KOTA BHARU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Tabung Haji (TH) memberi jaminan tidak wujud isu menggunakan ‘kabel’ atau ‘potong barisan’ bagi mempercepatkan giliran menunaikan haji.
“Mengenai senarai menunggu, sudah ada kriteria tertentu yang menjadi keutamaan TH. Kalau tiada kuota tambahan, atau pun semua yang disenaraikan tiada masalah maka mereka layak untuk menunaikan haji,” katanya.
Beliau turut menasihati bakal jemaah haji dan umrah untuk sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi agar perjalanan lebih lancar dan teratur.
Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parlimen Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Izani Husin.
Sementara itu, pengusaha dan penjual sesuatu produk dinasihat tidak meletakkan sebarang label tarikan berunsur keagamaan bagi mempromosikan produk dengan sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Menurutnya, tindakan itu juga boleh mewujudkan unsur penipuan terhadap pengguna.
Selain itu katanya, pengguna dinasihatkan tidak mudah terpedaya sehingga mudah tertarik dengan promosi produk terutama yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta logo halal.
“Sesiapa sahaja boleh melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya timbul keraguan atau sesuatu yang tidak jelas terhadap sesuatu produk.
“Dari sudut kepenggunaan kita kena rujuk kepada KPDNHEP sekiranya ada pelanggaran sebarang peraturan yang boleh disifatkan berunsur penipuan.
“Kita berharap pengusaha-pengusaha produk kecantikan sebelum mengeluarkan sebarang supliment atau produk perlu memahami apa dimaksudkan sunnah dan bukan hanya melabelkan produk dengan sewenang-wenangnya sehingga mengelirukan pengguna,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 7/5/2022