Sunday, August 01, 2021

Negara umat Islam sekular diizinkan, termasuk M'sia?? -IH

 

Negara Islam sekular diizinkan oleh penjajah.  -Presiden PAS

SNOUCK Hurgronje ialah seorang tokoh orientalis yang terkenal, khususnya pada masa penaklukan Acheh oleh kolonial Belanda. Dia mengkaji tentang masyarakat Islam khususnya di Acheh, sehingga menguasai budayanya dan membantu Belanda menguasai sebahagian daripada wilayah Acheh.

Sebelum itu, dia pernah ke Makkah demi mempelajari Islam dan mengkaji kehidupan masyarakat di sana. Kemudiannya, dia banyak menghasilkan penulisan berkenaan Islam untuk kajian para penjajah terhadap Islam. Dia pernah membuat kenyataan yang bermaksud:

“Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat bahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama’ hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik. Adalah sangat berbahaya jika membawa trend untuk kembali semula kepada pemerintahan Khilafah (politik Islam).”

Lord Cromer iaitu seorang Gabenor Inggeris di Mesir dan Sudan pernah menegaskan dalam tulisannya:

“…bahawa tanah jajahan yang diberi kemerdekaan itu, perlu diserahkan kepada anak negeri yang dapat melangsungkan dasar-dasar dan polisi yang menjaga kepentingan dan keselamatan Barat.”

Di sana terdapat banyak lagi kenyataan yang lain, tetapi semua itu sama sahaja maksudnya semata-mata untuk menghalang Islam daripada kembali memerintah negara dan kembali semula menjadi penyelamat umat manusia.

Sikap yang sama sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu yang menentang petunjuk Allah SWT iaitu Islam. Agama sempurna yang menjadi perjuangan para anbiya’ AS.

Firman Allah SWT:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tiada yang berselisih itu melainkan orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri). Maka, Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah: 213)

Langkah untuk memurtadkan umat Islam secara total daripada agamanya, dianggap suatu usaha yang mustahil oleh Barat. Lalu, Barat mengubah pendekatan yang dirancang supaya Islam tidak lagi berkuasa dengan mengambil pendekatan sekularisme, apabila kuasa Islam disempitkan hanya dalam urusan ibadat, diri dan kekeluargaan.

Adapun kuasa pentadbiran negara sepenuhnya dipegang oleh petugas yang dilantik oleh penjajah yang menguasai urusan kehidupan yang lebih luas dalam masyarakat.

Inilah pendekatan yang dilaksanakan melalui konsep sekularisme secara halus, sehingga membawa kepada penjajahan pemikiran dan kefahaman dalam masyarakat Islam yang sebahagian besarnya jahil berkenaan agama sendiri.

Seterusnya diatur perancangan melalui aspek pentadbiran, pelajaran, pendidikan dan media. Maka, akhirnya berlakulah perkara yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌لَتَتَّبِعُنَّ ‌سَنَنَ ‌الَّذِينَ ‌مِنْ ‌قَبْلِكُمْ ‌شِبْرًا ‌بِشِبْرٍ، ‌وَذِرَاعًا ‌بِذِرَاعٍ، ‌حَتَّى ‌لَوْ ‌سَلَكُوا ‌جُحْرَ ‌ضَبٍّ ‌لَسَلَكْتُمُوهُ.

“Sungguh kalian akan terpengaruh dengan perjalanan kalangan yang terdahulu daripada kalian (Yahudi dan Kristian), sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka juga.” (Riwayat al-Bukhari 3456 dan Muslim 2669)

Maka, dilaksanakan agenda pemisahan politik daripada agama yang dilakukan oleh agama kitabi dengan meninggalkan ajaran Islam yang sempurna oleh para Rasul. Kemudiannya, agenda tersebut dilaksanakan terhadap masyarakat dan umat Islam di tanah air yang telah dijajah itu.

Selepas itu, menjadi suatu syarat penting bagi kemerdekaan tanah air Islam yang dijajah dengan menegakkan sebuah negara Islam sekular yang memisahkan politik daripada agama.

Dengan erti kata yang lain ialah mengekalkan sistem pemerintahan yang dilaksanakan oleh penjajah ketika penaklukan mereka, atau tidak memilih sistem pemerintahan Islam yang memerintah dan mentadbir, tetapi Islam yang ditadbir tanpa mempunyai kuasa atau terus ditinggalkan Islam tanpa sebarang peranan dalam pentadbiran negara.

Semua kerajaan yang ditubuhkan selepas peninggalan penjajah diatur mengikut sistem sekular dengan meminggirkan kumpulan Islam yang memulakan perjuangan menentang penjajah. Bahkan, semua parti Islam yang memenangi pilihan raya secara demokrasi turut dibatalkan.

Antaranya seperti kerajaan yang dibentuk oleh Parti Islam Majlis Syura Muslimin (Masyumi) di Indonesia yang memenangi Pemilu pada tahun 1955 telah dijatuhkan.

Selain itu, Pilihan Raya Majlis Perbandaran di Algeria pada tahun 1990 juga dibatalkan selepas parti Islam mendapat kemenangan yang lebih besar.

Dalam pada itu, kerajaan pilihan rakyat di Mesir juga digulingkan apabila ia dikuasai oleh kumpulan Islam. Termasuklah sebelum itu, kemenangan Hamas di Gaza tidak diiktiraf kerana dasar Islamnya. Terkini pula kerajaan Tunisia yang didominasi oleh Parti Islam al-Nahdah dibubarkan.

Apabila penjajah British meninggalkan Yaman Selatan, ditinggalnya di bawah pemerintah Komunis Marxis walaupun kumpulan itu dianggap musuh kepada blok Barat. Maka menjadi satu-satunya negara komunis di tengah-tengah negara Arab, sehingga mereka berkuasa dalam tempoh masa yang lama.

Kemudian kerajaan tersebut digulingkan oleh rakyatnya dan terus menjadi medan perang proksi dalam kalangan kuasa besar sehingga kini. Ini bertujuan bagi menghalang tertegaknya sebuah negara Islam yang dianggap menjadi ancaman kepada Barat dan sekutunya, Israel.

Setelah wilayah Islam di Asia Tengah bebas daripada pengaruh blok Komunis, Ehud Barak iaitu mantan Perdana Menteri Israel membuat kenyataan terbuka mengenai kebimbangan wilayah tersebut kembali dikuasai oleh kumpulan Islam.

Kita dapat menyaksikan selepas itu hanya penubuhan negara sekular sahaja yang diizinkan berlaku, sama ada negara tersebut bergabung dengan blok Timur atau blok Barat dalam bentuk baru.

Selepas majoriti Islam rakyat Bosnia-Herzegovina berjaya membebaskan diri daripada cengakaman blok Sosialis, mereka terus berjuang dengan tidak menyerah kalah.

Apabila terdapat tanda-tanda kemenangan, maka berlakulah campur tangan yang memaksa supaya kemerdekaannya tidak wujud sebagai sebuah negara Islam yang sebenar di tengah-tengah Eropah.

Pemimpin utama negara Bosnia-Herzegovina, Ali Ezzat Begovic terpaksa menerima syarat memerintah sebuah negara sekular yang sangat bercanggah dengan perjuangannya.

Berlaku satu peristiwa ketika dirinya sudah terlewat datang ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat, tiba-tiba diarahkan para jemaah yang memenuhi masjid untuk memberikan laluan kepadanya berada di saf paling hadapan. Ketika itu, Almarhum berpaling kepada orang ramai, lalu berkata:

“Inilah kelemahan pertama demokrasi Barat.”

Negara Turki selepas kejatuhan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, telah dipinda perlembagaannya oleh Mustafa Kamal Ataturk bagi mempertahankan prinsip dan konsep sekularisme yang dilindungi oleh tentera yang merampas kuasa. Ia dilakukan kerana bimbang sekiranya Turki berubah untuk kembali kepada Islam.

Mantan Perdana Menteri Turki, Almarhum Adnan Menderes yang berjaya memenangi pilihan raya sekitar tahun 60-an dijatuhkan hukuman mati oleh tentera, kerana beliau menunjukkan perubahan Turki untuk kembali kepada Islam.

Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan bersama partinya yang berjaya menuju ke arah Islam juga digulingkan beberapa kali, sekalipun berada dalam sebuah kerajaan campuran bersama-sama parti-parti sekular.

Almarhum telah menubuhkan parti baharu berulang kali setelah dibebaskan daripada tahanan, namun terus-menerus digulingkan beberapa kali kerana ternyata beliau mahu mengembalikan Turki kepada Islam.

Akhirnya, Recep Tayyip Erdogan yang mengubah pendekatan parti AK, membuat janji kepada para Jeneral bagi mempertahankan sistem sekular dan benar-benar mengamalkan demokrasi.

Setelah mengambil langkah dan pendekatan memberikan hak demokrasi yang sebenar kepada Islam untuk diamalkan secara sistem sekularisme, maka telah mencetuskan kebangkitan semula kepada Islam. Lalu, akhirnya dirancang satu lagi siri rampasan kuasa tentera, namun usaha itu gagal menghalang kebangkitan rakyat yang menghadapinya.

Islam ditentang tanpa mengira mazhab. Shah Iran, Reza Shah Pahlavi yang memerintah secara diktator diiktiraf kerana pegangan sekularnya, sehingga berlaku perubahan melalui Revolusi Islam Iran yang menjatuhkannya.

Adapun negara Iran yang berubah kepada amalan demokrasi pilihan rakyat ditentang dan dikepung habis-habisan, bukan kerana Syiah yang menjadi mazhabnya, tetapi kerana Islam yang menjadi pegangannya.

Begitu juga, langkah bagi menentang penubuhan kerajaan Islam di Afghanistan oleh kumpulan Mujahidin dan terkini Taliban, ditentang habis-habisan atas nama menentang memerangi keganasan, walaupun Barat juga menyerang dengan cara yang paling ganas dan melampau.

Semua senario yang berlaku menunjukkan penipuan slogan demokrasi purba, iaitu suara rakyat, suara Tuhan atau suara rakyat, suara keramat yang diucapkan oleh pendukung sekular yang menolak kuasa agama dalam politik.

Ternyata bahawa para pemimpinnya berlagak menjadi Tuhan yang berkuasa dan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasanya. Sama ada melalui cara rasuah, menipu, sehinggalah cara kekerasan atas nama undang-undang ciptaan mereka sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾

“Apakah patut mereka mempunyai sembahan-sembahan yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan sekiranya tiada ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah), tentulah mereka (yang berbuat demikian) dijatuhkan azab dengan serta-merta. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang amat pedih.” (Surah al-Syura: 21)

Walaupun demokrasi moden melakukan perubahan daripada demokrasi purba yang bohong dengan slogan asalnya terdahulu, namun perubahan selepas Revolusi Perancis berlaku setelah para orientalis mengkaji fiqh politik Islam daripada segala mazhabnya.

Namun, rakyat tidak mendapat hak mereka yang sebenarnya sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Islam bahawa hak rakyat tetap diberikan, tetapi hak Allah yang Maha Berkuasa mengatasi segala kuasa para pemimpin.

Negara Sosialis dan Komunis meletakkan perkataan demokrasi dan rakyat pada jenama negaranya, tetapi mereka tetap melaksanakan pendekatan dictatorship (pemerintah secara kuku besi) yang memaksa rakyat lebih kejam daripada demokrasi Barat yang liberal.

Sikap ‘double standard’ bukan sahaja dilakukan terhadap Islam yang tidak diberikan hak oleh demokrasi sekular, bahkan rakyat mereka yang percaya kepada sistemnya juga menjadi mangsa penyelewengan demokrasi yang tiada kuasa agama dapat mengatasinya.

Kita baru sahaja menyaksikan contoh bagaimana cara samseng digunakan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang dianggap sebagai model demokrasi di negara Barat yang paling maju. Pada masa yang sama, munculnya fahaman liberal yang melampaui sempadan sifat fitrah manusia atas nama kebebasan dan hak yang dikatakan hak asasi.

Namun begitu, ia telah merosakkan sifat kemanusiaan yang mulia yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa yang berlaku adalah keruntuhan jati diri dan kemusnahan institusi kekeluargaan yang boleh meruntuhkan kehidupan bermasyarakat madani dan juga menempah kemusnahan alam. Sehingga keadaan tersebut menjadikan manusia lebih sesat daripada binatang yang tidak berakal. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Adapun negara Islam yang meneruskan warisan para penjajah menghadapi masalah yang sama dengan negara pencipta teori dan ideologinya, bahkan semakin menambahkan masalah dan terus lemah tidak membangun menjadi negara yang maju dan kuat.

Maka, sudah tiba masanya untuk semua kembali ke pangkal jalan Islam yang sempurna. Agama yang telah terbukti kejayaannya, apabila manusia berpegang dengan teguh kepada syariat Islam dan mulia bersama dengannya.

Terbukti juga kesesatan teori dan ideologi selain daripada Islam, sehingga telah menunjukkan akibat mendapat kehinaan di dunia sebelum kehinaan di akhirat kelak.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulhijjah 1442 / 1 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 1/8/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah Malaysia dengan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang termasuk dalam negara umat Islam sekular?

DAP lagi: Membakar Islam, bagai api dalam Islam..

 

Lihat 15 perkara ini.. membakar membara mendalam

1. Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Pahang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh, cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.

2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP ialah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

3. Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.

4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

5. Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

6. DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

7. Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan Jakim sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng, pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajiban wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy, pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

8. Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 Sept 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara disebut beliau, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam Facebook beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.

10. Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.

11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming menyindir purdah yang dipakai sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".

12. Dalam isu murtad, Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

13. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Jan 1995, Barisan Alternatif pada Sept 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.

14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok bumiputera dan bukan bumiputera ditentang”.

15. Kuat menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.

Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini. 

(IH)

Bolehkah rangkul emas, X pakai begini di kolam renang?

 

Perenang Australia, Emma McKeon meraikan kejayaan memenangi emas acara gaya bebas 50m Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto AFP.

KL: Bolehkah dengan tidak berpakaian 1/2 telanjang begini, yakni memakai pakaian beradap menutup aurat seperti yang dikehendaki oleh agama Islam, peserta yang menang dapat merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo ini? Weblog Ibnu Hasyim bertanya.

"Kalau tidak boleh, hal inilah yang perlu diperjuangkan oleh negara umat Islam, dalam memaju dan mengembangkan arena sukan ke seluruh dunia." kata editornya.

Beliau merujuk kepada perkembangan sukan di salah satu negeri di negaranya, yakni pada tahun ini, negeri Terengganu mengorak langkah kehadapan dengan menghantar Azreen Nabila Alias, ratu pecut Terengganu ke temasya sukan dunia mewakili Malaysia. Ertinya sekali gus mengangkat mengangkat imej dan konsep 'patuh syariah dalam sukan' dan memperkenalkan konsepnya ke peringkat dunia.

Menurut beliau lagi, beberapa hari lepas juga tular di media sosial mengenai ahli pasukan gimnastik Jerman memakai full body suit sebagai usaha untuk mengubah persepsi orang ramai dan menentang perempuan dijadikan simbol seksual dalam arena sukan. (https://www.reuters.com/…/gymnastics-german-team-wears…/)

Begitu juga pasukan bola tampar pantai dari Norway sedia membayar denda kerana tidak mahu memakai bikini dan memilih memakai seluar pendek.  (https://www.nytimes.com/…/norway-beach-handball-team.html). 

"Nampaknya atlet wanita bukan Muslim juga mula memperjuangkan dan menolak pakaian yang mereka rasakan memanipulasi wanita sebagai objek seksual walaupun sudah pastinya falsafah mereka tidak sama dengan konsep patuh syariat pakaian sukan Islam."

Jelas editor Weblog Ibnu Hasyim.






Berita hari ini: OLIMPIK, McKeon rangkul emas ketiga di kolam renang

TOKYO: Perenang Australia, Emma McKeon memenangi emas acara gaya bebas 50 meter (m) iaitu kejuaraan ketiga dan pingat keenam dari Pusat Akuatik Tokyo pada temasya Sukan Olimpik 2020 di sini, sebentar tadi.

Atlet berusia 27 tahun itu turut mencatat rekod baharu Olimpik dengan kepantasan 23.81 saat bagi mengenepikan cabaran wakil Sweden dan pemegang rekod dunia, Sarah Sjostrom (24.07) dan perenang Denmark, Pernille B lume (24.21).- AFP

Kuartet wanita Australia meraikan kejayaan memenangi acara 4X100m berganti-ganti rampaian pada Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto EPA.

Rampaskuasa UMNO, Ismail Sabri ganti PM? Ini 10 perkara

Waspada rampasan kuasa Umno 

IPOH MALI 1- Bila keluar kenyataan dari Istana, Titah YDP Agong tengahari kelmarin, ramai dari kalangan pemimpin dan penyokong PH sangat teruja. Memang benar, ia seakan satu krisis besar perlembagaan, lebih teruk ia melibatkan pembohongan besar Kerajaan di Dewan Rakyat melibatkan Istana. 

2-Kelihatan kedudukan PM Mahiaddin kini di hujung tanduk.. Ikutkan krisis perlembagaan sebesar ini, jika Mahiaddin tidak meletak jawatan, setidaknya Takiyuddin mesti mengambil tanggungjawab meletak jawatan.. Cara terbaik, melakukan undian percaya di dewan Rakyat.. 

3- Seperti aku tulis sebelum ini, Umno kini di landasan yang tepat untuk rampasan kuasa. Keputusan Mesyuarat Majlis tertinggi Umno bulan lepas menarik sokongan kepada Mahiaddin dan mengekalkan sokongan kepada PN adalah satu dari plot dan strategi dalam rencana ini. 

4- Biarpun kedudukan sokongan gagasan pembangkang itu besar, tetapi tidak solid dan bersatu sesama mereka, Ia sebenarnya membuka ruang kepada Umno. Perlantikan Ismail Sabri Sebagai TPM meletakkan kedudukan mereka, hanya satu langkah lagi melengkapkan semua langkah politik mereka. Jika tidak ada ketentuan politik, Ismail Sabri boleh dilantik sebagai PM Interim dalam tempoh penggal yang berbaki oleh istana berdasar kedudukannya dalam kerajaan. 

5- Sebenarnya siapa yang baca kenyataan Najib 2-3 hari lepas satu hint telah diberikan.. Ia diulang lagi Najib hari ini.. Begitu juga kenyataan Presiden Umno, dan kenyataan Ismail Sabri kali ini lebih jelas. Tiba tiba Ismail Sabri memberikan gambaran Kerajaan PN masih mempunyai Sokongan kukuh. 

6- Harus diingat, Ismail Sabri dalam Kenyataan dia..Dia tidak mengatakan Mahiaddin masih mendapat kepercayaan majoriti MP. Tetapi yang masih mendapat sokongan adalah Kerajaan PN, dan kenyataan ini diulang Najib dalam sidang media dia petang kelmarin ketika mendesak Mahiaddin meletak jawatan. Ia senada dan seirama, kebetulan keduanya dari Pahang. Belajar dari kelicikan dan tipudaya Umno di Perak. 

7- Jadi Pemimpin PH dan Gagasan Rakyat Bersatulah.. Jangan buka ruang untuk sekali lagi Umno berkuasa. Siapa yang ikuti kenyataan Lokman Noor Adam sejak tahun lepas, mereka memang merencanakan sebuah Mageran, dan PM Interim itu mesti datang dari Umno sementara menunggu pilihanraya.. seakan ianya semakin dekat. 

8- Bagi pemimpin PH, perpegang kepada prinsip demokrasi beparlimen, jangan terlalu bermain dengan naratif “DERHAKA”.. risau nanti kena Checkmate.. Tindakan Ketua Pembangkang, Ds Anwar Ibrahim melakukan undi tidak percaya itu tepat..dan jika Mahiaddin terpaksa meletak jawatan, seorang calon PM dan kerajaan yang kukuh diperlukan dan mesti dipilih melalui proses Parlimen. Bukan PM Interim pilihan Istana sekali lagi.. oleh itu junjunglah Prinsip Raja Berpelembagaan.. 

9- Jadi bersama lah demi rakyat dan negara, bina Kerajaan Perpaduan yang kukuh biarpun siapa pun Perdana Menterinya asalkan bukan datang dari Umno.. Jangan pula sampai waktunya sentimen derhaka itu pula beralih kepada PH, dan ketika itu kita pula terpaksa akur dan terperangkap sekali lagi.. 

10- Inilah masanya kita perlu bersama selamatkan rakyat dan negara..! at 8/01/2021 09:00:00 PG 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kita paparkan suatu pandangan untuk membuka minda. Tetapi tidak bererti hal ini dipersetujui oleh Weblog Ibnu Hasyim.


Saudi, kapal pesiaran, Fatih, kapal gerudi, drone pertanian &polittik Tunisia.

 

MSC Bellissima berlabuh di pelabuhan Jeddah sebelum memulakan pelayaran sulungnya dari Arab Saudi. - Foto AGENSI

1. Kapal persiaran mewah belayar dari Arab Saudi kali pertama

RIYADH: Sebuah kapal persiaran mewah meninggalkan Arab Saudi untuk pertama kalinya dan berlayar menuju perairan wilayah ketika kerajaan berusaha mengembangkan industri pelancongan dan mempelbagaikan ekonominya yang bergantung pada minyak.

Kapal MSC Bellissima yang panjangnya lebih tiga kali padang bola sepak itu bergerak dari Pelabuhan Jeddah menuju ke Aqaba di Jordan dan Safaga di Mesir.

Ia dibina di Perancis dan panjangnya adalah 315 meter dan boleh memuatkan sehingga 4,500 orang penumpang.

MSC Bellissima sebagai salah sebuah kapal persiaran terbesar di dunia.

Pelancaran perkhidmatan itu semalam dibuat dua hari selepas Arab Saudi membuka terminal kapal persiaran pertamanya di pelabuhan di Jeddah.

"Perasmian pelabuhan pertama kapal persiaran ini adalah langkah penting untuk mendukung pertumbuhan sektor pelancongan," kata Pengarah Urusan kapal persiaran Arab Saudi, Fawaz Farooqi, yang dipetik oleh agensi media Arab Saudi.

Pembangunan sektor pelancongan dan rekreasi adalah satu daripada tunjang dalam rancangan 'Wawasan 2030' diasaskan Putera Mahkota Mohammad Salman sebagai pelan persediaan ekonomi terbesar di dunia Arab.

Pada 2019, Negara Teluk membuat satu keputusan penting untuk menawarkan visa pelancong dan peraturan yang lebih longgar kerana sebelum ini ia menyekat lawatan bagi pengembara yang berniaga dan jemaah Muslim.

Penduduk dari 49 negara khususnya Eropah kini boleh memohon untuk melawat Arab Saudi yang mempunyai populasi seramai 35 juta orang. - AFP


2. Kapal Fatih Mula Menggerudi di Telaga Pengesanan Baharu Türkali-4 di Laut Hitam

Kapal penggerudian Fatih mula menggerudi di telaga pengesanan baharu Türkali-4 di Laut Hitam.

Dalam catatan yang dibuat di akaun Twitter Turkish Petroleum Corporation (TPAO), dikatakan, "Sasaran Bahau Penemuan Fatih adalah di Türkali-4".

Selepas Tuna-1, yang merupakan telaga eksplorasi, kapal penggerudian Fatih mencapai kedalaman pengeboran 3,920 meter di Türkali-1, yang merupakan telaga pengesanan laut dalam pertama di Turki, dan menyelesaikan pekerjaan di sana dalam 77 hari.

Di telaga pengesanan laut dalam kedua, Türkali-2, setelah mencapai kedalaman pengeboran 3 ribu 950 meter, kerja-kerja pengesanan cadangan selesai dalam 53 hari.

Selepas dua telaga pengesanan ini, kapal penggerudian Fatih menggerudi di telaga Amasra-1 yang terletak di Medan Gas Sakarya Utara untuk penemuan baru. Pada 28 Mei, diumumkan bahawa kapal penggerudian Fatih mula menggerudi di telaga pengesanan baharu, Türkali-3, di Medan Gas Sakarya.

Sejumlah 540 bilion meter padu gas asli telah ditemui sejauh ini semasa kerja-kerja penerokaan yang dilakukan oleh TPAO di Laut Hitam dan di laut dalam. Projek Pembangunan Medan Gas Sakarya terdiri daripada sistem pengeluaran gas asli yang akan dibangun di bawah laut, sebuah kilang pemprosesan yang akan didirikan di pesisir Filyos, dan saluran paip untuk menghubungkan kedua unit ini.


3. Turki akan Gunakan Drone Dalam Pertanian


4. Krisis Politik di Tunisia

Tunisia, satu-satunya demokrasi yang tersisa dari revolusi musim bunga Arab, telah memasuki krisis yang mendalam. 

Presiden Said mengumumkan pada hari Ahad malam bahawa dia telah membekukan semua kuasa parlimen selama sebulan, menggantung kekebalan timbalan, memberhentikan Perdana Menteri sekarang al-Mashishi, dan dia akan mengambil alih eksekutif dengan perdana menteri yang akan dia lantik .

Dia mengatakan bahawa dia sebenarnya datang ke krisis paling serius di negara ini sejak Revolusi Melati pada tahun 2011. Terdapat protes di bandar-bandar Tunisia sejak Januari kerana wabak coronavirus, memburuknya perkhidmatan awam, pengangguran dan tuduhan rasuah. Sekali lagi sejak Januari, terdapat perselisihan yang sengit antara Presiden Said dan Perdana Menteri al-Mashishi. Said tidak menyetujui pelantikan 11 menteri, termasuk menteri dalam negeri.

Said, yang terpilih sebagai presiden pada pusingan kedua pada tahun 2019, adalah seorang profesor undang-undang. Sebagai orang luar dalam politik, dia terkenal dengan penentangannya terhadap parti politik. Said, yang mengkritik demokrasi perwakilan dan menyukai idea demokrasi langsung, menunjukkan ciri-ciri populis. Sejak revolusi 2011, ia mencapai massa yang mengadu bahawa sistem parlimen tidak menemui jalan keluar untuk masalah.

Terdapat serangan di pejabat Al-Nahda, parti terbesar di parlimen. Sekarang Presiden Said telah mengambil semua kuasa eksekutif dan kehakiman sambil membekukan badan perundangan. Tampaknya sangat sukar bagi Said, yang melakukan rampasan kuasa ini dengan sokongan tentera, untuk mencari jalan keluar untuk masalah politik-ekonomi Tunisia. Presiden Said berpendapat wang akan datang dari negara-negara Teluk, yang mungkin diilhamkan oleh rampasan kuasa Sisi 2013 di Mesir. Telah diketahui bahawa UAE telah lama aktif di Tunisia. Dalam hal ini, kita mungkin berhadapan dengan pergerakan status quo baru oleh Teluk.

Speaker Parlimen dan pemimpin Al-Nahda, Ghannouchi, menyifatkan keputusan Said sebagai "cubaan rampasan kuasa menentang revolusi dan perlembagaan" dan meminta rakyat Tunisia untuk menentang rampasan kuasa. Demokrasi sepuluh tahun yang perlahan di Tunisia telah memasuki masa ujian yang serius. Rampasan kuasa Presiden Said mengenai politik tidak hanya menunjukkan krisis politik Tunisia, yang dilihat sebagai satu-satunya demokrasi di dunia Arab. Ini juga mengancam untuk menghentikan contoh percubaan Islam yang paling berjaya dengan demokrasi di dunia Arab. Jenderal rampasan kuasa Libya, Haftar, lebih suka menghubungkan rampasan kuasa 25 Julai di Tunisia dengan isu Ikhwanul Muslimin.

Dalam sepuluh tahun terakhir, Al-Nahda dan Ghannouchi telah menjalankan dasar yang seimbang. Dia membuat konsesi kepada kalangan sekular, kadang-kadang dengan tidak mencalonkan calon presiden, dan kadang-kadang dengan membentuk gabungan dengan parti kiri dan liberal. Dia bahkan menyatakan pada tahun 2016 bahawa "tidak ada ruang untuk Islam politik di Tunisia" dan bahawa mereka menggambarkan diri mereka sebagai "demokrat Muslim".

Pada kongres ke-10 gerakan Al-Nahda, "jemputan" dan "politik"; iaitu, dia mengumumkan keputusannya untuk memisahkan parti itu dengan organisasi agama. Krisis terbaru ini adalah cobaan demokrasi Tunisia serta Al-Nahda dan Ghannouchi. Ankara, sebaliknya, menentang "rampasan kuasa terhadap perintah perlembagaan" di Tunisia dan menuntut agar demokrasi dipulihkan secepat mungkin. Ibu negara barat, sebaliknya, tenang. Sekali lagi, mereka lebih suka melihat kepentingan konkrit daripada nilai (demokrasi).

Minggu-minggu akan datang sangat penting untuk masa depan Tunisia dan wilayah Afrika Utara. Kembalinya demokrasi di Tunisia boleh memberi kesan negatif yang lebih besar pada rantau ini. Satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan mewujudkan iklim politik yang akan menjamin kestabilan dengan melindungi demokrasi.

(IH)

Pakaian atlet muslimah: Perjuangan perlu diselesaikan

 

Oleh USTAZAH ASMAK HUSIN

PENGENALAN sukan patuh syariah merupakan sebuah industri yang besar kerana melibatkan perjuangan atlet wanita Islam di peringkat antarabangsa. Ketika zaman jahiliah wanita sering dijadikan objek pemuas nafsu, namun, setelah kehadiran Islam, wanita dimuliakan dan mempunyai martabat yang tinggi dengan diberikan pelbagai hak untuk melindungi maruah mereka. Tidak salah wanita bersukan kerana ia juga sebahagian fitrah tetapi kaedah dan tatacara mengikut syariah Islam.

Pakaian sukan yang terlalu ketat dan terdedah menyebabkan sebahagian atlet berasa tidak selesa kerana boleh menyebabkan mereka hilang fokus ketika beraksi. Pakaian yang menjolok mata bukan sahaja tidak disenangi masyarakat, malah menghalang bakat baharu menyertai bidang sukan.

Perjuangan sukan patuh syariah ini bukan perkara baharu, ia telah lama diperjuangkan. Contohnya pada tahun 2019 kerajaan negeri Terengganu mengumumkan bahawa atlet negeri tersebut akan beraksi di arena sukan lengkap berpakaian mengikut syariat. Keputusan yang diambil kerajaan negeri Terengganu menerima pelbagai tohmahan, sindiran dan kecaman dari pelbagai pihak.

Kita dapat lihat negara-negara Islam yang lain dan atlet Muslim telah lama terkehadapan dalam menampilkan dan memperjuangkan pemakaian dan suasana patuh syariah bagi wanita khususnya.

Contohnya:

i) Ibtihaj Muhammad
Atlet pedang yang berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat telah menjadi ahli sukan Amerika pertama yang memakai hijab di Sukan Olimpik di Rio.

ii) Kimia Alizadeeh Zenoorin
Atlet taekwando menjadi wanita pertama dari Iran berhijab yang memenangi pingat dalam acara Olimpik di Rio.

iii) Zahra Lari
Peluncur ais berasal dari Emiriah Arab yang menyertai piala Eropah beraksi dengan full suit dan berhijab.

iv) Amna Al Hadad
Atlet angkat berat di Emiriah Arab Besatu. Pada 2012, beliau menjadi atlet wanita berhijab pertama menyertai acara crossfit Asia.

Foto daripada Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.

Pada tahun ini, kita dapat menyaksikan Terengganu mengorak langkah kehadapan dengan menghantar Azreen Nabila Alias, ratu pecut Terengganu ke temasya sukan terbesar dunia mewakili Malaysia sekali gus mengangkat mengangkat imej dan konsep patuh syariah dalam sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri ke peringkat dunia.

Beberapa hari lepas juga tular di media sosial mengenai ahli pasukan gimnastik Jerman memakai full body suit sebagai usaha untuk mengubah persepsi orang ramai dan menentang perempuan dijadikan simbol seksual dalam arena sukan. (https://www.reuters.com/…/gymnastics-german-team-wears…/)

Begitu juga pasukan bola tampar pantai dari Norway sedia membayar denda kerana tidak mahu memakai bikini dan memilih memakai seluar pendek (https://www.nytimes.com/…/norway-beach-handball-team.html). Nampaknya atlet wanita bukan Muslim juga mula memperjuangkan dan menolak pakaian yang mereka rasakan memanipulasi wanita sebagai objek seksual walaupun sudah pastinya falsafah mereka tidak sama denga konsep patuh syariat pakaian sukan Islam.

Ini membuktikan bahawa perjuangan sukan patuh syariah bukan perkara kuno sebaliknya selari dengan tuntutan agama dan peredaran zaman yang semakin mencabar. Saya berharap negeri-negeri lain juga berani mengikut jejak langkah Terengganu agar konsisten memperjuangkan sukan patuh syariah di peringkat domestik atau antarabanga selaras dengan hak-hak wanita dan perlembagaan. Marilah kita sama-sama menyokong agar setiap atlet Muslim di Malaysia juga turut berani membawa perubahan sama ada dari sudut pakaian mahupun suasana. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

Vaksinasi: M'sia atasi negara maju. -Terus percepatkan

 

Vaksinasi harian Malaysia atasi negara maju

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mempercepatkan lagi sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mula dilaksanakan sejak Mac lepas.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, sasaran awal kerajaan program tersebut pada Februari 2022 bagi mencapai imuniti berkelompok 80 peratus daripada jumlah penduduk.

Bagaimanapun katanya kerajaan mempercepatkan program tersebut memandangkan penularan pandemik Covid-19 sekarang begitu membimbangkan.

Kata beliau kerajaan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti berkelompok kepada Disember 2021.

“Bagaimanapun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sasaran imuniti berkelompok dipercepatkan lagi kepada Oktober ini,” katanya ketika membentang penerangan mengenai PICK pada persidangan khas Dewan Rakyat, hari ini.

Fasa pertama program PICK bermula pada Mac lepas di mana perdana menteri menjadi penerima pertama vaksin jenis Pfizer.

Pada fasa pertama itu seramai 500,000 petugas barisan hadapan menerima vaksin.

Fasa kedua PICK pula melibatkan golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan yang berisiko tinggi.

Sebanyak 9.4 juta penerima disasar fasa itu membabitkan warga emas, pesakit kronik, (OKU) dan individu yang mempunyai komorbiditi.

Khairy juga berkata, Malaysia merupakan antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduk dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari.

“Kadar vaksinasi harian di Malaysia antara yang terpantas di dunia mengatasi beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

“Di mana sehingga sekarang kira-kira 18.4 juta rakyat Malaysia yang menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos,” katanya.

Menurutnya juga usaha mempercepatkan pemberian vaksin menjadi kenyataan apabila kerajaan membuka sebanyak 2,313 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

PPV tersebut termasuk juga dikendalikan pengamal perubatan swasta dan sukarelawan kesihatan. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails