Monday, June 21, 2021

Manfaatkan media sosial sebagai ‘parlimen rakyat’

 

Oleh ZULFAHMI RAMLI

IPOH: Ruang media sosial hari ini semakin terbuka luas dan juga disebut sebagai ‘parlimen rakyat’ kerana perbincangannya bersifat bebas malah disertai kepelbagaian latar belakang rakyat.

Malah banyak isu yang berlegar di media sosial hari ini sangat memberi pengaruh dan kesan yang besar serta sukar dikawal, sudah tentu memerlukan sekumpulan tenaga untuk menerang dan bertahan ketika Islam diserang.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berucap demikian pada Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS, semalam.

Program yang dijalankan secara dalam talian buat julung kalinya telah dihadiri oleh 1,051 orang dan majlis perasmian petutupnya disempurnakan Timbalan Presiden PAS Pusat, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ustaz Idris turut berpesan kepada para peserta agar segera mengatasi segala kelemahan yang ada dengan menjadi rajin bekerja, suka membaca, bersungguh dan sabar dalam menyempurnakan setiap arahan serta menggerakkan political will yang efisyen.

Ustaz Hafez Sabri

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri ketika dihubungi berkata jentera penerangan dan media baharu PAS juga bertanggungjawab terhadap usaha pihak kerajaan serta mestilah aktif membentuk naratif kepada rakyat dengan menerapkan nilai-nilai Islam yang sebenar.

“Kita mestilah memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada di media sosial dengan mewujudkan gelombang besar dan mempunyai kesan yang cepat terhadap pembentukan ‘Malaysia Sejahtera’.

“PAS Perak juga sentiasa menjadikan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai contoh khususnya dalam menangani isu trending rakyat di media sosial,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri menyeru seluruh anak muda untuk memainkan peranan di media sosial dengan menatijahkan solusi Islam dalam memenuhi kehidupan bermasyarakat.

Katanya lagi, semua petugas parti khususnya ejen penerangan mestilah menghayati serta mengamalkan saranan Ustaz Idris bagi memastikan keberkesanan setiap tindakan berkaitan dakwah dan siasah. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

Sekolah Perubatan Pertama di Dunia. Anda tahu ini?

 

Sekolah perubatan pertama di dunia didirikan di Kayseri pada abad ke-13?

MADRASAH dan hospital di mana sains perubatan diajar, yang dibina pada tahun 1206. Dibina oleh kakak Gıyaseddin Keyhüsrev I, atas kehendak Sultan Gevher Nesibe, anak perempuan Kılıçarslan II dari penguasa Seljuk. 

Ia adalah pusat pertama di dunia yang menyediakan pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan bersama. Gevher Nesibe Sultan jatuh cinta dengan ketua istana dan kakaknya Gıyaseddin Keyhüsrev I tidak membenarkan mereka berkahwin. 

Gıyaseddin Keyhüsrev I menghantar ketua paderi untuk berperang dan menyebabkan dia mati dalam pertempuran. Setelah itu, Gevher Nesibe, yang jatuh sakit, mewariskan kepada saudaranya untuk membina sebuah hospital yang dapat digunakan orang secara percuma sebelum dia meninggal. 

Gıyaseddin Keyhüsrev, yang sangat menyesal atas kematian saudaranya, membina hospital antara 1204-1206 dan madrasah perubatan antara tahun 1210-1214. Farmasi bertugas di hospital bersama dengan perubatan dalaman, pembedahan dan oftalmologi, hospital sakit jiwa dan jabatan penyakit jiwa.

Pakar perubatan Turki yang terkenal pada masa itu dilatih dan diajar di madrasah ini. Hospital Gevher Nesibe dan Madrasa dianjurkan sebagai muzium oleh Universiti Erciyes dan dibuka kepada pengunjung sebagai Muzium Sejarah Perubatan Gevher Nesibe pada tahun 1982. (IH)

Filem M'sia lakar sejarah di China

 

Filem On Your Mark arahan Chiu Keng Guat kaut kutipan hampir RM24 juta (RMB37 juta) apabila ditayangkan di China sejak Jumaat lalu.

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Ola Bola, Chiu Keng Guan sekali lagi melakar sejarah apabila karya terbaharu, On Your Mark mencapai kutipan pecah panggung pada hari pertama ditayangkan di lebih 9,000 pawagam di China.

Selain filem Ola Bola, Chiu Keng Guan pernah menghasilkan filem The Journey pada 2014 yang mencatat kutipan RM17.28 juta.

Mula ditayangkan Jumaat lalu, filem On Your Mark mengutip RM8.7 juta (RMB13.6 juta) pada hari pertama, sekali gus menduduki tangga teratas carta filem terkini di China.

Sehingga semalam, filem On Your Mark mengaut kutipan hampir RM24 juta (RMB37 juta).

Bagi pasaran China, filem berkenaan menggunakan tajuk asal iaitu The Great Dad atau Liao Bu Qi de Lao Ba.

Mengulas kejayaannya, Keng Guan gembira buah tangan terbaharunya itu mendapat sokongan padu pada hari pertama tayangan.

"Sebagai pengkarya filem Malaysia, saya amat gembira filem ini mendapat sambutan padu.

"Saya harap filem ini akan terus berjaya. Saya tidak sabar untuk mempersembahkan filem ini di Malaysia, tidak lama lagi," katanya.

On Your Mark adalah filem pertama diarahkan Keng Guan di China.

Filem ini diterbitkan atas kerjasama beberapa pihak iaitu Jiangsu Maoyan Culture Media; Wuxi Cangsheng Film dan Tianjin Maoyan Weiying Culture Media.

Turut terbabit, Jiangsu Hao Di Cultural Development; Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum) dan Astro Shaw.

Astro Show bertindak sebagai penerbit tunggal di Malaysia dan menguruskan pemasaran serta pengedaran filem berkenaan di negara ini.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad gembira dengan kejayaan diraih filem On Your Mark.

"Astro Shaw mengucapkan tahniah kepada Keng Guan atas kejayaan filem On Your Mark di China.

"Kami berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada filem ini," katanya.

Raja Jastina berkata, pihaknya akan terus komited menyokong bakat tempatan termasuk menyediakan platform untuk mempamerkan karya mereka.

"Kami berharap kejayaan Keng Guan membakar semangat pembikin filem tempatan membawa karya dan industri filem Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya.

Filem On Your Mark yang mengangkat hubungan ayah dan anak serta semangat tidak putus asa, bakal ditayangkan di Malaysia, tidak lama lagi.

Filem ini membariskan pelakon hebat China seperti Yanhui Wang; Youhao Zhangt, Beibi Gong; Wenjuan Feng; Junhao Li dan Jinshan Liu.

Kisah berkisar pemuda, Xiao Erdong bercita-cita menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang ayah, Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa. Ayahnya tidak mahu Xiao Erdong kecewa kerana anaknya itu berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang meninggal dunia.

Namun, Xiao Erdong 'curi-curi' berlatih tanpa pengetahuan ayahnya. Dalam suatu insiden, Xiao Erdong terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi kenyataan apabila anak tersayang disahkan buta.

Selain Ola Bola, Keng Guan menghasilkan filem The Journey pada 2014 yang mencatat kutipan RM17.28 juta.

Sebuah lagi karyanya, Think Big Big yang dihasilkan pada 2018 ditayangkan di 10,900 pawagam di China dengan lebih 60,000 slot tayangan. (IH)

Sembelih kerbau simbolik berdamai di Sabah.

 

Tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan' dilakukan menjelang Pesta Menuai. - Foto NSTP

MESKIPUN tiada lagi perang antara puak atau amalan memburu kepala yang suatu masa dahulu pernah berlaku dalam masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah, adat tradisi menyembelih kerbau sebagai tanda perdamaian antara puak masih diteruskan hingga ke hari ini.

Tradisi itu, bagaimanapun lebih bersifat simbolik untuk memperingati perdamaian atau disebut 'pibabasan' dalam bahasa Kadazandusun yang dicapai di antara puak bertelingkah selepas berakhirnya perang sesama mereka ratusan tahun lampau.

Kampung Libodon, Kiulu, sebuah lokasi terpencil di daerah Tuaran, kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta dari Kota Kinabalu adalah antara perkampungan masyarakat Kadazandusun yang masih mengamalkan tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan'.

Sungai Libodon yang mengalir di kampung berkenaan dikatakan pernah menjadi saksi perang dan amalan memenggal kepala antara puak Kadazandusun di sekitar kawasan itu yang pernah berlaku suatu masa dahulu.

Pada zaman itu, yakni sebelum kehadiran penjajah kira-kira dua atau tiga abad yang lalu, masyarakat Kadazandusun dikatakan hidup berpuak dan sering berperang sesama sendiri serta menjadikan kepala musuh sebagai 'koleksi' untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.

Bermula daripada itulah timbulnya gelaran pemburu kepala yang diberikan kepada individu, puak atau kaum yang banyak memenggal kepala musuh ketika berperang atau dalam misi menjejaki musuh di hutan.

Simbolik 'pibabasan'

Namun, amalan itu secara perlahan-lahan dihentikan selepas semua puak bertelingkah menyedari keburukannya dan akhirnya membuat keputusan berdamai melalui satu upacara khas membabitkan penyembelihan haiwan.

Kini, tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan' itu kebiasaannya dilakukan ketika menjelang sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang dirayakan masyarakat Kadazandusun dan Murut sepanjang Mei.

Daging haiwan dikorbankan dalam upacara itu kemudiannya dimasak dan dikongsikan bersama penduduk kampung yang sama-sama menjayakan amalan adat tradisi berkenaan.

Darahnya dialirkan ke sungai sebagai sebahagian daripada simbolik 'pibabasan'.

Tarikan pelancongan Sabah

Upacara adat seumpama itu turut disasar untuk dijadikan produk tarikan pelancongan berasaskan budaya tradisi di kawasan luar bandar Sabah dalam usaha mempelbagaikan tarikan pelancongan yang ditawarkan kepada pelancong di negeri itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, yang menyaksikan upacara 'pibabasan' di Kampung Libodon, Kiulu baru-baru ini, berkata tujuh lokasi dipilih untuk upacara itu sebagai simbolik adat lama berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata adat istiadat Kadazandusun menarik untuk diketengahkan kerana dapat memberi pengetahuan yang berharga dalam memahami budaya etnik berkenaan.

Amalan tradisi, budaya etnik jadi tarikan produk pelancongan di Sabah. - Foto NSTP

"Pertembungan puak (Kadazandusun) adalah seperti pertengkaran politik. Budaya dan perpaduan boleh menjadi jambatan penyatuan untuk mendamaikan konflik politik berdasarkan rasa hormat bersama," katanya.

Pupuk nilai perpaduan

Amalan tradisi yang memfokuskan kepada keamanan dan perdamaian adalah penting untuk perpaduan budaya, terutama dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama.

Ini adalah warisan budaya yang kaya dengan nilai dan harus dilestarikan.

"Pengetahuan mengenai kepercayaan tradisi dan amalan adat perlu diturunkan dan tidak dilupakan kerana ini adalah latar belakang budaya kita," katanya.

Joniston turut menekankan keperluan untuk mendokumentasikan semua amalan adat di Sabah untuk meningkatkan kefahaman budaya dan sebagai peringatan mengenai asas pembinaan komuniti yang ada pada hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya dan STB giat mendorong individu, termasuk penerbit filem atau dokumentari tempatan untuk bekerjasama dalam mendokumentasikan amalan budaya di Sabah dalam mempromosikan negeri itu sebagai destinasi warisan budaya. (IH)

10 Tahun kaji semua agama, ateeis suami isteri ini pilih Islam.

 

10 Tahun Kaji Semua Agama Lelaki Ateis dan Isteri Akhirnya Masuk Islam Nekad untuk Mengucap Dua Kalimah Syahadah 

TIDAK dapat dinafikan lagi kehadiran golongan athies di atas muka bumi ini. Mereka bukan sahaja tidak mengakui kewujudan Tuhan, malah hanya berpegang kepada logik semata-mata. 

Namun bagi Cedric Lim, dia yang dahulunya pernah menjadi seorang anti-agama menemui jalan penyelesaian terhadap segala kekusut4n dengan mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam baru-baru ini. 

Menerusi Facebook, lelaki yang memilih nama Muhammad Daniel Lim itu berkongsi perjalanan hidup sehingga nekad untuk mengucap dua kalimah syahadah bersama isterinya, Siti Khairiyah Wang.

Menurut lelaki berasal dari Singapura itu, dia mengambil masa lebih 10 tahun bagi mengkaji dan mempelajari pelbagai agama dan kitab suci namun tidak dapat menerima amalan yang disusun serta dipraktikkan. 

“Saya lebih suka hidup dalam penafian bagi mempercayai kewujudan Tuhan dan boleh lakukan tanpa sebarang agama pada ketika itu,” tulisnya.


Mahu dijadikan cerita, dia menyedari bahawa belum membuka dan membaca al-Quran sepanjang proses ‘pencarian’ itu ketika berbincang tentang keagamaan dengan salah seorang rakan Muslimnya. 

“Kamu sudah separuh Muslim sekiranya mempercayai tiada Tuhan, kerana Muslim percaya tiada Tuhan selain Allah yang mencipta semua kewujudan. Dia adalah mutlak, tiada jantina, tiada ibu bapa atau anak dan tiada apa kamu boleh bayangkan kata rakannya itu. Mula membaca Al-Quran 

Terjumpa banyak fakta saintifik 

Kisah luar biasa itu tular dengan mendapat hampir 10,000 perkongsian dan 19,000 tanda suka di Facebook dimana rata-rata mengucapkan syukur atas petunjuk Allah SWT yang diberikan kepada pasangan tersebut. 

Sumber: Cedric Lim 

Al-hamdulillah!

100 perubahan di Kelantan di tengah halangan politik

 

KOTA BHARU: PAS Kelantan berdepan dengan pelbagai halangan dan mehnah politik sepanjang menerajui negeri itu lebih 30 tahun sejak 21 Oktober 1990.

Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bagaimanapun berkata, halangan itu tidak membantut usaha pembangunan dan pentadbiran negeri.

Katanya arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menerajui kerajaan negeri mengambil pendekatan lunak, melaksanakan perubahan berdasar bidang kuasa kerajaan negeri.

“Apabila berlaku halangan berkaitan bidang kuasa kerajaan pusat, kerajaan negeri mengambil pendekatan rundingan selagi ruang masih ada.

“Biarpun berdepan dengan pelbagai halangan, namun selepas 10 tahun Kelantan berjaya merintis kira-kira 100 perubahan, sehingga disebut sebagai Kelantan merajui perubahan,” katanya ketika membentang kertas kerja pada konvesyen Penerangan dan Media Baru PAS secara atas talian semalam.

Menurutnya juga sepanjang tempoh 30 tahun kerajaan persekutuan ditadbir di bawah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Perikatan Nasional (PN).

Katanya juga antara cabaran besar yang dihadapi Kelantan termasuk pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, tuntutan royalti petroleum dan pemberian geran wajib oleh kerajaan pusat yang sering tersasar daripada jadual asal.

Sementara itu PAS Kelantan merakam ucapan tahniah kepada semua peserta konvensyen Penerangan dan Media Baru dari negeri itu atas komitmen kehadiran paling ramai pada program tersebut yang diadakan secara atas talian.

Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru Kelantan Wan Zulkefle Wan Mohamad berkata, komitmen itu menggambarkan kesungguhan petugas penerangan di negeri tersebut terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

“Apapun diharap semua ahli penggerak penerangan dari seluruh DUN dan kawasan diharap terus istiqamah sehingga PRU-15, sekurang-kurangnya tiga bulan lagi,” katanya di sini.

Konvensyen Lajnah Penerangan dan Media PAS Pusat diadakan selama dua hari berakhir semalam yang diadakan melalui aplikasi Zoom disertai lebih 1,000 peserta dari seluruh negara.

Wan Zulkefle juga berkata, group penerangan PAS akan berfungsi sebagai platform utama perkongsian maklumat dan isu-isu penerangan dari Lajnah Penerangan PAS Pusat serta membincangkan isu-isu penerangan yang berbangkit.

“PAS negeri juga InsyaAllah akan mengadakan konvensyen peringkat negeri dan beberapa program dalam talian yang lain dalam masa terdekat. Sama-sama berganding bahu memenangkan PAS di Kelantan dan Malaysia dalam PRU-15,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2021

Parlimen hanya bincang isu Covid-19, ekonomi -Prof Madya Dr Rusdi

 

KANGAR: Persidangan parlimen sebagaimana disaran Yang di-Pertuan Agong hanya wajar memberi tumpuan utama kepada isu Covid-19 dan ekonomi sahaja.

Prof Madya Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia berkata, persidangan itu hendaklah mengenepikan seketika sebarang isu berkaitan politik.

“Saya beranggapan sudah tiba masanya parlimen dibuka dan darurat ditamatkan demi kebaikan serta masa depan negara,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan persidangan parlimen diadakan bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahas ahli-ahli Dewan Rakyat.

Malah sebelum ini kerajaan mengumumkan mengkaji lebih terperinci persidangan Parlimen secara hibrid, merupakan satu-satu pilihan yang ada dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan memberitahu konsep yang akan dilaksanakan itu tidak jauh beza dengan parlimen-parlimen di negara lain.

Persidangan secara hibrid bermakna sebahagian ahli-ahli parlimen akan hadir ke parlimen secara fizikal dan sekumpulan lagi mengikuti secara atas talian.

Yang Dipertuan Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini juga memberitahu tarikh dan tempoh persidangan secara hibrid dibincang pada mesyuarat khas.

Menurutnya tarikh dan tempoh persidangan akan dibincang di peringkat kabinet sebelum dipesembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dr Rusdi juga berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai satu langkah baik untuk rakyat dan negara bagi menangani pandemik Covid-19.

Menurutnya Pelan Pemulihan Negara perlu bersifat komprehensif dan memerlukan pelan tindakan yang lebih jelas bagi menangani krisis.

“Cuma terdapat segelintir pihak tertanya mengapa baru sekarang dibangkit pelan seperti itu, sepatutnya ia sudah dibuat awal lagi ketika pengisytiharan proklamasi darurat.

“Walau bagaimanapun pelan ini amat perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengeluarkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurutnya sekiranya pelan itu boleh dilaksanakan dengan baik dan teratur dengan kerjasama serta ganding bahu semua pihak ia akan membuahkan hasil.

“Penglibatan kerajaan dan pembangkang diperlukan dalam pelan seperti itu di samping pihak lain termasuk teknorat, profesional dan sebagainya,” katanya.

Selasa lepas perdana menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang meliputi fasa 1 hingga fasa empat. Fasa 1 pada Jun perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi.

Fasa 1 pada Julai dan Ogos sektor sosial kekal ditutup, fasa 3 pada September dan Oktober sektor sosial dibuka secara berperingkat dan fasa 4 pada November dan Disember pembukaan penuh termasuk sektor sosial.

Dr Rusdi turut mencadangkan dua majlis tindakan wajar ditubuh dalam pelan pemulihan negara tersebut iaitu Majlis Tindakan Covid-19 Negara dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara supaya kerajaan lebih fokus dalam menangani dua krisis utama yang berlaku sekarang.

Kata beliau Majlis Tindakan Covid-19 Negara boleh menumpukan perhatian isu berkaitan kesihatan, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara pula memberi fokus hal berkaitan ekonomi.

“Keahlian dalam dua majlis itu perlu melibatkan pakar kesihatan dan ekonomi di samping tokoh tertentu yang mempunyai pengalaman dan hubungkait dengan dua isu utama tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails