Saturday, January 23, 2021

Serbu! Buka kedai judi ketika PKP, polis tahan 12 kaki judi

 

Anggota polis memeriksa mereka yang berada dalam premis yang dijadikan pusat judi dalam talian dalam serbuan di Pandan Jaya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

AMPANG: Polis menyerbu sebuah sebuah premis yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian 24 jam sehari, di Pandan Jaya, di sini, malam ini.

Ketika serbuan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang pada jam 8 malam itu, seramai 12 kaki judi terdiri dari 10 warga tempatan dan dua rakyat asing sedang membuat pertaruhan.

Turut ditahan, lima wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjaga premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak dua minggu lalu 24 jam sehari dan mensasarkan pelanggan yang dikenali.

"Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering kali mengarahkan supaya menggempur dan membanteras semua elemen perjudian namun masih ada lagi sindiket yang berani mewujudkan premis seperti ini ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru Polis Daerah Ampang Jaya, akan mengambil langkah proaktif untuk mengesan kewujudan tempat seperti ini yang boleh merosakkan masyarakat di daerah Ampang secara amnya," katanya yang meninjau lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Polis memeriksa peralatan digunakan untuk judi dalam talian ketika serbuan di Pandan Jaya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Katanya ketika serbuan sama, ada sebahagian pemain melarikan diri ke tingkat atas premis berkenaan yang dipercayai turut dimiliki pemilik premis judi terbabit namun dapat ditahan.

Mohamad Farouk berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, turut mengalu-alukan maklumat daripada penduduk setempat yang mengetahui tentang sebarang cubaan untuk 'menghidupkan' kembali premis perjudian dalam daerahnya.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk penjaga, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen terhadap penjaga dan pemain yang tidak memiliki dokumen selain kompaun kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.

Turut dirampas adalah tablet yang digunakan untuk kegiatan perjudian, router, modem dan sejumlah wang tunai. (BH)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails