Monday, July 26, 2021

OLIMPIK: Farah Ann tempat ke-53. Sukan Syariat, Mampukah?

 

KUALA LUMPUR: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi gagal dalam usahanya melangkah ke pusingan akhir acara individu all around Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini selepas dia sekadar menamatkan aksi pada pusingan kelayakan keempat di kedudukan ke-53 keseluruhan, hari ini.

Selepas mengharungi empat aparatus, Farah, 27, yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik mengumpul keseluruhan 48.565 mata dalam saingan yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake itu.

Dia yang memulakan aksi dengan disiplin palang bertingkat mengutip 11.600 mata sebelum meraih 11.566 untuk aksi batang titian.

Aksi Farah dalam disiplin senaman lantai pula menyaksikan dia mengutip 12.333 manakala dia meraih mata tertinggi dalam melombol yang juga aparatus terakhirnya dengan catatan 13.166 mata.

Hanya 24 gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke final bagi acara individu all around yang akan berlangsung, Khamis ini.

Bagi saingan individu pula, hanya lapan gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke pusingan akhir.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jika negara umat Islam Malaysia mahu terlaksana 'sukan menurut syariat' seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu, tentukan dalam PRU 15 akan datang Ahli Parlimen PAS bertambah kerusinya! Jom sama-sama berdoa dan berusaha!

Boikot jual aiskrim pun keganasan? Presiden baru Israel gila..

 

Jenama Ais Krim AS Boikot Israel, Presiden Zionis Gelar Ianya ‘Keganasan Jenis Baru’

Baru-baru ini, sebuah syarikat ais krim terkenal dari Amerika Syarikat, Ben & Jerry’s membuat keputusan untuk tidak menjual produk mereka di penempatan Israel di Tebing Barat dan Yerusalem Timur.

Berikutan itu, Presiden Israel Isaac Herzog melabelkan boikot tersebut sebagai ‘keganasan baru’ terhadap Israel.

Label kempen boikot ‘keganasan jenis baru’
“Boikot Israel adalah jenis baru keganasan, keganasan ekonomi,” kata Herzog dalam upacara memperingati mantan perdana menteri dan presiden Israel yang sudah meninggal dunia. 
“Keganasan cuba membahayakan warga Israel dan ekonomi Israel. Kita mesti menentang boikot dan keganasan ini dalam bentuk apa pun.” katanya.

Selain itu, beliau turut menambah bahawa kempen boikot itu bertujuan untuk melemahkan kewujudan negara Israel.


Terdahulu, syarikat ais krim itu menyatakan mereka membuat keputusan untuk tidak lagi menjual ais krim di kawasan penempatan di Tebing Barat, berikutan kebimbangan peminat dan rakan kongsi yang dipercayai mereka. 

Jadi boikot jual aiskrim pun termasuk dalam keganasan? Presiden Israel yang baru ini, nampaknya lebih gila lagi..  
(IH)

Sunday, July 25, 2021

“PH ni tidak serik, hanya sekadar beretorika..." -Dr Ahmad Yunus

 

Kerajaan PH jelas gagal tercatat dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal mengurus sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat, penuh pengharapan dengan janji-janji manis ‘bulan dan bintang’ manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang gagal ditunaikan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, setelah diberikan sebuah kerajaan, mereka asyik bercakaran pula untuk berebut jawatan Perdana Menteri, genetik ‘langkah Kajang’ memang telah membarah dalam kalangan PH.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, Perdana Menteri (yang mereka dewa-dewakan) meletak jawatan lalu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) inilah yang mengambil tanggungjawab untuk mengurus negara kita.

“Tak dapat dibayangkan oleh seluruh rakyat Malaysia sekiranya mereka masih mentadbir negara Malaysia yang kita cintai, wirid PH ‘Malaysia sudah tidak ada duit disebabkan telah habis digunakan oleh kerajaan sebelum itu’ sehingga kerajaan PH meminjam kewangan dari negara matahari terbit,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berapa banyak lagi mereka akan meminjam dari negara luar kalau PH masih memerintah atau rakyat akan mati kebulur.

Hakikatnya, kata beliau semenjak PN mentadbir negara ini, tidak pun meminjam sumber kewangan dari negara luar.

Menurutnya, ada sahaja sumber kerajaan dan dalam negara untuk mengurus negara dalam menangani wabak Covid-19, beratus bilion ringgit jumlahnya.

Hakikatnya, kata beliau kegagalan mereka menghalang pelancong dari negara China menyebabkan perebakan Covid-19 di Malaysia pada peringkat awal.

“Teringat saya genetik PH menyatakan Selangor masih belum kritikal apabila Kerajaaan Persekutuan akan memerintahkan PKP di seluruh negara termasuk Selangor seolah-olah yang mereka mahu atasi adalah nombor dan bukan nyawa rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya apa lagi yang mahu rakyat Malaysia harapkan daripada PH, yang nyata dikejar oleh mereka adalah jawatan bukannya kesejahteraan rakyat yang harus diperjuangkan.

Tambahnya, Sidang Khas Parlimen yang akan berlangsung untuk membahaskan kelangsungan kesejahteraan rakyat, sudah ada bunga-bunga untuk dijadikan gelanggang untuk menukar kerajaan.

“PH ni tidak serik, hanya sekadar beretorika semata-mata,” ujarnya yang juga Adun Sijangkang. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

Rumah jadi tempat proses air ketum

 

Polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Delek dan merampas 101 bungkus air ketum yang siap di proses. - Foto ihsan IPD Klang Selatan

KLANG: Kegiatan memproses dan menyimpan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek dekat sini terbongkar apabila diserbu polis kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 pagi, 101 bungkusan air ketum dirampas manakala dua lelaki ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hasil aduan dan maklumat awam.

"Tangkapan pertama dilakukan terhadap suspek berusia 37 tahun di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang dan satu bungkusan air ketum dirampas.

"Ia disusuli tangkapan suspek kedua berusia 42 tahun dan rampasan 100 bungkusan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek. Keseluruhan air ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM1,010," katanya hari ini.

Siasatan awal polis mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai stor dan tempat memproses air ketum. Suspek dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dan air ketum berkenaan akan diedarkan di sekitar Klang.

"Polis percaya daun ketum diperoleh suspek daripada seorang lelaki tempatan di Pulau Indah dan usaha memburunya giat dijalankan," katanya.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.

Syed Saddiq: Tuduhan liar, tidak matang &tidak berasas

 

Pendakwaan Syed Saddiq dan tuduhan terhadap parti PN

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) maklum mengenai YB Syed Saddiq, bekas Menteri Belia dan Sukan, yang telah dituduh atas dua (2) pertuduhan di bawah Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah dana ARMADA Malaysia berjumlah RM1 juta dan kesalahan penyalahgunaan wang sumbangan kempen PRU-14 sebanyak RM120,000. 

Pemuda PN sentiasa berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang, di mana seseorang itu tidak bersalah selagi mana tidak dibuktikan bersalah. Pemuda PN menjunjung dan amat yakin dengan ketelusan dan integriti Institusi Kehakiman. Ia adalah medan terbaik untuk tertuduh mendapat keadilan, membukti diri tidak bersalah dan membersihkan nama.

Namun, kenyataan YB Syed Saddiq dengan sewenangnya menuduh pendakwaan ke atasnya disebabkan keengganan tertuduh menyertai dan menyokong parti Perikatan Nasional amat mengecewakan. Ini merupakan satu tuduhan yang liar, tidak matang dan tidak berasas yang jelas mempunyai agenda tersendiri. Seumpama pepatah Melayu: ‘Awak yang tidak pandai menari, dikatakan lantai yang berjongket.’

Pemuda PN sentiasa berpegang pada konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), beretika dan politik khidmat bakti.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda Perikatan Nasional
Ketua Pemuda PAS – HARAKAHDAILY 23/7/2021

Terpapar jelas dendam kesumat PH -Prof Madya Dr Fuad Salleh

 

Dendam kesumat PH terhadap PAS dan kerajaan PN

TERPAPAR jelas dendam kesumat Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah dibentuk secara berperlembagaan setelah ia dijatuhkan sendiri oleh Perdana Menteri yang mereka lantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Masakan tidak, kerana ada menteri PH yang keluar negara menaiki kenderaan rasmi tetapi bila pulang terpaksa naik kereta sendiri kerana Kerajaan PH telah jatuh pada 24 Februari 2020 setelah Perdana Menteri, Tun Mahathir meletak jawatan dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali memberikan kenyataan media bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan semua tugas jemaah menteri dan anggota pentadbirannya pada lewat senja hari yang sama.

Keseronokan menguasai Putrajaya selama 21 bulan bermula dari 18 Mei 2018 berakhir pada tengah hari 24 Februari 2020 selepas mengharung bermacam perbalahan sesama sendiri yang kemuncaknya ialah pada hari Jumaat 21 Februari 2020 apabila ramai kalangan yang hadir mesyuarat PH pada malam itu meminta dan menekan Tun Mahathir supaya menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim. (https://www.sinarharian.com.my/…/Runtuhnya-kerajaan…)

21 bulan PH memerintah Malaysia tanpa menunaikan janji-janji yang dipaparkan dalam manifesto PRU14 yang menyebabkan rakyat sangat teruja dengan janji-janji berkenaan, ditambah dengan banyaknya berita negatif mengenai PM ke-7 dan kerajaan BN yang memerintah waktu itu.

Dengan kuasa tular dan PH berjaya menguasai minda pengundi, BN tumbang dalam PRU14. Namun 21 bulan berikutnya menyaksikan janji menghapus tol, menurunkan harga minyak, isu PTPTN dan sebagainya gagal ditunaikan oleh PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui kegagalan PH itu (https://www.sinarharian.com.my/…/Anwar-mohon-maaf-PH…) yang akhirnya membawa kejatuhan kerajaan PH setelah PH gagal mengatasi perbalahan dalaman.

Sejak itu bermulalah serangan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ dan sebagainya terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan ada 29 Februari 2020 dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. (https://www.bharian.com.my/…/muhyiddin-dilantik-pm-ke-8…)

Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya menubukan kerajaan dengan menamakan menteri-menteri kabinetnya untuk mentadbir negara yang sudah mula diancam wabak Covid-19 kerana kerajaan PH tidak bertindak menghalang kemasukan pelancong asing dari negara yang telah dijangkiti wabak berkenaan yang menjadi punca merebaknya Covid-19. Berita keengganan kerajaan menghalang kemasukan pelancong dari China dinyatakan oleh Timbalan Pedana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (https://www.bharian.com.my/…/kerajaan-belum-cadang…) dan diperkuat dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir. (https://www.sinarharian.com.my/…/Koronavirus-Tiada…).

Sejak itu kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat sehingga hampir mencecah satu juta. PH berjanji lagi untuk mengurus dan membawa Malaysia keluar dari pandemik Covid-19 jika diberi peluang menerajui Putrajaya. Berjanji lagi! Janji lama tak tertunai ada hati berjanji lagi. Sebelum memberi janji manis elok PH buktikan kemampuannya menangani Covid-19 di negeri-negeri yang dikuasainya, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Pada 23 Julai 2020, sebanyak 15,573 kes positif baru dicatat. Selangor menyumbang 7,672 kes (49.26 peratus), Negeri Sembilan mencatat 682 (4.38 peratus) dan Pulau Pinang pula menyumbang 530 kes baru (3.40 peratus) daripada keseluruhan kes baru. Berdasarkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 980,491 Selangor merupakan penyumbang keseluruhan tertinggi dengan jumlah 351,618 (35.86 peratus), Negeri Sembilan 65,477 (6.68 peratus) dan Pulau Pinang 41,019 (4.18 peratus). Secara keseluruhan negeri-negeri PH menyumbang sebanyak 458,114 kes positif Covid-19 iaitu 46.72 peratus daripada keseluruhan kes positif di Malaysia.

Selangor telah menubuhkan ‘Task Force’ sendiri diketuai oleh mantan Menteri Kesihatan dan dianggotai oleh Dr. Mariah serta beberapa individu yang dikatakan pakar dalam menangani Covid-19, namun sehingga kini tiada hasil positif ditunjukkan.

Selangor terus mendahului negeri-negeri lain dan menjadi penyumbang terbesar kes positif Covid-19. Di mana pasukan pakar mereka? Di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang? Benar seperti yang dikatakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, PH jangan terus bermain persepsi meracuni fikiran rakyat dengan menggunakan media sosial untuk mengganggu kerja-kerja kerajaan PN menangani pandemik ini. Cukuplah dengan janji palsu yang dulu, jangan tambahkan lagi janji yang tak akan tertunai. Benar jugalah tulisan Tuan Guru Abdul Hadi yang mengingatkan PH supaya berpolitik dengan jujur, bukan dengan menipu rakyat. Berpolitik secara bersih, bukan mengamalkan politik kotor kerana sibuk mahu merebut jawatan Perdana Menteri dan menabur janji. Berkas kayu yang terpikul di belakang PH masih banyak, jangan ditambah dengan kayu baru.

Buktikan bahawa kamu jujur mahu membantu rakyat. Buktikan bahawa kamu mampu menangani pandemik ini dengan menurunkan angka di tiga negeri yang kamu kuasai. Buktikan juga kamu bersungguh menghapuskan kilang-kilang haram yang menjadi penyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan juga peningkatan kes positif Covid-19. Kemudian buktikan juga kamu mahu membantu kerajaan yang menjadi musuh kamu menangani pandemik ini kerana lebih cepat ia diatasi, lebih segera PRU15 boleh diadakan. Jangan mangsakan rakyat kerana kerakusan mahu menjadi Perdana Menteri dan mahukan kerusi-kerusi menteri kabinet.

Jika kamu tidak mampu melakukannya, berpolitiklah secara bersih dan tunggu saat sesuai untuk menentukan kerusi yang kamu akan bertanding pada PRU15 nanti. Jika terus diganggu, ia akan melambatkan usaha menamatkan pandemik ini dan kesannya ialah semakin lambat untuk parlimen dibubarkan. Maka semakin lambatlah PRU15 akan diadakan. Bersama kita hadapi pandemik Covid-19 ini dan bersedialah menghadapi PRU15. – HARAKAHDAILY 24/7/2021

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor.

Lebih 58,000 peneroka FELDA setuju tawaran lupus hutang

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi ucapan ketika menghadiri pertemuan bersama wakil peneroka sempena lawatan kerja beliau di Felda Bersia hari ini. - Foto BERNAMA
Gambar fail, pekerja ladang mengumpulkan buah kelapa sawit di tempat pengumpulan sebelum diangkut untuk dibawa ke kilang pemprosesan berhampiran di Felda Pasoh 4. - Foto BERNAMA

GERIK: Seramai 58,481 daripada 95,236 peneroka FELDA di seluruh negara, yang masih mempunyai hutang dengan lembaga itu, sudah menyatakan persetujuan terhadap cadangan pelupusan sebahagian pinjaman berjumlah RM8.3 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata daripada jumlah itu, 56,355 peneroka sudah menandatangani perjanjian terbabit.

Beliau berkata, isu logistik membabitkan peneroka generasi kedua dan ketiga yang kini berada di luar tanah rancangan, selain kurang kefahaman dan penjelasan dikenal pasti punca kira-kira 39 peratus peneroka yang masih berhutang belum menyatakan persetujuan.

"Bagi tanah rancangan FELDA yang penubuhannya sudah lama, boleh dikatakan separuh daripada peneroka asal sudah meninggal dunia lalu diwariskan kepada generasi kedua dan ketiga. Namun ramai dalam kalangan mereka sekarang berada di kawasan lain, justeru menyukarkan proses libat urus.

"Pandemik COVID-19 juga mengekang daripada perjalanan libat urus memberi pencerahan dan penjelasan terperinci kepada peneroka terhadap isu yang dibangkitkan apabila timbul keraguan dan spekulasi yang berpunca apabila tidak benar-benar memahami syarat perjanjian," katanya dalam sidang media sempena lawatan kerjanya di FELDA Bersia, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Mustapa berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku isu pengambilalihan tanah peneroka susulan persetujuan mereka menanda tangani Perjanjian Pelarasan Pinjaman Secara Bersyarat terbabit, sebaliknya hanya membabitkan pengambilalihan pengurusan yang akan diambil alih oleh kerajaan.

Beliau berkata, timbul beberapa isu berikutan pelarasan pinjaman terbabit khususnya membabitkan permintaan peneroka yang konsisten melunaskan pinjaman setiap bulan agar diberikan lebih insentif.

"Bagi peminjam yang konsisten membayar setiap bulan, mereka berpendapat mereka harus diberi pengiktirafan yang lebih, berbanding peminjam yang tidak setia (culas) melunaskan hutang," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka FELDA secara bersyarat berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula lembaga itu.

Sementara dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, FELDA turut memantau perkembangan terkini berkaitan COVID-19 melalui pembukaan 142 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sudah dibuka daripada keseluruhan 317 tanah rancangan seluruh negara.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nasib baik PH cuma perintah 22 bulan, kalau tidak habis sawit ditebang ganti buluh.. otak terlampau tak cerdik...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails