Tuesday, January 24, 2023

Konsert begini di negara umat Islam M'sia, wajarkah?

 

Radhi (kanan) akan mendendangkan rangkaian lagu malar segar OAG sepanjang konsert, esok. Foto OAG Official

HALAMAN HIBURAN
1. OAG rakam nyanyian peminat dalam konsert esok

KUALA LUMPUR : Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam, esok, bakal melakar sejarah peribadi buat band itu.

Acara itu menjadi konsert berskala besar yang julung kali dipentaskan band itu selepas tiga dekad OAG berada dalam belantara muzik tempatan.

Berkongsi perkara itu, pemain dram kumpulan alternatif terkenal itu, Qi Razali berkata, konsert itu bukan sahaja menghimpunkan penggemar setia, malah, dianggap dokumentari yang memaparkan perjalanan band itu sejak mula aktif di pentas muzik.

"Pada konsert itu, kita kumpulkan semua orang yang pernah bersama OAG dari dahulu sampai kini.

'Kita pun tahu sejarah OAG yang ahlinya sering bertukar ganti. Jadi, kami mahu meraikan kejayaan ini bersama-sama.

"Selain menyanyikan antara 20 hingga 30 lagu, konsert itu juga menayangkan video yang menceritakan awal pembabitan kami dalam bidang muzik seperti gig pertama yang kami sertai. 

Konsert OAG 30 Tahun Generasiku anjuran BSX Box dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia mengisi festival seni yang bermula seawal 9 pagi sehinggalah 12 tengah malam, esok. Foto IG OAG Official

"Radhi banyak menyimpan video lama kami. Sambil berhibur, dapat juga kita imbau memori 30 tahun dulu," kata Qi pada sidang media di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir, vokalis, Radhi dan bekas anggota OAG, Naza serta wakil penganjur.

Mengulas persiapan menjelang konsert itu, Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali perkara utama yang akan dititikberatkan adalah tahap kesihatan.

"Usia saya sekarang pun bukan muda lagi. Jadi, untuk mengekalkan stamina, saya jalani kehidupan sihat dengan melakukan senaman termasuk berjoging.

"Saya tahu ramai yang mempersoalkan kemampuan saya dan sangsi. Saya faham, takkan ada seorang pun yang akan menonton konsert artis 'lalok'.

"Justeru, sejak sebulan lalu, saya berusaha melawan 'kejahatan' dalam diri bagi memastikan saya 'bersih'," luah penyanyi lagu Slumber ini.

Bagi memahat kenangan bersama peminat yang sentiasa ada di saat jatuh dan bangun mereka, Radhi memberitahu, mereka akan mengabadikan vokal penonton konsert itu dalam single baharu mereka berjudul Ori.

"Selama ini, mereka hanya menjadi penyanyi latar setiap kali kami membuat persembahan.

"Disebabkan itu, timbul idea untuk memuatkan suara peminat dalam lagu ini. Lagu ini belum siap sepenuhnya.

"Kami hanya tunggu penonton menyanyikan rangkap mereka untuk dirakam dan dimuatkan dalam single itu," katanya.

Maklumat pembelian tiket boleh didapati didapati di laman sesawang www.oagforever.com.

OAG atau Old Automatic Garbage yang sebelum ini dikenali sebagai band 'underground' mula menembusi pasaran arus perdana menerusi lagu 60's TV pada awal 1990-an.

Konsert anjuran BSX Box dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia bukan sekadar konsert, malah, festival yang bermula seawal 9 pagi sehinggalah 12 tengah malam.

Pelbagai program dikendalikan di perkarangan stadium termasuk gerai jualan, pameran, pertandingan dan persembahan beberapa kumpulan muzik lain.


2. Blue tetap datang KL 

Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada 10 Februari depan. Foto IG Official Blue

KUALA LUMPUR : Konsert meraikan dua dekad kumpulan popular British, Blue, di sini, bulan depan diteruskan biarpun salah seorang anggotanya, Lee Ryan terbabit dalam kes salah laku perkauman dan kekerasan, baru-baru ini.

Penganjur yang juga pengasas Honeymoon, Kesavan Purusotman, berkata, setakat ini tiada perubahan dimaklumkan pengurusan Blue dan konsert berkenaan diteruskan seperti biasa.

"Seperti yang ramai sedia maklum, Ryan terbabit dalam kes berkaitan undang-undang di United Kingdom (UK). Tetapi, setakat ini, tidak ada perubahan untuk siri jelajah Blue.

"Mereka melakukan siri jelajah ke beberapa negara di Asia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kami, selaku penganjur tidak ada sebarang maklumat terperinci berkaitan kes itu," katanya.

Kesavan atau lebih dikenali sebagai KC berkata, pihaknya dimaklumkan kumpulan yang popular dengan lagu All Rise itu akan tampil dengan anggota lengkap iaitu seramai empat orang.

"Dalam perbincangan bersama pihak pengurusan Blue, kami dimaklumkan mereka akan tampil berempat. 

Kumpulan Blue akan mengubat rindu peminat melalui rangkaian lagu ‘hit’ pada konsert di KLCC, bulan depan. Foto IG Official Blue

"Apa yang saya faham, kalau dalam persembahan berkumpulan, sekiranya ada yang tidak dapat hadir atas isu peribadi, anggota lain akan mengambil alih kekosongan itu," katanya.

Konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada 10 Februari depan.

Sementara itu, anggota Blue, Simon Webbe tidak sabar untuk menghiburkan peminat menerusi rangkaian konsert jelajah sempena ulang tahun ke-20 kumpulan itu.

Webbe masih teringat sambutan diberi peminat ketika mereka bertandang ke Malaysia pada awal pembabitan sebagai kumpulan vokal.

"Ketika kali pertama kali datang Asia dan kami sempat singgah di Malaysia. Kami terkejut dengan sambutan yang diberi ketika itu. Peminat tunggu kami di lapangan terbang untuk sambut kami.

"Tidak sangka kami ada peminat di negara lain dan sehingga kini, kami tidak akan lupakan kenangan itu," katanya pada sidang media secara virtual di sini, baru-baru ini.

Bagi Antony Costa pula, dia berharap peminat akan terhibur dengan untaian lagu 'hit' Blue pada konsert jelajah itu.

Setakat ini, tiket konsert jelajah Blue di Malaysia anjuran Hitman Solutions dan Happymoon itu sudah terjual lebih 60 peratus.

Tiket untuk menyaksikan konsert masih boleh didapati di laman sesawang www.hitmanlive.com.


Komen Weblog Ibnu HasyimKonsert begini di negara umat Islam Malaysia, wajarkah diadakan?

Sila kemukakan pandangan anda berserta hujjah-hujjahnya, termasuk dari sudut agama masing-masing, jika perlu..

Sekian, terima kasih.

Saudi tolak normalisasi Israel.. Hakim gay, transgender menggila.

 

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menghadiri sesi pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada 17 Januari 2023. - Foto AFP

1. Arab Saudi menolak normalisasi Israel tanpa penyelesaian dua negara

RIYADH: Arab Saudi tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel sekiranya tiada penyelesaian dua negara dengan Palestin, kata diplomat tertinggi kerajaan itu dalam satu hantaran di twitter oleh kementerian luar negara itu.

Putera Faisal Farhan Al Saud berkata demikian di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos susulan perjumpaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan di Baitulmaqdis untuk membincangkan normalisasi dengan Arab Saudi semalam.

"Penormalan sebenar dan kestabilan sebenar hanya akan dicapai apabila rakyat Palestin diberikan sebuah negara," kata Putera Faisal kepada Bloomberg pada sidang kemuncak itu.

Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, adalah rakan rapat Amerika Syarikat (AS) tetapi ia berulang kali enggan menormalkan hubungan dengan sekutu AS, Israel kerana penjajahannya di wilayah Palestin.

Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS pada 2020 menyaksikan negara jiran kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain itu menjalin hubungan diplomatik penuh dengan Israel.

Netanyahu telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk melihat Arab Saudi menyertai senarai itu.

Dalam perbincangan mereka, Netanyahu dan Sullivan membincangkan "langkah-langkah untuk memperkukuhkan Perjanjian Abraham dengan memberi penekanan pada kejayaan dengan Arab Saudi," kata pejabat pemimpin Israel itu.

Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta Baitulmaqdis timur yang dikuasai Israel telah lama disebut-sebut sebagai asas negara Palestin dalam penyelesaian "dua negara" kepada konflik yang telah lama berlarutan.

Namun, matlamat itu menjadi semakin jauh, dengan Tebing Barat yang diduduki berpecah-belah oleh penempatan Yahudi.

Netanyahu merancang untuk meneruskan dasar peningkatan pengembangan penempatan di Tebing Barat, dengan parti-parti Yahudi ultra-Ortodoks dalam gabungannya menyokong pengilhakan beberapa wilayah itu. - AFP


2. India enggan lantik hakim gay  

Saurabh Kirpal. - Foto Twitter/KirpalSaurabh

NEW DELHI: Kerajaan India enggan melantik peguam kanan sebagai hakim kerana beliau seorang gay dan mempunyai pasangan warga asing.

Mahkamah Agung negara itu berkata, New Delhi hanya menyahjenayah seks gay pada 2018, dan penentangan terhadap hak gay meluas di negara yang mempunyai populasi 1.4 bilion orang dan sebahagian besarnya adalah konservatif.

Layanan terhadap homoseksualiti agak diterima dalam kalangan kelas pertengahan bandar, tetapi ramai orang India yang mengamalkan gaya hidup gay masih berisiko dipulaukan oleh keluarga, rakan atau di tempat kerja jika mereka mengakui secara terbuka.

Pada November, panel Mahkamah Agung termasuk ketua hakim sebulat suara mengesyorkan Saurabh Kirpal, yang mengaku secara terbuka sebagai seorang gay, untuk dilantik sebagai hakim mahkamah tinggi di Delhi.

Bagaimanapun, kerajaan telah menolak pencalonannya kerana agensi perisikan dalaman dan kementerian undang-undang negara itu telah membantah atas alasan orientasi seksualnya dan "hubungan intim" beliau dengan seorang warga Switzerland, kata panel itu di laman web mahkamah.

Pentadbiran dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi telah menentang percubaan untuk mengiktiraf hubungan sejenis secara rasmi dalam kes yang dibicarakan di mahkamah rendah.

Kirpal dicalonkan atas meritnya, kata panel itu lewat semalam, yang memuji keterbukaannya mengenai orientasi seksualnya dan mengatakan bahawa menolak kenaikan pangkatnya akan melanggar "hak yang diiktiraf oleh perlembagaan."

Menurut kenyataan itu, menteri undang-undang India menunjukkan "kesungguhan dan semangat Kirpal terhadap hak golongan gay" dan berkata ia menimbulkan kemungkinan berat sebelah dan prejudis.

"Homoseksualiti telah didekriminalisasi di India, namun perkahwinan sejenis masih tidak mendapat pengiktirafan sama ada dalam undang-undang statutori yang dikodifikasikan atau undang-undang peribadi yang tidak dikodkan di India," tambah menteri itu.

Beberapa pempetisyen memohon perbicaraan Mahkamah Agung dengan harapan membenarkan perkahwinan sejenis.

Mahkamah dan kerajaan nasionalis Hindu Modi terbabit dalam perebutan penamaan hakim.

Sebanyak 20 pencalonan telah dihantar semula tahun lalu dan panel telah menyerahkan semula nama Kirpal untuk pelantikan.

"Tiada sebab untuk mengandaikan bahawa kekasihnya yang berasal dari Switzerland itu akan berlaku secara tidak adil kepada negara kita kerana Switzerland adalah negara yang mesra, tambah panel itu," katanya.

AFP tidak dapat menghubungi Kirpal bagi mendapatkan komen beliau.

Panel itu berkata, ia telah menasihatkannya supaya tidak bercakap dengan media. - AFP


3. Undang-undang saksama jantina Scotland julang hak transgender 

Nicola Sturgeon (FOTO: The Times)

Nicola Sturgeon telah dituduh melampaui kuasanya dengan memperkenalkan pembaharuan tentang hak asasi transgender yang memungkinkan undang-undang kesaksamaan jantina di seluruh United Kingdom dirangka semula.

Di bawah rang undang-undang ‘pengenalan diri’ (‘self-ID’) atau ‘undang-undang jantina Sturgeon’ yang dicadangkan oleh Menteri Pertama dan Ketua Parti Kebangsaan Scotland (SNP) itu sebelum ini, sesiapa yang menukar jantina mereka secara sah di Scotland akan diiktiraf sebagai jantina yang bertentangan di seluruh Britain, lapor Daily Mail UK.

Ini bermakna seorang lelaki secara biologikal seawal 16 tahun akan mempunyai hak untuk bersekolah di sekolah perempuan, dan seorang banduan lelaki boleh menuntut untuk ditempatkan di penjara wanita walaupun mereka tidak hidup sebagai seorang wanita.

Seld-ID pula bermaksud apabila seseorang pekerja secara sah mendedahkan identiti kepelbagaian mereka kepada majikan mereka, termasuk bangsa/etnik; golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ); status veteran; atau hilang upaya.

Kajian oleh kumpulan badan pemikir pemikir konservatif British yang berpangkalan di London, Policy Exchange menyimpulkan pada Rabu (11 Jan) bahawa pembaharuan yang dirancang Sturgeon adalah sangat serius, dan menggesa kerajaan UK agar mengambil bahagian dan menghentikannya daripada dijadikan undang-undang.

Dalam kata pengantar, bekas Ketua Peguambela Scotland, Lord Keen dari Elie  menulis: “Ia (undang-undang ‘self-ID’ Sturgeon) bukan sahaja tidak praktikal tetapi dari segi perlembagaan tidak wajar bagi kerajaan UK untuk membenarkan badan perundangan dicadangkan untuk menggubal peruntukan yang mempunyai kesan material ke atas operasi undang-undang di seluruh United Kingdom.”

Terdahulu, Rang Undang-undang Pembaharuan Pengiktirafan Jantina (Scotland), yang diluluskan sebelum Krismas 2022, membenarkan orang ramai menukar jantina mereka dengan mendapatkan Sijil Pengiktirafan Jantina (GRC) dalam masa tiga bulan sahaja dan tanpa memerlukan diagnosis perubatan dysphoria jantina.

Dalam kes mahkamah berkaitan bulan lalu, hakim memutuskan bahawa memperoleh GRC telah mengubah jantina seseorang untuk tujuan Akta Kesaksamaan.

Laporan Policy Exchange pada Khamis (11 Jan) sehubungan itu memberi amaran bahawa perubahan dicetuskan Sturgeon itu akan menjejaskan undang-undang kesaksamaan di seluruh UK – lebih jauh daripada kuasa yang diturunkan kepada Scotland.

“Sesiapa sahaja boleh berpindah ke Scotland buat sementara waktu untuk mendapatkan GRC pantas kemudian berpindah kembali ke England, Wales atau Ireland Utara dan diiktiraf secara sah sebagai jantina yang bertentangan.

“Oleh kerana rang undang-undang Scotland menghapuskan keperluan untuk didiagnosis dengan dysphoria jantina atau mengenal pasti sebagai jantina yang bertentangan untuk mendapatkan GRC,” tegas laporan Policy Exchange itu sambil menambah seseorang individu hanya perlu menukar jantina mereka secara  sah untuk mematuhi keperluannya.

“Akibatnya, banduan lelaki ‘tanpa identiti transeksual’ juga boleh dan bebas untuk  membuat ‘keputusan strategik’ bagi menukar jantina yang sah semata-mata untuk keluar dari penjara lelaki yang berbahaya bermatlamat agar ditempatkan di penjara perempuan.

Di samping itu, Policy Exchange khuatir  bahawa mana-mana lelaki biologi berumur di bawah 18 tahun yang memperoleh GRC boleh ‘menuntut akses ke sekolah perempuan sahaja’, kerana mereka tidak boleh didiskriminasi berdasarkan penugasan semula jantina di bawah Akta Kesaksamaan.

Laporan tersebut juga menggesa Setiausaha Scotland, Alister Jack, sepertimana ahli parlimen dan kumpulan hak wanita, untuk menggunakan perintah Seksyen 35 untuk memveto pembaharuan radikal Sturgeon itu.

“Adalah boleh dipertikaikan bahawa Rang Undang-undang ini tidak berada dalam kecekapan Parlimen Scotland, memandangkan kesannya terhadap aspek terpelihara Akta Pengiktirafan Jantina 2004.

“Walaupun itu tidak benar, sudah pasti syarat yang diperlukan untuk membuat perintah Seksyen 35 telah dipenuhi,” tambah laporan Policy Exchange berkenaan.

Sementara kerajaan Scotland dalam kenyataannya berkata bahawa sebarang percubaan oleh kerajaan UK untuk menjejaskan kehendak demokrasi Parlimen Scotland akan dicabar untuk ditandingi dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan Scotland.

“Kami sentiasa jelas bahawa Rang Undang-undang itu tidak memberi kesan kepada Akta Kesaksamaan, dan Rang Undang-undang yang diluluskan meletakkan kedudukan itu tanpa keraguan,” tegas kenyataan itu.

Sementara itu, tidak terkecuali terdapat gesaan agar Wales turut menggunakan sistem yang sama seperti Scotland.

Menteri Pertama Wales, Mark Drakeford berkata Wales akan mengiktiraf sesiapa sahaja yang memperoleh GRC yang dicadangkan Scotland itu.

Beliau mengakui kerajaan Wales tidak mempunyai kuasa yang sama seperti Scotland, tetapi akan mendapatkan pengesahan dari Westminster, UK.

“Kami akan mencari kuasa dan, jika kami memperoleh kuasa itu, kami akan meletakkan kuasa itu untuk berfungsi di sini, di Wales, dan kami akan mengemukakan cadangan di hadapan Parlimen Wales ini,” katanya.

Secara geografi dan sejarah politik, United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) sejak 1922, terdiri daripada empat negara konstituen – England, Scotland, dan Wales (yang secara kolektif membentuk Great Britain), serta Ireland Utara.

Laman web Perdana Menteri UK telah menggunakan frasa ‘negara dalam negara’ untuk menggambarkan UK.

Walaupun UK adalah sebuah negara berdaulat kesatuan, namun  Ireland Utara, Scotland, dan Wales telah memperolehi darjah autonomi melalui proses penurunan kuasa. 

Parlimen UK dan kerajaan British berurusan dengan semua perkara terpelihara untuk Ireland Utara, Scotland, dan Wales, tetapi bukan dalam perkara umum yang sebaliknya  telah diserahkan kepada Perhimpunan Ireland Utara, Parlimen Scotland dan Welsh Senedd. 

England, yang terdiri daripada majoriti penduduk dan kawasan UK tetap menjadi tanggungjawab sepenuhnya Parlimen UK yang berpusat di London.

England, Ireland Utara, Scotland dan Wales sendiri tidak tersenarai dalam senarai negara Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi (ISO). 

Bagaimanapun senarai ISO bagi subbahagian UK, yang disusun oleh British Standards dan Pejabat Statistik Kebangsaan United Kingdom, menggunakan istilah ‘negara’ untuk menggambarkan England, Scotland, dan Wales, namun  Ireland Utara sebaliknya, digambarkan sebagai ‘daerah’ dalam senarai yang sama.  – HARAKAHDAILY 12/1/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Saudi tolak normalisasi Israel.. Hakim gay, transgender menggila.

Kini, Nicola Sturgeon telah melampaui kuasanya, memperkenal pembaharuan hak asasi transgender.. Yang memungkinkan undang-undang kesaksamaan jantina di seluruh United Kingdom dirangka semula.

Langkah menjajah, menjahannam manusia semula, supaya kembali ke zaman kaum Nabi Lut AS. Umat Islam wajib menolaknya!

Sunday, January 22, 2023

Tolak saman 4 ADUN P.Pinang. & Batal perumahan di lereng bukit di P. Pinang

 


1. Mahkamah Tinggi tolak saman empat ADUN Pulau Pinang terhadap DUN dan Speaker

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang terhadap DUN negeri itu dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang berhubung usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menolak saman ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), tanpa perintah mengenai kos.

"Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah jadi mahkamah ini terikat dengan keputusan itu," katanya ketika menyampaikan keputusan berkenaan hari ini.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
Bagi permohonan plaintif bahawa usul terhadap mereka adalah salah, Azizan berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa DUN.
Beliau juga berkata mahkamah tidak boleh memberikan injunksi terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada membincangkan usul meminta plaintif mengosongkan kerusi mereka semasa persidangan DUN.
"Mahkamah tidak boleh menghalang defendan daripada menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka di bawah perlembagaan negeri. Mahkamah tidak boleh campur tangan dan tidak mempunyai kuasa ke atas pengurusan dalaman Dewan Undangan Negeri," katanya.
Selepas Azizan menyampaikan keputusannya, Chetan Jethwani yang mewakili keempat-empat ADUN berkenaan memberitahu mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
"Kami juga akan mengemukakan permohonan injunksi untuk menghalang defendan daripada membentangkan usul sehingga rayuan ini selesai," katanya.
Pada 16 Dis 2022, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN berkenaan daripada meluluskan usul undang-undang antilompat parti.
Pada 2020, keempat-empat ADUN tersebut memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.
Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Chetan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
"Ini kerana kami percaya hakim telah membuat kesilapan dalam keputusannya mengenai perkara ini. Persoalan yang kami kemukakan ialah sama ada Perkara 14A benar-benar terpakai kepada empat ADUN ini.
"Kedua-dua ADUN Bersatu itu tidak pernah keluar parti dan mereka kekal dalam parti, manakala dua bekas ADUN PKR itu tidak keluar parti sebaliknya dipecat.
"Ketepikan soal perlembagaan, kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai Perkara 14A tetapi bagi Dewan Undangan Negeri untuk melucutkan kelayakan ADUN berdasarkan Perkara ini, ia tidak memenuhi kriteria," katanya.
-- BERNAMA
2. Mahkamah Persekutuan batal kebenaran merancang bangun perumahan di lereng bukit di P. Pinang 
Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan PBT untuk memberikan kelulusan merancang. - Fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Penghuni sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini memenangi rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memberikan kebenaran merancang kepada pemaju hartanah untuk membina perumahan di lereng bukit.
Keputusan sebulat suara itu disampaikan secara dalam talian oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Besar Malaya yang baru dilantik Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Hakim Nallini yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kebenaran merancang untuk diberikan kepada pemaju dan pemilik tanah berkenaan, Sunway City (Penang) Sdn Bhd adalah ultra vires dan terbatal.
 "Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan PBT untuk memberikan kelulusan merancang," katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Sunway City dan MBPP membayar kos keseluruhan RM300,000 kepada penghuni kondominium Sunrise Garden.
Hakim Nallini berkata di bawah Seksyen 22 (2A) (c) Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, jawatankuasa perancang negeri, dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang, bertanggungjawab untuk meminta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) apabila permohonan itu melibatkan pembangunan yang menjejaskan lereng bukit di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam pelan pembangunan.
Beliau berkata pembangunan yang melibatkan lereng bukit bukan lagi sekadar isu tadbir urus tempatan atau negeri semata-mata tetapi juga isu persekutuan dan nasional.
Sehubungan itu, beliau berkata PBT selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan TCPA.
MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada 21 Feb 2012, untuk kebenaran merancang bagi membina 600 unit rumah termasuk 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat atas tanah seluas 32.69 hektar, yang 43 peratus terdiri daripada tanah bukit.
Kedudukan tapak itu melebihi 76 meter dari aras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.
Penduduk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang dan pada 20 Nov 2015, lembaga itu mengetepikan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City.
Sunway City, kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dengan menamakan lembaga Rayuan, MBPP dan penduduk sebagai responden.
Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada pemaju dan membatalkan keputusan Lembaga Rayuan.
Penduduk kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuan mereka ditolak pada 7 Mei 2021, menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, sepasukan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili penduduk manakala peguam Christina Siew bagi pihak Sunway City dan peguam Karin Lim Ai Ching mewakili MBPP.
-- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu HasyimTolak saman 4 ADUN P.Pinang. & Batal perumahan di lereng bukit di P. Pinang
Dah terantuk baru tengadah. Dan ada yang lari dari perjuangan asal masing-masing.

Isteri bergelar penyanyi rap? & Hukum suara perempuan..

 

Video Haqiem dan isterinya, Anis Sofea berduet tular, bagaimanapun mereka sekadar suka-suka.

HALAMAN HIBURAN

1. Haqiem tidak izin isteri bergelar penyanyi rap?

KUALA LUMPUR: Video penyanyi Haqiem Rusli berduet bersama isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri yang tular menyanyikan lagu Pink Venom nyanyian kumpulan K-Pop sensasi, Blackpink hanya sekadar suka-suka.

Haqiem berkata, ia berlaku secara spontan ketika showcase Malam Mimpi Haqiem Rusli di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Mimpi itu menyangkal dakwaan ingin mengetengahkan isterinya dalam bidang nyanyian pula.

"Isteri tidak boleh menyanyi. Dalam video itu, isteri hanya sekadar menyanyi rap.

Mengulas teguran pemakaian isterinya yang agak ketat, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu menerima teguran dengan hati terbuka, malah tidak melatah jika teguran demi kebaikan.

"Saya menerima teguran dengan berlapang dada. Bagi saya, teguran baik kenapa perlu melatah?

"Insya-Allah, isteri akan lebih menjaga penampilan selepas selepas ini," katanya.

Haqiem berlapang dada menerima teguran netizen mengenai penampilan Anis Sofea, malah tidak melatah demi kebaikan.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Haqiem mendedahkan, dia bakal muncul dengan lagu bergenre balada sebelum pertengahan tahun ini.

"Lagu ciptaan Sharon Paul itu bakal menampilkan sepupunya, Fahmi Zahran yang baru berusia 16 tahun sebagai penulis lirik.

"Saya memberi peluang kepada sepupu kerana tertarik dengan bakat terpendam dimiliki sepupunya.

"Dia pernah menunjukkan kepada saya buku yang mengandungi lirik-lirik yang ditulisnya.

"Saya terkejut kerana tidak menyangka Fahmi memiliki bakat menulis. Liriknya sangat puitis mungkin kerana Fahmi pelajar sastera, jadi tidak salah untuk saya memberikan peluang dengan mengetengahkannya dalam bidang muzik," katanya.

Menyentuh soal zuriat, Haqiem berkata, dia dan isteri menyerahkannya kepada urusan Allah.

"Kami serahkan soal zuriat ke tangan takdir. Insya-Allah, jika sampai masanya nanti, kami akan umumkan," katanya.

Haqiem dan Anis Sofea mendirikan rumah tangga pada 19 November 2021, namun, belum dikurniakan zuriat. (BH)


2. AL-KAFI #783 : HUKUM SUARA ORANG PEREMPUAN 

Soalan

Apakah hukum suara orang perempuan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut pendapat jumhur, suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat, kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama. Tetapi diharamkan mendengar suaranya yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

MaksudnyaWahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman (فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ) “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).” Al-Suddi dan selainnya berkata: “Yang dimaksudkan ialah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki. Untuk itu Allah SWT berfirman (فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ) “yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu),” Iaitu niat buruk. (وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا) “dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Ibnu Zaid berkata: “Kata-kata yang baik, bagus dan ma’ruf dalam kebaikan. Makna hal ini adalah bahawa wanita berbicara kepada kaum lelaki dengan kata-kata yang tidak mengandungi kelembutan. Ertinya, jangalah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 6/477)

Tarjih

Kami cenderung kepada pendapat yang suara wanita bukanlah aurat. Ini berdasarkan beberapa hujah yang telah dibahaskan di atas di samping banyaknya tokoh wanita yang menjadi guru-guru mengajar kepada murid-muridnya bukan sahaja zaman sekarang tetapi sejak zaman dahulu lagi.

Al-Alusi berkata: “Yang tersebut di dalam kitab-kitab feqah Syafie, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah”. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 18/146)

Menurut ulama’ Hanafi, pendapat yang rajih ialah suara orang perempuan bukan aurat.[1]

Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Syeikh Ali al-Sobuni: “Sebaiknya kaum lelaki menegah perempuan-perempuan daripada melakukan perkara yang membangkitkan fitnah dan tipu daya seperti memakai pakaian sempit, meninggikan suara, dan memakai wangi-wangian. Firman Allah SWT:

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

MaksudnyaOleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab: 32)

Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang fitnah. Ameen.

Nota hujung:

[1] Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/549-550.

Al Kafi li al-Fatawi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Isteri bergelar penyanyi rap? & Hukum suara perempuan..

Sepatutnya kerajaan Malaysia perlu kembali mengamalkan 'hiburan menurut syariah' seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, yang sama-sama di bawah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3).

Sepatutnya suara rakyat pribumi perlu diutamakan dan dilayan, bukan suara pelancong, pendatang atau keturunan pendatang disambut berlebihan?

Mengapa mesti beruk di hutan disusukan, sedangkan anak sendiri menangis kehausan ditinggalkan?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails