Monday, November 08, 2021

Penurunan harga lonjak rumah PP, baik untuk kera di hutan?

 

Penurunan harga lonjak permintaan rumah di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Ivory Properties Group Bhd menjangkakan peningkatan permintaan hartanah di Pulau Pinang, disokong oleh pembukaan semula sempadan, pelan rangsangan kerajaan dan penurunan harga hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Low Eng Hock berkata harga hartanah turun disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan ini dijangka merangsang pembelian hartanah daripada pelabur atau penghuni, terutama dengan pengumuman inisiatif oleh kerajaan dalam Bajet 2022.

"Kami menjangkakan peningkatan permintaan terhadap hartanah kediaman, terutama daripada orang luar dari Hong Kong, China, Singapura serta anak jati Pulau Pinang yang menetap di luar negara.

"Kami menjangkakan sempadan antarabangsa akan dibuka tidak lama lagi dan berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pembeli dan pelabur, serta penyedia kewangan asing kerana mereka adalah pemacu utama operasi kami," katanya kepada Bernama.

Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan jaminan RM2 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC) untuk memudahkan pinjaman kepada mereka yang tidak memiliki bukti pendapatan stabil serta pelepasan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) bagi hartanah yang dilupus mulai tahun keenam dan seterusnya.

Projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.14 bilion sedang dalam perancangan.

Ketika ini, katanya satu daripada projek yang sedang dibangunkan kumpulan termasuklah podium komersial empat tingkat dengan 312 unit suite berperkhidmatan, The Wave, iaitu fasa ketiga projek Penang Times Square.

"Dengan anggaran GDV kira-kira RM500 juta, projek itu ketika ini telah 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022," katanya.

Pada masa depan, katanya kumpulan hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan melancarkan beberapa projek dengan GDV RM2.14 bilion.

Menurutnya, satu daripada projeknya, Crown Penang, suite berperkhidmatan 40 tingkat bernilai RM340 juta yang terletak di kawasan seluas 0.81 hektar dijangka dilancarkan tahun depan dan akan menampilkan teknologi rumah pintar canggih seperti lift pintar, yang menyediakan tokokan nilai serta keselesaaan kepada pemilik rumah dan pelabur.

Ivory Properties juga merancang melancarkan fasa empat dan lima Penang Times Square, masing-masing terdiri daripada hotel moden dengan GDV RM410 juta dan hotel butik bergaya dengan anggaran GDV RM155 juta.

Eng Hock berkata, Ivory Properties meninjau beberapa kawasan utama dengan potensi pertumbuhan di luar Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas termasuk Kuala Lumpur dan Perak, tetapi beberapa rancangannya terpaksa ditangguh disebabkan pandemik.

"Kami berhasrat untuk membina jenama kami dengan membina rumah yang boleh dilaksanakan dan menguntungkan bagi kepentingan pemegang saham kami, sekutu perniagaan dan kakitangan.

"Terdapat beberapa projek yang sedang dalam perancangan pembangunan di luar Pulau Pinang termasuk pembangunan Grand Connaught dan Avenue 8 Residence di Sungai Besi," katanya.

-BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nampaknya penurunan harga lonjak permintaan rumah di Pulau Pinang tidak memberi apa-apa pembelaan kepada rakyat miskin berbagai kaum Pulau Pinang.. apa lagi kepada bumiputera atau anak jati pelbagai kaum yang tertindas di bumi Allah Pulau Pinang ini.

Kerajaan Pusat perlu campur tangan..

Kerajaan Pusat perlu campur tangan, ini juga masalah nasional. Terdapat beberapa projek yang sedang dalam perancangan pembangunan di luar Pulau Pinang termasuk pembangunan Grand Connaught dan Avenue 8 Residence di Sungai Besi.

Bagaimana rakyat miskin berbagai kaum, bumiputera atau anak jati tempatan tertindas di bumi Allah Pulau Pinang ini? Mereka tetap 'pi mai pi mai, tang tu jugak nu'. Harap kerajaan negeri? Kera di hutan disusukan, anak sendiri menangis ditinggalkan! 

Porrah!!

Sunday, November 07, 2021

8 Terbunuh dipijak. Tragedi festival muzik di Houston AS. Disiplin?

Travis Scott performs on day one of the Astroworld Music Festival at NRG Park on Friday, Nov. 5, 2021, in Houston. (Photo by Amy Harris/Invision/AP)

HALAMAN HIBURAN

Tragedi di festival muzik: Sekurang-kurangnya lapan maut

TEXAS: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam kejadian pijak dalam kalangan pengunjung pada malam pertama festival muzik di Houston, Amerika Syarikat, kata seorang pegawai kecemasan di lokasi kejadian.

Ketua bomba bandar Houston mengesahkan kematian pada lewat malam Jumaat di Festival Astroworld di sini. Insiden itu berlaku semasa persembahan penyanyi rap Travis Scott.

“Sekurang-kurangnya lapan kematian yang disahkan malam ini dan berpuluh-puluh individu yang lain cedera,” kata ketua bomba Houston, Samuel Pena, sambil menambah punca kematian masih belum ditentukan, menurut laporan Al Jazeera dan CNN.

Pena berkata, kejadian itu berlaku apabila orang ramai mula berkerumun di sekitar pentas kira-kira 9:15 malam waktu tempatan (12:15 GMT). Orang ramai kemudian mula pengsan kerana tidak dapat bernafas.

Pegawai menghantar 17 orang ke hospital, termasuk 11 yang mengalami serangan jantung, kata Pena. Ramai orang juga telah dirawat di tempat kejadian di Taman NRG, di mana sebuah hospital lapangan telah didirikan.

Imej di media sosial menunjukkan kehadiran anggota kecemasan yang ramai  di tempat kejadian. Polis berkata mereka sedang menyemak rakaman video arena itu.

Festival muzik itu sepatutnya berlangsung selama dua malam, namun festival pada hari kedua dibatalkan berikutan tragedi berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, pusat penyatuan semula telah disediakan di sebuah hotel berdekatan bagi mereka yang tidak pernah mendengar khabar daripada orang tersayang berikutan kejadian itu.

Pada awal hari itu, orang ramai di festival itu telah bergegas ke kawasan VIP, mengetuk pagar dan dilaporkan memijak beberapa orang yang terjatuh tetapi tiada kecederaan serius dilaporkan ketika itu. Kira-kira 50,000 orang hadir pada festival tersebut.

Penganjur festival muzik tersebut tidak memberikan sebarang komen, lapor CNN yang cuba mendapatkan komen pada awal pagi Sabtu (hari ini). HARAKAHDAILY 6/11/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 8 Terbunuh dipijak dalam tragedi festival muzik di Houston AS. Kalau berlaku di Malaysia, adakah jalan penyeleaiannya ialah berdisiplinkan 'hiburan menurut syariat'?

PRN Melaka (19): Analisis Prof Madya Dr Rusdi (UUM) &Prof Dr Sivamurugan (USM)

 

PRN Melaka: Saingan sebenar antara BN, PH - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Biarpun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru, saingan sebenar dilihat tertumpu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata kedua-dua parti terbabit dilihat lebih dominan dalam persaingan untuk memenangi pilihan raya berkenaan berbanding Perikatan Nasional (PN).

"Kita harus ingat, biarpun kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN mampu memperoleh 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu dan saya berpandangan BN mampu mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini dan akan menambah jumlah kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

"Situasi sama juga boleh dilihat pada PH namun untuk PN, ia berbeza kerana BERSATU (parti komponen PN) pada PRU-14 bertanding atas tiket PH dan ketika itu menang disebabkan jentera PKR, AMANAH dan DAP," katanya kepada BH, hari ini.

Rusdi berkata, biarpun PAS berada dalam PN, keputusan PRU-14 menunjukkan parti itu kurang diterima di Melaka berbanding BN dan PH.

Ditanya sama ada sentimen yang wujud pada PRU-14 akan berulang pada PRN Melaka, beliau berkata, perkara itu dijangka tidak akan berlaku kerana isu dan keperluan ketika ini amat berbeza.

"Sebab itu saya katakan, kelebihan adalah pada BN dan PH, bukan PN. Sentimen PRU-14 sudah tidak laku kerana rakyat hanya mahukan mereka yang benar-benar mampu menjadi juara kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan pertembungan tiga penjuru hanya akan menguntungkan PH.

Jelasnya, pertembungan antara BN dan PN akan menyebabkan undi terutama dalam kalangan pengundi Melayu berpecah.

"Apabila wujud tiga penjuru ia akan mendatangkan pertembungan sengit khususnya parti yang ada kekuatan tenaga dan jentera, ia boleh mempengaruhi pergerakan pola pengundian serta keputusan yang bakal kita lihat

"PH mempunyai kelebihan kerana akan wujud perpecahan undi bagi BN dan PN yang berkongsi penyokong serta pengundi. Saya percaya BERSATU turut bergantung kepada ahli UMNO untuk menyokongnya," katanya.


Sila lihat siri PRN Melaka:

Turun kadar tol 13 lebuh raya L/Klang... Mana janji lidah biawak manifesto PH?

 

Kadar tol 13 lebuh raya Lembah Klang mungkin diturunkan

KUALA LUMPUR: Kadar tol di 13 lebuh raya dalam bandar di Lembah Klang berkemungkinan akan diturunkan selaras usaha kerajaan untuk menstruktur semula kadar tol lebuh raya di seluruh negara.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu antara tumpuan rundingan bersama membabitkan kementeriannya dengan tiga syarikat konsesi utama lebuh raya dalam bandar di Lembah Klang, iaitu Lebuh Raya Gamuda Berhad (Gamuda), Lebuh Raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan IJM Corporation Berhad (IJM).

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima cadangan daripada ketiga-tiga syarikat konsesi berkenaan yang menawarkan sama ada menurun atau menetapkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

"Cadangan daripada tiga pemegang konsesi lebuh raya itu juga sudah dibawa ke mesyuarat Kabinet oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), semalam (kelmarin).

"Rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya utama ini adalah bagi tujuan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah supaya tidak membebankan rakyat," katanya kepada BH.

Gamuda adalah pemegang konsesi kepada empat lebuh raya di Lembah Klang iaitu Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT); KESAS Sdn Bhd (KESAS); Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP).

Prolintas memegang konsesi bagi enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE); Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA); Lebuh Raya Kajang SILK (SILK); Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

IJM pula menjadi pemegang konsesi untuk tiga lebuh raya Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA); New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sekiranya rundingan itu berjaya menetapkan kadar tol lebih rendah, cadangan sama akan digunakan sebagai asas untuk menstruktur semula kadar tol lebuh raya di luar Lembah Klang.

"Kalau sudah ada hala tuju bagi ketiga-tiga pemegang konsesi ini, kita boleh bincang untuk lebuh raya dalam bandar di luar Lembah Klang seperti di Pulau Pinang dan Johor. Itu belum kita lihat secara terperinci," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula kadar tol lebuh raya itu adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan KKR untuk dicapai dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Fadillah, konsep lebuh raya di seluruh negara khususnya dalam bandar perlu dilihat semula selepas berlakunya penstrukturan Lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS), yang menyaksikan kadar tol di semua lebuh raya kendalian syarikat itu dikurangkan sebanyak 18 peratus tahun lalu.

"Apabila kadar tol lebuh raya PLUS dikurangkan 18 peratus, ada lebuh raya dalam bandar terjejas kerana kadar penggunanya berkurangan memandangkan tol lebuh raya PLUS lebih murah.

"Dahulu, pihak yang mencadangkan pembinaan lebuh raya menggunakan kadar ditetapkan PLUS untuk menentukan kadar tol di lebuh raya mereka.

"Apabila tol lebuh raya PLUS turun, kadar tol lain masih tinggi dan ini sekali gus menyebabkan keseluruhan aturan konsesi lebuh raya terjejas. Inilah yang kita mahu selesaikan," katanya.

Penstrukturan semula kadar tol itu dilihat sebagai susulan kepada kenyataan Fadillah pada Ogos tahun lalu, mengenai hasrat kerajaan untuk mengkaji semula diskaun 18 peratus bagi semua tol PLUS kerana diskaun yang dilaksanakan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai kesan ke atas lebuh raya lain.

April lalu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan membatalkan perancangan mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda iaitu LITRAK, SPRINT, KESAS dan SMART membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), SPRINT), KESAS dan SMART.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beban perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rakyat menuntut mana janji PH (Pakatan Rakyat) untuk membasmi harga tol seperti dijanjikan manifestonya? Mana janji lidah biawak antara penyebab ghuyup setelah  memerintah 22 bulan?

Jenaka lucah &lawak rogol, apa hukum? -P.Mufti Wilayah.

 

Hukum berjenaka lucah dan lawak tentang rogol

Soalan:

Assalamualaikum tuan mufti. Apakah hukum berjenaka lucah dan membuat lawak tentang rogol dalam Islam? Jawapan tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.


Jawapan ringkas

Waalaikumussalam wbt. 
Hukum berjenaka lucah dan membuat lawak rogol adalah haram dalam Islam kerana ia mengancam keselamatan emosi dan mental orang yang ditujukan lawak tersebut. Malah budaya sebegini tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana perkataan-perkataan yang tidak senonoh pada umumnya adalah perkataan yang tercela, melainkan menyebut alat-alat sulit manusia atas tujuan pendidikan maka ia dibenarkan. Perbuatan ini juga boleh meninggalkan kesan yang negatif kepada pendengar terutamanya kanak-kanak. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.

Perkataan dan tutur kata merupakan fitrah bagi manusia untuk berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain. Namun agama Islam memberi peringatan kepada penganutnya tentang garis sempadan dalam berbicara untuk menjaga peribadi dan tingkah laku sebagai seorang Muslim. Firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf: 18)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa setiap manusia akan dicatat perkataan dan amal perbuatan untuk dijadikan bukti ke atasnya pada hari kiamat. Sebagaimana Allah SWT akan mengarahkan anggota badan yang lain untuk menjadi saksi ke atas tuannya kelak, begitu juga dengan catatan amalan ini. Setiap perkara kebaikan yang dilakukan akan dicatat sepuluh kali ganda manakala perkara kejahatan akan dicatat sekali sahaja. Apa sahaja kebaikan walaupun sekadar niat yang terlintas di fikiran maka akan terus dicatat amal kebaikan oleh Allah SWT, dan tidak akan ditulis tentang kejahatan sehingga mana seseorang itu tenggelam di dalamnya. Namun Allah SWT masih memberi peluang kepada seseorang itu untuk sentiasa bertaubat dan bermuhasabah diri.[1] [Lihat Tafsir Khawatir Imaniyyah: 16/700]

Lawak rogol dan lawak lucah

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘lucah’ bermaksud kehinaan dan kejian yang dikaitkan dengan perempuan seperti pelacur, kecabulan dan lain-lain.[2] Manakala ‘rogol’ pula merujuk kepada perbuatan memperkosa atau mencabul kehormatan perempuan dan merupakan kesalahan jenayah.[3] Membuat lawak yang diselitkan dengan unsur lucah dan rogol adalah haram dalam Islam. Nabi SAW memerintahkan umatnya agar sentiasa menjaga kata-kata daripada terjebak dengan perkataan yang dilarang oleh syarak, sabda Baginda:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata-kata yang baik ataupun diam. (Riwayat al-Bukhari 6475)

Menurut hadis di atas, seorang Muslim dituntut agar menuturkan kata-kata yang baik ketika bergurau mahupun ketika perbincangan atau suasana yang serius. Bahkan Islam melarang umatnya daripada membincangkan berkenaan wanita di dalam satu majlis atau perkumpulan, sepertimana oleh Imam al-Zahabi yang meriwayatkan dari Ahnaf bin Qais:

جنبوا مجالسنا ذكر النساء والطعام, إني أبغض الرجل يكون وصافا لفرجه وبطنه

Maksudnya: “Elakkan majlis (perkumpulan) sesama kita daripada berbicara mengenai perempuan dan makanan. Sesungguhnya aku benci akan lelaki yang asyik berbicara mengenai seks dan keperluan perutnya”. [Lihat Kitab Siyar A’lam al-Nubala’: m/s 64]

Perkataan berunsurkan lucah dan rogol adalah tergolong dalam perkataan yang dikeji dan tercela. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

ليس المؤمن بالطعان, ولا اللعان, ولا الفاحش, ولا البذيء

Maksudnya: Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka yang suka berkata-kata keji dan buruk. [Riwayat Tirmizi: 1977]

Imam al-San’ani mengatakan di dalam syarah kitab Bulughul Maram bahawa perkataan-perkataan yang bersifat keras, carutan dan provokatif adalah haram sama ada dalam bilangan yang banyak mahupun sedikit. Hadis di atas juga memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa melaknat dan mencarut bukan daripada sifat seorang Mukmin yang sempurna imannya, namun larangan ini terkecuali kepada laknat ke atas orang kafir, laknat ke atas peminum arak dan juga kepada sesiapa yang dilaknat oleh Allah dan rasulnya.[4] [Lihat Subulus Salam: 4/360]

Kesimpulan

Maka jelas kepada kita bahawa hukum membuat lawak lucah dan rogol adalah haram sama sekali dalam Islam. Ia mengancam keselamatan emosi dan mental orang yang ditujukan lawak tersebut malah budaya sebegini tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana perkataan-perkataan yang tidak senonoh pada umumnya adalah perkataan yang tercela. Perlu dijelaskan bahawa adakala menyebut perkataan seakan lucah seperti alat sulit wanita atau lelaki untuk tujuan pendidikan dan pengajaran hukumnya diharuskan dan tidak haram. Sebagai contoh mengajar wanita tentang hukum hakam haid dan nifas, begitu juga ilmu perubatan.

Perlu ditekankan juga, seseorang yang suka mengeluarkan kata-kata lucah bukan melambangkan seseorang itu berakhlak mulia, sedangkan setiap muslim mesti menunjukkan akhlak yang baik di hadapan orang lain. Selain itu, orang yang suka mengujarkan kata-kata lucah adalah orang yang tiada perasaan malu yang mana ia melambangkan kesempurnaan iman seseorang. Wallahua’lam.

Nota Hujung:

[1] يكتب الأعمال لتكون حجة على صاحبها يوم القيامة, فكما أن الله تعالى سينطق الجوارح لتشهد على صاحبها, كذلك سينطق هذا الكتاب. ومن رحمة الله بعباده قي كتابة الأعمال أن الحفظة تكتب الحينة بعشر أمثالها, وتكتب السيئة بواحدة, تكتب الحسنة بمجرد أن تفكر فيها ولا تكتب السيئة إلا بعد الوقوع فيها, بل وتعطيك فرصة لعلك تتوب أو تراجع نفسك.

[2] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lucah

[3] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rogol

[4] فإن اللعن محرم قليله وكثيره, والحديث إخبار بأنه ليس من صفات المؤمن الكامل الإيمان السب واللعن إلا أنه يستثني من ذلك لعن الكافر وشارب الخمر ومن لعنه الله ورسوله – HARAKAHDAILY 4/11/2021

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan pada 2 November 2021.

Lihat juga..

Siri Labur Dalam Mata Wang Kripto.

PAS perlu konsisten pendekatan politik jujur, bersih

 

KUALA NERUS: PAS perlu konsisten dengan menampilkan pendekatan politik jujur serta bersih, selain rakyat sendiri perlu memilih pemimpin yang mempunyai sifat integriti demi untuk memulihkan negara.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat yang mengundi dan memilih pemimpin juga mestilah berintegriti bukan hanya berdasarkan faktor umur, malah juga berasaskan kematangan akal dan ilmunya.

“Kukuhnya integriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.

Mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Sementara itu katanya, tiada faedah sekiranya pimpinan itu sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti.

“Sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti. Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.

“Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara,” katanya.

Oleh itu katanya, integriti adalah suatu amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat.

“Integriti bukanlah cakap-cakap kosong yang sekadar menjadi slogan. Konsep ini berlaku melalui tarbiyah jasad, akal dan roh. Konsep yang tidak wujud dalam prinsip sekularisme yang memisahkan aspek politik daripada agama,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, objektif berintegriti bukan sahaja dicapai melalui pemimpin yang berilmu dan berakhlak, bahkan juga hendaklah mendirikan solat dan sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah SWT.

“Sehingga ketika memimpin dan mengurus negara, para pemimpin sentiasa tetap berhubung dengan Allah SWT.

“Setelah berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah, PAS telah membuktikan melalui tarbiyah dalam parti dengan membuka pintu 24 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugas mereka secara langsung, katanya.

Malah, SPRM turut dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan.

“Kita mengambil contoh daripada pemimpin PAS yang sudah meninggal dunia kerana orang yang masih hidup tetap masih berada dalam ujian.

“Termasuklah sehingga hari ini, pemimpin PAS yang masih hidup dapat membuktikan pentadbiran kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah laku.

“Begitu juga ketika PAS berada dalam Kerajaan Pusat dari tahun 1973 sehingga tahun 1978, dan kini diuji bersama Kerajaan PN,” katanya.

Selain itu, PAS juga mewajibkan calon wakil rakyat yang bertanding untuk berbaiah dengan sumpah setia demi Allah SWT dan pada masa yang sama, tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan, dengan keimanan kepada hukum baiah. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Usrah kini dilaksana di peringkat k'jaan. Al-hamdulillah, berkat melimpah..

 

Agenda usrah kini dilaksana di peringkat kerajaan.

KUALA NERUS: Agenda-agenda yang selama ini hanya diutarakan melalui usrah, ceramah, kuliah dan program-program dalaman parti sekarang boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan Persekutuan yang bertunjangkan kekuatan Melayu-Islam membuka ruang kepada PAS mengisinya.

Katanya, pengalaman dan pendedahan praktikal berkerajaan di Persekutuan menambahkan keyakinan tentang besarnya tanggungjawab yang boleh dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan yang dibentuk hari ini cukup prihatin dan meletak kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama dalam keadaan menghadapi krisis ketika ini.

“Selama 20 bulan kita dapat merasai keharmonian hubungan Persekutuan dengan negeri-negeri kita yang sering terpinggir sebelum ini kerana perbezaan politik.

“Tetapi sekarang pembangunan dan kemajuan berskala besar sudah mulai dilaksanakan di negeri-negeri tersebut.

“Kita juga menyaksikan beberapa tindakan kerajaan Pusat yang pada awalnya menyentuh sensitiviti umat Islam berjaya ditangani dengan baik disebabkan pegangan serta ketegasan PAS sebagai sebahagian daripada komponen parti yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Turut hadir sama, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas perkembangan sama beliau berkata, perkara itu juga membuktikan besar manfaat PAS berada dalam pemerintahan persekutuan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kemenangan yang sedang uruskan sekarang wajib dipertahan dan diisi sebaik-baiknya supaya adil di sisi Allah SWT dan juga di sisi rakyat,” ujarnya. HARAKAHDAILY 6/11/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Agenda usrah kini dilaksana di peringkat kerajaan. Al-hamdulillah. 

Inilah yang kita cita-citakan, agar negara berada dalam penuh keberkatan, ketenangan dan keharmonian yang membawa kepada kebahagiaan hidup.

Kita pinjamkan lima ungkapan mutiara kata daripada tokoh barat ini menjadikan kita terpana dan perlu berfikir semula untuk mengislahkan kehidupan kita ke arah yang lebih baik:

  • B Colbert berkata: “Kebesaran suatu negara, tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
  • Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
  • Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
  • Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
  • R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang perlu mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.”

Semoga Allah SWT kurniakan negara kita Malaysia sentiasa dalam aman damai, makmur, teguh ekonomi dan politiknya serta bahagia rakyat dan penduduknya.

Ingat Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

MaksudnyaDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Surah al-A’raf (96)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails