Monday, February 21, 2022

Di negara umat Islam, cukup dengan zakat harta, kerana...

 

Singapura naikkan cukai bagi orang kaya

SINGAPURA: Kadar lebih tinggi cukai pendapatan peribadi bagi golongan bergaji besar, cukai hartanah bernilai tinggi dan kereta mewah dilaksanakan dalam Belanjawan Singapura.

Selain bertujuan mengurangkan ketidaksamaan sosial, belanjawan kali ini turut memastikan sistem cukai yang lebih progresif lagi adil, menurut pemerhati ekonomi.

Mereka yang membeli kereta mewah akan dikenakan cukai bersamaan dengan 220 peratus daripada nilai pasaran terbuka (OMV) kereta mereka.

Peringkat Bayaran Pendaftaran Tambahan (ARF) baru bagi kereta juga akan diperkenal dan bakal menjejaskan pembeli kereta jenama mewah.

Pembeli kereta dengan OMV lebih SGD$80,000 (RM248,821) disyor dikenakan cukai bersamaan dengan 220 peratus daripada jumlah lebih SGD$80,000 itu selain peringkat ARF tertinggi kenakan cukai hingga 180 peratus daripada OMV kereta

Cukai pendapatan peribadi teratas pula akan dinaikkan mulai tahun penilaian 2024 iaitu bagi pendapatan yang diraih daripada 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.

Penduduk berpendapatan tahunan lebih SGD$500,000 (RM1.55 juta) hingga SGD$1 juta (RM3.11 juta) akan dikenakan cukai 23 peratus manakala mereka yang berpendapatan lebih SGD$1 juta akan dikenakan cukai 24 peratus.

Cukai hartanah bagi perumahan yang tidak didiami oleh pemilik termasuk hartanah pelaburan, pula akan dinaikkan kepada antara 12 peratus hingga 36 peratus berbanding 10 peratus hingga 20 peratus sekarang.

Kadar cukai hartanah rumah yang didiami pemilik bagi nilai tahunan yang melebihi SGD$30,000 (RM93,300) dinaikkan kepada antara enam peratus hingga 32 peratus, berbanding dengan empat hingga 16 peratus sekarang.

Apabila dilaksana sepenuhnya, langkah ini akan menambah pendapatan cukai hartanah Singapura sebanyak SGD$380 juta (RM1.18 bilion) setiap tahun atau sekitar 12 peratus daripada jumlah cukai hartanah diperoleh sekarang iaitu sebanyak SGD$3.1 bilion (RM9.6 bilion).

Sementara itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dinaikkan dalam dua tahap iaitu tujuh peratus hingga lapan peratus bermula 1 Januari 2023 dan daripada lapan peratus kepada sembilan peratus pada 1 Januari 2024.

Secara keseluruhan, Belanjawan Singapura kali ini mengenakan cukai pendapatan peribadi lebih tinggi bagi golongan bergaji besar. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagaimana kalau di negara umat Islam, wajarkah dikutip zakat harta kepada rakyat berbagai agama? Kerana dalam harta orang kaya ada hak orang miskn dengan ketentuan-ketentuan yang ditentukan agama. 

Lagi peguam PAN mohon maaf. Hidup Dr Kamarul!

 

[Termasuk mohon maaf dari Jamzuri Ardani, Kamal Koh Abdullah, Ahmad Zhafri Md Noor dan Muhammad Al Hanif Mah Hassan... 

Juga turut menyaman beberapa pemimpin besar lain seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin dari PAN serta Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim dari DAP.]

Seorang lagi peguam PAN mohon maaf kepada Dr Kamarul

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, baru-baru ini menerima satu lagi permohonan maaf daripada seorang peguam PAN, iaitu Wan Anwar Wan Ibrahim.

Permohonan maaf ini menyusuli tindakan sama daripada seorang peguam PAN lain yang juga Naib Ketua Pemuda PAN Negeri Perak, Mohd Fitri Asmuni, pada 11 September 2021 lalu.

Berdasarkan dokumen penyelesaian persetujuan yang dikeluarkan oleh mahkamah, Wan Anwar didapati membuat permohonan maaf tersebut 7 Februari lalu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Lailatul Zuraida Harron @ Haron. 

Selain memohon maaf, dokumen penyelesaian juga mencatatkan Wan Anwar juga bersetuju menarik balik kesemua kenyataan beliau yang tersiar di laman portal berita MalaysiaDateline dan di laman Kelab Greenboc.

Wan Anwar, yang juga mantan-mantan Pegawai Khas kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, sebelum ini disaman oleh Dr Kamarul kerana memfitnah beliau melalui artikel di laman portal tersebut.

Di dalam artikel bertajuk ‘Kanun nasihat Dr Kamarul usah tulis picisan menangkan BN’ dan ‘Isu Hannah Yeoh, KANUN libas kenyataan Pensyarah’ tersebut, Wan Anwar didapati telah mengeluarkan beberapa kenyataan.

Antaranya menyatakan bahawa Biro Undang-undang (KANUN) PAN menasihati pensyarah kanan UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff supaya fokus kepada penyelidikan ilmiah berbanding mengeluarkan kenyataan murahan menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menulis, selaku pensyarah universiti, eloklah Dr Kamarul menumpukan kepada kerja-kerja akademik dan tidak menulis tulisan picisan di Facebook sahaja yang bertujuan memenangkan BN dan mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

Juga antara lain, ditujukan penyataan bahawa fahaman sempit Dr Kamarul perlu diselesaikan terlebih dahulu supaya hujahan beliau tidak melencong dan tersasar.

“KANUN juga melihat cabaran beliau supaya KANUN membuat laporan polis di bawah Akta Hasutan menggambarkan beliau sendiri tidak pernah membaca Akta Hasutan, apatah lagi untuk mengkaji isi kandungan Akta Hasutan.” 

“Apa yang Kanun nyatakan adalah bahawa motif utama Dr Kamarul adalah untuk menjadi alat bagi menghasut orang ramai untuk membenci DAP dan Pakatan Harapan.”

“Tulisan beliau itu hanyalah tulisan picisan politik yang bertujuan untuk membakar api kebencian orang ramai kepada DAP dan seterusnya memenangkan Barisan Nasional,” demikian antara lain kenyataan Wan Anwar.

Dr Kamarul sebelum ini dilaporkan menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang beliau saman kerana memfitnah, termasuk Jamzuri Ardani, Kamal Koh Abdullah, Ahmad Zhafri Md Noor dan Muhammad Al Hanif Mah Hassan.

Dr Kamarul juga turut menyaman beberapa pemimpin besar lain seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin dari PAN serta Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim dari DAP. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimLagi peguam PAN mohon maaf. Hidup Dr Kamarul! 

[Termasuk mohon maaf dari Jamzuri Ardani, Kamal Koh Abdullah, Ahmad Zhafri Md Noor dan Muhammad Al Hanif Mah Hassan... Juga turut menyaman beberapa pemimpin besar lain seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin dari PAN serta Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim dari DAP.]

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor


Sunday, February 20, 2022

Ucapan Penuh Presiden PAS: Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor (Video)


SOP beri kelebihan kepada BN -K/Pemuda PN

 

SOP PRN Johor beri kelebihan kepada BN

JOHOR BAHRU: Prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini hanya memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana parti itu mempunyai pengundi teras di negeri berkenaan.

Berbeza dengan gabungan parti di dalam PN katanya, ketetapan SOP yang diumumkan itu memberikan kekangan kepada pihaknya untuk mengadakan kempen dengan lebih terbuka, berbanding BN yang merupakan parti awal yang menapak di negeri itu.

“Agak longgar berbanding (SOP) Melaka tetapi belum lagi longgar sebagaimana yang kita mahukan. Sebagai contoh ceramah dibenarkan di bilik-bilik operasi yang sangat sempit, begitu juga beberapa kaedah lain yang masih memerlukan kelonggaran

“Kalau SOP ini dikekalkan, ia hanya akan memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai pengundi teras di Johor ini,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bagaimanapun, beliau optimis dengan ruang diberikan bagi melakukan kempen secara fizikal, termasuk ceramah menggunakan pelbagai pendekatan bagi menarik minat pengundi muda dalam PRN Johor.

“Kita yakin insya-Allah sekiranya SOP MKN ini tidak menghalang kita, kita boleh beroperasi sebagaimana pilihan raya-pilihan raya yang lain, tidak ada masalah untuk berjumpa dengan anak-anak muda.

“Semalam ketika pelancaran PN Johor kita dapat lihat bagaimana sambutan anak muda yang begitu hebat sekali. Saya pun bertemu dengan anak-anak muda, berjumpa mereka dan mereka melahirkan komitmen untuk bersama dengan PN dalam PRN Johor,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkongsi SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor di saluran Telegram rasminya menyatakan, hanya individu lengkap divaksinasi dibenarkan hadir.

Penganjuran ceramah, syarahan atau kempen pada PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

SOP yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu menyatakan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam.

SPR turut menetapkan penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain serta memakai pelitup muka.

SPR menetapkan SOP program merangkumi mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 19/2/2022

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor

Unik, Kerusi panas 'kunci' perubahan. Ini, 10 kerusi..

 

Kerusi panas 'kunci' perubahan politik Johor

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai keunikan dan signifikan dengan hubungan federalisme antara Persekutuan dengan negeri memperlihatkan ketidakseragaman dalam kalangan gabungan parti memerintah tidak boleh dielakkan.

Realiti ini juga mewujudkan banyak 'kerusi panas' yang menjadi kunci dalam menyumbang perubahan politik Johor. Kerusi panas juga dikenali sebagai kerusi marginal yang menurut pengkaji pilihan raya seperti James Cornford dan Daniel Dorling, iaitu ahli akademik Sains Politik dan Geografi dari Universiti Newcastle serta Universiti Bristol, ia mempunyai kebarangkalian tinggi untuk bertukar tangan dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, perubahan itu bergantung sepenuhnya kepada gelagat pengundian pada hari mengundi. Selain itu, kerusi panas boleh didefinisikan sebagai kerusi dimenangi tipis di bawah jumlah seribu undi.

Disebabkan Malaysia mengguna pakai sistem pilihan raya first-past-the-post dengan calon bertanding dikira sebagai pemenang dengan hanya kelebihan, walaupun satu undi sahaja, posisi kerusi panas sangat kritikal.

Dalam PRN Johor, 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dikategorikan sebagai kerusi panas atau marginal seperti N1 Buloh Kasap, N3 Pemanis, N16 Sungai Balang, N17 Semerah, N22 Parit Raja, N24 Senggarang, N26 Machap, N27 Layang-Layang, N30 Paloh dan N56 Kukup.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Barisan Nasional (BN) memenangi enam daripada sepuluh kerusi panas berkenaan dengan majoriti undi tipis.

Namun, sama ada BN atau blok pembangkang lain mampu menguasai semua kerusi panas terbabit dalam PRN Johor bergantung sepenuhnya kepada beberapa faktor, tetapi perlu melihat dahulu kepada fenomena PRN Melaka pada tahun lalu.

Dalam PRN Melaka, ada sekurang-kurangnya sembilan kerusi panas dan BN memenangi semua kerusi berkenaan dengan sebahagiannya dimenangi dengan majoriti agak selesa, sekali gus menafikan prestasi pihak lawan.

Berbekalkan kejayaan yang dicatatkan di Melaka, kebarangkalian BN untuk mengulangi episod sama di Johor masih menimbulkan tanda tanya. Walaupun kerusi panas ini tidak menggambarkan perjalanan PRN Johor secara keseluruhannya, kejayaan prestasi bakal dipamerkan sedikit sebanyak akan mencorakkan naratif persaingan kepartian.

Ia juga dihujahkan bahawa krisis dalam gabungan kepartian berlaku sebelum ini melorongkan jalan ke arah perubahan status quo kerusi pilihan raya dan bakal mendatangkan implikasi politik ke atas kerusi panas marginal dikenal pasti.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengumumkan UMNO Jelebu akan dijadikan sebagai 'bapa angkat' kepada DUN Machap dan Layang-Layang, sekali gus memberikan isyarat BN mengambil serius akan kedudukan kerusi panas dalam PRN Johor. Cuma di sini, parti manakah dalam kalangan pembangkang dilihat sesuai untuk menawan semua kerusi panas ini?

Dari sudut BN, mereka mungkin tidak menghadapi masalah kerana bakal bertanding sendirian dan tekanan ke atas pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dapat dikurangkan. Tambahan pula jika peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada dijangkakan, ia bakal memberikan kelebihan kepada BN.

Dari sudut pembangkang pula, ia agak berbeza. Gabungan parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat agak sukar mendekati kerusi panas di atas beberapa faktor.

Pertama, blok pembangkang terpaksa melepaskan beberapa kerusi pernah ditandingi bagi membuka jalan kepada parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Kedua, pembabitan Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU dan PAS di kerusi panas berkenaan perlu diambil kira. Walaupun BN, BERSATU dan PAS masih lagi bersama pada peringkat pentadbiran Persekutuan, perkelahian politik sesama mereka dalam PRN Johor akan memberikan kesan terhadap percaturan kuasa pada peringkat negeri, sekali gus mempengaruhi mobilisasi blok pembangkang.

Dalam erti kata lain, kerusi panas yang akan dipertandingkan ini bakal menyaksikan kemajmukan calon daripada pelbagai parti dan ini dikhuatiri akan mengakibatkan perpecahan undi ketara dalam dalam kerangka etnisiti.

Tempoh berkempen dua minggu yang bakal menyusul ini, menjadi landasan sengit bagi parti bertanding. Oleh itu, BN tidak boleh lagi bergantung harap dengan feel good factor dikecapinya ketika dalam PRN Melaka kerana naratif politik tempatan perlu dibaca dengan intonasi global yang menjadikan orang ramai semakin celik dan peka terhadap sesuatu isu itu.

Ujian paling getir adalah bagi blok pembangkang PH kerana mereka perlu bekerja keras untuk mencatatkan prestasi lebih baik daripada PRN Melaka sebelum ini. Faktor seperti identifikasi kepartian juga boleh dijadikan sebagai pembolehubah utama untuk menentukan hala tuju kerusi panas ini, namun pertimbangan sosiopolitik lain seperti isu berbangkit pada peringkat Persekutuan juga tidak kurang pentingnya untuk disandarkan sebagai pemangkin yang akan mendorong pengundi untuk mempertaruhkan mandat mereka.

Atau apakah kunci kemenangan PRN Johor mungkin berada di tangan pengundi muda?

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor

Mafia kuarantin hotel Indonesia

 

JAKARTA – Kementerian Pelancongan Indonesia sedang membanteras skim penipuan kuarantin hotel yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan warga tempatan, lapor stesen penyiaran ABC, kelmarin.

Kumpulan yang digelar mafia kuarantin itu menyasarkan pelancong asing yang tiba di republik itu dengan memanjangkan tempoh kuarantin wajib bagi mendapatkan bayaran tambahan. Menerusi skim ini, pelancong diberitahu pada akhir tempoh kuarantin hotel wajib mereka bahawa keputusan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) adalah positif dan terpaksa berpindah ke ‘hotel pengasingan’ baharu.

Di hotel baharu itu, pelancong akan dipaksa menandatangani dokumen yang memerlukan mereka membayar sendiri semua kos penginapan tambahan.  Meskipun mangsa tidak mempunyai sebarang gejala, kumpulan mafia ini tidak membenarkan mereka mendapatkan ujian PCR kedua sebagai pengesahan.

Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno memaklumkan bahawa kerajaan Indonesia telah menetapkan peraturan dan piawaian baharu bagi menangani skim mafia kuarantin.

“Kementerian Pelancongan sedang menyiasat dan akan memberi hukuman berat kepada sesiapa yang melanggar peraturan kerajaan,” katanya.

Sandiaga memberikan amaran tersebut selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberi arahan segera agar polis menyiasat laporan negatif yang diterima daripada pelancong asing.

Susulan arahan Jokowi, pasukan polis telah mewujudkan pasukan khas untuk mengendalikan pengurusan pelancong asing sebaik mereka tiba di lapangan terbang hingga selamat tiba di hotel yang ditetapkan untuk menjalani kuarantin.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam permainan jahat kuarantin ini kerana tindakan mereka akan merosakkan imej baik negara di mata dunia,” kata jurucakap polis.

Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia, Wiku Adisasmito, bagaimanapun menafikan tuduhan penipuan kuarantin hotel sambil menyelar bahawa media tidak sepatutnya  membesar-besarkan sesuatu isu tanpa bukti.

Kerajaan Indonesia menukar peraturan pada awal Februari untuk membolehkan pelancong mendapatkan ujian PCR kedua bebas selepas dakwaan beberapa keputusan adalah positif palsu yang menyebabkan pelancong perlu melanjutkan dan membayar lebih untuk penginapan hotel mereka. – Agensi

Pembangkang lesu tersasar, 2 sebab.. Menurut PKS K'tan

Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof,'strategi di Johor agak tersasar.'

Langkah pembangkang makin lesu di Johor

Oleh M FAQIH

PILIHAN 
Raya Negeri (PRN) Johor merupakan edisi keempat siri PRN pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara begitu kerap PRN diadakan.

Biarpun begitu PRN pernah diadakan di Kelantan pada 11 Mac 1977. PRN itu diadakan selepas Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibubarkan. Sebelum itu berlaku krisis politik di Kelantan. Pertembungan Menteri Besar Mohamad Nasir dan pimpinan PAS diketuai Mohd Asri Muda.

Mat Nasir disingkirkan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun, penyokongnya membantah. Mereka berhimpun sehingga mencetus darurat.

Biarpun berlaku krisis dalaman PAS, namun ada aktornya. Di sebalik darurat itu banyak kajian melihat peranan Umno di sebaliknya.

Situasi yang berlaku ketika itu cukup mendebarkan. Krisis politik dan keamanan tergugat, maka PRN diadakan. Lojik dan munasabah PRN sebagai jalan penyelesaian.

Begitu juga PRN di Sabah pada 26 September 2020. Ia bermula dengan krisis politik. Kerajaan Warisan diketuai Shafei Apdal hilang sokongan majoriti.
Shafie hilang majoriti di Dun.

Beberapa Adun Warisan meninggalkan Shafie. Mereka menyatakan sokongan terhadap Musa Aman. Kumpulan terbabit iaitu Hamisah Samad (Tanjung Batu), Osman Jamal (Balung), Bolkiah Ismail (Pitas), Masiung Banah (Kuamut) dan Muis Picho (Sebatik).

Namun, usaha Musa (Umno) untuk kembali menerajui kerajaan gagal. Shafei tiba-tiba membubarkan Dun. Akhirnya Warisan tumbang di gelanggang PRN Sabah.

Maka ramai berhujah PRN Sabah wajar. Situasi politik ketika itu benar-benar gawat. Situasi serupa juga melanda Melaka. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti.

Dua Adun BN, seorang dari Bersatu dan Bebas hilang kepercayaan terhadap Sulaiman. Maka PRN Melaka diadakan pada 20 November 2021. PRN tersebut wajar kerana mengambil kira krisis politik yang berlaku.

Begitu juga PRN Sarawak. Ia perlu diadakan selepas penggal ke-12 tamat. PRN sepatutnya diadakan pada Jun 2021, namun Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di seluruh Sarawak bermula 2 Ogos 2021 hingga Februari 2022. Darurat kerana wabak Covid-19.

Bagaimanapun 3 November 2021 baginda memperkenan pembatalan proklamasi darurat. Berikutan itu PRN 12 diadakan pada 18 Disember 2021.

PRN Johor ‘belum wajib’

PRN Sarawak bukan sahaja perlu, malah wajib. Namun, bagaimana pula dengan PRN Johor. Apakah ia berada skala wajib dan perlu.

Apa pun tengok apa kata menteri besarnya. Hasni Mohammad dilapor berkata, PRN diadakan kerana kerajaan PN tergantung (hung government).

Kerajaan Johor sebelum ini dibentuk hasil koalisi antara BN dan PN dengan 28 kerusi. Manakala pembangkang pula 27 kerusi. Bagaimanapun 1 kerusi kosong berikutan kematian Adun Kempas Osman Sapian Disember lepas.

Biarpun kekosongan satu kerusi, namun kerajaan PN masih lagi ada kelebihan satu kerusi. Namun, Hasni tetap bimbang kerana katanya Speaker Dun dari Amanah.

“Situasi Melaka dan Johor jauh berbeza. Di Melaka hilang majoriti selepas wujud satu pakatan baru sehingga membawa kepada pembubaran Dun.

“Tetapi di Johor pembubaran dilakukan kerana kerajaan yang kukuh diperlukan untuk merangka lebih banyak pembangunan,” kata menteri besar Johor.

Jelas di sini, keperluan PRN di Johor sekadar mahu kerajaan yang kukuh. Agendanya untuk merangka lebih banyak pembangunan.

Tentunya, pembaca nampak perbezaan antara PRN di Johor berbanding di Melaka, Sarawak dan Sabah. Hasni mengakui mahu sebuah kerajaan yang kukuh.

Bagaimanapun, pemerhati politik melihat di sebaliknya. Ia ada agenda terancang untuk menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan. Usaha itu terbukti berjaya dilakukan di Melaka.

Namun, bagi Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, strategi di Johor agak tersasar.

Pertama, katanya PRN Melaka diadakan ketika belum ada kelibat pengundi 18 tahun. Sedangkan, di Johor berlaku penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas. Ia susulan pendaftaran automatik Undi18.

“Jumlah pengundi itu mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Kedua, kata Dr Wan Nik, Umno dan BN berdepan dengan kluster mahkamah. Ketika PRN Melaka kes Ahmad Zahid Hamidi belum diputuskan.

Bagaimanapun pada 24 Januari lepas Mahkamah Tinggi mengarah Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim mendapati pasukan pendakwa berjaya menimbulkan kes prima facie semua tuduhan terhadap Zahid.

“Kes presiden Umno itu mampu mempengaruhi pengundi lebih-lebh pemilih muda. Mereka benci rasuah dan tolak penyelewengan,” ujarnya.

Kes itu tambah mendebarkan apabila bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pula mendakwa Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemunya.

Kata laporan itu Zahid meminta Muhyiddin campur tangan kes mahkamah yang dihadapinya. Muhyiddin dilapor berkata Zahid melawatnya selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Umno juga berdepan laluan sukar apabila enam kerusi Dun dimenangi pada PRU lepas bawah majoriti 1,000 undi. Dun terbabit iaitu Buloh Kasap dimenangi Zahari Sarip dengan majoriti 877 undi.

Selain itu Dun Sungai Balang (Zaiton Ismail – 174 undi), Dun Machap (Abu Taib Abu Bakar – 404 undi), Layang-Layang (On Hafiz Ghazi – 364 undi), Parit Raja (Rashidah Ramli – 638 undi) dan Kukup (Md Othman Yusof – 862 undi).

Mengambil kira kegetiran itu Umno/BN hanya mampu bertahan di 10 kerusi. Selebihnya 46 kerusi lagi ada pengaruh PH dan PN.

Begitu juga kondisi pembangkang. PH dilihat sukar mengulangi kejayaan PRU14. PH tidak lagi berpadu kerana PKR sudah membawa diri.

Muda yang baharu belajar masuk gelanggang pun tidak memilih logo PH. Pembangkang jelas kelihatan semakin lesu.

Apa pun percaturan Zahid kelihatan tempang. Silap haribulan disebut orang ‘mendengar bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.’ Itukah wajah Umno? – HARAKAHDAILY 18/2/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pembangkang lesu tersasar, atas 2 sebab.. Menurut Pengarah Pusat Kajian Stategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof.

Benarkah percaturan Zahid kelihatan tempang?  Mendengar bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Itukah wajah Umno?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails