Sunday, July 17, 2022

Mat Kilau: Mendedah sentimen sempit Ramasamy DAP

 

PEMIMPIN DAP, Ramasamy Palanisamy nampaknya memasuki gelanggang pertarungan apabila cuba memberi takrifan beliau terhadap perjuangan Mat Kilau dengan mengkritik filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang menjadi fenomena negara ketika ini.

Beliau memang boleh membahas topik sejarah ini kerana latarbelakang akademik, kajian dan profesionnya sebelum ini sebagai profesor di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antaranya dalam bidang tersebut.

Tetapi dengan meneliti banyaknya kontroversi pernah diletuskan dalam karier beliau selaku politikus, ulasan Ramasamy terhadap filem dan tokoh itu ternyata bermotif serong yang ruang lingkupnya adalah sentimen dan dogma perkauman sering diapikannya.

Berbahas dari satu sudut, tiada salahnya untuk beliau menyatakan bahawa Mat Kilau adalah pemimpin petani dan telah berkonfrontasi dengan British dalam usaha mengembalikan dasar ekonomi bermoral.

Tidak juga salah untuk beliau mengatakan Mat Kilau mahu memulihkan status quo pelaksanaan cukai, pengurangan gaji ketua kampung dan lain-lain hak ekoran kedatangan British ketika itu.

Tetapi Ramasamy amat salah jika menyatakan tindakan Mat Kilau dan pengikutnya hanya sekadar itu sahaja, sama ada beliau kekurangan fakta atau menafikan fakta, atau cuma mampu memberi tafsiran seperti itu, atau sememangnya mahu memberi tafsiran sempit.

Beliau sendiri seperti dilapor sebuah portal berita, ‘mengakui’ ragu sama ada Mat Kilau boleh dianggap sebagai nasionalis yang memperjuangkan bangsa dan agama, selain menyatakan Mat Kilau dan pengikutnya ‘mungkin’ bangkit untuk mengembalikan hak mereka.

Bermakna, Ramasamy lebih wajar ‘mengaji lagi’ berbanding tampil mempertikaikan tokoh dan sejarah itu atas ketidakpastian beliau atau ‘mungkin’ anda sudah terlupa setelah meninggalkan dunia akademik, terjun ke kandang politik Cauvinis DAP.

Sekalipun beliau mahu meletakkan status Mat Kilau sebagai pemimpin petani, Ramasamy perlu faham bahawa tindakan tokoh itu dan pengikutnya adalah satu perjuangan yang suci dan besar.

Dangkal sekali apabila Ramasamy menyempitkan tindakan Mat Kilau dan pengikutnya sebagai konservatif, pemberontakan dan konfrontasi terhadap reformasi dibawa oleh British yang datang ke tanah air ini.

Apakah anda terlupa kedatangan British di zaman itu adalah sebagai penjajah yang bukan sahaja menindas dan memperhambakan peribumi negara ini, tetapi juga menjadikan moyang anda berasal dari Tamil Nadu India sebagai buruh di ladang-ladang negara ini?

Asas roh kepahlawanan

Terpulang kepada anda untuk meletakkan profil Mat Kilau sebagai bukan revolusioner atau nasionalis kerana Almarhum juga tidak mendambakan gelaran itu, tetapi tindakan beliau hakikatnya adalah perjuangan pahlawan di atas roh agama, bangsa dan negara.

Begitu jugalah tabiat perjuangan Islam di mana-mana belahan dunia dari dahulu para Nabi dan Rasul serta hingga pahlawan hari ini. Ia bukan sahaja meninggikan ajaran dan tuntutan agama, tetapi membela juga bangsa dan negara meliputi aspek politik, ekonomi, pendidikan dan lainnya.

Inilah jiwa merdeka Mat Kilau dan pengikutnya yang gagal Ramasamy hayati sebagaimana tekunnya para produksi filem tersebut sedaya upaya cuba gambarkan mengenai tokoh tersebut dalam perjuangannya.

Ia bukan kebangkitan sempit dan terhad, tetapi kerana British telah menukar sistem ekonomi dan percukaian Islam yang adil ketika itu kepada penaklukan penjajahan serta perampasan hak secara paksa lagi jahat.

Motif tidak dapat ditolak syaknya terhadap Ramasamy apabila secara terang-terangan beliau memperlekehkan filem itu kerana didakwa membawa tema bangsa, agama dan negara di mana sangat sesuai dengan nasionalisme kontemporari yang sempit seperti dapat dilihat dalam perjuangan Umno, BERSATU dan PAS.

Jelas, ia kerana kecemburuan dan dengki beliau melihat filem ini telah menyuntik semangat kebangkitan umat Melayu-Islam negara ini yang terlebih dahulu telah menghumban Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP dari teraju Putrajaya.

Sikap rasis Ramasamy jelas terbakar dengan sambutan meletup diberikan terhadap filem ini hingga menyerlah dan menonjolkan penampilan identiti Melayu-Islam oleh kebanyakan penonton yang hadir ke pawagam.

Apatah lagi bila mengaitkannya dengan parti politik Melayu-Islam iaitu PAS, Umno dan BERSATU, ternyata beliau sebenarnya tidak senang duduk, lalu memicu perspektif untuk mempolemikkan fakta.

Kerana ingin mengkolotkan parti-parti tersebut yang menjadi lawan DAP dan PH, beliau bersilat membahas mengenai filem, tokoh dan sejarah itu melawan arus semangat jihad membara sedang membangkitkan roh kepahlawanan orang Melayu-Islam negara ini.

Jika semua ini masih juga enggan diterima Ramasamy hakikatnya, lihatlah pula akibat dari kaitan atau penglibatan anggota DAP dalam isu Kelab Komedi Crackhouse di Kuala Lumpur kerana meremeh, mempersenda dan menghina Islam.

Perkembangan dua situasi tersebut sudah cukup menyemarakkan umat Islam untuk menunjukkan solidariti dan memberikan amaran kepada kepentingan agama, bangsa dan negara ini.

Oleh itu, hentikan hembusan-hembusan busuk permusuhan anda dengan memperalatkan kebebasan bersuara dan medan demokrasi yang tentunya boleh menggugat ketidakharmonian dan ketenteraman awam.

Kerana kami umat Melayu-Islam sudah cukup mengenali; di mana ada kebangkitan Melayu-Islam maka anda dan DAP-lah yang menentangnya, tetapi di mana ada perlecehan dan penghinaan terhadap Melayu-Islam maka kalianlah tukang bela atau dalangnya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/7/2022

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Siapa Terbaik Antara 3 Watak Wanita Ini? -Filem Mat Kilau

 

HALAMAN HIBURAN

Dalam filem Mat Kilau ada 3 sosok wanita yang ditonjolkan tentang bagaimana peribadi dan kehidupan mereka di zaman perjuangan.

  1. Watak seorang wanita yang dibunuh British di awal-awal cerita kerana lantang berlawan mulut dan menyerahkan dirinya untuk sedia dibunuh daripada tunduk kepada arahan British.
  2. Watak isteri Mat Kilau yang tenang dan sentiasa menyokong, faham perjuangan suami dan bijak berkongsi dan memberi pendapat kepada suaminya.
  3. Watak yang telah menitiskan air mata kebanyakan penonton wanita ini iaitu watak Rokiah, isteri Wahid.

Isteri yang baik dan patuh namun keadaan diri yang sarat mengandung tidak boleh mengawal Rokiah untuk tidak beremosi dengan suaminya lebih-lebih lagi Wahid sering keluar demi tugasnya.

Siapa yang lebih baik antara ketiga-tiga watak ini? Kita akui semua baik. Semua berperanan sebagai wanita yang hidup di zaman perjuangan.

Walaupun Rokiah dilihat suka mengeluh, tetapi Rokiah tak membantah. Walaupun merajuk, tak pernah lari rumah.

Setia menanti suami walaupun suami sering tidak ada di rumah sehingga akhirnya Rokiah sendiri yang terkorban dahulu kerana tidak buka mulut akan keberadaan suaminya.

Di akhir hayat Rokiah, beliau sempat memberitahu suaminya bahawa dia redha dengan apa yang diperjuangkan oleh suaminya.

Dalam sirah Nabi, wanita wanita seperti itu semuanya wujud. Masing-masing berperanan dan memberi hikmah pedoman untuk wanita sampai ke zaman sekarang.

Nusaibah, yang banyak menyertai peperangan merawat tentera Islam. Dalam perang Uhud Nusaibah bertugas menyediakan air kepada tentera namun akhirnya ikut bertempur langsung dengan musuh sehingga luka parah seluruh badan kerana menjadi perisai kepada Nabi.

Sumaiyah dan keluarganya yang diseksa dengan sangat kejam kerana teguh mempertahankan aqidah. Diheret di tengah padang pasir dan dijemur bawah terik matahari yang sangat panas sehingga Sumaiyah terkorban ditikam dengan tombak oleh Abu Jahal laknatullah.

Khadijah isteri setia yang menenangkan kegundahan Nabi saat turun wahyu pertama yang berat untuk Nabi. Menyerah jiwa dan harta kekayaan segalanya untuk perjuangan hatta pernah meminta Nabi mengambil tulang belulangnya untuk perjuangan jika sampai perlu.

Begitulah besarnya peranan wanita dalam perjuangan di samping tugas hakiki sebagai suri dalam rumah tangga. 

Diangkat dari


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

TPM: '... serah pada PM' -Tan Sri Muhyiddin

 

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TSMCG, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diiringi Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kempen Derma Darah Datuk Mohammad Maidon (tiga dari kanan) hadir pada program 'Blood Donation Drive' 2022 di pusat beli-belah Mid Valley hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berhubung isu lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU hanya menjawab ringkas ketika diminta mengulas sama ada jawatan TPM wajar dipertimbangkan semula selepas mengambil kira langkah penjimatan diumumkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

"Yang itu saya nak jawab ringkas. Saya tak nak panjang-panjang. Pasal itu saya kata serah pada Perdana Menteri dan ikut pertimbangan yang bijaksana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Blood Donation Drive di Centre Court, Mid Valley, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), Datuk Zainuddin Mohd Radzi dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Afifah Hassan.

Terdahulu Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting dan supaya perjanjian PN dengan perdana menteri, termasuk berkaitan pelantikan TPM dapat dipertimbangkan.

Sementara itu, mengulas tindakan kerajaan mengambil langkah berjimat membabitkan semua kementerian dan agensi, beliau melihat tindakan itu sebagai wajar, namun meminta ia mesti mengambil kira bebanan semasa rakyat.

"Itu wajar, tetapi apa pun langkah kerajaan nak ambil, mesti ambil kira supaya ia tak (menyebabkan) beban meningkat dan bertambah kepada rakyat, potong subsidi, potong itu ini.

"Cara nak dilaksanakan... adakah buat mengejut atau berfasa-fasa," katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, perkara itu mesti dibuat secara teliti supaya proses pemulihan ekonomi negara berjalan lancar.

"Saya tak nak nasihat, saya fikir Menteri Kewangan mesti fahamlah. Kalau kerajaan berterusan seperti ini, ekonomi dan mungkin kewangan negara akan bertambah lebih teruk. Saya tak kata saya bersetuju atau tidak bersetuju, kita nak tengok apa perakuan yang akan dibuat dan mungkin MPN akan teliti perkara itu sama ada langkah itu dianggap tepat atau sebaliknya," katanya.

Media semalam melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam' ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai Rabu. (BH)

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails