Monday, August 29, 2022

A/Hadi: 28 laporan polis berbaur perkauman.. PAS teruk?

 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

1. Bukit Aman siasat Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan kenyataan beliau yang berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman untuk direkodkan keterangan.

Beliau berkata, ia susulan siasatan dijalankan pihaknya berhubung 28 laporan polis yang diterima terhadap Ahli Parlimen Marang itu setakat ini.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada minggu lalu, berkata memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia

Katanya, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

Tambah Abdul Hadi, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan PDRM.

"PDRM juga menyeru orang ramai cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa juga cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya. (BH)


2. PAS paling teruk bab keadilan, nasib baik PH menang? 

MAHKAMAH telah menjatuhkan hukuman ke atas Dato’ Seri Najib Razak. Semua orang menunggu keputusan yang bertahun-tahun dijalankan itu dengan sabar. Sabar dengan kerenah penyokong, peguam dan juga parti beliau. Ramai yang menyatakan kegembiraan dengan keputusan itu. Bagi sesetengah orang, keadilan telah dilaksanakan, mahkamah telah berlaku adil.

Kepada para musuh Najib, mereka bukan sahaja gembira, malah ‘menganjing’, menghina dan berbagai lagi perbuatan, bagaikan mereka sangat bersih, sesuci embun pagi. Sikap melampau dalam menghina sebegini, telah dipamerkan oleh golongan munafik pada zaman Rasulullah dahulu. 

Manakala orang mukmin, menerima nasihat Rasulullah agar tidak menghina tubuh badan si pelaku dosa, tetapi boleh membenci dosa maksiat itu sendiri. Dalam kata lain, jangan melampau. Begitulah nasihat pimpinan PAS kepada ahlinya. Cermatlah ketika dosa orang, Allah hebahkan, kerana dosa dalam kain kita, belum tahu bila akan tersebar. Syukurlah, takutlah kepada Allah.

Di sebalik semua ini, mahkamah kini menjadi mulia oleh pembenci Najib. Mereka mungkin sudah melupakan dakwaan arsenik diletakkan dalam sel penjara Anwar yang mereka cipta dahulu. Sebab mereka melihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun telah di’arsenik’kan 20 tahun lalu, masih tetap utuh, gagah berjoget bersama dengan ‘MGR’ jadian sewaktu kempen PRK. Dan ia berlaku bukan sekali. Deyyy anne…!

Manakala wajah manis Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang berlesung pipit ketika tersenyum, menjadi bagaikan wajah hantu langsuir yang mahu menerkam sebahagian penyokong Najib. Sudah terhakis ingatan mereka ketika mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Anwar, suatu masa dahulu. Benci sungguh mereka kepada Ketua Hakim ini, bahkan mungkin sistem ‘judiciary’ keseluruhannya.

Maka bermadahlah salah seorang peguam dari PH yang suatu ketika juga pernah menghadapi dakwaan mencabul yang bahawa, benasib baiklah akan sekalian manusia di Malaya ini kerana PH menang. Jadi, katanya, dek kerana itu, maka mahkamah menjadi bersih.

Kita jadi kebingunan dengan dakwaan seorang peguam begitu. Adakah kerana PH menang selama 22 bulan, mahkamah telah berjaya mereka perbaharui? Makanya sistem mahkamah sebelum ini adalah salah dan menyeleweng? Atau ia hanyalah kepada kes-kes terpilih sebagaimana kes membebaskan Lim Guan Eng itu?

Jangan lupa, kes Najib masih ada lagi dan jika beliau dibebaskan untuk salah satu kes itu, maka adakah mahkamah tidak adil semula? Perlu juga disemat dalam ingatan yang kes Lim Guan Eng, masih belum tamat. Kes Syed Saddiq juga sedang berlangsung. Maka, adakah mahkamah tiba-tiba menjadi curang kembali, jika kedua-dua kes ini nanti tidak memihak kepada tertuduh? Tidak lupa kes Teoh Beng Hock yang sehingga PH kalah, masih belum selesai. Keluarga mereka menagih harapan yang diberikan sebelum ini.

Bagi PAS, keadilan bagaikan tiada dalam Malaysia ini dan PAS adalah yang paling teruk dalam keadilan di Malaysia. Manakan tidak, ketika sebelum bersama memerintah Malaysia dahulu, PAS tidak pernah ada kes penyelewengan apa-apa, malah dipelawa agensi kerajaan untuk datang menyiasat. Tetapi saban hari, PAS seperti berada dalam kandang pesalah bagi menjawab pertuduhan fitnah lawan.

Ketika PAS dituduh menerima rasuah RM90 juta dari Umno, PAS berada dalam dua keadaan pemerintahan. SPRM ketika pemerintahan BN mengesahkan tiada kes. Maka marahlah segala makhluk-makhluk itu mendengarnya. Dan sewaktu PH melantik Latheefa Koya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau juga menafikannya. Tetap penyokong PH tidak puas hati.

Pemerintahan di semua negeri PAS tidak pernah didakwa atas salah laku walaupun fitnah berkenaan rasuah, balak, berleluasa. Sehinggakan BN, musuh ketat PAS juga, tidak pernah berjaya mencari salah untuk mendakwa PAS melanggar peraturan pembalakan. Apabila muncul PH sebagai kerajaan, juga sama, tiada satu pun dakwaan yang sebelum ini mereka uar-uarkan, mereka bawa ke mahkamah, walaupun mereka dakwa mahkamah zaman mereka adil.

Semasa PAS diisytiharkan oleh musuh mereka sebagai parti yang membawa ajaran sesat, BN tidak pernah memberikan bukti tuduhan mereka di mahkamah sebagaimana mereka lakukan kepada al-Arqam. Dan PH yang dikatakan sangat adil itu, walaupun benci teramat sangat kepada PAS, mereka juga gagal membawa ajaran sesat PAS ini ke mahkamah.

Jadi jelas, PAS adalah parti yang paling teruk keadilan yang diberikan kepada mereka. Walau jelas tidak bersalah, tetapi tetap mereka fitnah, caci, cerca dan hina. Tiada bukti, mereka ada-adakan. Kerana apa? Kerana PAS membawa jalan Islam. Ya, walau masih kurang sempurna, tetapi ia jauh lebih baik daripada semua parti yang ada.

Apabila sakit, masing-masing mencari PAS. Dan apabila senang, PAS mahu ditinggalkan. Sikap PAS pula, seteruk mana rakannya, jika ada membawa kebaikan kepada Islam, PAS akan bersama mereka, bantu, tanpa mengkhianati atau menyusahkan mereka. Terbukti dengan pengakuan Perdana Menteri dalam satu video mengenai sikap PAS yang tidak menyusahkan rakan.

Di sisi Islam, adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Dipanggil zalim jika meletakkan songkok di kaki kerana bukan tempatnya. Jika hanya begitu sudah dipanggil zalim, bagaimana pula jika tidak mahu meletakkan Islam pada tempatnya? PAS bergerak perlahan-lahan kena fitnah, PAS bergerak laju dikata gopoh pula. Sedang PAS meletakkan sesuatu itu dengan ilmu, pada tempatnya.

Sungguh, nasib baik PH menang 22 bulan sebagaimana kata peguam PH itu. Kalau tidak orang akan masih percaya PAS ini sebagaimana fitnah yang direka musuhnya. Jelas sekarang, musuh sendiri gagal mendakwa PAS. PAS memang paling teruk diberikan keadilan, tetapi Allah Maha Adil, Dia tahu PAS bukan sebagaimana perkataan fitnah yang musuh ciptakan, maka Allah berikan semua menang PRU, jadi kerajaan, tetapi PAS tetap tidak bersalah. Alhamdulillah ya Allah, alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 25/8/2022



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sunday, August 28, 2022

Belia Melayu aktif seks. Najib X wajar diampun..

 

Hasil kajian mendapati 35.4 peratus belia mengakui pernah melakukan hubungan seks. - Foto hiasan

1. Belia Melayu aktif seks

KUALA LUMPUR: Semakin ramai belia di negara ini melakukan hubungan seks secara aktif, termasuk mereka berusia di bawah 22 tahun, berbanding enam tahun lalu.

Tinjauan Kesihatan Seksual dan Kesejahteraan Hubungan Intim Durex Malaysia mendedahkan, kajian secara atas talian membabitkan 1,089 responden berusia di antara 18 hingga 30 tahun dengan 51 peratus ialah belia Melayu, dijalankan pada April dan Mei lalu.

Hasil kajian mendapati 35.4 peratus belia mengakui pernah melakukan hubungan seks, iaitu meningkat hampir 20 peratus, berbanding kajian pada 2016.

Berdasarkan kajian sama pada 2016, hanya 18.8 peratus belia mengakui pernah melakukan hubungan seks.

Sementara 62 peratus belia pula mengakui pertama kali melakukan hubungan seks pada usia 22 tahun ke bawah, berbanding 42 peratus pada 2016.

Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser, Tiffany Tang, berkata hasil kajian juga mengesan salah faham yang meluas terhadap jangkitan seksual dan kehamilan.

Beliau berkata, ini terbukti apabila 31 peratus responden mengakui tidak mengetahui perempuan boleh mengandung pada kali pertama melakukan hubungan seks.

"Selain itu, peratusan sama juga masih percaya mitos wanita tidak boleh hamil sewaktu tempoh haid.

"Kajian ini juga mendedahkan tahap pemahaman masyarakat mengenai cegah hamil, jangkitan seksual serta stigma dan persepsi berkaitan seks," katanya pada sidang media, di sini.

Tiffany berkata, rentetan dapatan itu, pihaknya mengharapkan lebih banyak perbincangan secara terbuka berkaitan seksualiti dalam mewujudkan ruang selamat kepada golongan muda.

Beliau berkata, ini penting supaya mereka tidak takut berkongsi pengalaman, mendidik diri untuk bertanya soalan berhubung seks.

"Durex juga melancarkan kempen #COMETOGETHER, bagi memberikan nasihat, maklumat bersesuaian dengan usia dan kemahiran yang diperlukan mereka supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan.

"Lebih banyak maklumat diperoleh, lebih matanglah golongan muda untuk membuat pilihan lebih baik," katanya. (BH)

Kira-kira 31 peratus responden mengakui tidak mengetahui perempuan boleh mengandung pada kali pertama melakukan hubungan seks. - Foto hiasan


2. Lebih 100,000 tandatangan petisyen Najib tak wajar diampunkan 

Najib ketika bertemu penyokong sebelum mahkamah menolak rayuan akhir dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC- NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Beberapa petisyen berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta susulan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), muncul di laman sesawang Change.org.

Dua daripada petisyen itu menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke atas Najib, manakala satu lagi diwujudkan agar Ahli Parlimen Pekan itu tidak wajar diampunkan.

Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan dan Adil (BERSIH) ketika ini sehingga jam 3 petang ini sudah berjaya mengumpulkan 109,097 tandatangan. 

Daripada petisyen diwujudkan itu, mereka menjangkakan 150,000 tandatangan dapat dikumpulkan untuk memastikan pengampunan Najib tidak terlaksana. 

Sementara itu, Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Pengampunan Diraja kepada Datuk Seri Najib yang diwujudkan seorang individu pada Rabu lalu, sudah mengumpulkan 6,931 tandatangan berbanding 7,500 yang disasarkan.

Satu lagi petisyen iaitu Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak yang diwujudkan BNComms Selangor setakat ini hanya mengumpulkan 337 tandatangan berbanding 500 dicadangkan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahlinya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib.

Najib mula menjalani hukuman penjara Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya susulan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Keputusan dibuat sebulat suara panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimBelia Melayu aktif seks. Adakah hal ini berlaku kerana ada kaitan dengan siapa pemimpin tertinggi dan corak tadbirannya di negara ini? 

Pemimpin yang tidak takut kepada Allah SWT akan melahirkan rakyat yang tidak taqwa kepada Allah, bahkan sanggup bergelumang dengan maksiat dan dosa?

Apa kerana itukah kesalahan Najib bekas PM Malaysia ini tidak wajar diampun? Biarlah Allah Yang Maha Berkuasa sendiri yang menghukum dengan hukum yang telah ditentukannya, tidak dengan campur tangan hukum manusia?


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

3 strategi Konvensyen PN... & alasan halalkan ganja.

 


1. Tuan Ibrahim gariskan 3 strategi Konvensyen PN

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan bahawa Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 hari ini, berdepan paling kurang tiga strategi yang perlu dimantapkan.

Timbalan Presiden PAS berkata, pertama ialah konvensyen ini adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kedua, katanya segala yang dibicarakan dalam konvensyen ini memerlukan tindakan susulan, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

“Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU15.

“Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu menyedari bahawa PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, kita yakin kekuatan yang ada dan rakan kita memerlukan suatu garapan bagi membentuk satu kekuatan,” katanya di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, dekat sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PN perlu membicarakan persamaan sesama parti, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Katanya, ini memerlukan keikhlasan dalam perjuangan dan pada masa sama, ahli perlu patuh dan mendukung keputusan parti, bukan merajuk dalam PRU15.

“Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah.

Sementara itu, katanya PN yang berusia dua tahun, suatu tempoh yang singkat dalam konteks muafakat politik berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, dua tahun adalah tempoh bagi meletakkan asas bagi pengukuhan muafakat politik dan cabaran yang dihadapi kali ini tentu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini.

“Saya suka berkongsi sedikit pengalaman PAS dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN) pada awalnya dan kemudian kita menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN.

“Pada waktu itu, BN bersama PAS dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyidddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna sebenarnya, mereka (BN) juga menerima kepimpinan Muhyiddin. Dalam pengukuhan ini, kita perlu menggarapkan semua kekuatan yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/22


2. Alasan ‘blanket crackdown’ untuk halalkan ganja 

RAMAI pemain ganja mula teruja dengan keputusan Kerajaan Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja di dalam negara mereka. Bukan itu sahaja, Kerajaan Thailand juga menggalakkan setiap rakyat menanam ganja di dalam rumah mereka. Siap beri hadiah sepasu seorang semasa hari pelancaran leglisasi ganja.

Saya mempunyai sudut pandang yang berbeza mengenai berita yang disebarkan itu. Terdapat beberapa isu yang menjadi kesangsian kita kenapa ganja di Thailand telah dihalalkan penggunaannya. 

Sebagaimana yang diketahui bahawa manafaat ganja terbahagi kepada 3: untuk perubatan, rekreasi dan industri. Namun apa yang di’highlight’kan oleh media adalah lebih kepada alasan perubatan yang menyebabkan Kerajaan Thailand menghalalkan penggunaan ganja dalam negara mereka. 

Satu artikel yang ditulis dalam Bloomberg oleh Thomas Kutty Abraham menghuraikan dengan jelas mengapa Thailand menghalalkan ganja. Dengan sosio-religo-politik di Thailand itu menjadikan mereka terdesak untuk menghalalkan ganja. Mereka juga mempunyai kemelut dalam isu lain seperti isu gender ke-3, isu penagihan alkohol dan beberapa isu lain lagi.

Untuk mengubah sesuatu akta, 4 faktor utama mempengaruhi; (1) ahli politik; (2) ahli agama; (3) ahli perubatan dan (4) rakyat, jika majoritinya menolak untuk menghalalkan ganja, sukar akta akan berubah. 

Di atas sebab-sebab yang kita ketahui bersama bahawa ganja secara umumnya itu boleh menyebabkan mudarat di dalam masyarakat. Bahkan jika penghalalan ganja ini diteruskan boleh membuka banyak lagi pintu-pintu fitnah yang berkait dengan penyalahgunaan dan isu akhlak dalam masyarakat.

Andai sekiranya salah satu daripada empat tonggak ini luntur atau berusaha untuk menghalalkan ganja maka ianya akan bermula saat keruntuhan di dalam masyarakat.

Proses penghalalan ganja di Thailand bermula sejak tahun 2018 yang dikemukakan oleh ahli politik dan dikatakan mendapat dukungan dari pemain-pemain ganja peringkat dalaman dan antarabangsa. 

Walaupun mereka beralasan ganja yang diluluskan itu jenis hemp yang berasaskan Cannabidiol (CBD), tetapi tidak menafikan penggunaan ganja berbentuk THC untuk rekreasi (khayal dan bersuka ria) akan disalahgunakan nanti. Inilah alasan putar alam (blanket crackdown) yang diamalkan oleh pemain ganja seluruh dunia.

Adakah dengan alasan perubatan itu menjadikan hujah yang kukuh untuk mereka menghalalkan ganja?

Setakat ini semua badan-badan berautoriti perubatan dunia telah menyimpulkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja:

i) Rawatan tambahan bagi mengawal sejenis sakit saraf yang dinamakan ‘Chronic Neuropathic Pain’. Doktor yang berdaftar sahaja dibenarkan menggunakan ganja jenis ini terhadap pesakit mereka. Tidak boleh dengan begitu mudah pesakit membelinya di farmasi ataupun klinik swasta ataupun mengarahkan doktor tertentu untuk memberikan kepada mereka.

ii) Untuk melegakan muntah-muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi pesakit kanser. Ianya juga rawatan tambahan setelah penggunaan ubatan anti muntah yang sedia ada sudah tidak berkesan. Ganja bukan rawatan kanser sepertimana yang didakwa.

iii) Untuk mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit ‘Multiple Sclerosis’ (MS), sawan yang teruk akibat penyakit Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome. Dalam keadaan ini pun, rawatan utama bukanlah ganja.

Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) juga meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). 

Manakala di United Kingdom, Kanada, dan beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®). Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. 

Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza kebenaran halalkan bagi tujuan menjalani kajian perubatan. 

Persoalannya takkanlah setiap rumah rakyat di negeri Thailand itu ada berpenyakit saraf dan sawan yang begitu jarang ditemui dalam bidang perubatan itu? 

Agaknya sudah tentu bukan alasan perubatan yang ingin di perjuangkan oleh mereka. Kemungkinan ingin ambil ganja untuk berseronok? Jalan pintasnya adalah meluluskan ganja atas alasan perubatan. 

Jika mereka mempunyai pelan khusus seperti industri kain, makanan dan seumpamanya, kenapa tidak dinyatakan sedemikian semasa dalam proses untuk menghalalkan ganja? Alasan perubatan juga dijadikan sandaran.

Persatuan profesional perubatan mereka pun memberi amaran mengenai bahaya penggunaan cannabis ini. Terbaharu, lebih dari 850 doktor dan petugas kesihatan membuat bantahan atas keputusan Kerajaan Thailand menghalalkan ganja. 

Antara sebabnya adalah kebanyakan kes penyalahgunaan terjadi sehingga peringkat anak remaja terlibat. Baharu kelam-kabut untuk membuat pindaan yang baru terhadap akta.

Di Jepun pun terdapat teguran dari pakar perubatan mengenai peningkatan kes penyalahgunaan ganja ini atas alasan blanket crackdown demi perubatan. Lebih membimbangkan dengan kelompongan Akta yang telah dibuat itu menyebabkan pihak industri ganja telah membuat inovasi ganja secara sintetik yang jauh lebih bahaya dari ganja semulajadi. 

Ganja sintetik berjenama THC-0, 3 kali lebih bahaya. Ia mempunyai kesan psikotropik otak. Sudah pun terdapat kes mudarat seperti stroke, delusi (gangguan otak) dan serangan sakit jantung. Di saat ini barulah mereka menggelabah untuk membuat pindaan akta yang baharu bagi menyekat penggunaan dadah sintetik ganja ini.

Kita patut belajar dari kesilapan dan kegagalan itu. Sedikit demi sedikit terserlah di seluruh dunia yang negara mereka menghalalkan ganja.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 24/8/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Lelong, lelong.. hingga 6 angka sebulan. & boleh bertahan..

 

Muhammad Hairul Azhar Tajudin di kedainya di Machang, Kelantan. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

1. Rahsia peniaga pasar malam jana 6 angka sebulan

MACHANG: Bermula dengan hanya berniaga di pasar malam, Muhammad Hairul Azhar Tajudin, 42, kini mampu membuka premis menjual pelbagai barangan di sini sehingga mampu menjana pendapatan enam angka sebulan.

Mengakui perjalanannya untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah suatu yang mudah, dia memaklumkan, apa yang dicapai sekarang adalah hasil kerja keras selain memanfaatkan platform media sosial Facebook (FB) yang membuatkannya dikenali sebagai 'Tok Raja Lelong'.

Katanya, dia pada mulanya hanya berniaga pakaian di tapak pasar malam di sekitar Kelantan bermula 2007 dengan modal permulaan RM350.

"Idea untuk mengembangkan perniagaan dalam talian menggunakan sepenuhnya platform FB tercetus lima tahun lalu dan ia ternyata memberikan pendapatan yang lumayan. Alhamdulillah, FB 'Tok Raja Lelong' kini mempunyai 20,000 pengikut.

"Setiap kali jualan secara langsung menerusi 'FB Live', saya mampu jual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, jam tangan dan beg wanita dari harga serendah RM1 hingga RM200," katanya.

Biasanya, Muhammad Hairul Azhar menganjurkan sesi 'FB Live' sekitar jam 9 malam sehingga 12 tengah malam selama tiga hari seminggu, iaitu Ahad, Selasa dan Khamis dengan menayangkan setiap barang untuk jualan ketika bersiaran.

"Jika ada yang berminat, mereka akan tinggalkan komen pada setiap barang yang diingini. Jualan secara dalam talian ini secara tidak langsung berjaya menarik pelanggan dari seluruh negara," katanya.

Bapa dua cahaya mata ini memaklumkan, barangan jualannya ada juga diambil dari China kerana kualitinya yang bagus serta ramai pelanggan yang berpuas hati.

"Ada pelanggan ingin mendapatkan barang secara terus di kedai, jadi saya guna tempat simpan barang yang kini diubah suai menjadi kedai. Saya tidak rasa sudah berjaya, perjalanan dalam perniagaan masih jauh selain perlu sentiasa belajar dan cari ilmu bidang yang diceburi.

"Namun, saya bersyukur ada pihak menjadikan saya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya," katanya menasihatkan anak muda berbakat dalam perniagaan memanfaatkan terknologi terkini dengan menjadikan platform media sosial untuk menambah pendapatan.

Dia yang dibantu lima pekerja, berkata media sosial bukan sahaja perantaraan untuk berkomunikasi, malah ia juga landasan paling sesuai mengembangkan perniagaan. (BH)


2. Peniaga 'Rope Walk Bagan' terus bertahan 

Pasar karat, Pasar Aneka Taman Selat atau lebih dikenali ‘Rope Walk Bagan’ makin lengang. - NSTP/DANIAL SAAD

BUTTERWORTH: Walaupun Pasar Aneka Taman Selat, di sini semakin lengang tanpa kehadiran pengunjung, sekumpulan peniaga di situ cekal bertahan sehingga kini.

Ini kerana, keunikan pasar karat atau lebih dikenali 'Rope Walk Bagan' dalam kalangan penduduk daerah Seberang Perai itu menawarkan pelbagai perkhidmatan berbanding jualan barangan, sekali gus masih menarik orang awam ke situ.

Peniaga, Halid Hashim, 52, yang sudah berniaga di pasar berkenaan sejak 20 tahun lalu, mengakui kekurangan pengunjung terutamanya sejak penularan COVID-19 dua tahun lalu, namun masih meneruskan perniagaan kerana menerima tempahan pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya. 

"Saya membaiki, membentuk dan mencanai batu cincin yang ada sahaja pelanggan. Mungkin ini keunikan di 'Rope Walk' ini kerana bukan sahaja menjual barangan seperti pasar karat lain, tetapi kerana perkhidmatan yang ditawarkan, maka masih ada pelanggan yang datang.

"Jika dulu, sebaik sahaja pasar ini dibuka, memang padat sampai tempat letak kereta pun sesak, tapi kali ini agak perlahan. Bagaimanapun, syukur masih ada rezeki untuk peniaga yang menjalankan perniagaan perkhidmatan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Tukang kasut, Sheik Ab Rani Sheik Seman, 52, turut bersyukur meskipun kedatangan pengunjung berkurangan, tetapi masih boleh mencari pendapatan, termasuk membayar gaji dua pekerja sambilannya.

"Saya menjadi tukang kasut sejak 25 tahun lalu dan berada di pasar karat ini lebih lama sebelum ia bergelar 'Rope Walk'. Pelanggan memang kenal sangat dengan saya dan sebab itu perkhidmatan saya masih mendapat permintaan walaupun suasana pasar karat ini tidak semeriah dahulu," katanya.

Sementara itu, Roslie Che Ross, 55, yang menawarkan perkhidmatan membaiki dan menerima tempahan barangan kulit, berkata tempahan diterimanya masih belum putus.

"Sebelum ini saya jual pelbagai barangan, tetapi 2015 saya diuji masalah kewangan lalu meneroka perniagaan perkhidmatan berasaskan barangan kulit. Pelbagai barangan kulit diminta pelanggan saya akan cuba usahakan dan syukur sehingga hari ini, memang ada sahaja tempahan," katanya.

Pasar karat yang beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang itu terkenal dengan penjualan barang antik, barangan terpakai, ubat-ubatan, herba, aksesori serta peralatan elektronik dan menjadi lokasi tumpuan warga Seberang Perai. Difahamkan, terdapat lebih 200 peniaga masih menjalankan perniagaan di pasar berkenaan. (BH)

Komen Weblog Inu Hasyim: Alhamdulillah, ada yang mampu lintasi musim ekonomi meleset seperti yang di Kelantan ini. Bahkan ada yang hanya boleh bertahan saja seperti yang di Pulau Pinang.

Pun al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sindir PM oleh Penasihatnya sendiri. & 'pengampunan jenayah'


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman

1. Ucapan Azalina sindir Perdana Menteri, beri imej buruk pada UMNO

JOHOR BAHRU: Tindakan Datuk Seri Azalina Othman, yang secara terbuka menyindir serta menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan sahaja mengecewakan malah memberi gambaran salah terhadap parti itu kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin, mendesak Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, supaya melepaskan jawatannya itu bagi menjaga integriti Perdana Menteri.

Katanya, sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Azalina seharusnya memberi kenyataan matang dan lebih bertanggungjawab, namun beliau bertindak sebaliknya dan memberi gambaran salah bahawa Perdana Menteri perlu mencampuri urusan legislatif. 

"Taklimat khas Presiden kepada empat peringkat jawatankuasa UMNO seharusnya fokus kepada usaha parti berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menyatukan ahli serta semua jentera parti. Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyeru kepada solidariti dan penyatuan dalam parti. Namun, ucapan Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, pada awal taklimat telah mewujudkan gambaran yang salah kepada Perdana Menteri. 

"Azalina bukan sahaja seolah-olah menyerang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, malah meletakkan kesalahan ke atas Perdana Menteri, kononnya beliau telah melakukan kesilapan apabila tidak melantik Peguam Negara yang lebih 'mesra' UMNO.

"Kenyataan itu adalah amat tidak baik untuk imej parti menjelang PRU-15. Desakan terbuka supaya lantikan Peguam Negara baharu yang 'mendengar cakap' Perdana Menteri, bukan sahaja memberi imej hodoh kepada parti pada pandangan masyarakat umum, malah menggambarkan parti mahu 'mengawal' legislatif negara," katanya kepada BH.

Terdahulu, Azalina ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi dilaporkan berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

Azalina dilaporkan berkata, pelantikan peguam negara dalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

"Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri," katanya.

Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi, antara lain bertujuan menunjukkan solidariti parti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Naning, menyuarakan rasa kecewanya dengan reaksi berlebihan ucapan pemimpin UMNO, termasuk Azalina, yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, sehingga memberi laluan kepada segelintir perwakilan memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Memang kita bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Namun, sebagai sebuah parti utama negara, UMNO perlu menunjukkan kematangan dalam menangani proses keadilan serta menjunjung tinggi proses perundangan negara seperti yang digariskan dalam Rukun Negara," katanya.

Beliau turut mempersoalkan maksud dan tujuan kenyataan Azalina, yang menyebut beliau tidak boleh bercakap banyak kerana khuatir ditangkap.

"Ini gambaran tidak baik kepada Perdana Menteri dan parti, seolah-olah Naib Presiden UMNO itu mempunyai motif tersembunyi dalam kes Datuk Seri Najib Razak sehingga beliau diperlekehkan perwakilan secara terbuka," katanya.(BH)


2. Pengampunan jenayah dari perspektif Islam dan Perlembagaan Malaysia 


MENURUT Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah Mahkamah Tentera.

Manakala Raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing. Misalnya, jika jenayah itu berlaku di Kangar, Perlis, maka kuasa pengampunan itu adalah di bawah YAM Raja Perlis.

Walau pun kuasa ini diletakkan kepada YDPA, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri-negeri (YDPN), fasal (4) dan (11) dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja dan YDPN serta YDPA melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.

Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN.

Apabila kita membincangkan soal kuasa pengampunan ini, adalah wajar untuk kita meneliti lebih mendalam berkenaan kuasa ini. Memandangkan YDPA dan Raja-raja juga adalah ketua bagi agama Islam, maka timbul persoalan sama ada kuasa pengampunan ini mempunyai kaitan dengan ajaran Islam atau tidak.

Jika diteliti prinsip Islam dari sudut hukuman, kita dapati Islam menetapkan keadilan untuk semua tanpa sebarang pilih kasih. Keadilan adalah sesuatu yang wajib ditegakkan tanpa ada pengaruh kecenderungan kasih sayang atau permusuhan. Rasulullah S.A.W sendiri menyebut bahawa, jika anak kesayangannya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, dia juga pasti akan dihukum dengan hukuman potong tangan.

Lebih jauh lagi konsep pengampunan dan kemaafan tertakluk kepada tahap-tahap yang berbeza-beza. Dalam Islam manusia mempunyai had dalam memberikan kemaafan dan pengampunan. 

Dosa yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat, atau kesalahan mencuri dan merompak yang terletak di bawah kategori hudud tidak boleh diampunkan oleh manusia. Manusia hanya boleh memaafkan kesalahan orang lain ke atas dirinya sendiri.

Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan Teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Jika ada pertimbangan untuk meringankan hukuman sekalipun, ia perlu dibuat mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan kita ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617. 

Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, HB (Malaya) Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman. Pendirian yang serupa juga dibuat dalam kes Juraimi Bin Husin lwn. Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang & Ors [2001] 3 MLJ 458.

Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa kuasa pengampunan yang ada menurut Perlembagaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia kelak pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Jika hendak digunakan sekali pun ia perlu berasaskan prinsip yang jelas, adil dan telus. 

Perlu ada panduan berkenaan kelayakan pengampunan, misalnya untuk mereka yang telah menjalani hukuman dalam tempoh yang setimpal, dan terbukti telah insaf atas kesalahan yang dilakukan. Yang pasti, kuasa pengampunan ini tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa pesalah dari kalangan ahli politik akan berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menang dalam pilihan raya mengambil alih pemerintahan. 

PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi 
Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 25/8/2022


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails