Tuesday, July 28, 2009

Amaran Polis: Batalkan Himpunan ISA.


POLIS memberi amaran tegas terhadap pihak pro dan anti-ISA supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini. Ketika memberi amaran tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, , Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, perhimpunan itu dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam. Demikian menurut Malaysiakini.com.

Menurut Muhammad Sabtu lagi, polis telah memanggil Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) semalam untuk memaklumkan mengenai arahan tersebut kepada mereka. Manakala polis juga, katanya, akan bertemu dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) petang esok untuk memaklumkan perkara yang sama. Polis juga, katanya, akan mengadakan sekatan jalanraya dua hari lebih awal dan akan menahan bas-bas disyaki membawa pesertai ke perhimpunan itu.

Sebelum ini, Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang pro-ISA, merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang. Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur petang ini, Datuk Muhammad Sabtu berkata polis mengkelaskannya sebagai satu perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Polis juga, tegasnya, akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya ada pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut. Menurutnya, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya untuk memfokuskan kepada perhimpunan itu jika diadakan juga. "Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak," tegas Datuk Muhammad Sabtu.

Ditanya sama ada polis akan membuat tangkapan awal bagi mengelak perhimpunan tersebut, beliau berkata: "Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya.

(Sumber Malaysiakini.com/AK)

Azan Tidak Berkumandang Lagi, Di Singapura.

Hasil carian imej untuk tambak johor
CATATAN PERJALANAN DI PULAU SINGA (1)

PAGI ini hampir masuk waktu subuh, telinga saya mengintai-intai mencari-cari ingin dengar tanda-tanda suara azan akan bergema. Sudah dekat sangat masuk waktu tapi masih belum dengar lagi. Rupanya baru saya sedar, saya kini sedang berada di Woodlands, dalam negara Singapura.

Saya terus berjalan kaki ke masjid di situ. Masjid An-nur Woodlands, tidak sampai satu kilometer dari bangunan pejabat kastam Singapura. Bersembahyang subuh berjamaah di sana. 

Ada kira-kira 3, 4 saf, lebih 100 orang. Saya sempat berkenalan dengan beberapa orang, dari kumpulan Jamaah Tabligh yang tidur di masjid itu malam tadi. Juga berkenalan dengan seorang pemandu teksi orang tempatan bukan dari Jamaah Tabligh, namanya Abdul Malik.

"Maaf, boleh saya tanya sikit?" Dia mengangguk. "Maaf lagi, kalau boleh kita bercakap dari hati ke hati!"

"Ya." Jawabnya. Dia terus menumpukan pendengaran kepada katabisik saya.

"Dari ramai kawan-kawan kita orang Melayu Singapura datang melancung ke Malaysia yang saya temui, kebanyakannya memuji-muji pentadbiran Singapura, drastik maju membangun dari sudut kebendaan mengalahkan Malaysia sejak dulu, seolah-olah tiada apa-apa masalah bagi orang Islam-Melayu di sini. Semuanya baik belaka! Betulkah begitu, apa pandangan tuan?" Meluncur pertanyaan saya.

"Oh." Jawabnya. "Saya pemandu teksi. Mungkin fikiran saya agak terbuka sikit kerana selalu bertemu orang luar negara. Pada saya, walaupun ekonomi membangun, tetapi orang Islam seolah-olah di bawah penjajahan. Tidak bebas melaksanakan agama sendiri di atas tanah air kita sendiri. Azan pun tak boleh kedengaran ke luar masjid, apalagi yang berkaitan dengan pendidikan, kenegaraan, dan lain-lain. Hanya bebas mengampu dan membodek pemimpin."

Jika dilihat dari sudut sejarah pada tahun 1824, hanya 5 tahun setelah dirikan Singapura moden, populasi penduduknya bertumbuh pesat dari hanya 150 menjadi 10,000. Tahun 1832, Singapura menjadi pusat pemerintahan Straits Settlements (Wilayah Pemukiman Teluk) untuk daerah Penang, Melaka dan Singapura. Pembukaan Terusan Suez di tahun 1869 dan penemuan telegraf dan kapal wap membesarkan peranan penting Singapura sebagai pusat perdagangan yang semakin meningkat antara Timur dan Barat.

Singapura menjadi tumpuan ketenteraan di abad ke 14, ketika terlibat dalam perebutan Semenanjung Malaya (Tanah Melayu) antara kerajaan Siam (kini Thailand) dan Majapahit dari Jawa. Begitu juga pada 5 abad kemudian, ketika Perang Dunia II, Singapura sempat dianggap sebagai benteng yang tidak tertembus, sehingga Jepun menguasainya di tahun 1942. 

Selepas perang, Singapura menjadi Crown Colony (koloni Tahta Inggeris). Tumbuhnya nasionalisme menjadikan terbentuknya pemerintahan sendiri di tahun 1959, merdeka bersama Malaysia, tetapi akhirnya pada 9 Ogos 1965, Singapura dimerdekakan lagi menjadi republik Singapura.
Ibnu Hasyim bergambar depan Masjid An-Nur, Singapura.(Sept 2016)
"Berapa jumlah % penduduk Melayu-Islam Singapura sekarang?"

"Sebelum ini kira-kira 20%, sekarang dah tinggal 10%!" katanya. "Tapi tidak berkumpul setempat. Telah dipecah-pecahkan dan diperintah melalui projek-projek pembangunan, sehingga tidak boleh bersuara, walaupun asalnya semua negeri ini kita punya.

Teringat pula kepada kisah sejarah sebelum Singapura baru. Daerah Singapura pertama kali disebut dalam catatan bangsa China di abad ke 3, sebagai 'Pu-luo-chung' atau 'pulau di ujung semenanjung'. Di abad ke 14, Singapura menjadi bahagian dari kerajaan besar Sriwijaya, dan dikenal sebagai 'Temasek' atau 'Kota Laut'. 

Terletak di titik pertemuan jalur perjalanan laut di ujung Semenanjung Malaya. Singapura telah lama dikunjungi berbagai kapal, mulai dari junk China, kapal dagang India, dhow Arab, kapal-kapal perang Portugis sampai kapal layar Bugis.

Semasa abad ke 14, pulau kecil berlokasi strategis ini mendapat nama baru 'Singa Pura' atau Kota Singa, menjadi Singapura baru. Menurut legenda, seorang pangeran Sriwijaya bernama Sang Nila Utama yang datang melihat seekor haiwan singa, menyebabkan lahirlah nama moden Singapura ini, yang akhirnya disebut 'Singapore' dalam bahasa Inggeris.


Ibnu Hasyim bergambar di depan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Teringat pula kawanku mamak Penang buat jenaka. Pendekar Melayu yang berada di Pulau Temasik itu pernah terserempak dengan seekor singa terus menjerit "..singa porrah!"... ertinya nyahlah singa.. Singa itu terkejut lari. Itulah asal nama Singapura.

Katanya lagi, "Ingat orang Melayu-Islam di Pulau Singapura, akan jadi seperti singa itu, kalau tidak berjuang atas nama Islam.. karana aku pun Islam juga.. bumiputrak!!"

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Woodlands Julai 27 2009.

Ingat 1 Ogos, Pergi! Negeri Ini Bukan Hak UMNO. -Nik Aziz.

RAKYAT di negara ini digesa sertai Perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perarakan ke Istana Negara yang akan diadakan pada 1 Ogos depan dengan tujuan menyerahkan memorandum kepada Yangdipertuan Agong.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau amat bersetuju dengan cadangan dan sekiranya kesihatan mengizinkan beliau juga ingin turut serta pada perhimpunan itu.

“Saya minta semua sebanyak mana yang boleh pergi kena pergi. Tangkap manusia dengan tiada perbicaraan itu kesilapan dan kita sebagai manusia membetulkan kesilapan Umno yang menzalimi rakyat,” katanya. Mengulas kemungkinan perhimpunan itu dihalang pihak tertentu, beliau berkata, terserah kepada mereka. Tapi kalau disekat ia satu tindakan jahat. Negeri ini bukan hak Umno. Bila rakyat pilih nak demonstrasi kenapa kita sekat, katanya.

Blog Ibnu Hasyim: Mari kita renung ayat-ayat ini...

1..Surah Taha ayat 33-34: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Kemudian kamu berdua hendaklah berkata kepadanya dengan kata-kata yang lembut. Mudah-mudahan dia beringat atau takut.”

2.. “Jihad yang paling afdal ialah perkataan 'yang adil' (dalam riwayat yang lain: 'yang benar') terhadap pemerintahan yang zalim atau ketua yang zalim.” (riwayat an-Nasaai, Abu Daud, at-Tirmidzi & Ibn Majah)

(Sumber Sinar Harian dll/AK)

PAS-UMNO, Royalti Minyak, Pergi Jahane Kerja Bodo..

Faham betul-betul pemimpin UMNO, kata-kata Tok Guru, suara hati rakyat..







Lihat juga..

Monday, July 27, 2009

Satu Lagi Projek Tipu BN - Tan Sri Muhyiddin.


KOTA BHARU . Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau ada menyebut soal perpaduan antara Umno dan PAS. Beliau menganggapnya sebagai satu lagi “Projek Barisan Nasional” di dalam kenyataannya pagi ini.


Tok Guru mencabar media massa supaya buktikan dengan rakaman video atau audio bahawa beliau menyebut soal perpaduan sedia menghulurkan salam perpaduan Umno-PAS. “Umno ni dah jadi macam cerita Laila Majnun, kejadian ini menunjukkan sikap ‘desperado’ Umno yang gilakan PAS. “Saya bercakap pasal kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri seperti semangat Federalisme bukan pasal antara parti,” kata Tok Guru di pejabatnya.


Katanya lagi, yang duduk cakap pasal parti ialah Mustapha Mohamed (Dato’) sambil merujuk kepada sidang media selepas majlis pelancaran Fiesta Kelantan di sebuah Hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Sementara di Padang Majlis Daerah Kuala Krai, di Laloh, Anggota parlimen Machang, Saufuddin Nasution Ismail berkata, pemimpin Umno sekarang sudah benar-benar terdesak apabila gagal membezakan kerjasama di antara kerajaan dan parti.


“Apabila sahaja disebut perkataan kerjasama cepat-cepat mereka melihat dalam konteks parti di antara Umno dan PAS.. Sedangkan apa yang disebut Menteri Besar sebelum ini kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat selepas banyak hak-hak negeri cuba dinafikan kerajaan persekutuan,” katanya pada ceramah sempena kesyukuran kemenangan PAS di Laloh, malam semalam.

Program tersebut diadakan selepas PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil yang diadakan 14 Julai lalu. Hadir sama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Apa tidaknya, cuba lihat laporan kenyataan ini sebelum kenyataan di atas. Antaranya..

[Uganda: Langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin Pas ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Jumaat ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas itu dengan Kerajaan Pusat, berkata senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti Pas.

“Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik.. Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.]

Nampak punya tak faham, atau buat-buat tak faham. Kalau tak faham, bodoh namanya, boleh ditipu oleh pembawa beritanya sendiri. Kalau buat-buat tak faham, memang niat jahat untuk menipu dan memanipulasi berita, kerana menganggap PAS masih 'musuh'nya. (Jiwa Kelate/AK)

Lihat juga bblog http://seriiskandar.wordpress.com ...
PALUAN GENDANG MAHYUDDIN MEMULAKAN KEMBALI NEGARA PERPADUAN PAS – UBN

Sunday, July 26, 2009

Kerajaan Pusat Bukan Musuh Tetapi Lawan - Nik Aziz.


JULAI 26: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam, lapor Blog Jiwo Kelate hari ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas, berharap perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan Pas sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, baru-baru ini dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

Nik Abdul Aziz yang kelihatan serius menyuarakan perkara itu berkata, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan Pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

“Seperti mana biasa, pertembungan pendapat dan ideologi timbul pada saat-saat menjelang pilihan raya,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia ke-38, di sini, semalam.

Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Umno negeri mengambil sikap terbuka dan berharap Mursyidul Am Pas menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan. – Berita Minggu 26 Julai 2009.

“Kami mengambil sikap terbuka terhadap apa yang boleh merapatkan perpaduan umat Islam dan orang Melayu. Dalam hal berkaitan agama dan bangsa, tidak harus ada percanggahan pendapat, sebaliknya harus ada perpaduan.

“Memang kita ada perbezaan ketara dalam politik kerana perjuangan kita berbeza, tetapi jika dalam perjuangan itu ada persamaan, tidak ada sebab kita tidak boleh bermuafakat, khususnya untuk kebaikan rakyat, namun harus ada keikhlasan dan kesungguhan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini.

Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini adalah antara kepimpinan Pas yang tidak bersetuju dengan cadangan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Begitulah seninya dakwah dalam politik membela kebenaran dan keadilan Islam.

Simbolik Apa Ini?

Klik sini untuk sumber berita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails