Monday, February 06, 2023

Muhyidin nasihat Anwar... & Melayu Gelang 90% ke 20%

 

1. Muhyidin nasihat Anwar perbetulkan kesilapan sebelum terlanjur jauh

Kerajaan PH-BN pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi. Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Ini dilakukan semata-mata kerana membalas "budi" Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. 

Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan "you scratch my back, I scratch your back".

Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin.

Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri. 

Sebagai pemimpin parti pembangkang saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.

Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar. 

Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama. 

Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai. Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya.

Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar. Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah.

Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
1Media.My


2. Melayu di Geylang dari 90 kini tinggal 20 peratus 
KUALA LUMPUR: Sebelum ini Geylang di Singapura didiami 90 peratus orang Melayu, namun selepas 20 tahun Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ditubuh mereka hanya tinggal 20 peratus.

HDB ditubuhkan pada 1960 yang bertanggungjawab menyusun atur demografi penduduk di Singapura.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, di sebalik kejayaan HDB di Singapura kerajaan PH-BN mahu mengundang pakar dari agensi itu ke negara ini.

Sedangkan katanya, susun atur demografi berbeza antara Malaysia dan Singapura, di mana tidak semuanya boleh digunapakai di negara kita.

“Dari susun atur demografi penduduk di negara kita tidak sama dengan Singapura. Kalau perkara yang sama mahu dibuat di Malaysia, saya rasa lebih parah lagi data-data hartanah di negara kita boleh dilepaskan kepada pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah yang disiarkan secara langsung di Facebook, Youtube dan Tiktok Harakah malam tadi.

Bicara tersebut mengupas tajuk ‘Nepotisme: Reformasi Kian Basi’. Program temu bual mingguan itu dihoskan Hezry Yasin pada setiap Khamis bermula jam 9.30 malam.

Pada 17 Januari lalu Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada temu bual dengan media mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju membenarkan kontraktor HDB datang membantu kementerian tersebut bagi berkongsi kepakaran.

Mohd Zai juga berkata, tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan secara tidak langsung boleh mendedahkan data-data negara kepada pihak luar.

“Kalau mereka masuk ke KPKT, mereka akan tahu data rakyat berkaitan pendapatan, kedudukan demografi, di mana tempat-tempat berpotensi dan yang mempunyai kelemahan.

“Misalnya, kita memang tidak pakar nak buat rumah, tetapi kita tidak boleh sampai bawa dia duduk dalam rumah kita,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai pendekatan lain boleh dilakukan kerajaan bagi membangun kawasan perumahan di Malaysia.

Oleh itu beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk pasukan khas dalam kalangan para ilmuwan yang berkelayakan bagi merancang pembangunan bandar dan luar bandar di Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/2/2023

Hibur Hibur Sikit..

Biadap, DAP mula tunjuk taring! S'ngor UMNO Kalah -Noh. Kes Sulu.

 

Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.

1. DAP mula tunjuk taring, gesa BN ambil tindakan MP sokong Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP menggesa, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit, sekiranya BN mahu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.

"Susulan tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, badan disiplin BN juga perlu menyiasat Ahli Parlimen BN lain yang turut menyokong Muhyiddin bagi memastikan tiada pilih kasih (double standard).

"Saya tidak berniat masuk campur dalam urusan dalaman BN, tetapi semua usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak Langkah Sheraton 2.0 bagi menggulingkan kerajaan berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, mendedahkan identiti 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, yang dibuat tanpa kebenaran parti.

Mereka terdiri daripada enam Ahli Parlimen UMNO, dua Ahli Parlimen MCA, seorang Ahli Parlimen MIC dan seorang Ahli Parlimen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari lalu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utamanya, termasuk Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun.

Selain itu, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

SD itu ditandatangani ketika Parlimen tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Istana Negara meminta SD daripada semua Ahli Parlimen bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentukan wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, sekali gus membentuk kerajaan.

Ketika itu, dilaporkan 10 Ahli Parlimen BN bertindak menandatangani SD menyokong Muhyiddin, namun mereka menarik balik SD berkenaan, sebelum Istana Negara mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Mengulas lanjut, Zhemin berpandangan siasatan penuh terhadap semua Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD serta kandungannya, perlu dilihat sebagai perkara paling penting.

"Dalam Akta Akuan Berkanun 1960, mana-mana pihak yang membuat SD palsu akan dituduh dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda," katanya. (1Media.My)


2. UMNO dijangka kalah PRN Selangor - Noh Omar    

KUALA SELANGOR - UMNO dijangka mengalami kekalahan termasuk beberapa kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, semua kawasan Parlimen di Selangor tewas.

"Kawasan kubu kuat pun kalah (PRU15) seperti di Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

"Ketiga-tiga kawasan itu Perikatan Nasional (PN) menang, itu kawasan majoriti Melayu," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Jasamu Dikenang di sebuah hotel di Pasir Penambang di sini pada Ahad.

Noh memberitahu, beliau tidak nampak peluang UMNO untuk menang di Selangor melainkan jika mengharapkan pengundi bukan Melayu.

"Mungkin pada masa itu (PRU15), pengundi masih menyokong UMNO tetapi sekarang ini, orang yang sokong UMNO bila dia tengok parti itu berkawan dengan DAP, kalau tahu dia takkan undi," ujarnya.

Ujar beliau, pengundi yang berjumpa beliau misalnya mengakui tidak akan memilih UMNO sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

"Saya berjumpa dengan orang kampung saya mengaku undi BN (Barisan Nasional) pada PRU15 lepas, tetapi kalau tahu UMNO bersama DAP, mereka kata tak mahu undi BN," jelasnya.

Ditanya adakah beliau sedia untuk merayu berhubung pemecatan daripada UMNO, Noh berkata, keputusan pemecatan beliau dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Hendak merayu kepada siapa? Kalau (pemecatan daripada Lembaga Disiplin UMNO bolehlah) merayu kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi).

"Selagi Presiden itu ada, takkan beliau hendak terima rayuan saya?. Tak pernah berlaku, belum lagi MKT bermesyuarat, keputusan sudah dibuat.

"Sepatutnya cadang dahulu pada MKT dan dibahas dan jika ada percanggahan pendapat, undilah," jelasnya.

Sumber I Sinar Harian 


3. Kumpulan buat tuntutan dalam pertikaian Sulu bukan waris sah  

KOTA KINABALU: Seorang individu yang mendakwa sebagai waris Kumpulan Sulu tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan individu membawa pertikaian Sulu ke Mahkamah Sepanyol kerana mereka bukan waris sah.

Datu Omar Ali Datu Bachtiyal berkata beliau berpandangan tindakan sekumpulan individu itu membawa pertikaian dan proses timbang tara ke Mahkamah Sepanyol juga adalah tidak betul dan tidak sah.

“Pendapat saya, tidak sah sebab kita tahu (fakta waris) ini bercampur, dan kalau kita kaji betul-betul (status mereka) diragui jadi ini (status) tidak benar pada saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pertikaian Sulu sebenarnya boleh dirunding dengan baik bersama semua pihak dan proses arbitrasi boleh dilaksanakan menerusi meja rundingan secara damai tanpa melibatkan persengketaan.

“Kita boleh runding…kita cuma mahu apa yang baik bagi kedua-dua pihak, kita pun mahu tolong bangunkan Sabah. Adalah lebih baik kita berbincang dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Datu Omar Ali, 64, berkata beliau langsung tidak pernah dirujuk oleh kumpulan individu terbabit sebelum mereka membawa proses arbitrasi di Mahkamah Sepanyol.

“Tiada komunikasi, we left in the dark, kita pun tidak tahu apa,” katanya yang turut mendakwa mengenali beberapa individu terlibat dan pernah berjumpa mereka sebelum ini.

Menjelaskan dakwaan seorang penuntut dalam pertikaian Sulu (Mahkamah Sepanyol) iaitu Taj Mahal Kiram-Tarsum Nuqui bahawa beliau waris kepada Dayang Dayang Piandao, seorang puteri dan antara pentadbir Kesultanan Sulu pada 1936, Datu Omar Ali berkata ia adalah tidak benar kerana baginda tidak mempunyai zuriat.

“Taj Mahal adalah cucu kepada Tarahata dan bukan kepada Dayang Dayang Piandao. Bila cakap bahawa dia adalah cucu kepada Dayang Dayang Piandao ia adalah satu penipuan. Dayang Dayang Piandao tidak mempunyai anak jadi macam mana beliau mempunyai cucu?” katanya.

Datu Omar Ali mendakwa dirinya merupakan waris daripada salasilah Dayang Dayang Piandao. Dayang Dayang Piandao, yang berkahwin dengan Datu Ombra Amilbangsa, menaiki takhta dan menjadi Sultanah pada 1937 sehingga mangkat pada 1945.

Datu Omar Ali mendakwa bapanya dan Datu Ombra Amilbangsa yang kemudian menjadi Sultan Sulu pada 1937 merupakan sepupu pertama.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

Pada 24 Jan lepas, Mahkamah di Luxembourg telah mengetepikan perintah penahanan yang dimohon oleh kumpulan individu tersebut.

Perintah penahanan pada 11 Julai 2022 yang diketepikan itu dimohon berasaskan dua award timbang tara dikatakan dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Stampa yang dikatakan telah memberikan award kepada penuntut sebanyak US$14.92 bilion (RM63.34 bilion).

Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan dirancang oleh penuntut dan telah mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Stampa dan award yang dikatakan itu.

Mahkamah Perlembagaan Sepanyol juga mengekalkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian Sulu selepas menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan sekumpulan individu (penuntut) terhadap pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.

Mahkamah Perancis juga telah menangguhkan penguatkuasaan ‘final award’ yang diberikan Stampa sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung segala tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Biadap, DAP mula tunjuk taring! S'ngor, UMNO Kalah -Noh. & Kes Sulu.

Al-hamdulillah, semoga semuanya akan beri kemenangan untuk Islam dunia-akhirat, Insya Allah!

Sunday, February 05, 2023

Ini gagal PM10.. 2 bulan reformasi. sayur lonjak160%, sukan, PRU15..

 


1. Dua bulan reformasi Anwar

HARI ini 3 Februari 2023, genap 2 bulan pembentukan Kabinet Kerajaan Anwar-Zahid. 

Tempoh 2 bulan yang membuka mata rakyat mengenai keburukan yang ada di dalam kerajaan ini walaupun cuba disucikan dengan rasa takjub kepada Perdana Menteri ke-10.

Di sini disenaraikan hasil reformasi kerajaan dalam tempoh 2 bulan untuk menjadi peringatan dan pedoman bersama;

1. Mengkhianati prinsip parti dan menyia-nyiakan undi penyokong PH BN.
2. Lantik individu kluster mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
3. Anwar melanggar pendirian sendiri dengan memegang dua jawatan dalam Kabinet, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serentak.
4. Ketepikan calon menang untuk beri laluan kepada calon kalah.
5. Batalkan projek tebatan banjir yang belum diluluskan?
6. Menyerang jutawan Melayu dan syarikat Bumiputera.
7. Buat perjanjian persefahaman yang melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
8. Sekat penceramah dan pendakwah.
9. Bubar Majlis Pemulihan Negara.
10. Kenaikan 50 peratus harga makanan di kantin sekolah.
11. Ugut pengguna TikTok yang menyokong PN dan sekat lebih 2,000 akaun TikTok.
12. Ulang sejarah lama dengan menyalurkan bantuan banjir kepada Kelantan, Terengganu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
13. Harga bahan asas tak turun, isu telur tidak selesai.
14. ‘Import’ pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
15. Lantik anak sendiri sebagai Penasihat Kanan 

Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Dalam tempoh 2 bulan sahaja, Anwar selesai mengkhianati perjuangan reformasi beliau sendiri. 

Inilah hasil persahabatan Anwar dan Zahid. Menteri lain pula setia menjadi lembu dicucuk hidung tanpa tali leher.

Tahniah dan terima kasih untuk 2 bulan ini. Sebarang soalan atau aduan, sila rujuk Bank Negara.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah 
Jabatan Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/2/2023


2. Harga sayur melonjak 160 peratus sejak sebulan lalu  

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diarah mengambil langkah segera bagi menangani masalah kekurangan bekalan sayur di pasaran ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mewujudkan sistem data raya untuk mendapatkan maklumat dalam masa sebenar mengenai bekalan sayur-sayuran di negara ini.

Sistem berkenaan, menurut Mohamad bertujuan memantau jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan dan kos pengeluaran

"Saya bukanlah mahir dalam bidang IT tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.

"Misalnya jika kita dah boleh unjur tiga bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini.

"Saya yakin ramai anak muda di luar sana mampu menghasilkan sistem ini.

“Saya rasa kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Harga sayur-sayuran dilaporkan melonjak sehingga 160 peratus sejak satu bulan lalu.


3. Slogan ‘tiada politik dalam sukan’ perlu diperluas 

HULU TERENGGANU: Kerajaan Terengganu berharap agar slogan ‘tiada politik dalam sukan’ diperluas serta diselaraskan kepada semua terutamanya membabitkan Kementerian Pendidikan supaya polisi itu terpakai di premis-premis kerajaan persekutuan termasuk sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia bagi mengelakkan insiden program yang dijadualkan dirasmikan olehnya telah dibatalkan hanya kerana terdapat perbezaan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Namun katanya, beliau telah diberi penjelasan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa itu merupakan polisi lama yang ada dalam kementerian terbabit.

“Saya tidak menyalahkan Menteri Belia dan Sukan, mahupun kementerian berkenaan atas kegagalan program di Padang Midin bagi merasmikan Akademi Hoki Terengganu, jadi saya telah memaklumkan perkara ini kepada menteri agar dapat berbincang dalam kabinet supaya hasrat ‘tiada politik dalam sukan’ dikongsi bersama kementerian-kementerian yang lain.

“Kita telah sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan dan juga sekolah ini merupakan pemegang taruh yang paling utama untuk mencungkil bakat-bakat baru, kalau kita tidak boleh masuk ke sekolah kerana birokrasi yang diamalkan itu akan timbul masalah untuk membangunkan sukan, bukan sahaja untuk kepentingan negeri, tetapi untuk manfaat negara.

“Sebagaimana dua hari lepas di acara penganugerahan sukan negara, menyaksikan Dato’ Muhamad Azizulhasni Awang telah merangkul anugerah olahragawan jadi sebagaimana kita tahu banyak atlet berjasa dan berbakat dari Terengganu ini telah mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas  (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini.

Ujarnya lagi, ketika menghadiri mesyuarat pelarasan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Exco sukan di setiap negeri, Menteri KBS telah menegaskan komitmen kerajaan adalah untuk menguruskan sukan di negara ini secara profesional serta tidak melibatkan politik kepartian.

“Jadi kita harap komitmen untuk membangunkan sukan dalam negara dapat didukung bersama di antara Persekutuan dan kerajaan negeri untuk berkoborasi demi kebaikan bersama untuk terus melahirkan atlet yang bertaraf dunia,” ujarnya lagi. – TRDI.my

4. Armada Bersatu cabar PKR, DAP dedah perbelanjaan kempen PRU15   

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan kempen sekiranya mereka benar-benar berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan hari ini dilihat amat jelas terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih & Stabil’ yang sudah sinonim dengan Perikatan Nasional (PN) menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

“Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? 

“Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion. 

Pembekuan itu dilakukan kira-kira dua ming­gu lalu selepas Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menyeru semua penyokong PN khususnya yang berada di dalam pentadbiran kerajaan agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Katanya, ini kerana Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.

“Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

“Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan.

“Ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini gagal PM10..  2 bulan reformasi. sayur lonjak160%, sukan, PRU15..

Nampaknya tak lama PM10 ini..

Beku akaun BERSATU? 'Kabinet bayangan' PN. Zahid punca Umno-PH kalah.

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) menunjukkan poster Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-15 pada sidang media Perikatan Nasional di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.

1. Beku akaun BERSATU: Agensi k’jaan dijadikan alat PH-BN

SAYA merujuk kepada laporan berita mengenai pembekuan akaun bank BERSATU oleh pihak SPRM.

BERSATU dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada BERSATU.

BERSATU akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas BERSATU dapat dihentikan segera. 

Para pemimpin dan pegawai parti BERSATU yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya.

BERSATU melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk Kerajaan PH-BN yang menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka bagi membunuh kredibiliti BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL.

Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

BERSATU sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Semua ahli-ahli BERSATU dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Kuala Lumpur, 1 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 1/2/2023


2. Muhyiddin umum 'Kabinet bayangan' PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan barisan 'Kabinet' mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Perkara itu diumumkan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN hari ini.

Katanya, PN bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN supaya diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.

"Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing," katanya pada sidang media selepas penutupan Pemukiman Ahli Parlimen PN.

Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin mengetuai tugas berkaitan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Seorang lagi Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee diberi tugas berkaitan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi BERSATU berkata, jawatankuasa itu akan mengeluarkan kenyataan dasar PN dalam semua perkara mengikut portfolio masing-masing.

"Ini termasuk berkaitan ekonomi, apa pendirian dasar dalam isu alam sekitar, antarabangsa, pertahanan atau keselamatan dalam negara.

"Kita akan bentang supaya rakyat tahu apa pendirian kita dan kita bersedia memikul amanah besar kalau rakyat beri mandat tadbir negara kembali," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata Ahli Parlimen yang diberikan portfolio berdasarkan kepentingan dan kepakaran individu, dan input mereka akan menjawab bagi pihak PN yang dikeluarkan sekretariat PN.

Pembangkang juga akan meneruskan dasar PN yang meneruskan kesinambungan Wawasan Kemakmuran Bersama ketika pentadbirannya.

Daripada keseluruhan senarai jawatankuasa portfolio itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menjaga portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), jawatan yang pernah disandangnya ketika berada dalam kerajaan PN.

Turut menyertai barisan 'Kabinet' pembangkang, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kementerian Dalam Negeri) dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetuai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Antara bekas Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan PN lalu yang disenaraikan dalam 'Kabinet' pembangkang adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi); Datuk Ali Biju dilantik menjaga Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pembangkang; Datuk Mas Emieryati Samsudin (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Datuk Rosol Wahid (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Turut dinamakan ialah Datuk Seri Dr Ismail Mutalib bagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan; Datuk Seri Akmal Hisham Abdul Aziz (Kementerian Pertahanan); Datuk Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia); Datuk Siti Zailah Mohd Yusof (Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Muslimin Yahaya (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayshall Wan Ahmad Kamal menjaga portfolio Kementerian Luar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamad Hashim bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari akan mengetuai portfolio Kementerian Belia dan Sukan manakala Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin (Kementerian Pengangkutan) dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan (Kementerian Komunikasi dan Digital)


3. Zahid bakal jadi punca Umno-PH kalah PRN nanti 

POPULARITI Zahid Hamidi kini tiada tandingan. Mungkin lebih popular daripada DS Najib Razak Ketika Umno kalah dalam PRU14 yang lalu.

Sekiranya kita buka di media sosial sama ada Facebook, Twitter, atau Tik Tok pasti akan dihidangkan dengan bahan berbentuk kecaman dan kemarahan rakyat ke atas Presiden Umno yang malang ini.

Populariti Zahid Hamidi ini amat luar biasa. Ia membuatkan PH yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini terpalit sama akibat daripada gelombang penolakan rakyat ke atas Zahid Hamidi.

Sekiranya sebelum PRU15 masih ada orang Melayu yang sudi menyokong Zahid namun kini selepas Zahid bersama dengan Anwar Ibrahim dan DAP pastinya sebilangan besar daripada penyokong Melayu tadi akan mengangkat kaki dan berlalu pergi.

Bayangkan ketika sebelum bersama Anwar dan DAP Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk hanya mampu mencatat rekod undi majoriti sebanyak 348 undi.

Bagaimanakah seorang Presiden kepada parti Melayu yang telah berjuang untuk Melayu dan Malaysia sejak daripada merdeka hampir 66 tahun hanya mendapat majoriti yang amat rendah seperti ini.

Sekiranya kita bandingkan dengan majoriti undi yang dicapai oleh Tan Sri Presiden PAS di Parlimen Marang iaitu sebanyak 41,729 undi. Ternyata Zahid Hamidi jauh ketinggalan. Ibarat langit dan bumi.

Perbezaan yang sangat ketara dan sokongan pengundi kepada Presiden PAS ini amat signifikan sesuai dengan sumbangan PAS kepada negara selama ini.

Bayangkan selepas ini, apabila Zahid bersama dengan Anwar dan DAP pastinya 2/3 daripada pengundi Melayu di Bagan Datuk itu akan kecewa dan meninggalkan Umno. Begitu juga penyokong Umno yang lain di seluruh negara.

Sungguh malang nasib Umno. Kini, nafas politik Umno dalam arena politik tanah air tercungap-cungap akibat daripada Presiden yang lemah dan terpalit dengan kes yang membunuh masa depan politik Umno.

Zahid Hamidi kini liabiliti kepada Umno dan Pakatan Harapan. Kerajaan Madani ini mungkin tidak mampu kekal lama. Terlalu banyak pihak yang tidak berpuas hati termasuklah pemegang taruh yang paling utama dalam demokrasi di negara ini iaitu rakyat.

Pastinya rakyat akan menghukum kerajaan Anwar dan Zahid Hamidi ini dalam PRU DUN akan datang. Umno bakal ‘disembelih’ hidup-hidup. PH bakal terheret.

Sekian.

ABDUL RAHMAN FAUDZI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 2/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Beku akaun BERSATU? 'Kabinet bayangan' PN. Zahid punca Umno-PH kalah.

Doa untuk kemenangan PN+PAS, insya Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails