Sunday, July 24, 2022

Ini bukti rakyat K'tan bahagia dari S'gor.. & benteng Islam.

 

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto fail NSTP

1. 'Di tangga ke-5 MHI, bukti rakyat Kelantan bahagia daripada Selangor yang maju'

KOTA BHARU: Kedudukan Kelantan yang berada di tangga kelima berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 membuktikan rakyat di negeri itu bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata markah MHI diperoleh Kelantan iaitu 7.0, jauh meninggalkan Selangor, sebuah negeri yang lebih maju.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Kelantan dinasihatkan supaya berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak mahu menukar pucuk kepemimpinan negeri itu.

"Kelantan termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang walaupun adalah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia. 

"Kita dapat skor 7.0. Berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak namun rakyatnya tidak bahagia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ceramah pasca sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, laporan MHI 2021 yang julung kali dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Mohd Uzir berkata, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 - 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 - 4.00 tidak bahagia; 4.01 - 6.00 sederhana bahagia; 6.01 - 8.00 bahagia dan 8.01 - 10.00 sangat bahagia. (BH)


2. Kelantan benteng pertahanan Islam bagi Malaysia – Nik Amar

PENGKALAN CHEPA: Kelantan adalah pertahanan untuk Islam di negara ini, sementara banyak tulisan dan analisis pula meletakkan Malaysia sebagai harapan kebergantungan ummah dan benteng kepada Islam.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian pada ceramah pasca Sidang DUN Kelantan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kampung Landak, di sini semalam.

Menurut beliau, banyak serangan-serangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya bermotifkan politik dan tujuannya ialah hendak menyekat orang di luar daripada negeri itu menyokong perjuangan Islam dibawa oleh PAS.

“Sebab di Malaysia ni walaupun kita ada kelemahan, kekurangan, tak ada parti yang tegas, tak ada parti yang jelas, tak ada parti yang nyata berjuang untuk menegakkan Islam kecuali PAS. Dia tahu di Kelantan ni tak boleh nak gugat.

“Walaupun kita ada kekurangan, kita ada kelemahan tetapi orang Kelantan pehe bakpo (faham mengapa) masalah ni berlaku? Bakpo isu ni bangkit dalam negeri? Rakyat Kelantan pehe belaka itu.

“Tapi orang di luar daripada Kelantan kebanyakannya tidak tahu apa yang berlaku di negeri ini. Maka sebab itu menjadi tanggungjawab kita rakyat Kelantan ini pertama mempertahankan kerajaan, mempertahankan dasar yang kita bawa.

“Bila kita ajak rakyat pertehe (pertahan) kerajaan ni buke (bukan) suruh pertehe ambo (saya), tapi mempertahankan perjuangan, mempertahankan dasar Islam yang kita bawa,” ujar beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Menurut beliau sikap dan pendirian Itu boleh dinilai dan dibandingkan dari Perlembagaan parti, ucapan-ucapan pimpinannya serta keputusan yang menjadi tindakan PAS selaku parti atau kerajaan.

Katanya, Kelantan diterajui PAS sejak 1990 meletakkan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ di mana tidak ada asas lebih baik dari itu di mana walaupun ada kelemahan manusia, tetapi ia tidak bercanggah syarak atau merosakkan kerajaan dan rakyat.

Politikus mencari perhatian

“Apa yang penting kepada kita hari ini ialah bakpo sehari dua ini gege (bising)? Bakpo banyak kritikan dan serangan terhadap kerajaan terhadap pimpinan dan terhadap parti? Jawapan yang paling mudahnya ialah kerana dekat pilihan raya. Itulah jawapan yang paling mudah.

“Selama ni tak berapa gege sebab pilihan raya tak tahu mana. Jadi la ni ni pilihan raya ni orang putih kata ‘just around the corner’duk bucu kona dah, iaitu lebih kure (kurang) tak sampai setahun lagi kita akan menghadapi pilihan raya.

“Sebab itulah orang yang ada cita-cita politik sama ada nak jadi calon ke, nak jadi gapo (apa-apa) ke, dia kena buka mulut, dia kena gege supaya orang tahu hidup lagi rupanya muka ni. Kalau tidak orang ingat mati dah belaka,” ujarnya.

Katanya, isu dibawa oleh mereka-mereka itu tidak lebih sekadar ‘kitar semula’ atau isu yang diulang-ulang dan rakyat terutama pengundi muda perlu bijak agar tidak terpedaya dengan kempen perubahan diuar-uarkan.

Pengundi muda nasihat beliau, perlu memastikan di sebalik semangat yang ada pada diri itu agar memiliki pemahaman terutama terhadap isu dan tidak hanya terikut media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan TikTok.

Menurut ADUN Panchor itu, perubahan mandat diserukan pihak-pihak berkenaan tentunya perlu dinilai arah tuju dan pihak baharu yang akan diberikan kepercayaan dimahukan tersebut.

“Kalau kita kata nak beri kat Umno jadi kerajaan di Kelantan, Umno ni ada rekod memerintah Malaysia 60 tahun. Orang Kelantan tahu sendiri. Orang Kelantan tengok sendiri, orang Kelantan rasa sendiri. Rakyat Malaysia sendiri pun (pernah) rasa.

“Kalau kita kata nak beri ke Pakatan Harapan (PH), tokse (tak mahu) ke PAS nak wi (beri) ke PH, kita ada pengalaman dengan PH 22 bulan jadi Kerajaan Malaysia. Berapa benda hok (yang) kita boleh 22 bulan?” ujarnya menyenaraikan banyak janji tidak dipenuhi PH.

Kelantan selepas 30 tahun

Tambah beliau, Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu telah melalui perbezaan apabila turut mengalami pembangunan fizikal dan kewujudan bangunan-bangunan baharu serta peluang pekerjaan.

Tetapi paling penting katanya, negeri itu telah membangun bersih tanpa adanya kes rasuah dan tidak membuat khianat terhadap rakyat, walaupun secara fizikalnya pembangunan itu tidak setanding Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Dalam keadaan orang kata pimpinan PAS ni bodoh, puak-puak ustaz ni tak pandai memerintah. Tok alim ni tak ada perancangan. Tapi kita tengok terkini, Jabatan Perangkaan Malaysia sebut kita ni termasuk antara negeri yang bahagia.

“Bahagia ni bakpo? Makna rakyat puas hatilah. Rakyat seney (senang)lah. Walaupun ada masalah tapi rakyat puas hati. Maka sebab itulah kita masuk dalam indeks sejahtera,” ujarnya.

Pencapaian itu terangnya, lebih baik dari Selangor yang dikatakan orang negeri cerdik dan pandai diperintah PH di mana hasil bumi juga banyak dan negeri kaya, tetapi di kedudukan tercorot di mana rakyatnya tidak bahagia.

Beliau turut membahas panjang sejarah perjuangan Islam untuk dihayati oleh anak muda khususnya supaya mengerti pentingnya mempertahankan Islam dan memiliki harga diri. – HARAKAHDAILY 24/7/2022


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Takde ke filem Mat Kilau free di luar K'tan? & YB Mumtaz

 


1. Tayangan filem Mat Kilau percuma di Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 2,000 penonton bertuah akan menyaksikan tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan secara percuma pada 24 Julai (Sabtu) ini, sempena berlangsungnya Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan.

Filem biografi epik yang sarat dengan mesej patriotisme itu akan dipertontonkan kepada rakyat Kelantan yang bertuah pada 8 malam, bertempat di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor di sini.

Penyelaras program bagi tayangan filem tersebut, Ahmad Termizi Musa berkata tiket percuma itu akan diedarkan kepada rakyat yang bertuah melalui wakil yang dilantik oleh pihaknya di setiap jajahan di negeri ini.

Beliau berkata Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai pawagam namun sempena Jelajah AKM kali ini, pihaknya berusaha menonjolkan suasana umpama berada di dalam pawagam dengan memberi keselesaan dan pastinya kenangan yang cukup bermakna kepada penonton yang hadir.

“Selain itu, tayangan filem Mat Kilau ini juga adalah antara usaha kita untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jelajah AKM Kelantan yang berlangsung 22 hingga 24 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, menyediakan pelbagai acara menarik seperti Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai pameran agensi dan kementerian, persembahan tradisional, bekwoh (kenduri), persembahan kebudayaan dan pertandingan Muay Thai.

Menjelas lanjut, Ahmad Termizi berkata keseluruhan kawasan di tempat tayangan itu akan ditutup kerana hanya 2,000 penonton terpilih akan dibenarkan untuk menonton filem itu dan pihaknya juga akan mengasingkan tempat duduk antara penonton lelaki dan wanita.

“Dari segi kawalan pula, kita akan pastikan semua penonton tidak membuat sebarang rakaman semasa tayangan filem itu disiarkan. Sekiranya kita dapat menangkap individu yang ingkar dengan arahan ini, petugas akan mengarahkan penonton berkenaan keluar dengan serta-merta dan memadam video rakaman berkenaan,” katanya.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan pengarah Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof mula ditayangkan pada 23 Jun lepas termasuk di Singapura dan Brunei serta berjaya meraih kutipan tiket berjumlah lebih RM80 juta, setakat ini.

Antara pelakon hebat yang membarisi filem ini adalah Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu HasyimTayangan filem Mat Kilau percuma di Kelantan. Di luar Kelantan takde peluang ke nak tengok free filem Mat Kilau? Sekurang-kurang sebagai menyokong perjuangan beliau.. Samada tayangan di markas PAS atau di dewan untuk kemudahan  umum. Di Pahang atau KL?


2. Wanita Kelantan hebat dalam pelbagai bidang – Dato’ Mumtaz 


KOTA DARULNAIM: Wanita di Negeri Cik Siti Wan Kembang terkenal dengan sifat cekal dan gigih berusaha sejak dari dulu lagi membuatkan mereka sehingga hari ini dapat menempa kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi sehingga dapat mengukir nama ke persada antarabangsa. 

“Kerajaan Negeri dalam rangka mewujudkan Genius Aqbariah sebagai platform untuk menghimpunkan wanita Kelantan yang berjaya bagi menyumbang semula tenaga dan idea mereka kepada pembangunan Negeri Kelantan. 

“Genius Abqariah ialah program kecemerlangan wanita berdasarkan Hala Tuju Kelantan Melangkah Ke Hadapan (2018-2023),” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Mumtaz Md Nawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, semalam.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemuning, YB Mohd Roseli Ismail berkenaan dengan kejayaan yang telah dicapai oleh para wanita Kelantan dalam bidang akademik, beliau berkata berdasarkan statistik dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar wanita Kelantan ke pusat pengajian tinggi bagi tahun 2018, 2019 dan 2020. 

“Pelbagai pengiktirafan juga telah diperolehi wanita Kelantan di dalam dan luar negara dalam bidang pendidikan. Antara wanita Kelantan yang berpengaruh di Malaysia ialah Yang Amat Arif Tun Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebagai wanita pertama dilantik menjadi Ketua Hakim Negara Malaysia,” katanya. 

Dalam aspek ekonomi pula, Dato’ Mumtaz menjelaskan Kelantan merekodkan 7,916 usahawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun 2021 yang berdaftar melalui Bahagian Pembangunan Usahawan Desa. 

Jumlah tersebut menjadikan Kelantan negeri kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) juga komited dalam membangunkan usahawan wanita melalui penubuhan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) dan sejak tahun 2006 sehingga tahun 2022, seramai 3,927 pelatih telah berjaya bergraduasi. 

Sementara itu, tambahnya lagi berkenaan kejayaan wanita Kelantan dalam bidang politik pula ialah sepuluh pemimpin wanita telah dipilih dan dilantik sebagai wakil rakyat, senator, exco dan juga Timbalan Menteri.

“Fakta menariknya ialah lima orang telah dilantik semasa beliawanis iaitu antara usia 30 hingga 40 tahun dan lima orang lagi dilantik selepas usia 41 tahun ke atas,” ujarnya. – UPKN

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails