Monday, September 19, 2022

Amaran hujan lebat, angin kencang di 10 negeri pagi ini

 

Seorang pejalan kaki berjalan dalam hujan ribut ketika tinjauan cuaca hujan lebat di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan membabitkan 10 negeri pagi ini.

MetMalaysia melalui makluman di Facebook, berkata selain ribut petir dan hujan lebat, angin kencang sehingga jam 10 pagi ini juga diramal meliputi seluruh Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka, serta beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pahang, Selangor dan Johor.

Di Kedah, antara kawasan disenarai termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di Pahang pula amaran dikeluarkan jam 6.50 pagi itu membabitkan Bera dan Rompin, manakala Selangor meliputi Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Di Johor amaran meliputi Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.(BH)



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang..." PRU-15 antara Okt-Dis..

 

Idris ketika sidang media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang. - NSTP/ SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

1. "Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah (tanding solo)" - Idris

BUKIT GANTANG: PAS mengingatkan UMNO bahawa nasibnya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mungkin berulang sekiranya parti itu terus bertegas untuk terus bertanding secara solo.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun UMNO kekal dengan pendirian sedemikian, PAS akan terus berusaha untuk merapatkan hubungan parti itu bersama dua lagi parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan BERSATU.

"Kita akan buat sampai rapat dinding. Kita akan usaha (rapatkan hubungan PAS, UMNO dan BERSATU) dan akhirnya rakyat yang akan menilaikannya sendiri," katanya.

"Biarlah parti itu (UMNO) dengan konsep mereka (nak bertanding secara solo dalam PRU-15)

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah berbuat begitu. Tapi kita (PAS) tetap dengan konsep perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menyatakan tiga parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU, perlu bergabung menjadi satu kumpulan parti politik yang memperjuangkan bersama kepentingan orang Melayu serta Islam.

Ketika menyarankan demikian, beliau berkata walaupun tiga parti itu bergabung membentuk satu naungan di bawah 'khemah' politik yang sama, ia masih belum cukup kuat dan meluas dari segi pengaruh serta tarikan seperti PKR.

Justeru, Musa menyarankan UMNO, PAS dan BERSATU sekiranya bergabung di bawah 'khemah' yang sama, perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

Sementara itu, Idris berkata, PAS tidak melihat sokongan bangsa Melayu khususnya golongan muda kini menjurus ke arah parti pembangkang.

Beliau berkata, ia jelas dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, di mana Pakatan Harapan (PH) hilang kerusi apabila kawasan ditandingi mereka dipelopori bangsa Melayu.

"Kita tak nampak sokongan orang Melayu khususnya golongan muda kini kepada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) atau DAP.

"Keputusan PRN di Melaka dan Johor lalu jelas membuktikan sokongan Melayu tidak memihak kepada mereka apabila hilang kawasan yang mereka bertanding di mana kawasan terbabit majoritinya adalah bangsa Melayu Islam," katanya. (BH)


2. 'PRU-15 di antara Oktober hingga Disember ini' - Ahmad Maslan 

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menyertai demonstrasi sukan rakyat selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini, hari ini. NSTP/ FARID NOH

PONTIAN: UMNO yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan di antara Oktober hingga Disember ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, keyakinan disandarkan kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

"UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

"Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

"Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan 'Top Five' mengenai pembubaran Parlimen.

"Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum ke-15.... percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran)," kata Perdana Menteri semalam.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengesahkan pertemuan dan rundingan 'Top Five' UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

Katanya, walaupun 'Top Five' sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.

"Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan 'Top Five' secara tidak rasmi.

"Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat 'Top Five' diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

"Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi 'Top 5' di luar," katanya.

'Top Five' UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tentukan kemenangan PRU15 ini untuk Islam bukan macam PRU 14 lalu.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sunday, September 18, 2022

Munajat bagi capai kemenangan. Hayati 22 bulan ghuyup..

 


1. Terus bermunajat kepada Allah bagi capai kemenangan 

BALIK PULAU: Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sendainya Islam hanya sekadar menjaga hubungan dengan Allah, maka Rasulullah SAW tidak akan diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah.

Menurutnya, tetapi Islam adalah agama yang berkait rapat dengan hubungan sesama manusia, maka perintah hijrah menjadi bukti Islam merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan makhluk.

“Andai Islam hanya sekadar menjaga hubungan dengan Allah SWT, maka Rasulullah SAW tidak akan diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah tetapi Islam adalah merupakan agama yang turut berkait rapat dengan hubungan sesama manusia dan maka itulah perintah hijrah menjadi bukti Islam merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan makhluk bagi melengkapkan misi kerasulan Nabi SAW,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada ahli-ahli PAS kawasan Balik Pulau dan Zon Pulau dalam Program Solat Hajat Perdana dan Taujihat anjuran Dewan Ulamak PAS kawasan, kelmarin. Hadir sama ialah Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim.

Beliau turut menegaskan bahawa tugas sebagai jentera dakwah tidak hanya tertakluk kepada menyeru manusia kembali kepada Allah SWT, tetapi harus disertakan dengan melaksanakan hukum Islam lengkap yang perlu kepada kekuasaan.

Katanya, selain melakukan gerak kerja ke arah persediaan menghadapi pilihan raya, ahli PAS jangan sesekali melupakan munajat dan doa kepada Allah SWT demi meraih reda daripada-Nya.

Program munajat dan dialog tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat sunat hajat perdana yang telah dipimpin oleh Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Balik Pulau, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

Program diteruskan lagi dengan taujihat ringkas yang telah disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Zainal Othman.

Beliau juga mengingatkan ahli PAS berkenaan tunjang kepada jemaah yang berpaksikan tarbiah, dakwah dan siyasah serta menitipkan sedikit pesanan buat generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan jemaah Islam. – HARAKAHDAILY 18/9/2022


2. 'Hayati pengajaran pentadbiran 22 bulan, pastikan PH tidak berkuasa semula' 

Idris (tengah di atas motosikal) pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022, hari ini. - NSTP/ SAMADI AHMAD

PUTRAJAYA: Biarpun berdepan asakan politik termasuk didakwa sudah menjadi parti 'kafir' kerana bergandingan dengan UMNO, PAS mengulangi tekadnya untuk bekerjasama dengan semua parti Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Putrajaya.

Sambil menjelaskan ia meliputi kerjasama dengan BERSATU dan UMNO/Barisan Nasional (BN), Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata iktibar daripada pemerintahan PH yang dilihat sebagai gagal sebelum ini perlu direnung secara mendalam.

"Kita harus melihat kembali dan belajar daripada kegagalan pemerintahan PH selama 22 bulan, termasuk tidak mampu menunaikan manifesto kepada rakyat.

"Pengajaran sepanjang tempoh PH memegang tampuk pentadbiran sebelum ini yang turut ditolak oleh rakyat, perlu dihayati," katanya. 

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 di Dataran Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Program itu dijayakan 89 peserta membabitkan kelab permotoran dari sekitar Lembah Klang ke Pulau Pinang bertujuan menyantuni komuniti juvana; lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT); pesakit AIDS; penghidap HIV; serta orang kena pengawasan (OKP) dadah untuk bersama-sama mengisi slot usrah dan bergotong-royong.

Dalam pada itu, Idris turut membidas kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad yang menyifatkan PAS sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah.

Beliau menegaskan, PAS memang konsisten menentang rasuah dan tidak berkompromi dengan mana-mana pelaku.

Sebaliknya, Idris menyifatkan kenyataan Khalid itu seolah-olah menggambarkan pihaknya 'suci' dengan menuding jari kepada PAS, sedangkan pemimpin PH turut berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Bagaimanapun ketika ditanya berhubung dakwaan Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS kini adalah parti 'kafir' kerana bekerjasama dengan UMNO pula, Idris enggan memberi sebarang komen.

"Saya tidak mahu komen mengenai kenyataan Tun (Dr Mahathir). Jika ingin mendapatkan kenyataan lebih lanjut, boleh tanya Tun sendiri," katanya.

Semalam, Dr Mahathir melemparkan dakwaan itu terhadap PAS kerana bekerjasama dengan UMNO, parti yang dulu pernah 'dikafirkan' oleh pemimpin mereka.

Bekas Perdana Menteri itu yang menjadi pemimpin tertinggi UMNO ketika parti itu 'dikafirkan' oleh PAS, menegaskan selagi parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak 'menghapuskan' dakwaan dibuat terhadap UMNO sebelum ini, ia memberi gambaran PAS kini bukan lagi parti Islam. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimTerus bermunajat kepada Allah bagi capai kemenangan. Dan hayati pengajaran pentadbiran 22 bulan, pastikan PH tidak berkuasa semula.

PRU 15 ini, yang penting pastikan PH tidak berkuasa semula. Insya Allah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Dron dalam talian siap tahun depan. Hari M'sia.

 


1. Sistem UAS-TM untuk pantau penggunaan dron di Malaysia

PUTRAJAYA: Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) yang antaranya berfungsi mengawal selia penggunaan UAS atau, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Chester Voo berkata melalui sistem tersebut, pihak berkuasa akan dapat memantau operasi UAS dalam masa sebenar seterusnya membantu penguatkuasaan peraturan UAS dengan lebih berkesan.

“Proses membangunkan dan melaksanakan sistem UAS-TM ini telah bermula dan dijangka siap untuk operasi pada suku keempat 2023. Dua aspek penting dalam sistem UAS-TM ini ialah pendaftaran dan proses kelulusan penerbangan dron.

“Dengan adanya sistem UAS-TM, ia dapat memastikan kebertanggungjawaban operator UAS serta pembangunan ekosistem UAS atau dron yang selamat, berdaya maju dan efisien secara berterusan dengan pelbagai penggunaan aplikasi,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 September lepas dilaporkan berkata Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) akan dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.

Selain itu, Ismail Sabri berkata UAS-TM juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk menambahkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

Voo dalam pada itu berkata kewujudan kawasan penerbangan dron khusus adalah penting bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan yang selamat untuk dron.

“Pengenalan peraturan baru juga penting bagi membolehkan lebih banyak ruang untuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi khususnya dalam industri dron,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Technerve Technology Solutions Sdn Bhd, yang menawarkan perkhidmatan berasaskan pesawat tanpa pemandu, Muslim Abdullah Zaik berkata MDTAP30 akan membantu merancakkan lagi ekonomi berasaskan dron khususnya dalam bidang perkhidmatan dan komersial.

“Pembangunan sistem UAS-TM dilihat dapat membantu kelancaran penggunaan dron untuk tugasan kritikal… ia juga dapat melancarkan serta memendekkan masa yang diambil untuk pengendali dron mendapatkan permit operasi penerbangan,” katanya.

Ini kerana penggunaan dron secara meluas dalam rantaian nilai beberapa sektor khususnya pertanian, minyak dan gas serta tenaga ketika ini menghadapi beberapa cabaran khususnya untuk penerbangan jenis Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), katanya.

Dalam pada itu, Muslim berkata MDTAP30 adalah teras dalam memastikan negara mampu membangunkan ekosistem bakat teknologi dron dalam usaha merancakkan lagi ekosistem dron di negara ini.

“Keutamaan sekarang bukan sahaja kemahiran pengendalian dan penyelenggaraan dron tetapi pembangunan keilmuan asas dalam membangunkan teknologi sistem tanpa pemandu,” katanya. – BERNAMA

2. Selamat menyambut Hari Malaysia 

FIRMAN Allah SWT:
﴿ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Allah SWT menciptakan manusia dalam berbagai bangsa, suku dan puak yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Tujuannya supaya manusia sentiasa berkenalan (taaruf) antara satu sama lain.

Manusia secara fitrah hanya menyembah Allah SWT. Walau bagaimanapun, setelah lama tinggal di dunia, mereka mewujudkan pelbagai kefahaman dan ajaran yang baru sehingga menimbulkan kekacauan dan perpecahan.

Menurut al-Quran, manusia berasal daripada Adam dan Hawwa yang melahirkan anak yang ramai. Setelah sepuluh abad kewafatan Nabi Adam AS, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh AS bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Selepas itu lahirnya keturunan-keturunan yang bertebaran di muka bumi dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa.

Manusia secara fitrah juga diciptakan untuk bersatu-padu kerana Allah SWT menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan. Makanan diperolehi dengan bercucuk tanam atau memburu. Maka, manusia memerlukan alat bagi mendapatkan makanan dan sekelompok manusia yang mempunyai kepakaran dalam mencipta alat tersebut. 

Segala kerjasama dan hasil daripada setiap kelompok manusia itu dikumpulkan. Inilah yang dinamakan masyarakat madani yang saling bertaaruf dan bekerjasama melalui perkongsian kepakaran kaum dan bangsa masing-masing.

Hari ini kita menyambut Hari Malaysia ke-59 dengan penuh aman dan damai. Peristiwa bersejarah 16 September 1963 amat penting untuk dihayati bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera dengan semangat perpaduan antara kaum yang utuh.

Pembentukan Malaysia dalam meraikan masyarakat majmuk yang berbeza bangsa dan agama wajib dihormati, sebagai makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 16/9/2022


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

'PAS kini parti kafir' Dr M bangkitkan isu lapuk.

 

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin. - Foto fail BERNAMA

1. 'Sudah-sudahlah Dr Mahathir bangkitkan isu lapuk'

KUALA LUMPUR: Dakwaan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir PAS kini sudah menjadi parti kafir kerana bekerjasama dengan UMNO yang pernah dikafirkan hanya bertujuan mengeruhkan suasana menggunakan alasan sudah lapuk bagi memecah-belahkan usaha agenda penyatuan ummah sedang digerakkan parti itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, Dr Mahathir sepatutnya berhenti daripada berpolitik dengan membangkitkan isu yang sudah selesai dan tidak lagi berbangkit ketika ini.

"Soal kafir mengkafir sekarang sudah selesai dan tidak timbul lagi, jadi kenapa Dr Mahathir bangkitkan perkara yang sudah selesai, adakah beliau mempunyai niat suci dan bersih atau hanya untuk mengeruhkan suasana.

"Saya fikir beliau (Dr Mahathir) melakukan perbuatan untuk mengeruhkan suasana, berhentilah dan pandangan ke depan, tumpu kepada agenda perpaduan ummah," katanya kepada BH hari ini.

Hashim turut menyelar tindakan Dr Mahathir kerana isu itu sudah lama selesai.

"Kenapa dia nak ungkit balik? Ada tak mana-mana orang dan pemimpin Umno, terutamanya masih mendakwa seperti dia?. Bagi saya, PAS kata UMNO itu kafir sudah selesai, kalau dulu sembahyang dua imam, sekarang sudah tidak berlaku lagi," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa PAS kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Katanya, sehingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

"Parti PAS ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. ...dahulu PAS kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

"Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, ...dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin berkata, Dr Mahathir perlu berhenti bernostalgia kerana PAS tidak pernah mengkafirkan UMNO malah dalam Amanat Hj Hadi perkara itu tidak dibangkitkan.

Katanya, perkara itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin yang menjelaskan aqidah Islamiah dan perbincangan mengenai garis pemisah antara iman dengan kufur.

"Saya minta Dr Mahathir berhenti ....cukup-cukuplah membangkitkan perkara yang sudah berlalu sebaliknya fokus kepada isu semasa dan perpaduan ummah," katanya.

Mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samadyang menyatakan PAS kini sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah, Hashim menyifatkan kenyataan itu satu tuduhan jahat kerana dengki dengan agenda perpaduan ummah yang dibawa parti itu.

"Kita pegang UMNO itu sebagai organisasi dan ia tidak boleh dianggap parti itu rasuah hanya kerana ada seorang yang melakukan kesalahan itu. Kita tak boleh anggap semua dalam UMNO itu tidak betul.

"Kita berkawan dengan sesiapa saja, apabila bersalah makan orang itu salah dan kalah dan kita tidak berkawan dengannya.

"Seperti kes Datuk Seri Najib Razak, apabila beliau dihukum dan didapati bersalah oleh mahkamah, tiada orang PAS yang membela, menangisi, meratapi atau buat bising dan duduk buat kacau. Kita hormati keputusan, hukuman perlu dilaksana dan kita tidak ganggu, itu sikap kita, sangat tidak adil jika kita kata PAS bersekongkol dengan penjenayah," katanya.

Mengulas isu yang sama, Khairil Nizam berkata, beliau tidak mahu memberi komen kerana Khalid bukanlah pemimpin politik yang relevan untuk diulas kenyataannya.

2. PAS kini parti kafir, kata Tun Dr Mahathir 

Dr Mahathir pada Konvensyen Pejuanita Malaysia hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa PAS kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Dr Mahathir berkata, hingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

"Parti PAS ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. ...dahulu PAS kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

"Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran PAS, PAS sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama PAS itu adalah kafir," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia, 'Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara' di sini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada April 1981 melalui Amanat Haji Hadi dikatakan mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Namun pada 2019, PAS bekerjasama dengan musuh tradisinya, UMNO di bawah semangat 'perpaduan ummah' atas nama Muafakat Nasional (MN).

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan PAS yang dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, PAS kini dilihat seolah-olah sebuah parti yang oportunis dengan mengenepikan prinsip apabila peluang mendapatkan jawatan dan kedudukan 'terbentang' di hadapan mereka.

"Jadi kita tidak tahu apa sebabnya PAS ditubuh sama ada untuk Islam atau hendak jadi wakil rakyat dan menteri besar, ...jadi wakil rakyat dan menteri besar dapat gelaran YB, YAB dan dapat duit.

"Nampak tumpuan bukan pada Islam tetapi nak pegang jawatan untuk dapat duit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, pihaknya mengakui ramai pihak yang tampil menyuruhnya kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri kali ketiga sekiranya gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpinnya menang PRU15.

"Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh, ...waktu ini (saya) tidak buat keputusan apa-apa, saya tidak tolak dan tidak terima," katanya.

Mengenai pendaftaran GTA sebagai gabungan parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bekas perdana menteri itu berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu akan diputuskan ROS bulan depan.

Pihaknya mengharapkan pendaftaran itu dapat diluluskan secepat mungkin bagi memudahkan urusan gerak kerja bagi berdepan PRU15.

GTA sudah menyerahkan permohonan pendaftaran sebagai gabungan parti politik kepada ROS pada 6 September lalu.

Ketika ditanya adakah GTA akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, Dr Mahathir berkata, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang terbabit dengan rasuah atau 'bersubahat' menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

Semalam dalam catatan Minda Presiden, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PH berikutan pengalaman persefahamannya sebelum ini dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

Menurut Hadi, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.

Malah katanya, ia khusus membabitkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).

"Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat. Walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU14 kerana salah laku dan rasuah.

"Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

"Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman," katanya

Abdul Hadi berkata, dalam PH juga terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

Bahkan dakwanya, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi.

"Islam yang menjadi akidah perjuangan PAS menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. Maka, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.

"PAS tetap mempertahan hak Melayu, Bumiputera dan Islam termasuk bahasanya menjadi teras kepemimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

"Namun, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, PAS menentang teori 'Malaysian Malaysia' dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.

PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.

"Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik.

"Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat," katanya.

Justeru, Abdul Hadi berkata, pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada parti itu untuk mengenalinya secara lebih dekat.

"PAS juga pernah bertahaluf dengan pihak lain sama ada berhaluan kanan mahupun kiri, sejak sebelum merdeka sehingga selepasnya. PAS tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.

"Namun, PAS tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah. PAS tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi," katanya.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails