Sunday, November 27, 2022

Ini kisah sebenar, kemelut di sebalik proses pelantikan PM10..

 


Kisah di sebalik proses pelantikan PM10

SAYA tidak berniat untuk mengungkit apa yang telah berlaku. Bak kata orang, rumah sudah siap, pahat janganlah berbunyi. Biarlah rumah yang sudah siap itu didiami dengan aman oleh penghuninya.

Namun, saya terbaca beberapa tulisan yang tersebar di media sosial yang saya dapati faktanya adalah tidak tepat. Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa fakta mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam proses pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dari pengalaman dan pengamatan kaca mata saya sendiri. 

Pada 14 November 2022, saya telah dihubungi oleh Speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan kepada saya beliau telah dipertanggungjawabkan untuk memudahcara proses pelantikan Perdana Menteri selepas PRU-15. Beliau menjangkakan tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri dan dengan itu proses rundingan antara parti mesti dilaksanakan untuk memilih Perdana Menteri.

Pada malam 19 November 2022, iaitu malam keputusan PRU15 diumumkan, Speaker Dewan Rakyat sekali lagi menghubungi saya untuk memaklumkan proses yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Negara mengenai pelantikan Perdana Menteri. 

Pada malam itu, SPR mengumumkan PERIKATAN NASIONAL (PN) telah memenangi 73 kerusi, tidak termasuk 4 kerusi BERSATU yang ditandingi menggunakan logo GRS di Sabah, yang menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi adalah 77 kerusi. Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Barisan Nasional 30 kerusi. Ini menjadikan Tan Sri Muhyiddin antara front runner calon Perdana Menteri.

Pada malam yang sama, saya menerima pesanan menerusi whatsapp daripada Dato’ Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang menjelaskan secara terperinci proses pelantikan Perdana Menteri yang mesti dipatuhi. Saya jawab ringkas ucap terima kasih dan mengambil maklum.

Mesej Dato’ Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara ini saya bacakan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk makluman beliau. Kandungan mesej inilah yang Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebutkan secara umum semasa beliau membuat sidang media pada awal pagi 20 November 2022 setelah PN disahkan memenangi 73 kerusi Parlimen. Cuma beliau terkhilaf mengatakan telah menerima surat dari Istana Negara. Bukan surat, tetapi mesej whatsapp

Dokumen proses lantikan

Pada pagi 20 November 2022, saya menerima sepucuk surat daripada Speaker Dewan Rakyat yang secara rasminya memperincikan proses pelantikan Perdana Menteri. Ketua-ketua Parti diminta untuk mengemukakan surat sokongan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menyenaraikan Ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti tersebut yang memberikan sokongan. Bagi Ahli Dewan Rakyat bebas, mereka diminta mengemukakan Surat Akuan Berkanun. 

Calon Perdana Menteri pula mesti mengemukakan Surat Akuan Berkanun yang mengesahkan beliau telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan melampirkan surat dan dokumen yang berkaitan. Semua surat dan dokumen ini mesti dihantar ke Istana Negara melalui emel, fax atau whatsapp sebelum jam 2:00 petang, 21 November 2022.

Pada petang hari yang sama, saya menerima sepucuk surat lagi daripada Speaker Dewan Rakyat yang menghendaki setiap Ahli Dewan Rakyat mengemukakan Surat Akuan Berkanun. Surat daripada ketua parti sahaja tidak memadai.

Saya memaklumkan perkara ini kepada Setiausaha Eksekutif PN. Kebetulan Ahli-ahli Dewan Rakyat PN telah dipanggil untuk berkumpul di Glenmarie Resort, Shah Alam. Pesuruhjaya sumpah telah diatur untuk menyediakan surat-surat akuan berkanun untuk ditandatangani oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat PN.

Pada masa yang sama, 22 Ahli Dewan Rakyat GPS, 6 Ahli Dewan Rakyat GRS dan 1 Ahli Dewan Rakyat KDM yang menyokong TSMY sebagai Perdana Menteri juga telah diminta untuk menandatangani surat akuan. Selain itu, 10 Ahli Dewan Rakyat BN dan 2 Ahli Dewan Rakyat bebas juga turut menandatangani surat akuan secara berasingan.

Lompat parti?

Saya telah merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai kedudukan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN kerana mereka menandatangani surat akuan tanpa kebenaran daripada parti. Beliau menjelaskan kepada saya bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri, Ahli Dewan Rakyat secara individu mempunyai hak di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Kebenaran parti tidak diperlukan.

Saya juga ditunjukkan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang mengesahkan bahawa tindakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang bertentangan dengan arahan parti politik tidak dianggap bertukar parti dan beliau tidak terhenti daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Maka, surat akuan yang ditandatangani oleh 10 Ahli Dewan Rakyat BN itu adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Sokongan 114 ADR

Pada pagi 21 November 2022, sudah terkumpul 114 Surat Akuan Berkanun Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Staf Ibu Pejabat PN menyusun semua dokumen ini dan membuat semakan akhir di hadapan saya. Pada pukul 1:28 petang, Setiausaha Eksekutif PN telah menghantar semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi emel dan whatsapp

Berdasarkan maklumat awal yang saya terima daripada pihak Istana Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dijangka membuat semakan dokumen-dokumen yang dihantar pada jam 2.30 petang dan jika baginda berpuas hati, majlis mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 akan diadakan pada jam 4:00 petang hari yang sama.

Pada masa itu, saya hampir pasti Tan Sri Muhyiddin akan dipanggil menghadap untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Namun, lebih kurang jam 1:30 petang saya mendengar pengumuman mengenai pelanjutan tempoh masa penyerahan dokumen-dokumen tersebut ke Istana Negara sehingga jam 2:00 petang keesokannya, iaitu penangguhan selama 24 jam. 

Sebelum itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan beberapa orang pimpinan PH telah pergi ke Hotel Seri Pacific di mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN, dan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN berkumpul. Susulan pertemuan itu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Sementara telah membuat kenyataan media meminta pelanjutan masa penyerahan dokumen-dokumen yang berkaitan ke Istana Negara. Perdana Menteri Sementara juga dilaporkan oleh media telah mengadap YDPA pada petang itu.

Selepas itu, saya mendengar khabar angin bahawa 10 Ahli Dewan Rakyat BN telah diarah untuk menandatangani surat menarik balik sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin. Namun, saya diberitahu mereka masih ‘intact’ menyokong Tan Sri Muhyiddin. Sekiranya mereka dipanggil menghadap oleh YDPA, mereka akan menyembah maklum kepada YDPA bahawa mereka menyokong Tan Sri Muhyiddin.

Ini kerana mereka sedar bahawa jika mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mereka akan ditolak oleh akar umbi Umno sendiri.

Mendengar penjelasan ini, saya percaya bahawa pada ketika itu Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti, walaupun ada khabar angin sebaliknya.

Keesokannya, PN menghantar satu lagi surat akuan ke Istana Negara menjadikan jumlah keseluruhan surat akuan 115.

Mengatur pertemuan PN-BN

Dalam perkembangan yang lain, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung BN, menghantar pesanan whatsapp ringkas ‘salam’ kepada saya pada jam 12 pagi, 21 November 2022. Saya tidak membaca pesanan ini kerana mungkin telah tertidur.

Pada tengahari 21 November 2022, SUA BN menghubungi saya memberitahu bahawa wakil-wakil BN ingin berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin dan wakil-wakil PN di Hotel Seri Pacific. Tujuannya ialah untuk mendengar apa tawaran PN kepada BN jika BN bersetuju membentuk kerajaan bersama PN. BN telah pun mendengar tawaran PH. 

Saya bertanya SUA BN adakah hal mengenai kes mahkamah Presiden Umno akan dibincangkan. Beliau jawab tidak. Saya beritahu SUA BN yang saya akan merujuk perkara ini kepada Majlis Tertinggi PN. 

Pada malam 21 November 2022, saya menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PAS yang menyampaikan pesanan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) supaya perjumpaan dengan wakil-wakil BN disegerakan. Lalu saya menghantar pesanan whatsapp kepada Tan Sri Muhyiddin menyampaikan pesanan TGHH. Beliau membaca mesej saya pada jam 6:30 pagi keesokannya dan membalas ringkas ‘Boleh jumpa’. 

Saya terus menghantar mesej kepada SUA BN memaklumkan Tan Sri Muhyiddin sedia berjumpa pada tengahari. Perjumpaan ini diminta diadakan di ‘neutral ground‘. Masa yang ditetapkan ialah jam 1:00 tengahari dan kemudiannya atas sebab tertentu ditunda ke jam 3:00 petang.

Lebih kurang jam 2:30 petang, Setiausaha Sulit Kanan Kepada YDPA menghubungi saya memaklumkan Tan Sri Muhyiddin dititah menghadap pada jam 4:15 petang di Istana Negara. Lalu saya menghubungi SUA BN memaklumkan pertemuan pada jam 3:00 petang terpaksa ditunda ke suatu masa lain.

Tiada majoriti

Dalam sesi menghadap yang turut dihadiri oleh TGHH, Tan Sri Muhyiddin diberitahu bahawa beliau tidak memperolehi sokongan majoriti. Dikatakan 10 Ahli Dewan Rakyat BN telah menarik balik sokongan kepada beliau. Pengerusi BN sebaliknya telah menghantar surat kepada YDPA menyatakan 30 Ahli Dewan Rakyat BN menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri.  Namun tiada Surat Akuan Berkanun yang dikemukakan seperti yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara. 

DSAI dikatakan mempunyai 86 surat akuan berkanun yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri, sementara Tan Sri Muhyiddin mempunyai 105 surat akuan berkanun (setelah ditolak 10 yang dikatakan telah tarik balik sokongan). 

Oleh kerana terdapat keraguan, Tan Sri Muhyiddin mencadangkan supaya Istana Negara memanggil 10 orang Ahli Dewan Rakyat BN tersebut untuk mengadap YDPA bagi mengesahkan apa pendirian mereka yang sebenarnya. Ini juga kaedah yang sering digunapakai untuk memastikan seorang calon Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti jika terdapat keraguan. Cadangan ini diperkenankan oleh YDPA.

Tan Sri Muhyiddin kemudiannya dikemukakan dengan cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan. Beliau menyembah maklum kepada YDPA bahawa kerjasama dengan PH adalah bertentangan dengan dasar PN dan mandat pengundi. Oleh itu, beliau tidak boleh bersetuju dengan cadangan tersebut. Pendirian ini turut dipersetujui oleh TGHH.

Tan Sri Muhyiddin juga diberitahu bahawa DSAI juga berada di Istana Negara dan perancangannya ialah selepas itu akan diadakan perbincangan antara beliau dan DSAI. Tetapi oleh kerana Tan Sri Muhyiddin tidak  bersetuju dengan cadangan tersebut, beliau telah meminta izin daripada YDPA untuk beredar dari Istana Negara dan pulang ke rumah. 

Sebelum beredar, Tan Sri Muhyiddin telah diminta menandatangani perjanjian ‘Kerajaan Perpaduan’ yang antara kandungannya ialah penggiliran jawatan Perdana Menteri. Beliau menurunkan tandatangan dan menyatakan tidak bersetuju.

Pada petang itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan 30 Ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada jam 10 pagi keesokannya. Pada masa ini saya masih menaruh harapan bahawa Tan Sri Muhyiddin boleh mendapat sokongan majoriti sekiranya benar Ahli-ahli Dewan Rakyat BN menyembah maklum kepada YDPA bahawa mereka sebenarnya menyokong Tan Sri Muhyiddin. 

Syarat BN

Pada malam 22 November 2022, telah diatur pertemuan antara wakil-wakil PN dan wakil-wakil BN di Hotel St Regis Kuala Lumpur. Wakil-wakil PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin telah menunggu, tetapi wakil-wakil BN tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya ada ‘miscommunication‘.

Saya hubungi semula SUA BN pada malam itu dan dicadangkan pertemuan dengan wakil-wakil BN diadakan pada jam 10 pagi keesokannya. Saya bertanya bukankah Ahli-ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada masa yang sama? Saya diberitahu BN telah memohon supaya sesi menghadap tersebut ditangguhkan.

Pada pagi keesokannya, saya dimaklumkan oleh SUA BN bahawa perjumpaan dengan wakil-wakil BN terpaksa ditangguhkan ke jam 3:00 petang. Ini kerana beberapa wakil BN yang terlibat dalam perbincangan dengan PN dititah menghadap YDPA pada jam 10:00 pagi.

Turut dipanggil menghadap pagi itu ialah wakil-wakil GPS. YB Datuk Seri Fadzillah yang mewakili GPS membuat kenyataan selepas sesi menghadap tersebut bahawa GPS kekal menyokong TSMY, tetapi menyerahkan kepada budi bicara YDPA untuk membuat keputusan mengenai siapa yang diperkenankan oleh baginda untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam perbincangan dengan wakil-wakil BN yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN (Pengerusi BN tidak hadir) pada petang 23 November 2022, BN telah mengemukakan beberapa pernyataan hasrat berhubung cadangan kerjasama dengan PN. Pernyataan hasrat ini berkisar mengenai jawatan-jawatan di dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, pelantikan Senator, Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC dan badan-badan berkanun serta beberapa perkara lain berhubung kerjasama dalam pilihan raya negeri.

Tan Sri Muhyiddin memberi respon bahawa PN secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan jawatan-jawatan tersebut dengan beberapa cadangan balas. Secara berseloroh, Tan Sri Muhyiddin mengingatkan mereka bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau sendiri menjemput pimpinan MCA dan MIC untuk berada di dalam Kabinet, walaupun nama mereka tiada di dalam senarai. Malah, jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri juga selepas itu diberikan kepada Umno. Perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra dan nampak positif.

Timbalan Pengerusi BN memaklumkan bahawa beliau akan melaporkan hasil perbincangan ini dalam Mesyuarat MKT Umno pada sebelah malamnya. Lanjutan daripada perbincangan ini, SUA PN telah menulis sepucuk surat kepada Timbalan Pengerusi BN menyatakan beberapa cadangan balas PN yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut untuk dipertimbangkan oleh MKT Umno dan MT BN.

Keputusan MKT Umno

Namun, pada malam 23 November 2022, SUA Umno telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan MKT Umno yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Tanpa PERIKATAN NASIONAL. Ini bermakna, Umno telah membuat keputusan untuk menyertai kerajaan yang diterajui oleh PH. Mengikut kefahaman saya, Ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti Umno mestilah terlebih dahulu menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri, barulah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang diterajui oleh PH boleh ditubuhkan. Saya tidak pasti sama ada mereka menandatangani apa-apa Surat Akuan Berkanun menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan ke atas Tan Sri Muhyiddin.

Keesokannya, Majlis Raja-raja mengadakan perbincangan di Istana Negara. Hasil perbincangan tersebut, DSAI telah diperkenankan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Inilah catatan peristiwa daripada pengalaman dan pengamatan saya secara peribadi yang terlibat secara langsung di pihak PN dalam proses pelantikan Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Mudah-mudahan pahat tidak lagi berbunyi. Mudah-mudahan tuduhan-tuduhan yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin derhaka, sombong dan tidak mahu berunding tidak kedengaran lagi. Mudah-mudahan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjalankan tugasnya dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab menggendong amanah agama, bangsa dan negara. 

Kami telah melakukan yang sehabis baik mengikut peraturan dan kehendak Perlembagaan Persekutuan dalam melengkapkan proses pelantikan Perdana Menteri Ke-10 sepertimana yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara. Berbekalkan tawakal dan sangka baik, kami reda.

MARZUKI MOHAMAD – HARAKAHDAILY 27/11/2022

Sumber asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0Rh8PQ7NR2LmdQZE53bqjwxLF3q6GVaQB17JBFHPYqEHu3o714s4TUKsMaHbv7PZbl&id=679581100&mibextid=Nif5oz

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini kisah sebenar, kemelut di sebalik proses pelantikan PM10..

Insya Allah, al-hamdulillah. Ada hikmah! Perjuangan menegakkan keadilan Islam di muka bumi ini, tidak akan berakhir, selagi hayat dikandung badan.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Lelong lelong, Indonesia jual pulau! Jokowi & Anwar. Tahap agama?

 

Antara gugusan kepulauan Rizab Widi, Indonesia. - Foto ihsan Sotheby's

1. Gugusan pulau di Indonesia dilelong

JAKARTA: Terletak di tengah-tengah kawasan marin terlindung seluas 315,000 hektar, Rizab Widi, menempatkan lebih seratus pulau Indonesia, yang didiami ratusan spesies mamalia marin, ikan dan burung yang jarang ditemui, kebanyakannya dilindungi.

Untuk memelihara ekosistem yang dianggap sebagai salah satu habitat paling terpelihara di dunia, gugusan pulau berkenaan akan satu dilelong oleh Sotheby's tetapi bakal pembeli dikenakan pelbagai syarat ketat dan hak pembangunan amat terhad.

Bayangkan, 150 kilometer (km) pantai berpasir putih dengan air berwarna biru ke biru tua, di mana anda dapat melihat banyak ikan berwarna-warni, penyu atau mamalia laut.

Di sini, lebih daripada seratus kepulauan tidak berpenghuni dan sama sekali tidak disentuh oleh kegiatan manusia selama ini.

Selamat datang ke Rizab Widi, di tengah-tengah kawasan geografi yang dikenali sebagai Segi Tiga Karang di bahagian timur Indonesia.

Paus biru dan jerung paus sering menghampiri garis pantai, manakala lebih daripada 600 spesies mamalia marin, ikan dan burung membentuk satu-satunya landskap yang belum terjejas, malah terdapat spesies yang mungkin belum ditemui.

Lelongan itu bukan tentang menjadikan Rizab Widi sebagai tempat tumpuan pelancongan baharu yang bergaya, sebaliknya ia turut menjadi sebahagian daripada projek bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk memelihara biodiversiti unik ini.

Meliputi kawasan seluas 10,000 hektar, kepulauan itu menjadi ujian kepada Indonesia bagi membuktikan sama ada manusia mampu hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

Malah, pembeli yang mahu membangunkan hotel di gugusan pulau ini hanya diberi hak pembinaan terhad dan perlu mematuhi keperluan persekitaran tertentu.

Sebagai contoh, hak pemaju pada masa ini hanya dibenarkan membuka 500 bilik yang tersebar di 17 pulau, tanpa menjejaskan ekosistem dan habitat semula jadi sedia ada.

Biasanya, pihak berkuasa Indonesia tidak membenarkan pembeli asing membeli pulau, namun sebagai jalan keluar dalam kes ini, lesen eksklusif untuk pembangunan dan pengurusan Rizab Widi dipegang oleh syarikat induk bernama PT.

Justeru, lelongan yang diadakan pada 8 hingga 14 Disember di New York itu sebenarnya menawarkan pembida peluang untuk menjadi pelabur dalam syarikat Indonesia berkenaan, sekali gus menguasai rizab alam semula jadi yang ditawarkan.

Pelan pembangunan hotel sudah pun dirangka dan berbentuk eko-lodge, yang direka oleh Bill Bensley, seorang arkitek Amerika Syarikat (AS) yang terkenal dengan projek mewahnya.

Selain itu, pembeli perlu membuktikan mereka mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli permata alam ini, kerana deposit pembida sebanyak AS$100,000 (RM448,000) diperlukan untuk mengambil bahagian.

Walaupun hasrat untuk memelihara biodiversiti adalah terpuji, Rizab Widi ini hanya mengambil masa selama dua setengah jam penerbangan dari Bali.

Oleh itu, landasan udara diperlukan untuk membolehkan orang ramai tiba di destinasi yang luar biasa ini.

Projek pembangunan untuk landasan sepanjang 1,000 meter sudah pun dirancang untuk membolehkan jet peribadi mendarat. - AGENSI


2. Jokowi ketua negara pertama ucap tahniah pelantikan Anwar 

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi (kanan) menjadi ketua negara pertama yang menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menjadi ketua negara pertama yang menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar berkongsi perkembangan itu di Facebook miliknya, malah menggambarkan hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai sahabat sejati yang terjalin sejak sekian lama.

"Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo, yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

"Saya tegaskan Indonesia adalah sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan perdagangan, perniagaan, pelaburan, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada jam 5.06 petang.

Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri.


3. Tahap ke Islaman keluarga Jokowi. Kisah cinta menantu beliau Erina Gudono-Kaesang Pangarep jadi perhatian! 

Erina dan Kaesang kini sedang sibuk menguruskan persiapan akhir menjelang hari bahagia mereka awal bulan depan. - Foto Majalah Nona

NAMPAKNYA Presiden Indonesia, Joko Widodo bakal menerima kehadiran menantu baharu di kediamannya tidak lama lagi. Anak ketiganya, Kaesang Pangarep bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hatinya, Erina Sofia Gudono. 

Majlis perkahwinan pasangan ini dijangka diadakan pada awal Disember 2022 yang akan datang.

Menyingkap biodata bakal menantu Presiden Indonesia ini, bukan calang-calang orangnya. Erina Gudono dilahirkan di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 11 Disember 1996 kini menginjak usia 25 tahun. Erina merupakan lulusan Universitas Gadjah Mada (UGM) dalam jurusan Business Administration pada tahun 2018.

Gadis ini turut melanjutkan pelajaran ke luar negara dan menamatkan pengajian di Columbia University pada tahun 2021. Siapa sangka, gadis ini juga pernah terlibat dalam Pertandingan Puteri Indonesia 2022 di mana dia terpilih menjadi finalis Puteri Indonesia 2022 mewakili provinsi (daerah) Yogyakarta.

Dari segi kerjaya, gadis ini juga menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kerjaya yang dipilihnya. Erina pernah diterima bertugas di Bank Indonesia serta memegang jawatan sebagai Assistant Manager Apprenticeship mulai tahun 2020 hingga Julia 2021 yang lalu. Kini, Erina bertugas sebagai Asia Analyst di JP Morgan Indonesia.

Komen Weblog Ibnu HasyimLelong lelong, Indonesia jual pulau! Jokowi & Anwar. Tahap agama?

Lelong lelong, Indonesia jual pulau! Tetapi secara terhormat. Di Malaysia kononnya ada, kes Pulau Batu Putih. Kerana induknya Pulau Singa sudah hanyut, terkeluar dari Malaysia.

Beranikah PM baru Malaysia tuntut balik?

Sekian.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Israel-M'sia Jalin Hubungan Lebih Erat. & Anwar PM tak sampai 22 bulan?

 

1. Israel Boleh Jalin Hubungan Lebih Erat Dengan Malaysia

TEL AVIV, 26 November 2022 – “Tidak seperti pendahulunya Mahathir, PM Malaysia yang baharu, Anwar Ibrahim tidak menggelar dirinya sebagai ‘antisemit’; musuh-musuhnya menghinanya sebagai ‘ejen’ Yahudi dan/atau Kristian. Israel sangat berharap akan hubungan yang lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkinkah ini peluang?”

Ini merupakan kenyataan dari Esther Solomon, Ketua Editor Haaretz di Twitternya. Haaretz merupakan sebuah portal yang menyampaikan berita-berita berkaitan rejim haram apartied Israel.

Memetik laporan dari portal itu, pada tahun 2013, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapat kecaman dalam negara kerana menyokong penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.

Pada waktu itu, beliau memberitahu Wall Street Journal bahawa beliau memihak kepada “usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel” dan pada masa yang sama menyokong “hak sah rakyat Palestin.”

“Ada yang enggan mengiktiraf negara Israel tetapi saya fikir dasar kita harus jelas – melindungi keselamatan [Israel] tetapi anda mesti tegas dalam melindungi kepentingan sah rakyat Palestin,” katanya kepada Wall Street Journal, menurut Haaretz.

Ini adalah kenyataan penting daripada ahli politik kanan di negara yang pasportnya menyatakan “sah untuk semua negara di dunia, kecuali Israel,” tambah portal rejim haram aparteid itu lagi.

Berikutan kecaman yang diterima, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau tidak akan menjalinkan hubungan diplomasi dengan Israel sehinggalah ia benar-benar menyokong cita-cita rakyat Palestin.

“Walaupun kenyataannya bercampur-campur, Anwar Ibrahim pastinya lebih terbuka kepada Israel berbanding Mahathir yang berhaluan keras, yang berpotensi memberi peluang kepada Israel untuk memperbaiki hubungan sedikit sebanyak,” kata portal itu lagi.
....
https://www.samudera.my


2. Kedudukan Anwar PM tak lama mungkin tak sampai 22 bulan - Ada 'Langkah Tropicana' 

Biasanya cakap politik jangan percaya sangat.. terutama penafian. Anggap ini benar dan tunggu buah akan gugur

Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup semalam yang melibatkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor.

Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya kepada Malaysiakini.

Khabar angin berhubung perjumpaan di Tropicana Golf Resort yang diberi julukan ‘Langkah Tropicana’ itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakan ketika pertemuan itu.

Sepuluh pemimpin BN dan PAS dikatakan terlibat pertemuan itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan bekas ketua Umno bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz. (1Media.my)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Israel-M'sia Jalin Hubungan Lebih Erat.  & Anwar PM tak sampai 22 bulan?

Apa akan jadi negara kita, menuju kehancuran?

....

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Eropah mogok, protes.. Ekonomi K'tan pertumbuhan positif

 

Pekerja Royal Mail mengadakan protes menuntut kenaikan gaji di depoh pos di London, Britain. - Foto EPA

1. Sebahagian besar Eropah hadapi mogok, tunjuk perasaan, protes

LONDON: kemelesetan ekonomi global kini mengakibatkan sebahagian besar negara Eropah menghadapi tunjuk perasaan, mogok pekerja dan protes kerana kenaikan kos sara hidup yang tidak selaras dengan gaji pekerja.

Di Britain, bulan depan, jururawat di seluruh negara akan mengadakan mogok pertama dalam sejarah 106 tahun kesatuan mereka, menyertai sebilangan besar pekerja United Kingdom (UK) lain yang mengambil tindakan industri berhubung gaji.

Kakitangan di England, Wales dan Ireland Utara akan memulakan mogok pada 15 dan 20 Disember ini, selepas Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) berkata kerajaan menolak tawaran untuk mengadakan rundingan.

Selain itu, kira-kira 400 kakitangan penghantaran makanan segera Best Food Logistics milik Tesco mengundi untuk mengadakan mogok membabitkan gaji, kata kesatuan GMB pada Khamis lalu.

Pekerja pos UK pula akan melancarkan mogok enam hari menjelang Krismas selepas Kesatuan Pekerja Komunikasi menolak tawaran gaji daripada Royal Mail.

Lebih 70,000 kakitangan di universiti dan guru British di Scotland mengadakan bantahan Khamis lalu untuk menuntut gaji yang lebih baik.

Ribuan pekerja kereta api Britain akan melanjutkan mogok dalam tempoh dua bulan akan datang membabitkan pertikaian lama mengenai gaji, sekali gus memberi petanda gangguan perjalanan sebelum dan selepas tempoh cuti Krismas. 

Penumpang terkandas di Stesen Waterloo di London, Britain, selepas kesatuan ASLEF mewakili pemandu kereta api mengadakan mogok menuntut gaji lebih tinggi. - Foto AFP

Ratusan pekerja di syarikat keselamatan Britain G4S mengundi untuk mogok selama 48 jam pada awal Disember ini dalam pertikaian mengenai gaji, memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan kekurangan aliran wang tunai ketika Krismas.

Exxon Mobil pula berkata keluaran 390,000 tong sehari (bpd) kilang penapisan minyak Fawley di selatan England tidak terjejas oleh tindakan mogok yang bermula 21 November lalu dan dijadualkan hingga 2 Disember ini.

Ribuan penjawat awam Britain merancang satu bulan 'tindakan industri yang berterusan' sepanjang musim sejuk susulan pertikaian gaji yang berterusan, kata kesatuan Perkhidmatan Awam dan Komersial pada 18 November lalu, selepas undian mogok terbesar dalam sejarahnya.

Di Jerman, Volkswagen bersetuju terhadap perjanjian gaji dua tahun bagi kira-kira 125,000 pekerja di kilangnya di barat Jerman, menawarkan kira-kira 8.5 peratus lebih bayaran gaji - di bawah kadar inflasi tetapi lebih banyak daripada tawaran majikan lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

Ahli Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) memegang sepanduk ketika protes menuntut kenaikan gaji, pencen dan suasana kerja lebih baik di Manchester, Britain. - Foto EPA

Kesatuan IG Metall Jerman bersetuju terhadap perjanjian gaji di bawah inflasi di wilayah kuasa besar dan menetapkan penanda aras untuk 3.9 juta pekerja sektor logam serta elektrik di seluruh negara.

Kesatuan sekerja Verdi berkata ia mencapai perjanjian gaji dengan syarikat tenaga RWE untuk kira-kira 18,000 pekerja termasuk bayaran sekali gus 3,000 euro (RM13,997) dan kenaikan gaji sekurang-kurangnya enam peratus mulai 1 Februari depan.

Lufthansa dan kesatuan UFO mencapai perjanjian gaji untuk 19,000 anak kapal kabin, menurut syarikat penerbangan Jerman itu.

Pengeluar kereta Jerman Audi memilih menawarkan pekerja bayaran sekali gus saja tanpa cukai dan bukannya kenaikan gaji tetap, kata pengarah sumber manusianya. 

Pekerja sektor tekstil Inditex, merangkumi pemilik logo fesyen Zara, Pull and Bear, Bershka, Stradivarius, Massimo Dutti dan banyak lagi, mengadakan protes anjuran Kesatuan CIG di La Coruna, Sepanyol. - Foto EPA

Di Belanda, BP berkata rancangan memulakan semula kilang penapisan besarnya di Rotterdam selepas ia ditutup kerana masalah teknikal, ditangguhkan selepas kesatuan sekerja berkata mereka tidak akan membantu dengan perkhidmatan kerana pertikaian gaji

Di Perancis, kesatuan sekerja UNAC dan SNGAF berkata mereka menggesa tindakan mogok atas keadaan kerja di Air France ketika cuti Krismas dari 22 Disember ini hingga 2 Januari depan.

Di Sepanyol, kumpulan kesatuan sekerja yang mewakili pembantu kedai di peruncit fesyen Zara melancarkan mogok dua hari membabitkan gaji ketika jualan 'Black Friday' pada 24 November dan 25 November di kedai di bandar syarikat itu diasaskan, di A Coruna, utara Sepanyol.

Syarikat Insurans Mapfre akan membayar bonus 400 euro (RM1,866) sekali gus pada Krismas kepada kira-kira 10,000 pekerjanya di Sepanyol untuk membantu mereka menghadapi inflasi yang melambung tinggi, selepas memberikan bonus 350 euro (RM1,633) pada bulan Julai. 

Penunjuk perasaan berarak ketika bantahan di Tolouse, Perancis selepas dua kesatuan sekerja utama, CGT dan FO, menuntut gaji lebih tinggi. - Foto AFP

Ribuan rakyat Sepanyol memenuhi dataran Plaza Mayor yang terkenal di Madrid bagi menuntut gaji lebih tinggi, dalam protes besar-besaran pertama negara itu sejak bermulanya krisis kos sara hidup.

Di Portugal, ribuan doktor, jururawat, guru dan penjawat awam Portugal keluar untuk menuntut kenaikan gaji ketika inflasi melambung tinggi di negara itu.

Di Austria, pekerja logam akhirnya memperoleh purata kenaikan gaji tahunan tujuh peratus melebihi kadar inflasi 6.3 peratus untuk tempoh rundingan, yang mungkin menjadi tanda aras bagi sektor lain. - REUTERS


2. Prestasi ekonomi Kelantan catat pertumbuhan positif 

KOTA BHARU: Prestasi ekonomi Kelantan mencatat pertumbuhan positif dan lebih baik pada tahun 2021 berdasarkan nilai dan kadar pertumbuhan KDNK.

KDNK Kelantan pada tahun 2021 ialah RM25.8 bilion meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada tahun 2020 pada nilai RM25.2 bilion.

Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu RM17.8 bilion (68.91 peratus) diikuti sektor pertanian RM5.9 bilion (23.1 peratus),
pembuatan RM1.3 bilion (4.5 peratus), pembinaan RM401 juta (1.6 peratus) dan Sektor Perlombongan dan Pengkuarian RM359 juta (1.4 peratus).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, KDNK Kelantan dijangka terus mengukuh dan berkembang secara positif selari dengan unjuran perkembangan ekonomi negara.

“Tumpuan sentiasa diberi untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran dan kewangan, mentransformasikan pengurusan pungutan hasil, perbelanjaan berhemah dan melaksanakan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri yakin dapat mencapai objektif Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan: Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan 2016-2025 dalam tempohnya,” kata beliau ketika membentang Belanjawan Kelantan 2023 bertema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera pada sidang Dun hari ini.

Belanjawan Kelantan 2023 memperuntuk sejumlah RM1.62 bilion bagi membangunkan ekonomi negeri secara inklusif meliputi segenap lapisan rakyat yang menjurus kepada enam teras.

Teras tersebut iaitu kewangan teguh, lestari, cakna rakyat, kebajikan, memakmurkan ekonomi, galakan pelancongan dan pembangunan modal insan.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri yakin enam teras tersebut akan menjadikan Belanjawan Kelantan 2023 lebih realistik, peka persekitaran ekonomi semasa, mewujudkan lebih banyak inisiatif kepada rakyat dan melindungi kebajikan golongan yang terkesan.

“Jumlah Belanjawan 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak RM112.53 juta atau 7.45 peratus berbanding Belanjawan 2022 yang memperuntukkan RM1.51 bilion,” ujarnya.

Belanjawan itu meliputi perbelanjaan mengurus RM1.15 bilion dan RM474.61 juta diperuntuk untuk pembangunan. – HARAKAHDAILY 24/11/2022


3. 4 lagi bandar baharu dirancang tempoh lima tahun 

KOTA BHARU: Kelantan merancang mewujudkan empat lagi bandar baharu bagi memenuhi keperluan penduduk dan peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekarang dalam proses permulaan kerja-kerja awal untuk melaksanakan projek perimpak tinggi tersebut.

Katanya, bandar baharu terbabit iaitu Madinah Salam, Tunjung; Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS), Machang; Bandar Dato’ Bentara, Gua Musang dan Taman Industri Tok Bali.

“Ini merupakan kejayaan dan kemajuan khususnya dalam aspek pembangunan wilayah yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh 2018 sehingga 2022.

“Selain itu dalam tempoh ini banyak kejayaan yang merangkumi aspek kewangan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan beberapa aspek lain,” katanya menjawab soalan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) pada sidang Dun hari ini.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri berjaya meningkat prestasi perbendaharaan menerusi kaedah pelaksanaan dan penjimatan.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri juga berjaya mengekalkan status perbelanjaan negeri ‘surplus’ sejak tahun 2018.

“Kita berjaya mengukuhkan prestasi kewangan dengan peningkatan kutipan hasil dan mengukuhkan perbelanjaan secara berhemat.

“Selain itu mengekalkan belanjawan secara lebihan (surplus) bermula 2018 dan insyaAllah tahun ini pun jangkaan kita akan perolehi bajet lebihan,” katanya.

Dalam bidang pendidikan kata beliau antara yang dibanggakan kejayaan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra mendapat pengiktirafan sebagai Kolej Universiti. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Eropah mogok, tunjuk protes.. Ekonomi K'tan pertumbuhan positif.

Manusia boleh merancang, tapi Allah Maha Perancang!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails