Monday, March 28, 2022

Nusantara bakal ubah ekonomi Id. M'sia tumpang?

 

Gambar fail menunjukkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (kiri) ketika lawatannya ke daerah Penajam Paser Utara dekat Sepaku, Kalimantan Timur, di mana kerajaan mahu membangunkan ibu negara baharu menggantikan Jakarta. - Foto AFP

Nusantara bakal mengubah ekonomi Indonesia

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan aspek pembangunan ibu negara baharu, Nusantara, akan mengimbangi asas ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, projek itu melambangkan perjuangan Indonesia bagi mewujudkan negara yang memegang prinsip keadilan sosial kepada seluruh rakyat Indonesia.

"Transformasi besar pemindahan ibu negara ini bukan semata-mata memindahkan Jakarta, tetapi untuk menjadikannya negara yang berdikari dengan ekonomi kukuh.

"Sebab itu, kita juga melakukan proses transformasi ekonomi secara besar-besaran dengan mengubah jati diri sebagai negara pengeksport bahan mentah menjadi negara perindustrian," katanya.

Tambah beliau, aspek pembangunan industri perlu seiring dengan alam sekitar yang lestari kerana dunia berdepan ancaman perubahan iklim yang memberi kesan besar kepada kehidupan di seluruh dunia.

Awal tahun lalu, Jokowi memutuskan pemindahan ibu negara baharu ke Kalimantan Timur dinamakan sebagai Nusantara yang melambangkan Indonesia.

Nusantara adalah langkah Indonesia dalam membangunkan peradaban baharu yang lebih transformasi, mencerminkan keperibadian rakyat negara ini dan mampu bersaing secara global.

Nama Nusantara bagi menggantikan Jakarta itu bersesuaian dengan geografi dan kepelbagaian budaya yang dimiliki negara itu.

Kos pemindahan pusat pentadbiran itu akan membabitkan kos sekitar AS$33 bilion (RM138 bilion), yang mana negeri akan membiayai 19 peratus dan selebihnya daripada perkongsian awam-swasta serta pelaburan swasta.

Kos itu termasuk pejabat dan rumah kerajaan baharu untuk kira-kira 1.5 juta penjawat awam, di ibu kota baharu yang akan meliputi kira-kira 56,180 hektar bahagian timur pulau Borneo, yang dikongsi negara itu dengan Malaysia dan Brunei.

Bagaimanapun, projek itu menghadapi halangan dengan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar selain kontroversi selepas pelabur SoftBank Group, menarik diri daripada projek itu tanpa penjelasan.

Jokowi mengumumkan rancangan untuk memindahkan ibu negara pada 2019, memetik peningkatan paras air laut dan kesesakan teruk di pulau Jawa yang padat penduduk.

Langkah itu dijangka bermula pada 2024, tetapi beliau memberi amaran projek itu mungkin mengambil masa lebih sedekad untuk diselesaikan.

Indonesia bukanlah negara pertama di Asia Tenggara yang menempatkan semula ibu kota yang padat, berikutan Malaysia dan Myanmar turut memindahkan pusat pentadbiran mereka.

Pertengahan bulan ini, Jokowi bersama gabenor seluruh Indonesia melakukan upacara Kendi Nusantara sebagai simbol harapan terhadap ibu kota negara (IKN) baru di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.

Dalam upacara yang dilakukan di titik kosong, IKN Nusantara, 34 gabenor diminta membawa satu liter air dan dua kilogram tanah dari daerah masing-masing.

Air dan tanah itu disatukan dalam kendi besar yang disebut bejana Nusantara, yang menjadi simbol titik awal pembangunan IKN Nusantara dengan menyatukan 34 provinsi di Indonesia menjadi satu tanah air. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia pun boleh cari peluang tumpang?

Muafakat Nasional bakal rebah? PAS Tidak akan rebah -Presiden PAS

 


1.  Muafakat Nasional bakal rebah? PAS Tidak akan rebah -Presiden PAS.

Dilaporkan konon, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyalahkan pihak tertentu dalam Umno yang menyebabkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) tergendala sehingga sekarang.

Katanya ada pihak tertentu dalam Umno yang mahu mengubah “agenda perpaduan” yang dipersetujui kedua-dua parti demi kepentingan sendiri dengan maksud yang tersirat. Bagaimanapun ahli parlimen Marang itu tidak menyatakan siapa pihak yang didakwanya itu serta apakah agenda tersirat tersebut.

“Namun perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS hari ini.

Tambah Abdul Hadi dalam keadaan begitu, PAS tetap “berpegang” kepada apa yang ditandatangani serta ketetapan yang tersurat.  Katanya kerjasama yang terbentuk itu juga mempunyai sempadan iaitu hanya melibatkan hal-hal kebaikan seperti perpaduan umat berasaskan kepada Islam, melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jika seseorang itu berdosa, kata Abdul Hadi, dibuka pintu taubat dan pengampunan sekiranya individu terbabit insaf serta mahu bertaubat.

“Namun, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

“Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa,” kata Abdul Hadi lagi.

PAS tidak akan rebah

Kenyataan duta khas bertaraf menteri itu hadir ketika hubungan PAS-Umno terus tidak menentu dengan sesetengah pihak berpendapat mereka wajar mengutamakan MN berbanding Perikatan Nasional (PN) yang disertai Bersatu.

Dalam kenyataan Abdul Hadi hari ini, dia turut mendakwa PN wujud terlebih dahulu berbanding MN.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata Piagam Muafakat Nasional (MN) telah berjaya menyatukan pengikut parti itu dan Umno di peringkat akar umbi yang telah bermusuh sejak sekian lama kerana perbezaan ideologi politik.

Justeru katanya, PAS akan berusaha mempertahankan MN meskipun ada pihak tertentu cuba untuk meruntuhkannya. Dia juga mendakwa ahli di peringkat akar umbi senang dengan MN dan masyarakat di luar bandar nampak bersatu.

Kata Abdul Hadi PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep taawun yang berlandaskan “petunjuk al-Quran” dan bersedia menerima kesannya termasuk kehilangan kuasa atau kerusi pilihan raya.

“PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat,” katanya. (dikutip dari pelbagai sumber).


2. Islam: Prinsip perpaduan umat wajib diteruskan 

RISALAH Islam kepada seluruh manusia ialah petunjuk Allah SWT yang membawa rahmat ke seluruh alam. Tujuannya adalah bagi menyelamatkan manusia seramai mungkin, sama ada dengan menganut Islam tanpa paksaan ataupun menerima Islam memimpin tanpa menganut agamanya.

Adapun negara kita adalah mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan yang wujud berdasarkan tafsiran yang merdeka, bukanlah tafsiran daripada warisan penjajah. Perlembagaan diamalkan melalui pendekatan yang paling damai, bermakna Islam boleh bersama demokrasi yang beradab, bukan menipu dan rasuah atau politik sogokan haram yang menjahanamkan parti sendiri dan mengkhianati amanah negara.

Penyelesaian Islam wajib dilakukan, walaupun cabarannya sangat besar dan banyak. Hal ini demikian kerana, ramai dalam kalangan yang bernafsu mendahului akal mereka. Sehinggakan, golongan yang berilmu juga menjadi bodoh sekali gus menyebabkan mereka boleh dibeli dan dibuli, apabila seseorang itu tidak peduli akan petunjuk Allah SWT yang memberikan tawaran terbaik kepada semua.

Rasulullah SAW mengingatkan kepada para sahabat dan umatnya dengan menyebutkan firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan ini) inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kalian menurutinya; dan janganlah kalian menuruti jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah. Oleh yang demikian, Allah memerintahkan kalian agar kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Kemudian, Rasulullah SAW melakarkan di atas tanah satu garisan yang betul dan lurus serta meletakkan cabang-cabang yang banyak dari kedua-dua arahnya. Hal ini menegaskan bahawa umat Islam wajib beristiqamah mengikuti garisan yang lurus dan tidak terpesong ke arah cabang-cabangnya.

Hal ini disebabkan di setiap cabang jalan itu terdapat kalangan syaitan yang menggoda supaya terpesong daripada jalan yang lurus dengan umpan-umpan pancingan syaitan yang sangat menarik nafsu manusia seperti harta, pangkat dan lain-lain.

Rasulullah SAW menjadikan perpaduan umat sebagai satu agenda yang paling penting untuk dilaksanakan apabila melakukan hijrah yang terkenal, iaitu perpaduan satu umat yang besar. Khususnya bagi menegakkan negara yang bermasyarakat majmuk dalam keadaan wujud perpecahan akibat jahiliah paling dahsyat dan ganas.

Pada pendahuluannya, perpaduan itu bermula dengan menyatukan umat Islam dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan lain-lain. Kemudiannya, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada pelbagai agama yang ikut serta bagi mewujudkan masyarakat madani.

Masyarakat madani ialah sebuah masyarakat yang beragama sebagaimana asasnya daripada perkataan (al-din) dan bergerak maju mengikut perkataan ‘tamaddun’. Masyarakat madani adalah berkonsepkan iman, akhlak yang mulia dan syariat yang adil kepada semua dalam sebuah negara model yang diberikan nama Madinah.

Perpaduan umat itu bergantung kuat kepada tali Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu-padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat petunjuk-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Seterusnya dilaksanakan konsep adil kepada semua yang berpandukan kepada firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Konsep adil yang dinyatakan dalam ayat di atas merangkumi segala aspek kehidupan manusia yang menolak segala perbuatan yang fasiq dan tidak mempunyai maruah diri. Adil juga diwajibkan terhadap musuh berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian tidak berlaku keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Kejayaan Islam menyatukan umat mencipta sejarah yang tidak pernah dicapai oleh semua ideologi hingga kini. Hal sedemikian berlaku apabila Islam berjaya mewujudkan masyarakat madani yang majmuk dan mencipta tamadun dunia yang pengaruhnya berkembang sehingga mencapai kemajuan dalam lapangan sains dan teknologi hari ini.

Adapun impian pembinaan negara yang dilaungkan oleh ahli-ahli falsafah yang bertuhankan akal secara terpisah daripada agama hanyalah menjadi suatu khayalan semata-mata. Malah, segala teori yang mereka sebutkan tidak dapat dicapai hingga kini.

Keadilan itu hanya berlaku apabila segala amanah urusan umat berada di tangan mereka yang layak berasaskan integriti yang tinggi dan bersih daripada ciri-ciri fasiq dan tidak bermaruah. Nilai integriti sedemikian dapat dicapai dengan adanya keimanan kepada Allah yang Maha Esa, ilmu dan juga akhlak yang mulia.

Ciri-ciri tersebut tidak akan berlaku dengan adanya amalan politik rasuah dan politik menipu, iaitu politik yang berpisah daripada agama tanpa perhitungan pahala dan dosa. Politik sedemikian tidak dapat dielakkan jika sekadar dikenakan tindakan undang-undang yang tidak mempunyai roh dan pasti gagal mencipta integriti yang sebenar.

Kelemahan dan kemunduran umat Islam pada zaman mutakhir adalah disebabkan mereka meninggalkan ajarannya. Selain itu, disebabkan oleh kelekaan akibat faktor kemenangan dan kebendaan ketika berkuasa memerintah.

Sehinggakan, perkara tersebut menghantui kehidupan umat dan menjahanamkan diri mereka sendiri, sebelum ia dijahanamkan oleh orang lain. Lalu, akhirnya mereka berpecah dan dijajah oleh musuhnya.

Walaupun musuh itu mencuri khazanah tamadun Islam, tetapi mereka masih gagal kerana tanpa agama Islam yang menjadi roh maka tamadunnya laksana patung yang tidak bernyawa dan berakal. Kini, kelihatan tamadun Barat sedang mengalami kerosakan yang membakar diri mereka. Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Kini, kita mengajak umat khususnya yang menganut Islam dahulu, supaya kembali ke jalan yang benar, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai penyelesaian. Wajib kepada penganut Islam untuk mengajak kalangan bukan Islam tanpa memaksa mereka menganut Islam.

Sekiranya mereka boleh berjuang untuk menegakkan ideologi dari Timur dan Barat sama ada berhaluan kanan mahupun berhaluan kiri sehingga melampau atau ekstrem, mengapa mereka tidak boleh mencuba pendekatan Islam yang damai?

Setelah kita yang dikatakan sudah merdeka, tetapi masih mencuba Islam yang tidak sempurna mengikut acuan penjajah berteraskan Islam sekular yang rapuh selama setengah abad dan ketinggalan bersama kerajaannya. Bahkan, menyebabkan kita tidak mampu mencapai Wawasan 2020 yang telah dinobatkan dan jatuhnya kerajaan itu juga sepatutnya menjadi suatu pengajaran, akibat daripada Islam dalam perlembagaan dibiarkan ketika kerajaannya wujud dengan majoriti yang besar.

Mengapa Islam yang dinyatakan adalah mengikut tafsiran penjajah, padahal kita sudah lama merdeka? Inilah yang menjahanamkan kita semua sehingga Islam tidak ditegakkan dengan sempurna.

Kemudian rakyat menolak mereka, lalu memilih pendekatan Islam liberal bersama Pakatan Harapan (PH) yang menipu. Sehinggakan, kita hanyut dan berkecai jahanam sekali lagi, hatta Islam boleh dihina dengan berani dan nyata.

Akhirnya, gagasan yang dibawa oleh PH tidak mampu bertahan lagi. Perkara ini sepatutnya menjadi suatu iktibar, laksana terlepas daripada mulut harimau lalu masuk ke dalam mulut buaya yang lebih luas dalam air yang tenang.

UMNO bersama Barisan Nasional (BN) jatuh daripada kerajaan pusat, sebahagian Ahli Parlimen mereka keluar parti. Malah, ada sebahagiannya sejak awal lagi menyelamatkan diri dengan menubuhkan BERSATU dan ada yang kemudiannya menyertai parti baharu tersebut. 

Usaha yang dilakukan pada mulanya untuk bersama-sama menyelamatkan semua dengan membentuk gagasan yang akhirnya dinamakan Perikatan Nasional (PN). Perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti.

Kemudian, dibentuk gagasan Muafakat Nasional (MN) yang  menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar yang terdiri daripada UMNO, PAS dan BERSATU kerana meraikan UMNO yang masih ada. Sehinggakan, gabungan ini berjaya menukar kerajaan yang memerintah.

Akan tetapi, malangnya ada kalangan mereka yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat. Namun, perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat.

Walau bagaimanapun, PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani. Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu, bahawa PAS telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama.

Pendekatan ta’awun siyasi ini dilaksanakan oleh PAS menjadi konsep hubungan dengan semua pihak sebagai sempadan bagi menyelamatkan keadaan. PAS sekali-kali tidak boleh diheret keluar daripada landasannya. Konsep ta‘awun ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Kerjasama yang dinyatakan dalam ayat ini ada sempadannya iaitu hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan.

Jika seseorang itu berdosa, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan sekiranya dirinya insaf dan bertaubat. Di mana pintu kebajikan dan taqwa itu sangat luas dan banyak jalannya.

Namun, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat. Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus. Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

Justeru, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.  Sekalipun ada perbezaan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, namun ada penyelesaiannya. Allah SWT telah menegaskan penyelesaiannya dengan berfirman:

﴿…فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

PAS tetap beristiqamah atas prinsip tersebut, walaupun kehilangan kerusi. Bahkan, pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Perjalanannya masih jauh, kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja. PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin, dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.

PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat.

Firman Allah SWT menjadi suatu semangat yang tidak padam:

﴿وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا١٠٤﴾

“Dan janganlah kalian lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kalian menderita kesakitan (luka atau mati), maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan sepertimana penderitaan yang kalian alami; sedang kalian mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: 104)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Sya‘ban 1443 / 27 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 27/3/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah!

Sunday, March 27, 2022

Ini drama nafi kaum Cina alukan Najib..

 


Dewan Perniagaan Cina P Pinang nafi kaum Cina alu-alukan Najib

KL: Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) Hong Yeam Wah menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatan bekas perdana menteri Najib Razak ke Pulau Pinang.

Ini selepas Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Zhang Malaysia, Anthony Chang Wei Loon berkata dia mengalu-alukan kedatangan Najib bagi pihak masyarakat Cina Pulau Pinang pada satu majlis yang diadakan semalam.

Hong berkata PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib - yang telah disabitkan kesalahan rasuah - ke Pulau Pinang. Ini kerana katanya, ahli-ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.

“Bagaimana dia (Chang) boleh mewakili kami? PCCC mempunyai sejarah lebih seratus tahun, dan lebih 10,000 ahli meliputi semua industri di Pulau Pinang.
"Hampir semua ahli perniagaan di sini adalah ahli kami, bukan ahlinya," kata Hong kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
“Jadi pada dasarnya, kami tidak akan menjemput atau mengalu-alukan Najib ke majlis kami atau mengalu-alukan beliau ke Pulau Pinang.
“Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah,” tambahnya.

Najib sedang merayu terhadap sabitan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Sementara itu, Hong enggan mengulas mengenai pemimpin masyarakat Cina Pulau Pinang lain yang menghadiri majlis dihadiri Najib semalam.

“Itu urusan mereka. Untuk PCCC, kami tidak akan menjemput beliau (Najib) untuk datang. Ahli perniagaan sentiasa menekankan bahawa pemimpin harus mempunyai integriti dan bebas daripada rasuah," tegas Hong.

Najib telah memulakan lawatan ke Pulau Pinang bagi mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina di negeri itu semalam.

Selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2, dia mengadakan sesi dialog dengan pemimpin persatuan Cina Pulau Pinang.

Semasa sesi dialog itu, Chang mendakwa masyarakat Cina merindui "kenangan yang indah’ di bawah pentadbiran ahli parlimen Pekan itu di mana Malaysia meraih pencapaian ekonomi yang hebat.

Dia turut memuji Najib yang mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negara termasuk menghormati kepelbagaian kumpulan agama dan budaya. (MK)

Komen Weblog Ibnu HasyimIni drama nafi kaum Cina alukan Najib.. Walaupun begitu andaian 'Terbaru! Si tertuduh rasuah bergabung, Najib ganti...' tidak mustahil boleh terjadi. Kerana realitinya didakwa sedang berlaku sekarang.

Terbaru! Si tertuduh rasuah bergabung, Najib ganti Tun M bersama DAP.. UMNO?

 

Lawatan Pulau Pinang: Najib terhibur dengan reaksi DAP

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran di Facebooknya mengakui terhibur dengan reaksi yang ditampilkan DAP susulan lawatannya ke Pulau Pinang, semalam.

Ia susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan pemimpin DAP selepas Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu hadir pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis) di Spice Arena, Bayan Baru, yang turut menyentuh berkaitan politik ditujukan buat komuniti Cina. 

“Terhibur dengan reaksi DAP terhadap lawatan saya ke Pulau Pinang semalam. Ahli Parlimen DAP keluarkan kenyataan untuk kutuk janji saya bahawa ekonomi akan berkembang pesat sekiranya sebuah kerajaan berbilang kaum yang kukuh dan kompeten dengan majoriti lebih besar dipulihkan. 

“Dia kata janji saya ini adalah janji kosong. Tidak boleh dipercayai. Lawak! Geng janji manifesto bukan kitab suci yang sudah kencingkan jutaan rakyat tuduh saya beri janji kosong pula,” katanya hari ini. 

Mengulas lanjut, Najib turut menyelar tindakan beberapa individu yang disifatkannya sebagai penyokong DAP yang memprotes kunjungannya itu menggunakan sebuah poster di hadapan penyokongnya. 

“Lalu, DAP pula hantar empat individu untuk angkat banner dan protes kunjungan saya ke sebuah food court di Bukit Mertajam. Bagi saya, ini adalah satu tindakan yang kurang bijak dan berisiko sebab ribuan penduduk tempatan serta penyokong saya tengah sambut lawatan saya. 

“Buat apa nak buat provokasi pada keadaan begitu? Satu manfaat bagi sesiapa pun takda,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan kenyataan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) yang menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatannya. 

“Entahlah. Yang saya dengan mata sendiri dan seluruh Malaysia tonton dalam video-video tersebar ialah ribuan kawan-kawan berbangsa Cina yang hadir bersama saya untuk makan di Food Court. 

“Itu video edit kurang High Definition (HD) ke? Rileks lah DAP.  Sabar! Saya cuma dua hari di Pulau Pinang untuk makan angin sambil makan lontong sahaja,” jelasnya. – UTUSAN

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah mereka yang sama-sama tertuduh rasuah akan bergabung, Tun M dulu kini akan diganti Najib bersama DAP? Ditambah UMNO?

Aina 'tawan' New York. Bolehkah dibawa ke arah 'patuh syariah'?

 

Aina menganggap penampilan pada papan elektronik di Times Square, New York sebagai pendedahan yang baik untuk muziknya dikenali di seluruh dunia. Foto IG Aina Abdul

HALAMAN HIBURAN

Aina 'tawan' New York.

KUALA LUMPUR: Kini tiba giliran wajah penyanyi bersuara mantap, Aina Abdul, 28, menghiasi papan iklan digital gergasi tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS), bulan ini.

Aina atau nama sebenar, Nur Aina Abdul Ghani menyifatkan pemilihan dirinya bagi menjayakan kempen Equal oleh platform penstriman digital, Spotify, sebagai sesuatu yang sangat membanggakan dirinya

"Kejayaan ini adalah atas kerjasama saya dengan syarikat pengedaran, Believe Music. Mungkin ada yang tidak tahu saya berkolaborasi dengan Believe Music untuk memasarkan lagu-lagu saya.

"Dari lagu Reminiscing dan Shadow, semuanya diedarkan Believe Music. Jadi, bersama Believe Music saya terpanggil membabitkan diri dalam kempen Equal. Saya juga diminta mengisi borang dan sebagainya.

Sempena ketibaan Ramadan, Aina menghadiahkan peminat single ketuhanan berjudul CahayaMu. Foto IG Aina Abdul

"Alhamdulillah, akhirnya saya dipilih sebagai salah duta kempen Spotify, bulan ini. Jadi, saya sangat bersyukur. Saya fikir kempen ini sangat baik kerana dapat mengetengahkan bakat wanita dalam bidang muzik dari Asia," katanya kepada BH Online.

Aina menganggap penampilan pada papan elektronik gergasi di kota kosmopolitan itu sebagai pendedahan yang baik untuk muziknya dikenali di seluruh dunia.

"Pendedahan ini baik untuk kami dikenali di seluruh dunia. Biarpun hanya sebulan, namun, saya fikir ini adalah peluang yang sukar diperoleh.

"Terima kasih Believe Music. Terima kasih juga kepada Spotify kerana memilih saya. Tidak lupa Ainations yang menyebabkan jumlah penstriman lagu saya di Spotify 'cantik'," katanya.

Sementara itu, Aina tampil dengan lagu kerohanian pertama berjudul CahayaMu, kelmarin.

Aina sudah lama menyimpan hasrat menghasilkan lagu berbentuk ketuhanan bagi meluahkan rasa cintanya kepada Allah.

"Saya terpanggil untuk menulis dan mengeluarkan lagu ketuhanan ini sebab sukakan lagu genre begini. Saya jadikan penyanyi seperti Opick, Maher Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola.

"Muzik mereka memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lagu seperti ini. Selepas mendengar penyanyi lain menghasilkan lagu ketuhanan, saya fikir, mengapa saya tidak menulis lagu yang ditujukan khas kepada Allah.

"Saya mahu tulis satu lagu yang kena dengan jiwa sendiri. Jadi, apa yang didengari adalah luahan hati saya," katanya.

Aina berkata single CahayaMu sangat peribadi kerana berkisar pengalaman sendiri.

"Saya berkongsi sisi Aina Abdul dengan semua orang. Saya fikir semua orang pernah mengalami apa yang saya lalui. Tidak kiralah bekerja dalam bidang apa pun.

"Kalau baca lirik boleh tahu betapa saya bergelut menghiburkan orang, namun, sebenarnya dalaman kosong," katanya.

Lagu CahayaMu boleh didengari di semua platform digital dan video muzik dapat ditonton di YouTube Aina Abdul.

Komen Weblog Ibnu HasyimAina 'tawan' New York. Bolehkah hiburan begini dibawa ke arah aliran 'patuh syariah' di Malaysia? Kalau tak boleh, apa patut dibuat supaya ianya jadi boleh? Kerana hukumnya adalah wajib...

Siti Zalah, projek tebatan jangka panjang & sunnah memanah Chenor.

 

1. Projek tebatan: Siti Zailah anjur dialog penduduk, JPS

KOTA BHARU: Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang merangka pertemuan melibatkan penduduk dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program itu bagi memberi pencerahan berhubung projek tebatan banjir.

Katanya masih wujud segelintir penduduk yang tidak mengetahui struktur projek yang bernilai RM2.15 bilion itu.

“Saya sudah maklum kepada JPS kita akan buat dialog dan pertemuan dengan pihak penduduk terlibat beri penjelasan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya sebelum ini nak buat pertemuan tetapi kita berhadapan pandemik, PKP dan banjir tidak sempat nak buat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai demostrasi aman di Kampung Sungai Lanchang, Rantau Panjang dekat sini kelmarin.

Sebahagian mangsa banjir baru-baru ini mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir Sungai Golok.

“Projek tebatan banjir itu dalam pembinaan, ia tidak siap lagi, memang saya sudah lihat pelan ada empat pintu air sepanjang tebatan tersebut.

“Tetapi oleh kerana projek ini belum siap jadi ada rakyat menganggap sudah siap fasa satu, sebenarnya fasa satu belum siap lagi,” katanya.

Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dilaksanakan bagi mengatasi banjir di lokasi itu.

Pelaksanaan PLSB Sungai Golok Fasa 1 bakal menyelamatkan kediaman hampir 20,000 penduduk di 36 kampung di Jajahan Tumpat.

Ia penyelesaian jangka panjang kepada keseluruhan masalah banjir yang berlaku di sepanjang Sungai Golok Jajahan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli. – HARAKAHDAILY 27/3/2022

2. Sunnah Memanah ADUN Chenor. 

Anjur Kejohanan Memanah Tradisional Piala ADUN Chenor Tertutup Pahang 2022 kali kedua

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah merasmikan Kejohanan Memanah Tradisional Piala ADUN Chenor Tertutup Pahang 2022 kali kedua di padang awam FELDA Sungai Nerek, Chenor, di sini kelmarin. 

Kejohanan anjuran Sekretariat DUN Chenor dengan kerjasama Persatuan Pemanah Tradisional Pahang (PETRA Pahang) itu, dirasmikan dengan iringan tiupan tetuang oleh peniup tetuang terkenal Rozali Mohd Rani atau lebih dikenali dengan panggilan Pak We. 

Ustaz Mujib dalam ucapannya berkata, memanah adalah sunnah Nabi SAW yang sangat baik diamalkan dan satu warisan yang perlu dipertahankan oleh orang Islam. 

“Antara hikmah jika kita selalu berlatih memanah kerana ia dapat melatih diri  menjadi tenang dan penyabar dalam kehidupan seperti mana kita perlu tenang ketika membidik sasaran di hadapan,” ucapnya lagi. 

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Zolkifle Muda merangkap Pengerusi PETRA Maran berkata, kejohanan kali ini telah disertai seramai 98 peserta termasuk 22 wanita dan penyertaannya tertutup hanya peserta dalam Pahang sahaja. 

“Ini adalah penganjuran kali kedua oleh Sekretariat DUN Chenor dalam matlamat kami berusaha memperkenalkan sukan sunnah seperti memanah ini, di samping itu juga dapat meningkatkan lagi ukhwah sesama pemanah dan dapat meningkatkan mental serta fizikal pengamalnya.

“Walaupun kami ada menerima pemohonan penyertaan dari luar Pahang, untuk kali ini kami menghadkan penyertaan dan terpaksa kami tolak dulu memandangkan suasana COVID-19 kini masih belum reda lagi.

“Alhamdulillah, jumlah penyertaan hari tercapai dari apa yang kami sasarkan dan jika keadaan COVID-19 telah reda nanti kami bersedia menganjurkan kejohanan yang lebih besar lagi,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi PETRA Pahang, Mohd Zailan Mohd Zainuddin berkata kejohanan ini telah berlangsung dengan lancar dan tersusun dalam pengurusan serta kerjasama dari para peserta. 

Johan bagi kategori lelaki telah dimenangi oleh Mohd Zahrul Shafiq Zahar dari Kelab Sungai Nerek Archery, manakala bagi kategori wanita pula telah dimenangi oleh Raftah Ab Rahim dari Kelab Memanah Cikgu-Cikgu Murni.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM500 seorang berserta medal. 

Dalam pada itu, ADUN Chenor turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Mohd Zahrul Shafiq Zahar dari Kelab Sungai Nerek Archery di mana beliau bakal mewakili negara ke Kyrgyzstan pada Ogos ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2022  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PRU 15 akan datang undilah PAS, wakil prihatin rakyat..

“Cinta tak selamanya indah dik". Tempat lepak penyanyi jalanan..

 

Seorang wanita yang tidur di bawah pokok terperanjat apabila dikejutkan oleh anggota polis dan bukan kekasihnya, lapor laman berita Detik semalam. Seorang lelaki dikatakan kekasih wanita itu dilihat melarikan diri melintasi paya, dalam operasi  membanteras ‘penyakit masyarakat’, yang menjadi tempat lepak penyanyi jalanan dan kumpulan punk.

Wanita tidur ditinggalkan kekasih ketika serbuan polis

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan senario seorang wanita yang tidur di bawah pokok terperanjat apabila dikejutkan oleh anggota polis dan bukan kekasihnya, lapor laman berita Detik semalam.

Video yang dimuat naik dalam akaun TikTok bernama @satpolppdemak itu dirakam ketika anggota polis berkenaan melakukan operasi membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat.

Kejadian dikatakan berlaku di bandar Demak, Jawa Tengah. Kelihatan dua anggota polis sedang mengejutkan seorang wanita yang tidur di atas tikar di bawah pokok. Seorang lelaki yang dikatakan kekasih wanita itu dilihat melarikan diri melintasi paya.

Wanita yang tidak sedar ditinggalkan pasangannya itu dilihat terkejut setelah mendapati dua anggota polis berada di kawasan itu.

Ketua Polis Demak, Aryo Soebajoe mengesahkan bahawa kejadian tersebut merupakan salah satu operasi yang dijalankan oleh pasukannya dalam membanteras ‘penyakit masyarakat’ di kawasan tersebut.

“Ya video itu dirakam ketika kami melakukan operasi di warung yang sering menjadi tempat lepak penyanyi jalanan dan kumpulan punk.
“Kami temui sepasang kekasih muda sedang berdua-duaan di belakang warung. Namun seorang lelaki melarikan diri ketika kami ke sana. Kebetulan wanita itu sedang tidak sihat,’’ kata beliau.

Video itu bagaimanapun mendapat perhatian netizen di ruangan komen
“Cinta tak selamanya indah dik,’’ tulis seorang netizen.
“Nampak betul bukan lelaki yang bertanggungjawab,’’ komen netizen lain. – Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Anak muda di mana-mana dunia, kembalilah kepada agama, terutama agama samawi..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails