Friday, January 27, 2023

Filem ini kutip RM1 juta seminggu. Traddisi Mak Yong..

 

Filem bergenre aksi dengan menyelitkan elemen tradisional Melayu, Duan Nago Bogho berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh seminggu tayangan.

HALAMAN HIBURAN
1. Duan Nago Bogho kutip RM1 juta seminggu

KUALA LUMPUR: Filem bergenre aksi dengan menyelitkan elemen tradisional Melayu, Duan Nago Bogho terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh seminggu tayangan.

Penerbitnya, Arisz Ab Rahman berkata, kejayaan itu membuktikan usaha mengangkat perjuangan seni Mak Yong diterima, sekali gus berharap terus mendapat sokongan untuk minggu seterusnya.

"Terima kasih kepada penonton yang menyokong filem berbentuk tradisional Melayu ini. Saya bersyukur perjalanannya bukan mudah dan ini juga adalah filem pertama saya.

"Mengikut kajian, kutipan 80 peratus disumbangkan oleh penonton Pantai Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan. Akan tetapi, penonton sekitar Lembah Klang turut memberi sokongan.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan filem ini untuk seluruh rakyat Malaysia, bukannya khusus orang Pantai Timur sahaja. Cuma, pengarah, Sabri Yunus meminjam latar dan dialek Kelantan," katanya kepada BH Online.  

Antara babak Sangeeta dalam filem Duan Nago Bogho.

Dalam masa sama, Arisz menyifatkan kejayaan itu membuktikan sesebuah filem tidak hanya bergantung kepada populariti pelakon dalam media sosial.

"Jika lihat ada juga filem tidak berjaya biarpun mengetengahkan pelakon yang memiliki jutaan pengikut dalam media sosial. Kehendak penonton Malaysia sudah berubah, mereka mahu lihat kelainan dan kualiti filem.

"Bagaimanapun, saya tidak menafikan populariti pelakon turut menyumbang kepada kejayaan. Kedua-duanya perlu berjalan seiring," katanya.

Duan Nago Bogho menampilkan Asrul Faizal selaku teraju utama, selain Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Husairi Husain, Jason Chong, Issey Fazlisham, Saidi Sabri dan ramai lagi.

Filem berkisarkan Duan (Asrul) yang juga pemegang watak Mak Yong dengan dua personaliti berbeza. Duan mencintai seni tradisional, namun dalam masa yang sama, suka bergaduh.

Kisahnya bermula apabila Duan bergaduh dengan penonton Mak Yong yang mengganggu ketika sedang membuat persembahan sehinggalah bapa memintanya meninggalkan kampung dan mencari kerja lain.

Filem pertama terbitan Kalamarif Holdings itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2 juta dan menemui penonton di pawagam sejak 19 Januari lalu. (BH)


2. Duan Nago Bogho angkat perjuangan Mak Yong 

Barisan pelakon filem Duan Nago Bogho, Jojo, Asrul, Sangeeta dan Rosyam. - NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Filem bercorak aksi antara genre pilihan penonton di Malaysia. Namun, tidak ramai penerbit berani mengetengahkan karya berbentuk tradisional Melayu.

Justeru, syarikat produksi Kalamarif Holdings Sdn Bhd memecah tradisi apabila berani menghasilkan naskhah istimewa berjudul Duan Nago Bogho arahan pengarah hebat, Sabri Yunus.

Menampilkan pelakon Asrul Faizal selaku teraju utama, filem itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh dan Sangeeta Krishnasamy.

Asrul berkata, dia berbesar hati apabila ilmu Mak Yong dipelajari sejak 1999 dapat diketengahkan dalam filem Duan Nago Bogho sebagai tontonan buat generasi muda.

"Saya mula mendalami ilmu Mak Yong sejak belajar di Universiti Malaya (UM), jadi sudah lebih dua dekad saya berkecimpung dalam seni ini. Jujurnya, Mak Yong adalah seni yang sangat sukar, tak boleh dipelajari dalam masa singkat.

"Ia memerlukan masa bertahun-tahun dan pemahaman juga sukar untuk dikongsikan menerusi kata-kata. Misalnya cara menyanyi, rentak tari dan muzik.

"Jadi, saya bersyukur Sabri mengambil saya sebagai watak utama dalam filem ini. Sebelum ini, ada naskhah yang mengetengahkan kisah Mak Yong, tetapi tiada secara mendalam.

"Menerusi filem ini, ia juga menampilkan anak seni kelahiran Kelantan. Jadi, saya percaya naskhah berkisarkan Mak Yong dapat membuka mata mengenai keindahan seni itu sendiri," katanya yang pernah bergelar tunjang utama filem Budak Kelantan.

Rosyam berkata, dia teruja berpeluang bekerja di bawah arahan pengarah berkaliber itu buat kali pertama.

"Watak saya dalam filem ini tidak besar, tetapi saya melihat kredibiliti Sabri sebagai pengarah dan menjadi faktor utama saya menerima tawaran berlakon filem ini.

"Saya melihat Sabri memiliki sentuhan berbeza dan tersendiri. Sebenarnya, sudah lama saya bertanya bila Sabri mahu memanggil saya berlakon, sebab karya arahannya rata-rata menggunakan loghat Kelantan.

"Alhamdulillah, akhirnya saya berpeluang, tetapi saya membawa watak gangster di Bukit Bintang, jadi ia tidak memerlukan saya bertutur dalam loghat Kelantan.

"Jujurnya, saya seronok bekerja dengan Sabri kerana sebolehnya mahu watak dibina itu bersahaja dan selamba," katanya ketika hadir sesi fotografi bersama barisan pelakon filem Duan Nago Bogho, baru-baru ini. 

Asrul berbesar hati ilmu Mak Yong dipelajari sejak 1999 dapat diketengahkan, Sangeeta sukakan dialek Kelantan. - NSTP/Aziah Azmee

Percaya dengan karya sentuhan Sabri, Rosyam berkata, penonton dapat melihat sisi lakonannya sebagai Fendi berbeza dari watak gangster atau taiko yang dihidupkan sebelum ini.

Begitu juga dengan Sangeeta, dia gembira apabila dapat menimba ilmu lakonan bersama Sabri dan mendalami seni Mak Yong.

Kata Sangeeta, meskipun sukar dan hanya diberi tempoh dua hari membuat persediaan menjayakan watak Pak Yong atau raja dalam tarian Mak Yong iaitu Salmi, dirinya tetap menerima dengan tangan terbuka.

"Ketika tawaran diberikan, saya dapat tahu ia sepatutnya dijayakan seorang pelakon, tetapi menarik diri. Saya dan Sabri pernah bekerjasama, jadi dia tahu cara saya bekerja.

"Sabri memberi sepenuh keyakinan walaupun tawaran ini diberikan dua hari sebelum penggambaran.

"Sejak dulu, saya sukakan Mak Yong dan dialek Kelantan. Jadi, dapatlah saya mengutip ilmu walaupun sedikit.

"Saya tidak nafikan tertekan juga menjayakan penggambaran filem ini. Bukan sahaja perlu bertutur dialek Kelantan, saya juga perlu belajar tarian Mak Yong dalam masa singkat.

"Orang lain menimba ilmu Mak Yong bertahun-tahun, tetapi saya beberapa hari sahaja," katanya.

Sangeeta berkata, dia dapat rasai suasana Kelantan kerana rata-rata kru berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Saya sudah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan. Saya percaya sentuhan Sabri dan kebolehannya dalam dalam mencipta watak setiap pelakon," katanya.

Jojo yang melakonkan watak Nancy berkata, dia mengalami kesukaran memahami loghat Kelantan, namun gembira tetap diberikan kepercayaan untuk membintangi filem itu meskipun bahasa menjadi kekangan.

"Saya agak sukar memahami apa yang dituturkan, mujur Sabri bertutur dalam loghat biasa, jadi saya faham apa yang diinginkan.

"Sebagai pelakon, untuk memahami bahasa pengarah tidak sukar. Secara peribadi, saya rasakan loghat di Malaysia semuanya ada keindahan tersendiri.

"Seperti saya menjayakan filem Hong Kong, saya turut merasakan bahasa Kantonis yang digunakan ada keindahannya.

"Mungkin ada yang saya tidak faham, tetapi saya boleh menimba pengalaman dan ilmu membintangi filem Melayu," katanya. 

Rosyam teruja bekerja di bawah Sabri buat kali pertama, manakala Jojo mengalami kesukaran memahami loghat Kelantan. - NSTP/Aziah Azmee

Filem Duan Nagho Bogho adalah naskhah bahasa Melayu kedua dijayakan oleh Jojo selepas filem 29 Februari. Jojo berjaya meraih trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menerusi filem berkenaan.

Secara ringkasnya, Duan Nago Bogho berkisarkan Duan (Asrul) yang juga pemain peranan Mak Yong yang memiliki dua personaliti.

Duan yang mencintai seni tradisional, namun dalam masa yang sama, suka bergaduh. Kisahnya bermula apabila Duan bergaduh dengan penonton Mak Yong yang mengganggu ketika sedang membuat persembahan sehinggalah bapa memintanya untuk meninggalkan kampung dan mencari kerja lain.

Rakannya, Awi yang tinggal di Kuala Lumpur mengajak Duan ke ibu kota. Awi memberitahu Kuala Lumpur memberikan peluang lebih luas dalam bidang seni, termasuklah sebagai pemain Mak Yong.

Awi adalah pekerja seni yang cuba membawa seni Kelantan ke arah yang lebih luas dan maju. Selain itu, Duan turut membantu Nancy, anak kepada Jimmy Ang, seorang lelaki cina keturunan Kelantan sehingga membawa konflik dalam hidup Duan.

Filem Duan Nago Bogho akan menemui penonton di pawagam mulai 19 Januari ini. Ia turut dibintangi Angeline Tan, Husairi Husain, Jason Chong, Issey Fazlisham, Saidi Sabri dan ramai lagi.

Filem pertama terbitan Kalamarif Holdings menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2 juta dan menggunakan dialek bahasa Kelantan sebanyak 80 peratus. Menjalani penggambaran selama 30 hari di Kuala Lumpur dan Kelantan pada April 2021.(BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimFilem ini kutip RM1 juta seminggu. Traddisi Mak Yong..

Masihkah tidak patuhi syariah menurut hukum Islam di negara ini?

Thursday, January 26, 2023

Madani acuan barat, gagal.. & ‘tamadun luar tabii’..

 


1. Madani acuan barat menuju kegagalan

KUALA TERENGGANU: Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini diramal menempah kegagalan sekiranya menjadikan barat sebagai rujukan pentadbiran.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kalimah madani perlu diterjemah dengan makna sahih dan amanah yang wajib diamal mengikut perintah Allah.

“Acuan madani selain daripada petunjuk Allah dan teladan Nabi pastinya menterjemah kegagalan seperti yang berlaku kepada tamadun sebelum ini bahkan sedang membakar tamadun sekarang.

“Di negara kita, penjajah sudah keluar namun dasar penjajah masih lagi diamalkan. Islam masih tidak diamalkan sepenuhnya, Islam tidak lagi mentadbir dan memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Negara Madani Acuan Allah’ dalam Program Meet & Greet Halaqah Darul Iman (HaDI) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Neger, Dato’ Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri, Senator Dato’ Husain Awang serta seluruh ahli kelab Wisma Darul Iman.

Abdul Hadi yang juga mantan Menteri Besar Terengganu turut mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman barat yang kian meresap.

“Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea civil society yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman.

“Lagi malang bagi Ilmuan Islam yang turut terperangkap dan terpengaruh dengan ideologi tersebut,” tambahnya.

HaDI menjadi program bulanan bagi penjawat awam di Terengganu bagi meningkatkan kefahaman tentang Islam sejak dilancarkan awal tahun lepas. – TRDI.my


2. Inikah ‘tamadun luar tabii’ yang hendak diikuti? 

SATU lagi kajian dikeluarkan oleh Pakar Perubatan di UK. Nama kajian adalah PROUD Study yang mendapati keberkesanan pemberian PrEP terhadap golongan MSM hanya 86 peratus sahaja. 

Kajian ini mengambil sampel dalam golongan yang di bawah kawalan dan hanya di bawah pemantauan serta preskripsi ubat oleh Pakar Perubatan penyakit berjangkit di klinik yang khas sahaja. 

Kajian ini masih dalam progress dan belum pun habis, tetapi dapatan awal boleh diperolehi seperti yang dinyatakan di atas. 

Nah! Lihat negara UK sendiri pun cukup berhati-hati di dalam pemberian ubat PrEP ini. Sebagaimana yang kita tahu UK adalah satu daripada negara yang cukup panjang perjuangan pengiktirafan golongan di luar tabii ini. 

Sejak daripada 1,533 lagi terdapat kumpulan yang begitu tegar berjuang tegakkan seks sesama jenis sehinggakan pada tahun 1970 kumpulan tersebut telah pun membentuk satu persatuan Gay liberation Front. 

Akhirnya pelbagai pindaan akta telah dibahas, ada ketikanya mendapat tentangan dan ada masa disokong. Sejak 2013 negara UK telah luluskan perkahwinan sesama jantina dan iktiraf LGBT. Saya tampal semula statistik di sana: 

“More than 1.3 million people in England and Wales identify as lesbian, gay or bisexual, census data has revealed for the first time.
“For people aged 16 and over, more than 1.5% – 748,000 – identify as gay or lesbian, and 624,000 (1.3%) as bisexual.
“Some 165,000 people identify as “other” sexual orientations.
“And 262,000 people (0.5%) said their gender identity was different from their sex registered at birth.”

Inilah sebenarnya punca kebimbangan, asakan demi desakkan yang boleh mengheret kita mengikuti ‘tamadun’ mereka. 

Kita yang berada dalam apa jua bidang sekali pun sama ada bidang politik, ekonomi dan juga perubatan yang setiap waktu akan mudah digasak oleh mereka yang sudah celaru itu. 

Akhir sekali kita terpaksa membuat keputusan yang terdesak dan sedikit demi sedikit memasuki lubang itu. 

Tujuan saya menyatakan di sini supaya kita mengambil ibrah dari apa yang berlaku. Di mana sedikit demi sedikit kita dihimpit dengan kefahaman liberal dan normalisasi sehingga terpaksa membuka ruang-ruang fitnah dalam masyarakat. 

Niat kita baik adalah untuk menghindarkan penyakit umat, tapi dalam masa yang sama kita menggali lubang yang ‘dalam’ itu. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 25/1/2023

Sukar PKR bertapak di P/Timur.. & Hedonisme X patuh syariah.

 

PKR hanya mampu melepasi fasa ‘menyemai benih’ dan belum lagi berupaya menuai hasil kejayaan melalui rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu - penganalisis politik. - Foto hiasan

1. Sukar untuk PKR bertapak di Pantai Timur, walau ada formula 5 tahun

KUALA LUMPUR: PKR hanya mampu melepasi fasa 'menyemai benih' dan belum lagi berupaya menuai hasil kejayaan melalui rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Muhammad Izmer Yusof, berkata PKR mungkin boleh membina tapak kekuatan untuk parti itu di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima tahun ditetapkan itu.

Namun untuk PKR menakluki kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui pilihan raya, ia dilihat sukar dan hampir mustahil dalam tempoh terbabit.

"Sebaliknya ia mungkin boleh direalisasikan sekurang-kurangnya melalui lima pilihan raya lagi yang mengambil masa 25 tahun, ...seperti mana PAS mencipta kekuatan di Pahang yang juga kubu kuat UMNO sebelum ini.


"Kita ingin bercakap mengenai menukar tradisi dan ia bukan mudah. Ia memerlukan pelan jangka panjang bukan sekadar lima tahun sahaja, ..kekuatan PAS di dua negeri itu adalah kekuatan tradisi.

"Sedangkan AMANAH yang mempertaruhkan Husam Musa di Kelantan pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) juga gagal dengan PAS, ...maka PKR masih berdepan laluan sukar," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa PKR akan melaksanakan rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, berkata pendekatan itu adalah perancangan jangka panjang sebelum berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan rancangan terbabit akan dilancarkan akhir Februari depan sebelum ia bermula pada 1 Mac nanti.

Pada masa sama, Muhammad Izmer berkata, dasar PKR yang bukan parti berasaskan Melayu, menjadikan usaha itu berdepan laluan lebih sukar malah UMNO sendiri 'gagal' memecahkan dominasi PAS khususnya di Kelantan.

Rafizi mungkin boleh mula membuat formula membina kekuatan di negeri Pantai Timur itu selepas melihat pola sokongan pengundi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"PRN akan menjadi buah mula atau indikasi sokongan pengundi di negeri Pantai Timur terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata lima tahun adalah tempoh yang disifatkan sangat singkat bagi melakukan perubahan khususnya membabitkan peralihan sokongan rakyat daripada PAS kepada PKR.

Walaupun ia bukan kerja yang mudah namun PKR mungkin berpeluang mengintai kekuatan itu jika kerajaan Perpaduan yang dibentuk sekarang mampu membuat perubahan drastik yang memberi kemenangan kepada rakyat khususnya dalam soal ekonomi.

"Identiti kepartian adalah sangat kuat di negeri Pantai Timur dan ia dilihat semakin menebal berdasarkan kejayaan PAS yang memenangi semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu pada PRU15.

"Jadi dalam tempoh lima tahun yang digariskan itu, saya berasa terlalu awal untuk PKR lakukan kejutan di dua negeri itu, ...usaha itu memerlukan perancangan lebih lama dan panjang seperti mana mereka berjaya menakluki Selangor pada 2008." katanya.

Pada peringkat awal ini, perkara asas perlu dilakukan PKR ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat atau pengundi bagi mengalihkan momentum sokongan terhadap parti itu.

Namun dengan kedudukan PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang semakin kukuh di Kelantan serta Terengganu, ruang baharu untuk PKR bertapak itu dilihat agak sukar.


2. Hentikan budaya hedonisme dan tidak patuh syariah 

DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak mendesak pihak berautoriti kerajaan termasuk agensi-agensi pelaksana program mengambil cakna dan bertegas dalam aspek penganjuran program yang tidak terkawal khususnya hiburan melampau yang membawa kepada kemaksiatan.

Dalam keadaan negara Malaysia belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19, pelbagai program karnival dianjurkan bagi memberi peluang kepada para peniaga membangunkan ekonomi namun mestilah terhindar daripada budaya hedonisme dan tidak patuh syariah.

Sudah sampai masanya, Kerajaan Negeri Perak mengambil contoh pelaksanaan garis panduan hiburan yang dikuatkuasakan di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat lebih-lebih lagi ke arah menjayakan Perak Sejahtera 2030.

Pihak kami juga melalui platform mesyuarat atau pertemuan tertutup telah beberapa kali menyatakan bantahan termasuklah melibatkan Mr Perak 2022, Karnival Starvendors hujung tahun 2022 dan terbaru yang berlangsung di pekarangan Mydin Meru Raya pada malam ini.

DPPN Perak menentang sekeras-kerasnya penganjuran program yang mendatangkan unsur kemaksiatan yang boleh mengundang bala kepada semua. Kembalilah kita kepada fitrah dengan mengamalkan cara hidup Islam yang berlandaskan syarak, Insya-Allah selamat di dunia dan di akhirat.

“Pemuda Generasi Sejahtera”
“Demi Ummah”

Sekian, terima kasih

YB USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Ahli Dewan Negeri Kawasan Manjoi – HARAKAHDAILY 21/1/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukar PKR bertapak di P/Timur.. & Hedonisme X patuh syariah.

Memang sukar PKR bertapak di Pantai Timur, apa lagi bila hedonisme yang tidak patuh syariah dilaksanakan oleh PM10. Rakyat pun sudah tahu dan faham sifat mungkar kerajaan Persekutuan.

Tuesday, January 24, 2023

Jiran/Marcos; Autonomi Mindanao.. & L/China Selatan.

 

Militan dari Barisan Pembebasan Islam Moro dilihat menaiki bot di Bangsamoro, Cotabato, Filipina. - Foto AGENSI

1. Filipina bersedia wujudkan kerajaan autonomi Mindanao Muslim menjelang 2025

COTABATO: Pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan Islam autonomi di pulau selatan Mindanao dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penubuhan kerajaan autonomi pada asalnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan sehingga 2025 disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pandemik COVID-19.

Walaupun sebahagian besar daripada 110 juta penduduk Filipina adalah Kristian, umat Islam membentuk kira-kira 5 peratus daripada populasi di sana.

Pada separuh kedua 1960-an, pemberontak Islam di selatan negara itu memulakan perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan. Sejak 10 tahun lalu, keadaan dilaporkan lebih tenang, tetapi masih banyak isu, termasuk keperluan untuk melucutkan senjata militan.

Memujuk pemberontak untuk meletakkan senjata mereka mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan. Setakat ini, hanya kira-kira separuh sahaja dari kalangan mereka yang telah meletakkan senjata.

Jika isu itu (pembentukan kerajaan autonomi) tidak selesai menjelang 2025, penggubal undang-undang Filipina mungkin akan menimbulkan kebimbangan mengenai penubuhan pihak berkuasa autonomi di Mindanao.

Bahagian selatan pulau itu kaya dengan perhutanan dan sumber asli tetapi kurang membangun.

Walaupun syarikat asing melihat potensi dalam sumber, pembangunan infrastruktur dan pertanian, keselamatan awam mesti dipertingkatkan terlebih dahulu.

Sebarang gangguan dalam usaha terbabit boleh menyebabkan negara itu kehilangan pelaburan negara asing.

Pada November dan Disember lalu, Pegawai Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA), kerajaan wilayah sementara, ditembak mati menyebabkan Kementerian luar Jepun meletakkan risiko perjalanan di kawasan itu pada tahap 3 daripada skala 4, dan menggesa warganegara Jepun untuk mengelak daripada mengunjungi rantau itu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu menyediakan kerja untuk bekas pejuang bagi menghalang mereka daripada menyertai semula aktiviti militan, dengan memberi sokongan seperti latihan pertanian yang dilihat sebagai penting.

Hubungan antara kerajaan pusat dan BTA adalah baik pada masa ini.

Ahad lalu, Presiden Ferdinand Marcos Jr menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam mewujudkan kerajaan autonomi Muslim.

"Kami mentakrifkan semula 'hubungan' dengan BTA," kata Marcos.

Bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab memastikan keamanan di Mindanao Muslim dijangka diganti tidak lama lagi.

Penting bagi BTA untuk mengekalkan sokongan daripada kerajaan dan menjalin hubungan baik dengan pemegang jawatan baharu yang biasa dengan proses damai.

Cabaran lain ialah pengurusan belanjawan untuk pihak berkuasa baharu.

"Saya sedang bergelut untuk melaksanakan peraturan untuk mencegah rasuah dan nepotisme daripada merebak," kata Naoyuki Ochiai, penasihat kanan kepada ketua menteri BTA.

Mengenai penerimaan BTA terhadap Ochiai, yang bekerja untuk Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sebagai penasihat, kerajaan sementara itu sedang mempelajari cara mengendalikan Parlimen dan badan pentadbiran, serta cara menyusun belanjawan.

"JICA akan terus bekerjasama dengan anda dalam bidang yang antara lain seperti pembangunan tadbir urus dan kapasiti pentadbiran, penciptaan pekerjaan, kualiti hidup yang lebih baik.

"Ia juga akan membantu mempercepatkan penggubalan undang-undang untuk pentadbiran tempatan, percukaian, pilihan raya dan mata pelajaran lain.

"Sebilangan penggubal undang-undang tempatan dijangka melawat Jepun untuk mengkaji sistem Parlimen negara itu," kata Presiden JICA, Akihiko Tanaka dalam ucapan pertama beliau kepada parlimen BTA. - REUTERS


2. Krisis di Laut China Selatan buatkan Marcos 'tidak tidur malam'

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, ketika berucap di Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland. - Foto AP

DAVOS: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berkata krisis pertikaian wilayah di Laut China Selatan membuatkannya 'tidak tidur malam', namun tetap bertegas menyelesaikan isu itu dengan China secara aman.

Ketika bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Marcos berkata negaranya hanya melihat sebagai 'pemerhati' setiap kali ketegangan meningkat selepas kapal perang China atau Amerika Syarikat (AS) melintasi wilayah itu.

"Jika sesuatu berlaku di sini kami, penduduk Filipina yang tinggal di sana, akan menderita.

"Keadaan ini membuat anda terjaga pada waktu malam, membuat anda terjaga pada siang hari, malah membuat anda terjaga pada kebanyakan masa," katanya.

Beliau juga sudah membincangkan isu itu dengan Presiden China, Xi Jinping semasa lawatan ke Beijing awal bulan ini, namun tiada perkembangan baharu dilaporkan.

"Ia sangat dinamik, ia sentiasa berubah-ubah. Jadi, anda perlu memberi perhatian kepadanya untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya anda menyedari keadaan semasa supaya dapat bertindak balas sewajarnya," katanya.

China dan Filipina bertelagah mengenai Laut China Selatan, dengan Beijing menuntut kedaulatan terhadap hampir keseluruhan kawasan walaupun mahkamah antarabangsa memutuskan bahawa tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Bulan lalu, Manila mengarahkan tenteranya supaya meningkatkan kehadirannya selepas laporan bahawa China sudah mula menuntut semula dan membangunkan beberapa kawasan tanah yang tidak diduduki di sekitar Kepulauan Spratly.

"Kami tidak mempunyai tuntutan bercanggah dengan China. Apa yang kami ada ialah China membuat tuntutan terhadap wilayah kami. Inilah pandangan kami dan bagaimana kami mendekati masalah itu," kata Marcos.

China dan Filipina berikrar untuk menyelesaikan perselisihan faham maritim melalui 'rundingan mesra' semasa lawatan Marcos ke China baru-baru ini. -AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jiran/Marcos; Autonomi Mindanao Muslim & Krisis L/China Selatan. 

Pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan Islam autonomi di pulau selatan Mindanao dalam tempoh dua tahun akan datang. Asalnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan sehingga 2025 disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19, dan lain-lain.

Semoga Al-hamdulillah.


Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 24 -Nasheed BANGSAMORO

BANGSAMORO MNLF-mujahideen in jolo-sulu MINDANAO


Bangsamoro Mujaheedin (Nasheed)




MNLF, MILF leaders sign joint declaration urging passage of BBL

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails