Monday, November 23, 2020

Buka pusat hiburan bila dapat tempahan khas..

 

Klien boleh bawa GRO sendiri

Kuala Lumpur: Buka pusat hiburan apabila mendapat permintaan atau tempahan khas pelanggan tetap yang dipercayai sahaja.

Malah, premis berkenaan tidak menyediakan wanita pelayan khidmat pelanggan (GRO) namun pelanggan dibenar untuk membawa peneman mereka sendiri.

Itu taktik digunakan sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun kegiatan premis itu yang dipercayai beroperasi sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menyerbu pusat hiburan itu jam 11 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, penyelia premis lelaki bersama 26 warga asing iaitu seorang lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga China, tujuh wanita warga China, enam wanita warga Vietnam, wanita warga Korea dan wanita warga Thailand ditahan dalam serbuan itu.

PUSAT hiburan yang diserbu dalam operasi di Jalan Ampang, kelmarin.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, 66 pelanggan tempatan terdiri daripada 44 lelaki dan 22 wanita dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKPB.

"Wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan (GRO) dari luar datang bersama pelanggan untuk berhibur.

"Premis ini dipercayai beroperasi sejak PKPB secara tersembunyi dan hanya pelanggan dipercayai sahaja dibenarkan masuk," katanya.

Nik Ros berkata, pelanggan yang ditahan akan dikenakan kompaun kerana melanggar PKPB.

Nik Ros berkata, polis merampas peralatan pusat hiburan, botol minuman keras, resit dan wang tunai RM268.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020)," katanya.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 32 Akta Eksais 1976, Seksyen 4 (1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dan Seksyen39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

2 individu pertama didakwa sabotaj khidmat air negara

 

Pengarah syarikat, Lim Kian Aik, 42 dan kontraktor jalanan, R Nathan, 43, didakwa di Mahkamah Selayang kerana melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air membabitkan pencemaran Sungai Selangor. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

SELAYANG: Dua lelaki termasuk seorang pengarah syarikat automotif menjadi individu pertama didakwa melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air negara membabitkan pencemaran Sungai Selangor.

R Nathan, 43, dan Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah serta memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Nathan dan Kian Aik didakwa dengan niat bersama melakukan sabotaj untuk mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox di sini, antara 2 dan 10 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana Seksyen 124K Kanun Keseksaan disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seperti diperuntukkan di bawah jadual pertama Akta 747 SOSMA.

Kes ini membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara dan perlu mengguna pakai prosedur SOSMA yang mana kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk mendapatkan izin bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Bagaimanapun, peguam Erni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nathan dalam rayuannya, berkata tindakan pendakwaan tiada tawaran jaminan terhadap anak guamnya adalah ultra vires (melampaui kuasa) terhadap Artikel 5 dan 21 Perlembagaan Persekutuan.

"Tertuduh juga mempunyai dua anak dan isteri serta pencari nafkah tunggal keluarga, selain mengalami kencing manis kronik," katanya.

Sementara itu, Kian Aik dalam rayuannya menerusi peguam Harcharanjit Singh memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan mempunyai empat anak berusia antara 11 dan 17 tahun serta sudah memberikan kerjasama penuh.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Nathan dan Kian Aik didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd, di mana tindakan itu mengurangkan fungsi tempat rawatan kumbahan itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu tempat dan tarikh masa dan didakwa mengikut Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Mereka juga berdepan tuduhan ketiga, iaitu dengan niat bersama menjalankan aktiviti penstoran luar tapak yang merupakan aktiviti disenaraikan di perenggan 14 (a) (iii) di dalam jadual pertama Perintah Kualiti Alam Sekeliling (aktiviti yang ditetapkan) (penilaian kesan kepada alam sekeliling) 2015 tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan laporan penilaian tersebut daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu jam 10.45 malam di tempat dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Sekeliling 1974 (Akta 127) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, mereka didakwa dengan niat bersama menempatkan buangan terjadual dan menggunakan premis itu untuk penempatan bahan buangan serta 40 tangki IBC seperti diperuntukkan dalam jadual sama, iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18(1) dan 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesemua kesalahan itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertakluk kepada pertuduhan pertama mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama hingga keempat dan menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan kelima dan keenam, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi dan tidak melakukan kesalahan lain ketika dalam jaminan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Nathan mengaku tidak bersalah menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen dikeluarkan pihak berkuasa melesen.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes. 

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

EXCO, Menteri kerjasama perkasa tadbir urus Islam

 

BERSAMA Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri dan wakil-wakil Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri lain bagi persidangan bagi tahun 2020 secara atas talian.

Tujuan perjumpaan hari ini adalah bagi membincangkan pembangunan dan penambahbaikan pentadbiran Agama Islam di setiap negeri.

Beberapa konsep pengurusan yang baik turut dikongsikan untuk ditambahbaik pengurusan sedia ada atau implementasikan konsep baharu supaya pengurusan dapat diperkasakan.

Antara yang dibincangkan, Sinergi Tabung Musa’adah COVID-19, Pemerkasaan Wakaf di Malaysia dan Pelan Pengimarahan Masjid.

Selain itu, turut dibincangkan Agihan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan, selenggara atau naik taraf institusi tahfiz, Pondok Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Swasta dan Sekolah Agama Persendirian Berdaftar.

Terima Kasih Kerajaan Persekutuan kerana telah memperuntukkan lebih daripada RM5 juta dalam Belanjawan 2021 untuk Negeri Perak.

Belanjawan adalah bagi Agihan Peruntukan Khas selenggara atau naik taraf institusi tahfiz, Pondok Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Swasta dan Sekolah Agama Persendirian Berdaftar.

Peruntukan merangkumi RM1,530,210.00 selenggara dan naik taraf dan RM3,715,000.00 bagi bantuan khas COVID-19. Doakan semoga Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan lulus. Jumlah keseluruhan sebanyak RM100 juta bagi kesemua negeri. Doakan bersama agar Pembangunan Agama Islam dapat diperkasakan.

“Demi Rakyat Kerana Allah”

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 23/11/2020

Siapa Wira? Pertaruh nyawa untuk tangkap perogol..

Pegawai polis tangkap perogol anggap isteri, anak wira sebenar


KARACHI: Seorang pegawai polis Pakistan yang berjaya memberkas suspek kes rogol, awal bulan lalu menyifatkan isteri dan anaknya ialah wira sebenar dalam kejayaan itu.

Penghargaan itu dizahirkan selepas isteri dan anak perempuannya, mempertaruhkan nyawa sehingga membawa kepada penangkapan perogol seorang wanita dan kanak-kanak berusia empat tahun.

Pegawai polis di Sindh, Kashmore, Asisten Sub Inspektor (ASI) Muhammed Bux Buriro, berkata serbuan hanya berjaya dilakukan hasil kerjasama isteri dan anaknya.

"Mereka adalah adiwira sebenar, iaitu isteri dan anak perempuan saya. Mereka lakukan tugas yang sangat mulia," katanya.

Menerusi laporan Arab News, Mohammed Bux pada 12 November lalu dilaporkan mengambil tindakan berani dengan mempertaruhkan anak perempuannya demi menangkap Rafiq Malak, lelaki yang merogol seorang wanita dan anak wanita itu yang berusia empat tahun dikenali sebagai Alisha.

Rafiq dilaporkan bertindak membebaskan ibu Alisha selepas 15 hari dua beranak itu diculik dan dirogol dengan syarat dia membawa wanita lain untuk menjadi pemuas nafsu.

Bagaimanapun, wanita itu membuat laporan polis di Kashmore dan Muhammed menjadikan anaknya sendiri sebagai umpan, semata-mata untuk menangkap penjenayah terbabit.

Ketika anaknya dibawa ke sebuah hotel untuk diserahkan kepada suspek, polis kemudian bertindak menyerbu lokasi berkenaan dan menahan lelaki terbabit serta menyelamatkan seorang lagi gadis bawah umur.

Lelaki berkenaan dituduh memperkosa mangsa selama dua hari selepas memperdaya mereka dengan tawaran kerja di daerah itu.

Menyingkap detik cemas sebelum serbuan, Mohammed Bux mengakui helah yang digunakan untuk menangkap penjenayah terbabit, dengan mempertaruhkan nyawa keluarganya sendiri ialah sangat berbahaya.

"Saya beritahu isteri saya untuk jerat dia. Saya kata, saya akan bimbing jika boleh, tetapi teruskan bercakap dengan dia.

"Daerah kami tiada polis wanita, tetapi sekiranya ada, saya tidak akan sesekali pertaruhkan nyawanya.

"Ini kerana di sini, wanita dianggap menduduki taraf yang sangat rendah berbanding lelaki, justeru mereka sering dilihat dengan pandangan kotor dan sebagai hamba," katanya.

Selama dua hari, isteri Mohamed Bux berbual menerusi panggilan telefon dengan Rafiq, namun helah sedemikian gagal membawa kepada penangkapan perogol berkenaan.

Pada hari ketiga, iaitu 9 November, anak perempuan Mohammed Bux, Reshma kemudian 'mengumpan' Rafiq dengan mengaturkan pertemuan di sebuah taman, dekat Kashmore.

Sebaik umpan mengena, Mohammed Bux mengarahkan pasukannya untuk bersedia bertindak dan melakukan serbuan bagi memberkas suspek.

"Saya beritahu Reshma, jika Rafiq cuba lari, Reshma perlu cuba hentikan dia.

"Apabila Rafiq mengarahkan Reshma untuk membuka tudung, Reshma terus tangkap leher suspek dan pasukan saya terus bertindak," katanya.

Ketika siasatan dijalankan pasukan polis, Rafiq akur dengan arahan dan memaklumkan butiran lokasi sebenar yang digunakan untuk menyembunyikan Alisha.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi bagaimanapun gagal mengesan Alisha di rumah berkenaan, sebelum Mohammed Bux menyedari kelibat seseorang di bawah timbunan pakaian kotor.

Mohammed Bux terus merangkul kanak-kanak berkenaan sebaik dikeluarkan daripada timbunan pakaian dan menarik nafas lega kerana berjaya menyelesaikan kes terbabit.

"Sangat sukar untuk menyedari kelibat kanak-kanak itu dalam keadaan sedemikian, seluruh pasukan saya menangis ketika kami menjumpainya.

"Saya sangat gembira apabila Perdana Menteri (Imran Khan) mengucapkan penghargaan dalam suatu pertemuan bersama pasukan saya.

"Masih segar dalam ingatan saya, apabila Perdana Menteri bergegas berdiri dan tabik hormat kepada saya menggunakan kedua-dua belah tangan," katanya sambil mengukir senyuman. - AGENSI

Asisten Sub Inspektor (ASI) Muhammed Bux Buriro

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kes-kes jenayah, hanya hudud dan perundangan Islam kunci penyelesaian. Lihat ini..

Hudud paling praktikal cegah jenayah – Zakir Naik  April 20, 2016 12:17 PM

NILAI: Hudud adalah undang-undang pencegahan jenayah yang paling praktikal di muka bumi ini, kata pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Dr Zakir berkata, Arab Saudi yang melaksanakan hukum hudud terbukti lebih berjaya menangani jenayah berbanding Amerika Syarikat (AS) yang tidak melaksanakan undang-undang sedemikian.

Katanya, perkara itu dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa AS sendiri, yang mana menunjukkan kadar rogol dan jenayah di negara kuasa besar itu adalah tertinggi di dunia.

“3,000 jenayah direkodkan berlaku setiap saat di AS ketika ini. Bayangkan jika sistem zakat dibuat dan disusuli undang-undang Islam (hudud) di AS. Adakah ia akan menambah atau mengurangkan jenayah?

“Sudah tentu ia mengurangkan jenayah. Undang-undang syariah adalah undang-undang paling praktikal untuk dilaksanakan di mana-mana tempat di muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Ceramah itu dihadiri Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan kira-kira 1,000 pelajar dan kakitangan universiti itu.

Agenda pelaksanaan hukum hudud sering dibangkit di negara ini dan menjadi wadah utama perjuangan PAS bagi memperoleh mandat daripada pengundi.

Terbaru, PAS cuba untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, bagi membolehkan hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.

Agenda hudud menjadi punca kepada perbezaan pendapat antara PAS dan DAP sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur tahun lalu.

Video

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails