Monday, February 22, 2021

Azizulhasni, Firdaus kuasai Trek Victoria, Harrif gegar Turki

 

Foto daripada Facebook Azizulhasni Awang.

SUKAN

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di landasan tepat menjelang Sukan Olimpik Tokyo apabila meraih penamat 1-2 acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Elit Victoria, semalam.

Azizulhasni, 33, mencatat 10.126 saat (s) pada sesi kelayakan sekali gus mengungguli kedudukan carta dalam saingan yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Muhammad Shah Firdaus pula berada di kedudukan ketiga terpantas dalam kelayakan dengan 10.186s manakala pelumba Blackburn Cycling Club, Sam Gallagher berada di kedudukan kedua dengan 10.171s.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengatasi pelumba Brunswick Cycling Club, Mace Colson pada peringkat suku akhir sebelum menyingkirkan bekas juara keirin remaja dunia Conor Rowlyer (Blackburn) di separuh akhir.

Sementara Muhammad Shah Firdaus pula menewaskan dua pelumba Blackburn, Sean Cleary dan Gallagher masing-masing di suku akhir dan separuh akhir.

Kedua-dua pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne itu menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, yang mana Azizulhasni atau nama julukannya The Pocket Rocketman, adalah harapan untuk meraih emas pertama negara di temasya berprestij dunia itu.


Sementara itu, satu lagi kejayaan gemilang sukan berbasikal negara diperolehi pelumba berbasikal lebuh raya Mohd Harrif Saleh dari pasukan Terengganu Cycling team (TSG) yang menjuarai Grand Prix (GP) Velo Manavgat di Turki.

Pelumba berusia 32 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 147.5 km selepas merekodkan tiga jam 13 minit 35 saat untuk kemenangan sulungnya selepas setahun tidak menyertai mana-mana perlumbaan berikutan pandemik Covid-19.

Pelumba pasukan Mazowsze Serce Polski, Alan Banaszek dan Andriy Kulyk dari pasukan Ukraine masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga manakala pelumba pecut Andrea Guardini yang tidak asing dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang mewakili pasukan Giotti Victoria -Savini Due di tempat keempat.

Seorang lagi pelumba TSG Youcef Reguigui dari Algeria di tempat ketujuh. – BERNAMA


Sunday, February 21, 2021

Awas! Menghina Islam secara halus -Presiden PAS

 

Firman Allah s.w.t:

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا  وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ  فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ١١٢ وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُوا مَا هُمْ مُقْتَرِفُونَ١١٣﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh daripada kalangan syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengah yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. (112); Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya dipersetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu. (113).” (Surah al-An‘am: 112-113)

Petunjuk al-Quran yang bersifat mukjizat tetap mengkhabarkan perkara benar sepanjang zaman. Ia bukan sekadar menjadi petunjuk ketika wahyu diturunkan pada zaman hayat Rasulullah s.aw yang menceritakan kisah para anbiya’ sebelumnya yang menjadi utusan Allah s.w.t, termasuk Rasul terakhir pada akhir zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut yang meneruskan ajarannya.

Namun, iktibarnya tetap berpanjangan sehingga ke hari ini. Walaupun mereka yang bersikap anti Islam tidak mampu berhujah secara ilmu yang waras dan akal yang sihat. Mereka tetap mencari jalan untuk menyekat kebenaran Islam dan mahu memadamkan cahayanya yang tidak mungkin dapat dipadamkan sama sekali.

Kini kita berada pada zaman berlaku perang media atau perang siber yang semakin canggih dan paling canggih, apabila media dijadikan senjata terpenting kerana peranannya bukan sahaja memasuki ke dalam negeri merentasi angkasa tanpa sempadan, bahkan memasuki ke dalam rumah dan pemikiran, lalu mempengaruhi kehidupan manusia. Hanya pengamat yang tajam akal dapat mengenali hal tersebut secara terperinci.

Terdapat satu pendekatan terkini terhadap Islam, iaitu mencari kesalahan  orang Islam, sama ada mereka yang tidak bersalah tetapi disebarkan fitnah atau mereka yang benar-benar bersalah dengan nyata. Namun kesalahannya dijadikan senjata untuk menikam ajaran Islam.

Setiap orang Islam percaya adanya kelemahan manusia, termasuk dalam diri penganut Islam sendiri, bahkan pengamal Islam, kerana mereka tetap bersifat manusia yang mempunyai kelemahan, bukannya malaikat. Allah s.w.t menunjukkan perkara ini, apabila Adam a.s sendiri dapat digoda oleh syaitan dengan hikmah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.  

Bilangan peratus mereka yang melakukan kesalahan dalam kalangan mereka yang berpegang kepada agama tetap terlalu kurang, sekiranya dibandingkan dengan peratus orang yang tidak berpegang dengan agama yang terlalu tinggi. Bahkan bagi musuh Islam, segala perkara yang haram adalah halal bagi mereka, menyebabkan salah laku mereka tidak diambil kira sebagai suatu kesalahan, kerana inilah makna kebebasan mengikut takrif mereka.

Mereka sendiri beranggapan bahawa orang yang beragama tidak patut melakukan maksiat sepertimana mereka lakukan, kerana pada hemat mereka agamawan itu adalah orang yang bersih. Sedangkan diri mereka sendiri sememangnya jahat melakukan maksiat sehingga menjadi perkara biasa, maka mereka membesar-besarkan maksiat yang dilakukan oleh orang yang mengaku dirinya sebagai seorang Muslim.

Allah s.w.t mendedahkan ucapan para pemimpin yang mempertahankan amalan liwat terhadap Nabi Lut a.s yang menolak amalan maksiat itu di negara Sodom (LGBT) melalui firman-Nya:

﴿فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِنْ قَرْيَتِكُمْ  إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ٥٦﴾

“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: ‘Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.’” (Surah al-Naml: 56)

Peranan media yang menjalankan tugas syaitan untuk menyerang Islam ialah membesar-besarkan berita yang melibatkan orang Islam, khususnya para agamawan atau pemimpin yang terjerumus ke dalam maksiat, atau dikira tersilap melakukannya. Berita itu diletakkan pada muka hadapan media tajaannya dan diulang-ulang untuk disebar luaskan. Matlamatnya hanyalah untuk menghina Islam.

Media ini juga memainkan peranan melakukan provokasi terhadap mana-mana orang atau kumpulan Islam yang melampau pendekatannya yang tidak bijak terhadap Islam kerana tidak mempunyai ilmu atau berilmu tanpa  mempunyai kebijaksanaan. Tujuannya bagi mempromosikan Islam secara negatif, seperti ke arah menggalakkan lagi Islamofobia yang menjadi senjata Barat bagi menentang Islam pada hari ini.

Pergerakan kumpulan ini terdedah, apabila ada dalam kalangan anti Islam dalam negara atau luar negara memberikan sokongan moral secara terbuka kepada mereka tanpa bersembunyi lagi dan mungkin juga sokongan kewangan secara tertutup. Namun, Allah s.w.t tetap mendedahkannya juga.

Mereka berperanan menyiarkan berita Islam sekali sekala untuk dijadikan pemanis muka bagi menarik pelanggan atau melindungi diri secara munafiq terhadap Islam. Selain itu, menggoda mereka yang lemah akalnya dalam kalangan orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah s.w.t:

﴿لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ  وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ٤٧﴾

“Kalaulah mereka keluar bersama kalian, tidaklah mereka menambahkan kalian melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan antara kalian, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kalian; sedang antara kalian ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.” (Surah al-Taubah: 47)

Bahkan terdapat dalam kalangan orang Islam tanpa disedari mencari rezeki haram melalui kegiatan halus ini, bagi menyara kehidupan diri dan keluarga mereka. Hasil sumber itu menjadi darah daging yang haram dan umpan ke neraka selepas mati kerana tidak beriman dengan kewujudan neraka. Ada juga yang sedar, tetapi otaknya berada dalam perut. Maka perhitungannya sama seperti dengan isi perutnya (kepentingan diri semata-mata).

Mereka sering kali gemar melaporkan apa-apa berita tentang Islam yang dianggap boleh menimbulkan kekeliruan, kerana memerlukan masa bagi memberikan penjelasan tentang kaedah pelaksanaan bagi sesuatu perkara. Dilaksanakan pula dengan syarat-syarat yang ketat, tempoh masa yang tidak diawalkan dengan memberikan kefahaman dahulu dan beradab dalam melaksanakannya. Antaranya ialah hukum qisas dan hudud yang keras, tanpa diketahui betapa banyak syarat dan adab yang menjamin keadilannya sehingga tidak mudah untuk dijatuhkan hukuman.

Malah dalam hukum syariat, pembunuh lebih digalakkan untuk bertaubat, apabila waris si mati memberikan keampunan kepadanya dan mendapat syurga tanpa hisab, begitu juga pahala apabila memaafkan kesalahan-kesalahan yang lain. Perkara yang paling penting dalam hukuman syariat adalah kehebatannya yang menakutkan penjenayah. Musuh-musuh ini berlakon bahawa mereka bukan penentangnya, pada masa yang sama tanpa segan silu pula bersimpati dengan penentangnya.

Antara pendekatan baru yang dilaksanakan oleh media musuh ialah menunjukkan simpati kepada Islam, jari telunjuknya lurus namun jari kelingkingnya berkait. Taktik sedemikian pernah ditelanjangi pada zaman Rasulullah s.a.w oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya:

﴿وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ  وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى  وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ١٠٧﴾

“Dan (antara orang-orang munafiq juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: ‘Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.’ Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.” (Surah al-Taubah: 107)

Golongan ini menggunakan jenama Islam seperti masjid, jihad, khilafah, dakwah, sunnah bahkan perkataan Islam turut diletakkan bersamanya. Apa yang menarik, mereka mendapat bantuan secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pasukan Ahzab yang sentiasa mengepung Islam daripada segenap penjuru.

Maka di sini jelaslah, betapa besarnya hikmah Allah s.w.t menutup himpunan ayat-ayat suci al-Quran dengan satu surah pendek yang sangat bermakna. Firman-Nya:

﴿قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١ مَلِكِ النَّاسِ٢ إِلَهِ النَّاسِ٣ مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1); Yang Menguasai sekalian manusia (2); Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3); Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (4); Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5); Iaitu pembisik dan penghasut daripada kalangan jin dan manusia. (6).” (Surah al-Nas: 1-6)

Kepada mereka yang menjalankan kerja-kerja syaitan itu, Allah s.w.t memberikan amaran berikut melalui firman-Nya:

﴿إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ١٠﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” (Surah al-Buruj: 10)

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Rajab 1442 / 21 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 21/2/2021

Sugarbook eksploitasi gambar tanpa pengetahuan gadis

ALOR SETAR: Sebuah keluarga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas terhadap Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SugarbookDarren Chan atas kegiatan dijalankan lelaki itu.

Ia berikutan gambar anak perempuan mereka yang disenaraikan Sugarbook sebagai antara Sugar Baby di mana perkara tersebut adalah salahguna iaitu manipulasi dan eksploitasi hingga menyebabkan ancaman.

Bapa kepada anak perempuan tersebut menunjukkan laporan polis telah dibuat anaknya itu di balai berdekatan ketika ditemui Harakahdaily di kediaman mereka di sebuah perkampungan 15 kilometer dari bandaraya ini, semalam.

Beliau yang mahu nama mereka sekeluarga dirahsiakan itu mengakui merasa tertekan berikutan perkara tersebut telah menyebabkan rasa malu serta mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Anaknya, seorang penuntut di sebuah institut latihan perubatan memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas rakan sekolah yang menghubungi beliau untuk mengesahkan gambarnya, kelmarin.

Menurutnya, ternyata setelah dilihat, gambar tersebut adalah kepunyaan beliau yang digunakan sebagai profil akaun media sosial peribadi miliknya tetapi disalahgunakan Sugarbook untuk kegiatan mereka.

Merasa terancam akan keselamatan dan maruah dirinya serta keluarga atas cubaan Sugarbook memperdagangkan beliau, mahasiswi ini diiringi bapanya serta-merta membuat laporan polis, hari sama.

Bapanya memaklumkan, anaknya itu kini sedang menduduki peperiksaan dan terpaksa menjalaninya dalam keadaan tertekan dan air mata di mana menyebabkan fokus gadis berusia 19 tahun itu terganggu.

Dari muat naik di media sosial yang ditunjukkan kepada Harakahdaily mendapati begitu ramai anak gadis Melayu-Islam berusia antara 19 tahun dan awal 20-an disenaraikan dalam Sugarbook.

Bapa pelajar ini percaya perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan mereka yang berkenaan, tetapi cuba dijadikan mangsa seperti anak gadisnya, sekali gus menggesa agar segera dibuat laporan ke pihak berkuasa.

“Mungkin kerana rasa malu menyebabkan ada yang tak mahu buat report (polis). Ya, kita merasakan maruah anak dan keluarga tercemar. Sebab kita yang berdepan tekanan kecaman dan pihak yang salah sangka dan fikir negatif.

“Tapi saya seru supaya buatlah report. Sebab jika tak buat, gambar anak kita akan terus dieksploitasi dan digunakan dibawa ke merata-rata lagi,” nasihat beliau yang turut disaran polis untuk laporan sama ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau juga berharap ada pihak sudi membantu dari sudut guaman untuk mengheret Darren Chan ke mahkamah agar dikenakan tindakan undang-undang dan saman atas kegiatan dijalankan menerusi Sugarbook.

Tegas beliau, lelaki yang kononnya dinyatakan sebagai usahawan itu tidak harus dimaafkan kerana perniagaan dijalankan itu adalah tidak bermoral dan menjebakkan orang lain kepada jenayah, bahkan juga menghina agama.

Walaupun bertalu-lalu menerima pertanyaan daripada sanak-saudara dan pihak yang mengenali mereka, keluarga ini bagaimanapun menerima sokongan jiran tetangga apabila mengadakan majlis bacaan Yaasin malam tadi. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

Perlu yakinkan rakyat, mesti buktikan peluang menang

 

KUALA LUMPUR: Umno, PAS dan BERSATU mesti memperlihatkan persepakatan yang kukuh agar diyakini rakyat untuk menjadi pilihan, sekali gus diberikan undi pada PRU15 akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, majoriti pengundi masih terdiri daripada golongan rakyat yang tidak mempunyai penglibatan kepada mana-mana parti.

Demikian itu katanya, ketiga-tiga parti harus mengakui di sebalik jumlah keanggotaan parti dimiliki, rakyat awam selaku pengundi terbesar adalah faktor utama kepada penentu kemenangan.

“Jadi, saya kira bahawa semua pihak perlu duduk semeja, bincang dan tidak melontarkan apa-apa pandangan secara terbuka di media sosial, mahupun di ruang public supaya memastikan perbincangan ini dapat dilakukan dengan harmoni,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini mengingatkan, sebarang tuntutan mesti didengari serta diselesaikan dengan sikap toleransi yang merupakan asas utama untuk mencapai keputusan terbaik.

Tegasnya, keadilan pembahagian kerusi mesti diberikan hak kepada setiap parti tetapi dengan membuktikan peluang besar dan kekuatan untuk menang di kerusi mahu ditandingi itu.

Nasihat beliau, jangan ada yang mendabik dada, sebaliknya, Umno, PAS dan BERSATU mesti bersama bagi menjamin penguasaan majoriti melebihi dua pertiga dalam kerajaan bakal dibentuk selepas PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

Rakyat M'sia pertama berbasikal kelilingi dunia dapat pengiktirafan MBOR.

 

Hasan Nawai (kiri) ketika di Puncak Sabang Pulau Sabang, Acheh, Indonesia - Gambar Ihsan Hasan Nawawi

Puas berbasikal keliling dunia

Nama bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman menjadi rakyat pertama berbasikal mengelilingi dunia sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) sudah tidak asing lagi.

Pada 27 Januari lalu, genap 20 tahun beliau dan adiknya, Ahmad Ridhwan, 58, memegang rekod MBOR itu.

Sehingga kini rekod berbasikal sejauh 26,565 kilometer (km) merentasi 18 negara selama 389 hari itu kekal menjadi milik dua beradik itu.

Kejayaan dua beradik kelahiran Manong, Perak itu, nyata memberi kesan besar di dalam aktiviti berbasikal di negara ini.

Ia menjadi pencetus minat, memberi motivasi dan ikon kepada anak muda untuk berjinak di dalam aktiviti itu.

Atas kejayaan itu, Hasan Nawawi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggelarnya sebagai Wira Daratan.

Bersama pengayuh basikal rakan dari luar negara.- Foto Ihsan Hasan Nawawi

Beliau masih aktif berbasikal sejak menamatkan ekspedisi berkenaan, manakala Ahmad Ridhwan memenuhi hobinya di sekitar Perak.

Terus aktif berbasikal

Mengenai perkembangan terkini, Hasan Nawawi, berkata minat mengayuh basikal sudah sebati dalam dirinya dan dijadikan rutin.

Katanya, setiap hari beliau akan berkayuh sejauh 80 hingga 100 kilometer, namun dihentikan sehari sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada 18 Mac tahun lalu.

"Saya berkayuh sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang untuk menjaga kesihatan. Aktiviti berbasikal luar negara dihentikan disebabkan PKP," katanya.

Minat berbasikal tidak pernah luntur dan akan berkayuh selagi ada kurdat.- Foto Ihsan Hasan Nawawi

Lihat sejarah dunia

Mengimbas ekspedisi itu, beliau aktif berbasikal di beberapa negara ASEAN seperti Kalimantan dan Sumatera di Indonesia, Phuket dan Pattaya di Thailand.

"Pada 2015, saya bersama rakan, Azman Toha (juruteknik Majlis Bandaraya Ipoh) mengayuh sejauh 7,000 kilometer dari Sabang, Acheh hingga ke Marauke, Papua New Guinea dalam tempoh 60 hari.

"Dua tahun kemudian berkayuh secara solo di lapan negara Balkan sejauh 5,000 km dalam tempoh 70 hari. Di Bosnia, saya tersedar berkayuh melalui laluan Kerajaan Uthmaniah iaitu Iran , Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia di dalam menyebarkan agama Islam.

"Pada 2019, saya berkayuh solo babitkan Laluan Sutera sejauh 3,500 km meredah Gurun Gobi dari Xi'an di China dan berakhir di Almaty di Kazakhstan dalam tempoh 40 hari," katanya

Kayuhan berkenaan bagi menyahut seruan kerajaan yang mahukan rakyat hidup sihat melalui aktiviti bersukan, disamping slogan "Malaysia Boleh".

"Ini sekali gus membakar semangat saya ketika itu sebagai Pegawai Daerah Port Dickson untuk melakukan sesuatu menerusi minat.

"Saya mahu membuktikan kepada dunia, negara kecil tapi Malaysia memiliki rakyat berjiwa besar.

"Saya bekerja keras mengumpul dana dan penaja menjayakan misi walaupun terima kritikan pedas," katanya.

Lantas memulakan kayuhan bersama Ahmad Ridhwan dari Putrajaya pada 4 Januari 2001 menuju ke Thailand dan menamatkannya di Dataran Merdeka pada 27 Januari 2002.

Malaysia boleh

Dalam usia sudah menjangkau 66 tahun Disember lalu, bekas Datuk Bandar Ipoh itu turut mencabar golongan muda untuk menceburi aktiviti lasak seiring dengan slogan 'Malaysia Boleh' sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Janganlah Malaysia Boleh itu sekadar slogan sahaja, ayoh kita harumkan nama Malaysia menerusi aktiviti berfaedah ini. Saya juga berharap rekod ekspedisi kami dua beradik ini dipecahkan anak muda Malaysia.

"Mereka harus bekerja keras dan bersedia bagi menempuh cabaran dengan bawa kelengkapan sesuai dan dana mencukupi," katanya.

Hasan Nawawi merakan kenangan di Huntly New Zealand pada Oktober 2018.

Beliau juga pernah berkayuh di Balkan dan melihat banyak masjid musnah akibat perbuatan tentera Salib di Bulgaria, Serbia dan Bosnia.

"Saya juga difahamkan perkara sama di Cordoba iaitu masjid dimusnahkan, malah dijadikan gereja dan muzium.

"Hanya Istana Al Hamra sahaja dikekalkan kerana dikatakan tentera Salib sudah keletihan akibat terlampau banyak bangunan kerajaan Islam dimusnahkan hingga mereka tidak larat meneruskannya.

"Kehadiran saya di Cordoba nanti ingin melihat bangunan yang menjadi kebanggaan Islam suatu ketika dulu," katanya.

INFO

Rekod berbasikal Hasan Nawawi

* Pemegang rekod MBOR rakyat Malaysia pertama berbasikal keliling dunia

* Aktiviti berbasikal

2001 – 2002 berbasikal bersama Ahmad Ridhwan mengelilingi dunia

* 2015 - berkayuh 7,000 km dari Sabang, Acheh hingga ke Marauke, Papua New Guinea.

2016 – Kayuhan solo Sulawesi – Ambon 1,600 km.

2017 – Berkayuh solo di lapan negara Balkan 5,000 km dalam tempoh 70 hari.

2019 - Berkayu solo di Laluan Sutera 3,500 km redahi Gurun Gobi dari Xi'an di China dan berakhir di Almaty di Kazakhstan.

BERITA BERKAITAN

Polis periksa rumah keluarga lelaki dakwa murtadkan wanita Islam

 

Seorang lelaki India yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam menerusi satu video tular di media sosial.

JOHOR BAHRU: Polis melakukan pemeriksaan di rumah keluarga seorang lelaki India yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam menerusi satu video tular di media sosial di Perjiranan Dato Onn, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, bagaimanapun berkata tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan dalam pemeriksaan jam 9.50 malam itu.

Katanya, ketika anggota polis tiba di lokasi mereka mendapati sekumpulan orang awam berada di kawasan premis kerana mengesyaki lelaki terbabit berada di dalam rumah berkenaan.

"Anggota polis berjaya mengawal keadaan dan pemeriksaan di rumah mendapati hanya bapa dan kakak lelaki itu mendiami rumah berkenaan.

"Suspek berusia 29 tahun juga sudah dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes video yang tular itu disiasat oleh Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 serta Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Murtad adalah jenayah aqidah. Jangan main-main.. Kita akan lanjutkan perbincangannya, insya Allah kalau ada kelapangan.

BERITA BERKAITAN

Serbu kilang fucuk di sebelah bekas kandang khinzir.

 

Pegawai BKKM menunjukkan bekas tapak ternakan babi dan bangkai kucing berhampiran dengan kilang pemprosesan fucuk yang diserbu. - Gambar/ Bernama

NIBONG TEBAL: Serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses fucuk yang disyaki beroperasi dalam persekitaran yang kotor membongkar kewujudan tiga lagi kilang memproses bahan sama dalam situasi serupa di perkarangan bersebelahan bekas kandang khinzir di Sungai Bakap, Sungai Jawi, di sini hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata pemeriksaan ke atas keempat-empat kilang fucuk tersebut mendapati berlaku pelanggaran Akta Makanan 1983 membabitkan aspek kebersihan dan juga pakaian pekerja.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah pekerja tidak memakai sarung tangan ketika memproses makanan, berseluar pendek, makanan dihurung lalat, anjing berkeliaran di kawasan memproses makanan selain turut ditemukan najis tikus serta bangkai kucing di dalam kawasan kilang.
"Kesemua kilang ini beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan. Ada yang telah beroperasi selama 40 tahun manakala yang paling baharu telah beroperasi selama lapan tahun. Tempat ini pernah beroperasi untuk ternakan khinzir dan keadaan ini amat mendukacitakan kerana persekitaran amat kotor dan kita tidak tahu sama ada tempat itu telah dibersihkan atau disanitasi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata serbuan itu dilakukan hasil risikan selama tiga minggu dengan sangkaan hanya sebuah kilang beroperasi di situ.
Mohd Wazir berkata susulan pemeriksaan itu pihaknya mengeluarkan empat notis kompaun terhadap kesemua kilang terbabit dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM8,500 berserta amaran keras agar mereka menambah baik aspek kebersihan.
Difahamkan tiada arahan henti operasi dikeluarkan memandangkan pelanggaran aspek kebersihan oleh premis terbabit masih di bawah tahap yang membolehkan pihak berwajib berbuat demikian.
Bagaimanapun, Mohd Wazir meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan kesemua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.
Difahamkan kilang terbabit membekalkan fucuk ke kedai runcit di sekitar negeri ini dan juga Kedah.
-BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails