Sunday, September 04, 2022

Penyokong PAS ‘Juara Perpaduan’ . Rasuah 'khadam' melantun?

 


1. DHPP mahu jadi ‘Juara Perpaduan’ dan isu rakyat

SUNGAI PETANI: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berharap agar dapat menunjukkan bukti bahawa mereka adalah Juara Perpaduan, demikian kata Ketua DHPP Pusat, Senator Balasubramaniam Nachiappan. 

“Ucapan sulung saya di dalam Dewan Negara telah saya fokuskan kepada perkara yang berkaitan dengan perpaduan kaum. Isu ini semakin meruncing ketika negara yang kita sayangi ini diperintah oleh Pakatan Harapan selama 22 bulan,” ujarnya. 

Menurut beliau ketika itu kebencian di antara kaum semakin menjadi-jadi di mana ia menuntut betapa pentingnya rakyat kembali memahami kontrak sosial dan menghayati semula Rukun Negara . 

Di mana katanya, penting pelaksanaan silang budaya untuk memperkukuhkan hubungan di antara kaum, sekali gus berusaha memastikan bahawa DHPP mampu untuk menjadi juara kepada isu-isu rakyat.  

“Ketika ini rakyat sedang berhadapan dengan isu kos sara hidup yang semakin tinggi. Kita sebagai sebahagian daripada kerajaan mestilah memainkan peranan kita termasuklah memberi teguran dan cadangan terhadap isu yang dihadapi.  

“Rakyat mahukan solusi bukannya demonstrasi seperti mana yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang ketandusan idea. Salah satu daripada isu yang sedang saya fokus ketika ini adalah isu penipuan atas talian yang semakin berleluasa.  

“Saya telah menubuhkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang khusus untuk memfokuskan isu ini dan telahpun berjaya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Kormersial (JSJK) beberapa bulan yang lalu.  

“Saya berharap DHPP juga dapat terlibat di dalam menangani isu ini,” ujarnya menyampai Ucaptama Ketua DHPP Pusat pada Konvensyen DHPP Pusat di Dewan Gandhi, di sini petang tadi. 

Beritahunya, antara isu turut pernah diperjuangkan pihaknya adalah berkaitan dengan cukai yang dikenakan kepada rakyat di mana menuntut kerajaan mengkaji semula cukai terhadap rakyat hendak keluar negara bagi tujuan bukan pelancongan.  

Antaranya menurut beliau, seperti untuk beribadah, kesihatan dan melanjutkan pelajaran ketika membahaskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 berikutan rakyat masih berhadapan dengan pemulihan ekonomi. 

“Begitu juga isu yang melibatkan keselamatan rakyat dan saya khususkan dengan gejala Mat Rempit, saya telah bangkitkan berkaitan dengan undang-undang yang lebih tegas kepada mereka yang terlibat dengan tindakan lebih keras.  

“(Ini) bagi membanteras masalah perlumbaan haram dengan mengenakan tindakan terhadap bengkel yang membuat pengubahsuaian kenderaan dan tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang menonton perlumbaan haram dan ia telah mendapat respon yang positif daripada Menteri. 

“Dalam isu yang melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) saya menegaskan supaya kerajaan jangan mengulangi kesilapan dalam melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya tidak berulang.  

“SOSMA mestilah memastikan negara kekal bebas daripada ancaman keselamatan khususnya serangan dan kegiatan pengganas. Campur tangan pihak lain khususnya orang politik termasuk daripada kalangan pemimpin kerajaan, seperti mana yang pernah berlaku ketika ISA dilaksanakan mestilah dielakkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022


2. Seruan ‘hapuskan pemberi rasuah’, kenapa khadam melantun? 


SIKAP yang betul ialah menyalahkan orang yang mula-mula menciptakan kesempatan tersebut. Ini adalah ungkapan yang dinyatakan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. 

Ungkapan ini membuatkan saya teringat dengan perumpamaan bijaksana yang dibuat oleh YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam siri penulisannya minda Presiden yang bertajuk ‘Hapuskan Pemberi Rasuah’.

Perumpamaan yang dibuat oleh Presiden PAS mengenai perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah penyakit denggi.

Mengikut pandangan Presiden PAS mencegah denggi bukan sekadar merawat pesakit dan membunuh nyamuknya, tetapi hendaklah juga bertindak terhadap takungan air yang membiakkan nyamuk. Pada masa yang sama, bertindak terhadap manusia yang tidak menjaga kebersihan.

Lalu sebagai perumpamaan bagi usaha menangani penyakit rasuah, Presiden PAS berpendirian wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya.

Presiden PAS memberi penekanan bahawa punca rasuah kerana mengejar harta secara haram oleh pihak tertentu yang tak pedulikan soal dosa pahala dan halal haram. 

Presiden PAS menambah penjelasan bahawa pihak yang hidup dengan mengejar harta secara haram ini menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. 

Melihat pada keselarasan pandangan Syed Hussein Alatas dan Presiden PAS sebenarnya adalah untuk memberi peringatan kita terhadap perspektif perbincangan mengenai rasuah disempitkan pada soal siapa penerima rasuah.

Di mana acapkali dikaitkan secara halus secara rasis yang menghala kepada bangsa Melayu Bumiputera dalam kalangan penjawat awam. 

Perbincangan terhadap watak-watak tauke yang sentiasa melobi peluang dan ruang dengan berfungsi seumpama kolam takungan pembiak nyamuk di mana penyakit rasuah bagaikan dosa besar apabila disebut. 

Kes Durian Raub yang menjadi polemik sebelum ini adalah rahsia terbuka akan peranan tauke yang mempunyai kuasa membayar tidak pula dianggap bermasalah bagi sebahagian pihak.

Bahkan kelompok politik yang membela tauke-tauke Durian Raub ini tidak pula rasa segan silu membela mereka dan malangnya naratif mereka mainkan hanya mempertikaikan penjawat awam yang dikata makan rasuah. 

Seolah-olah pemberi-pemberi rasuah dalam kalangan tauke tiada dosa?

Kelompok politik sebegini sebenarnya adalah satu jenis rasis yang dimaksudkan oleh sarjana sains sosial sebagai kelompok ‘closet racist‘. Mereka adalah kelompok yang mulutnya sangat manis tanpa sebarang kata-kata berunsur rasis. 

Tapi hakikatnya, dalam tindakan dan dasar-dasar pemerintahan yang mereka buat nampak jelas elemen rasis yang menguntungkan puak mereka sahaja. 

Amat malang apabila wujud bangsa Bumiputera minda tertawan yang mungkin naifnya kerana mulut telah polot dipenuhi dedak yang untungnya hanya secupak, tapi rugi bergantang-gantang bagi memelihara kepentingan bangsa sendiri. 

Kelompok rasis yang menyorok dalam almari dan konco-konco berminda tertawan ini tidaklah tulus, bahkan dangkal dalam menilai fakta. 

Mereka hanya mampu menjadi terperinci melihat separuh masak, namun amat penakut untuk menilai secara adil maklumat-maklumat empirik yang ada dalam fakta sejarah. 

Kelompok tertawan takkan berani menggigit ekor tuannya. Mereka hanya hamba yang mengikut telunjuk naratif berat sebelah dan separuh masak. 

Topik rasuah yang dibicarakan hanya untuk menjadi bahan untuk kepentingan politik berat sebelah mereka sahaja. 

Mengapa begitu? Kerana mereka tahu jika penyelesaian rasuah secara holistik yang akan mengganggu ekosistem kelestarian ekonomi khadamnya. Takkan khadam hilang apa ada dalam temboloknya!

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre
30 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 30/8/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semoga penyokong PAS (DHPP) berperanan sebagai ‘Juara Perpaduan’. Persetankan khadam-khadam rasuah yang melantun!


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

'Kerjasama' dengan Israel 5 dihukum mati. Pekerja PBB diculik..

 

Pejuang Hamas melakukan rondaan di Gaza. - Foto AP

2. Hamas hukum mati 5 rakyat Palestin 'kerjasama' dengan Israel

BANDAR GAZA: Pergerakan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza hari ini mengumumkan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas lima orang rakyat Palestin, termasuk dua daripadanya kerana 'bekerjasama' dengan Israel.

"Pada pagi Ahad, hukuman mati dijalankan terhadap dua orang yang dikutuk kerana bekerjasama dengan Israel dan tiga lagi yang terbabit dalam kes jenayah," kata Hamas dalam satu kenyataan.

Katanya, defendan sebelum ini telah diberikan 'hak penuh untuk membela diri'.

Kementerian Dalam Negeri Hamas mendedahkan huruf pangkal dan tahun kelahiran lima warga Palestin yang dihukum mati itu tetapi tidak memberikan nama penuh mereka.

Kedua-dua lelaki yang dihukum mati atas kesalahan 'kerjasama' dengan Israel masing-masing dilahirkan pada 1978 dan 1968.

Pesalah yang direkodkan paling berusia dalam kalangan mereka adalah penduduk Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.

Menurut Hamas, lelaki itu disabitkan bersalah kerana membekalkan 'maklumat kepada Israel pada 1991 mengenai lelaki yang melakukan penentangan, kediaman mereka... dan lokasi tempat pelancaran roket'.

Kenyataan itu menambah, pesalah kedua dihukum pada 2001 kerana membekalkan Israel dengan maklumat perisikan yang membawa kepada individu yang menjadi sasaran dan mati syahid di tangan tentera Israel.

Tiga lagi yang dihukum mati hari ini telah disabitkan dengan kesalahan membunuh. - AFP


2. Al-Qaeda Yaman keluarkan video pekerja PBB yang diculik 

Gambar fail menunjukkan militan Al-Qaeda Yaman memegang kain rentang ketika perbicaraannya di mahkamah di Sanaa, Yaman. - Foto AP

DUBAI: Al-Qaeda Yaman semalam mengeluarkan video menunjukkan seorang pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diculik di negara itu lebih enam bulan lalu, menurut Kumpulan Perisikan SITE.

Jurucakap PBB, Eri Kaneko, sebelum ini memaklumkan lima kakitangan PBB itu diculik di wilayah selatan Yaman, Abyan pada Februari lalu sebaik mereka kembali ke bandar pelabuhan Aden selepas menyelesaikan misi lapangan.

Dalam mesej video semalam, kelihatan dirakam 9 Ogos lalu, Akam Sofyol Anam, dikenal pasti SITE sebagai warga Bangladesh, menggesa PBB, masyarakat antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan tampil serta memenuhi tuntutan penculik, namun tidak memaklumkan apa tuntutan mereka.

Anam berkata beliau menghadapi masalah kesihatan serius, termasuk jantung dan memerlukan sokongan perubatan serta perlu mendapatkan rawatan di hospital. 

Anam, yang juga Pengarah di Pejabat Keselamatan PBB di Yaman, memberitahu beliau dia dan empat rakannya yang lain diculik pada 11 Februari lalu.

Yaman dicengkam konflik sejak pemberontak Huthi yang disokong Iran menguasai ibu kota Sanaa pada 2014, mencetuskan campur tangan tentera diketuai Arab Saudi untuk menyokong kerajaan yang terkepung pada tahun berikutnya.

Ratusan ribu orang maut ekoran konflik itu, sementara berjuta-juta yang lain kehilangan tempat tinggal dalam apa yang disebut PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Aden menjadi pangkalan kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa selepas Huthi menggulingkannya dari ibu kota Sanaa pada 2014.

Jurucakap pegawai PBB di Yaman, Russell Geekie, pada Februari lalu memberitahu kakitangan berkenaan diculik di Wilayah Pentadbiran Abyan dan pihaknya sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan mereka dibebaskan.

Al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) dan militan Daesh mengeksploitasi kelompangan kuasa yang tercetus akibat konflik antara kerajaan dan pemberontak Houthi Syiah, dalam usaha untuk meluaskan pengaruh mereka di Yaman terutama di selatan dan tenggara negara itu.

Ditubuhkan dalam penggabungan rangkaian Yaman dan Al-Qaeda Saudi, AQAP sudah melakukan serangan ke atas kedua-dua sasaran pemberontak dan kerajaan di Yaman serta warga asing.

Mereka juga dituduh merancang serangan di luar Timur Tengah dan pemimpinnya menjadi sasaran perang dron Amerika Syarikat (AS) sejak lebih dua dekad, biarpun jumlah serangan berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim'Kerjasama' dengan Israel 5 dihukum mati. Ertinya Hamas hukum mati 5 rakyat Palestin kerana 'kerjasama' dengan Israel, mengampu, atau belot kepada Israel atau musuh-musuh Islam.

Tetapi perjuangan Islam di Malaysia berbeza teknik, tektik seperti di Palestin. Pertarungan melalui 'peti undi'. Pengampu atau penjilat musuh-musuh Islam tidak di 'hukum mati' seperti di Palestin. Kalau tidak, ramailah 'puak-puak Melayu mengaku Islam di Malaysia yang dihukum pancung.

Puak-puak yang disebut juga 'penjilat juboq tak basuh' di Malaysia ini, begitu bebas mengfitnah perjuangan Islam dan parti Islam. Mereka juga patut dihukum. Hukumlah melalui 'tidak mengundi' parti atau barua mereka dalam PRU 15 akan datang ini.. 

Undilah PAS dan parti kumpulannya. Sekian.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Negeri PN, PH tolak bubar DUN -T/Ibrahim. Muslimat, anak muda & wanita.

 

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemubual Harakahdaily dalam Wawancara Khas, di Kompleks PAS Kedah, pada 3 September 2022. Foto ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY

1. Negeri diterajui PN, PH tolak bubar Dun tahun ini

ALOR SETAR: PAS yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak akan diadakan tahun ini dengan mengambil kira negeri-negeri yang tidak dikuasai Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi komitmen tidak akan membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini tiga negeri di bawah penguasaan PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dun tahun ini.

Selain itu negeri yang diterajui di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak akan membubar Dun tahun ini.

“Selain itu keputusan untuk membubarkan parlimen perlu mendapat persetujuan kabinet di mana sekarang terdapat gabungan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ini bermakna kekuatan anggota kabinet bukan didominasi Umno dan BN sepenuhnya. Malah dua pertiga daripada anggota kabinet sekarang di luar BN.

“Jadi untuk membolehkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri memohon untuk membubarkan parlimen perlu mendapat persetujuan parti-parti terbabit terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui sempena muktamar di Kota Sarang Semut petang tadi.

Baru-baru ini Tuan Ibrahim pada kenyataan media memberitahu PAS memutus untuk membubarkan Dun bagi tiga negeri yang ditadbir parti itu selepas Mac 2023.

Menurutnya PAS berpendirian kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pemulihan semula ekonomi negara, selain isu kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tuan Ibrahim yang Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, untuk mengadakan PRU melibatkan kos yang besar yang melibatkan peruntukan kewangan kerajaan.

“Sekiranya Umno memilih mengadakan PRU tahun ini, sudah tentu tahun hadapan terpaksa diadakan sekali lagi PRU kerana enam negeri setakat ini memberi komitmen tidak akan membubarkan Dun,” katanya.

Beliau juga melihat desakan supaya perdana menteri membubarkan segera PRU tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kluster mahkamah yang melibat beberapa pemimpin Umno. – HARAKAHDAILY 3/9/2022


2. PAS perlu cakna mendepani kebajikan rakyat 

ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil cakna kepada dua isu utama pada era pemulihan pasca pandemik, iaitu isu anak muda dan wanita.

Pembahasnya, Dr Mastura Mohamad, berkata beberapa perkara berkaitan dua isu berkenaan perlu diberi perhatian agar PAS dilihat cakna mendepani kebajikan rakyat.

Menurutnya, antara perkara yang masih membelenggu anak-anak muda ialah peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Banyak isu berkaitan anak-anak muda berkaitan kehidupan seharian. Oleh itu, mereka perlu dibantu untuk memulakan hidup,” katanya pada Muktamar PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Lebih merisaukan, Dr Mastura berkata, 75 peratus anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pelajaran.

Sehubungan itu, katanya mereka disarankan diberi peluang bekerja sambil belajar agar tidak tercicir dari pembinaan insan.

Sementara itu, beliau memuji langkah kerajaan melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan meluluskan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual untuk melindungi kebajikan dan keselamatan wanita.

Namun, Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu berpandangan bahawa perlaksanaan inisiatif berkenaan perlu diperkemaskan agar manfaatnya dapat dirasai.

“Justeru itu, muslimat memerlukan dokongan padu, termasuk sistem sokongan yang efisyen semua kepimpinan muslimin, termasuk golongan suami,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/22

Komen  Weblog Ibnu Hasyim: Negeri PN, PH tolak bubar DUN -T/Ibrahim. Muslimat, mendepani kebajikan rakyat -Dr Mastura.

Al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Saturday, September 03, 2022

Visa pelancong tunai haji-umrah? PAS & antarabangsa.

 


1. Arab Saudi larang guna visa pelancong tunai haji, umrah

JEDDAH: Visa pelancong tidak membolehkan pemegangnya menunaikan haji atau umrah ketika musim haji, tegas Kementerian Pelancongan Arab Saudi ketika mengumumkan pindaan pada peraturan visa pelancong.

Pindaan terbaru pada visa pelancong itu turut menetapkan pelancong wajib mematuhi peraturan dan arahan keselamatan sepanjang mereka berada di Arab Saudi termasuk sentiasa membawa dokumen pengenalan.

Pihak kementerian menjelaskan, pemegang taraf pemastautin GCC boleh memasuki Arab Saudi menggunakan visa e-pelancong, sekiranya tempoh pemastautin adalah sah bagi sekurang-kurangnya tiga bulan.

Individu memegang taraf pemastautin GCC bermakna sesiapa yang mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

Ini turut merangkumi anggota keluarga pemegang visa kelas pertama yang datang bersamanya selain pembantu rumah yang datang bersama penaja mereka.

Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baru yang membenarkan penduduk negara GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa ketika ketibaan (VOA).

Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.

Pemegang visa pelancongan dan perniagaan yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah menjelaskan bahawa tiada lapangan terbang khusus untuk ketibaan jemaah di Arab Saudi.

Katanya, jemaah boleh memasuki dan meninggalkan Arab Saudi menerusi mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau domestik di negara itu.

Menurut kementerian itu lagi, tempoh maksimum untuk jemaah memiliki visa umrah tinggal di Arab Saudi ialah selama 90 hari dan mereka bebas bergerak antara Makkah, Madinah dan semua bandar lain di negara itu.

Tambah pihak kementerian, jemaah boleh merancang program umrah dan memohon visa menerusi saluran elektronik yang diluluskan bagi perkhidmatan umrah individu.

Ziarah umrah mesti diluluskan menerusi aplikasi Eatmarna bagi memastikan jemaah tidak dijangkiti coronavirus atau berhubungan dengan orang yang dijangkiti.

Pendaftaran menggunakan aplikasi Eatmarna dan pengeluaran permit umrah memerlukan pemohon memiliki visa yang sah bagi memasuki Arab Saudi. - AGENSI


2. Muktamar PAS dan isu antarabangsa umat Islam 


MUKTAMAR Tahunan PAS kali ke-68 yang sedang berlangsung pada 3 September 2022 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah baru sahaja membuka tirai dengan penuh bergaya dalam keadaan norma baharu setelah dunia lesu akibat wabak pandemik Covid-19 melanda baru-baru ini.

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali muktamar berlangsung, pastinya akan ada usul-usul terkini yang berkaitan dengan isu-isu semasa umat Islam di peringkat antarabangsa diangkat dan dibahaskan.

Ini menunjukkan komitmen PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bukan sahaja perjuangannya dalam konteks Malaysia semata-mata bahkan juga menyentuh dan memperjuangkan isu-isu yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia sama ada dalam aspek politik, kemanusian dan lain-lain lagi.

Setiap usul yang diluluskan ini tidak hanya diangkat, dibahas dan disimpan dalam fail untuk tatapan sahaja tetapi ianya akan diambil tindakan dalam pelbagai bentuk agar setiap isu yang diangkat dan diperjuangkan mendapat pembelaan dan perhatian yang sewajarnya daripada umat dan dunia Islam.

Selain daripada itu, isu-isu antarabangsa yang diangkat dan diperjuangkan diberikan penerangan secara jelas di mana ia mampu memberikan kesedaran kepada umat Islam sama ada melalui ceramah, kenyataan akhbar, demonstrasi aman, serahan memo dan seumpamanya.

Selain daripada tindakan di atas, sebahagian daripadanya lagi diambil langkah-langkah penyelesaian sama ada melalui kaedah politik mahupun gerak kerja seperti misi damai dan diplomatik, perundingan, sidang meja bulat dan penyertaan seminar-seminar di peringkat antarabangsa.

Pada muktamar kali ini, dijangka beberapa isu mahupun krisis yang sedang berlaku di negara-negara Dunia Islam dan dunia bakal diangkat dan dibahaskan di antaranya ialah isu Palestin, normalisasi hubungan negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel, isu di Yaman, Syria, Iraq dan Afghanistan, Islamofobia dan beberapa isu lagi.

Isu Palestin yang dianggap sebagai ibu kepada segala permasalahan dan isu kepada umat dan Dunia Islam di seluruh dunia diperjuangkan sejak sekian lama terutamanya sejak berakhirnya perang dunia pertama di mana Palestin telah dijajah oleh Britain yang kemudiannya diserahkan kepada zionis Israel untuk dijadikan negara mereka pada 1948.

Perjuangannya bukan sahaja turut memakan masa yang lama dan mengorbankan ribuan nyawa malah sehingga ke hari ini tidak nampak langsung jalan penyelesaiannya melainkan ia memberi kelebihan serta kemenangan di pihak regim zionis Israel terutamanya setelah perjanjian normalisasi ditandatangani.

Namun isu Palestin bukan sahaja satu-satunya isu antarabangsa yang diperjuangkan dan diangkat oleh PAS. Sejak PAS ditubuhkan dan memainkan peranan penting dalam geopolitik antarabangsa, PAS sebenarnya telah banyak memainkan peranan yang proaktif dalam menangani pelbagai isu berbangkit yang membabitkan umat dan Dunia Islam.

Saban tahun PAS menghantar delegasi-delegasi ke seminar-seminar antarabangsa yang membincangkan isu-isu semasa umat dan dunia Islam seperti persidangan Mu’assasah Al-Quds yang berpusat di Beirut, Lubnan, Majma’ Taqrib Baina Al-Mazaahib yang berpusat di Tehran, Iran dan persidangan ESSAM yang berpusat di Istanbul, Turki.

Bahkan PAS turut mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan forum antarabangsa bagi menyelesaikan permasalahan umat dan dunia Islam seperti Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Terengganu dan Kelantan pada tahun 1988, 1991, 2015 dan 2017.

Di samping itu juga, PAS terlibat secara aktif dalam misi damai dan kemanusiaan dalam menyelesaikan konflik-konflik yang berlaku di pelusuk dunia Islam. Sejak 1970an, PAS terlibat secara langsung dalam misi damai antara pejuang-pejuang Acheh dan kerajaan Indonesia.

Ketika saya mengikuti rombongan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Acheh empat tahun lalu, Wali Acheh Yang Mulia Tengku Malik Al-Haythar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PAS di atas bantuan kemanusian dan usaha damai yang dilakukan sehingga Acheh berjaya mendapat kuasa autonomi pada tahun 2005.

Pada awal 1990an dalam konflik antara kumpulan-kumpulan mujahideen Afghanistan sejurus pengunduran tentera Soviet Union, PAS menghantar delegasi yang terdiri daripada Allahyarham Ustaz Dato’ Fadhil Noor, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dato’ Mustafa Ali dan beberapa orang lagi pimpinan PAS bagi mendamaikan pemimpin-pemimpin mujahideen yang bertelagah kerana mereka terdiri daripada latar belakang kumpulan, qabilah dan puak yang berbeza.

Misi ini sedikit sebanyak berjaya meredakan pertembungan, antara lainnya ialah jalan penyelesaian daripada buah fikiran Allahyarham Ustaz Dato’ Fadhil Noor yang mencadangkan supaya diadakan Majlis Pertahanan Afghanistan dengan jawatan Menteri Pertahanan mengikut giliran antara suku Pashtun dan Uzbek.

Pandangan bernas tersebut telah diterima oleh semua pihak yang bertelagah namun terhenti di pertengahan jalan akibat campur tangan kuasa-kuasa asing yang mahu melihat Afghanistan terus bergolak mahupun bertelagah.

Dalam krisis Perang Teluk Pertama antara Iraq dan tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat antara 1990-1991, PAS menyertai misi damai yang diketuai oleh Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan tokoh Gerakan Islam lain seperti Mustafa Masyhur, Abdurrahman Khalifa dan Qadhi Hussein mengadakan pertemuan dengan Presiden Iraq Saddam Hussein dan pemimpin negara-negara Arab lain bagi mengelak berlakunya pertumpahan darah yang lebih besar.

Pada pertengahan 1990an, PAS menyertai misi damai bagi menyelesaikan konflik Bosnia Herzegovina yang dipimpin oleh Prof. Nejmuddin Erbakan dari Turki. PAS menghantar delegasi yang diketuai oleh Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS yang lain.

Rombongan ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia termasuk dengan Botrous Botrous Ghali yang ketika itu adalah Setiausaha Agong kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di New York bagi menyuarakan bantahan terhadap kekejaman tentera Serbia serta mendesak Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu supaya bertindak bagi menyelesaikan krisis Bosnia Herzegovina.

Ternyata sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sahaja bertapak kukuh di tanah air bahkan turut tercatat perjuangan serta penglibatan PAS dalam isu-isu mahupun konflik yang membabitkan kepentingan dan permasalahan umat dan dunia Islam di serata dunia.

Penglibatan PAS bukan untuk mencari keuntungan politik mahupun kemasyhuran tetapi adalah untuk membela nasib umat dan dunia Islam yang ditindas, dizalimi, dibunuh, dirampas hak dan tanah air mereka sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT.

Isu normalisasi hubungan di antara negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel sebenarnya adalah satu ujian yang besar kepada umat dan dunia Islam. Isu tersebut bukan hanya semata-mata untuk membebaskan Baitul Maqdis, bumi Palestin mahupun rakyatnya tetapi hakikatnya adalah kayu pengukur kekuatan mahupun kesepaduan umat dan dunia Islam.

Isu di Syria, Yaman dan Iraq ketika ini tampaknya ada harapan yang cerah untuk mencapai kedamaian walaupun jalannnya masih kabur. Ketika ini kelihatan negara – negara Asia Barat sudah mula mencatur solusi untuk menyelesaikan krisis di Yaman, Syria dan Iraq untuk mengembalikan kestabilan dan keamanan di Asia Barat.

Namun ketika ini “ musuh dalam selimut “ dan kuasa imperealis Barat tidak senang dengan kemajuan ini dan berusaha sehabis mungkin untuk menghuru-harakan kembali keadaan di negara-negara tersebut yang sememangnya akan menguntungkan mereka dalam usaha untuk mengekalkan hegemoni Barat di Asia Barat.

Isu Afghanistan dan Islamofobia juga antara isu besar yang sedang berlegar dikalangan umat dan Dunia Islam yang memerlukan perhatian yang sewajarnya. Isu umat Islam di Kashmir, Rohingya dan Xinjiang masih perlu diperjuang dan dibela agar nasib mereka terus diberikan perhatian oleh dunia terutamanya dikalangan umat dan Dunia Islam.

Jelas hari ini, umat dan dunia Islam telah berpecah belah dan tidak memiliki kesatuan yang utuh. Organisasi Islam yang diharap memberi sinar kesatuan dan kekuatan kepada umat dan dunia Islam seperti OIC dan Liga Arab tidak mampu berbuat apa-apa malah tunduk dan akur kepada musuh-musuh Islam.

Oleh itu, umat dan dunia Islam perlu bangkit untuk mengembalikan maruah Islam dan umatnya. Jika dibiarkan dalam keadaan lesu yang berpanjangan maka akan kaburlah masa depan umat dan dunia Islam kerana musuh-musuh Islam senantiasa menanti peluang dan ruang untuk menghancurkan terus saki baki kekuatan mahupun kesatuan yang ada.

Usah menunggu hancur baru hendak ditangisi kelemahan yang ada serta apa yang berbaki. Bangkit dan teruskan perjuangan untuk mengembalikan maruah Islam dan umatnya. Timbulkan kesedaran kerana masih belum terlambat untuk meneruskan mahupun menggerakkan perjuangan.

Semoga Dunia Islam dan umatnya sedar dan bangkit kembali untuk berjuang seterusnya memartabatkan kembali kemegahan, kekuatan serta kesatupaduan umat dan dunia Islam.

Moga Allah SWT merahmati dan memberikan kekuatan kepada kita semua.

Islam Menyatukan Umat.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – 
HARAKAHDAILY 22/9/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

"Ini semua hak individu.."? Artis tetap bergelumang maksiat?

 

Masya bertindik hidung sekadar fesyan bagi menjayakan video muzik Simpanan. - Foto IG Masya Masyitah
HALAMAN HIBURAN

1. Tindik hidung hanya fesyen - Masya Masyitah

KUALA LUMPUR: Bukan sengaja meraih perhatian, sebaliknya penyanyi, Masya Masyitah tampil dengan imej dan pakaian bersesuaian untuk video muzik single terbaharu, Simpanan.

Namun, pakaian Masya sebagai wanita berhijab dikatakan menyakitkan mata, sekali gus, mendapat kecaman ramai.

Pun begitu, Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, 22, berkata, penampilannya berubah mengikut penambahan usia, namun, beberapa foto dimuat naik di laman Instagram adalah sedutan daripada video muzik Simpanan. 

"Semakin meningkat dewasa, saya juga melalui fasa memilih penampilan bersesuaian dengan usia. Saya masih tak terikat dengan mana-mana fesyen, mana yang dirasakan selesa dan tak berlebihan, itulah yang saya pakai.

"Namun, penampilan di tempat awam berbeza dengan penampilan dalam video muzik. Ini kerana ada jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi video muzik Simpanan.

"Ini semua hak individu, ada yang kisah dan sebaliknya. Saya pilih gaya video muzik seperti ini.

"Kepada peminat, tonton video muzik saya dahulu barulah buat penilaian," katanya kepada BH Online.

Menjawab penampilannya bertindik pada hidung, gadis kelahiran Kedah itu berkata, ia sekadar fesyen bagi menjayakan video muzik.

"Tindik di hidung bukan kekal. Hanya 'mock up' sahaja. Dalam video muzik, tidak semua babak saya memakai subang hidung," katanya.

Justeru, Masya tidak terkesan dengan kecaman diterima, sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu perkara yang mematangkannya.

"Bercakap soal kecaman, saya berpendapat setiap manusia ada pandangan dan saya menghormatinya.

"Insya-Allah, saya akan memperbaiki penampilan bersesuaian dengan usia pada masa akan datang," katanya. 

Aksi romantik Masya dan model video muzik Simpanan turut menjadi bualan ramai. - Foto IG Masya Masyitah


2. Imej seksi, Aqish dihina bertubi-tubi 
Aqish kecewa setiap kali kisahnya tular pasti nama ibunya terseret sehingga trauma untuk bercampur dengan masyarakat. - Foto IG Puteri Balqish

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja sensasi, Puteri Balqis Aziz, 15, kecewa usaha menghasilkan ratusan puisi dipandang sepi, sebaliknya, masyarakat lebih memberi perhatian terhadap imej dan penampilannya.

Puteri Balqis menjadi bualan ramai kerana berani berkongsi beberapa gambar seksi menerusi akaun Instagram sehingga mengundang kecaman ramai.

Bagaimanapun, Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 di Singapura pada 2014 itu tidak terkesan dengan kecaman netizen.

Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish berkata, dia dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz tidak bergantung hidup dengan sesiapa dan tidak perlu memuaskan hati orang lain.

"Saya tidak perlu bergantung kepada kata-kata manusia. Saya juga tidak mahu lagi meminta doa orang ramai kerana penghujungnya penuh ungkitan.

"Saya semakin faham, manusia kejam. Jadi, saya tidak perlu bergantung kepada puji atau kejian manusia.

"Saya tidak faham kenapa saya dikecam, sedangkan saya bukannya jenis keluar melepak dengan kawan-kawan. Hidup saya bersama ibu, sentiasa bergambar seorang diri dan tidak sesekali tergedik-gedik. Tetapi, takkan orang luar tidak perasan?" soalnya. 

Aqish menjadi bualan ramai kerana berani berkongsi beberapa gambar seksi menerusi akaun Instagram sehingga mengundang kecaman ramai. - Foto IG Puteri Balqish

Komen Weblog Ibnu Hasyim: "Ini semua hak individu.." (konon katanya).. Maka artis tetap bergelumang maksiat? 

Ya kerana tiada peraturan 'patuh syariat' dalam dunia hiburan. Kalau mahu juga ikutlah negeri Kelantan dan Terengganu. PRU15 akan datang ini UNDILAH PAS dan kumpulan partinya.

Insya Allah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails