Saturday, January 19, 2008

Kasihan Tok Guru Nik Aziz, Nampak Makin Letih...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TULISAN saya yang lalu, ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ menyebab seseorang menelefon saya, katanya, “Kesian Tok Guru Nik Aziz, nampaknya beliau makin letih… Takde ke yang nak ganti?”

Saya tanya balik, “Adakah letih kerana umurnya, atau kerana semangat dan kerjabuatnya?”

Sebelum dia jawab, saya ulas dulu. “Memang dari segi umur (saya agak sekitar 70 tahun) dan tubuh zahirnya nampak macam letih atau lemah. Bahkan dari dulu lagi pun..”

Teringat saya, waktu sebelum PAS tawan Kelantan (1990) … saya dan kawan-kawan pernah bermalam bersama-sama Tok Guru di Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang, KL. Beliau khabarnya waktu itu pun sudah terpaksa mandi air suam pagi hari kerana mengawal kesihatan. Beliau sentiasa tidur awal berbanding dengan kami yang muda-muda tidur lewat hinnga menjelang pagi.

Kadang-kadang waktu Tok Guru nak melangkah ke bilik air beberapa jam menjelang subuh, beliau secara diam-diam membantu tutup aurat antara kami yang bergelimpangan sedang nyenyak tidur tak sedar aurat terbuka atau kain terselak. Begitu, sifat rendah diri beliau. Saya sendiri pernah tersedar beberapa kali sebelum subuh melihat beliau sentiasa asyik bertahajjud dengan khusyuk…

Nampaknya, beliau yang dianggap lemah rupanya kekuatan rohaninya amat gagah melebihi kami. Walaupun kami berbadan tegap kuat dan ada yang macam ahli gusti. Kekuatan rohani rupanya mempengaruhi kekuatan jasmani beliau. Itu dulu, apalagi sekarang setelah jadi pemimpin tertinggi umat, telah teruji dengan pelbagai cubaan dan tribulasi. Semangatnya tidak letih bahkan lebih kuat dari yang muda-muda. Itu yang saya ingat kalau tidak salah.

Dalam politiknya pun begitu. Beliau begitu tegas dan keras dalam menegur pemimpin kerajaan pusat. Mula-mula perintah Kelantan, dalam kes Pergau. Kes yang melibatkan pengambilan tanah Kelantan oleh kerajaan Pusat. Kerajaan pimpinannya begitu tegas dengan Kerajaan Persekutuan, pertahankan hak rakyat Kelantan, sehingga menang total. Tidak seperti dalam kes perampasan royalti minyak di Terangganu, kerajaan Terengganu pimpinan PAS memilih jalan diplomasi lembut, yang akhirnya tinggal serabut.

Begitu juga dalam menegur dan memecat pimpinan dibawahnya. Beliau mampu merubah, menukar atau memecat, meletakkan yang ahli pada tempatnya, walaupun pimpinan itu pernah membantu menaikkan beliau atau menanam budi pada beliau. Hingga kawan dan lawan beliau sendiri yakin dan percaya pada keikhlasan (bertindak kerana amanah Allah) beliau. Yang disingkir pun pernah dinaikkan semula bila tiba masanya yang sesuai. Tiada dendam dan kesumat.

Begitu juga ketegasan dalam cara hidup sederhana beliau. Beliau mempelopori cara hidup sederhana dalam kerajaan pemerintahannya, mulai dengan dirinya, yang agak berbeza dengan pimpinan PAS memerintah Terengganu. Mungkin itulah salah satu sebab kerajaan pimpinannya boleh bertahan lama berbanding Terengganu.

Saya pernah dengar ceramah dalam keset pengajiannya, beliau memilih cara hidup sederhana seperti seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Zar orang Ghifar. Ciri-ciri hidup yang sama dengan Khalifah Islam ke II Umar bin Khattab atau pemimpin Bani Umaiyah Umar bin Abdul Aziz. Beliau tetap pertahankan prinsip gaya hidupnya sejak dari jadi guru agama hingga ke jadi Menteri Besar sampai sekarang.

Bukan macam setengah-setengah ustaz, sebelum dapat kuasa memuji cara hidup Umar Abdul Aziz, lepas dapat kuasa tiada lagi pujian-pujian seperti itu… Mungkin setelah ada kuasa dan harta, mereka pilih cara hidup Muawiyah bin Abu Sufian, pimpinan pertama dari Bani Umaiyah yang seakan-akan memilih gaya hidup mewah.

“Kalau begitu Tok Guru tak perlu diganti lagi le?” Kawan saya itu tanya lagi.

“Memang tak perlu diganti selagi tenaga beliau masih diperlukan, tetapi kena siapkan pengganti atau pelapis. Seperti sahabat-sahabat Nabi SAW memilih pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Iaitu memilih orang yang menjadi imam sembahyang mengganti beliau sewaktu beliau sedang gering, hampir wafat. Maknanya Nabi tidak pencen setelah tua. Begitu juga sahabat-sahabat beliau seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain yang mati dalam perjuangan. Tidak timbul soal kasihan. Yang patut kita kasihan ialah orang yang mati bukan dalam perjuangan menegakkan Islam. Na’auzubillah!”

“Jadi, tak boleh kesian ke?”

“Kalau kasihan kepada Tok Guru, cari orang suruh undi PAS!!”. Wallaku aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-01-08. KL.

Thursday, January 17, 2008

Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”

“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.


Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.

BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.

Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.


Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).

Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.


Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.

Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?


Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.


Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.


Itulah secara ringkas jawapan saya.


“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.

“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.

“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.
“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”

“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”

“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08. KL.
Ibnu Hasyim

Benarkah PAS & Kerajaan Kelantan Dalam Bahaya?





By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.Kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Demikian analisa penulis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas menubuhkan “Grop Universiti Hulu Klang” dekat sebuah restoran di Danau Kota, tidak jauh dari sini malam tadi.

Katanya, dengan kelebihan satu kerusi Dun dan kelebihan dua undi majoriti keseluruhannya, PAS Kelantan sebenarnya berada dalam zon bahaya tetapi kerja keras para pemimpin dan jentera pilihanrayanya amat diutamakan buat masa ini bagi mempastikan kerajaan negeri tidak terlepas ke tangan BN.Selain itu, ujar Dr. Mohd, pelbagai isu yang timbul samada dari dalam PAS mahupun dari Umno, telah mengundang pertikaian rakyat terhadap wibawa dan akauntibiliti kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz sekarang.

Jika ini gagal dibendung, beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini.Dr. Mohd yang juga seorang penganalisis politik tetap percaya, kegagalan PAS Kelantan menguar-uarkan pengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar jika ditakdirkan berkuasa semula telah mengurangkan selera keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS.

“Husam bukanlah tokoh yang boleh disifatkan sebagai Tok Guru Nik Aziz II. Dari segi latarbelakang, mungkin dia tidak disokong penuh oleh kawasan dalam Kelantan,” tegas beliau sambil menyifatkan ketokohan Tok Guru Nik Aziz telah menyatukan rakyat Kelantan untuk terus bernaung di bawah PAS sejak 1990 lagi.

Sehingga kini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz jika Mursyidul Am PAS itu berundur. Mereka ialah Datuk Abdullah Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang; Datuk Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan dan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Thursday, January 10, 2008

Jajah Melalui Fikiran, Budaya & Filem...


Ibnu Hasyim
CATATAN PERJALANAN:



BARA api di atas dapur pun membakar garang. Membakar daging-daging pejal sate yang kami pesan. Bila dikipas, meletit-letit. Meletup-letup. Sesekali apinya menyambar, menambah indahnya suasana malam di kedai itu. Manusia mundar-mandir tambah meriahnya lagi. Kedai itu berhampiran panggung wayang gambar dalam bandar Pattani. Bandar dalam kawasan majoriti Islam, dalam negeri Buddha negara Gajah Putih itu.

“Mu semua duduk dulu sementara nak tunggu sate masak, aku nak lihat-lihat di luar panggung tu…” Aku minta diri sebentar.

Kelmarin semasa aku berada di luar pekan Pattani, aku lihat sebuah lori melintas. Dindingnya dipenuhi poster-poster wayang. Besar-besar. Berkeliling bandar dan kampong berdekatan. Iklan juga melalui pembesar suara. Macam juga di kampungku Balik Pulau Pulau Pinang dulu-dulu, waktu aku masih kecil. Apabila ada tayang wayang di pekan Kongsi, kereta seperti itulah round rata kampong mengiklannya. Sekarang dah tiada lagi.

Gambar-gambar yang kulihat kelmarin itulah, yang kini terpampang depan pintu masuk panggung. Gambar wanita tak berpakaian, sama besar dengan manusia. Di samping gambar-gambar lain yang juga menjolok mata. Menjolok perasaan dan nafsu. Tetapi bagi kumpulan dan pasangan anak-anak muda yang ramai menunggu depan panggung di situ biasa saja. Macam juga kumpulan-kumpulan Mat Rempit di Malaysia, bercampur baur lelaki perempuan antara mereka. Pakaian dan gaya, tiru-tiru remaja di negara barat.

Masih terbayang lagi pengalamanku menonton wayang di Karachi Pakistan. Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu. Aku bersama kawanku, seorang pelajar universiti di sana. Dari jauh aku macam tak percaya ada di depan panggung wayang malam itu. “Eh… Panggung wayang ke ni?” Aku bertanya. Sewaktu bertembung dengan penonton-penonton serentak keluar menonton dari panggung.

“Kenapa?” Kawanku seperti tersentak.

“Seperti di masjid.” Balasku pendek, seolah-olah bergurau. Tetapi sebenarnya tidak. Kerana ramai yamg keluar panggung wayang itu macam orang keluar dari masjid. Pakaiannya sama dengan pakaian orang ke masjid. Kadang-kadang ada yang berkupiah. Nampak agak bersopan. Tiada wanita-wanita. Kalau ada pun kebanyakannya bukan Islam. Tiada anak-anak muda berpakaian dan berkelakuan menjolok mata atau tak senonoh.

“Kau tahu, orang-orang di sini rata-rata memakai pakaian tradisi dalam tiap kehidupan harian mereka. Ke masjid, ke panggung, sama saja. Kadang-kadang ada yang berkupiah dan berserban.” Dia menerangkan. “Pakai macam kamu ni… berkemeja dan berseluar tebal, tidak longgar ala koboi… amat asing bagi mereka. Pakaian yang sering dipakai oleh orang-orang Kristian di sini. Jadi tidak heran jika mereka menganggap kamu orang Kristian. Begitu juga kalau ada wanita pakai gaun atau pakaian menjolok mata ala barat, tentu mereka dianggap orang Kristian. Ini, di bandar besar Karachi yang terdedah dengan pengaruh luar, kalau di pekan-pekan kecil dan pendalaman lebih sensitif lagi.”

Pernah terjadi sewaktu aku meminta minuman kepada penjaja tepi jalan, disebuah pekan kecil utara Pakistan. Penjaja itu tidak berapa layan. Tapi bila aku beri salam, dia bertanya, Islam? Aku angguk. Baru dia layan aku dengan mesra. Begitu juga waktu aku berbaris hendak ambil tiket keretapi, ucapan salam boleh beri syafaat percepatkan tanpa ikut giliran. Dhief!, dhief!, mereka layan aku sebagai tetamu kehormat. Semasa aku keluar dengan kawanku orang tempatan, dia suruh aku pakai pakaian seperti mereka. Jangan sampai kamu dianggap orang kafir! Katanya.

“Jom kita menonton?” Aku ajak dia menonton. Kerana aku belum pernah lagi menonton wayang di Pakistan ini. Bila dia bersetuju, aku terus meluru ke kaunter tiket. Ada dua ruang. Satu dipenuhi orang berbaris menunggu giliran. Satu lagi masih kosong. Aku menuju ke ruang kosong itu.

“Nanti!” Jerit kawanku menahan. “Sejak bila kau jadi perempuan? Lihat ni!” Sambil jarinya menunjuk arah tulisan bahasa Inggeris di situ, ‘For Ladies Only’. “Ini ruang jual tiket untuk wanita sahaja!”

Tersipu-sipu aku. Teringat aku semasa menukar wang di Habib Bank kelmarin, juga ada ruang tunggu bertulis, ‘For Ladies Only’. Begitu juga di pejabat pos dan tempat-tempat awam lain. Ada lagi yang anehnya, walaupun bagi orang di sini tidak. Pernah sewaktu aku menaiki bas dari Pesyawar ke sebuah kampong di perdesaan. Aku termasuk kumpulan yang mula-mula naik bas itu. Aku duduk di tempat kosong di hadapan. Bas itu terus berjalan mengutip penumpang.

Apabila ada wanita naik, maka keutamaan tempat duduk akan diberi pada wanita, mulai dari belakang. Jika tidak cukup juga, lelaki terpaksa berdiri. Tiba-tiba bas berhenti lagi, walaupun isinya sudah penuh. Ada sekumpulan wanita bercadur menutup muka macam wanita-wanita lain juga naik. Memang itulah pakaian muslimat-muslimat Pesyawar. Dari jauh nampak macam khemah bergerak-gerak, payah nak pastikan mana depan, mana belakang.

Pemandu bas itu menjerit memberitahu supaya semua lelaki turun. Beri tempat duduk pada muslimat-muslimat hingga memenuhi bas. Perasaanku mulai bimbang dan cemas. Takut tertinggal. Kerana tidak ada lagi tempat kosong dalam bas. Tapi bagi mereka ada lagi tempat kosang. Itulah atas bumbung. Semua lelaki disuruh naik atas bumbung yang memang kuat dan teguh itu. Akhirnya bas yang bertulis di depannya ‘Tawakkaltu Alallah’ itupun berjalan terus tiada berhenti mengambil pemumpang lagi.

Terus membelah merentasi udara kampong berdebu yang hampir tidak pernah hujan. Sesekali penumpang di bumbung menjerit isyaratkan supaya tunduk, takut dirimbas ranting kayu dari pohon besar tepi jalan.

“Eh, Mat! Sate dah siap ni!! Mari…” Suara kawanku berteriak, mengejutkanku dari lamunan yang berpanjangan. Tangannya menggamit-gamit dari dalam kedai, ajak makan bersama. Aku pun menuju ke meja hidangan.

“Asyik betul mu lihat poster-poster wayang tu! Nak menonton ke?” Kawanku bertanya lucu. “Atau nak tengok gambar perempuan bogel…”

“Di sini, gambar-gambar lucah lebih dari itu lagi termasuk blue film pun mudah didapati, walaupun di tepi jalan. Apalagi bila teknologi semakin canggih.” Yang lain seorang ustaz tempatan menyampuk, sambil merentap lidi sate setelah memasukkan daging ke mulut.

“Begini, saudara!” Kataku sambil membetulkan tempat duduk dan mula bercakap. “Aku tengok dari sudut lain. Seperti tulisan seorang ahli bisnes Amerika Syarikat bernama Hendry Ford I, pengasas dan ketua Syarikat Motor Ford dalam bukunya ‘The International Jew’ terbitan 1920, tulisnya, … Panggung wayang gambar sudah lama masuk dalam program Yahudi untuk memandu, mempengaruhi dan menjajah fikiran manusia. Setiap minggu dan malam, panggung wayang akan menjadi teman rapat yang sentiasa utarakan idea-idea kehendak kuasa balik tabir tersebut…”

Mereka terus mengunyah sate perlahan-lahan, sambil menumpukan perhatian kepada kata-kataku. “Di Rusia misalnya, walaupun tiada apa-apa hiburan tetapi panggung wayang masih dikekalkan, disokong dan digalakkan oleh Bolshevis Yahudi. Bahkan perusahaan wayang gambar, perusahaan ke 5 terbesar di AS dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi. Sebab itu, dunia yang bertamaddun perlu tingkatkan lagi tentangan terhadap pengaruh keruntuhan akhlak dalam bentuk hiburan seperti pengurusan sekarang. Menurut Ford lagi.”

“Aah. Orang lebih suka tv.” Ada yang menyampuk.

Tapi ustaz itu menjawab, “Tv tu adalah panggung wayang yang dah dikecilkan. Supaya mudah anak isteri orang Islam atau tok-tok guru pondok yang tak mahu serta malu menonton di bandar, boleh tonton sendiri di rumah dengan bebasnya. Barulah mudah jarum penjajahan dicucukkan atas mangsanya.”

“Betul kata ustaz!” Aku terus menyambung cakapnya. “Sebab musuh-musuh Islam sedar, di mana umat Islam tidak boleh dijajah dan dihambat dengan muncung senapang semata-mata, tapi hendaklah dipisah lebih dulu Islam dari penganutnya. Memisahkan melalui dadah, arak, lagu hiburan, filem-filem, dedah aurat, campur baur lelaki perempuan dan sebagainya. Kadang-kadang radio dan tv kerajaan yang mengaku Islam pun tidak sedar, mereka telah berperanan seperti kemahuan musuh-musuh Islam ini!”

“Adakah ini juga suatu perancangan oleh musuh-musuh Islam?” Muncul satu lagi pertanyaan.

“Tentu! Rahsia tersebut pernah dibongkar oleh kerajaan Bavaria pada 1786 M melalui buku ‘The Original Writings of The Order and Sect of The Illuminati’, mengenai pelan jahat puluhan pendita dan banker Yahudi nak tawan dan jajah dunia. Mereka bergerak melalui akhbar-akhbar, parti politik, pendidikan termasuk teori-teori palsu, kegiatan kebudayaan termasuk filem, pertandingan-pertandingan dan pertubuhan sulit freemason.” Jelasku, sambil memegang sepucuk sate dan mencecah ke kuah.

“Sebab itu, bila orang Yahudi nak telanjangkan wanita kita mereka tak payah datang sini. Petik saja suiz di AS, maka pakaian wanita sini pun terlondehlah!” Jawab ustaz itu.

“Haa! Macam mana tu??” Ada yang tercengang-cengang nak tahu.

“Mudah saja. Mereka cipta ‘pakaian yang bertelanjang’, disalorkan melalui toko-toko fesyen di AS, menjadi pakaian artis-artis mereka, disebar melalui media massa mereka hingga ditiru oleh artis dan muda-mudi kita. Tertariklah adik kakak di kampong, maka ber‘pakaian telanjang’lah keluarga kita, walaupun mulanya malu-malu lagi.” Terang ustaz. Baru yang lain merasa lega.

“Kalau begitu mudah sangatlah orang Yahudi memerangkap dan menelan kita?”

“Ya. Se mudah kita mengunyah dan menelan sate ini!!” Kataku sambil memasukkan se cucuk sate ke mulut. Tertawa kecil mereka, masing-masing terus mengunyah.

“Tapi, ada lagi…” Ustaz itu menambah. “Kecuali bagi orang yang mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup, termasuk menegakkan sebuah negara Islam yang merdeka.”


Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 05-01-2008. KL.

Friday, January 04, 2008

Bantu Anda Bebas Dari Hutang...


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“ANDA terjebak dalam hutang? Sudah karam dalam hutang? Hutang kereta, rumah, hutang belanja kahwin, personal loan, consumer loan, kad kredit, koperasi, hutang keluarga, beli perabut, bil tv berbayar, along, ceti haram atau tak haram dan macan-macam lagi! Kami sedia bantu anda! Bagaimana? Ya, sila lihat ini…”

Katanya sambil memegang dan menunjuk-menunjukkan sekeping kad saiz biasa macam kad kredit, ada ‘logo AmBank’ atas sebelah kiri, tertulis ‘AmBank NexG’ atas kanannya dan di kanan bawah pula tertera 2 bulatan bercantum lambang ‘MasterCard’. Disebut juga ‘AmBank NexG Prepaid MasterCard’. “Kad ini dari AmBank… Siapa tak kenal AmBank di Malaysia? Tak payah diperkenalkan lagi…”

Sambungnya, “AmBank bersama GDI dan XXSB (XX Sendirian Berhad - tidak dipaparkan nama sebenar) ingin bantu anda bebaskan dari hutang!” Dia bercakap dengan gaya ekslusif di depan sekumpulan pendengar-pendengarnya, di dalam sebuah restoran mamak di Setiawangsa KL. Ada beberapa komputer bimbit di depan mereka.

“GDI pula adalah syarikat yang kukuh, maju pernah diiktiraf sebagai syarikat cepat berkembang di Amerika Syarikat (AS), 37 dari 500 syarikat yang terpilih. Pelanggannya menggunakan ‘domain name dan web hostingnya’ termasuk Yahoo, Bank Of America, Intel, Cisco dan banyak lagi!...” Katanya dengan bangga. “…walaupun tujuan kita hanya nak bayar hutang, tapi ini satu peluang perniagaan!”

“Macam mana nak dapat duit bayar hutang? Apa yang kami perlu buat??” Timbul pertanyaan seorang dari mereka. Pertanyaan yang ditunggu-tunggu.

Jawabnya…

Pertama: Cuma kena langgan ‘domain name dan web hosting’ saja. Contohnya ‘www.namaanda ws’, hanya dengan membayar USD10 setiap bulan iaitu RM35. (USD1= RM3.5). Iaitu, membayar RM25 untuk AmBank NexG Prepaid MasterCard dan RM10 yuran buka fail. Pihak XXSB sedia uruskan untuk anda. Anda akan diberi 10 e-mail dan web side percuma.

“Saya sendiri anggap USD10 itu macam ‘overhead’ perniagaan yang dijalankan. Bayaran tiap bulan boleh guna kad debit (kad prepaid), kad kredit atau Paypal.” Katanya lagi.

Kedua: Jika anda sudah jadi ahli kad servis ini, GDI akan beri ganjaran 10% dari USD10, sewa bulanan kawan-kawan yang anda taja, iaitu sebanyak USD1-00 atau RM 3.50 tiap seorang. GDI guna system ganjaran Uni Level hingga 5 level atau 5 tingkat.

Contohnya, anda yang di Level 1 perkenal 5 rakan. Maknanya di level itu, ada 5 orang. Komisyen anda dapat ialah USD5-00 (USD1.00 X 5). 5 rakan itu perkenal pula 5 orang dalam Lebel 2, jadi 25. 25 rakan itu perkenal pula 5 orang lagi, dalam Level 3, jadi 125. Begitulah seterusnya perkenal 5 dan 5, hingga ke Level 5 menjadikan 3,125 orang pelanggan atau ahli yang menyertainya. Komisyen anda terus meningkat kepada USD3,125.

Itu jika rakan anda perkenalkan 5 orang, kalau lebih maka komisyennya lebih lagi. Kita cuma kira 5 saja. Jadi, jumlah seluruhnya dari Level 1 hingga 5 yang cukup syaratnya setelah ditolak dan ditambah apa yang patut, komisyen anda adalah USD3,905 atau RM13,667.50. Kalau nak tahu Level 6 dan seterusnya hingga ‘infiniti’ sila lihat laman web GDI.

Ketiga: Komisyen anda yang tersimpan di Bank AS, akan dimasukkan ke kad prepaid (kad debit) bank anda di Malaysia.

Itulah secara ringkas isi promosinya, samada dalam percakapan, tulisan, animasi movie, DVD dan sebagainya.

Pada saya…

Pertama: Dalam suasana sekarang di mana pemimpim kerajaan yang buminya ada minyak, tidak mampu atau tak larat fikir lagi untuk tahan kenaikan harga tersebut, telah menyebabkan semua barang dan khidmat lain naik. Rakyat miskin dan papa kedana semakin gelisah. Yang cukup-cukup makan pun bajetnya lari, terpaksa menyahut model-model cari wang begini. Apalagi yang sudah karam dan lemas dalam laut hutang, kalau bangkai khinsir busuk hanyut terapung dekat mereka sempat dicapai, mereka mungkin terpaksa berpaut juga!

Kedua: Mengapa masih biarkan api model niaga begini membesar, sehingga berbilion-bilion diangkut keluar negara baru nak bertindak? Mengapa tidak padamkan api itu waktu kecil, tapi nak tunggu padam bila sudah besar membakar bangunan? Atau sengaja nak membuncitkan perut beberapa kerat korperat di atas belakang ramai orang awam yang tertipu menderita. Mengapa perlu dipagut ular berpuluh-puluh kali dari lubang yang sama? Terlalu bodoh sangat kalau ada yang berfikir pihak kerajaan tidak tahu betapa pesatnya perkembangan perniagaan begini.

Ketiga: Kalau Allahyarham Pak Man Telo boleh ditangkap dan dibuang daerah, mengapa syarikat sebangsa Swiss Cash tidak boleh diambil tindakan ke akar umbi dan masih ada yang terlepas? Masih belum ada pembentangan maklumat terpenci mengenainya… Jangan sampai rakyat ragu mengenai ketelusan pemimpin-pemimpinnya!

Keempat: Golongan-golongan agama dalam kerajaan perlu jelas dan tegaskan tentang hukum perniagaan berantai yang menguntungkan golongan paling kecil di atas kebinasaan golongan paling besar dan ramai. Keluarkan fatwa untuk membela keadilan dan menolak kemungkaran.
Mengapa saya kata begitu?

Contohnya seperti perniagaan di atas, kalau nak dapat untung seperti disebutkan itu (USD3,125), seorang peniaga (atau yang berhutang ingin membayar hutangnya) perlu mendapat langganan sebanyak 3,125 langganan. Kalau 1 juta rakyat Malaysia jadi ahli atau sebagai peniaga, mereka perlu beroleh 3,125 juta langganan. Satu pelanggan biasanya cuma guna 1 kad prepaid bank sahaja, sedangkan seluruh rakyat Malaysia pun tak sampai 30juta, nak cari rakyat mana lagi nak bagi cukup?

Bererti syarikat-syarikat model begini tidak boleh bertahan lama, akan mati atau sengaja akan dimatikan sekerat jalan. Cuma seorang berjaya bayar hutang di atas ribuan yang gagal. Yang jelas taukeh-taukehnya saja yang untung. Hal ini suatu penganiayaan yang perlu dibetulkan. Teringat saya kepada cerita dalam filem P Ramlee ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Ada seseorang menelefon Ketua Penyamun menyuruh samun hartanya sendiri. Mungkinkah taukeh-taukeh syarikat begini pun bersikap begitu dengan pihak berkuasa kerajaan??

Cuma bezanya, orang itu menelefon Ketua Penyamun kerana nak lari dari bayar hutang, tak ada harta kononnya tak boleh bayar. Tetapi taukeh-taukeh ini pula, mahu supaya syarikatnya disita oleh pihak kerajaan tak boleh beroperasi, nampak macam dia tak salah, kerana dia sendiri boleh larikan duit orang yang nak bayar hutang!.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
04-01-08. KL.

Tuesday, January 01, 2008

Wanita Muda Kehausan


Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.

Wanita Muda Kehausan I
MENYUSURLAH sebuah lori pagi itu keluar dari kota Medan. Melalui beberapa pekan kecil. Melintasi sawah ladang, semak samun dan dusun. Sungai-sungai dan ngarai. Terasa lelah dan penat badanku dihentak lori angkut agak kuat lagi keras springnya, melikui jalan yang seolah-olah tidak sempurna itu.


Bukan aku nak cari sakit naik lori dalam udara panas tiada penghawa dingin, tapi nak tahu realiti kehidupan rakyat.. menyebabkan tekakku cepat terasa haus nak minum. “Berhentilah di mana saja, asal dapat berehat dan basah tekak sikit!!” Kataku.
Kawanku orang Medan yang memandu disebelahku itu terus berhentikan lorinya. “Tempat ini kurang baik, tapi elok juga untuk ambil tahu..” Jawabnya, membuat aku saspen.

Lori berhenti di tepi jalan kawasan ladang yang pokok getahnya tinggi-tinggi. Ada gerai-gerai ringkas tiada berdinding di bawah redupan bayang yang sejuk menyegarkan. Tempat duduk pengunjung-pengunjungnya cuma di hamparan tikar mengkuang atas rumput, nampak telus terus dari tepi jalan. Kami singgah di salah satunya.

Dua wanita muda berada di situ. Satunya terus membuat minuman, satu lagi melayani kami. Agak pelek juga cara layannya, bukan macam peniaga gerai makanan. Lagak yang mahu menarik perhatian… Pakaian menjolok, bibir merah tebal dan aksi-aksi yang mengghairahkan.


“Saya akan layani bapak bukan hanya untuk yang haus minuman bahkan haus semuanya!” Pelawanya dengan gaya duduk separuh terlentang atas tikar, menampakkan bentuk dada yang menonjol membukit. “Kalau nak, kita buat temujanji!”

“Kalau nak sekarang boleh??” Mulutku menjadi capul, bila melihat keadaan keliling yang lapang agak tidak menasabah bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.


“Boleh!!” Sambutnya, mungkin sangkanya pancing sudah hampir mengena. “Mana tempat gomolnya?” Tanyaku terus terang.

“O.. Sini pun boleh.. di belakang-belakang, ada tempat yang agak terlindung sedikit! Kalau agak tak selesa, ada bilik-bilik sewa segera di rumah lama sana. Ayuh, mari sama-sama pergi!?”


Hal ini mengingatkan aku peristiwa yang berlaku tengah malam tadi di depan tempat hotel tempat aku menginap, sekitar Masjid Raya Medan. Hotel tempat kutumpangi itu ada tertulis di depan kaunternya, melarang lelaki wanita bukan muhrim bersekedudukan atau tidur di situ. Maknanya tiada pelacuran di hotel itu. Aku sengaja makan Sate Minang dan lama juga bercerita dengan tukang sate di situ, ambil-ambil angin malam.


Ramai wanita muda datang ke situ mencari langganannya silih berganti, katanya juga ‘untuk lelaki yang haus layanan istimewa wanita’. Berbagai helah digunakan memerangkap mangsa. Inilah dikatakan penyakit sosial yang tertua di dunia. Itu sebabnya perlu ada suatu kuasa pemerintahan berteraskan agama wahyu dari langit dan hari pembalasan di akhirat…


“Hampir di sepanjang perjalanan ke Tanjung Balai Asahan ini terdapat pelacuran model kampungan begini.” Kata kawanku semasa kami akan meneruskan perjalanan itu semula. “Bahkan di tempat-tempat makan lain, warung atau gerai buah-buahan pun dijadikan tempat booking dan iklan.. Hingga terkenal di kalangan pemandu-pemandu lori di sini ‘Gerai Durian Bibir Merah’ terdapat berhampiran jalan keretapi lepas Pekan Kisaran yang akan kita lalui sebentar lagi..”

“Ooo. Bukan isi durian tu berwarna merah, tetapi bibir mulut penjual diri di gerai durian itulah yang ranum merah-merah.” Sambutku.


“Lebih malang lagi, kerana ramai juga gadis-gadis pelajar yang terbabit. Di pinggir-pinggir kota pula pihak pemerintah terlibat dalam penempatan- penempatan khas pelacuran kelas rendah begini bagaikan wujudnya perkampungan baru, walaupun di hotel-hotel tengah bandar sudah sarat dengan pelacuran kelas menengah dan atasan. Bahkan di dalam bandar Medan sendiri pun terdapat pelacur-pelacur yang beropersi hanya dengan menunggu di setesyen bas saja menarik pelanggan di siang hari waktu pejabat! ” Dia berceramah lagi.
Menurut statistik 2006, lebih 80.7 juta dari 245.4 juta penduduk Indonesia adalah terdiri dari wanita berunur 15 tahun ke atas. Penjualan anak melalui pelacuran bagi mengatasi masalah kemiskinan ibubapa seperti yang dilaporkan oleh rangkaian tv Al-Jazeera, dikatakan telah berleluasa sejak 10 tahun lalu bila Indonesia teruk dilanda krisis ekonomi.

Dalam sebuah laman web, Bro Ricky pula menambah, “…saya rasa di Malaysia, ada juga perbuatan sebegini berlaku, tapi cuma kesnya tidak banyak.. Tapi tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga menjadi sarang pelacuran, jika tidak dibendung dari awal...”


“Wanita-wanita pelacur seperti inilah yang perlukan air penawar agama yang benar. Bukan haus air, tetapi haus petunjuk agama. Kita yang bimbang mereka mati kehausan dari petunjuk Ilahi itu.” Kata kawanku lagi.


“Sebenarnya, di Malaysia juga..” Kataku. “Jika terpampang tulisan di dahi pelacur tanda ‘aku seorang pelacur’ pun tiada menyalahi undang-undang negara, kerana suka sama suka. Kalau kita cuba menegurnya, kita yang bersalah, bukan dia! Sama dengan kita membuat laporan polis bila berlaku kecurian, bukan pencuri itu ditangkap, tetapi kita pelapor itulah yang ditangkap! Semuanya sama, kerana dasar negara-negara kita pun sama, bukan negara Islam sebenar mengikut Al-Quran dan Hadis.”


“Bapak! Bapak tidak mahu minum ke? Bapak tidak haus ke??” Terdengar panggilan wanita yang melayani kami tadi. Kami sudah tidak layan dia lagi.

“Kami tidak haus, kau yang haus!!” Jawab kawanku itu.


Di gerai sebelah, beberapa wanita muda bersorak ketawa menyindir bergurau kepada wanita yang melayani kami itu, “Pancing tidak mengena.. kerana umpanmu tidak bagus!!”
Sama-sama ketawa ramai-ramai.

Wanita Muda Kehausan II



MEMANG lelaki perlukan wanita…” Kataku. Aku layangkan ingatanku kepada peristiwa malam tadi di depan hotel sekitar Masjid Raya, Medan. “Tetapi perlu secara halal dan dibenarkan agama. Tidak ikut agama bererti sendiri terjun ke dalam lubang kebinasaan!”

Itu jawapanku pada 2 gadis antara ramai wanita-wanita muda yang datang silih berganti ke tempat aku makan Sate Minang.
Gadis-gadis itu mempelawa aku melangganinya ‘untuk lelaki yang haus layanan istimewa wanita’.

Aku tanya mereka, “Kenapa kau pilih Sate Padang ini? Tentu kerana masakan orang Islam??”
Mereka mengangguk. “Ertinya kau pilih yang baik lagi halal bukan?? Begitu juga aku!”


“Susahlah… Bapak ini agak lain orangnya.” Mereka mencari helah lain untuk memerangkapku.

Sambil melihat jam yang sudah melepasi tengah malam.“Sebenarnya, kami berdua tidak boleh pulang selepas jam 12 malam, kerana tuan rumah sewaan kami tidak benarkan. Bolehkah kami tumpang tidur di kamar bapak sementara menunggu pagi?”


“Di hotel ini tidak boleh bawa perempuan yang bukan muhrim masuk.” Jelasku.
“Bagaimana hotel nak maju kalau tak boleh bawa perempuan lain masuk??” Rungut seorang darinya.

“Cara kamu berfikir itu salah…” Aku terus memangkah. “Sebenarnya, hotel perlu bersih… termasuk bersih dari kotoran maksiat. Kalau hotel penuh dengan perempuan lacur, itu bukan hotel namanya, itu sarang pelacuran. Orang-orang baik tidak mahu pergi ke hotel seperti itu. Ternyata hotel bersih seperti yang saya tumpangi ini masih bisa beroperasi, kerana masih ramai orang baik-baik berkunjung ke kota ini.” Kataku mungkin agak keras sikit, tapi masih boleh tersenyum.


“Bapak tuduh kami tidak bersih? Takkan tindakan kami salah!? Bapak tidak tahu, kami dari keluarga miskin, tiada ayah. Hanya ini satu-satunya jalan yang kami nampak untuk dapat rezeki. Takkan inipun salah?” Jawabnya.

Tukang sate itu dah nak tutup jualannya, hari sudah pagi. Perbualan kami bersambung ke gerai lain.


“Begini, anakku.” Mataku tepat merenung wajahnya, kami sudah duduk berhadapan se meja. Dengan tenang aku menerangkan, “Dari raut wajah, tubuh dan pertuturanmu, kau bukan orang melarat. Aku yakin ibubapamu masih ada. Kau jadi begini dengan rela, bukan dipaksa. Aku yakin ada sesuatu yang tak kena dengan cara berfikirmu.” Kataku tertuju kepada yang seorang.

Yang agak macam keluarga golongan pertengahan. Menurutnya berasal keluarga Islam Permatang Siantar, arah jalan menuju ke Danau Toba dari Medan.
Setahu ku, di Indonesia, prevalensi pelacuran kanak-kanak bawah 18 tahun (ESKA= Esksploitasi Seksual Komersial Anak) dianggarkan mencapai 30% dari seluruh pekerja seks komersial di semua wilayah negeri (UNICEF, 1999:102). Ini bererti telah mencapai angka 40,000 ke 70,000, bahkan dikatakan juga lebih dari 150,000 (1997).

Beberapa daerah di Indonesia telah dikategorikan menjadi daerah sumber, daerah transit, dan daerah penerima kanak-kanak yang dilacurkan.
Di Jawa Barat, contohnya, pada tahun 2003, jumlah pelacur 22,380 orang. Dari jumlah tersebut kanak-kanak yang dilacurkan berjumlah 9,000, adalah berusia antara 14 ke 18 tahun. Kanak-kanak yang dilacurkan di daerah dekat-dekat sini seperti Deli Serdang, Medan, Belawan, Serdang Bedagai dan Simalungun, kebanyakannya berasal dari Provinsi Sumatra Utara, contohnya Medan, Deli Serdang, Serdang Bedagai, Simalungun, Asahan, Langkat, Tebing Tinggi, Labuhan Batu, Tapanuli Selatan, Dairi, Binjai serta Permatang Siantar tempat datangnya wanita itu.

Daerah transit mereka adalah di Belawan, Medan, Padang Bulan, Deli Serdang, Serdang Bedagai, Asahan, Tanjung Balai (Medan), Kebupaten dan Labuhan Batu. Dikatakan pada bulan Mei … Julai 2005, telah dijumpai 173 kanak-kanak yang menjadi korban pedofilia (ESKA) di provinsi Nusa Tenggara Barat …tersebar di daerah Nusadi Praya, Sengigi, Kute, Tiga Gili dan Senaru. Pelakunya berjumlah 17 orang berasal dari Australia, Belanda, Jerman, Amerika Syarikat, dan Afrika (Maklumat; Yayasan Tunas Alam Indonesia, 2005).


Aku meneka wanita di depanku itu lagi, “Tentu kau baru beberapa tahun keluar sekolah. Mungkin dalam lingkungan umur 18 tahun, atau kurang sikit. Dalam usia muda ini, jiwamu sentiasa memberontak. Terpedaya dengan slogan ingin bebas, menyebabkan kau terbabas. Terpengaruh dengan teman-teman, ingin punya pacal, ingin punya cowok. Ingin bebaskan diri dari apa yang dianggap kongkongan keluarga. Akhirnya terbabas dan terlantar di sini!”


“Eh! Mana bapak tahu??” Dia agak terperanjat.
“Sebenarnya, aku adalah seorang doktor perubatan. Aku sedang menumpukan pengajian di bidang psikologi manusia. Aku pernah datang berkursus kedoktoran di Universitas Sumatera Utara, di Padang Bulan sana.”

Dia mulai yakin dengan kata-kata ku. Dia mengeluarkan surat-surat cinta dari beg tangannya, juga gambar seorang lelaki kacak… Menunjukkan kepadaku. “Bapak seorang ahli psikologi… Cuba lihat, jujurkah cowokku ini?”


“Begini…” Aku membelek surat-surat tersebut. “Patutkah kau ketepikan dan tinggalkan ibubapamu? Ibubapa yang telah membesarmu sejak kakimu sebesar 2 jari ini hingga macam sekarang, boleh bergerak dan menendang? Bahkan kakimu itu boleh pergi keluar meninggalkan ibu kandungmu di rumahmu, semata-mata kerana turutkan lelaki pendatang yang baru dua tiga tahun menjelma dalam hidupmu? Besar sangatkah jasanya berbanding jasa ibubapamu hingga kau sanggup berbuat begitu??”


Dugaanku tepat, dari surat-surat cintanya aku dapat mengagak dua gadis ini lari dari rumah mengikut cowok atau teman lelakinya. Tanpa ku sedari, seorang tukang beca yang sedang minum bersama kami turut mengangguk-angguk. Mendengar dengan penuh perhatian. Kedua-dua wanita itu baru diam, tidak membantah lagi.

Tiba-tiba terdengar suara azan bergema, berkumandang dari Masjid Raya, tanda subuh telah menjelang.
“Maaf anakku, aku terpaksa pergi menyahut seruan Tuhan. Cuma satu pesan akhir kalau kau nak terima, pulanglah anda berdua ke pangkuan ibubapamu. Mohon maaflah kepada mereka, selagi mereka ada di dunia ini. Supaya anda tidak menyesal kemudian. Supaya penderhakaan anda tidak diulang oleh anak-anak anda pada anda di kemudian hari. Ubahlah cara berfikir anda ke arah Islam. Carilah rezeki yang halal, kerana dunia rezeki tidak se sempit pemikiran kebendaan anda. Aku yakin kalau anda tidak terima pandangan ini sekarang, anda akan terima bila anda sudah berkahwin dan mempunyai anak sebesar anda ini! Anda sedang kehausan petunjuk Ilahi sekarang…”

Aku menoleh kepada tukang beca dekatku, “Bukan begitu Pak?”


“Ya, ya,ya. Betul ujar bapak Malaysia itu.” Sahut tukang beca. “Aku pun punya anak gadis sebesarmu, aku dapat rasakan saperti kata-katanya.”


Tanpa berlengah ku bayar semua makan minum.. dan beredar menuju ‘Hayya’alal falah!’
Hasil carian imej untuk ibnu hasyim di indonesia
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 01-01-2008. KL


Lihat lagi..
E-Buku IH-8 Catatan Perjalanan.'Medan-Tanjung Balai'
Bab I Bab II Bab III Ikutilah sambungannya dalam catatan perjalanan yang lain.

Thursday, December 27, 2007

Strategi Kueh Bulan & Osama Laden.


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

BEBERAPA pandangan dan pertanyaan mengenai strategi Kueh Bulan dalam sejarah politik Cina dan strategi Osama Laden di zaman Nabi Muhammad SAW telah saya terima, ekoran dari beberapa tulisan saya yang lepas-lepas. 

Ada juga yang bertanya apa maksud saya mengenai penerapannya dalam politik pilihan raya Malaysia masa kini… Saya bukanlah seorang pakar strategi dalam politik pilihanraya Malaysia, tetapi sekadar menerangkan secara ringkas… boleh le!

Seperti yang telah saya sebutkan pada tahun 1271M Negeri China jatuh di bawah pemerintahan Kerajaan Yuan dipimpin oleh Hu Pi Lie, seorang berketurunan Mongolia. Orang-orang Cina dari keturunan Han sentiasa ditindas, dihina dan dizalimi. Kaum Han memulakan penentangan melalui gerakan bawah tanah dan menyerang kota Chu Chou, tetapi gagal kerana kekuatan mereka tak setanding. Di situlah timbulnya strategi Kueh Bulan.

Apa strategi Kueh Bulan? Strategi merancang balik menawan kota itu, menghantar agen rahsia ‘menyamar sebagai ahli bertapa’ masuk kota, pengaruhi penentang-penentang kerajaan dengan isu-isu yang berpengaruh lagi meyakinkan (isu agama). Akhirnya arahan sulit dihantar melalui kueh bulan, sehingga kota itu ditawan semula.

Hampir sama dengan cara Ayatullah Khomeini merampas Iran, walaupun beliau berada dalam buangan di Perancis, tetapi masej arahan dan pemikiran-pemikiran politiknya dieksport ke Iran secara gelap melalui kaset-keset ceramahnya sepanjang masa. 

Keset-keset ceramah itulah ‘kueh bulan’nya! Begitu juga dalam kes Rasulullah SAW menawan Makkah, beliau mengumpulkan kekuatan di luar kota melalui penyebaran Islam, perjanjian, ba’ah atau pakatan sulit dan ‘politik Hijrah’ sebelum berjaya menubuhkan kerajaan Madinah, yang akhirnya menakluk Makkah kembali.

Apapula dengan strategi Osama Laden? Telah saya terangkan dalam tulisan lalu, apabila termaterainya Perjanjian Hudaibiah antara Kumpulan Islam pimpinan Nabi dengan kafir musyrikin, Abu Basyir orang Makkah yang masuk Islam terpaksa dihantar balik ke tangan orang kafir Quraisy di Makkah. Bila Basyir berjaya bebaskan dari kongkongan itu, beliau masih merujuk pada Nabi.

Walaupun Nabi nampak macam tak restu, tetapi kata-kata Nabi setelah Basyir pergi, “Kalau dia dapat kawan, dia boleh cetuskan perang terhadap musuhnya!” sudah berdengung-dengung di kalangan pemuda-pemuda Makkah yang menerima hidayah Islam, menjadi kata motivasi, perangsang dan idola kepada mereka. Akhirnya mereka wujudkan kumpulan militan yang mengganggu, menyerang dan merompak kepentingan ekonomi serta kekuatan Quraisy Makkah.

Kumpulan ini bergerak di luar kumpulan dan arahan Nabi.

Begitu juga yang terjadi dalam Perang Khandak sewaktu Nabi memerintah Madinah. (Sila lihat Qasthalani dan Muhammad Zurqani dalam Mawahibul Laduniah dan Syarahnya’). Pakatan barisan nasiaonal musuh-musuh Allah telah mengepung kota Madinah sudah berbelas-belas malam… sepuluh hari lagi akan selesai, di mana gabungan dari Quraisy akan memulai penyerangan. Di saat-saat genting itu, datang seseorang kepada Nabi. Dia yang baru masuk Islam, namanya Nuaim bin Mas’ud, seorang Asyyai.

Kaumnya turut mengepung Rasul bersama orang Ghatafana berjumlah 2,000 orang. Mereka turut serta pakatan gabungan barisan nasional musuh-musuh Allah itu. 

Sebelum berlaku Perang Badar Penghabisan dulu, dia adalah agen upahan kerajaan Quraisy yang ditugaskan pergi ke Madinah meniup isu propaganda kekuatan tentera Quraisy bagi menakut-nakutkan orang Islam. Kalau berjaya, dia dibayar upah 20 ekor unta tetapi cuma baru terima deposit seekor sahaja. Tidak ada dari pakatan barisan nasional itu mengetahui dia masuk Islam.

Dia mengadap Nabi, katanya, “Ya Rasulullah! Saya sudah Islam. Suruh saja apa yang tuan nak!!”

“Lemahkan musuh-musuh itu, kerana perang ini tipudaya.” Jawab Nabi spontan, tidak perlu bincang-bincang panjang dengan sahabat-sahabatnya lagi.

‘Perang ini tipudaya’. Itulah politik. Itulah strateginya. Gunakan tipudaya untuk lemahkan musuh! Dengan dua tiga patah arahan itu, Nuaim seterusnya mampu melaga-lagakan ketua-ketua parti gabungan barisan nasional musuh hingga kecundang dan kalah teruk. Suatu strategi ampuh antara penyebab kemenangan pihak Islam. Begini ulasannya…

Pertama:

Memang PAS boleh gunakan cara seperti di tulisan saya ‘Strategi Politik ‘Kueh Bulan’ Dalam Pilihanraya’. Dalam ‘politik hijrah’ bersama Abu Bakar, Nabi pernah gunakan kemahiran orang bukan Islam sebagai pemandu penunjuk jalan (lain dari jalan biasa) menuju Madinah, seperti juga peranan Kelab Penyokong PAS masa kini. Soalnya, apa, bila dan bagaimana berlakunya pengagihan arahan ‘Kueh Bulan’ itu dari PAS? Perlu diingat perang ini adalah perang mengaut kertas undi sokongan rakyat, bukan perang bersenjata seperti di Irak, Afghanistan, dan lain-lain. Jangan salah faham.

Kedua:

Memang sama strategi perjuangan Abu Bashir dengan perjuangan bersenjata Osama Laden dalam menentang musuh-musuh Allah seperti di tulisan saya ‘Strategi Osama Laden Di Zaman Nabi.. Yang penting bolehkah diterapkan strategi ini dalam politik pilihan raya di Malaysia? Memang ada golongan-golongan penyokong kebangkitan Islam yang membantu perjuangan PAS walaupun tidak duduk dalam parti itu.

Kadang-kadang ada dalam jabatan kerajaan, hatta dalam parti lawannya sendiri. Kalau benar majikan mereka menentang Islam, maka duduknya mereka dalam kumpulan itu bukan bertujuan untuk mengukuhkan, tetapi hendaklah mempercepatkan jatuhkan kumpulan tersebut. Itulah peranan yang sepatutnya mereka lakukan untuk membangunkan Islam. Yang penting tindakan mereka mestilah melalui saluran demokrasi, bukan ketenteraan.

Ketiga:

Kerana pada saya, ada tiga saluran gerakan Islam masa kini di dunia, iaitu demokrasi, revolusi dan terorisme. Kalau saluran pertama melalui pintu demokrasi sudah tertutup, seperti berlaku di Iran sebelum 1979, contohnya ribuan penunjuk-penunjuk perasaan mati ditembak oleh polis negaranya sendiri dan lain-lain kezaliman lagi, ia akan beralih ke saluran kedua. 

Kalau saluran kedua revolusi pun tertutup juga seperti di Afghanistan dan Iraq, ia akan beralih ke saluran ke tiga iaitu terorisme seperti kegiatan Al Qaeeda, Osama Laden.

Kerana Islam mesti berada di tempat tertinggi seperti yang dikehendakiNya, dan manusia Muslim sebagai KhalifahNya. Wallahu ‘aklam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails