Monday, May 23, 2022

Demokrasi Pak Pandir & SU Ulamak Sedunia lawat Presiden PAS.

 

1. Demokrasi Pak Pandir -Presiden PAS

ILMUWAN politik Barat menguar-uarkan slogan demokrasi purba yang menjadi kebanggaan mereka:
Vox populi, vox dei
“Suara rakyat ialah suara Tuhan.”

Slogan tersebut merupakan reaksi terhadap pemerintahan beraja yang zalim berslogankan:
Vox rei, vox dei
“Suara raja ialah suara Tuhan.”

Teori politik Barat juga mengenali ideologi yang dinamakan teokrasi, iaitu suatu bentuk kerajaan yang memiliki kuasa ketuhanan dalam mentadbir negeri, sama ada dalam bentuk jelmaan manusia, atau selalunya melalui wakil institusi keagamaan (seperti gereja atau kuil). Golongan agamawan daripada kalangan para paderi atau sami mengambil tempat atau mendominasi kerajaan yang meletakkan diri mereka berkuasa dengan kuasa Tuhan, lalu mengada-adakan hukum yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan selain Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih (‘Isa)  putera Maryam, padahal mereka hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah: 31)

Islam membawa konsep wasatiyyah yang berkonsepkan adil terhadap semua, sekali gus menolak ketiga-tiga teori tersebut (demokrasi purba, monarki dan teokrasi).

Islam hanya menerima pemerintah yang adil, seperti bersumberkan monarki (raja) dengan meletakkan syarat beraqidah dan berakhlak serta secara khusus berlaku adil. Pada masa yang sama, menerima hak rakyat untuk berkuasa dengan syarat bersifat adil juga, dan semuanya tidak mempunyai kuasa mutlak termasuk para agamawan.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah, taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Nabi Daud AS ialah khalifah yang dilantik dalam kalangan rakyat, manakala Nabi Sulaiman AS pula dilantik menjadi raja berdasarkan kepada keturunan. Selain itu, Zulqarnain juga ialah seorang raja adil yang disebutkan ceritanya dalam al-Quran.

Al-Quran menolak kalangan raja yang zalim seperti Namrud dan Firaun, begitu juga menolak para pemimpin rakyat yang dinamakan sebagai golongan al-Mala’ yang zalim dan menipu rakyat. Malah, al-Quran juga menolak para agamawan dan dianggap tidak maksum (terpelihara daripada dosa) seperti para rasul, sekalipun mereka mewarisi ilmu agama daripada para anbiya’. 

Islam juga menegaskan bahawa dalam perkara yang tidak dapat dicapai oleh kemampuan akal manusia, maka ditetapkan nas yang tiada pilihan lain melainkan ketetapan Allah SWT seperti soal halal dan haram. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’:105)

Di sana, terdapat banyak perkara yang diberikan hak kepada ilmu dan akal manusia yang diizinkan oleh Allah SWT, maka mereka digalakkan sentiasa bermesyuarat dan menerima nasihat. Firman Allah SWT:

﴿فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾

“Maka, disebabkan rahmat (yang melimpah-ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), kamu telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu). Sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk melakukan sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 159)

Dan Rasulullah SAW bersabda:

‌الدِّينُ ‌النَّصِيحَةُ. ‌قُلْنَا: ‌لِمَنْ؟

“Agama itu nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: Bagi siapa (nasihat itu) wahai Rasulullah?

قَالَ: لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.

Sabdanya: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang ramai.” (Riwayat Muslim 55, Abu Dawud 4944 dan lain-lain)

Rasulullah SAW melaksanakan konsep wasatiyyah tersebut sewaktu Baginda memimpin negara yang bermula di Madinah. Raja al-Najasyi, Raja Masqat dan Oman kekal bertakhta apabila mereka menerima Islam yang adil.

Rasulullah SAW menerima para pemimpin kabilah yang menerima Islam yang adil dengan mengekalkan mereka menjadi pemimpin. Hal ini disebutkan oleh sabda Baginda SAW:

‌خِيَارُهُمْ ‌فِي ‌الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلَامِ، إِذَا فَقِهُوا.

“Orang-orang yang terpilih pada masa jahiliah ialah orang yang juga terpilih pada masa Islam sekiranya mereka mengerti (Islam).” (Riwayat al-Bukhari 3493, Ahmad 7496 dan lain-lain)

Rasulullah SAW menghadapi tentangan daripada semua pihak yang zalim, termasuklah kuasa besar pada zamannya iaitu Rom dan Parsi. Sehinggakan, semua pihak yang menentang perjuangan Baginda dapat dikalahkan.

Demokrasi moden di Barat yang berubah daripada konsep demokrasi purba sebenarnya banyak dipengaruhi oleh fiqh politik Islam yang melaksanakan konsep syura. Khususnya dalam aspek pemilihan ketua negara dan pentadbirannya selepas kewafatan Rasulullah SAW ketika era kepimpinan empat Khulafa’ al-Rasyidin RA dan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz RA yang adil pada zaman Umawiyyah.  

Namun, konsep sekularisme yang memisahkan politik daripada agama dari sudut aqidah dan akhlaknya menjadikan demokrasi itu semakin tempang. Sehinggakan, keadaan tersebut memaksa rakyat menjadi Pak Pandir yang disebutkan dalam cerita lucu orang Melayu.

Dalam cerita panjang Pak Pandir yang pernah saya baca ketika persekolahan peringkat rendah dahulu, terdapat satu peristiwa Pak Pandir menyeberang alur sungai melalui sebatang titi kayu yang reput. Hal ini demikian kerana, dia melihat betapa ramainya semut yang meniti titi kayu itu.

Kata Pak Pandir:

“Kalau semut yang ramai jumlahnya boleh meniti kayu itu, aku yang hanya  seorang sahaja pasti boleh menitinya juga.”

Akhirnya, Pak Pandir jatuh ke dalam sungai lalu badannya basah kuyup kerana kayu yang dipijaknya patah akibat tidak dapat menahan badan Pak Pandir yang lebih berat berkali ganda daripada semut yang ramai.

Begitulah demokrasi moden yang dicemari dengan rasuah, politik wang, pembohongan sewaktu berkempen yang menggoda suara majoriti masyarakat yang tidak berakal sempurna dan tidak berilmu. Mereka dikerah menjadi penyokong dan pengundi berslogankan ‘suara rakyat, suara Tuhan’ atau ‘suara rakyat, suara keramat’.

Al-Quran membawa cerita semut yang lebih bijak daripada manusia dalam menjaga kaum yang menjadi bangsanya. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ١٩﴾

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi al-Naml (Lembah Sodir), berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut! Masuklah ke sarang kamu masing-masing, agar kamu semua tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari. (18); Maka, Nabi Sulaiman tersenyum mendengar kata-kata semut itu. Dan berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Ilhamkanlah kepadaku supaya tetap bersyukur akan ni‘mat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpahan rahmat-Mu dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.’ (19)” (Surah al-Naml: 18-19)

Para ulama’ tafsir menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS yang diberikan mukjizat mampu memahami bahasa binatang memanggil raja semut dan bersabda:

لم حذرت النمل؟ هل سمعتم إني ظالم؟ أما علمتم أني نبي عدل؟ فلم قلت لا يحطمنكم سليمان وجنود.

“Mengapa kamu memberikan amaran kepada rakyatmu? Adakah kamu mendengar bahawa aku adalah seorang yang zalim? Adakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi (yang diutuskan oleh Allah) yang wajib bersifat dengan adil? Dan kenapa kamu mengatakan (kepada semut yang lain) jangan dibiarkan Sulaiman dan tenteranya memijak dan membinasakan kalian?”

قالت النملة: يا نبي الله أما سمعت قولي وهم لا يشعرون.

Berkata raja semut: “Wahai Nabi Allah, adakah engkau tidak mendengar ucapanku, ‘Mereka tidak menyedari kedatanganmu.’” (Abu Ishaq al-Tsa’labi, Qasas al-Anbiya’, ms. 325-326)

Demikianlah Allah SWT membawa cerita pengajaran bagaimana binatang juga menjaga keselamatan kaum masing-masing. Akan tetapi, terdapat manusia yang berakal yang tidak menggunakan akalnya semata-mata kerana mengejar pangkat dan harta, sehingga sanggup merosakkan dan membodohkan kaum atau bangsanya sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Dan firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman yang mendalam) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah itu, maka sesungguhnya dia benar-benar telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan daripada ayat Allah).” (Surah al-Baqarah: 269)

Sabda Rasulullah SAW:

‌الْحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja ia didapati maka dialah yang paling berhak mengambilnya.” (Riwayat al-Tirmizi 2687 dan Ibn Majah 4169)

Islam menegaskan betapa memilih pemimpin menjadi suatu perkara yang akan dipersoalkan pada Hari Kiamat kelak. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dianiayai sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (hatinya), maka dia juga akan lebih buta di akhirat dan lebih sesat dari jalannya (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  21 Syawwal 1443 / 22 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 22/5/2022

2. Presiden PAS terima kunjungan Sheikh Ali Al-Qaradaghi


MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul hai Awang menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Muslimin Sedunia, Prof Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

Sheikh Ali tiba kira-kira jam 2.00 petang di Pejabat Tan Sri Abdul Hadi di Rusila disambut Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, kelmarin. Pertemuan itu berlangsung kira-kira tiga puluh minit.

“Pertemuan ini lebih kepada menghargai jasa yang telah disumbangkan oleh Tan Sri Tuan Guru dalam agenda penyatuan ummah di peringkat dunia Islam,” ujar Muhammad Khalil.

Katanya, Sheikh Ali juga meletakkan harapan agar Tok Guru Presiden terus komited dalam agenda penyatuan ummah di Malaysia.

Khalil yang juga ADUN Batu Buruk berkata Sheikh Ali sedia berkerjasama untuk menjayakan agenda perjuangan pembebasan Baitul Maqdis.

Untuk rekod, Tuan Guru Abdul Hadi yang kini menjadi Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pernah menyandang Naib Ketua Kesatuan itu ketika pengasasnya Sheikh Yusuf Al-Qadarawi menjadi ketua sebelum melepaskan jawatan pada 2018.  HARAKAHDAILY 22/5/2022

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

Sunday, May 22, 2022

Hospital Patuh Syariah P.Pg. Apa DAP/PH..

Janji Hospital Patuh Syariah: Apa yang terjadi? 
 
DUA projek Hospital Patuh Syariah pernah dicadangkan, malah pecah tanah telah dibuat tetapi ‘gagal’ dibangunkan; iaitulah di Kelantan dan Pulau Pinang.

Kini ada pihak-pihak dengan penuh ghairah ‘menganjing’ Kelantan, sebaliknya senyap sepi menutup sebelah mata kepada projek sama di Pulau Pinang. Adilkah sikap hanya kepada satu pihak?

Latar belakang

Kelantan umum projek Hospital Wanita dan Kanak-kanak berkonsepkan patuh syariah (HS) pada 19 April 2018 dengan nilai RM100 juta. Jangkaan siapnya pada tahun 2022.

Pulau Pinang umum projek Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) pada 8 Disember 2016 bernilai RM280 juta. Jangka operasinya pada tahun 2020. Pengumuman projek sama dibuat untuk kali kedua pada 22 Febuari 2019 dengan jangka operasi pada 2022. 

Pemilik

HS Kelantan dicadang pembinaannya di atas tanah seluas 1.6 hektar di Padang Tembak oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB). 

HIPP Pulau Pinang dicadang pembinaannya diatas tanah seluas hampir 1 hektar di Bayan Baru oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Kapasiti

HS Kelantan:

▪︎ 80 katil, bangunan 8 tingkat.

▪︎ Para pakar wanita khusus rawatan perbidanan dan sakit puan serta pakar kesihatan kanak-kanak.

HIPP Pulau Pinang:

▪︎ 200 katil, bangunan 14 tingkat, mempunyai 600 tempat meletak kereta setinggi 7 tingkat.

▪︎ Para pakar bidang perubatan seperti pakar Pediatrik, Ginekologi, Endoskopi dan Kardiologi.

Pelaksana

HS Kelantan

• PKINK dan PKB bekerjasama dengan pemaju yang akan menguruskan pembinaan serta menjadi operator apabila ianya siap nanti.

HIPP Pulau Pinang

• Sebuah hospital pakar di Selangor telah dipilih sebagai pengendali, manakala pemajunya merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Status semasa

Kedua-dua bangunan hospital yang dicadang ini belum pun wujud setakat hampir suku kedua tahun 2022.

Pulau Pinang umum dua kali rancangan pembinaannya iaitu pada tahun 2016 dan 2019, sekali gus meletakkan jangka siap juga dua kali iaitu tahun 2020 dan satu lagi 2022. Tapi tetap tidak wujud lagi. 

Kelantan umum satu kali rancangan pembinaannya iaitu pada tahun 2018 serta memberi jangka siap pada tahun 2022. Juga belum wujud lagi.

Apa sebab ia masih ‘gagal’ diwujudkan?

Kelantan dan Pulau Pinang kedua-duanya menghadapi cabaran yang tersendiri. Masing-masing ada sebab dan punca tidak dapat mewujudkan hasrat murni pembinaan hospital patuh Syariah itu. 

Biarpun beberapa perjanjian dibuat, namun rezeki tidak panjang. Kemampuan pelabur terhad dan akhirnya mereka mohon berundur. Perkara sama khabarnya berlaku di Pulau Pinang, isu kompetensi dan penetapan hala tuju jelas antara pemaju baharu dan YIPP. 

Umpama perkahwinan yang jodohnya tidak panjang. Perkara biasa. Nikah pun dibolehkan cerai. Kalau dah bukan rezeki kita, yang sudah ditelan ke perut pun boleh muntah kembali.

Ia boleh dibahas panjang lebar lagi, tetapi tulisan ini bukan mahu ke situ.

Sikap penyokong PH

Cuma, mengapa puak penyokong Pakatan Harapan (PH), seluruh Malaysia, menghina, mengejek, memperlekeh Kelantan sahaja di atas kelewatan pembinaan ini?

Sedangkan DAP yang memerintah Pulau Pinang, umum dua kali dalam dua penggal pilihan raya, kekal dipuja puji puak PAN, mereka diam membisu, dan tidak langsung berkata apa-apa.

Inilah dia keadilan puak PH Kelantan, yang lebih suka menghina, merendah-rendahkan nasib negeri sendiri, berbanding negeri diketuai DAP. Seakan hinanya Kelantan di mata mereka, tetapi sayangnya DAP di hati PAN. 

Kelantan berusaha menyediakan HS ini sebagai salah satu dari kemudahan yang dapat ditawarkan kepada rakyat, sama seperti yang cuba dilakukan Pulau Pinang. 

Terserah niat masing-masing walaupun cetusan Pulau Pinang seperti memancing undi setiap kali pilihan raya dan terbaru juga disebut akan dilancarkan lagi. 

Sedang Kelantan sudah memulakan dua projek lain juga iaitu di atas tanah 62 ekar yang terletak di Mukim Labok Daerah Machang hasil kerjasama PKINK dan Kumpulan SAKATA Sdn Bhd. Hospital ini dijangka mampu menyediakan kapasiti 100 katil.

Terbaru pada 10 April 2022, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd yang merupakan bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia) menandatangani perjanjian (HOA) bersama Mutiara Premier Sdn. Bhd. (MPSB), anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad bagi pembangunan sebuah hospital swasta di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu Kelantan.

Selain TDM, Sunway juga merancang untuk membuka hospital berkapasiti 200 katil di Lembah Sireh Kota Bharu. KPJ Perdana hasil usahasama syarikat milik kerajaan juga akan melebarkan lagi perkhidmatan mereka melalui pembangunan blok baru.

Ini antara perkembangan lain berkait penyediaan khidmat kesihatan dengan kerjasama swasta di Kelantan. Kenapa ‘mata lalat’ penyokong PH hanya melihat satu projek yang masih bergelut dengan masalah tetapi membutakan mata mereka kepada tiga projek lain yang disebutkan tadi?

Kelantan dan Pulau Pinang

Ini bukan soal Pak Pandir menyebut, “bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang pun mati” ya.

Tapi tulisan ini mahu mengajak khalayak rakyat yang murni fikiran dan baik budi hatinya, supaya berlaku adil serta cerdiklah dalam isu ini. 

Tidak perlu hina negeri orang apatah lagi hina negeri sendiri. Tidak sukar bukan untuk berbuat begitu?

Apatah lagi di Kelantan, Hospital Syariah yang mahu dibina pada 2018 dahulu adalah usaha pihak swasta, mereka mahu niaga, manakala pihak negeri hanya sediakan tanah dan tapak serta memudahkan proses berkaitan.

Duit mereka, modal mereka, bisnes mereka. Hospital ini berbayar sama seperti KBMC, KPJ dan beberapa yang lain sahaja, ia selesa dan mesra keluarga pesakit, lebihnya ia patuh syariah. 

Kerajaan negeri tidak rugi apapun tetapi sentiasa bersikap terbuka membuka ruang dan peluang yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negeri.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/5/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimHospital Patuh Syariah di P.Pinang. Apa kata DAP yang sembang berdegar? Jangan lupa PRU 15, pilih PAS dan kumpulannya.

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

Ini 'barua2' dimunculkan hasut rakyat tentang pemerintah Afghan.

 

Gambar fail menunjukkan wanita Afghanistan menyertai protes membantah tindakan Taliban melaksanakan peraturan dan undang-undang yang semakin ketat mengongkong kebebasan mereka. - Foto REUTERS

1. Wartawan wanita Afghanistan enggan tutup wajah ketika bersiaran Mei 21, 2022 @ 9:46pm

KABUL: Penyampai berita wanita stesen televisyen utama Afghanistan melanggar arahan Taliban dengan mengingkari peraturan menutup wajah mereka ketika bersiaran.

Stesen penyiaran TOLOnews, Shamshad TV dan 1TV bersiaran dengan penyampai wanitanya tidak memakai burqa.

"Rakan sekerja wanita kami bimbang jika kini mereka diarahkan menutup wajah, selepas itu mereka mungkin diarah untuk tidak bekerja pula.

"Sebab itu mereka tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan," kata Ketua Berita Shamshad TV, Abid Ehsas.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Mempromosikan Nilai dan Pencegahan Maksiat, Mohammad Sadeq Akif Mohajir, berkata tindakan petugas wanita stesen televisyen berkenaan menyalahi arahan Taliban.

"Jika mereka tidak patuh kepada arahan itu, kami akan bercakap kepada pengurus serta penjaga wanita terbabit.

"Setiap orang yang tinggal di bawah sistem dan kerajaan, perlu patuh kepada undang-undang serta arahan," katanya.

Mohajir berkata, pengurus syarikat media dan penjaga kepada wanita yang gagal mematuhi arahan berhubung kod etika pemakaian juga boleh dikenakan tindakan.

Sejak kembali berkuasa tahun lalu, Taliban melaksanakan pelbagai peraturan dan sekatan terhadap orang awam, khususnya golongan wanita.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi Afghanistan mengeluarkan arahan supaya setiap wanita mengenakan pakaian penuh ketika berada di tempat awam termasuk menutup wajah mereka menggunakan burqa.

Taliban turut menuntut supaya mana-mana wanita yang gagal mematuhi arahan itu diberhentikan kerja.

Golongan lelaki yang bekerja di jabatan kerajaan turut berdepan tindakan digantung kerja jika isteri atau anak perempuan mereka gagal berbuat demikian. - AFP

2. Henti siaran rancangan papar pelakon wanita - Taliban November 22, 2021 @ 5:25pm  

Wanita Afghanistan memegang sepanduk ketika satu tunjuk perasaan di Kabul meminta masyarakat antarabangsa menyokong perjuangan hak asasi penduduk Afghanistan di bawah Taliban. - Foto AFP

KABUL: Pihak berkuasa Taliban mengeluarkan garis panduan baharu mengarahkan saluran televisyen Afghanistan berhenti menayangkan sebarang kandungan siaran menampilkan pelakon wanita.

Melalui arahan pertama dikeluarkan kepada media Afghanistan oleh Kementerian Penggalak Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, Taliban turut meminta wartawan televisyen wanita memakai tudung semasa menyiarkan laporan mereka.

Selain itu, menurut jurucakap kementerian, Hakif Mohajir, pihak kementerian turut meminta saluran televisyen elak menyiarkan filem atau program menggambarkan wajah Nabi Muhammad atau tokoh agama lain yang dihormati, tegas beliau.

Larangan itu sekali gus mengharamkan sebarang filem atau program yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai kebudayaan Afghanistan.

"Ini bukanlah peraturan, sebaliknya hanya garis panduan keagamaan," katanya kepada AFP.

Garis panduan baharu itu mula diedarkan secara meluas sejak semalam melalui rangkaian media sosial.

Sebelum ini, Taliban memperkenalkan peraturan mengenai kod pakaian yang boleh dikenakan oleh wanita di universiti, walaupun sebelum ini menegaskan mereka akan memerintah secara lebih sederhana kali ini.

Anggota penguatkuasa Taliban juga didakwa memukul dan mengganggu beberapa wartawan Afghanistan walaupun sebelum ini berjanji untuk menegakkan kebebasan akhbar.

Garis panduan mengenai siaran rangkaian televisyen Taliban itu mengekang semula kebebasan media Afghanistan yang selama dua dekad bertambah subur di bawah kerajaan disokong Barat, sebelum ia tumbang pada 15 Ogos lalu.

Puluhan saluran televisyen dan stesen radio ditubuhkan dengan bantuan Barat dan pelaburan swasta tidak lama selepas Taliban digulingkan pada 2001.

Sepanjang tempoh 20 tahun, saluran televisyen Afghanistan menawarkan pelbagai jenis program daripada pertandingan nyanyian, video muzik dan drama bersiri dari Turki serta India.

Ketika pentadbiran terdahulu Taliban antara 1996 hingga 2001, mereka mengharamkan televisyen, filem dan kebanyakan bentuk hiburan lain kerana menganggapnya tidak bermoral.

Ketika itu, sesiapa yang ditangkap menonton televisyen berdepan hukuman termasuk set televisyen dipecahkan manakala bagi kesalahan memiliki permainan video pula boleh dikenakan hukuman sebat di khalayak umum.

Ketika itu, hanya ada satu stesen radio dibenarkan iaitu Voice of Sharia, yang hanya menyiarkan program mengenai Islam. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Demikian 'barua-barua' yang kononnya 'pejuang hak asasi manusia' .. Tetapi sebenarnya, apabila penjajah AS terpaksa cabut lari terjun tak bertangga, kalah perang di bumi Afghanistan, AS masih mahu mengekalkan penjajahannya. 

Maka barua-barua inilah yang di'muncul'kan sebagai talibarut mempertahan AS bertopeng perjuangan hak asasi manusia tersebut.. menghasut rakyat menentang pemerintah Afghanistan yang sah.

Itulah dasar pecah-pecah perintah penjajah..

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

Lelaki gay paling ramai hidap cacar monyet

 

LONDON: Jangkitan cacar monyet atau monkey pox boleh berjangkit akibat melakukan aktiviti seks, lapor Daily Mail.

Lebih membimbangkan jangkitan cacar monyet disifatkan sama berbahaya seperti varian Covid-19, tetapi sehingga kini tiada vaksin spesifik untuk mencegah jangkitan itu.

Malah, kebanyakan pesakit kes cacar monyet di United Kingdom (UK) membabitkan lelaki gay atau biseksual, termasuk lapan lelaki di Sepanyol yang disyaki menghidap jangkitan itu.

UK merekodkan sebanyak tujuh kes jangkitan cacar monyet, namun kebanyakannya tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Pegawai kesihatan Portugal pula memaklumkan lima lelaki disahkan positif dan puluhan lagi dianggap sudah dijangkiti cacar itu.

Sepanyol buat pertama kali mengesan kes jangkitan cacar monyet di negara itu, manakala Amerika Syarikat (AS) pula memantau enam individu yang berada dalam pesawat sama yang dijangkiti.

Setakat ini, jangkitan cacar monyet hanya dikesan di empat negara di luar Afrika iaitu UK, AS, Israel dan Singapura, yang semuanya mempunyai kaitan dengan Nigeria dan Ghana.

Cacar monyet merupakan jangkitan virus yang jarang berlaku dan mirip dengan cacar, namun jangkitannya lebih ringan.

Kes pertama kali direkodkan di Republik Demokratik Congo, 1970an.

Antara gejalanya termasuk demam, sakit kepala dan ruam kulit bermula pada muka dan merebak ke seluruh badan. 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Orang Islam patut bersyukur apa yang Allah SWT perintah dan larang adalah untuk kebaikan maslahat manusia itu sendiri. Allah kirimkan agama sebagai pelita hidup untuk panduan kebahagiaan dari dunia hingga luar dunia iaitu akhirat. Orang yang ingkar ada laknat Allah kepadanya. 

Al-hamdulillah, kita jadi manusia Muslim, tidak tergolong manusia ingkar!

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

Kandang lembu & Gua Musang, guna otak lembu atau otak musang?

 

1. Kandang lembu atau melihat guna mata lembu?

MAAF sebut, sebagai anak Kelate kita rasa terhina juga dengan perlecehan politik yang dimainkan terhadap pembangunan Negeri Kelantan. 

Terbaru, digambarkan betapa mundurnya Kelantan dengan Terminal Bas Sementara Kota Bharu. Malah disamakan dengan kandang lembu. 

Seolah-olah kita yang duk naik bas di terminal tersebut seperti lembu? Sehina itukah rakyat Kelantan di mata musuh politiknya?

Menjadikan Terminal Bas Lembah Sireh sebagai senjata untuk mengatakan Kelantan mundur adalah tindakan memakan diri. 

Tak nafi, nampak bijak kerana mereka suluh pada terminal bas itu semata-mata. Namun, orang Kelantan tidak mudah termakan dengan permainan politik murah itu. 

Jangan mainkan politik pembangunan di Kelantan. Selama 30 tahun teknik ini tidak berkesan, apatah lagi kini dengan maklumat hujung jari.

Jika itu ‘kandang lembu’ seperti kamu ejek, sepatutnya bila keluar dari situ, musuh politik Kelantan kena berjalan tanpa tunduk kepala, mereka akan dapat lihat tersergam besar gedung AEON Mall. 

Betul-betul berhadapan dengan Terminal Bas Lembah Sireh. Jika toleh pula ke sebelah Utara, tersergam pula Wholesale Platinum Mall, jika diselak di belakang Platinum Mall itu akan terlihat Pasaraya Besar TESCO. (Rujuk gambar)

Ini baru mall yang berada di sekeliling terminal bas tersebut. Apakah mereka tak nampak atau berjalan sambil tengok ke tanah seperti lembu meragut rumput?

Sekecil terminal bas engkau boleh suluh, takkan sebesar tiga pasaraya dan mall di Lembah Sireh kau terbuta mata? Adillah dalam penilaian. 

Jika pasaraya dan mall boleh dibangunkan, takkanlah terminal bas tidak boleh dibina? Kita yakin jika tiada masalah pasti sudah terdiri terminal bas yang baharu sebagaimana tertegaknya mall-mall di Kelantan. 

Dengan ‘track record‘ integriti kepimpinan PAS di Kelantan, kita percaya terminal bas ini akan tetap dibina juga. Namun pasti ada sebab ianya tergendala seketika. 

Insya-Allah, kita cuba ulas dalam penulisan lain nanti. Hari ini, kita nak betulkan cara pandangan dan propaganda musuh-musuh politik Kelantan. Orang Kelate reti bena dah cara politik gini. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 21/5/2022

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails