Wednesday, March 01, 2023

Bukan tebuk atap, tapi atap bocor -A.Hadi. & Guan Eng buta sejarah..




1. Tukar kerajaan: ‘Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami’

KUALA LUMPUR: “Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau membangkitkan perkara itu susulan berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika PRU14 kerana kesilapannya dan menolak Pakatan Harapan (PH) kerana pembohongan janji dan manifestonya.

Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, mereka kemudiannya telah memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

Justeru, katanya kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai.

Beliau menambah, selepas PRU15, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti kecil dan segala yang berpenyakit.

Ini, ujar beliau bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.

“Kini, kebanyakan penduduk di luar bandar daripada orang Melayu dan bumiputera memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), serta parti Sarawak dan Sabah,” ujarnya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tam bahnya, adapun PH mendapat sokongan penduduk bandar dan kawasan campuran yang didukung oleh bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Justeru, ujar beliau tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan.

“PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana wabak dapat menunjukkan sedikit perubahan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023


2. Guan Eng buta sejarah, pertikai hak Kedah 

Sidang Dewan Rakyat hari ini, Lim Guan Eng serang MB Kedah yang tidak ada di dalam Dewan. Dia tuduh MB Kedah pertikai Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedaulatan Negeri Pulau Pinang. 

Apabila Ustaz Tarmizi Sik bangun cuba menjelaskan dia tidak beri laluan.

MB Kedah bukan pertikai kedaulatan Pulau Pinang tetapi minta wang pajakan yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pajakan Negeri Pulau Pinang daripada Sultan Kedah dinaikkan.

Sejak penyerahan Pulau Pinang oleh Sultan Abdullah untuk dipajak kepada SHTI melalui Francis Light pada 1786,  bayaran pajakan dikenakan adalah sebanyak 6, 000 Dollar Sepanyol.

Pajakan itu diperolehi secara tipu helah dan SHTI tidak pernah membayar pajakan secara sempurna.

Ini mendorong Sultan Abdullah cuba melancarkan serangan terhadap Inggeris melalui Perai yang pada masa itu masih di bawah pemerintahan Sultan Kedah.

Angkatan Sultan Abdullah diserang balas oleh SHTI yang akhirnya menyebabkan Kedah turut terlepas Perai.

Penaklukan Perai oleh Inggeris menyebabkan nilai pajakan dinaikkan kepada 10,000 Dollar Sepanyol.

Bagaimanapun bayaran pajakan masih tidak bayar secara sempurna. Inggeris juga memungkiri perjanjian awal yang menjadi syarat persetujuan Sultan Kedah untuk memajak Pulau Pinang iaitu SHTI akan melindungi Kedah daripada serangan Siam.

Apabila perang Kedah Siam tercetus bermula 1831, SHTI sebaliknya memilih untuk berpihak kepada Siam pada 1838.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan yang mewarisi pemerintahan Kerajaan Pusat daripada Inggeris, meneruskan pembayaran pajakan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah dengan nilai RM10,000 setahun.

Nilai itu diteruskan hingga sekarang. Bagaimanapun bermula pada tahun 2018 ketika Tun Dr Mahathir sebagai PM dan anaknya, Mukhriz selaku MB Kedah, Kedah menerima bayaran khas senilai RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Bayaran RM10 juta itu terus dibayar sampai sekarang.

Kerajaan Negeri Kedah turut menuntut Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun sebagai kos penjagaan sumber air mentah yang diambil oleh Pulau Pinang daripada Sungai Muda yang mengalir dari dalam sempadan Negeri Kedah.

Mengikut Akta Industri Perkhidamatan Air Negara 2006 (Akta 655) yang disambut dengan Enakmen Sumber Bekalan Air Negeri Kedah 2008, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) ditubuhkan untuk mengawal selia semua sumber air yang ada di Negeri Kedah.

LSANK berhak untuk mendapat bayaran daripada mana mana pihak yang menggunakan air mentah daripada segala sumber yang ada di Negeri Kedah atas tanggungjawab memastikan kelestarian sumber air terus terjaga dan dipulihara.

Bayaran ini juga sebagai ganti kos melepas oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Kedah atas kehilangan pendapatan demi mengekalkan kawasan tadahan.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga membayar kepada LSANK atas setiap titis air mentah yang diambil daripada sumber sumber yang ada di Negeri Kedah.

Malangnya Kerajaan Pulau Pinang hingga hari ini masih enggan membayar kepada Kedah walaupun negeri itu menggunakan 54% air mentah daripada Sungai Muda berbanding rakyat Kedah sendiri yang hanya menggunakab 46% air daripada sumber itu.

Pulau Pinang juga menggunakan  80% air mentah Sungai Muda untuk kegunaan seluruh negeri sedangkan mengikut undang undang hak riparian antarabangsa, hanya 5% air daripada sumber rehtas sempadan boleh dimanfaatkan oleh negeri atau negara yang dilalui.

Air itu juga mesti untuk kegunaan penduduk di dalam wilayah daratan yang dilalui sahaja sedangkan PBAPP turut menyalurkan air Sungai Muda untuk kegunaan di sebelah pulau selain menjual kepada pihak industri dan kapal kapal dengan keuntungan yang lumayan.

Setelah sekian lama keengganan Kerajaan Pulau Pinang menyebabkan kerugian kepada Kerajaan dan rakyat Negeri Kedah, tuntutan RM100 juta yang diangkat oleh MB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk dibayar oleh Kerajaab Persekutuan adalah nilai paling munasabah.

Selain pajakan, tuntutan itu juga terkandung bayaran untuk air, pengekalan kawasan tadahan dan sebagainya.

Tuduhan Lim Guan Eng konon MB Kedah menghasut, mempertikai kedaulatan Pulau Pinang adalah semata mata menunjukkan MP Bagan itu mempunyai masalah kefahaman sama ada dari sudut sejarah mahupun bahasa.
MMY
SUA MB KEDAH

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bukan tebuk atap, tapi atap bocor -A.Hadi. & Guan Eng buta sejarah..

Ya, jangan lihat Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu dengan mata sepet yang tak terbuka jelas bebas. Terkurung di bawah tempurung DAP!

Monday, February 27, 2023

Lagi pusat hiburan haram jadah punya hal.. Wajar kaji semula..

 

Sebahagian daripada pelayan seks yang ditahan dalam penutupan rumah urut yang dijadikan pusat pelacuran di sekitar Kepong dan Seputeh.

1. DBKL tutup 11 rumah urut jadi pusat pelacuran, tahan 18 pelayan seks

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 rumah urut yang dikesan terbabit dengan aktiviti pelacuran ditutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Rumah Urut/Pelacuran) Siri 3/2023 sekitar Kepong dan Seputeh di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataannya, berkata tindakan diambil susulan risikan pasukan penguat kuasa terhadap beberapa lokasi tumpuan yang menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Hasil risikan itu juga mendapati ada beberapa premis rumah urut yang menawarkan aktiviti pelacuran.

"Dalam operasi ini, sejumlah 11 buah premis diserbu pihak penguat kuasa dan dikenakan tindakan penutupan serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Sebanyak 11 rumah urut yang dikesan terbabit dengan aktiviti pelacuran ditutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Rumah Urut/Pelacuran) Siri 3/2023 sekitar Kepong dan Seputeh. - Foto Ihsan FB DBKL

DBKL turut mengeluarkan 11 notis kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, atas kesalahan melantik pembantu dan menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran atau lesen daripada pihak DBKL.

Dalam pada itu, DBKL menahan sementara 18 orang wanita warga negara asing, terdiri daripada tiga warga Indonesia, empat warga Thailand, seorang warga Vietnam, dua warga Filipina dan lapan warga China yang disyaki sebagai tukang urut dan pelayan seks.

DBKL turut memecahkan 35 buah sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 92 pelbagai barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kondom, minyak pelincir, tisu basah, monitor, modem wifi, cctv dan lain-lain.

"Barangan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis," katanya. (BH)  

Antara wanita yang ditahan dalam serbuan bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama JAWI, AADK, JPN, Imigresen dan PDRM ke premis hiburan di ibu negara, malam tadi. - FB DBKL (24 wanita antara 50 pengunjung pusat hiburan ditahan JAWI) 


2. Umur baru 13 tahun dah pandai ke pusat hiburan 

Sebahagian daripada 108 pengunjung pusat hiburan Jalan Burmah yang diserbu polis, pagi tadi. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFLI

GEORGETOWN: Seorang remaja berusia 13 tahun antara 108 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Burmah, di sini yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi mulai malam sehingga jam 7 pagi, selain dipercayai menjadi lokasi pengunjung mengambil dadah.

"Pusat hiburan itu juga didapati beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kita akan menyiasat jika terdapat lain-lain aktiviti jenayah dilakukan di premis itu. Semakan juga mendapati pengunjung datang dari sekitar utara iaitu Kulim, Sungai Petani selain Pulau Pinang," katanya.

Mengenai remaja bawah umur terbabit, beliau berkata, polis akan memaklumkan kepada ibu bapanya dan mungkin melihat semula Akta Kanak-kanak 2001 kerana membenarkan anak keluar pada lewat malam.

Dalam serbuan berkenaan, beliau berkata, pusat hiburan terbabit seolah-olah tidak beroperasi kerana pintunya berkunci, namun selepas diumpil, polis mendapati sejumlah pengunjung berada di dalamnya.

"Ketika serbuan, didapati pintu jerejak di bahagian depan premis itu dikunci dan polis terpaksa mengumpilnya selepas mengesyaki ada individu di dalam premis terbabit.

"Kita dapati ada pengunjung yang sempat melarikan diri, namun dapat dikesan semula," katanya.

Soffian berkata, daripada 108 pengunjung yang diperiksa, 97 adalah warga tempatan, iaitu 66 lelaki dan 31 wanita, manakala 11 lagi wanita warganegara asing terdiri lapan warga Vietnam, dua dari Thailand dan seorang warga Indonesia.

"Seramai 15 daripada pengunjung itu dikesan positif dadah, manakala 31 lagi didapati memiliki dadah jenis ketamin dan MDMA.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi tindakan lanjut.


3. 20 lelaki berpakaian wanita ditahan di premis hiburan 

20 lelaki berpakaian wanita ditahan di premis hiburan

KUALA LUMPUR: Seramai 20 lelaki yang berpakaian dan berlagak seperti wanita ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menerusi serbuan Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun itu dilepaskan dengan bon jaminan setelah siasatan selesai.
Beliau berkata 20 lelaki yang ditahan itu merupakan warga tempatan dan disiasat mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
"Selain itu, operasi yang dijalankan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun kerana positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.
"Dua lelaki berkenaan direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama hari ini.
Noor Dellhan berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10 malam itu, seramai 62 pengunjung premis berkenaan diperiksa iaitu melibatkan 53 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun.
"Polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang tidak mematuhi undang-undang," katanya. -- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu HasyimLagi pusat hiburan haram jadah punya hal.. Wajar kaji semula..
Pusat hiburan sudah jadi pusat maksiat, perosak, peruntuh moral dan kemanusiaan. Mengapa kerajaan yang mengaku Islam masih pekak tidak peka atas tuntutan rakyat dan pribumi negara ini? Lebih menyusukan beruk di hutan dari menyelamatkan anak sendiri yang kelaparan? 

Belanjawan reformasi mana? 100 PH-BN. DAP & peniaga.

 


1. Belanjawan 2023: Janji reformasi yang dinanti

BELANJAWAN terbesar dan meneruskan tren pengembangan (expansionary). Sejumlah RM388.1 bilion diperuntukkan tahun ini berbanding peruntukan asal RM372.3 bilion yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen.

Perbelanjaan operasi berjumlah RM289.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM99 bilion, dengan anggaran pertumbuhan KDNK 4.5 peratus bagi tahun 2023.

Jangkaan pendapatan lebih rendah iaitu RM291.5 billion berbanding anggaran 2022 iaitu 292.7 bilion. Defisit fiskal diunjurkan pada 5.0 peratus berbanding KDNK, lebih rendah daripada anggaran 2022 iaitu 5.6 peratus.

Jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99%. Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.

Apa yang boleh disambut baik? Penegasan supaya rasuah dan penyelewengan akan dihentikan. Komitmen untuk mengawal paras hutang. Ketelusan dalam perolehan kerajaan. Pengenalan cukai barangan mewah dan subsidi bersasar. Peranan waqaf dalam pembangunan negara. Pewujudan akta perlindungan pemberi maklumat, tanggungjawab fiskal. Inisiatif pendapatan rakyat dan pengupayaan golongan miskin. Bantuan kepada B40 dan M40.

Sebahagian besarnya adalah penerusan atau peluasan program sedia ada.

Apa yang boleh dipersoalkan? Pemberian wang ehsan kepada Kelantan dan Terengganu yang tidak mencerminkan semangat federalisma yang matang, di samping pendirian terbaru Kerajaan Persekutuan berkenaan hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan. Malah agihan perbelanjaan pembangunan (DE) kepada negeri-negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif.

Persoalan utama yang perlu dibangkitkan, sejauh mana Belanjawan 2023 boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat? Selain itu, adakah strategi yang diambil menepati sasaran, adakah inisiatif baharu yang diambil mencukupi, dan adakah masih ada ruang yang boleh diperbaiki?

Pastinya perincian kepada persoalan ini akan dicerakinkan dalam sesi perbahasan kelak.

Terlebih penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.

Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.

Pemulihan dengan pembaharuan.

Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan limpahan berganda (multiplier-effect) bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan dayasaing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama.

Selain itu, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi. Inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

syahir2
Syahir Sulaiman

Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar.

Dengan izin, “Recovery without reforms is a waste”.

SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
Parlimen
24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023


2. Apa ada pada 100 hari PH-BN? 

MENJELANG awal Mac ini genaplah seratus hari pentadbiran Kerajaan Campuran Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.


Puluhan tahun Anwar berjuang dan bertarung untuk menjadi Perdana Menteri. Seawal 1993 iaitu kira-kira 30 tahun lalu apabila merangkul jawatan Timbalan Presiden Umno, Anwar sudah nampak jawatan Perdana Menteri terpapar di hadapannya. Tetapi 5 tahun kemudian 1998, beliau dipecat dari jawatannya sekali gus ditendang keluar dari Umno atas pelbagai pertuduhan.

Dari luar Umno, beliau keluar masuk penjara dan terus bergelut menubuhkan parti baru, demi melangsungkan hasratnya untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri.

Pada 10 Mei 2018, musuh ketatnya Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke dan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah naik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar ketika itu masih dipenjara, namun Mahathir dilihat sekadar memanaskan kerusi, kerana usaha dilakukan untuk membebaskannya dan kemudian mengambil-alih jawatan Perdana Menteri dari Mahathir.

Malangnya Mahathir enggan memberi laluan dan akhirnya meletak jawatan sehingga memungkinkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula naik sebagai Perdana Menteri ke-8 dan bukannya Anwar. Sekali lagi proses menunggunya terpaksa dilanjutkan. Beliau terus menunggu apabila Muhyiddin pula diganti Dato’ Sri Ismail Sabri dan akhirnya setelah 30 tahun menunggu beliau dinobat sebagai Perdana Menteri dan kini sudah hampir 100 hari menjawat jawatan yang diidam-idamkannya itu.

Sebelum jadi Perdana Menteri, Anwar menyerang Perdana Menteri – Perdana Menteri sebelumnya. Masing-masing tempang dan pincang ada sahaja kelemahan dan kekurangan. Kini giliran Anwar, sudah pasti rakyat yang mengundi PH termasuklah rakyat yang tidak, mahu melihat apa istimewa dan luar biasanya Anwar sebagai Perdana Menteri.

Saya yakin rakyat Malaysia rata-rata masih ingat ucapan Anwar sebelum jadi Perdana Menteri yang kini tular merata di media sosial, “Saya ulang ditakdirkan kita perintah dalam sedikit masa lagi, hari ini ambil alih kuasa, besok harga minyak turun”. Dalam satu lagi klip: “ ….. bukan 20 hari, 2 minggu, 24 jam (setelah berkuasa) saya umum harga minyak turun.”

Malangnya setelah hampir 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri, harga minyak RON95 di pasaran masih tidak berubah iaitu pada RM2.05 seliter. Apa sudah jadi?

Pasti kegagalan menurunkan harga minyak ini bagi rakyat adalah isyarat bahawa Anwar sesungguhnya telah memperdayakan mereka.

Rupanya siapa sahaja Perdana Menteri, mustahil boleh menurunkan harga minyak sesuka hati dalam keadaan pasaran yang mencabar hari ini lantas menjadikan janji-janji Anwar sebelum jadi Perdana Menteri itu adalah palsu, bahan untuk menarik sokongan rakyat semata-mata.

Rakyat sekurang-kurangnya yang mengundi dan menyokong PH mengharapkan Anwar mampu membawa perubahan besar sebaik jadi Perdana Menteri terutama dalam menangani permasalahan kos hidup rakyat. Memang ekonomi negara dan dunia baru mahu pulih setelah terjejas teruk apabila berhadapan dengan pandemik COVID-19 sekian lama. Peperangan di Ukraine turut menjejaskan pemulihan pasaran dunia, tetapi kempen-kempen Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri seakan mengecilkan permasalahan ini.

Beliau mendakwa kiranya diberi kepercayaan, beliau sebagai Perdana Menteri akan mampu mengatasi permasalahan ini dan akan membela serta mempertahankan nasib dan masa depan rakyat.

Hari ini setelah 100 hari Anwar Perdana Menteri, keluhan rakyat bukannya semakin terkawal tetapi sebaliknya ia semakin kuat dan lantang. Harga bahan makanan di pasaran semakin melonjak naik. Bekalan telur ayam terjejas di pasaran dan harganya juga tidak turun. 

Sehingga ke hari ini walau Anwar telah Perdana Menteri, rakyat seakan tidak nampak jalan bagi Anwar memulih dan membantu hidup mereka. Tuntutan golongan B40 agar mereka sekali lagi dibenarkan membuat pengeluaran simpanan di KWSP ditolak bulat-bulat tanpa memberi pilihan atau alternatif yang membantu. Memang simpanan KWSP dirancang sebagai simpanan untuk kegunaan masa tua, isunya rakyat khasnya golongan ini kesempitan dalam mengharungi arus kehidupan semasa, jika tidak mereka pun tahu maksud simpanan KWSP itu, tetapi mereka terdesak.

Apakah yang Anwar lakukan sebenarnya setelah berkuasa? Rakyat sangkakan setelah 30 tahun menunggu giliran kurang-kurang Anwar sudah punya perancangan teliti untuk membawa perubahan, reformasi sebagaimana slogan laungannya.

Akan tetapi kini ramai sedar ia semua kosong belaka. Integriti yang dilaung-laungkan tidak bermakna apabila beliau membentuk kerajaan bersama pimpinan yang sedang menghadapi kes rasuah dan penyelewengan di mahkamah. Pimpinan inilah beliau dakwa dulu sebagai penyamun dan perompak tetapi hari ini duduk bersama beliau dalam Kabinet. Dulu Umno jijik dan kotor, kini Umno rakan baik.

Beliau juga sebelum ini melaungkan akan menentang sebarang bentuk kronisma mahupun nepotisma dalam pentadbiran kiranya berkuasa, tetapi bila peroleh kuasa sewenang-wenang melantik anak sendiri ke jawatan dalam kerajaan, walaupun konon tidak bergaji tetapi telah sebenarnya memadamkan slogan yang diperjuangkannya sendiri sebelum ini.

PH juga berjanji sebelum ini bahawa Perdana Menteri tidak akan lagi dibenarkan memegang jawatan Menteri Kewangan agar ada semak dan imbang serta mengelakkan sebarang konflik kepentingan mahupun salah guna kuasa. Sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, diikuti Tan Sri Muhyiddin dan terakhir Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9, jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipisahkan atas prinsip ini, malangnya masuk Anwar segalanya disondol dan kini sebagai Perdana Menteri ke-10 beliau juga kembali sebagai Menteri Kewangan. Tidakkah memungkiri janji namanya?

Lebih mengecewakan lagi, Anwar sebagai Perdana Menteri bukan lagi pejuang yang memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat. Semasa di blok pembangkang dahulu beliau mendakwa pentadbiran sebelumnya menyekat dan menghalang kebebasan bersuara rakyat. Rakyat diugut dan dikenakan tindakan kiranya menentang kerajaan walaupun ikut saluran yang betul. 

Kini apabila beliau Perdana Menteri, bukannya rakyat diberikan kebebasan sebagaimana yang dijanjikan sebaliknya para pengkritik dan penentang diambil tindakan sehinggakan pengamal media sosial yang dikatakan membantu kempen PN dikenakan pelbagai bentuk tindakan.

Dengan pelbagai kegagalan dan kelemahan ini rakyat mula bimbang apakah Anwar sebenarnya mampu memikul jawatan Perdana Menteri ini? Rakyat sedar bersamanya di dalam Kabinet dan kerajaan bukan sekadar BN dengan 30 kerusi tetapi lebih dominan adalah DAP dengan kekuatan 40 kerusi.

Apakah Anwar punya kekuatan dan kemampuan politik mengawal nafsu dan cita-cita politik melampau DAP atau adakah beliau akhirnya akan tunduk menyerah kerana kekuatan DAP dan BN lah yang memberi peluang kepadanya duduk di kerusi Perdana Menteri yang diidam-idamkannya itu.

100 hari dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, pasti membuka mata rakyat. Lain yang diundi lain yang dapat. Moga semua pihak segera insaf dan apa sahaja peluang untuk membuat perubahan perlu disambut dan disokong.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/2/2023


3. Kenapa DAP begitu memusuhi Penjawat Awam? 

PENJAWAT Awam terus menjadi mangsa sasaran politikus bebal yang mempertikaikan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat negara ini. Khususnya daripada DAP sejak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 dahulu.

Serangan kepada para penjawat awam ini bahkan diheret kasar hingga memercikkan api kebencian perkauman. Kerana ketika itu DAP merasa cukup berkuasa, sedang penjawat awam dilihat sebagai kekuatan Melayu-Islam yang mesti dilemahkan.

Maka, penjawat awam dimusuhi oleh DAP dengan memberi tekanan kepada ‘tulang belakang’ kerajaan dan ‘urat saraf’ rakyat itu. Berikut antara muslihat berbangkit sebagai usaha mereka untuk menggoncang kekuatan perkhidmatan awam:

1. Menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan dan menyebabkan pembaziran kerajaan;

2. Mendesak kerajaan supaya mengurangkan bilangan penjawat awam;

3. Mencadangkan di Dewan Rakyat supaya dilakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen;

4. Menegaskan mengenai betapa kerajaan tidak perlu takut untuk memecat dan keperluan melakukan proses pembersihan ke atas penjawat awam;

5. Menuduh penjawat awam mensabotaj kerajaan;

6. Memindah dan menyejukbekukan penjawat-penjawat awam utama kerajaan;

7. Memendekkan kenaikan pangkat dan penambahan gred serta kenaikan gaji.

Hakikat Perkhidmatan Awam

Penjawat awam dimiliki negara ini tidakpun sampai 5 peratus iaitu 1.63 juta daripada keseluruhan 33 juta rakyat Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 1.2 juta penjawat awam berada dalam sektor pendidikan, keselamatan dan kesihatan. 

Namun, nisbah jumlah itu berbanding tuntutan atau keperluan perkhidmatan di sektor-sektor sangatlah berjurang besar. Ini berikutan pertambahan penduduk yang semakin ramai dan luasnya kawasan tugas termasuk baharu dibuka.

Manakala baki penjawat awam sekitar 400,000 lagi berada dalam semua sektor lain yang melibatkan tadbir urus rasmi, perkhidmatan kaunter, bantuan lokasi, pembangunan dan penyelenggaraan setempat, penguatkuasaan, kepakaran profesional dan banyak lagi.

Hakikatnya, jumlah tersebut bukan sahaja kecil dan tidak mencukupi, bahkan banyak peranan yang dibebankan kepada mereka, terkadang melebihi skop tugas. Cabaran para penjawat awam telah menjadi rahsia terbuka antaranya ringkas mengikut sektor berikut:

Pendidikan

Para guru di sekolah bukan sahaja masih berdepan masalah atau isu sepertimana pasca-Merdeka, bahkan banyak cabaran kontemporari. Anak murid atau pelajar yang terlalu ramai dengan segala kerencaman perangai hinggalah infrastruktur masih seperti ‘zaman Jepun’.

Kekurangan guru mengikut subjek masih berlaku hinggakan seseorang cikgu terpaksa mengajar mata pelajaran yang bukan bidang khususnya. Malah di sekolah, guru juga sebenarnya terpaksa menjadi kerani hinggalah jurutera; menyelia data dan pembinaan kecil.

Belum lagi cerita menjadi ‘driver ambulans’, polis pelerai rusuhan, penyiasat sabotaj hinggalah kaunselor atau hakim pendamai keluarga bermasalah. Mudah kata pada era ini, jika tiada ‘multi-tasking skill’ memang akan susah untuk bergelar sebagai seorang guru.

Guru yang berpencen, sukar berganti baru, tetapi jumlah murid atau pelajar semakin masa kian bertambah. Popular hingga menjadi perbahasan di Parlimen adalah isu ‘guru duka lara’ yang sebenarnya merupakan kisah perjuangan dan pengorbanan golongan pendidik.

Keselamatan

Penjawat awam sektor ini pernah ditohmah ‘makan dan tidur sahaja’ hingga disamatarafkan dengan pekerja asing dan boleh dikerah bekerja di ladang. Sedangkan merekalah paling susah bercuti biar sebarang perayaan sedang diraikan.

Terlalu banyak kursus, latihan, operasi dan misi yang bukan sahaja sentiasa berjauhan dan berpisah lama dengan keluarga, bahkan sangat berisiko. Meletihkan apabila keperluan mereka tidak dipenuhi sebaiknya dengan perkembangan zaman.

Namun, kesanggupan dan kesiapsiagaan serta taat setia mereka sentiasa tinggi untuk menjamin keselamatan, keamanan, ketenteraman dan kedaulatan tanah air ini. Kehidupan yang rakyat Malaysia kecapi hari ini antaranya hasil darah dan peluh mereka.

Paling isu kepada sektor ini adalah aset yang usang dan tidak dipenuhi mencukupi keperluan dan selaras cabaran semasa. Semuanya angkara pengkhianatan kuasa politik yang bersikap enteng, kedekut dan tidak serius serta berfikiran luas.

Kesihatan

Bukan sahaja infrastruktur hospital dan klinik yang masih jauh mencukupi berbanding ramainya pesakit dan penyakit hari ini, bahkan juga kepakaran tidak diperjawatankan. Hakikatnya, premis kesihatan kita masih kekurangan doktor kerana jawatan terhad.

Akibatnya, rakyat juga menjadi mangsa apabila terpaksa menunggu tempoh lama bagi penggiliran mendapatkan rawatan perubatan. Terkadang penantian dan kesabaran ini berakhir dengan kematian, sedangkan ia bukan kerana tiada kemudahan dan kepakaran.

Negara melahirkan ramai graduan perubatan, tetapi khidmat tidak dijamin yang mana ramai bertugas secara kontrak hingga pernah berlaku hartal oleh mereka. Akhirnya, kesihatan bertukar menjadi sebahagian perniagaan di negara ini bahkan seluruh dunia.

Hospital dan klinik kesihatan di negara ini tumbuh subur bagaikan cendawan selepas hujan. Semua keadaan ini terbentuk kerana sikap kerajaan masa lalu yang ia mesti segera dibaiki oleh pemerintah akan-akan datang selepas ini.

Penguatkuasaan

Ancaman yang wujud ke atas negara untuk ditangani penguat kuasa, sebenarnya turut meliputi terhadap batang tubuh mereka. Ia cabaran kritikal kerana jumlah mereka yang sedikit berbanding banyak, besar dan luas serta rencamnya aspek perlu dihadapi.

Tanpa tenaga penguat kuasa bersama aset atau teknologi terkini, perkhidmatan efisien sukar diberikan, bahkan menimbulkan pula pelbagai masalah lain. Seperti ketirisan, kekurangan hasil, serta pesatnya kelahiran sindiket, kartel, jerung dan seumpamanya.

Lain-lain

Hampir semua sektor lain juga kekurangan kakitangan yang sebahagian beban mungkin ditampung oleh pendigitalan atau teknologi. Namun, negara juga ‘hilang’ khidmat mereka terutama sektor yang memerlukan kepakaran profesional.

Kerana tanpa perjawatan tetap yang terjamin, mereka terpaksa berhijrah atau bertugas di negara lain atau bersama pihak bukan kerajaan. Akhirnya, perkhidmatan awam terus berkemelut dan berpolitik dengan pelbagai isu berulang atau tidak berkesudahan.

Perlu pemerkasaan

Oleh itu, perkhidmatan awam memerlukan pembesaran saiz dengan membuka perjawatan yang selaras dengan keperluan semasa rakyat. Suara-suara yang memperkenalkan, memperlekeh atau meremehkan mesti melihat isu atau masalah secara holistik.

Namun, dalam kes kritikan DAP, ia ternyata bermotif politik dan berbaur kebencian perkauman. Ini mesti ditangani kerana kedudukan Melayu-Bumiputera dalam perkhidmatan awam bukanlah rasis atau mendiskriminasi kaum lain di negara ini.

Tetapi ianya adalah peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapapun. Maka, menunjukkan sikap tidak senang atau memusuhi penjawat awam sebenarnya satu perbuatan melemahkan kerajaan dan memecahbelahkan rakyat.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 24/2/2023


4. Belanjawan 2023: Fokus usaha bendung kenaikan harga - Peniaga


Usahawan kecil berharap kerajaan dapat memberi 
fokus kepada usaha membendung kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak, tepung dan 
telur.

Sunday, February 26, 2023

Belanjawan 2023 Anwar X cermin Federal.. Azhar Idrus & Menu Rahmah.

 

Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tidak mencerminkan semangat Federalisme yang matang dalam pimpinan kerajaan pada hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, negeri Kelantan dan Terengganu seperti dianaktirikan dengan pemberian wang ehsan.

“Di samping pendirian terbaru Kerajaan Persekutuan berkenaan hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan.

“Malah agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kepada negeri-negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Syahir yang juga pengkaji ekonomi turut mempersoalkan, sejauh mana Belanjawan 2023 boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat.

Beliau turut mempersoalkan, sama ada strategi yang diambil menepati sasaran serta inisiatif baharu yang diambil kerajaan mencukupi atau tidak.

Ujar Mohd Syahir, apa yang penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.

“Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.

“Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah dan limpahan berganda bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan daya saing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama,” tambah beliau

Selain itu katanya, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi.

Ujarnya, inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

“Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/23


2. Ceramah Ustaz Azhar Idrus di Selangor diarah batal 

Kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong pada 26 Februari ini dibatalkan. - Foto ihsan FB Ustaz Azhar Idrus

SHAH ALAM: Kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong pada 26 Februari ini, dibatalkan.

Menurut facebook rasminya, Kuliah Maghrib Perdana UAI itu terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Februari 2023 ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya," katanya dalam satu hantaran hari ini.

Sementara itu, pihak JAIS ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu. 
Gambar fail - Program ceramah Ustaz Azhar Idrus sering menarik perhatian umat Islam di mana jua ia diadakan. - Foto ihsan FB Ustaz Azhar Idrus


3. Menu Rahmah : Hulu Langat vs Kapar 
Menu Rahmah : Hulu Langat vs Kapar

Hari ini terlihat video Ahli Parlimen Hulu Langat YB Mohd Sany Hamzan mencelah Padang Serai membahas Ucapan Titah YDPA. Hulu Langat menyerang Kapar kononnya Kapar memfitnah menu rahmah pembawa kanser. 

Saya telah merujuk kepada ucapan Kapar pada hari tersebut. Bagi menjelaskan perkara ini, saya letakkan disini apa yang Kapar sebut :

1. "Saya takde masalah dengan istilah Rahmah ke apa, tapi jangan sampai rakyat marhaen B40, diberikan dengan bekalan makanan yang low quality"

2. "Dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah dengan kanser, autoimmune disease, autisme dan sebagainya"

Kalau diamati ucapan Kapar, beliau menyebut 2 perkara, pertama beliau kata "jangan sampai". Maksudnya ia satu peringatan kepada pihak Kerajaan agar menjaga kualiti menu rahmah agar tiada peniaga yang mengambil kesempatan dengan bekalkan makanan yang berkualiti rendah. Sebagai contoh, bahan mentah yang tidak fresh atau portion yang sedikit, tidak seimbang. 

Bila peringatan, maknanya kerajaan perlu cakna dan pastikan pemantauan dibuat. Tak perlu nak over triggered sangat. Biasa terjadi depan Menteri, kualiti sangat terbaik sebab Menteri turun pelancaran. Tapi lepas Menteri balik, akan berlaku pengurangan kualiti dan kuantiti sebab nak jaga kos.

Kedua Kapar menyatakan kebimbangan kepada makanan kualiti rendah yang "mungkin" akan menjadi penyebab kepada kanser, auto-immune disease dan juga autisme. Sekali lagi beliau memberikan peringatan dan paling penting Hulu Langat kena faham Kapar sebut "mungkin". Saya ulang "mungkin-mungkin-mungkin" (style Hulu Langat). 

Okey mungkin Hulu Langat akan tanya mana bukti menu kualiti rendah boleh menjadi penyebab kepada penyakit-penyakit tersebut. Nak bagitau Kapar ni bekas Doktor Perubatan dan pernah berkhidmat sebagai Doktor dibeberapa Hospital Kerajaan dalam negara. Kapar sebut mungkin merujuk kepada kajian akademik dalam bidang perubatan. 

Hulu Langat boleh merujuk kepada satu kajian akademik bertajuk "The effect of diet  on risk of cancer" oleh Timothy J Key, yang mengkaji mengenai kesan diet terhadap risiko cancer. Ini menunjukkan bahawa ada sarjana yang melihat kepada aspek ini. Bukan cakap kosong mahupun satu fitnah. 

Jadi saya harap Hulu Langat dapat faham dengan jelas apa yang diutarakan oleh Kapar dan berhenti terjerit-jerit dalam Parlimen “fitnah,fitnah,fitnah”. Kalau Hulu Langat ada sebarang kajian yang membuktikan sebaliknya, boleh utarakan dan sanggah hujah Kapar. Kita mahu wujudkan perbahasan yang berkualiti dalam Parlimen kan? 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Belanjawan 2023 Anwar X cermin Federal..  Azhar Idrus & Menu Rahmah.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tidak mencerminkan semangat Federalisme yang matang dalam pimpinan kerajaan pada hari ini. Negeri Kelantan dan Terengganu dianaktirikan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails