Catatan Santai
Sempena Hari Buruh:
"MENGAPA kamu masih berada di sini?” Kata Umar Al-Khattab pada suatu hari selepas solat Jumaat. Beliau adalah Khalifah ke 2 dari Khalifah Islam Se dunia beberapa tahun setelah kewafatan Nabi SAW.
“Kami adalah orang yang bertawakkal kepada Allah!” Jawab mereka, yang sedang bersembang-sembang di masjid lepas solat Jumaat..
Mendengar jawapan itu lantas Umar usir mereka keluar dari masjid, kata Beliau, "Jangan kamu berhenti dari bekerja mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."
Allah berfirman yang bermaksud: ‘Apabila kamu selesai mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah’ (Al-Qur’an Surah AI Jum’ah: Ayat 9). Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berkarya dan berusaha. Juga jangan salahgunakan konsep tawakkal seperti yang disebutkan mereka itu.
"Mencari rezeki halal itu laksana pahlawan yang berjuang di medan perang dan barang siapa yang tertidur keletihan kerana kerja mencari rezeki halal, Allah ampunkan dosanya ketika dia tertidur itu.", sabda Nabi lagi. "Mencari rezeki halal bagaikan berjihad ke jalan Allah."
Pada suatu hari Rasulullah bersalaman dengan seorang sahabat, Saad ibnu Muadz. Rasulullah melihat tangan sahabat itu sangat hitam kerana bekerja kuat dan keras di bawah terik matahari. Rasulullah bertanya megenai tangan itu. Jawabnya, “Tanganku seperti ini.. kerana aku bekerja mencangkul di kebun kurmaku untuk menyara keluargaku."
“Inilah kedua-dua tangan yang disukai Allah." Kata Nabi pemimpin tertinggi dunia Islam yang terus mencium tangan hitam itu setelah mendengar jawapan demikian.
Nabi juga pernah berkata, "Antara dosa, ada dosa yang tidak dapat dihapus dengan puasa dan solat."
Mendengar itu seorang kawan bertanya, “Kalau begitu, apa yang dapat menghapusnya?
"Dosa itu hanya dapat dihapus dengan pahala bekerja mencari rezeki." Jelas Nabi.
Itulah motivasi pekerja dalam Islam. Begitulah Islam memperkasakan kaum buruh. Sehingga tiada beza antara buruh kulit hitam dengan majikan berkulit cerah. Bagaimana pula sikap kerajaan Malaysia mengenai buruh-buruh di Malaysia?
"Pada keseluruhannya, para pekerja di negara ini tidak mendapat perhatian kerajaan apabila tuntutan mereka untuk mendapat gaji minima dan COLA dinafikan mentah-mentah dengan sombong oleh kerajaan yang memaksa Kongres Kesatuan Pekerja Kebangsaan (MTUC) berpiket," ujar Saudara Anuar Tahir Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS pada April lalu.
Bahkan ujarnya, peneroka bandar atau penghuni kawasan perkampungan setinggan dianggap sebagai sampah oleh kerajaan. "Rakyat sepatutnya disantuni, diperbaiki nasib mereka dalam keadaan negara sedang meningkat dari sudut kemajuannya.”
“… walaupun kita sudah 50 tahun merdeka, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang pendapatan bulanannya cuma RM350 sebulan, mengapa pemimpin-pemimpin BN masih tidak peka dan buat-buat pekak??” Kata Presiden Group Universiti Ulu Klang, Dr Haji Mohd Hasyim. “Saya setuju dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), antara Kesatuan Sekerja terbesar di negara ini (mempunyai 500,000 ahli) yang mahukan kerajaan Malaysia menetapkan gaji minima sebanyak RM900 sebulan bagi tiap pekerja.”
“Kita memerlukan akta untuk gaji minima bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk kami (pekerja) dan juga negara.” Kata G Rajasekaran Setiausaha Agung MTUC. Menurut Syed Shahir Presiden MTUC pula, keputusan kerajaan menolak tuntutan gaji minima RM900 dan COLA RM300 sudah cukup menyeksa golongan pekerja…
Apakah pekerja-pekerja di negara ini telah diperkosa kerjayanya, bahkan tidak diperkasa??
Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
1 Mei 08. KL.