Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
1. DAP mula tunjuk taring, gesa BN ambil tindakan MP sokong MuhyiddinKUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP menggesa, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit, sekiranya BN mahu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.
Katanya, gesaan siasatan oleh BN itu juga selaras dengan langkah UMNO yang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen parti itu yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Susulan tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, badan disiplin BN juga perlu menyiasat Ahli Parlimen BN lain yang turut menyokong Muhyiddin bagi memastikan tiada pilih kasih (double standard).
"Mengapa hanya Ahli Parlimen UMNO dihukum kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tapi Ahli Parlimen BN lain terlepas? Adakah semua Ahli Parlimen BN setaraf atau ada yang lebih tinggi berbanding yang lain?
"Saya tidak berniat masuk campur dalam urusan dalaman BN, tetapi semua usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak Langkah Sheraton 2.0 bagi menggulingkan kerajaan berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, mendedahkan identiti 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, yang dibuat tanpa kebenaran parti.
Mereka terdiri daripada enam Ahli Parlimen UMNO, dua Ahli Parlimen MCA, seorang Ahli Parlimen MIC dan seorang Ahli Parlimen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Beberapa media melaporkan mereka adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Datuk Seri Jalaludin Alias (Jelebu), Datuk Isam Isa (Tampin), Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dan Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan).
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari lalu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utamanya, termasuk Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun.
Selain itu, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
SD itu ditandatangani ketika Parlimen tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Susulan itu, Istana Negara meminta SD daripada semua Ahli Parlimen bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentukan wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, sekali gus membentuk kerajaan.
Ketika itu, dilaporkan 10 Ahli Parlimen BN bertindak menandatangani SD menyokong Muhyiddin, namun mereka menarik balik SD berkenaan, sebelum Istana Negara mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Mengulas lanjut, Zhemin berpandangan siasatan penuh terhadap semua Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD serta kandungannya, perlu dilihat sebagai perkara paling penting.
"Dalam Akta Akuan Berkanun 1960, mana-mana pihak yang membuat SD palsu akan dituduh dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda," katanya. (1Media.My)
2. UMNO dijangka kalah PRN Selangor - Noh Omar
KUALA SELANGOR - UMNO dijangka mengalami kekalahan termasuk beberapa kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, semua kawasan Parlimen di Selangor tewas.
"Kawasan kubu kuat pun kalah (PRU15) seperti di Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.
"Ketiga-tiga kawasan itu Perikatan Nasional (PN) menang, itu kawasan majoriti Melayu," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Jasamu Dikenang di sebuah hotel di Pasir Penambang di sini pada Ahad.
Noh memberitahu, beliau tidak nampak peluang UMNO untuk menang di Selangor melainkan jika mengharapkan pengundi bukan Melayu.
"Mungkin pada masa itu (PRU15), pengundi masih menyokong UMNO tetapi sekarang ini, orang yang sokong UMNO bila dia tengok parti itu berkawan dengan DAP, kalau tahu dia takkan undi," ujarnya.
Ujar beliau, pengundi yang berjumpa beliau misalnya mengakui tidak akan memilih UMNO sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.
"Saya berjumpa dengan orang kampung saya mengaku undi BN (Barisan Nasional) pada PRU15 lepas, tetapi kalau tahu UMNO bersama DAP, mereka kata tak mahu undi BN," jelasnya.
Ditanya adakah beliau sedia untuk merayu berhubung pemecatan daripada UMNO, Noh berkata, keputusan pemecatan beliau dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Hendak merayu kepada siapa? Kalau (pemecatan daripada Lembaga Disiplin UMNO bolehlah) merayu kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi).
"Selagi Presiden itu ada, takkan beliau hendak terima rayuan saya?. Tak pernah berlaku, belum lagi MKT bermesyuarat, keputusan sudah dibuat.
"Sepatutnya cadang dahulu pada MKT dan dibahas dan jika ada percanggahan pendapat, undilah," jelasnya.
Sumber I Sinar Harian
3. Kumpulan buat tuntutan dalam pertikaian Sulu bukan waris sah
KOTA KINABALU: Seorang individu yang mendakwa sebagai waris Kumpulan Sulu tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan individu membawa pertikaian Sulu ke Mahkamah Sepanyol kerana mereka bukan waris sah.
Datu Omar Ali Datu Bachtiyal berkata beliau berpandangan tindakan sekumpulan individu itu membawa pertikaian dan proses timbang tara ke Mahkamah Sepanyol juga adalah tidak betul dan tidak sah.
“Pendapat saya, tidak sah sebab kita tahu (fakta waris) ini bercampur, dan kalau kita kaji betul-betul (status mereka) diragui jadi ini (status) tidak benar pada saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pertikaian Sulu sebenarnya boleh dirunding dengan baik bersama semua pihak dan proses arbitrasi boleh dilaksanakan menerusi meja rundingan secara damai tanpa melibatkan persengketaan.
“Kita boleh runding…kita cuma mahu apa yang baik bagi kedua-dua pihak, kita pun mahu tolong bangunkan Sabah. Adalah lebih baik kita berbincang dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Datu Omar Ali, 64, berkata beliau langsung tidak pernah dirujuk oleh kumpulan individu terbabit sebelum mereka membawa proses arbitrasi di Mahkamah Sepanyol.
“Tiada komunikasi, we left in the dark, kita pun tidak tahu apa,” katanya yang turut mendakwa mengenali beberapa individu terlibat dan pernah berjumpa mereka sebelum ini.
Menjelaskan dakwaan seorang penuntut dalam pertikaian Sulu (Mahkamah Sepanyol) iaitu Taj Mahal Kiram-Tarsum Nuqui bahawa beliau waris kepada Dayang Dayang Piandao, seorang puteri dan antara pentadbir Kesultanan Sulu pada 1936, Datu Omar Ali berkata ia adalah tidak benar kerana baginda tidak mempunyai zuriat.
“Taj Mahal adalah cucu kepada Tarahata dan bukan kepada Dayang Dayang Piandao. Bila cakap bahawa dia adalah cucu kepada Dayang Dayang Piandao ia adalah satu penipuan. Dayang Dayang Piandao tidak mempunyai anak jadi macam mana beliau mempunyai cucu?” katanya.
Datu Omar Ali mendakwa dirinya merupakan waris daripada salasilah Dayang Dayang Piandao. Dayang Dayang Piandao, yang berkahwin dengan Datu Ombra Amilbangsa, menaiki takhta dan menjadi Sultanah pada 1937 sehingga mangkat pada 1945.
Datu Omar Ali mendakwa bapanya dan Datu Ombra Amilbangsa yang kemudian menjadi Sultan Sulu pada 1937 merupakan sepupu pertama.
Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).
Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.
Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.
Pada 24 Jan lepas, Mahkamah di Luxembourg telah mengetepikan perintah penahanan yang dimohon oleh kumpulan individu tersebut.
Perintah penahanan pada 11 Julai 2022 yang diketepikan itu dimohon berasaskan dua award timbang tara dikatakan dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Stampa yang dikatakan telah memberikan award kepada penuntut sebanyak US$14.92 bilion (RM63.34 bilion).
Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan dirancang oleh penuntut dan telah mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Stampa dan award yang dikatakan itu.
Mahkamah Perlembagaan Sepanyol juga mengekalkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian Sulu selepas menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan sekumpulan individu (penuntut) terhadap pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.
Mahkamah Perancis juga telah menangguhkan penguatkuasaan ‘final award’ yang diberikan Stampa sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung segala tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia. – BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Biadap, DAP mula tunjuk taring! S'ngor, UMNO Kalah -Noh. & Kes Sulu.
Al-hamdulillah, semoga semuanya akan beri kemenangan untuk Islam dunia-akhirat, Insya Allah!