Monday, January 02, 2023

Ella Ratu Rock saman penganjur. & Khalwat, tahun baru.

 

Ella tidak akan membiarkan wajahnya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab dan bakal mengenakan tindakan saman terhadap penganjur. - Foto IG Ella

HALAMAN HIBURAN

1. Ella kesal gambar diperguna, saman penganjur

KUALA LUMPUR: Enggan dipergunakan demi keuntungan pihak tidak bertanggungjawab, Ratu Rock, Ella bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur festival makanan yang didakwa menggunakan gambarnya dalam poster tanpa kebenaran, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dibuat di Instagram (IG), pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin itu turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab penganjur berkenaan.

"Saya kesal tindakan syarikat penganjur kerana mengguna imej saya untuk penganjuran Karnival Geggar Wanza Food Fest Mega yang berlangsung antara 23 Disember hingga semalam di Mydin MITC Mall Ayer Keroh, Melaka tanpa kebenaran.

"Kami percaya urus setia penganjuran melakukan promosi berterusan dengan menggunakan imej artis bagi mempromosi jualan reruai dan jenama majlis mereka," tulisnya.

Ella muat naik hantaran meluahkan kekesalan dengan tindakan penganjur yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya dalam poster festival tanpa kebenaran. - Foto IG Ella

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Merah ini turut menitipkan pesanan kepada semua pihak agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa kepada penganjur berkenaan.

"Semua peniaga berkaitan dinasihatkan agar lebih waspada dalam semua urusan dan tidak terpengaruh dengan penganjuran tidak bertanggungjawab seperti ini.

"Saya menerusi pengurusan, Ben Jawi Ventures (BJV) akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang bagi mendidik penganjur agar lebih bertanggungjawab," tegasnya.

Menerusi hantaran berbentuk poster dimuat naik penyanyi itu, selain Ella, acara itu turut membabitkan komposer dan penyanyi Harry Khalifah bersama anaknya, Chombi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. (BH)


2. Pasangan remaja ditahan, disyaki khalwat di hotel bajet  

KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat bersama pasangannya berumur 18 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat di dalam bilik sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan kira-kira jam 4 pagi dalam Operasi Ambang 2023 dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata pasangan berkenaan memberi alasan keluar untuk menyambut tahun baharu 2023.

"Hasil pemeriksaan ketika operasi mendapati mereka disyaki duduk berdua-duaan di bilik hotel dalam keadaan mencurigakan.

"Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana kesalahan khalwat yang menimbulkan syak dan bertentangan hukum syarak.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya, di sini, hari ini.

Dalam operasi sama yang bermula jam 4 petang semalam dan berakhir jam 4.30 pagi tadi, beliau berkata, seramai 11 wanita turut diberi notis kehadiran khidmat nasihat kerana berkelakuan tidak sopan, manakala satu kes diberikan amaran keras.

Beliau menjelaskan, fokus utama operasi itu ialah untuk memantau dan menyedarkan masyarakat berkenaan kesalahan syariah.

"Kita menasihati semua supaya tidak melakukan kesalahan syariah, termasuk kemungkaran, dan sentiasa menjaga diri.

"Selain itu, pihak kita juga mengedarkan risalah berkaitan kesalahan syariah kepada orang awam, termasuk di pasar raya dan tempat tumpuan ramai, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya. (BH)

BERITA BERKAITAN


Komen Weblog Ibnu HasyimElla Ratu Rock saman penganjur.  & Khalwat, tahun baru.

Jom berkhidmat untuk masyarakat ke arah membantu supaya berlaku disiplin 'patuh syariah', di Malaysia yang kita cintai.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Sunday, January 01, 2023

Khilaf bebaskan Zahid. Pahlawan?

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bersama penyokong selepas keputusan beliau dilepas dan dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) pada September lalu. - Foto fail NSTP

1. 'Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid'

KUALA LUMPUR: Pendakwaan menyatakan ia terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ia berkata demikian melalui petisyen rayuan difailkan semalam, untuk mengetepikan keputusan pada 22 September lalu, berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes terbabit.

Pendakwaan menegaskan, Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie.

Hakim itu juga dikatakan gagal menilai secara maksimum dan menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut pendakwaan, hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada UKSB, sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya.

Dalam menolak keterangan mengenai penghantaran wang rasuah kepada Ahmad Zahid, pendakwaan berkata, hakim tersalah arah apabila membuat perbandingan fakta antara kes itu dan fakta dalam kes rasuah berhubung projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Pendakwaan menyatakan, ia adalah kerana suatu dapatan fakta bukan duluan yang mengikat (binding precedent) dan tidak wajar untuk diguna pakai sebagai otoriti.

Pendakwaan juga menyatakan, hakim tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai penghantaran wang kepada Ahmad Zahid.

"Hakim terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi, yang bukan sahaja atas alasan yang rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.

"Hakim juga terkhilaf apabila gagal untuk mengambil manfaat dan kelebihan sebagai hakim bicara ketika melihat dan mendengar saksi pendakwaan memberikan keterangan;

"Hakim tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan. (BH)


2. Keturunan pahlawan 

DULU DS Najib pun kata, dia keturunan Bugis. Tapi bila dia buat program Nothing To Hide, Tun dengan DS Ahmad Said kata nak datang, nak tanya soalan pasal TIA dan 1MDB, program itu kemudiannya dibatalkan dan tak buat-buat. Entah arahan siapa yang batalkan, semua orang tidak tahu.

Bila PH menang, Tun jadi Perdana Menteri, DS Najib masuk mahkamah. TS Muhyiddin sambung kes itu. Zaman DS Ismail Sabri, DS Najib dijatuhkan hukuman. Jadi, keturunan pahlawan Bugis ini, mengharapkan DS Anwar dan seorang lagi keturunan Pahlawan, DS Zahid untuk tolong dia sekarang.

Pahlawan DS Zahid ini nampak gagah dari DS Najib sebab setakat ini, bukan sahaja pengundi PH yang bencikan dia, dia tipu. Tapi pakej penipuan itu sekali dengan pengundi BN pun kena scammed.

Cuma kita yang luar PH-BN ini, sudah dapat agak apa yang bakal berlaku, bila mana ada cadangan untuk jawatan Presiden tidak dipertandingkan, lalu Zahid segera menafikan dia penakut, dia ada darah keturunan pahlawan katanya. 

Yang kita faham sangat, bila dia kata tidak dan nafikan itu, biasanya semua akan terjadi. Menteri Besar Johor, No Anwar, No DAP, sebagai contoh cakap lain, buat lain. Lain yang diorder, lain yang sampai, kata budak-budak sekarang.

Manakala penyokong PH pula tentu saja akan menyokong cadangan tiada pemilihan Presiden Umno ini, sebab jika Zahid kalah, maka masalah terbesar mereka ialah, kerajaan mereka berkemungkinan besar, akan runtuh sekali lagi. Tak sempat pula nak dapat pencen menteri.

Jadi PH pula mungkin yang akan paling sibuk berkempen untuk Zahid, supaya jawatan Zahid dikekalkan. Inilah baru kita panggil kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, membantu dengan penuh harapan untuk menang, kawan PH, Zahid, yang dalam kesusahan

Penyokong Umno pula, macam ayam yang nak kena sembelih dalam bakul. Masa tangan tuan ayam masuk bakul, ayam bising sebab takut, marah. Bila tangan itu keluar, bawa kawan dia seekor, dia pun senyap sebab tangan dah tak ada. Yang kena sembelih, kawan dia. 

Dia tak kisah, tak pedulipun. Bila tangan masuk lagi, dia bising balik. Sehinggalah tangan itu tangkap dia, kena sembelih, barulah dia diam selama-lamanya.

Hai… Umno, Umno…

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 28/12/2022

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Lagi, bencana pusat hiburan hotel-kasino, 10 maut, 30 cedera. Kemboja.

 

Anggota bomba berusaha untuk menyelamatkan orang yang cuba melarikan diri daripada kebakaran di kasino hotel Grand Diamond City di Poipet. - Foto AFP 
Kebakaran dilaporkan berlaku di hotel kasino Grand Diamond City pada tengah malam Rabu, menurut Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran.- Sumber foto FB Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran Kemboja

1. 10 maut, 30 cedera dalam kebakaran hotel-kasino Kemboja

PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya 10 maut dalam kebakaran membabitkan sebuah hotel kasino di Kemboja, berhampiran sempadan Thailand, kata polis hari ini.

Kebakaran di Hotal Grand diamond City di Poipet berlaku lewat malam tadi, sekitar jam 11:30 malam (waktu tempatan).

Menurut laporan awal pihak polis yang disaksikan wartawan AFP, sekitar 10 orang maut dan 30 lagi cedera.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dekat wilayah Sa Kaeo, Thailand.

Ketika kejadian, dipercayai sekitar 400 individu bekerja di kasino berkenaan.

Media tempatan melaporkan, warga asing turut berada dalam kasino berkenaan ketika kebakaran.

Sumber Kementerian Luar Thailand memberitahu, mereka memantau rapat kejadian itu dengan pihak berkuasa.

"Pihak berkuasa cuba untuk mengawal kebakaran termasuk mengerahkan trak bomba dari sebelah Thailand," katanya.

Menceritakan keadaan ketika itu, seorang sukarelawan kumpulan penyelamat Thailand daripada Yayasan Ruamkatanyu berkata, api bermula dari tingkat satu dan kemudiannya merebak cepat sehingga menjilat keseluruhan bangunan.

Grand Diamond City adalah antara beberapa hotel kasino yang selalu menjadi tempat berkumpul, terletak di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja. - AFP

KUALA LUMPUR 10 FEBRUARI 2019. Sebuah pusat hiburan di tingkat 5, dalam sebuah pusat beli-belah di Kepong, ibu negara, diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto NSTP



2. Hukum mereka bentuk tempat maksiat. 
AL-KAFI #732 : HUKUM MEREKA BENTUK TEMPAT MAKSIAT  

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, saya berkerja sebagai Design Architect di sebuah firma cina. Saya pernah diberikan tugasan oleh ketua saya (beliau merupakan seorang non-muslim) untuk mereka bentuk ruang untuk meletakkan patung buddha dan mereka cipta sebuah pusat karaoke yang ada menyediakan hidangan seperti arak di dalam premis tersebut. Apakah hukum jika saya terlibat sebagai designer kepada tempat-tempat seperti ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab isu ini, kami perincikan persoalan di atas dengan beberapa perkara yang berikut:

Pertama: Hukum Berkerja Dengan Orang Bukan Islam

Kami maksudkan dengan tajuk di atas ini adalah berkenaan hukum seorang muslim berkerja dengan syarikat atau organisasi yang dimiliki atau diketuai oleh orang bukan Islam.

Dalam membahaskan isu ini, para fuqaha secara majoriti mengatakan hukumnya adalah dibolehkan. Kebanyakan mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata:

فَمَرَرْتُ بِيَهُودِيٍّ فِي مَالٍ لَهُ وَهُوَ يَسْقِي بِبَكَرَةٍ لَهُ فَاطَّلَعْتُ عَلَيْهِ مِنْ ثُلْمَةٍ فِي الْحَائِطِ فَقَالَ مَا لَكَ يَا أَعْرَابِيُّ هَلْ لَكَ فِي كُلِّ دَلْوٍ بِتَمْرَةٍ قُلْتُ نَعَمْ فَافْتَحِ الْبَابَ حَتَّى أَدْخُلَ فَفَتَحَ فَدَخَلْتُ فَأَعْطَانِي دَلْوَهُ فَكُلَّمَا نَزَعْتُ دَلْوًا أَعْطَانِي تَمْرَةً حَتَّى إِذَا امْتَلأَتْ كَفِّي أَرْسَلْتُ دَلْوَهُ وَقُلْتُ حَسْبِي فَأَكَلْتُهَا ثُمَّ جَرَعْتُ مِنَ الْمَاءِ فَشَرِبْتُ ثُمَّ جِئْتُ الْمَسْجِدَ فَوَجَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيهِ

Maksudnya: ‘’Kemudian aku pun melepasi seorang yahudi pada harta miliknya dalam keadaan dia sedang mengambil air dengan penarik air miliknya. Maka aku pun melihat ke arahnya di sebalik pagar. Lalu dia berkata: ‘’Apa kena dengan kamu wahai orang arab ? Hendakkah kamu untuk mendapat satu biji tamar bagi setiap bekas (untuk menimba air)’’. Maka akupun berkata: ‘’Ya, bukakanlah pintu supaya aku dapat masuk’’. Beliau pun membuka pintu dan aku memasukinya, lalu beliau memberikan kepadaku timba tersebut. Setiap kali aku lepaskan timba itu (keluarkan air) beliaupun memberikan kepadaku sebiji tamar. Sehinggalah telah penuh kantungku aku pun melepaskan timbanya dan aku mengatakan: Memadailah buatku, maka aku pun memakannya. Kemudian akupun mengeluarkan air itu dan meminumnya, dan aku pergi ke masjid lalu mendapati Rasulullah S.A.W berada di dalamnya’’.

Riwayat al-Tirmizi (2473)

Berdasarkan riwayat di atas, adalah dibolehkan untuk seorang muslim itu berkerja dengan orang bukan islam dan mendapat upah hasil perkhidmatan yang dia berikan.

Kedua: Hukum Membantu Orang Bukan Islam

Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan muslim, bantuan tersebut terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Pengibadatan Agama Lain Dan Maksiat

 

Dalam isu yang melibatkan amalan keagamaan agama lain, adalah tidak boleh untuk seorang yang beragama islam membantunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T:

 وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Janganlah kamu saling membantu di atas perkara dosa dan permusuhan.

Surah Al-Ma’idah (2)

 

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T mengharamkan bantuan dalam perkara-perkara dosa dan juga perkara yang melampaui batas yang telah Allah tetapkan.

  1. Kebajikan sosial

Dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.

 Riwayat al-Tirmizi (1987)

 

Kalimah manusia di dalam hadis dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa, dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.

Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyebut:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah Al-Mumtahanah (8) 

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan islam yang tidak memerangi umat islam adalah dibenarkan di sisi syarak.

Sebagai contoh, seorang muslim yang melihat orang bukan islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan islam tersebut. Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami mengatakan bahawa hukum berkerja dengan syarikat yang diketuai oleh bukan islam adalah harus secara umumnya. Namun, jika pekerjaan tersebut bercampur dengan perbuatan yang haram seperti membantu mendatangkan kemudaratan kepada umat islam, memerah arak, membantu ke arah kesyirikan dan kemaksiatan, maka ia adalah dilarang dan ditegah.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami mengatakan bahawa perbuatan tersebut hendaklah dielakkan. Ini kerana setiap wasilah untuk mencapai ke arah tujuan yang tidak baik adalah dianggap sebagai tidak baik juga. Ini seperti yang disebutkan dalam kaedah:

الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام الْمَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah-wasilah mempunyai hukum yang sama dengan tujuan.

Justeru, melakukan reka bentuk (design) bagi tempat-tempat yang bertujuan untuk diadakan maksiat kepada Allah di dalamnya adalah suatu wasilah yang dilarang.

Kami mencadangkan agar saudara dapat berbincang dengan majikan secara berhikmah dan menjelaskan keadaan ini dengan sebaiknya agar mendapat keputusan yang terbaik di antara kedua belah pihak. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails