Monday, March 08, 2021

Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) akan dilancarkan -Siti Zailah

 

Siti Zailah jumpa PDRM susulan isteri dibunuh suami

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengadakan perjumpaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), ACP Siti Kamsiah Hassan di atas kesudian meluangkan masa pada perjumpaan itu.

“Ekoran kes kematian Isteri yang telah dibunuh oleh suaminya dan juga isu-isu yang berkaitan keganasan rumah tangga, saya telah berjumpa dengan pihak PDRM untuk mengetahui punca untuk disusuli dengan tindakan pihak kami.

“Insya-Allah pihak Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menjaga anak-anak mangsa,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.

Katanya, ahli keluarga mangsa juga akan diberikan bantuan khidmat sokongan kaunseling dan pskilogi mengikut keperluan.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.

Menurut polis, dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut sebelum suspek berumur 43 tahun itu, menembak isterinya dan kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.

Mayat isterinya berumur 38 tahun itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar, iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah untuk ditanam.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pihak kementerian juga akan melancarkan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) sebagai rakan strategik pihak berkuasa dan kementerian dalam memastikan wanita sentiasa selamat dan dilindungi.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau terlibat dalam sebarang jenayah keganasan rumah tangga agar menghubungi pihak polis dengan segera atau Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 0192615999 untuk mendapatkan bantuan dan sokongan. – HARAKAHDAILY 8/3/2021


DAP Akui Kesalahan Tapi Sudah Terlambat, Ini..

Oleh Khoo Poay Tiong
(Ahli Parlimen Kota Melaka)

3 Mac 2021: 

Beberapa hari yang lepas, dua orang ahli parlimen Pakatan Harapan telah lompat dan sokong pimpinan Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional.

Kejadian ini amat mengecewakan kerana setahun selepas Langkah Sheraton, keadaan politik negara kita masih dibelenggu fenomena “katak” dan pencaturan politik.

Perkara-perkara sebeginilah yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan muak terhadap politik di Malaysia.

Sememangnya, masalah itu bukan baharu dan akan terus berlanjutan jika tiada langkah-langkah diambil. Tidak hairan juga jika selepas pilihan raya akan datang, politik negara akan terus tidak dibelenggu ketidakstabilan.

Terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah lompat parti. Antaranya ialah penggubalan suatu undang-undang baharu yang melarang wakil rakyat bertukar parti dengan sesuka hati. Melalui sistem ini, wakil rakyat yang lompat parti perlu letak jawatan dan pilihan raya kecil diadakan semula.

Ya, ketika PH menjadi kerajaan kita gagal memperkenalkan undang-undang sedemikian. Antara sebabnya ialah ia memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan, dan ada juga parti dan individu di kalangan PH yang menggalakkan lompat parti.

Namun, saya masih yakin bahawa untuk parti DAP, kami bersedia dan akan terus mendokong agenda anti-lompat parti ini. Persoalannya adalah sama ada parti-parti lain juga bersedia dan bersetuju untuk menyokong perubahan ini.

Terdapat juga cadangan-cadangan lain yang menarik untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah memperkenalkan sistem “recall elections.” Melalui sistem ini, pilihan raya kecil akan diadakan jika sebilangan besar pengundi di sesebuah kawasan menuntut untuk “recall elections” diadakan.

Sistem ini ada dipraktik di beberapa negara. Contohnya pada tahun lepas di Taiwan, rakyat di bandar Kaohsiung telah menuntut “recall election” terhadap Datuk Bandar mereka kerana gagal mentadbir dengan baik.

97.40% ataupun 939,090 pengundi telah bersetuju untuk mengadakan “recall election” berbanding dengan 2.6% ataupun 25,051 pengundi yang tidak bersetuju. Kesannya, Datuk Bandar tersebut telah “dipecat” oleh rakyat dan pilihan raya kecil telah diadakan untuk memilih Datuk Bandar yang baharu.

Sistem sebegini boleh dipraktikkan di Malaysia terhadap wakil rakyat yang lompat parti. Ia memberi kuasa kepada pengundi di kawasan wakil rakyat tersebut memutuskan sama ada wakil mereka telah mengkhianati mandat yang diberikan.

Walaubagaimanapun, perkara utama ialah perlunya usaha berterusan untuk mengatasi masalah lompat parti untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem politik negara. – Roketkini.com


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Inilah erti peptah 'kokoknya berderai-derai, tapi ekor bergelumang dengan tahi'. Ertinya 'cakap tak serupa bikin'. Bahkan ekornya tetap bergelumang tahi. Sejak DAP ditubuhkan hanya hidup dengan isu-isu tahi perkauman, salinan tiruan dari parti politik PAP Singapura.


Sebahagian dari contoh DAP gagal

Kata DAP: "Ya, ketika PH menjadi kerajaan kita gagal memperkenalkan undang-undang sedemikian. Antara sebabnya ialah ia memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan, dan ada juga parti dan individu di kalangan PH yang menggalakkan lompat parti."

Ya, rakyat pun sudah tahu resam parti PH yang kokoknya 'berderai-derai'. Dia sendiri mewar-warkan teori yang dia sendiri kononnya tak mampu buat. Mereka sendiri seolah-olah anti pemimpin 'katak lompat', tetapi itu juga adalah kawan-kawan mereka. 

Lompat si katak lompat, akhirnya lompat ke perut mereka. Sama-samalah belasah katak!


Kita sambung lagi,insya Allah!

Sunday, March 07, 2021

Natrah lapor SPRM dakwa cuba disogok babitkan 'Datuk Seri'

 

Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.- Foto sumber internet

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung dakwaan cubaan menyogoknya oleh pihak tertentu.

Natrah berkata, laporan itu dibuat mengikut Seksyen 25, Akta SPRM 2009, berhubung kewajipan melaporkan tawaran suapan.

"Hari ini saya membuat satu laporan kepada pihak SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan janji manfaat yang boleh saya peroleh dengan pemberian sokongan berkenaan.

"Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu dan membabitkan dua individu termasuk seorang bergelar 'Datuk Seri'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut berharap SPRM dapat menyiasat laporan berkenaan dengan segera.

Sementara itu, Natrah berkata, beliau tidak akan mengkhianati Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan dan pengundi Parlimen Sekijang.

"Saya tidak berminat memberi sokongan kepada Muhyiddin. Jadi, kepada mereka yang masih berusaha mengubah sokongan Ahli Parlimen PKR atau pembangkang, berhentilah berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, Natrah dalam kenyataannya menceritakan beliau didatangi dua individu yang menyuarakan keinginan membantunya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen. (BH)

Pertanian Komuniti Belia. Jangan Bimbang, Ini Bukan Janji Biawak PH..

 

PENJANA: Unjur hasil pertanian 8,800 tan menjelang 2025

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengunjurkan Malaysia bakal mengeluarkan hasil pertanian yang selamat dimakan sebanyak 8,800 tan metrik menjelang 2025 menerusi projek Pertanian Komuniti Belia di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA).

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdulllah Mat Nawi, dengan adanya pengeluaran hasil pertanian menerusi program itu juga ia sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup setiap pengusaha sebanyak RM1,296 pada tahun 2021 kepada RM1,680 pada tahun 2025 sekiranya ia dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, selain dapat mengurangkan kos sara hidup program itu juga bertujuan mewujudkan aktiviti pertanian komuniti bagi memastikan pengeluaran bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan sekali gus mewujudkan interaksi sosial serta menggalakkan komunikasi dalam kalangan komuniti.

“Program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Pembangunan pertanian komuniti berperanan sebagai salah satu strategi untuk menggalakkan interaksi sosial antara penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui pada Program Memungut Hasil Projek Pertanian Bandar Komuniti Belia Pasir Pekan di Masjid An-Nur, Mukim Kubang Labu, Wakaf Baru di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Pertanian Kelantan, NorBahani Zakaria.

Selain itu katanya, pertanian komuniti juga membantu meningkatkan motivasi diri para peserta program dengan kemampuan untuk membentuk komuniti sendiri dan bekerja secara berpasukan untuk menghasilkan produk makanan sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual.

Bagaimanapun, program pertanian bandar merupakan program yang membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan melalui bimbingan Jabatan Pertanian. – HARAKAHDAILY 7/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Projek Pertanian Komuniti Belia. Dikatakan jangan bimbang, kerana ini bukan janji projek biawak PH.. Rakyat semua tahu janji lidah biawak macam mana, walaupun sudah berkuasa 22 bulan? Hal ini perlu diulang-ulang kerana telinga mereka telinga kuali.. 

Kepala cicak mereka sudah penyet terkepit pintu, badannya jatuh. Cuma yang bising itu ekornya masih terkodek-kodek riuh. Itulah pecacai balaci, yang dapat upah sedikit umpan mata kail tahi gigi bosnaya.

Sekian.

Satu garisan lurus. Inilah jalan Allah. -Ust Azhzr Idrus

 

Jalan Allah dan jalan syaitan

Terjemahan Hadis Sahih Ibnu Hibban

Berkata Imam Ibnu Hibban: Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. beliau berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا فَقَالَ: “هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ” ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ: “وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ” ثُمَّ تَلَا {وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيماً} إلى آخر الآية

Ertinya: “Rasulullah SAW telah membuatkan bagi kami satu garisan lurus lalu bersabda: Inilah jalan Allah. Kemudian baginda membuat beberapa garisan pada kanan dan kiri garis yang lurus itu kemudian bersabda: Dan inilah jalan-jalan yang atas setiap satu daripadanya syaitan yang menyeru kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat: Dan sungguhnya inilah jalanku yang lurus – hingga akhir ayat.”
Hadis ini dikeluarkan juga oleh Ahmad dan An-Nasaie dan Al-Hakim dan Ad-Darimi dan At-Thoyalisi dan lainnya.

Hadis ini datang pada menerangkan jalan yang benar iaitu dan jalan yang batil iaitu jalan syaitan.

Keterangan

Jalan Allah

Makna jalan Allah ialah agama Allah iaitu Islam maka selain dari agama Islam maka bukan ia jalan Allah.

Dan jalan Allah yang benar hanyalah yang mengikut akan petunjuk dari Al-Quran dan sunnah yang menerangkan dia oleh para ulamak iaitu beriktikad dengan iktikad yang benar dan beramal dengan amal yang soleh.

Siapa yang mengikut akan petunjuk dari Al-Quran dan sunnah yang dijelaskan oleh para ulamak maka dia telah berjalan pada jalan yang benar.

Berkata Imam Al-Mubarakfuri:

(هذا سبيل الله) أي هذا الدين القويم والصراط المستقيم، وهما الاعتقاد الحق والعمل الصالح

Ertinya: “Jalan Allah itu ertinya agama yang benar dan jalan yang lurus. Keduanya ialah iktikad yang benar dan amal yang soleh.” (Kitab Mir’atul Mafatih)

Berkata Imam Al-Baidhawi:

هو الرأي القويم والصراط المستقيم , وهما: الاعتقاد الحق والعمل الصالح , وذلك لا تتعدد أنحاؤه , ولا تختلف جهاته

Ertinya: “Pandangan yang teguh dan jalan yang lurus. Keduanya ialah iktikad yang benar dan amal soleh. Yang demikian itu tidak ada perpecahan dan tidak berlawan arah.” (Kitab Tuhfatul Abrar)

Contoh iktikad yang benar iaitu jika seorang itu beriktikad Allah menjadikan segala sesuatu dan Allah menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran maka dia telah beriktikad dengan iktikad yang benar dan dia berjalan di atas jalan yang lurus.

Contoh amal yang soleh ialah jika seorang itu menunaikan segala kewajipan syariat yang diwajipkan oleh Allah atasnya dan meninggalkan segala yang haram yang dilarang oleh Allah daripadanya maka dia telah beramal dengan amal yang soleh dan dia berjalan di atas jalan yang lurus.

Jalan syaitan

Segala iktikad bercanggah dari ikitkad yang benar dan segala amalan yang bukan dari amalan syariat Islam adalah jalan-jalan syaitan.

Tidak percaya kepada Tuhan atau menyembah tuhan yang lain daripada Allah adalah jalan-jalan syaitan.

Siapa yang berjalan di atas jalan syaitan maka tiada kentungan sama sekali baginya dalam kehidupan dunia mahu pun akhirat.

Tiadalah syaitan itu menyeru manusia kepada mengikutinya melainkan bertujuan supaya manusia itu sesat dari jalan Allah dan menjadi penemannya di neraka pada akhirat nanti.

Syaitan yang menyeru mansuia kepada kesesatan ini ialah syaitan jin dan syaitan manusia.

Berkata Imam Al-Mubarakfuri:

(سُبُلٌ) ، أَيْ: غَيْرُ سَبِيلِ اللَّهِ، أَوْ سَبِيلٌ لِلشَّيْطَانِ لِقَوْلِهِ (عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ) ، أَيْ: رَأْسِهِ (مِنْهَا) ، أَيْ: مِنَ السُّبُلِ (شَيْطَانٌ) : مِنَ الشَّيَاطِينِ (” يَدْعُو “) ذَلِكَ الشَّيْطَانُ النَّاسَ (إِلَيْهِ)

Ertinya: “Bermula makna segala jalan selain dari jalan Allah itu ialah jalan syaitan dan atas tiap-tiap jalan selain jalan Allah itu ada syaitan dari syaitan jin dan syaitan manusia yang menyeru akan manusia kepada mengikutnya.” (Kitab Syarah Misykah Al-masobih)

Selain agama Islam bukan jalan Allah

Allah Taalah telah berfirman:

وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Ertinya: “Dan jangan kamu sekalian mengikut akan jalan-jalan selain Islam nanti kamu sekalian akan terpisah dari jalan Islam.” (Al-An’am: 153)

Meriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Asbagh bin Al-Faraji berkata:

سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ قَالَ: نَهَاهُمْ أَنْ يَتَّبِعُوا السُّبُلَ سِوَى الإِسْلامِ، فَتَتَفَرَّقَ بِهِمْ عَنْ سَبِيلِهِ، عَنِ الإِسْلامِ

Ertinya: “Aku telah mendengar akan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berkata: Allah Taala telah melarang mereka itu dari mengikut akan segala jalan selain agama Islam maka berpecah belah dengan sebab mereka itu dari jalan Allah yaitu agama Islam.”

Dan berkata Imam As-Samarqandi:

إن هذا الإسلام ديني الذي ارتضيته طريقاً مستقيما فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ يعني: لا تتبعوا اليهودية والنصرانية

Ertinya: “Inilah Islam agamaku yang diredhai Allah sebagai jalan yang lurus, maka ikutilah jalan ini dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain yakni jangan kamu sekalian mengikut akan agama yahudi dan nasara.”

Wajib mengikut jamaah

Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ افْتَرَقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، كُلُّهَا فِي النَّارِ، إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ: الْجَمَاعَةُ

Ertinya: “Sungguhnya Bani Israel telah berpecah atas tujuh puluh satu golongan dan sungguhnya umatku lagi akan berpecah atas tujuh puluh dua golongan. Sekaliannya di dalam neraka kecuali satu golongan iaitulah Al-Jama’ah.” (Hadis riwayat Ahmad & Ibnu Majah)

Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

تَفَرَّقَتْ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَىْ مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً”.

Ertinya: “Telah berpecah yahudi atas tujuh puluh satu golongan dan berpecah nasara seumpama itu juga dan berpecah umatku atas tujuh puluh tiga golongan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata:

أمر الله المؤمنين بالجماعة، ونهاهم عن الاختلاف والتفرقة، وأخبرهم أنه إنما هلك من كان قبلكم بالمراء والخصومات في دين الله

Ertinya: “Allah Taala telah menyuruh akan sekalian orang beriman dengan bersatu dalam jamaah dan melarang olih Allah akan mereka dari bersalahan dan bercerai-berai. Dan Allah memberitahu sungguhnya telah binasa umat yang sebelum kamu dengan sebab berbantahan dan berkelahi pada agama Allah.”

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وأرشدت أيضا إلى وجوب الاتحاد بين المؤمنين والتلاقي بينهم على ما أمر الله به، والتحذير من الاختلاف والفرقة، واتباع غير سبيل الله، وأن الله أهلك الأمم السابقة بالمراء والخصومات

Ertinya: “Ayat Quran itu menunjukkan kepada wajibnya bersatu antara sekalian orang mukmin dan bersamaan antara mereka atas barang yang telah menyuruh oleh Allah dengannya dan memberi amaran dari bersalahan dan perpecahan dan dari mengikut jalan selain agama Allah dan sungguhnya telah membinasakan oleh Allah akan umat-umat yang dahulu dengan sebab mereka suka berbantah dan berkelahi.” (Kitab Tafsir Al-Munir)

Berkata Imam As-Samarqandi:

يعني: طريق السنة والجماعة فاتبعوه ولا تتبعوا السبل يعني: الأهواء المختلفة

Ertinya: “Yang dikehendaki oleh ayat ini dengan jalan Allah ialah jalan Ahlu Sunnah Wal-Jamaah maka ikutlah kamu sekalian akannya dan jangan kamu mengikut akan segala jalan-jalan hawa nafsu yang bersalahan.” (Tafsir As-Samarqandi)

Di antara golongan yang timbul yang menyalahi dengan pegangan Ahlu Sunnah ialah golongan jabbariyah, muktazilah, qadariah, syiah, khawarij dan mujassimah dan seumpamanya.

Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini:

الجماعة التي أمر الشارع بلزومها هي جماعة العلماء؛ لأن الله عزّ وجل جعلهم حجة على خلقه، وإليهم تفزع العامة في دينها، وهم تبع لها، وهم المعنيون بقوله: (إن الله لن يجمع أمتي على ضلالة)

Ertinya: “Bermula jamaah yang diwajibkan olih Allah mengikutinya ialah jamaah para ulamak kerana sungguhnya Allah Taala telah menjadikan para ulamak itu sebagai hujjah atas makhluknya dan kepada para ulamak itulah orang awam memelihara agamanya dan para ulamak itu adalah ikutan bagi umat dan para ulamaklah yang dimaksudkan oleh hadis: Sungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku atas kesesatan.” (Kitab Umdah Al-Qaari)

Wallahua’lam .

– HARAKAHDAILY 26/2/2021

Sasar Umat Islam Sweden, 14 Maut Nigeria &Petani India Protes.

 

1. Seorang Penyerang di Sweden Mensasarkan Umat Islam

Di bandar Malmö, Sweden, seseorang menaiki bas bandar dengan kapak di tangannya, dan mengancam umat Islam.

Menurut akhbar Aftonbladet, orang yang membawa kapak itu naik ke dalam bas dan berteriak, "Di mana orang Islam? Saya akan membunuh kamu semua."

Jurucakap Jabatan Polis Malmö Evelina Olsson mengatakan bahawa orang yang dimaksudkan dengan cepat ditangkap dan dia juga mengancam polis semasa penangkapannya.


2. 14 Maut Dalam Serangan Oleh Orang Bersenjata di Nigeria

Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban dalam serangan yang dianjurkan oleh orang-orang bersenjata di negeri Sokoto, Nigeria.

Orang-orang bersenjata, yang belum dikenali identiti, yang datang ke kampung Tara, di negeri Sokoto, melepaskan tembakan. Sekurang-kurangnya 13 orang kehilangan nyawa dalam serangan itu, dan ramai orang cedera.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh polis negeri Sokoto, dilaporkan bahawa seseorang maut dalam serangan yang diatur oleh orang bersenjata di wilayah Dingyadi.

Penggunaan motosikal telah dilarang di beberapa negeri kerana orang bersenjata telah melakukan serangan dengan motosikal di negara ini baru-baru ini.

Wilayah ini menyaksikan pertembungan ganas antara kaum Fulani yang melakukan pekerjaan penternakan dan beberapa suku yang bekerja dengan pertanian.

Yang terakhir, 19 orang terbunuh dalam serangan yang dianjurkan oleh orang-orang bersenjata dua hari yang lalu.


3. Petani di India Menghalang Jalan Raya di New Delhi

Ribuan petani di India, memprotes undang-undang pertanian baru, menyekat jalan raya utama di luar ibu kota, New Delhi, pada hari ke-100 tunjuk perasaan mereka.

Penunjuk perasaan, yang turut serta dalam penutupan dengan traktor mereka, melaungkan slogan menentang undang-undang pertanian yang baru.

Pemerintah India memberlakukan 3 peraturan pada bulan September 2020 yang membawa liberalisasi ke sektor pertanian dan mengakhiri dasar harga dan menyokong pembelian. Petani berpendapat bahawa undang-undang pertanian baru akan mengurangkan pendapatan mereka, memberi lebih banyak kuasa kepada orang tengah, dan akhirnya membiarkan mereka tidak memiliki tanah.

Sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan, terdapat pertembungan antara polis dan petani dari semasa ke semasa.

11 pusingan rundingan antara kerajaan dan petani tidak dapat diselesaikan.

Cadangan pemerintah untuk menangguhkan undang-undang selama 18 bulan juga ditolak oleh petani.

Petani mengumumkan bahawa tunjuk perasaan akan berlanjutan setelah rundingan yang tidak membuahkan hasil.

Telah diperhatikan bahawa lebih daripada separuh petani di negara ini berhutang, dan 20 ribu 638 petani membunuh diri pada tahun 2018 dan 2019.

(IH)

K'jaan didukung lebih 10 parti, kenapa tidak boleh bersama dalam PRU15?

 

Takiyuddin (tengah) bersama bekas pemain bola sepak pada Majlis Ramah Mesra Bersama Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan dan Malaysia hari ini. - foto BERNAMA

PAS kekal komited dengan penyatuan ummah  

KOTA BHARU: PAS komited dengan pendirian bahawa penyatuan ummah adalah perkara paling penting dalam membentuk kerajaan yang kuat dan stabil, kata setiausaha agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata penyatuan Islam, Melayu, Bumiputera dan seluruh rakyat negara ini amat diperlukan untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

"Sudah tentulah dalam konteks Malaysia hari ini, kita tidak boleh lari daripada parti-parti Melayu Islam. Jadi parti-parti itu perlu bersatu untuk sama-sama menjalankan fungsi pentadbiran negara dengan lebih mantap.

"Dalam konteks ini juga, kita melihat PAS sendiri selepas lama berada dalam keadaan berpuluh tahun berseteru dengan UMNO tetapi demi kepentingan rakyat dan negara, pimpinan parti membuat pendirian tegas iaitu kita perlu bersatu dengan UMNO dalam konsep penyatuan ummah," katanya selepas majlis ramah mesra bersama bekas pemain bola sepak Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menjelaskan penyatuan ummah bukan eksklusif kepada PAS dan UMNO sahaja.

Beliau berkata dalam piagam penyatuan ummah ada dinyatakan parti yang mempunyai cita-cita membangunkan negara khususnya dalam kalangan parti Melayu, Islam dan Bumiputera boleh menyertainya walaupun ketika itu hanya PAS dan UMNO yang memulakan.

"Bila berlakunya pelbagai perkembangan baharu dan adanya parti Melayu lain, maka PAS berpendirian bahawa ia perlu dibuka juga kepada parti lain.

"Buat masa ini, Bersatu juga parti yang sama dengan PAS dan UMNO, jadi kenapa kita tidak boleh bersatu?" katanya.

Takiyuddin berkata, PAS sentiasa menekankan sebab Bersatu diperlukan untuk bersama-sama PAS dan UMNO malah pada masa hadapan, sekiranya ada parti lagi yang mempunyai dasar perjuangan sama untuk kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera untuk sama-sama menyumbang bakti, ia adalah lebih baik.

Di Sabah dan Sarawak, mereka boleh bersatu jadi kenapa parti-parti di Semenanjung seperti PAS, UMNO dan Bersatu tidak boleh mendukung kerajaan sedia ada?

"Kerajaan yang ada sekarang ini didukung oleh lebih 10 parti politik bersama-sama di dalam kerajaan yang berfungsi dan kenapa kita tidak boleh bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang?

"Bagi saya, perkara ini kita akan bincang secara baik atas dasar 'kekeluargaan' dan saya percaya semuanya akan dapat diselesaikan secara baik. Bak kata pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'," katanya.

Beliau juga berkata perpaduan dalam kalangan parti adalah penting kerana jika kerajaan tidak mantap dan hanya mempunyai majoriti lebih sedikit daripada pembangkang, itu adalah kerajaan yang tidak stabil.

"Kita perlu ada kerajaan yang mempunyai majoriti stabil dan kukuh. PAS akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

"Bila bercakap pasal MN, di situ akan ada PAS dan UMNO, apabila bercakap soal PN, di situlah ada BERSATU, PAS dan parti-parti yang lain. Bagi PAS, berada dalam dua keadaan bukanlah sesuatu yang pelik," katanya. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails