Tuesday, March 29, 2022

Kelantan guna 100 dron, sila lihat tawaran Turki..

 

Kelantan guna 100 dron perkasa sektor pertanian

KOTA BHARU: Sebanyak 100 unit dron digunakan bagi memperkasakan lagi sektor pertanian di Kelantan selaras perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inovasi terbabit digunakan bagi menyembur racun dan membaja.

Menurutnya, 80 unit dikendalikan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), manakala dua lagi digunakan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan satu Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

“Aplikasi dron sangat membantu petani yang melibatkan projek pertanian berskala besar, ia dapat membantu petani menjalankan aktiviti pertanian pembajaan meracun dan tabur benih.

“Pengunaan teknologi dron dalam sektor pertanian dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja, menjimatkan kos serta mengurangkan penggunaan baja dan meracun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) beliau juga berkata, kerajaan negeri menganjurkan kursus pengendalian dron kepada petani khususnya golongan belia yang berminat.

“Kita juga menganjurkan kursus pengendalian dron pertanian khususnya padi supaya petani kita memiliki lesen penerbangan bagi mengendalikan dron.

“Kita berharap dapat memberikan lesen mengendalikan dron kepada petani nanti,” katanya. HARAKAHDAILY 29/3/2022

 Prof Ismail Demir

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sila lihat tawaran ini..

Menurut BERNAMA semalam, Turki bersedia meneroka bidang kerjasama baharu dengan Malaysia dalam industri pertahanan. Walaupun disebutkan 'industri pertahanan' tetapi ia ada kaitan juga dengan sektor pertanian. 

Presiden Industri Pertahanan Turki (SSB) Prof Ismail Demir berkata ia termasuk platform udara generasi baharu, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), platform tentera laut dan keselamatan siber.

Katanya, antara lain..

“Syarikat pertahanan Turki telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk tempur mereka. Mereka terbuka bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjalin hubungan jangka masa panjang, berdasarkan strategi menang-menang, termasuk pertukaran teknologi, pengeluaran dan pemasaran bersama.

“Kami menawarkan model kerjasama terbuka, mesra dan muhibah yang kebanyakan negara tidak tawarkan. Kami bersedia berkongsi pengalaman dengan rakan sejawatan di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Tinjauan Bernama mendapati pavilion Turki memenuhi hampir separuh daripada ruang pameran yang disediakan, selain pavilion Malaysia dan 18 yang lain termasuk dari Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

2 kisah dari Bangkok. Pelakon Thai jatuh sungai & sami curi seluar dalam.

 

1. Mayat Pelakon Thai Jatuh Dalam Sungai Ditemui.

SELEPAS dua hari, mayat pelakon Thailand, Tangmo Nida, 38, akhirnya dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan pada Sabtu. Mayat Nida ditemui terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1 kilometer dari lokasinya terjatuh.

Abang Nida, Dayos Detjob, 44, merupakan individu pertama yang mengesan jasad mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai adiknya sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian.

“Saya datang untuk membawanya pulang ke rumah,”  katanya memetik laporan Bangkok Post. Aktres yang pernah membintangi filem The Flying Leaf itu dipercayai terjatuh ke dalam sungai pada 11 malam Khamis lalu ketika menaiki perahu di Sungai Chao Phraya bersama-sama enam rakannya dari Krung Thon Bridge ke Rama VII Bridge.

Menurut laporan media tempatan, Tangmo duduk di bahagian paling belakang sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai. Malangnya Tangmo tidak memakai jaket keselamatan.

Mayat dibawa ke Police General Hospital untuk bedah siasat.-Bangkok Post


2. Sami curi seluar dalam wanita..

BANGKOK – Seorang bintang televisyen Thailand, Mor Pla menggeledah bilik kediaman  seorang sami yang dituduh mencuri seluar dalam wanita selepas memeriksa rakaman sistem ltelevisyen tertutup (CCTV) di rumah sepasang suami isteri, lapor laman berita Thaiger semalam.

Hasil serbuan itu, dia bersama pasangan suami isteri tersebut menemui sejumlah seluar dalam lelaki dan wanita dalam bagasi suspek.

Pasangan yang tinggal dekat sebuah wat di wilayah Chachoengsao, tengah Thailand itu memeriksa rakaman CCTV selepas seluar dalam wanita itu hilang dan menyedari seorang sami menanggalkan seluar dalam dari penyangkut di rumah mereka.

Mereka membuat laporan polis,  namun tiada perkembangan lanjut. Pasangan itu  kemudian meminta bantuan Mor Pla yang merupakan sukarelawan selebriti.

Bintang televisyen itu membantu mengesan dan mengenal pasti sami yang didakwa mencuri seluar dalam tersebut.

Media Thai mengikuti Mor Pla ke kuarters wat untuk mencari seorang sami yang dikenali sebagai Phra Kaisorn. Suspek dikatakan telah melarikan diri dari wat  sebelum orang ramai tiba.

Mor Pla menemui bagasi yang disumbat dengan pelbagai jenis seluar dalam lelaki dan wanita seperti Phra sudah bersedia untuk meninggalkan wat tersebut.

Menurut ketua sami, dia tidak mengetahui tentang ‘aktiviti luar’ yang dilakukan oleh Phra dan memberitahu lelaki itu baru sahaja bergelar sami. – Agensi

Pelaburan US$360 juta dari Qatar. X saperti ini PH merudum..

 

Surat komitmen pelaburan US$360 juta dari syarikat Qatar diterima Ismail

DOHA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah US$360 juta dari Agrico Qatar.

Surat komitmen itu disampaikan sendiri oleh pengerusi syarikat itu Ahmed Hussain Al-Khalaf pada majlis ringkas melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Terdahulu, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia melawat Ladang Baladna milik Baladna Food Industries. Ketibaan beliau disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya Ramez Al-Khayyat.

Perdana Menteri turut diberikan taklimat mengenai syarikat itu oleh ahli lembaga bebasnya Aidan Tynan. Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga telah dibawa melawat pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna, yang menggunakan teknologi perahan ‘rotary’ terkini.

Hadir sama Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar Sheikh Dr Faleh bin Nasser bin Ahmad Al-Thani. Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar. MG

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pelaburan US$360 juta dari Qatar, diterima PM, al-hmdulillah. Tiada kegiatan-kegiatan saperti ini, penyebab PH cepat merudum.. Memang puak PH tak cerdik mana pun, asyik berpolitik jawatan, negara dan rakyat terabai. Padan muka, terima hukuman!

Tolong, selamatkan artis kita.. dengan 'hiburan menurut syariah'

 

HALAMAN HIBURAN 

2 artis berdepan hukuman gantung 

Kuala Lumpur: Selain ada yang pernah dipenjara dan dijatuhi hukuman denda, dua selebriti dalam industri hiburan Malaysia kini berdepan hukuman lebih parah iaitu gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan akibat memiliki pelbagai jenis dadah.

Terdahulu, kes mengedar dadah jenis kanabis yang dihadapi penyampai radio, Isma Halil Hamzah, 49, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan, Isma Halil didakwa mengedar kanabis dengan anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, jam 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Isma Halil mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini, Februari lalu.

Terkini, pada Khamis lalu (24 Mac), seorang penyanyi nasyid lelaki ditahan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini dan pemeriksaan menemui 17 batang pokok ganja di rumah berkenaan.

Dia yang juga komposer turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.

Artis terbabit kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketika diminta mengulas isu selebriti dalam industri hiburan yang terkait dengan isu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, semua itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk membuat penghakiman.

"Ia bukan kes pertama (selebriti ditahan mengikut seksyen ini), namun kita tidak boleh terus menghukum mereka ini.

"Ini kerana mereka perlu menghadapi perbicaraan dan mereka belum boleh dikatakan bersalah selagi belum disabitkan dengan kesalahan itu," katanya.

Menurut Freddie, ada yang mengatakan jumlah dadah ditemui adalah besar dan terus menjatuhi hukuman terhadap selebriti berkaitan.

"Kita pun tidak tahu sama ada ia digunakan untuk diri sendiri atau diedar. Ia masih perlu disiasat dan disahkan oleh pihak berkuasa.

"Tidak adil jika kita terus menjatuhi hukuman terhadap mana-mana selebriti yang ditahan sedangkan siasatan atau perbicaraan masih berjalan," katanya.

Pada masa sama, Freddie turut menggesa mana-mana artis yang masih terbabit dengan dadah supaya meninggalkan tabiat itu.

"Berhenti segera, jangan korbankan nyawa kita kerana dadah.

"Kita boleh hidup tanpa dadah. Apa guna dadah kepada badan kita ini," katanya.

Freddie turut meminta mana-mana artis yang mahu meninggalkan tabiat menghisap dadah, namun sukar melakukannya supaya bertemu pihaknya.

Katanya, Karyawan akan berusaha untuk membantu dengan mendapatkan mana-mana pusat pemulihan dengan syarat, artis terbabit memang mahu berhenti menghisap dadah.

Kita akan hilang semuanya: Ameng

Rokok pun saya sudah berhenti – Ameng Spring

Kuala Lumpur: "Saya sudah ada titik hitam dalam hidup, saya harap rakan artis mahupun sesiapa saja jangan tersilap langkah.

"Kita akan hilang semuanya apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Keluarga anak-anak. Jika dia seorang artis, dia akan hilang populariti, jika dia orang biasa orang akan sukar mempercayai dan akan terus dipandang serong."

Demikian nasihat vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 54, (gambar) yang pernah 'tersalah langkah' dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah tidak lama dulu.

Ameng berkata, titik hitam dalam hidupnya itu akan sentiasa ada, namun dia tetap bersyukur kerana kejadian itu menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupannya.

"Bayangkan, waktu kena tahan, didapati bersalah, masuk pula penjara, kena sebat. Sehingga sekarang saya boleh merasai kesakitannya dan ia menjadi salah satu faktor perubahan dalam hidup.

"Ketika itu, saya hilang semuanya, hilang populariti, hilang keluarga dan pastinya hilang kepercayaan dalam kalangan rakan serta kalangan peminat.

"Waktu itu, saya mula terfikir musibah yang berlaku pada diri saya ini kerana Allah SWT marah dengan saya, bila marah pasti ada buat silap. Dan Alhamdulillah, saya berubah kepada diri yang lebih baik, Insya-Allah," katanya kepada Metro Ahad.

Untuk rekod, Ameng pernah dipenjarakan lapan tahun dengan 10 sebatan pada 2011 atas kesalahan memiliki dadah.

Ameng berkata, tiga amalan yang dilakukannya iaitu menjaga solat, berzikir dan membaca al-Quran menjadikan dia kuat untuk terus istiqomah mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini.

"Saya akan pastikan setiap hari saya habis membaca 10 muka surat al-Quran dan dalam seminggu, saya akan menghafal satu muka surat dan ia sudah menjadi rutin dalam kehidupan saya.

"Kehidupan sebagai artis ini memang tidak menentu, namun selepas mengamalkan membaca al-Quran ini, saya dapati kehidupan lebih tenang, Alhamdulillah, ada saja rezeki tidak putus-putus walaupun dalam bermacam persaingan.

"Sekarang pun saya banyak dijemput dalam platform umum untuk berkongsi kisah hidup dan saya harap pengalaman hidup saya ini boleh dijadikan iktibar untuk orang lain," katanya.

'Mungkin dah guna lebih 10 tahun tahun'

Kuala Lumpur: Penagih yang menanam ganja di rumah kebiasaannya sudah lama menggunakan bahan terlarang berkenaan.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abd Samad berkata, kebanyakan penagihan ganja berkemungkinan sudah menggunakan bahan ini melebihi 10 tahun.

"Ganja yang ditanam di rumah biasanya untuk kegunaan sendiri, mungkin juga penggunaannya turut dikongsi bersama-sama rakan penagih lain.

"Bagi artis yang mengambil dadah, tujuannya untuk menambahkan kreativiti berkarya, lebih berkeyakinan dan tidak gementar apabila menyanyi di pentas bagi seorang penyanyi.

"Namun, tanpa mereka sedar sudah bergantung bahan itu untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.

Beliau berkata, ganja ialah tumbuhan yang di dalamnya terdapat dua komponen kimia utama iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD).

"TCH ialah bahan khayal untuk menambah kreativiti berkarya manakala CBD digunakan untuk perubatan termasuk rawatan barah, epilepsi dan sebagainya.

"Di media sosial, ramai artis antarabangsa menunjukkan penggunaan ganja secara terang-terangan.

"Ini juga boleh mempengaruhi artis Malaysia untuk turut sama menggunakan ganja," katanya.

Ramli berkata, kesan penggunaan ganja adalah lebih rendah berbanding dadah lain.

"Malaysia masih menggunakan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang perlu dipinda mengikut keperluan masa kini.

"Empat artis pernah menjalani rawatan di Pengasih dan mereka sudah keluar daripada pusat ini serta pulih daripada pengaruh dadah," katanya.

Disiarkan pada: Mac 27, 2022 @ 7:30am

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tolong, selamatkan artis kita.. dengan 'hiburan menurut syariah' Terapkan dalam kehidupan artis, akan selamat dunia akhirat.. bukan di dunia saja. Insya Allah!

'Restoran lima bintang' tumpuan burung hijrah

 

Burung camar tiram antara ditemui di tempat persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

KAWASAN Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, yang kaya dengan hasil laut dan sumber organisma marin menjadi faktor utama persinggahan burung pantai hijrah ke lokasi itu sejak kebelakangan ini.

Lokasi dianggarkan seluas 600 hektar itu dianggap restoran bertaraf lima bintang bagi burung pantai hijrah mendapatkan makanan dan menjalani kehidupan di sini mengikut peralihan fasa demi fasa sebelum terbang pulang ke negara asal mereka.

Menurut Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, burung pantai hijrah memerlukan tempat istirehat yang selesa dengan ekosistem terbaik serta mudah memperoleh makanan selepas terbang ribuan kilometer.

Beliau yang melakukan penyelidikan berhubung burung berkenaan sejak enam tahun lalu, mendapati kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda menjadi tempat tumpuan persinggahan burung pantai hijrah sekali gus perlu dilindungi.

"Kawasan ini (Teluk Air Tawar-Kuala Muda) terletak di tengah salah satu laluan penerbangan burung pantai hijrah datang dari hemisfera utara ke selatan yang keseluruhan dalam dunia ini terdapat sembilan laluan.

"Ini membuktikan lokasi ini amat penting dan perlu dijaga serta dilindungi kerana menjadi kawasan persinggahan ribuan burung pantai hijrah yang ia bukan biasa-biasa kerana datang dari pelbagai negara antaranya Russia, Taiwan, Siberia dan Artik.

Teluk Air Tawar-Kuala Muda kaya hasil laut dan sumber organisma marin hingga jadi lokasi persinggahan burung pantai hijrah. - NSTP/Danial Saad

"Kawasan ini boleh dikatakan restoran Gred A (bertaraf lima bintang) untuk burung-burung hijrah mendapatkan makanan kerana lokasi ini kaya dengan pelbagai hasil laut dan memiliki dataran lumpur sangat luas sehingga menyebabkan mengapa ribuan burung hijrah membuat persinggahan dekat sini," katanya.

Baru-baru ini, beliau bersama sekumpulan agensi melawat Tapak Kawasan Burung Penting (IBA) di Pesisir Pantai Teluk Air Tawar sehingga Kuala Muda.

Berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan

Sewajarnya kawasan bakau dan dataran berlumpur yang menjadi lokasi persinggahan burung hijrah ini perlu dipelihara.

Pada masa sama, komuniti setempat juga perlu bangga lokasi ini amat istimewa untuk dibangunkan untuk ekopelancongan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka khususnya nelayan.

Terdahulu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pulau Pinang turut mengadakan lawatan di tapak itu meminta kerajaan negeri mewartakan kawasan hutan bakau dan dataran lumpur sebagai kawasan dilindungi berikutan ia lokasi persinggahan burung pantai hijrah.

Difahamkan, ketika musim hijrah dari Julai 2021 hingga bulan ini, kira-kira 15,000 burung pantai hijrah ke kawasan itu untuk berehat 'memulihkan tenaga' dan sebahagian lagi menjadikannya sebagai kawasan transit sebelum terbang lebih jauh ke selatan. 

Nur Munira (dua dari kanan) ketika meninjau kawasan tempat persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

Nur Munira yang juga Ahli MNS berkata, hanya kawasan hutan bakau di Teluk Air Tawar-Kuala Muda kini masih kekal dan kurang pembangunan dekat situ berbanding di lokasi lain seperti Kuala Gula, Perak.

"Burung pantai hijrah dilihat sebagai indikator biologi yang menunjukkan ekosistem paya bakau dan dataran lumpur Teluk Air Tawar-Kuala Muda adalah ekosistem produktif, kaya dengan marin organisma, kita perlu pertahankan dan memastikan supaya ekosistem dijaga.

"Ada juga ingin mewartakan kawasan ini sebagai 'Tapak Ramsar' iaitu Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa, tetapi perlu diingat sebelum mewartakannya juga perlu ada pengurusan yang teratur supaya kawasan ini dapat dilindungi dari sebarang ancaman," katanya.

Elak jadikan zon industri akuakultur

Beliau berpandangan, kawasan itu juga perlu dilindungi bukan kerana menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah semata-mata, tetapi juga mengambil iktibar memandangkan terlalu banyak bencana alam berlaku.

"Apa kita dapat lihat sekarang banjir berlaku di mana-mana kawasan, sebabnya kita tiada hutan untuk 'memegang' air termasuk dengan masalah pembuangan sampah merata-rata tempat.

"Ketika tsunami 2004, kawasan hutan bakau ini tidak sebesar mana tetapi sekarang kerana menyedari ia boleh menjadi penampan (pemecah ombak besar), maka kawasan ini berubah kepada ekosistem yang memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

Burung bangau besar (Great Egret) antara ditemui di kawasan persinggahan burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

"Justeru, kawasan ini amat istimewa dan amat memerlukan kerjasama kerajaan negeri supaya tidak menukar kawasan ini sebagai zon industri akuakultur yang boleh menjadi ancaman kepada organisma marin, sekali gus mengurangkan kedatangan burung pantai hijrah dan menyebabkan pendapatan nelayan terjejas kerana kehilangan sumber marin," katanya.

10 spesies burung hijrah terancam

Jelasnya, sepanjang beliau menjalankan pemerhatian dan penyelidikan, terdapat 57 spesies termasuk 10 spesies terancam dikenal pasti hadir ke kawasan berkenaan.

"Secara amnya, penghijrahan burung-burung ini di kawasan di Semenanjung termasuk Teluk Air Tawar-Kuala Muda berlaku antara bulan Julai hingga April secara peringkat demi peringkat.

"Durasi mereka akan mula terbang pada Julai hingga Disember dan bersedia untuk pulang ke negara asal pada Mac hingga April," katanya.

Beliau berharap Jabatan Perhilitan dapat membuat rondaan di sekitar kawasan itu setiap kali musim migrasi burung berkenaan. 

Lokasi di sini perlu dilindungi kerana menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah. - NSTP/Danial Saad

"Ini kerana ada aktiviti penangkapan burung hijrah melalui penemuan tiang dan jaring. Perkara ini perlu dicegah demi melindungi burung ini termasuk spesies yang terancam," katanya.

Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh dilaporkan, berkata Jabatan Perhutanan, di bawah portfolionya, sudah memulakan lawatan tapak ke atas hutan bakau itu.

Kini di peringkat akhir iaitu serahan kepada EXCO kerajaan negeri untuk kelulusan mewartakan kawasan itu sebagai hutan simpan kekal.

Kawasan itu sesuai diwartakan sebagai hutan simpanan kekal kerana tidak terdapat banyak pencemaran di sepanjang pantai. (BH)


Lihat sebelum ini..
Bab 3

Monday, March 28, 2022

Pertahanan Turki-M'sia, perlindungan mangsa perang & aparteid Israel

 

1. Pertahanan: Turki sedia teroka kerjasama baharu dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Turki bersedia meneroka bidang kerjasama baharu dengan Malaysia dalam industri pertahanan melalui penyertaannya dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Presiden bagi Industri Pertahanan Turki (SSB) Prof Ismail Demir berkata ia termasuk platform udara generasi baharu, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), platform tentera laut dan keselamatan siber.

Demir menegaskan kedua-dua negara telah menjalin kerjasama dalam sistem darat, melalui usaha sama antara syarikat Turki FNSS dan DefTech Malaysia, yang menghasilkan Kenderaan Tempur Berperisai 8X8.

“Syarikat pertahanan Turki telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk tempur mereka. Mereka terbuka bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjalin hubungan jangka masa panjang, berdasarkan strategi menang-menang, termasuk pertukaran teknologi, pengeluaran dan pemasaran bersama.

“Kami menawarkan model kerjasama terbuka, mesra dan muhibah yang kebanyakan negara tidak tawarkan. Kami bersedia berkongsi pengalaman dengan rakan sejawatan di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Turki sekali lagi menjadikan kehadirannya dirasai dengan mendominasi ruang terbesar di pameran DSA dan NATSEC Asia 2022, yang berlangsung dari Isnin hingga 30 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Tinjauan Bernama mendapati pavilion Turki memenuhi hampir separuh daripada ruang pameran yang disediakan, selain pavilion Malaysia dan 18 yang lain termasuk dari Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

Sebanyak 32 syarikat Turki mengambil bahagian dalam DSA bersama SSB tahun ini, katanya

Antara syarikat yang terlibat adalah ASELSAN, HAVELSAN, MKE, STM, TUSAS, ROKETSAN, OTOKAR dan Nurol Makine.

Mereka akan mempamerkan teknologi seperti sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, sistem peluru berpandu dan platform kenderaan berperisai.

Demir menambah, syarikat-syarikat Turki komited menjadi sebahagian daripada acara ini untuk mewujudkan perkongsian strategik dengan rakan sejawatan mereka.

“Pameran DSA ialah antara acara industri pertahanan yang paling menarik di dunia. Ia adalah pertunjukan Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan yang terbesar dan paling cekap dianjurkan di Asia.

“Turkish National Pavilion sentiasa terlibat di pameran DSA, dan ia menjadi petunjuk konkrit betapa kami memberi komitmen terhadap pameran dan negara tuan rumah Malaysia,” tambahnya.

Turki telah mengambil bahagian dalam 13 edisi DSA sejak 1996. – BERNAMA

2. Pusat Islam jadi tempat perlindungan mangsa perang 

KOTA BHARU: Pusat Islam di Warsaw Poland yang dikelola NGO Malaysia, Muslim Care dijadikan tempat perlindungan mangsa peperangan Russia dan Ukraine.

Mantan Profesor Pengajian Asia Barat Moden Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, kisis tersebut memaksa lebih 10 juta penduduk Ukraine meninggalkan kediaman masing-masing.

Katanya, biarpun penduduk beragama Islam Ukraine golongan minoriti, namun bantuan daripada penduduk Malaysia amat diperlukan khususnya ketika lokasi itu tidak mampu menampung peningkatan pelarian.

“Muslim Care mempunyai Pusat Islam di Warsaw Poland, tempat ini dijadikan rumah persinggahan sementara khususnya pelarian Ukraine yang lari daripada negara mereka sedang bergolak.

“Kalau nak bagi bantuan kepada pelarian Ukraiane mereka berada di Poland sekarang,” katanya pada Bicara Siasah dianjurkan PAS Kelantan di sini baru-baru ini. Program itu disiarkan melalui laman Legasi Tok Guru.

Sejak tentera Rusia menceroboh Ukraine 24 Februari lalu, ramai penduduk meninggalkan negara itu untuk mencari perlindungan di negara jiran terutama Poland dan Romania.

Sehingga sekarang tidak lebih 100,000 orang bersesak-sesak di bandar Medyka, kira-kira 300 kilometer dari Warsaw, yang menjadi pintu masuk utama dari Ukraine ke Poland.

Dr Kamaruzaman juga berkata, bagi mengelakan krisis itu terus berlarutan dicadangkan usaha penyelesaian dilakukan bagi menyelamatkan umat Islam di negara terbabit.

Menurutnya pemimpin negara Islam yang berpengaruh termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat memainkan peranan.

“Dr Mahathir seorang negarawan berpengaruh di luar negara sesuai menjadi orang tengah. Begitu juga OIC dan Liga Arab sepatutnya boleh memainkan peranan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2022

3. Pakar PBB selar amalan aparteid Israel 

GAZA: Seorang pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelar masyarakat antarabangsa kerana membenarkan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin sehingga berkembang menjadi sistem aparteid.

Pelapor khas PBB mengenai situasi hak di wilayah Palestin yang diduduki, Michael Lynbk kini menyertai semakin banyak suara yang menggambarkan dasar pemisahan Israel sebagai aparteid.

Semasa membentangkan laporan terakhirnya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva baru-baru ini, pakar bebas itu berkata bahawa ‘pendudukan Israel, kini dalam tahun ke-55 tanpa penghujungnya, telah menjadi semakin berakar umbi dan menindas (rakyat Palestin)’.

“Ia (dasar Israel) adalah aparteid,” katanya sambil merujuk kepada kes rampasan tanah rakyat Palestin tanpa henti, penempatan Yahudi sahaja yang semakin berkembang, sistem dwi perundangan, jurang yang besar dalam keadaan hidup antara peneroka Israel dan Palestin yang tinggal bersama, serta pemisahan yang luas dalam hak politik.

Israel telah menguasai Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sejak tahun 1967. Kira-kira 700,000 peneroka Yahudi kini tinggal di kedua-dua kawasan, di penempatan yang dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa. – TRT World

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Insya Allah, al-hamulillah, walaupun musuh Allah tidak suka.

DAP lagi: Masalah Tony Pua, DAP panas & 'penasihat gila'.

 


1. Tony Pua sombong dan tidak disukai kata Tun

MEMOIR terbaru bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berjudul ‘Capturing Hope: The Struggle Continues For a New Malaysia’ seakan satu malapetaka besar buat DAP.  Ia menelanjangkan tindak-tanduk DAP di dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang 22 bulan pemerintahan PH yang ramai tidak tahu.

Ada yang mengatakan bahawa dendam Tun terhadap DAP sebenarnya tidak berkesudahan walaupun beliau pernah mengetuai Kerajaan PH yang turut didukung DAP. 

Setelah tersingkir sebagai Perdana Menteri dan ditendang keluar oleh PH Tun terus mendedahkan masalah yang melibatkan DAP seakan memberi isyarat pada rakyat untuk menolak parti berkenaan.

Dalam buku terbaru beliau itu Tun mendedahkan bahawa pemimpin Jawatankuasa Pusat DAP Tony Pua (Ahli Parlimen Damansara) yang semasa PH memerintah merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah bertindak angkuh dan melampaui batas bidangkuasanya sebagai seorang Setiausaha Politik. 

Beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Penasihat Guan Eng untuk mencampuri urusan kerajaan. (Tony kini memegang jawatan Setiausaha Publisiti dalam kepimpinan DAP Pusat)

Malah Tun mendakwa gelagat Tony lah yang mengakibatkan ramai yang menentang Kerajaan PH kerana merasakan kerajaan tidak bersimpati dengan nasib mereka.

Tony kata Tun seorang yang ‘arrogant’ atau sombong dan tidak disukai oleh komuniti ahli perniagaan ketika beliau duduk dalam kerajaan.

Laporan Utusan Malaysia semasa pelancaran buku terbaru Tun:

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berlagak seperti seorang Menteri semasa menjadi Setiausaha Politik.

“Menurut Dr. Mahathir, Pua sebagai Setiausaha Politik sepatutnya memberikan laporan mengenai politik negara dan bukannya ke sana ke sini melaksanakan dasar kerajaan.

“Dr. Mahathir menambah sikap demikian telah menyebabkan komuniti perniagaan menolak kerajaan PH.”

The Star pula melaporkan Tun sebagai berkata:

“… Setiausaha Politik ini (Tony Pua) telah mengarahkan (kakitangan Kementerian) agar memberi taklimat kepada beliau dari hal dasar-dasar kerajaan dan telah memanggil mesyuarat berkenaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan”.

Jika benar dakwaan Tun, DAP rupanya telah menggunakan sepenuh kesempatan sepanjang pemerintahan PH untuk menguasai kerajaan. Kerana itu PAS mendakwa DAP mendominasi Kerajaan PH.

Tulisan Tun ini mengesahkan memang DAP begitu, demikianlah bahaya apabila kaduk naik junjung. Terima kasih Tun atas pendedahan ini, biar rakyat kenal dan segera menjauhi DAP selama-lamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/12/2021

2. DAP kepanasan ekoran pendedahan Tun 


TUN Dr Mahathir bakal melancarkan buku terbarunya berjudul ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’, lewat bulan ini.

Belum pun dilancarkan meleleh peluh jantan pimpinan DAP apabila Tun menyelak sedikit antara isi kandungan bukunya itu nanti.

Rupanya Tun turut memilih untuk mendedahkan apa yang berlaku dalam Kerajaan 22 bulan PH khasnya yang melibatkan pimpinan DAP.

Dalam satu portal berita dilaporkan:

“Dr Mahathir Mohamad has singled out a senior DAP man described as a trusted adviser to former finance minister Lim Guan Eng over his unauthorised involvement in government business, saying it showed how some actions had only provided bullets for Umno to exploit racial issues against the Chinese-dominated party.”

Dalam bukunya itu Tun menyebut dari hal kerenah seorang pemimpin kanan DAP yang beliau anggap sebagai penasihat kanan Lim Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan.

“Ada juga beberapa ketika penasihat ini bercakap secara terbuka bagi pihak kerajaan walaupun tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian,”

Tindak tanduknya dakwa Tun telah menjadi peluru buat Umno untuk memainkan isu perkauman terhadap (DAP) parti yang didominasi kaum Cina itu.

Hanya beberapa kerat tulisan Tun didedahkan tetapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terus melompat mempertahankan tindakannya dengan mendakwa Tun punya ‘faulty memory’ atau ingatan yang telah rosak.

Bukankah Tun dulu dinobat sebagai ‘hero’ dan idola DAP dan PH? Hari ini lantaran berkongsi memorinya Tun dilabel sedemikian rupa oleh Guan Eng, kacang lupakan kulit.

Dan tidak cukup dengan serangan Guan Eng seorang lagi pemimpin kanan DAP Tony Pua pula bangkit mempertahankan diri sedang Tun tidak pun menyebut namanya. Beliau mengaku beliaulah penasihat yang dimaksudkan!

Menurut satu laporan Tony berkata:

“Mahathir sepatutnya berbangga dengan kerajaan beliau kerana berjaya melindungi kepentingan rakyat dalam skandal berbilion ringgit dan rekodkan pencapaian beliau itu dalam memorinya.

“Namun beliau pilih untuk tulis perkara yang remeh dan menulis bagaimana beliau dapat ‘menyekat’ seorang Setiausaha politik bawahan dalam kementerian kewangan.”

Kenapa DAP kepanasan sedangkan buku Tun ini belum pun terbit di pasaran? Tindakan Guan Eng dan Tony seolah mahu mempertikaikan hak berkarya Tun, tetapi DAP mendabik dada mereka pejuang hak asasi?

Tunggulah ia keluar di pasaran. Jika fitnah maka samanlah Tun. Pasti rakyat tertunggu-tunggu. Difahamkan banyak lagi pendedahan berkenaan DAP terkandung dalam buku baru Tun itu. Semoga ia tidak menjejaskan harapan DAP di PRN Sarawak nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/12/2021

3. Antara gila penasihat dan penasihat gila  


VETERAN DAP Lim Kit Siang sudah bergelumang dalam politik tanah air lebih 50 tahun. Dalam usia lanjut 80 tahun kini beliau walau tiada jawatan rasmi dalam DAP namun masih berpengaruh dan dianggap sebagai ‘Penasihat Agung’ belakang tabir. 

Anak lelakinya Guan Eng Setiausaha Agung parti manakala anak perempuannya Hui Ying Setiausaha DAP Pulau Pinang.

Sepanjang 50 tahun karier politiknya ada jatuh bangun tetapi pasca PRU14 kelihatan bintangnya makin malap semalap usianya yang semakin lanjut.

Nasihat dan arahannya juga semakin tidak menjadi barangkali menandakan zaman keruntuhan DAP makin hampir.

Menang gemilang sehingga menakluk Putrajaya, Johor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dalam PRU14 dengan beliau sebagai arkiteknya kini sepantas kegemilangan itu satu demi satu pantas pula runtuh.

Januari 2019 tidak sampai setahun berkuasa DAP kalah dalam PRK Cameron Highlands yang pada PRU14 dimenangi dengan majoriti 597 undi.

Kemudian September 2020 PH-Warisan kalah lagi dalam PRN Sabah. Dan terbaru di Melaka PH kecundang lagi dengan DAP kalah 4 kerusi yang dimenangi sebelumnya dalam PRU14.

Kit Siang mula karier politiknya sebagai MP Bandar Melaka tahun 1969. Kit Siang menegur pimpinan PH agar tidak terima wakil-wakil ‘katak’ sebagai calon di Melaka kerana PH perlu tolak kleptokrat, oportunis dan penyangak, malangnya nasihat Kit Siang tidak lagi dilayan.

Ternyata Kit Siang makin terpinggir. Dalam DAP pun beliau sudah dikira barang antik apatah lagi dalam PH, beliau sudah tidak lagi diberi muka. Dalam Parlimen pun lebih banyak membisu dan menyepi.

Tiba-tiba hari ini demi mahu dilihat terus relevan dalam politik, Kit Siang serang Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai ‘adviser mania’ atau ‘gila penasihat’.

Kit Siang dakwa kononnya pelantikan penasihat-penasihat kepada Perdana Menteri menandakan Perdana Menteri tidak yakin terhadap menteri-menterinya.

Soalnya adakah mana-mana peruntukan atau peraturan yang melarang Perdana Menteri melantik penasihat? Kalau ia bermanfaat dan membantu kerjanya sebagai Perdana Menteri dan baik buat negara siapalah Kit Siang untuk membantah atau melarang?

Kit Siang patut tumpu sahaja peranannya dalam DAP, atau apakah beliau sudah tidak punya peranan? Peranan sebagai Ahli Parlimen Iskandar Puteri bagaimana? Masih turun kawasan atau cuma ‘remote control’ dari jauh?

Lebih baiklah ‘adviser mania’ daripada ‘maniac advisor’ macam beliau. Sarawak nanti pastikan beri nasihat terbaik jangan lagi kalah macam Melaka, Sabah dan Cameron.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Komen Weblog Ibnu HasyimDAP lagi, dengan masalah Tony Pua, DAP yang dah panas dan kisah 'penasihat gila'. Apakah kini mereka yang sama-sama tertuduh rasuah akan bergabung? 

Ada kemungkinan kuncu-kuncu tertuduh perasuah kini akan diganti oleh Najib yang sedang main-mata bersama DAP? UMNO juga tertuduh rasuah.. Biasanya roh yang jahat akan mudah bergabung, berkerjasama dan selesa dengan geng-geng penjahatnya.

Kalau berlaku gabungan ini, apakah PRU 15 akan datang jadi medan pertarungan antara golongan 'pembaikan' bertarung dengan golongaan pe'mungkar'? Kita sama-sama lihat nanti... Sekarang pun 'barua-barua juboq tak basuh' sudah mula me'iklankan' Najib..

Ulasan ini akan bersambung dan akan lebih menarik, dengan izin Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails