Monday, November 28, 2022

Pandangan, bukan-Muslim ini.. Dipalit kes mahkamah. & baik+jahat?

 


1. Berubah pandangan seorang bukan-Muslim terhadap PAS

MALAM ini adalah salah satu malam yang paling bermakna bagi saya.

Kerana posting saya sebelum ini mengenai PAS, saya telah dijemput oleh sekumpulan Pemuda PAS untuk sesi minum kopi di Starbucks Solaris Serdang.

Sejujurnya saya tidak pernah mempunyai ramai kawan dari PAS. Jadi saya tidak pasti apa yang diharapkan.

Adakah mereka akan tampil berkopiah dan berjubah ‘ekstremis’ seperti yang digambarkan ramai?

Adakah mereka akan cuba menyampaikan ideologi mereka kepada saya?

Mengapa saya perlu bimbang – lagipun saya seorang yang sangat berpendirian, dan saya seorang yang berbangga dengan pendapat saya, sama ada mereka bersetuju dengan orang lain atau tidak.

Saya seorang yang mengamalkan Buddha juga, bermeditasi dan sentiasa mengkaji setiapnya. Jadi saya pergi menemui mereka dengan hati terbuka.

Wah. Sejurus selepas ice breaking, saya berasa malu dengan keraguan saya sebelum ini.

Dua orang profesor telah hadir, bukan dari di Universiti Islam! Yang di sebelah kiri saya Kuliah Kejuruteraan dalam MMU dan merupakan graduan dari UCL. Dua akauntan dengan seorang ahli ICAEW. Empat PhD, dan penasihat ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu.

Saya berasa sangat rendah diri mengenali diri mereka.

Kemudian, mereka cuba menjelaskan, berdasarkan apa yang saya katakan, dan bertanya sama ada saya boleh memberi lebih banyak input untuk membantu memahami nasib bukan-Islam dengan lebih baik.

Sangat merendah diri, sehingga mereka tidak pernah membantah tanpa terlebih dahulu memastikan bahawa mereka difahamkan dengan secukupnya.

Mereka berkata seperti “Zee Kin, itu agak sukar untuk diterima, kami akan memahami dari pandangan anda! Bantu kami memahami.”

Selanjutnya, mereka cuba menjelaskan pendirian mereka terhadap rasuah, amalan buruk dan sebagainya. Saya berasa rendah diri dengan komitmen mereka.

Kami tidak berakhir dengan persetujuan penuh tentang bagaimana negara harus bergerak ke hadapan, tetapi saya pastinya menyokong penuh matlamat murni mereka untuk mendapatkan Malaysia yang bersih, bermoral dan selamat.

Saya tidak pernah merasa begitu erat, dihormati, dan disahkan kerana bersuara secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih. Saya tidak pernah rasa diterima begitu.

Guys, especially the non-Muslim, you kena jumpa orang PAS untuk kenal PAS. Mereka adalah jenis orang yang baik hati, rendah hati, dan sabar.

Ia sangat sukar dipercayai. (Jam) 9:30 malam hingga 12:30 pagi berlalu macam tu je.

Saya akhirnya terpaksa meminta maaf kepada mereka kerana kurang sopan – saya terlalu teruja dan akibatnya, apabila direnung, berkelakuan agak merendahkan.

Tolong kawan. Jika anda ingin menyamaratakan parti sebagai apa-apa, anda mesti sekurang-kurangnya melibatkan diri dengan mereka sekali, secara peribadi terlebih dahulu.

Mereka mengubah pandangan saya. Dan saya percaya, selepas hari itu, kebanyakan ahli dan penyokong PAS adalah seperti mereka yang saya temui malam ini.

Malam untuk diingati. Wah. Hanya wow.

TAI ZEE KIN – HARAKAHDAILY 28/11/2022

**terjemahan bebas daripada teks asal dalam bahasa Inggeris

Sumber asal: https://www.facebook.com/521730305/posts/pfbid0f2Z7re3RaPgUQhK7TNuSHjHJZWp5GmR7YiaVa77vW8xqKY8xYRoZPCZAERxhm5Tpl/?mibextid=Nif5oz 


2. 'Mereka yang dipalit kes mahkamah masih berpeluang sertai Kabinet Anwar'  

Anwar ditemubual media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pemimpin politik yang sedang berdepan kes mahkamah daripada parti yang membentuk kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini, dilihat masih mempunyai peluang dilantik menyertai Kabinet yang akan dibentuknya.

Situasi itu berdasarkan gambaran diberikan Perdana Menteri, yang menegaskan mana-mana individu hanya didapati bersalah apabila selesai dijatuhi hukuman.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata demikian ketika ditanya berhubung desakan pelbagai pihak yang tidak mahu mana-mana pemimpin politik mempunyai kes mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilantik dalam Kabinetnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum memutuskan mengenainya.

Pandangan semua, kita ambil kira. Ia dalam perbincangan tetapi seperti mana yang kita tahu dari segi undang-undang hanya setelah ada hukuman (didapati bersalah).

"Yang lain itu kita akan beri pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik tidak mahu mana-mana pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dilantik dalam Kabinet.

Ia termasuk gesaan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mahu jemaah Menteri dilantik kelak bebas kes mahkamah.


3. 'Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama'  

.......

KOTA BHARU: PAS menyifatkan kerajaan baharu yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan kerajaan perpaduan kerana bentuk kerajaan demikian perlu melibatkan semua parti.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerajaan baharu yang membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan beberapa parti kecil lain, sebaliknya adalah kerajaan campuran.

Beliau turut menegaskan, Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali menyesal dengan keputusan tidak menyertai kerajaan baharu walaupun memiliki kerusi yang banyak iaitu 73 yang dimenang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

"Kita perlu hormat kepada parti utama, kita lihat rakyat sudah memberi mandat kepada PN, malah PAS sahaja menang 49 kerusi, sebagai parti yang menang kerusi tertinggi. Bagaimanapun, apa yang rakyat nak tidak ada dalam kerajaan.

"Namun, apa yang penting bagi kita ialah untuk terima keputusan yang sudah dibuat dan kami (PN) akan turun sebagai satu kumpulan yang teguh untuk bagi pandangan terbaik demi kebaikan seluruh rakyat," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian di Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, PN juga yakin dengan 'kepakaran' gabungan itu untuk menjadi pembangkang bagi memantau dasar kerajaan serta bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan baharu.

"Tambahan pula, kita kini mempunyai jumlah kerusi yang besar, kita akan memantau setiap satu komitmen dan manifesto kerajaan, khususnya sewaktu yang dijanjikan ketika berkempen termasuk untuk mengecilkan saiz Kabinet," katanya.

Sebagai pembangkang, Tuan Ibrahim berkata, PN juga akan melihat sejauh mana Anwar dapat melaksanakan apa yang beliau janjikan sepanjang kempen PRU15 yang lalu.

"PN terima keputusan pembentukan kerajaan hari ini selain bersedia menjadi pembangkang yang membina," katanya dan secara sinis menambah, 'orang baik' dan 'orang jahat' tidak boleh duduk bersama.

Tuan Ibrahim (kanan) menyantuni tetamu Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, Kota Bharu. - NSTP/Syaherah Mustafa


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pandangan, bukan-Muslim ini.. Dipalit kes mahkamah. & baik+jahat?

Bukan Muslim ini buktikan PAS bukan ekstremis. Yang ekstrem ialah mereka yang campurkan bersama orang baik dan orang jahat.


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

‘Tunggang’ istilah K/Perpaduan.. Imbas, skandal Forex

Anwar jumpa sesiapa dia tawar TPM.. maybe calon bebas pun dapat offer TPM jika sokong PH SEMUA DI TAWAR TPM

1. PH ‘tunggang’ istilah Kerajaan Perpaduan

KERAJAAN Perpaduan

Kerajaan Perpaduan (Unity Government) merupakan sebuah kerajaan yang terdiri daripada semua parti politik. Semua parti, sama ada sebelum ini menjadi kerajaan ataupun pembangkang, akan digabungkan dalam satu kapal. Dalam hal ini, blok pembangkang tidak akan wujud. Bagi memudahkan lagi kefahaman, kita letakkan dua syarat bagi membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu:

1. Semua parti politik perlu bergabung dan berada dalam satu tingkatan yang sama bagi membentuk sebuah kerajaan.

2. Tiada Pembangkang.

Sekiranya kita meneliti sejarah tanah air, Malaysia sebenarnya belum lagi mempunyai sejarah membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, tiada contoh yang boleh dirujuk bagi memperjelas bagaimanakah bentuk Kerajaan Perpaduan dalam konteks Persekutuan Malaysia. 

Namun pada 2009, cadangan Kerajaan Perpaduan pernah diutarakan oleh Presiden PAS agar dibentuk Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) yang pada masa tersebut dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Cadangan Kerajaan Perpaduan ini mengambil model yang sama dengan Kerajaan Perpaduan Indonesia semasa pentadbiran mantan Presiden Indonesia iaitu B.J. Habibie. Model Kerajaan Perpaduan ini berteraskan kepada kerajaan tanpa pembangkang. 

Satu contoh yang boleh dilihat di peringkat negeri iaitu pasca pembentukan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL pada 2020 di peringkat Persekutuan. Kelantan menukarkan model kerajaannya daripada Kerajaan Majoriti yang menjadi kebiasaan kepada kerajaan tanpa pembangkang. Ini juga boleh kita namakan sebagai Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Campuran

Berbeza pula dengan Kerajaan Campuran (Coalition @ Grand Coalition Government). Kerajaan Campuran pula ialah kerajaan hasil daripada gabungan beberapa parti sahaja dalam membentuk kerajaan. Pada masa ini, parti yang tidak menjadi kerajaan akan menjadi pembangkang.

Sebagai contoh, kerajaan yang dibentuk pada tahun 1971 dahulu iaitu selepas pengisytiharan Darurat akibat insiden 13 Mei 1969. Pada masa ini, kerajaan dibentuk yang dipimpin oleh Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussien merupakan Kerajaan Campuran antara PERIKATAN dan PAS. Manakala parti lain seperti DAP dan Gerakan (sebelum tahun 1973), mereka menjadi pembangkang.

Sama juga keadaannya pada 2020. Rejim Pakatan Harapan (PH) telah tumbang sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya dan yang mengisinya ialah Kerajaan Campuran antara PAS, BN dan BERSATU. PH pada ketika ini, merupakan pembangkang yang menjadi semak imbang kepada kerajaan semasa.

Kerajaan pasca PRU ke-15

Melihat kepada apa yang dibincangkan, adalah tidak tepat sekiranya kerajaan yang dibentuk pasca PRU ke-15 ini merupakan Kerajaan Perpaduan kerajaan syarat bagi perpaduan itu tidak dipenuhi. PERIKATAN NASIONAL jelas menyatakan hasratnya bahawa akan terus menjadi pembangkang selaku semak imbang kepada kerajaan semasa. Maka, di manakah model perpaduannya? Terma tepat yang patut digunakan ialah Kerajaan Campuran sepertimana yang berlaku pada tahun 1971 dan 2020. 

Penggunaan terma ‘Kerajaan Perpaduan tanpa PERIKATAN NASIONAL’ oleh Pakatan Harapan ini juga bukan merupakan satu konotasi yang betul. Kita andaikan seperti ini. Kita ingin makan roti canai telur, tanpa telur. Soalan cepu emasnya ialah, adakah itu roti canai telur ataupun roti canai biasa?

Sama juga dengan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Campuran. Kerajaan Perpaduan, perlu kepada ketiadaan pembangkang. Sekiranya ada pembangkang, nama dia Kerajaan Campuran. Jadi, bagaimanakah boleh keluar istilah ‘Kerajaan Perpaduan tanpa PERIKATAN NASIONAL’ sedangkan syarat asas pun tidak dipenuhi?

Jadi, saranan kepada semua yang menunggang perkataan ‘Kerajaan Perpaduan’ agar tidak lagi mengabur mata dan memeningkan masyarakat dengan penggunaan terma yang tidak tepat seperti ini. Apa salahnya sekiranya kita kata kerajaan semasa ini merupakan Kerajaan Campuran PH dan BN? Bukankah ini lebih tepat dan benar?

DZAFIR FIRDAUS
Sejahtera Research Group – HARAKAHDAILY 28/11/2022


2. Imbas: Skandal Forex BNM 1990, Anwar akui negara rugi RM30b - Anwar bukan Menteri Kewangan yang baik 

Ramai anak muda digambarkan kononnya Anwar adalah Menteri Kewangan terbaik. Terbaik? baik pun belum tentu lagi. Dia telah menyebabkan BNM rugi 30 billion. Itu belum masuk isu rugi atas 92 juta. Kita belum lagi bahas dengan BMF lagi... Orang luar terutama akan angkat dia di mata dunia kerana dengan Anwar orang asing boleh menguasai ekonomi di negara kita...
Baca di bawah surat pengakuan Anwar sendiri...

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan negara kerugian antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi PKR malam tadi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang juga bekas Menteri Kewangan, mendakwa beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian bank pusat itu pada 20 April lalu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Berkenaan Kerjasama saya dengan Pasukan Petugas Khas Forex.

Saya memilih untuk bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Forex selaku mantan Menteri Kewangan 1991-1998. Saya berpuas hati dengan ruang yang diberikan oleh Pengerusi Tan Sri Sidek (Hassan) dan jawatankuasa.

Dalam kesempatan singkat pada 20hb April lalu, saya telah jelaskan antara lain bahawa:

1. Sebaik menyandang jawatan Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Zain Azraai Zainal Abidin) ada menyentuh urusan dagangan mata wang oleh Bank Negara Malaysia. Menurutnya, sejak 1989, Perbendaharaan Amerika (Fed); Bank Pusat England dan IMF telah memaklumkan bahawa penglibatan BNM dalam urusan tersebut dianggap membimbangkan.

Berikutnya, dalam taklimat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Jaafar Hussein, beliau menafikan keterlibatan BNM sambil menekankan bahawa penglibatan BNM adalah sah sekadar mempertahankan kedudukan ringgit dalam pasaran.

2. Masalah mula dikesan laporan yang membimbangkan dari media antarabangsa dan pasaran Zurich, sekitar akhir 1991 dan awal 1992, dan perkara tersebut dikemukakan semula kepada Gabenor BNM. Tan Sri Jaafar memberikan keterangan yang sama dan memaklumi bahawa Pengarah Urusan tersebut di BNM adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Namun, manakala deraf awal audit BNM 1991 dibentangkan, Perbendaharaan melahirkan kebimbangan. Gabenor BNM akui jumlah terlibat adalah lebih besar dari yang dijangka. Memandangkan saya dan Kementerian Kewangan tidak dimaklumkan mengenai hal tersebut, Gabenor sendiri yang menjelaskan kepada media dengan menyebut "kerugian atas kertas". Berikutnya saya terpaksa menangani permasalahan tersebut di Parlimen, terutama persoalan-persoalan yang dibangkit Ketua Pembangkang ketika itu, YB Lim Kit Siang. Kerajaan memberikan penjelasan BNM sambil menjelaskan keutuhan ekonomi. Namun, saya menegaskan arahan agar BNM menghentikan dagangan Forex tersebut.

3. Dari perkembangan tahun berikutnya, 1993, ternyata urusan tersebut diteruskan; dan jumlah kerugian ketika itu, dianggar sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion. Gabenor BNM membuat pengakuan kepada saya bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai petugas yang bertanggungjawab. Tan Sri Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya, walaupun saya akui kewibawaannya dan percaya bahawa beliau tidak diberikan keterangan lengkap oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

4. Tan Sri Ahmad Don yang mengambil alih tugas Gabenor BNM pada tahun 1994 telah bertindak menghentikan dagangan tersebut, dan mula membayar kerugian sekitar RM500 juta setiap tahun. Pengurusan BNM bertambah mantap, diperkemas dengan laporan dasar yang lebih teratur kepada Menteri Kewangan.Jumlah kerugian akhirnya dianggar sekitar 15 hingga 30 bilion ringgit tertakluk kepada cara BNM mengaudit dan mencatat potongan 'contingency fund', 'reserve fund', 'insurance fund'; kos membendung inflasi dan mempertahan ringgit.

5. Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri. Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara.

6. Dalam pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Forex ini, berulangkali saya tegaskan keperluan dibekalkan dengan laporan dan dokumen untuk memastikan perjalanan lebih telus dan teratur. Perkara ini belum dilaksanakan. Saya juga perhatikan masalah wujud manakala keputusan Pengerusi membenarkan peguam saya, R Sivarasa, hadir untuk saya rujuk, tetapi keputusan ini diketepikan oleh seorang pegawai di Kementerian Kewangan.

Anwar Ibrahim
26 April 2017


Komen Weblog Ibnu Hasyim: ‘Tunggang’ istilah K/Perpaduan.. Imbas, skandal Forex

Ertinya:

PH ‘tunggang’ istilah Kerajaan Perpaduan... Imbas tungging, skandal Forex BNM 1990, Anwar akui negara rugi RM30b

Kesimpulan: Anwar tunggak, bukan Menteri Kewangan yang baik.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

S/Brunei pandu sendiri bawa Anwar.. Siapa tarbiah siapa?

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai dari kenderaan yang dipandu oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, hari ini. - Foto BERNAMA

1. Sultan Brunei pandu sendiri kereta bawa Anwar ke Seri Perdana

SUBANG: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berkenan memandu sendiri kereta sambil membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Seri Perdana, Putrajaya, sempena lawatan khas baginda ke Malaysia, hari ini.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin terbabit memulakan perjalanan kira-kira 11.45 pagi, Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.

Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah.

Perjalanan kedua-dua pemimpin itu ke Putrajaya dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini yang jaraknya kira-kira 41 kilometer, diiringi pasukan keselamatan bermotosikal dan berkereta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, hari ini. - Foto BERNAMA

Terdahulu, Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di Pangkalan TUDM pada 11.40 pagi.

Sejurus tiba, baginda diberikan tabik hormat oleh perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia yang diketuai Mejar Mohd Faudzi Che Hashim.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Keberangkatan baginda ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, hari ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri juga akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataannya, berkata lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (US$1.94 bilion). – BERNAMA


2. Menang, kalah program tarbiah tidak boleh tinggal 

KUALA LUMPUR: Program tarbiah tidak boleh ditinggalkan sama ada menang atau kalah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata tarbiah adalah kekuatan kepada PAS yang boleh bertahan selama 71 tahun.

“Menang ke kalah, program tarbiah tak boleh kita tinggal. Inilah kekuatan PAS yang boleh bertahan selama 71 tahun,” ujarnya.

Beliau menambah, program tarbiah ditanam dengan kefahaman Islam dan semangat bekerja di dalam jamaah.

Pada jam 9.30 malam tadi, beliau hadir dalam Liqa PAS Kawasan Bagan Serai yang merupakan program yang diadakan setiap Jumaat minggu keempat.

“Setelah beberpa hari terpaksa selesaikan urusan di Kuala Lumpur, hari ni saya balik ke kawasan saya di Bagan Serai,” katanya.

Susulan itu, sejak jam 10.00 pagi, Ustaz Idris sempat menyantuni penduduk kampung yang terlantar sakit, fakir miskin dan asnaf di Kampung Dew.

“Kemudian saya ke Kuala Gula melihat permasalahan yang dihadapi masyarakat di sini seperti penduduk yang tiada geran tanah dan kawasan potensi pelancongan yang terbiar tidak dibangunkan, insya-Allah kita cuba cari solusi terbaik,” katanya. (Foto atas)

Antara aktiviti semalam ialah mengmami solat jenazah d Masjid Tinggi, menunaikan solat Jumaat di Masjid Alor Pongsu, pada waktu Asar d Masjid Matang Gerdu seterusnya Maghrib dan Isyak di Masjid Taqwa Taman Serai Maju.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu lalu, beliau yang memperolehi 33,753 undi berjaya memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai dengan majoriti 18,551 undi.

Ustaz Idris menewaskan saingan daripada Barisan Nasional, Zul Helmi Ghazali yang mendapat 15,202 undi, Siti Aishah Shaik Ismail (PH – 13,195) dan Ahmad Luqman (Pejuang – 383). – HARAKAHDAILY 26/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: S/Brunei pandu sendiri bawa Anwar.. Siapa tarbiah siapa?

Program tarbiah tidak boleh ditinggalkan sama ada menang atau kalah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata tarbiah adalah kekuatan kepada PAS yang boleh bertahan selama 71 tahun. Kebangkitan PAS hari ini adalah kesan dari tarbiah sebelumnya.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sunday, November 27, 2022

Sukan, namun Qatar pertahan Islam. M'sia, PAS pilihanku.

 


1. Syabas Qatar pertahankan Islam, adat dan budaya

DI SEBALIK kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 yang baharu sahaja selesai melabuhkan tirai, saya percaya ramai di antara kita turut tidak melepaskan peluang menyaksikan Piala Dunia FIFA 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.

Pastinya ramai yang mempunyai pasukan pilihan pada Piala Dunia kali ini seperti Brazil, Argentina, Jerman, England, Belanda dan lain-lain lagi serta tidak melepaskan peluang untuk menonton siaran langsung di kaca televisyen walaupun ianya ditayangkan pada lewat malam.

Kita juga telah menyaksikan kebangkitan pasukan dari Asia seperti Arab Saudi dan Jepun yang telah melakukan kejutan dengan menundukkan pasukan pilihan iaitu Argentina dan Jerman. Korea Selatan juga turut hampir melakukan kejutan namun hanya mampu seri ketika menentang Uruguay.

Semalam salah satu pasukan pilihan utama iaitu Brazil telah menundukkan Serbia 2-0 dengan corak permainan menyerang yang mengagumkan dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh penyerang dari Kelab Tottenham Hotspurs iaitu Richarlison dan saya percaya Brazil mampu pergi jauh kali ini.

Rata-rata yang datang ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kagum dengan segala infrastruktur yang dibangunkan dan segala yang dibelanjakan. Boleh dikatakan Qatar berjaya menganjurkannya dengan bergaya dan mendapat sokongan dari negara-negara Arab yang lain.

Di sebalik semua kejayaan ini, Piala Dunia FIFA kali ini turut terpalit dengan kontroversi yang menjadi bualan hangat sehingga berlakunya protes ke atas Qatar sebagai tuan rumah dan FIFA sebagai penganjur kejohanan yang sedikit sebanyak mencacatkan Piala Dunia FIFA kali ini.

Kontroversi tercetus disebabkan beberapa peraturan yang dikuatkuasakan seperti tidak dibenarkan kapten pasukan memakai lilitan lengan yang mempunyai logo LGBTQ “OneLove“, tidak dibenarkan mengibar bendera serta memakai baju dan seumpamanya yang mempamerkan “Pride Flag” atau “Rainbow Flag“ (corak bendera LGBTQ) termasuk tidak dibenarkan penjualan minuman beralkohol di stadium-stadium.

Disebabkan itu Qatar menerima kecaman hebat daripada peminat-peminat bola sepak terutamanya daripada negara-negara Barat. Pelbagai tuduhan buruk telah dilemparkan dan telah mula gerakan untuk memboikot Qatar disebabkan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Organisasi LGBTQ dari seluruh dunia telah mengkritik hebat FIFA dan Qatar. Beberapa kapten pasukan bola sepak negara-negara yang bertanding mengkritik tindakan tidak membenarkan pemakaian lilitan lengan “OneLove” dan ada yang berkeras mahu memakainya serta mengkritik Qatar kerana mengamalkan diskriminasi terhadap golongan LGBTQ.

Kesemua pemain pasukan Jerman sebelum bermulanya perlawanan menentang Jepun dalam sesi bergambar telah menutup mulut mereka sebagai tanda protes terhadap larangan pemakaian lilitan lengan “OneLove“.

Peminat-peminat bola sepak dari golongan LGBTQ yang berkunjung ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kali ini mengkritik keras tindakan FIFA dan Qatar malah ada yang tidak mengendahkan larangan tersebut dengan terus memakai baju, topi dan mengibarkan bendera “Pride Flag” sehingga ditahan pihak keselamatan Qatar.

Oleh itu sewajarnya peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia yang mengikuti Piala Dunia FIFA menghormati Qatar, undang-undang dan perlembagaannya kerana Qatar adalah sebuah negara Islam yang merdeka dan berdaulat.

Ini kerana dengan mengkritik Qatar dikira sudah mencampuri urusan dalaman Qatar dan bagi kita umat Islam apabila kita mengkritik Qatar dalam isu yang sama bermakna kita seolah-olah memperlekehkan hukum Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran yang secara jelas mengharamkan hubungan sejenis atau aktiviti LGBTQ yang merosakkan akhlak manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al A’raf ayat 80-84.

Namun kritikan terhadap Qatar dalam isu yang menjadi kontroversi tersebut adalah amat tidak adil dan saksama terutamanya daripada peminat bola sepak dan negara-negara Barat. Jika umat dan negara Islam mengkritik tindakan pengharaman pemakaian hijab seperti di Perancis mereka dituduh mencampuri urusan dalaman negara tersebut.

Jika umat dan negara Islam bertindak mengkritik karikatur Rasulullah SAW yang dijadikan bahan satira di Barat mereka dituduh tidak mengetahui undang-undang kebebasan yang diamalkan di negara-negara Barat.

Maka sewajarnya perlu berlaku adil terhadap Qatar dalam segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan. Umpama pepatah Melayu “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak“. Usahlah mengambil kesempatan ke atas Qatar dengan tujuan-tujuan yang tidak baik seperti mengambil kesempatan dan menekan untuk kepentingan geopolitik.

Apabila bertandang ke negara orang, hormatilah undang-undang, adat resam dan kebudayaannya dan usahlah sesuka hati mengkritik dan menghentam tidak tentu haluan. Syabas diucapkan kepada Qatar kerana telah mempertahan dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang sewajarnya.

Bola sepak adalah sukan yang paling popular di seluruh dunia. Sebagaimana ungkapan banyak pihak, bola sepak mampu menyatukan umat manusia yang berbilang agama, bangsa, kaum dan ideologi tetapi dalam masa perlu saling hormat-menghormati dan bertoleransi.

Hormatilah Qatar dan undang-undangnya, juga hormatilah Islam dan penganut-penganutnya. Semoga Qatar berjaya menjadi penganjur terbaik Piala Dunia FIFA serta terus makmur, sejahtera dan diberkati Allah SWT.

Malaysia Sejahtera

YB DrMuhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 26/11/2022


2. Kempen PAS Pilihanku pasca-PRU15 

SECARA tiba-tiba, permohonan untuk menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meningkat mendadak selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehingga semalam (25 November 2022) lebih dari 500 permohonan secara daftar terus telah diterima oleh Pejabat Agung PAS dan terus bertambah sehingga ke hari ini.

Justeru Kempen PAS Pilihanku 4.0 yang telah dilancarkan sebelum ini di Sik, Kedah diteruskan sempena pasca PRU15.

Syarat-syarat untuk memohon sebagai ahli PAS mengikut Fasal 11 Perlembagaan PAS (Pindaan 2020) adalah seperti berikut;

1. Warganegara Malaysia.

2. Beragama Islam.

3. ‘Aqil baligh menurut Hukum Syara’.

4. Mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari semasa ke semasa.

Justeru warga negara Malaysia boleh menghubungi nombor telefon yang telah disertakan:

  • Perlis – 013 4164829 ; YB Ustaz Ridzuan
  • Kedah – 011 10706247 ; Ustaz Rosli
  • Pulau Pinang – 0194490007 ; Hj Jamil
  • Perak – 0134864863 ; Saiful
  • Selangor – 0197721800 ; Lizam
  • Wilayah – 01138768585 ; Hairul
  • Negeri Sembilan – 0108448483 ; Cikgu Rahman 
  • Melaka – 0137416912 ; Asri Sheikh
  • Johor – 0197154468 ; Zaini 
  • Kelantan – 0199110219 ; Haji Yasin
  • Terengganu – 0199878693 ; Ustaz Zakaria
  • Pahang – 019305 8487 ; Faddle
  • Sarawak – 0143837505 ; Arif Paijo
  • Sabah – 0104551809 

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Penolong Setiausaha Agung PAS
Pengarah Kempen Keahlian PAS Pilihanku 4.0
26 November 2022 – HARAKAHDAILY 26/11/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan, namun Qatar pertahan Islam. M'sia, PAS pilihanku.

Itulah Islam, ada sukan, ada politik, ekonomi dan sosial. Yang tak faham, masih di bawah tempurung sekularisme, politik sempit, memisahkan politik, dan peribadatan. Terlalu malu dengan kebahlolan mereka, terperangkap dengan strategi musuh musuh Islam.

Termasuk barua-baruanya. Sekian.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Minta K/PH-UMNO tambah 3 universiti -Huazong. Tun A/Hamid tinggal UMNO.

 


1. Huazong minta kerajaan PH-UMNO tambah peruntukan tiga universiti

Persekutuan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) meminta kerajaan baharu PH-UMNO memberi peruntukan yang diperlukan untuk memulihkan tiga universiti yang dikendalikan oleh komuniti Cina.

Tiga universiti itu ialah Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication, yang kesemuanya menerima RM6 juta selama dua tahun berturut-turut apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018.

Presiden Huazong Tan Sri T.C. Goh berkata masing-masing universiti menerima RM2 juta untuk meringankan beban kewangan masyarakat Cina bagi mengendalikan tiga kolej universiti itu.

“Kami berharap pentadbiran baharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menyambung semula bantuan itu dan jika perlu menambah peruntukan tahunan.

“Kami mengharapkan masa depan yang baik di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar,” kata Goh ketika merasmikan ulang tahun ke-47 sambutan Universiti Kolej Selatan pada Ahad (27 November), menurut The Star.

Beliau berkata ketiga-tiga universiti itu mempunyai kekuatan dan kualiti tersendiri sebagai institusi pengajian tinggi yang dengan pencapaian membanggakan.

“Institusi pengajian tinggi yang dikendalikan oleh komuniti Cina yang tidak berasaskan keuntungan itu telah melahirkan bakat dalam pelbagai sektor untuk negara ini, selain mengekalkan pendidikan dan budaya Cina, yang merupakan ciri unik untuk Malaysia yang berbilang kaum,” tambah Goh.

Huazong adalah persekutuan bagi kesemua Dewan-dewan Perhimpunan Cina negeri-negeri Malaysia.


2. Selamat tinggal Umno! 


KHAMIS 24 November 2022. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Istana Negara mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah membuat keputusan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10. Baginda membuat keputusan  itu setelah berbincang dengan Raja-raja Melayu ‘untuk membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.’

‘Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.’

Tidak pula disebut parti-parti yang bersetuju bergabung dengan PH dan berapa orangkah Ahli-ahli Dewan Rakyat (DR) yang menyokong DS Anwar. 

Dengan pelantikan ini tercapailah cita-cita DS Anwar setelah sekian lama menunggu. Apa yang akan dilakunya selepas ini sama-samalah kita menunggu untuk melihatnya.

Yang paling licik adalah DAP. Dengan menutup mulut dan tidak menampakkan muka mereka sepanjang kempen PRU15 dan rundingan bergabung selepas PRU15, mereka tidak membangkitkan kecurigaan orang Melayu terhadapnya seperti sebelumnya.

Sehinggakan, semasa menunggu untuk mengambil ubat di Hospital Putrajaya tengah hari 24 November 2022, isteri saya terdengar seorang pesakit perempuan berkata, ‘Kali ni DAP tak ada, cuma PKR. Cina tak ada pun, semua Melayu. PH la ni berlain daripada PH dahulu. Dulu PH Mahathir. Ini PH Anwar. Kita sokong pun tak apa.’ Begitu berkesan sekali taktik mereka.

DS Anwar dari awal lagi bersetuju untuk mengadakan kerajaan perpaduan. Alasan yang digunanya ialah beliau tidak mahu derhaka kepada YDPA. Sebenarnya beliau tahu itulah satu-satunya cara untuk beliau menjadi PM. 

Mengikut berita, semasa TS Muhyiddin menghadap YDPA, DS Anwar sedang menunggu di bilik sebelah untuk menandatangani perjanjian yang telah disediakan oleh pihak Istana Negara. Jika cerita itu benar, soalnya adakah terdapat satu komplot antara beliau dengan pegawai-pegawai Istana Negara seperti yang dikatakan pernah berlaku dahulu?

TS Muhyiddin telah menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan cara penentuan bilangan penyokong yang diperolehi olehya dan DS Anwar. Mengikutnya, pada 22 November 2022 lagi beliau telah menghantar sebanyak 115 SD menyokongnya, yang termasuk 10 dari BN. Pada 23 November 2022, semasa beliau menghadap YDPA apabila beliau memberitahu YDPA beliau mempunyai 115 penyokong, YDPA terkejut dan berkata baginda tidak tahu. Adakah pegawai-pegawai istana yang bertanggungjawab tidak memberitahu baginda?

Pada 22 November 2022 petang, tempoh menyampaikan SD telah dipanjangkan. Dalam masa dua hari berikutnya DT BN dan MKT Umno sibuk bermesyuarat. Berulang kali keputusannya dilaporkan bahawa BN berkecuali. 

Kemudian keluar pula cerita DS Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA melenting kerana DS Zahid  dalam suratnya kepada YDPA telah menyatakan 30 ahli DR BN menyokong DS Anwar sebagai PM padahal mesyuarat DT BN memutuskan mereka berkecuali. Beliau begitu marah terhadap DS Zahid  hingga mahukan undi tidak percaya sebagai Pengerusi DT BN dibuat terhadap DS Zahid. Ada pihak yang membuat laporan polis menuduh DS Zahid menipu YDPA.

Malam 23 November 2022, keluar pula berita bahawa semua 10 orang ahli DR Umno yang menandatangani SD menyokong TS Muhyiddin itu menandatangani SD menarik balik sokongan mereka itu.

Saya menyangkakan bahawa pendirian 30 ahli-ahli DR BN itu adalah berkecuali sehingga terbaca NST online jam 9:15 malam 24 November 2022 yang mengatakan antara penyokong DS Anwar adalah 28 ahli DR BN. Beberapa minit kemudian, keluar pula berita bahawa PH, BN dan GPS akan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan Isnin diisytiharkan cuti umum. Jadi, jelaslah sekarang bahawa BN menyokong DS Anwar, bukan berkecuali.

Bagi saya, bahawa Umno atau BN berkecuali pun saya kecewa kerana ia sepatutnya bergabung dengan PN untuk menghalang PH berkuasa. Bergabung dengan PH tidak boleh diterima langsung. Ia adalah satu penipuan kepada pengundi-pengundi Melayu.

Turut mendukacitakan ialah peranan yang dimainkan oleh Istana Negara yang seolah-olah membantu DS Anwar menjadi Perdana Menteri dan PH berkuasa. Bahawa YDPA menitah kepada ketua-ketua parti supaya menimbang cadangan mengadakan kerajaan perpaduan itu tidak boleh dinafikan. Ini disahkan oleh ketua-ketua parti itu sendiri.

Ini adalah ulangan apa yang berlaku dua tahun dahulu. Ia tidak sepatutnya berlaku. YDPA tidak sepatutnya terlibat dalam politik. Ini bukan soal ikut Westminster atau tidak. Ini soal campur tangan dalam dasar parti dan tujuan pengundi. Dalam PRU ini, misalnya PN telah mengeluarkan manifesto dan berkempen bahawa mereka menentang dasar-dasar PH dan pengundi-pengundi mengundi PN atas alasan itu. Setelah selesai pilihan raya dan calon-calon yang mereka undi menang, partinya dititahkan bergabung dengan PH. Nasiblah PN bertegas tidak mahu bergabung dengan PH untuk menubuh kerajaan. Bagaimana dengan BN dan GPS?

Saya tidak faham bagaimana 10 orang ahli-ahli DR Umno yang pada mulanya membuat SD menyokong TS Muhyiddin itu boleh menarik balik SD mereka. Takut sangatkah kepada DS Zahid dan dipecat? Saya juga tidak faham bagaimana ahli-ahli MKT yang berkali-kali mengundi untuk berkecuali, boleh menerima keputusan (siapa?) bahawa BN atau Umno bersetuju menyokong DS Anwar Ibram sebagai PM dan bergabung menubuh kerajaan dengan PH. Takut sangatkah mereka kepada DS Zahid? Adakah mereka juga bersekongkol untuk berbohong?

Jam 6:00 petang 24 November 2022, keluar berita wakil 130 Bahagian Umno telah sampai ke WTC untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika semua Bahagian Umno menyokong Presiden dan pemimpin-pemimpin mereka pun, kita belum tahu bagaimana perasaan pengundi-pengundi Melayu yang mengundi Umno atau BN dalam PRU15. PRK dan PRN akan diadakan tidak lama lagi. Saya ingin lihat prestasi Umno atau BN.

Biar apa pun, saya merasa tertipu. Saya sudah tidak percaya kepada pemimpin-pemimpin Umno lagi. Selamat tinggal Umno.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD – HARAKAHDAILY 27/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Minta K/PH-UMNO tambah 3 universiti -Huazong. Tun A/Hamid  tinggal UMNO.

UMNO kini pengkhianat bangsa dan agama. Apa lagi PH yang ada DAP di dalamnya. Tinggalkan segera, tunggu apa lagi?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails