Tuesday, December 20, 2022

KP UMNO sertai PAS. Cubaan PH ‘beli’ AP.. Seks luar tabii?

 


1. KP Umno Seremban sertai PAS: Pacu gelombang pasca PRU15

SYABAS dan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin bersama rakan-rakan yang secara rasminya telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada PAS Kawasan Seremban semalam, 17 Disember.

Turut mengumumkan penyertaan bersama PAS adalah penyanyi terkenal era 80-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan yang bermastautin di Lenggeng (dalam kawasan Seremban). Untuk rekod, sebelum ini Dayangku Intan merupakan ahli PKR.

Ia satu lagi rakaman sejarah yang bakal membawa gelombang kebangkitan di selatan tanah air.

Menurut maklumat, dijangka dalam masa terdekat tiga lagi cawangan PAS baru akan ditubuhkan di Lenggeng berikutan kemasukan Zool Amali atau lebih dikenali dengan nama Bozz Jebat ini. Zool Amali juga merupakan Timbalan Pengerusi PEKIDA Seremban.

Ia satu signal atau petanda yang baik kepada persiapan PERIKATAN NASIONAL menjelang Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan pada tahun 2023.

Kepada rakyat Malaysia di luar sana, jom sertai PAS. Kita bersama-sama membawa gelombang kebangkitan rakyat atas nama Perpaduan Ummah.

Kepada yang ingin memohon, sila ikuti langkah-langkah berikut;

– Jika anda ingin menjadi ahli berstatus daftar terus dengan yuran sekali gus, anda hanya perlu membuat permohonan dan menjelaskan yuran pendaftaran melalui permohonan secara online sahaja, sila klik pautan berikut:

https://keahlian.pas.org.my/

Manakala bagi anda yang ingin memohon untuk menjadi ahli PAS yang aktif di cawangan dan kawasan, sila muat turun (download) Borang Permohonan Menjadi Ahli PAS tersebut dengan klik pautan (link) berikut: 

Borang Keahlian PAS


...

Atau terus menghubungi Saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil di talian (010-5401830)

YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
18 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 18/12/2022 


2Takiyuddin dedah cubaan PH ‘beli’ Ahli Parlimen Perikatan Nasional 


Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan bahawa beberapa ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional cuba ‘dibeli’ oleh Pakatan Harapan (PH) dalam usaha membentuk Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Pendedahan itu sekali gus mematahkan tuduhan Timbalan Presiden PKR yang kini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa PN cuba ‘mencuri’ 10 MP Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.

Cubaan membeli itu dilakukan PH dengan menawarkan jawatan menteri kepada MP Perikatan Nasional, selain janji untuk membayar semua perbelanjaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Saya ingin mendedahkan di sini bahawa pihak kami pernah ditawarkan beberapa jawatan Kabinet untuk menyertai kerajaan di sebelah sana (kerajaan PH).

“Juga jaminan kononnya nak bayar balik segala perbelanjaan pilihan raya kami,” katanya ketika membahas usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam (19 Disember 2022).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS itu berkata Perikatan Nasional tidak termakan dengan pujukan dan tawaran jawatan menteri Kabinet.

“Tetapi kami tidak terima kerana kami yang berada di sini (pembangkang)… kami membawa mandat 4.7 juta pengundi popular yang mengundi Perikatan Nasional yang membawa kepada 74 kerusi di Parlimen,” katanya lagi.

Takiyuddin juga menyifatkan usul percaya terhadap Perdana Menteri hanya satu ‘pertandingan sorak’, sedangkan pelantikan telah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“saya ingin menyatakan bahawa sebenarnya usul percaya ini sepatutnya bukanlah satu yang perlu dan utama yang dibawa atau diadakan oleh pihak kerajaan kerana bagi saya ianya hanyalah berbentuk akademik, berbentuk lewah dan tidak perlu terutamanya selepas Yang Berhormat Tambun telah pun dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, menjadi Perdana Menteri dan telah menubuhkan kerajaan.

“Kalau usul ini dibawa sebelum kerajaan ditubuhkan itu adalah agak munasabah. Bagi saya ini adalah satu perkara yang boleh dianggap satu pertandingan sorak ataupun shoutting match, yang tak perlu dibawa,” katanya. 


3. PrEP HIV: Solusi, komplikasi atau normalisasi seks luar tabii?   

PADA 1 Disember 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui satu kenyataan akhbar sempena Hari AIDS Sedunia telah mengumumkan berkenaan peluasan rawatan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) bagi pasangan kepada ODHA (orang yang hidup dengan HIV). Menurut kenyataan tersebut, rawatan PrEP kepada pasangan ODHA ini bakal dimulakan         di klinik kesihatan pada tahun 2023[1].

Dalam satu wawancara kepada pemberita pada 12 Disember 2022, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa telah menjelaskan bahawa kementeriannya akan melaksanakan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV. Beliau juga menegaskan bahawa perbincangan telah diadakan dengan ‘pakar-pakar agama’ untuk mendapatkan pandangan dari sudut hukum. Berkenaan penggunaan PrEP, menurut beliau, ia bukan hanya kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tetapi terdapat beberapa golongan lain yang juga akan menggunakannya untuk hasil yang lebih baik dalam mengekang penularan HIV [2].

Lanskap jangkitan HIV di Malaysia (1990–2021) menunjukkan corak perubahan ketara berkaitan etiologi jangkitan HIV di negara ini. Pada tahun 1990, penyalahgunaan dadah merupakan punca utama jangkitan ini (61%), manakala ianya berubah kepada hubungan kelamin heteroseksual (40%) dan penyalahgunaan dadah (48%) dua puluh tahun selepas itu. Namun begitu, perubahan ketara dilihat dalam jangka masa hanya sepuluh tahun kemudian, bilamana MSM (Men Sex Men) menerajui punca utama jangkitan HIV (63%), berbanding 33% jangkitan melalui hubungan kelamin heteroseksual, dan hanya 3% jangkitan HIV melalui penyalahgunaan dadah [3].

Merujuk kepada Malaysian Consensus Guidelines on Antiretroviral Therapy 2022, Chapter 18 – Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), perkara 18.1 Persons Recommended for PrEP, berikut merupakan kriteria keutamaan pemberian PrEP :

18.1.1 PrEP should be considered in HIV-negative individuals who are:

1. MSM and are sexually active within the last 6 months, with any of the following:

 • a partner who is HIV positive (see 18.1.2).

 • inconsistent use of condoms (for either insertive or receptive anal sex).

 • an STI (syphilis, gonorrhoea or chlamydia) in the last 6 months.

 • individuals requesting PrEP.

2. Heterosexual (men or women) and are sexually active within the last 6 months, with any of the following:

 • a partner who is HIV positive (see 18.1.2).

 • inconsistent use of condoms with partners of unknown status from high risk groups (MSM, IDU, Sexual Worker, Transgender)

 • an STI (syphilis, gonorrhoea or chlamydia) in the last 6 months.

3. People who inject drugs (PWID) with any of the following:

 • the use of shared drug injecting equipment.

 • at risk of HIV acquisition from sex.

4. Transgender (men or women) and are sexually active within the last 6 months, with any of the following:

 • a partner who is HIV positive (see 18.1.2).

 • inconsistent use of condoms with partners of unknown status (for either insertive or receptive anal sex).

 • an STI (syphilis, gonorrhoea or chlamydia) in the last 6 months.

5. Consider PrEP in any person engaged in transactional sex and any person practicing chemsex* that is unprotected.

*Chemsex is sexual activity while under the influence of stimulant drugs such as methamphetamine or mephedrone.

Garis panduan ini jelas menunjukkan bahawa pengamal MSM merupakan antara sasaran utama pemberian PrEP, di samping pengamal seks luar tabii seperti transgender, mahupun pengamal seks bebas dan gaya hidup seksual berisiko tinggi seperti pekerja seks, transactional sex mahupun chemsex.

Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang perkara ini dengan amat serius. Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia dalam peluasan pemberian PrEP di fasiliti kesihatan kerajaan haruslah dikaji dengan teliti lagi mendalam, mengambilkira faktor-faktor lain seperti:

i) Pemberian PrEP HIV tidak melindungi daripada penyakit jangkitan kelamin selain HIV, malah kemungkinan bertambah bilamana frekuensi aktiviti seks berisiko tinggi dan luar tabii dijangka bertambah apabila tingkahlaku ini dianggap sebagai ‘selamat’, susulan akses meluas terhadap PrEP HIV. Dalam jangka panjang, pertambahan aktiviti seks berisiko tinggi dan luar tabii ini bakal membawa kepada peningkatan semula kes-kes HIV. Ianya seperti suatu kitaran berulang.

ii) Dari sudut keberkesanan, pemberian PrEP sangat bergantung kepada kepatuhan pengambilan ubatan, yang mana perkara ini memerlukan kepada modifikasi tingkahlaku. Isu rintangan ubat (drug resistance) juga merupakan satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian serius.

iii) Teknikaliti pelaksanaan pemberian PrEP, selain dua faktor di atas bakal membawa kepada pertambahan bebanan tugas para petugas kesihatan, terutama di sektor Kesihatan Primer. Sektor ini memainkan peranan yang begitu penting, malah di antara sektor utama yang diberikan penekanan dalam transformasi perkhidmatan kesihatan (Kertas Putih Kesihatan). Penumpuan yang tinggi kepada sektor HIV berkemungkinan mengalihkan atau mengganggu fokus utama sektor Kesihatan Primer.

iv) Kesan kepada masyarakat Malaysia, dari sudut agama, budaya, moral, cara fikir, selain impak kepada pembayar cukai di masa hadapan. Peluasan penggunaan PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif dan secara atas permintaan dilihat seolah-olah ‘merestui’ amalan seks luar tabii ini, sedangkan Allah SWT telah berfirman :

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (Surah al-Naml: 55)

Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

Maksudnya: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Riwayat Ahmad, no. 2913)

Justeru, Lajnah Kesihatan DMPM mengharapkan agar satu solusi yang holistik dapat dicapai dalam usaha mengekang penularan wabak normalisasi seks luar tabii yang sesungguhnya bakal membawa barah yang amat serius ke dalam masyarakat. Sasaran akhir Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mencapai Zero HIV haruslah seiring dengan usaha mengekang penularan perlakuan seks luar tabii, melalui pendekatan komprehensif lagi holistik melibatkan pemerkasaan dakwah, pendidikan, abstinens, psikoterapi, penguatkuasaan undang-undang, terapi pemulihan, dan sebagainya.  

Hak pengamal-pengamal perubatan Muslim khususnya, serta seluruh masyarakat Muslim Malaysia amnya, dalam mengamalkan ajaran agama (dalam konteks ini, pengharaman perlakuan liwat dan hubungan seksual sesama jantina) hendaklah diberikan perhatian paling utama, sesuai dengan kedudukan dan implikasi Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. Adalah menjadi harapan seluruh masyarakat Malaysia, malah merupakan hak para ibubapa Muslim, agar sebuah persekitaran selamat dan bi’ah solehah dalam masyarakat diberikan keutamaan, demi memastikan kelestarian moral generasi masa hadapan, bakal pewaris dan peneraju tanahair tercinta.

DR REEN MOHD AMIN
Pengerusi
Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia

Rujukan:

1. Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia Sempena Hari AIDS Sedunia 2022

2. Sinar Harian 12 Disember 2022. KKM akan lakukan projek perintis penggunaan ubat PrEP. https://www.sinarharian.com.my/article/235782/berita/nasional/kkm-akan-lakukan-projek-perintis-penggunaan-ubat-prep

3. Changes in HIV Landscape, Malaysia 1990 – 2021. HIV / STI / Hep C Sector, Division of Disease Control, Ministry of Health Malaysia, 2022

4. Malaysian Consensus Guidelines on Antiretroviral Therapy 2022. Malaysian Society for HIV Medicine. Ministry of Health Malaysia. HARAKAHDAILY 18/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: KP UMNO sertai PAS. Cubaan PH ‘beli’ AP.. Seks luar tabii? 

PrEP HIV: Solusi, komplikasi atau normalisasi seks luar tabii berlaku dalam kerajaan luar tabii?

 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Monday, December 19, 2022

Ini Ratu Rock, X jadi isu.. Apa jadi isu? ..& Gerakan Info Bencana.

 


1. K’jaan BN-PH Pahang tidak matang batal tempahan dewan 

PAS Kawasan Temerloh dengan berat hati ingin memaklumkan bahawa Jamuan Kesyukuran Parlimen Temerloh yang dijadualkan akan berlangsung pada hari esok (14 Disember 2022) di Dewan Tun Razak, Temerloh terpaksa dijalankan di perkarangan Surau Al-Khairiah, Seberang Temerloh atas arahan khas Kerajaan BN-PH Negeri Pahang yang baru dikeluarkan kira-kira jam 10 pagi tadi.

PAS Kawasan Temerloh sangat terkejut dengan tindakan dan arahan mengejut untuk membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh sehari sebelum program ini akan dijalankan tanpa apa-apa justifikasi yang relevan dan rasional. Segala prosedur tempahan dan wang deposit juga telah diselesaikan mengikut jangka masa dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT). Persiapan jamuan juga telah pun selesai hampir 90 peratus dan jemputan telah dihebahkan kepada semua lapisan masyarakat di Parlimen ini termasuklah kepada semua agensi kerajaan dan pasukan keselamatan.

Pihak kami juga ingin melahirkan kekesalan atas tindakan yang tidak bertamadun dan menghormati hak demokrasi negara ini. Janganlah kerana dendam politik rentetan keputusan yang rakyat dalam PRU15 baru ini, keputusan ini diambil.

Dalam masa yang sama, pihak kami ingin mendesak pihak berkuasa tempatan supaya membatalkan juga konsert Ratu Rock Malaysia Ella yang akan berlangsung pada pada tarikh yang sama di Dataran Temerloh sebagaimana di pautan link berikut https://www.facebook.com/100067033012188/posts/473007341610362/?sfnsn=mo 

Jangan sesekali bersikap double standard dalam perkara ini.

Pihak kami juga ingin memberikan peringatan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk mentadbir negeri ini dengan matang dan harmoni serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian latar belakang, fahaman politik mahupun pandangan. 

Jangan sesekali bertindak rakus dan pengecut dengan menggunakan kuasa pemerintahan untuk menghadapi pihak yang berbeza pandangan mahupun pendirian dengan kerajaan negeri. Kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak kezaliman dan kebobrokan pentadbiran kerajaan negeri ini.

Sekian.

ZULKIFLI MOHD YUSOF
Ketua Penerangan 
PAS Kawasan Temerloh – HARAKAHDAILY 13/12/2022


2. Khidmat Malaysia buka Bilik Gerakan Info Bencana 

SEPERTI mana amaran yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) malam tadi bahawa hujan berterusan di lapan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor, yang dijangka berlaku hingga 20 Disember ini, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) telah mula menerima laporan berkaitan dengan kawasan yang telah dinaiki air sehingga menyebabkan bencana banjir berlaku.

Antara negeri yang terjejas teruk ketika ini adalah negeri Kelantan dan Terengganu manakala beberapa buah negeri lain telah mula memberikan maklumat paras air yang semakin membimbangkan.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan yang terbahagi kepada tiga seksyen iaitu seksyen A, amaran hujan berterusan (bahaya) yang melibatkan beberapa daerah di Kelantan dan serta seluruh Terengganu.

Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).

Manakala seksyen B iaitu amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan bagi daerah Padang Terap, Sik dan Baling, Hulu Perak,  Gua Musang, beberapa daerah di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran ketiga iaitu seksyen C, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan bagi seluruh negeri Pulau Pinang serta beberapa daerah di negeri Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

BGIB telah mula beroperasi 24 jam yang diketuai oleh Encik Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil di Pejabat Pentadbiran Khidmat Malaysia Pusat. Arahan juga telah diberikan kepada Khidmat Malaysia Negeri khususnya yang terlibat dengan banjir.

Khidmat Malaysia mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak. Dana sumbangan khusus buat mangsa bencana dan para petugas barisan hadapan yang turun beroperasi.

Sumbangan boleh dihulurkan melalui nombor akaun:

Bank: Maybank
No akaun: 5623 8454 2866
Nama: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (KHIDMAT MALAYSIA)

Sebarang makluman mengenai sumbangan atau pertanyaan boleh hubungi di Whatsapp HOTLINE KM di nombor 010-544 9866.

Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana ALLAH.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
18 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 18/12/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini  Ratu Rock, X jadi isu.. Apa jadi isu? ..& Gerakan Info Bencana.

Inilah, Malaysia tanah airku, semoga al-hamdulillah.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Gabungan semalam tidak sah -Muhyiddin. ‘paksa’ sokong, & tentang..


Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

1. Perjanjian persefahaman kerajaan tak berperlembagaan, tak sah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan perjanjian persefahaman yang ditandatangani gabungan parti kerajaan, semalam, sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata kandungan dalam perjanjian bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

Katanya, undang-undang anti lompat parti yang mula berkuat kuasa pada Oktober lalu tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

"Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

"Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perjanjian yang tidak berperlembagaan itu menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sekiranya beliau yakin, katanya, tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

"Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau Rang Undang-Undang (RUU) lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

"Ini kerana, seperti didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan Perlembagaan dibuat," katanya.

Muhyiddin berkata, sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran ini dianggap sah, tidak mustahil pindaan Perlembagaan yang bertentangan dengan naluri Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

"Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik," katanya.

Empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), semalam bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.


2. PH-BN ‘paksa’ ahli parlimen sokong undi percaya Anwar 

Dr Zulkeflee Yaacob

KOTA BHARU: Tindakan kerajaan PH-BN memaksa setiap ahli parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin ini dianggap bertentangan dengan kebebasan bersuara setiap ahli parlimen.

Akademia Psikosiolinguistik dari UPSI, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan itu memperlihatkan pelanggaran hak amalan demokrasi dan memperlihatkan kepincangan terdesak perdana menteri mahu mengekalkan kuasa eksekutif.

Katanya situasi itu berlaku kerana tiada blok parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuh kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

“Sedangkan sebelum itu Tan Sri Muhyiddin telah menghantar SD yang mendakwa cukup sokongan tetapi Pengerusi BN memohon menangguh titah agar dilanjutkan waktu. Sedangkan tindakan itu suatu pelanggaran yang mencetuskan polemik.

“Tindakan Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara tentang parti yang ‘mungkin’ mendapat mandat minimum 115 daripada 222 kerusi parlimen berlandaskan perlembagaan,” katanya di sini.

Semalam, parti komponen yang menyokong Anwar ‘dipaksa’ menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti melalui akta-akta secara kumulatif.

Pada perjanjian tersebut setiap ahli parlimen yang menyokong Anwar mesti mengundi percaya kepadanya. Dan ahli parlimen yang gagal, enggan atau cuai dari berbuat sedemikian dikira melanggar tanggungjawab sebagai ahli parlimen secara individu kepada parti yang diwakili mereka.

Pelanggaran itu sekali gus akan menyebabkan mereka diberhentikan daripada menjadi ahli parlimen serta kerusi beliau juga akan dikosongkan mengikut kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli parlimen yang bertindak sedemikian juga dikehendaki untuk mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut.

Dr Zulkeflee juga berkata, penubuhan kerajaan perpaduan tidak pernah ada dalam teks tiga halaman yang dikeluarkan Istana Negara sebelum ini.

“Dari segi kamus, kosa kata perpaduan ialah penyatuan sesebuah masyarakat atau pun kumpulan dan jiran mereka.

“Dalam konteks ini, kata campuran atau gabungan lebih tepat berkaitan suasana di lapangan namun pandangan dari sudut politik sering silang kata dengan makna realiti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2022


3. MP UMNO, BN masih boleh tentang undi percaya, usul kerajaan  


Ahli Parlimen (MP) yang sekarang ini berpihak kepada kerajaan PH-UMNO pimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menentang usul, termasuk undi percaya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata paling teruk risiko sekiranya MP terbabit tidak menyokong sebarang usul dibawa kerajaan ialah kehilangan kerusi Parlimen, namun jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan maka Perikatan Nasional sedia membantu.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu berkata MP yang disingkirkan kerana tidak menyokong usul kerajaan masih boleh bertanding jika PRK diadakan.

“Kepada MP-MP UMNO/BN yang masih punya hati dan prinsip untuk tidak berteduh di bawah kerajaan yang diketuai PH, mereka masih boleh menentang usul kerajaan di dalam Parlimen.

“Paling teruk risiko yang dihadapi ialah hilang kerusi. Namun, mereka boleh bertanding semula jika diistiharkan pilihan raya kecil,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas syarat yang dikenakan kerajaan PH-UMNO kepada semua MP yang menyokong kerajaan.

Terdahulu PH yang turut dianggotai DAP, mengukuhkan cengkaman ke atas semua MP yang menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan, dengan mewajibkan mereka memberi sokongan dalam setiap usul yang dibawa di Dewan Rakyat.

Kegagalan MP terbabit memberi sokongan atau undi kepada Anwar atau usul dibawa kerajaan di Parlimen sehingga memberi kesan kepada keabsahan Kerajaan Pusat, dikira sebagai pelanggaran yang dianggap sebagai perletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen.

Perkara itu terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani pemimpin-pemimpin parti gabungan yang membentuk Kerajaan Pusat hari ini (16 Disember 2022).

Kegagalan, keengganan atau kecuaian daripada berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS berkata Perikatan Nasional sedia memberi peluang kepada MP terbabit sekiranya PRK diadakan.

“Dengan mood rakyat seperti di Padang Serai, tidak mustahil mereka boleh menang semula. Tetapi, jika mahu teruskan untuk menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan/Barisan Nasional, terpulanglah,” katanya.

Komen weblog Ibnu HasyimGabungan semalam tidak sah -Muhyiddin. ‘paksa’ sokong, & tentang undi percaya..

Tunggu Isnin ini...

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

BN, PH di blok kerajaan. PN wadah umat Islam. KAMI bantah.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

1. BN, PH sebaris di blok kerajaan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang membuka tirainya hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk dalam kalangan Ahli Parlimen khususnya selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perubahan kedudukan Ahli Parlimen itu menyaksikan blok parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini berseteru kini buat pertama kali berada sebaris dalam satu blok.

Perubahan ketara dapat dilihat apabila kerusi yang dikhususkan untuk Ketua Majlis kini diduduki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebelahnya.

Di sebelah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) diikuti Anthony Loke (PH-Seremban) yang juga Menteri Pengangkutan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Sabri (BN-Bera) diapit Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula duduk di sebelah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Blok pembangkang pula diduduki Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan PAS dengan kerusi Ketua Pembangkang diisi Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Turut berada di blok pembangkang adalah bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan sebelum PH bersama dengan BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. (BH)


2. PN wadah politik baharu umat Islam Malaysia  

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini menyaksikan kecenderungan atau pola pengundian orang Islam Bumiputera khususnya bangsa Melayu memihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan kepada beberapa statistik, lebih kurang 54 peratus umat Islam dalam negara telah mengundi Perikatan Nasional, jauh lebih besar daripada jumlah peratusan undi orang Islam yang diterima oleh gabungan parti-parti politik lain dalam negara.

Ia dibuktikan lagi apabila majoriti daripada kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi Perikatan Nasional adalah dari kawasan Parlimen yang didominasi oleh pengundi dari kalangan umat Islam, satu petanda bahawa Perikatan Nasional telah mula mendominasi politik umat Islam dalam negara.

Perikatan Nasional juga telah meraih undi popular pada PRU15 kali ini sebanyak 34 peratus secara keseluruhan, hanya kurang 6 peratus berbanding Pakatan Harapan dan meninggalkan Barisan Nasional yang hanya memperolehi sebanyak 25 peratus undi popular.

Jumlah undi yang diterima Perikatan Nasional juga turut meningkat secara drastik pada PRU 15 ini iaitu sebanyak 4,612,578 undi, iaitu peningkatan lebih 100 peratus berbanding 2,015,578 undi yang diterima pada PRU 14 yang lalu, samada ia undi yang diterima oleh PAS yang bertanding solo ataupun jika dicampur dengan undi yang diterima Bersatu.

Secara tidak langsung boleh juga dikatakan bahawa Perikatan Nasional adalah pemenang mutlak pada PRU kali ini kerana telah berjaya mencetuskan “gelombang kebangkitan“ besar di kalangan umat Islam terutamanya anak-anak muda di kalangan pengundi-pengundi baharu apabila diwartakan “Undi 18“.

Sebelum berlangsungnya PRU 15, rata-rata penganalisa politik dalam negara tidak memberikan harapan besar kepada Perikatan Nasional untuk melakukan “kejutan“ pada pilihan raya kali ini dan lebih menumpukan kepada pertembungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Perikatan Nasional hanya dilihat atau dianggap sebagai “kuasa politik sementara“ berikutan pengambilalihan tampuk Kerajaan Persekutuan akibat perletakan jawatan Tun Dr. Mahthir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan selepas PRU 14.

Mereka juga percaya bahawa Perikatan Nasional tidak mampu meneruskan momentum atau meraih sokongan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam setelah Barisan Nasional dan Umno menarik kembali sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui Kerajaan Persekutuan sebagai Perdana Menteri.

Maka setelah Barisan Nasional dan Umno kembali menguasai Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu berserta kemenangan Barisan Nasional dan Umno dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, rata-rata penganalisa politik tempatan meramalkan PRU 15 adalah pertembungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Namun apa yang diramalkan tidak menjadi kenyataan kerana Perikatan Nasional telah melakukan pelbagai kejutan pada PRU kali ini dan hampir-hampir sahaja berjaya menumbangkan Pakatan Harapan dengan hanya perbezaan sebanyak tujuh kerusi Parlimen sahaja antara kedua-dua gabungan parti politik.

Barisan Nasional dan Umno yang dijangka menjadi saingan kuat Pakatan Harapan pada PRU kali ini begitu jauh ketinggalan dengan hanya memenangi sebanyak 30 kerusi parlimen. Bolehlah dianggap bahawa Barisan Nasional secara totalnya kalah teruk pada PRU kali ini, lebih teruk daripada PRU 14 yang lalu.

Ia seterusnya diterjemahkan bahawa Umno bukan lagi parti tunjang kepada umat Islam khususnya orang Melayu dalam negara masakini dan boleh juga dikatakan bahawa orang Melayu telah mula menjauhi dan meninggalkan Umno, satu kuasa politik yang telah mendominasi arena politik orang Melayu sejak negara mula merdeka.

Kini telah mula timbul pelbagai persoalan mengapa orang Melayu telah mula meninggalkan Umno dan memilih Perikatan Nasional sebagai wadah politik mereka masakini. Pelbagai ramalan dan andaian telah mula timbul samada ianya positif dan tidak kurang juga banyak yang negatif.

Ada yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional telah memainkan isu perkauman dan agama dengan begitu kuat pada PRU kali ini. Ada yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional telah memanipulasi umat Islam dengan melakukan penipuan, fitnah dan pelbagai lagi tohmahan yang tidak masuk akal.

Yang lebih tidak masuk akal, ramai juga yang percaya dengan alasan dan ramalan-ramalan tersebut namun yang pastinya ia adalah salah, tidak benar, fitnah dan jauh tersasar. Perikatan Nasional bukanlah sebuah gabungan parti politik yang rasis, ekstrem, “kaki fitnah“ dan memanipulasi rakyat. Boleh dikatakan sebenarnya bahawa umat Islam kini melihat dan menilai Perikatan Nasional dari banyak sudut yang cukup berbeza berbanding dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Perikatan Nasional kini dilihat sebagai pembela nasib umat Islam di dalam negara. Perikatan Nasional dilihat sebagai pelindung agama Islam dan hak orang Melayu serta mampu memimpin orang Melayu dan Bumiputera ke era dan masa depan yang lebih baik.

Perikatan Nasional dilihat mampu merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar samada dari sudut ekonomi, sosio budaya, pemikiran dan taraf kehidupan. Perikatan Nasional dilihat mampu mengangkat kembali “maruah dan jatidiri“ umat Islam ke tahap yang lebih baik setelah dilihat sekian lama tercalar.

Perikatan Nasional dilihat sebagai sebuah gabungan parti poltik yang bersih, berintergriti, berkarisma, berwibawa dan dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang mampu mengangkat umat Islam ke tahap yang lebih tinggi. Natijahnya, Perikatan Nasional kini dilihat sebagai wadah baharu kepimpinan negara yang diterajui oleh umat Islam serta mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara.

Mungkin ada yang akan menolak tanggapan ini dengan naratif politik masing-masing tetapi jika dikaji dengan teliti segala permasalahan dan rungutan umat Islam dalam negara, segala yang dipaparkan adalah realiti yang hakiki dan perlu diakui di mana rata-rata umat Islam merasai bahawa mereka telah jauh ketinggalan, dipinggirkan, tidak dipedulikan dan seperti dianaktirikan walau berada di tanah air mereka sendiri.

Setelah sekian lama “meminta dan merayu“, umat Islam dalam negara masih terasa seperti nasib mereka tidak diperdulikan oleh “golongan-golongan elit“ politik orang Melayu yang telah memimpin dan mentadbir negara sejak sekian lama. Mereka merasa jauh dan seperti wujud perbezaan antara mereka dan pemimpin serta pentadbir di kalangan ”golongan elit“ politik orang Melayu tersebut.

Akhirnya setelah wujud Perikatan Nasional, umat Islam merasa mereka dekat dengan pemimpin. Mereka berasa suara mereka didengari, nasib mereka diambil peduli, rintihan dan keluhan mereka diambil kira dengan merasakan bahawa pemimpin-pemimpin mereka kali ini benar-benar bersama mereka, “ berdiri sama tinggi, duduk sama rendah “.

Mereka tidak lagi rasa terasing dan seperti “berbeza kasta“ kerana pemimpin Perikatan Nasional dilihat “sama sahaja“ seperti mereka. Inilah realiti dan hakikat yang dilihat oleh majoriti umat Islam dalam negara ketika ini pada Perikatan Nasional dan para pemimpinnya serta merasakan bahawa Perikatan Nasional dan pimpinannya adalah sebahagian daripada mereka.

Umat Islam sudah sedar, cerdik dan peka dengan suasana politik di sekeliling mereka. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan cerita-cerita karut dan naratif politik yang tidak betul, tahu yang mana hak dan batil serta tahu yang mana satu mudarat dan membawa kebaikan kepada mereka.

Realitinya, Perikatan Nasional masakini adalah wadah baharu politik untuk umat Islam dan Bumiputra di dalam negara, wadah politik yang mampu membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk segenap lapisan masyarakat di dalam negara.

Insyallah, saya juga percaya akibat kesedaran politik yang semakin menyinar dalam negara masakini, sedikit masa lagi Perikatan Nasional mampu meraih sokongan daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum demi untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama.

Malaysia Sejahtera

YB Dr. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 17/12/2022

3. KAMI bantah sekatan suara rakyat oleh kerajaan baharu 

Sekumpulan sembilan ahli Kami Anak Muda Indipenden (KAMI) tiba di parlimen. Mereka dilihat memakai baju-T hitam yang tertera logo kumpulan mereka. 

Kumpulan itu cuba menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membantah sekatan terhadap Video Tiktok yang melanggar garis panduan kerajaan baru-baru ini.

Memorandum mereka diterima oleh kakitangan kementerian Komunikasi dan Digital, Ahmad Firdaus Mohd.

KAMI merupakan sebuah kumpulan sebelum ini dipopulari oleh Ahmad Lutfi Othman yang merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim, PH dan AMANAH. 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: BN, PH di blok kerajaan. PN wadah umat Islam. KAMI bantah.

Al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails