteri memutuskan untuk meminda perenggan Jadual Visa Lawatan, Haji dan Transit melalui darat, laut atau udara dalam hal berkenaan.

Keputusan Kabinet itu dibuat dalam inisiatif memperbaiki dan membangunkan peraturan yang berkaitan dengan visa kemasukan ke negara berkenaan.

Majlis Menteri memutuskan untuk meluluskan pindaan Perenggan 3 Jadual Struktur Visa Lawatan, Haji dan Transit dengan cara berikut.

• Visa transit untuk lawatan melalui udara, laut, atau darat, dengan tempoh sah 96 jam, dan jangka masa tinggal adalah 96 jam dengan kos SR300.

• Visa transit untuk kunjungan melalui udara, laut, atau darat, dengan tempoh sah 48 jam, dan jangka masa tinggal adalah 48 jam, dengan kos SR100. - AGENSI

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Arak: "..negara kita agak terkebelakang.." -T/Menteri JPM (Agama)

 

Larangan jual arak akan diperluas ke negeri lain

KOTA BHARU: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada  Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia hari ini.

Pada majlis itu,  beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang  dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu.

“Bagaimanapun, ini permulaan yang sangat baik walaupun hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dahulu,” katanya, menambah langkah itu juga bukan agenda politik. – BERNAMA


Lihat sebelum ini.. Arak: Tahniah Annuar Musa, &Sokong Saranan AP K/Kr...  -Ibnu Hassyim

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Siapa 'kuda tua' dalam politik Malaysia?

 

Pemimpin paling veteran dan masih aktif adalah bekas perdana menteri dan Presiden Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), yang kini berusia 95 tahun, diikuti pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, 81 (dua dari kanan). Perdana Menteri dan BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) kini berusia 73 tahun dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (73). - Foto NSTP

Dominasi 'kuda tua' masih selubungi politik negara

KUALA LUMPUR: Tatkala semakin banyak negara menyaksikan kemunculan pemimpin muda menerajui negara masing-masing, di Malaysia pula mereka masih belum menyerlah atau terus dibayangi golongan veteran.

Sanna Marin pada usia 34 tahun, menjadi perdana menteri termuda di dunia apabila menerajui kerajaan baharu Finland pada Disember 2019.

Wanita itu adalah di antara semakin ramai perdana menteri di bawah usia 40 tahun, selain Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 39; Oleksiy Honcharuk, 36, (Ukraine) dan Kim Jong Un, 35, (Korea Utara).

Untuk rekod, pemimpin-pemimpin kanan negara ini berada dalam lingkungan umur 65 hingga 95 tahun.

Pemimpin paling veteran dan masih aktif adalah bekas perdana menteri dan Presiden Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berusia 95 tahun, diikuti pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, 81, yang dilihat sebagai antara 'key player' dalam kemelut politik masa kini 'siapa ada majoriti di Dewan Rakyat'.

Kesemua yang lain juga bukan muda. Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berusia 73 tahun; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (67); Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (73); Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (72); dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu (66).

Walaupun ada ramai pemimpin muda yang aktif, antaranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (44); Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah (39); bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (27); bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan yang lain, namun mereka ini tidak diketengahkan dan masih dibayangi pemimpin veteran politik.

Sanna Marin (kiri) pada usia 34 tahun menjadi perdana menteri termuda di dunia, selain Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 39; Oleksiy Honcharuk, 36, (Ukraine) dan Kim Jong Un, 35, (Korea Utara). - Foto AFP

Wujud realisasi akan ketandusan jiwa muda dalam arena politik negara yang menyebabkan beberapa pemimpin muda termasuk Syed Saddiq cuba menyerlahkan pembabitan golongan muda dalam politik melalui platform politik MUDA. Tetapi mampukah mereka membawa perubahan.

Penganalisis politik, Dr Syahruddin Awang Ahmad, berkata fenomena dominasi 'kuda tua politik' ini berkait rapat dengan pengaruh elit politik dan bersifat paternalistik, iaitu masih mahu kekal sebagai idola dalam parti dan arena politik yang menyebabkan pemimpin muda atau pelapis gagal mendapat tempat bagi menggantikan pemimpin politik veteran berkenaan.

Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universti Malaysia Sabah (UMS) itu, berkata faktor kedua pula adalah budaya politik Malaysia yang masih mengikat pemikiran ahli parti dan pemimpin parti pertengahan (semua parti di Malaysia) agar akur dengan pemimpin veteran.

"Tanggapan ini adalah bahawa pemimpin veteran masih ada 'sengat', diingati jasa baktinya, malah paling tidak wajar pula, ada pemikiran yang bersifat beralah kerana menganggap pemimpin veteran ini ada aura.

"Kalau mereka ditiadakan dalam radar politik tanah air akan menyebabkan suasana politik menjadi tidak stabil," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berkata, pemimpin muda perlu bangkit dan bersuara menyatakan bahawa politik sebenar menyentuh aspirasi rakyat selain mencari jalan untuk membujuk pemimpin veteran dan ahli parti agar membuat perubahan 360 darjah daripada segi kepimpinan dan budaya politik agar sesebuah parti malah kerajaan yang memerintah, kekal relevan mengikut perubahan arus masa dan zaman.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir, menyifatkan golongan muda kurang mendapat kedudukan dan tempat dalam landskap politik negara dan ini berkemungkinan kerana rata-rata parti politik kurang berkeyakinan serta percaya terhadap kepimpinan orang muda.

"Apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada kepimpinan terdahulu. Ini adalah hasil 10 hingga ke 15 tahun lepas apabila mereka tidak melibatkan orang muda dalam arena politik, tiada peluang diberikan untuk mara ke hadapan dalam barisan kepimpinan parti.

"Sepatutnya beri mereka pendedahan. Apabila terlampau ramai pemimpin berusia, ia menyebabkan wujud jurang yang besar, jadi di mana wakil suara anak muda?" soalnya dan mengakui proses menggilap bakat kepimpinan daripada kalangan generasi muda bukan mudah kerana ia memerlukan masa dan kelayakan seseorang individu.

Menurut Jeniri, kredibiliti dan kelayakan pelapis itu juga tidak seharusnya disandarkan kepada latar belakang pendidikan semata-mata sebaliknya pengalaman politik, kemahiran komunikasi dan menyantuni rakyat juga perlu dititikberatkan dalam resume politik mereka.

Sementara itu, geostrategis yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan, berkata politik Malaysia banyak berkisar kepada sokongan akar umbi kepartian iaitu pengundi hanya memberi peluang kepada ahli politik yang terserlah ke hadapan.

"Orang muda bila aktif politik kepartian, terpaksa bermula dari bawah dan mengambil masa lama. Orang lama dalam parti pula sukar memberi peluang untuk anak muda membuat penampilan dalam parti. Bukan anak muda tiada bakat berpolitik, tetapi terlalu banyak kekangan yang dikenakan mereka yang lebih veteran.

"Pengalaman berpolitik memakan masa kerana sistem perkaderan parti mengikut hierarki. Tetapi jika parti memberi peluang terutama melalui cabang anak muda, maka kredibiliti anak muda dapat dipupuk lebih awal. Masalahnya cabang anak muda dalam parti itu selalu dibayangi oleh cabang yang dianggotai oleh ahli yang berpengalaman," jelasnya.

Beliau menarik perhatian, hakikatnya anak muda yang bergiat politik perlu digandingkan dengan mereka yang lebih berpengalaman supaya kredibiliti dapat dibentuk, namun kesemuanya memerlukan perancangan dan tidak akan berlaku secara spontan.

Azmi berkata, pengundi perlu turut memainkan peranan dalam memilih pemimpin baharu dan perubahan seperti dipamerkan pengundi Finland, New Zealand dan yang sedang berlaku di Singapura ketika ini apabila kumpulan pelapis dan proses penggantian pemimpin lama telah dirancang serta dimaklumkan kepada rakyat mereka. - BERNAMA

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Sunday, November 22, 2020

Anwar rayu batal saman sabitan kes liwat

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguamnya J.Leela, ketika dihubungi berkata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dibenarkan mencelah dalam prosiding rayuan itu telah memohon penangguhan sementara menunggu keputusan isu berkaitan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 18 November lepas.

“Permohonan Muhammad Shafee untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau bagi memadam afidavit Siti Rahayu (Mohd Mumazani) atau menyoal balasnya telah ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Januari tahun depan,” kata Leela.

Pada 29 November 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadam afidavit dan menyoal balas Siti Rahayu, yang juga pegawai khas bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
 
Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan Muhammad Shafee mencelah dalam prosiding rayuan Anwar dalam tindakan sivil beliau berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Siti Rahayu memfailkan afidavit menyatakan bahawa maklumat baharu yang diperoleh mendakwa sejumlah RM9.5 juta telah dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2013 dan 2014.

Anwar, dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, telah mendakwa bahawa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah. 

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar telah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Arak: Tahniah Annuar Musa, &Sokong Saranan AP K/Krai -Ibnu Hasyim.

 

Langkah DBKL perlu dicontohi PBT lain

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman menyambut baik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) berkuat kuasa 1 Oktober tahun hadapan.

Katanya, langkah itu tentunya menimbulkan kelegaan kepada rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan, malah menjadi satu lambang kesungguhan dan kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya yakin garis panduan baru ini juga akan dapat mengurangkan statistik pemandu mabuk yang memandu dalam keadaan merbahaya sehingga boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dalam hantaran itu, Abdul Latiff mengharapkan pihak berkuasa tempatan lain juga dapat mengikut jejak langkah yang di ambil DBKL.

“Alhamdulillah, di Kelantan pihak PBT-PBT telah 30 tahun melaksanakannya, bahkan lebih terkehadapan lagi iaitu tiada lesen penjualan arak di semua kedai runcit termasuk kedai serbaneka 24 jam kecuali yang mendapat lesen khas sahaja iaitu jumlah yang amat terhad.

“Sekalung tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan kementeriannya serta DBKL atas pelaksanaan garis panduan tersebut. Semoga ada kebaikan untuk rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Antara saranan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman ialah:

(i) Menimbulkan kelegaan kepada rakyat khususnya di W/Persekutuan, malah menjadi satu lambang kesungguhan dan kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

(ii) Yakin garis panduan baru ini juga akan dapat mengurangkan statistik pemandu mabuk. 

(iii) Mengharapkan pihak berkuasa tempatan lain juga dapat mengikut jejak langkah yang di ambil DBKL.

Jadi weblog ini menyokong penuh saranan YB AP  K/Krai tersebut.

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Kejohanan Memanah Simulasi Road To Tokyo kedua... 2 Otai Bertarung..

 

SUKAN
Pertembungan dua otai

Kuala Lumpur: Kejohanan Simulasi Road To Tokyo kedua yang berlangsung di padang Majlis Sukan Negara menyaksikan pertembungan dua pemanah senior negara iaitu Khairul Anuar Mohamad menentang Haziq Kamaruddin di pentas akhir, hari ini.

Pada aksi separuh akhir semalam menyaksikan Khairul yang juga sudah mengesahkan tempat ke temasya Sukan Olimpik Tokyo mudah menundukkan Muhammad Akmal Nor Hasrin 6-0.

Manakala Haziq membuktikan bahawa dia antara atlet terbaik negara ketika ini turut cemerlang menundukkan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli 6-2.

Jumlah keseluruhan mata yang diraih oleh Khairul Anuar adalah 683 sementara Haziq mengumpul 662 mata.

Bagi Khairul Anuar, kejohanan itu sedikit sebanyak membantu beliau dan rakan sepasukan mendapatkan kembali momentum dan perasaan seperti dalam kejohanan sebenar.

''Kita pun dah lama tak ada kejohanan jadi kejohanan simulasi ini amat membantu kami untuk lebih fokus seperti berada dalam kejohanan besar,'' katanya.

Tambah Khairul kejohanan simulasi ini juga dapat membantu dia memperbaiki teknik panahan sedia ada.

Sementara itu dalam aksi wanita, perlawanan akhir membabitkan saingan Nurul Azreena Mohamad Fazli menentang Nur Ain Ayuni Fozi di pentas akhir. Azreena mengumpul 640 mata manakala Nur Ain 626 mata selepas 72 panahan.



Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan Memanah menurut Hadis..

Bersabda Rasulullah S.A.W.
"Adakah kamu tahu bahawa kekuatan itu ada pada memanah? "

Telah dikhabarkan oleh Abdullah bin Muhammad Abu Qasim Al-Thaghari, katanya telah menceritakan kepada kami oleh Daud, katanya telah menceritakan kepada kami Mubarak iaitu Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya telah menceritakan kepada Abu Muslim dari Khalid bin Yazid, katanya: "Aku adalah seorang pemanah." 

Maka Uqbah bin Amir lalu dekatku sambil berkata:
"Sesungguhnya Allah Taala memasukkan tiga orang ke Syurga disebabkan oleh..

(i) satu anak panah, iaitu pemilik anak panah itu yang mengharapkan kebaikan daripadanya, 
(ii) pemanah (yang menggunakan anak panah itu) 
(iii) dan pembuat anak panah itu. 

Memanahlah kamu dan tungganglah kuda, sesungguhnya jika kamu memanah, lebih-lebih aku sukai dari kamu menunggang kuda, tidak sia-sia seseorang yang melatih kuda untuk permainan keluarganya dan melatih memanah dengan busur dan anak panahnya. 

Sesiapa yang meninggalkan memanah atas kehendaknya sendiri setelah mempelajarinya, sesungguhnya ia telah meninggalkan (semua ganjaran baik) ini atau telah mengingkarinya."

Diriwayatkan dari Rasullullah S.A.W. adalah baginda melihat seorang lelaki dari sahabat baginda yang dipanggil dengan gelaran Habib, badannya kurus dan ia pernah menjadi seorang pemanah. Maka bersabda baginda kepadanya, "Apa yang engkau lakukan dengan panahmu dan badanmu?". 

Dijawab oleh lelaki yang berada di samping Habib, "Dia telah meninggalkan memanah dan kini menumpukan kepada beribadat". 

Maka sabda Rasulullah S.A.W. :
"Demi Allah, yang mengutuskan aku dengan kebenaran, kerjamu sekarang ini (beribadat) tidaklah lebih utama dari kerjamu yang engkau telah tinggalkan itu (memanah). Oleh itu Habib kembalilah memanah".

Diriwayatkan dari mereka yang dipercayai bahawa Nabi S.A.W. telah bersabda:
"Sesiapa yang memanah satu anak panah dalam perang sabilillah, sama ada kena pada musuh atau tidak, adalah baginya satu martabat di sisi Tuhannya".

Dari sabda Nabi S.A.W.:
Sesungguhnya malaikat tidak akan hadir dalam permainan kamu yang sia-sia kecuali perlumbaan (pacuan) dan permainan senjata. Serta bersabda Nabi S.A.W.: "Pelajarilah oleh kamu memanah maka sesungguhnya di antara dua jarak memanah itu (jarak pemanah dan sasarannya) adalah bandingannya seumpama satu taman dari taman-taman Syurga" .

Diriwayatkan dari Ibrahim An-Nakhael, sesungguhnya ia telah berkata:
"Busur panah yang ada di rumah merupakan sokongan dalam mengerjakan sembahyang".

Telah bersabda Nabi S.A.W. :
"Memanahlah kamu wahai Bani Ismail, sesungguhnya datuk moyang kamu adalah ahli-ahli pemanah".

Bersabda Nabi S.A.W. ketika dalam peperangan Uhud :
"Panahlah olehmu wahai Saad (Saad bin Abi Waqas), aku pertaruhkan bapa dan ibuku ditanganmu".

Dari Salamah bin Al-Akwa’ radhiallahu anhu dia berkata:

مَرَّ النبيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُوْنَ فَقالَ: اِرْمُوا بَنِي إِسْماعِيْلَ فَإنَّ أَباكُمْ كَانَ رَامِياً

“Nabi shallallahu alaihi wasallam pernah melewati sekelompok Bani Aslam yang berlomba memanah. Lalu beliau bersabda, “Memanahlah kalian wahai anak keturunan Ismail, kerana sungguh ayah kalian adalah seorang pemanah.”
(HR. Al-Bukhari no. 2899)

Dari Uqbah bin Amir radhiallahu anhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda di atas mimbar:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ ما اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ، أَلآ إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، ألا إن القوة الرمي، ألا إن القوة الرمي

“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”
(HR. Muslim no. 1917)

Dari Uqbah bin Amir radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ عَلِمَ الرَّمْيَ ثُمَّ تَرَكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا أَوْ فَقَدْ عَصَى

“Barangsiapa yang tahu cara memanah lalu dia meninggalkannya maka dia bukan golongan kami atau sungguh dia telah bermaksiat.”
(HR. Muslim no. 1919)

Ringkasnya: 

Islam adalah agama yang kuat dan agama yang memerintahkan untuk senantiasa persiapkan kekuatan, menempuh semua wasilah dalam mengumpulkan kekuatan. Di antara bentuk persiapan kekuatan yang diperintahkan dalam Islam adalah memanah dan menembak. 

Nabi SAW menekankan sahabat dan umatnya agar bersemangat dan berlumba dalam mempelajarinya kerana kemampuan memanah dan menembak ini sangat diperlukan dalam jihad di jalan Allah dan dalam membela kaum muslimin. Dari sudut lain, Nabi SAW  juga sangat mencela orang yang mengetahui cara memanah baik tetapi meninggalnya tanpa uzur yang dibenarkan syariat.

Wallahu 'aklm.

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

Turki berjaya imbangi ekonomi sebab wabak Covid-19. Apa boleh dipelajari?

 


1. Turki Diantara Negara Yang Berjaya Mengimbangi Ekonominya yang Disebabkan Wabak Covid-19

Covid-19, yang mengancam ekonomi dan kesihatan manusia, menyebabkan kejatuhan ekonomi yang tidak dapat dilihat sejak Perang Dunia Kedua.

Krisis yang disebabkan oleh wabak jenis baru coronavirus (Covid-19) menjadikan ekonomi dunia di ambang jurang, potensi eksport Turki semakin menarik perhatian.

Covid-19, yang mengancam ekonomi dan kesihatan manusia, menyebabkan kejatuhan ekonomi yang tidak dapat dilihat sejak Perang Dunia Kedua.

Manakala pengeluaran di kilang di banyak negara terhenti, beberapa syarikat runcit terpaksa menutup kedai mereka. Kira-kira 500 juta pekerjaan hilang di seluruh dunia dalam beberapa minggu.

Manakala  Covid-19 menghancurkan hierarki tidak rasmi dalam ekonomi global, ekonomi seperti China menonjol sebagai "pemenang" krisis yang relatif, sementara ekonomi Kesatuan Eropah (EU) menonjol sebagai "pecundang".

Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh bank pelaburan UBS, yang beribu pejabat di Zurich, China diharapkan dapat meningkatkan pangsa pasarnya dalam pengeluaran ekonomi global sekitar 9 peratus pada periode dari 2019 hingga 2021.

EU dijangka kehilangan 3.5 peratus bahagiannya dalam ekonomi global antara 2019 dan 2021, kerana krisis Covid-19.

Selain EU, yang kalah termasuk Rusia dan selain Covid-19, ada juga England yang berjuang dengan Brexit.

Manakala Turki dan Korea Selatan adalah antara negara-negara pemenang, dinyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS), ekonomi terbesar di dunia, secara kasarnya akan mengekalkan kedudukan ini tahun depan.


2. Covid-19, Jumlah Pesakit Sembuh di Turki Cecah 338.239

Dalam perjuangan menghadapi wabak jenis baru coronavirus (Covid-19), di Turki kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan dalam masa 24 jam adalah 84 orang.

Dengan demikian jumlah orang yang kehilangan nyawa sejak awal wabak adalah 10,887.

Dalam tempoh yang sama, 141, 944 ujian dilakukan dan 2,516 kes baharu dikesan.

2,018 pesakit dibenarkan keluar dari hospital dan jumlah pesakit yang telah menyelesaikan rawatan dan sembuh adalah meningkat kepada 338,239.

(IH)

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails