Thursday, February 09, 2023

Menteri Kewangan gagal. Siasat semua -Nik Amar. Kdah, rakyat milik tanah..

 


1. Tanda kegagalan ‘The best Menteri Kewangan Asia’
TIDAK cukup dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan penasihat kanan, sekarang dilantik pula 5 individu sebagai Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan.

Rupanya ‘The best Menteri Kewangan Asia’ ini tidaklah berbisa seperti yang diuar-uarkan.

Selepas melantik Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak berfungsi dan melantik anak sendiri yang mengundang provokasi, Anwar berhadapan dengan satu lagi cabaran besar apabila masalah harga barang dan kos sara hidup rakyat tetap gagal ditangani.

Rakyat semakin tertekan. Rekod Kerajaan Campuran semakin tercalar. Macam mana Anwar nak bawa Malaysia jadi ‘Harimau Asia’ kalau masalah telur pun tak selesai?

Ini adalah kenyataan yang perlu ditelan oleh penyokong PH-BN. Pelantikan 5 orang Badan Penasihat ini membuktikan bahawa Anwar dan Kerajaan Campuran gagal mengurus masalah ekonomi negara.

Tetapi sekurang-kurangnya nanti selain skrip ‘Sila tanya bank negara,’ Anwar boleh guna jawapan, ‘Saya tanya Badan Penasihat saya dulu’.

Nurul Izzah pun tidak akan disalahkan seorang diri jika kerajaan gagal menyelesaikan masalah kebajikan rakyat lagi nanti.

Silap hari bulan beberapa bulan akan datang, semua Menteri ada Badan Penasihat.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah 
Jabatan Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/2/2023


2. Kalau nak siasat, siasat semua – Nik Amar 

KOTA BHARU: Tindakan kerajaan menyiasat akaun Bersatu seakan tindakan mahu membalas dendam terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) ekoran kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pembekuan akaun itu akan menyukar parti terlibat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya PAS terbuka sekiranya pihak berkuasa mahu melakukan siasatan ke atas akaun parti itu kalau ada keperluan dan berdasar tuntutan undang-undang.

“Kami akan memberi kerjasama asalkan siasatan itu tiada sebarang unsur politik dan selektif. Kita bersedia sekiranya ada keperluan undang-undang namun kita harap semua tindakan itu tidak bermotif politik.

“Ini kerana kalau bercakap soal wang, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

“Kalau nak siasat, siasat semua dan kalau ada kesalahan perlu ambil tindakan undang-undang,” katanya yang juga Timbalan Memnteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membeku beberapa akaun milik Bersatu atas dakwaan berlaku penyewengan dana pakej rangsangan ketika pandemic Covid-19.

Manakala blogger terkenal Raja Petra pula mendakwa PH dan BN membelanja wang secara luar biasa ketika kempen PRU15.

Ketika kempen PRU14 PAS pernah dituduh menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM90 juta, namun selepas siasatan dilakukan SPRM dakwaan tersebut didapati tidak berasas.

Pada 24 Februari 2019 media melaporkan SPRM mengesahkan tiada kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun PAS seperti yang didakwa pemimpin Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 8/2/2023


3. DS Sanusi tunaikan permohonan milik tanah 

PENANTIAN empat dekad kini berakhir. Ramai rakyat Kedah sekarang berjaya memiliki geran tanah sendiri.

Hasrat Menteri Besar Kedah untuk memastikan semua pemohon yang telah lama memohon untuk diberi geran hak milik oleh kerajaan negeri juga sedikit demi sedikit telah tercapai.

“Rakyat setidak-tidaknya bukan menjadi penumpang di bumi tumpah darahnya. Sekurang-kurang dia ada sekeping geran tanah untuk diwariskan kepada anak-anak dan isteri setelah dia tiada nanti.” – YAB Dato’ Sanusi

Menurut YAB Dato’ Sanusi, jumlah keseluruhan tanah yang diluluskan adalah 9,106 tanah daripada 10,937 permohonan yang diterima bagi tahun 2015 hingga September 2022.

Dalam tahun ini sahaja, sudah lebih 200 individu telah menerima geran hak milik tanah. Boleh rujuk page UPDA untuk maklumat lanjut.

●12 Januari 2023: 73 Penduduk Daerah Kubang Pasu Terima Geran.
●30 Januari 2023: 119 Penduduk Daerah Baling Terima Geran Tanah.
●2 Februari 2023: 65 Penduduk Daerah Langkawi Terima Geran Tanah.

Insya-Allah, dengan komitmen kerajaan negeri ini, tidak akan ada lagi penduduk di mana-mana bahagian dalam Negeri Kedah yang berasal, membesar, berbudaya dan bergaul di bumi negeri itu yang tidak ada tanah untuk mendirikan rumah.

Tidak kira sesiapa sahaja anak Kedah, mereka akan mendapat hak yang dijanjikan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Kini rakyat terutama peneroka tanah dapat mengusahakan tanah mereka dengan tenang untuk anak cucu akan datang.

Tahniah Kerajaan Kedah kerana berjaya selesaikan isu yang puluhan tahun tak dapat diselesaikan! Semoga dikekalkan kerajaan negeri yang stabil dan adil ini supaya lebih banyak nikmat dapat diperoleh rakyat.

‘Kedah tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti.’

YB USTAZ NURUL AMIN HAMID 
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap – HARAKAHDAILY 8/2/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Menteri Kewangan gagal. Siasat semua -Nik Amar. Kedah, rakyat milik tanah..

Al-hamdulillah semuanya, kecuali Menteri Kewangan yang gagal.

K'tan dianak tiri, kerana DAP? Ini 5 perkara..

 


DAP: Dalam diam-diam rupanya ‘berisi’
5 isu Kerajaan PH-BN ikut telunjuk DAP

KELANTAN dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan suatu ketika dahulu adalah sejarah yang tidak boleh dipadamkan dari kanvas politik negara. Walaupun ia merupakan pertembungan antara kerajaan dengan kerajaan, hakikatnya kesan menimpa ke atas kehidupan rakyat.

Rakyat Kelantan menjadi mangsa sikap tidak demokratik Umno-BN yang tidak dapat menerima kekalahan dalam PRU dan perbezaan politik. Tindakan tidak matang dan dendam itu bahkan seperti satu hukuman dari Umno-BN ke atas rakyat negeri tersebut kerana menolak parti itu.

Tidak hanya diskriminasi, peminggiran dan penafian hak, Kelantan malah sering diperlekeh, dihina dan diperburukkan secara momokan propaganda. Namun, semua itu telah membentuk solidariti yang mengikat erat hubungan antara rakyat dan Kerajaan Negeri dipimpin PAS.

Keadaan demikian menjadikan rakyat Kelantan bersatu, tekun dan bijak di mana ramai yang bekerja sendiri, berniaga atau merantau dengan meneroka dan meraih peluang kehidupan. Kalau bekerja ‘makan gaji’ pun, mereka selalunya mengetuai atau dikenali sebagai pekerja yang rajin.

Ini bermakna, rakyat Kelantan dalam berhadapan segala halangan dan kekurangan telah menunjukkan semangat berdikari yang cukup tinggi pada banyak aspek. Ketika kerajaannya mentadbir urus pembangunan dan kemajuan negeri, rakyatnya pula gigih memenuhi rutin harian kehidupan.

Misalnya dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri Kelantan hanya dapat membantu pekebun dan penternak dengan kemampuan yang sangat terhad. Tetapi pertanian Kelantan merakyat sehingga keperluan sara diri dan makanan bagi negeri itu dapat dipenuhi, bahkan hingga ada yang melebihi.

Keuntungan daging

Contohnya keperluan daging di mana rakyat Kelantan adalah pemakan daging lembu segar tempatan terbanyak di negara ini dan ada juga dijual ke negeri-negeri lain. Kebanyakan lembu-lembu ini diternak sendirian secara kecil-kecilan di kawasan sekitar kampung penternak.

Tetapi kalaulah Kelantan tidak dianaktirikan, mungkin penternakan secara perladangan teratur untuk penghasilan daging dan susu dengan lebih banyak akan dapat diadakan. Kerana negeri itu bukan sahaja ada tanah yang luas, tapi rakyatnya terbukti sebagai penternak berpengalaman.

Malangnya sehingga ke hari ini, dengan kepakaran, institusi, prasarana serta teknologi pertanian dimiliki, negara masih bergantung besar kepada bekalan daging beku import. Ditambah pula isu-isu integriti seperti pengesahan halal diragui, sembelihan tidak patuh syarak dan dicampur daging babi.

Ia bagaikan jatuh ditimpa tangga di mana boleh menjadi antara petunjuk bahawa urusan sekuriti makanan bagi negara masih belum terjamin. Sudahlah kuantiti jauh dari mencukupi, keperluan yang cuba dipenuhi pula berdepan dengan penipuan dan kecurangan.

Soalnya, siapakah dalang terlibat melanggar prosedur pengimportan berkenaan yang mungkin ghairah meraih keuntungan perniagaan, tetapi mengkhianati pengguna? Agak mustahil jika pemegang permit itu seorang Muslim akan tergamak melakukan perbuatan terkutuk sedemikian.

Sedangkan begitu besar manfaat golongan bukan-Muslim peroleh dalam meluas dan meningkatkan jualan perniagaan mereka dari pengesahan atau sijil Halal JAKIM. Tetapi Muslim pula berdepan isu-isu makanan haram ‘tersembunyi’ ini yang merupakan satu kejahatan sukar dimaafkan.

Dari laporan semasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menunjukkan perkara seumpama tersebut masih lagi terjadi. Bermakna juga dengan lebih 10 agensi kerajaan yang ada dalam kawalan sempadan keluar masuk negara, isu ini masih membolosi?

Ketika keperluan dan hak Muslim itu diselaputi keraguan serta belum mendapat penyelesaian, harga daging babi pula lebih diberi perhatian oleh Kabinet Kerajaan Pusat. Fokus tidak seimbang ini memperlihatkan Kerajaan PH-BN hanya menjaga poket atau perolehan kelompok tertentu.

Samalah seperti Umno-BN dahulu yang mewujudkan pelbagai bantuan atau skim berkaitan perniagaan atau keusahawanan tetapi dengan melihat ‘warna politik’. Rakyat Kelantan yang terkenal paling ramai berniaga tidakpun dibantu, namun mereka berdikari dengan jayanya.

Pendidikan yang terbela?

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah meminta pelajaran Pendidikan Islam dikaji semula supaya memberi kefahaman yang jelas. Katanya, ia agar tidak semudahnya percaya sebarang hujah mana-mana pihak, meskipun tokoh parti politik, mahupun para ulamak yang ada.

Singgungan beliau itu agak melalut, malah tujuan kehendak Anwar itu juga kabur, tetapi sinisnya seperti berada dalam kerangka politik. Kerana dilihat menyasarkan kepada semua segmen; murid, pelajar, mahasiswa mahupun yang mengikuti pengajian di pondok, surau dan masjid.

Apatah lagi institusi Pendidikan Islam khusus dan pengajian Islam umumi berkembang subur di negeri-negeri pembangkang yang menjadi lawan politik Anwar. Sedang sekatan pula diwujudkan di negeri-negeri yang berada dalam jajaran Koridor Pakatan Harapan dicetuskan DAP?

Anwar seolah-olah menanam curiga serta menimbulkan polemik baharu ke atas hal ehwal umat Islam dengan mengundang sesuatu yang boleh menjadi perpecahan. Juga memarakkan perbahasan yang memungkinkan penyusupan elemen liberalisme dan pluralisme.

Sedang kepentingan umat Islam seakan digoncang, pihak lain pula bangkit mengemuka tuntutan untuk perjuangan mereka kepada pendidikan bersifat kaum segera diiktiraf. Ketika institusi Pendidikan Islam masih terasa sakit ditarik bantuan perkapita tahun 1992 dahulu, institusi pendidikan kaum itu pula dicurah sumbangan kewangan.

Penceroboh tanah disantuni

Lebih 60 tahun kewujudan tanah-tanah rancangan khas seperti FELDA, FELCRA dan lain-lainnya di seluruh negara, namun hal pemilikan masih menjadi isu sehingga ke hari ini. Kasihan para peneroka yang telah menerangi hutan belantara memugar tanah menanam komoditi untuk hasil negara.

Bukan sahaja ramai yang kais pagi makan pagi atau memperoleh pendapatan sekadarnya, bahkan kebanyakan mereka senasib gelandangan dan bagai merempat di negara sendiri. Kerana tanah diduduki dan didirikan kediaman belum diberikan geran pemilikan.

Bila-bila masa sahaja mereka boleh terusir terpaksa berpindah sedangkan pernah menabur jasa menghidupkan tanah serta membina keluarga dan kemasyarakatan di situ. Kerajaan BN yang berkuasa dahulu gagal memberi hak sewajarnya, bahkan menjadikan hal itu satu cengkaman politik.

Berbeza komuniti lain yang ada tanah mereka dituntut geran pendudukan sehingga 999 tahun, entah ada yang diluluskan atau tidak? Begitu juga misalnya di Pahang, banyak tanah diteroka secara haram, tetapi terbaharu para penceroboh boleh diajak berunding; adakah untuk ditawarkan geran?

Gigihnya mereka, bukan setakat mahu menjamin pemilikan, malah kampung-kampung baharu mereka wujudkan diperjuang hingga mendapat pengiktirafan UNESCO. Dengan itu, mereka bukan sahaja mendapat peruntukan kewangan badan dunia itu, bahkan juga jaminan ‘perlindungan’.

Sedangkan, sudah berapa kampung warisan penduduk asal seperti di Pulau Pinang yang telahpun ‘lenyap pupus’ beberapa tahun lalu. Banyak juga lagi perkampungan seumpama di seluruh negara sedang terancam kerana begitu diidamkan para kapitalis, termasuk Kampung Baru Kuala Lumpur.

Hanya yang betul-betul terbukti menjamin kependudukan dan pemilikan tanah serta kediaman kepada rakyat adalah Kerajaan-kerajaan Negeri diterajui PAS. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bukan sahaja menjaga kebajikan rakyat, tetapi juga kedaulatan peribumi.

Politik perumahan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming baru-baru ini membuat pengumuman berkenaan usaha menangani masalah perumahan di negara ini. Pihaknya akan membawa masuk pakar dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura ke KPKT.

Rancangan beliau itu menerima kritikan banyak pihak, lantas Nga seperti juga selalu, segera membalas pertikaian berkenaan dengan menyatakan pihak berkenaan hipokrit. Bidas beliau, ada pihak itu dahulunya pernah mengadakan lawatan ke Singapura untuk belajar daripada HDB.

Ya, ada banyak pihak ‘belajar’ dari HDB, tetapi apabila aplikasi, ia disesuaikan dengan keadaan dalam negara, sedangkan tindakan Nga itu berbeza di mana KPKT akan ‘diajar’! Tidak perlu ‘melalut dan mengarut’ hingga mengaitkan tindakannya itu seperti ‘Dasar Pandang Ke Timur’.

Bahkan Nga cuba merasionalkannya sebagai kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G to G) seperti yang pernah diadakan. Hakikatnya, ramai tahu sejarah rancangan perumahan Singapura adalah merupakan sebahagian agenda strategik dan licik parti pemerintah negara itu, PAP.

Kritikan yang dihalakan kepada Nga kerana kenal sangat muslihat di sebalik rancangan beria-ia diumumkan Menteri itu di mana pasti terkandung motif politik partinya. Penyusunan perumahan di Singapura adalah satu bentuk ‘kawalan atau cengkaman’ PAP ke atas rakyat negara itu.

Barangkali itulah cuba dilaksanakan pula di negara ini, selari nafsu partinya mahu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan, sekali gus meluaskan Koridor Harapan. Realitinya Singapura dinyatakan berjaya kerana dapat memenuhi perumahan diperlukan rakyatnya cumalah dari aspek jumlah.

Dari aspek kesejahteraan, ada banyak kajian memaparkan rakyat negara itu merasa terbelenggu dan hidup dalam kerungsingan kepada pelbagai ketidakpastian, serta banyak berkaitan psikologi lainnya. Mungkin inilah nanti bakal terjadi di Pulau Pinang yang diperintah parti tersebut.

Sedangkan model rujukan lain boleh KPKT ‘belajar’ juga adalah misalnya daripada Australia dan Scotland, tetapi Singapura dipilih Nga kerana itulah kiblat parti beliau. Bahkan sebenarnya boleh ‘belajar’ dari negeri-negeri diperintah PAS dalam aspek perumahan dan pembangunan.

Kelantan walaupun tidak terlihat maju termasuk dianaktirikan dari peruntukan rancangan perumahan Persekutuan, tetapi rakyatnya mudah memiliki tanah. Ini hasil polisi Kerajaan Negeri Kelantan, sekali gus rakyat dapat membina rumah idaman dan selesa.

Tetapi paling utama adalah kesejahteraan hidup rakyat berjaya diwujudkan dari pembangunan atau kemajuan negeri yang dibina. Itu juga sedang berlaku di Terengganu, Kedah dan insyaAllah Perlis. Malah kemampanan dan kelestarian dalam banyak aspek juga dilihat sedang menyinar.

Sebaliknya intervensi Kor Ming itu mungkin hanya akan memberi kelebihan atau keuntungan kepada golongan pemaju konglomerat yang kaya untuk semakin kaya. Lalu rakyat kekal menjadi mangsa pelbagai mainan spekulasi serta semakin miskin, papa kedana dan ‘dijajah’?

Apapun, sebenarnya hasrat Nga itu telah dicurigai dan disangsikan kerana bakal menyentuh sensitiviti dan hak serta penguasaan yang bersifat ancaman dan gugatan. Bukan sahaja terhadap soal pemilikan dan kehidupan rakyat, tetapi juga keselamatan dan kedaulatan serta masa depan negara.

Mercun yang halal

Paling terkini, Kor Ming membuat pemberitahuan mengenai mercun dan bunga api yang bakal dibenarkan semula setelah ianya diharamkan kerajaan sejak tahun 1995 dahulu. Beliau dilihat sangat teruja mengumumkan keputusan Kabinet itu yang sepatutnya dibuat oleh Perdana Menteri.

Kerana ia suatu perkara besar di mana kerajaan memansuhkan keputusan kerajaan. Dahulunya ketetapan itu dibuat susulan latarbelakang, pengalaman, kesan dan akibat dari tragedi yang menimpa. Oleh itu, apabila peraturan ini diubah, maka perlulah dinyatakan justifikasinya.

Setakat perkembangan yang berlaku sebelum keputusan Kabinet itu adalah insiden permainan mercun di Simpang Pulai di mana pihak polis telah membuka kertas siasatan. Adakah ia satu cara Nga mencabar dan menunjukkan angkuh kuasanya kepada penguatkuasa keselamatan?

Setidaknya perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri (KDN) kerana berada di bawah tanggungjawabnya atau Menteri Ekonomi yang akan mengaut duti import. Sepatutnya Nga selaku Menteri yang Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawahnya memberi nasihat berkaitan keselamatan.

Lebih dangkal dan merepek apabila beliau menyatakan bahawa permainan mercun itu akan memeriahkan lagi sambutan Aidil Fitri pada April nanti. Bahkan dikaitkan sama dengan Deepavali dan Krismas sepertimana Tahun Baru Cina seolah-olah ia budaya dalam perayaan di negara ini.

Oleh itu, riang gembira dan ghairah Nga kepada perkara tersebut sangat menimbulkan persoalan. Adakah beliau yang menggesa Kabinet merombak semula keputusan itu? Adakah beliau mewakili kelompok berkepentingan yakni dalam kalangan pengimport mercun dan bunga api?

Kerana antara hujahnya juga adalah berkenaan janaan hasil pendapatan yang akan diperoleh kerajaan. Beliau mungkin sengaja menutup sebelah mata betapa perniagaan seperti itu terdedah kepada penyeludupan. Lebih utama bahaya boleh menimpa atas premis dan manusia.

Keuntungan diraih kelompok tertentu, tetapi negara menanggung kos besar akibat kebakaran, letupan, kecederaan, kehilangan anggota dan kematian. Kilang Bright Sparklers di Sungai Buloh sudah lenyap dari mata dan peta, tetapi akibatnya masih berparut buat negara.

Daripada memperjuangkan dan sibuk perkara berkenaan yang juga bercanggah dengan peranan KPKT serta boleh mengundang risiko malapetaka, ada baiknya beliau menumpukan kepada usaha kebersihan tandas awam ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi’.

Untuk memastikan pencapaian itu dan menunjukkan komitmen serta jaminan pihaknya, selain meningkatkan lagi tarikan dan perhatian rakyat kepada beliau, Nga boleh serlahkan lagi menerusi pemantauan dengan tidur semalaman di tandas. Menteri PH kan suka populariti komedi seperti itu?

Penutup

Beberapa isu ini sudahpun seperti mengesahkan skeptikal dan pandangan banyak pihak bahawa Kerajaan PH-BN dipimpin Anwar Ibrahim sebenarnya mengikut telunjuk DAP. Semua isu-isu dinyatakan itu adalah perkara sering didesak atau dituntut DAP dalam penekanan parti tersebut.

Ianya bukan sahaja berupa usaha-usaha memenuhi keperluan dan kepentingan kelompok yang jelas bersifat perkauman biarpun dinafikan mereka. Hakikatnya juga wujud agenda dan muslihat politik DAP ke arah mencapai segala nafsu cauvinisme dan ultra kiasu parti itu.

Rakyat juga dapat menyaksikan dengan terbukti bahawa DAP biarpun ketara menyembunyikan diri sejak menjelang PRU15 lalu hingga ke hari ini, tetapi galak ‘di sebalik tabir’. Kerana setiap kali mereka muncul, pasti ada sahaja kejelikan atau akibat buruk yang ditimbulkan hingga sukar dibendung.

Mudah disimpulkan dari hakikat sebenar pendekatan terkini parti itu untuk terus rakyat dan negara ini ingat dan waspadai adalah bahawa DAP dalam diam-diam rupanya ‘berisi’.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my  HARAKAHDAILY 7/2/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: K'tan dianak tiri, kerana DAP? Ini 5 perkara..

Siapa sebenar baruanya? Lihat kartun ini..

Wednesday, February 08, 2023

Gila! Kalau ikut peradaban ini.. Gatal seks, sekatil, khalwat..

  

Seorang isteri menyerang seorang pekerja seks di sebuah rumah urut di Phuket pada Rabu lalu. - Today

1. Tampar pekerja seks gatal..

PHUKET – Seorang isteri ditangkap kerana menyerbu masuk ke sebuah rumah urut dan menyerang seorang pekerja wanita yang berbogel dan mempunyai hubungan sulit dengan suaminya pada Rabu lalu.

Menurut portal berita MailOnline semalam, wanita berkenaan dilaporkan menemui gambar suami dan wanita itu dalam telefon pasangan hidupnya. Dia kemudian mengekori suaminya ke sebuah rumah urut di Phuket, Thailand.

Suami curang itu telah meninggalkan rumah urut tersebut tetapi si isteri bertemu wanita kecil molek itu yang sedang duduk di atas kerusi dan hanya memakai sehelai tuala.

Rakaman video menunjukkan dia berulang kali menampar dan memukul wanita tersebut. Dia juga melucutkan tuala wanita itu.P ekerja seks itu meminta maaf kerana tidak mengetahui suami wanita berkenaan adalah pelanggannya.

Pegawai polis dari Balai Polis Wilayah Meeang, Kolonel Sarawut Chuprasit berkata, anggota-anggota polis sedang menyiasat lokasi kejadian itu kerana tiada siapa mengenali tempat urut itu.

“Tiada aduan daripada mana-mana orang yang terlibat tetapi saya menggalakkan mangsa melaporkan kejadian ini kepada polis. Kami akan melakukan siasatan dengan segera,” katanya. – Agensi


2. Isteri sangka diculik, rupanya suami sekatil dengan kekasih 

WOLLONGONG, AUSTRALIA – Seorang lelaki di Australia memalsukan penculikannya sendiri dan menipu isterinya demi meraikan sambutan Tahun Baharu bersama kekasih gelap, lapor portal berita MailOnline.

Paul Iera, 35, ditahan Khamis lalu dan didakwa sengaja membuat pengakuan palsu.

Menurut polis, Iera meninggalkan rumahnya sejurus sebelum sambutan Tahun Baharu sekitar pukul 11.45 malam (waktu tempatan), 31 Disember tahun lalu.

Dia memberitahu isterinya bahawa ingin berjumpa dengan seorang lelaki di Dapto, selatan Wollongong.

Bagaimanapun, pasangannya menerima pesanan ringkas daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai ‘pekerja seks’, yang mendakwa telah menculik Iera.

Ketika perbicaraan di mahkamah, ‘pekerja seks’ tersebut dikatakan mempunyai ‘sejarah’ dengan Iera. Dia turut menghantar beberapa pesanan ringkas kepada isteri lelaki itu bagi memaklumkan mengenai penculikan itu.

Isteri Iera percaya bahawa pekerja seks itu menahan suaminya sebagai tebusan kerana mahukan   sebuah motosikal  berharga  lebih AUS$7,000 (RM21,088). Wanita tersebut kemudian melaporkan perkara itu kepada polis.

Detektif polis melancarkan siasatan dengan memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan bercakap dengan beberapa saksi.

Namun, mereka mendapati bahawa di antara selang waktu pesanan ringkas dihantar kepada isteri Iera, rakaman CCTV menunjukkan dia tiba bersama kekasihnya di kediaman wanita berkenaan di Dombarton.

Iera memakai singlet bola keranjang dan membawa telefon bimbit serta satu beg pakaian untuk bermalam.

“Kami mendapati bahawa lelaki berkenaan secara sengaja mereka-reka cerita mengenai penculikannya,” kata Polis New South Wales.

Pasukan penyiasat juga percaya lelaki tersebut sengaja menipu penculikannya kerana ingin menyambut malam Tahun Baharu bersama wanita simpanannya selepas meneliti rekod panggilan telefon suspek.

Majistret Chris McRobert menyifatkan kes itu sebagai ‘agak luar biasa’, namun membenarkan Iera diikat jamin. Dia perlu kembali ke mahkamah untuk sesi perbicaraan seterusnya pada hujung bulan ini. – Agensi 

3. Kenal di Tanjung Minyak dicekup berkhalwat di rumah janda. 

MELAKA – Seorang penjawat awam memberikan alasan penat membaiki pendingin hawa selepas dicekup berkhalwat di rumah janda dua anak oleh pegawai syarak di Tanjung Minyak, kelmarin.

Dalam serbuan Operasi Perahu Darat 2 (Opeda 2) kira-kira pukul 11.45 malam itu, pasangan yang ditahan masing-masing berusia 30-an.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil maklumat awam, serbuan telah dilakukan pegawai syarak bersama pihak polis dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui pasangan tersebut.

Ujarnya, turut bersama adalah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang merupakan anak wanita terbabit.

“Setibanya di lokasi, didapati pintu rumah bertutup rapat serta berkunci dan telah dibuka oleh seorang lelaki. Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita di dalam bilik bersama seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

“Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan lelaki terbabit datang dari Negeri Sembilan dan memberi alasan bermalam kerana penat setelah membaiki pendingin hawa rumah wanita itu yang rosak,” katanya.

Tambahnya, wanita berkenaan yang juga penjawat awam merupakan janda dua anak, manakala lelaki berasal dari Kedah dan berstatus suami orang dengan lima orang anak.

Mengulas lanjut beliau berkata, pasangan tersebut mendakwa telah berkenalan melalui aplikasi sosial Omi.

“Pasangan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Minyak. Tangkapan dibuat semula oleh JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman,” katanya.

Ujarnya, turut ditahan dalam operasi itu adalah pasangan kekasih muda berusia 20-an yang dicekup duduk berdua-duaan sambil memeluk bahu di kawasan persisiran jalan di Pantai Marina, Kota Laksamana.

Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. – KOSMO! ONLINE

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Gila! Kalau ikut peradaban ini.. Gatal seks, sekatil, khalwat..

Apa peradaban gila ini? Itulah, peradaban yang tidak sesuai dengan tuntutan naluri kemanusiaan sejagat dan Islam sebagai agama samawi..

Kantoi! Isu DAP wanita seluar pendek. Video lucah, nuclear Turkiye

 


1. Demi politik, IGP pun sanggup DAP jadikan bahan

AHLI Parlimen Bandar Kuching dari DAP Kelvin Yii dilaporkan baru-baru ini berkata:

“Kenyataan terbaru IGP Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan bahawa masyarakat harus mengikuti tatacara berpakaian kerajaan semasa di balai polis kecuali keadaan kecemasan ‘hidup dan mati’.

“Kenyataan sedemikian sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana adalah menjadi tugas hakiki pihak polis untuk menjalankan tanggungjawab memberi khidmat di dalam apa jua situasi,”.

Isu ini melibatkan seorang wanita yang diberitakan tidak dibenarkan masuk ke Balai Polis Kajang untuk melaporkan satu kemalangan atas sebab berpakaian seluar pendek yang di atas paras lutut.

Belum pun 3 bulan memerintah DAP sudah mula tunjuk taring. 

Apa sahaja isu yang boleh angkat nama dan kepentingan mereka akan diguna dan dipolitikkan sepenuhnya tanpa menghiraukan adat dan peraturan. Itulah DAP.

Insiden ini mendapat perhatian umum sehingga pemimpin tertinggi PDRM iaitu Ketua Polis Negara terpaksa bangkit beri penjelasan.

Penjelasan IGP itu berdasarkan peraturan sedia ada yang telah pun menjadi amalan dan budaya masyarakat kita.

Tetapi DAP lantaran kuasa yang ada di tangan dan populariti politik yang mahu dicuri bingkas melenting menyerang IGP yang sekadar menjalankan tugas.

Apa pun situasi yang ada sedarlah masyarakat bahawa kita punya nilai adat dan budaya yang mulia dan sama-sama kita jaga selama ini. Kerana berpegang pada nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan inilah masyarakat kita tenteram dan berdisiplin.

Mungkin wanita berkenaan ada keperluan untuk ke balai, kesnya kemalangan jalan raya, tetapi bukanlah peringkat kecemasan hidup dan matipun.

Peraturan menetapkan sesuatu kes kemalangan jalan raya perlu dilapor ke pihak polis dalam tempuh 24 jam. Tidak bolehkah usaha untuk tukar berpakaian sopan dalam tempoh itu?

DAP bukankah parti pemerintah hari ini? Sepatutnya melihat insiden ini pemimpin DAP keluar meredakan keadaan. Beri nasihat pada rakyat agar patuh dan ikut arahan sebagaimana penjelasan IGP.

Tetapi kerana memilih untuk jadi juara DAP sanggup tunjuk belang walau terhadap IGP sendiri.

Mentaliti pembangkang kekal melekat dalam kepala mereka. Hargailah jasa pihak polis. Rai dan hormatilah pandangan ketua nombor satu polis dalam negara itu.

Bayangkan moral anggota polis apabila membaca dan melihat seorang Ahli Parlimen Kerajaan menyerang terbuka pemimpin mereka.

Jika beginilah sikap pemimpin kerajaan apalah nasib negara di masa akan datang.

Yang kurang ajar perlu diajar dalam PRU Negeri nanti. No DAP.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 7/2/2023


2. Ahli Parlimen Serbia letak jawatan 'kantoi' tonton video lucah di Parlimen 

BELGRADE: Seorang Ahli Parlimen Serbia meletak jawatan hari ini selepas video beliau menonton pornografi ketika sidang Parlimen yang tegang tular di media sosial, lapor penyiar kerajaan RTS.

Rakaman video yang disiarkan dalam talian menunjukkan Zvonimir Stevic menonton kandungan lucah di telefonnya ketika perbahasan hangat di Parlimen minggu lalu, yang mana penggubal undang-undang membincangkan kemungkinan perjanjian membabitkan hubungan dengan wilayah Kosovo.

Eksekutif Parti Progresif Serbia yang memerintah membidas Stevic kerana menonton filem lucah ketika sesi itu yang turut menyaksikan beberapa Ahli Parlimen bergaduh secara fizikal.

Warga Kosovo berusia 65 tahun itu adalah ahli veteran Parti Sosialis - parti muda dalam gabungan pemerintah Serbia - dan juga didesak untuk meletakkan jawatan oleh ketua partinya selepas video itu menjadi tular.

Serbia dan Kosovo mendapat tekanan lebih hebat daripada negara Barat untuk mewujudkan perjanjian yang akan menyaksikan kedua-dua pihak menormalisasikan hubungan. 

Bagaimanapun Serbia masih enggan mengiktiraf bekas kerajaan wilayah majoriti Albania yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008 dan dengan sokongan sekutu kuat seperti Russia dan China, sekali gus menghalang wilayah itu daripada memasuki pelbagai institusi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - AFP


3. Gempa tidak jejas loji nuclear sedang dibina di Turkiye   

Antara kesan gempa bumi di Turkiye, hari ini. - FOTO AFP

AKKUYU (TURKIYE): Loji Kuasa Nuklear Akkuyu yang sedang dalam pembinaan, dilaporkan tidak terjejas akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria, hari ini.

Laporan agensi berita RIA memetik Anastasia Zoteeva, pegawai syarikat tenaga nuklear Russia yang membina loji itu, Rosatom, sebagai berkata gegaran sekitar tiga magnitud dirasai di lokasi itu.

"Namun, pakar kami tidak menemukan sebarang kerosakan pada struktur bangunan, kren dan peralatan, setakat ini.

"Bagaimanapun, kami melaksanakan langkah diagnostik secara meluas bagi memastikan operasi pembinaan dan pemasangan dapat diteruskan dengan selamat," katanya. - REUTERS

BERITA BERKAITAN


Komen Weblog Ibnu HasyimKantoi! Isu DAP wanita seluar pendek. Video lucah, & nuclear Turkiye

Yang kantoi ialah yang berlawanan dengan kehendak syariah Islam, iaitu yang meruntuhkan Islam. Yang tidak kantoi ialah yang perlu 'diperbetoi' atau di'islah'kan demi kebangkitan Islam sejagat.

Sekian.

Lagi, bahaya premis hiburaan. 18 ditahan & rompak bersenjata.

 

ACP Amihizam Abdul Shukor berkata tangkapan itu melibatkan tiga lelaki tempatan dan 15 warga asing termasuk 12 wanita berumur lingkungan 20-an hingga 40-an. - Foto fail/BERNAMA

HALAMAN HIBURAN
1. 18 pengunjung premis hiburan ditahan atas pelbagai kesalahan dadah
KUALA LUMPUR: Seramai 18 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini ditahan pada awal pagi Isnin kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata serbuan pada pukul 1.15 pagi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
"Tangkapan itu melibatkan tiga lelaki tempatan dan 15 warga asing termasuk 12 wanita berumur lingkungan 20-an hingga 40-an.
"Serbuan turut membawa polis kepada rampasan dadah jenis cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) sebanyak 14.77 liter, 441.6 gram (g) serbuk MDMA dan 7.6g ketamin," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. 
Amihizam berkata dua daripada suspek direman sehingga 12 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 16 lagi direman sehingga 9 Feb ini untuk disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan 15(1)(a) akta sama.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM13,810 ini boleh dibekalkan kepada 150 penagih dan polis masih menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan.
"Pemeriksaan rekod jenayah ke atas semua tahanan juga masih dijalankan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan rampasan dadah ini boleh menghubungi 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
2. Polis tahan dua pekerja pusat hiburan terlibat rompakan bersenjata 
Hanyan Ramlan (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas dari suspek. - Astro AWANI

KEMAMAN: Dua pekerja pusat hiburan yang dipercayai terlibat melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, Kemaman diberkas.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 pagi Khamis dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Kemaman.
Menurut Hanyan ketika kejadian pemilik kedai serbaneka tersebut sedang duduk di hadapan kedai bersama dua rakannya sebelum didatangi suspek yang menaiki bermotosikal kira-kira jam 1.45 pagi.
Katanya kedua-dua suspek kemudiannya mengacukan senjata menyerupai pistol dan sebilah pisau ke arah mangsa sebelum melarikan wang dan barangan peribadi milik mangsa.
"Dalam kejadian ini, kerugian berjumlah hampir RM5,000, tiada kecederaan yang dilaporkan.
"Saya nak nyatakan di sini kejayaan Task Force IPD berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh satu jam setengah, selepas kejadian berlaku, ini adalah bantuan daripada CCTV dan juga maklumat orang awam yang ketika itu berada di sekitar premis tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif metamfetamin selain turut mempunyai jenayah rekod lampau berkaitan rogol dan dadah.
Jelasnya suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Hanyan berkata dengan penahanan suspek terbabit dipercayai telah menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata berkumpulan di daerah itu sejak Oktober tahun lalu. -Astro AWANI
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lagi, bahaya premis hiburaan. 18 ditahan & rompak bersenjata.
Bila lagi pihak kerajaan nak kaji balik konsep hiburan maksiat bertopeng kononnya hiburan untuk rakyat? Mengapa kerajaan tidak peka tetapi masih pekak?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails