Wednesday, September 02, 2009
Setuju Tubuh Kompenan, PAS Sedia Dirombak -Nik Aziz
Nik Aziz sokong parti satukan semua kaum.
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia menerima cadangan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bagi menubuhkan satu komponen parti yang boleh disertai setiap lapisan masyarakat sekiranya ia dapat menyatupadukan dan mengukuhkan perpaduan rakyat di negara ini.
Nik Abdul Aziz berkata, Pas juga sedia dirombak asalkan parti yang baru ditubuhkan itu mengamalkan dasar dan prinsip Islam sama seperti yang diperjuangkan parti itu selama ini.
“Kalau tak payah tubuh parti lain, pakai Pas sahaja. Pas sudah memberi kepuasan kepada semua bangsa-bangsa lain kerana Pas wadah bagi Islam.. Saya nak Pas. Tak payah rombak barang yang sudah ada, tapi kalau nak rombak juga boleh, syaratnya parti baru ini dasar utamanya Islam. Kalau tak setuju Islam cakap di mana tak betul Islam. Boleh bubuh (letak) nama lain, tak ada apa, yang penting dasarnya Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak sawah sistem penanaman padi intensif (padi organik) di Tunjung dekat sini, semalam.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, sekiranya semua parti komponen menerima Pas ia perkembangan baik memandangkan prinsip dan dasar yang diperjuangkan parti itu selama ini telah terbukti mampu menyatupadukan masyarakat.
“Sekiranya tak nak terima Pas, parti baru yang ditubuhkan itu boleh menerima semua parti tidak kira daripada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.. Tetapi kalau boleh terima Pas lagi baik tak payah kita rombak,” katanya.
Beliau berkata, Pas juga bersedia menerima penyertaan ahli bukan Islam yang ingin menyokong parti itu. “Kami buat Pas. Melayu nak duduk situ boleh, Cina nak duduk situ boleh, semua sekali boleh. Waktu Allahyarham Zulkifli Mohamad, sudah lama bersungut, Pas ini kena terima ahli-ahli yang bukan Islam . Sekadar nak sokong tak ada apa,” katanya. (Sumber: Sinar Harian/AK)
Bergelut, Sidang Pindah Ke Hotel, Perkida Campur Tangan..
BERIKUT adalah perkembangan situasi di "Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)" Perak yang didakwa oleh Pakatan Rakyat negeri itu akan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh hari ini, sambungan dari berita sebelumnya. Menurut Mstar Online...
11.45 pagi: 'Sidang Dewan' bermula dengan kemasukan Sivakumar ke dalam 'dewan' yang sebenarnya merupakan sebuah bilik majlis di hotel. Sivakumar kini sedang mempengerusikan 'sidang' Dewan.
11 pagi: Mohammad Nizar, Sivakumar dan beberapa wakil rakyat cuba memasuki ibu pejabat FRU di Sungai Senam untuk bertemu dengan wakil rakyat yang ditahan.
10.30 pagi: Bekas Speaker DUN, V Sivakumar berkata, beliau akan tetap meneruskan sidang DUN di Hotel Heritage pada pukul 11.30 pagi. Katanya, beliau harus mengggunakan doktrin yang diperlukan kerana wakil rakyat Pakatan dihalang daripada memasuki bangunan SUK.
10.20 pagi: Selain Ngeh, Keshvinder dan jurugambar Tan, ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan dua penyokong turut ditahan. Semua wakil rakyat Pakatan pulang ke ibu pejabat DAP dan mengadakan sidang akhbar. Mohammad Nizar terus mengulangi bahawa arahan yang dikeluarkan mahkamah hanya untuk penyokong dan wakil rakyat tidak boleh dihalang daripada memasuki dewan persidangan. Katanya, beliau bukan memanggil untuk berkumpul tetapi untuk mengadakan sidang DUN.
Menurut Harakah, kesemua ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini sekali lagi dihalang dari menggunakan Dewan Negeri bagi mengadakan persidangan. Kesemua ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini sekali lagi dihalang dari menggunakan Dewan Negeri bagi mengadakan persidangan. Belum sempat memasuki 30 meter kawasan larangan ke Bangunan SUK pagi ini, tiga ADUN, dua orang awam dan seorang jurugambar telah pun ditangkap.
Tiga ADUN tersebut adalah ADUN Setiawan, Dato' Ngeh Ko Ham; Simpang Pulai Chan Meng Kai dan ADUN Malim Nawar, Keshwinder Singh. Manakala jurugambar dari Nanyang Siang Pau, Stanley adalah yang paling awal ditangkap. Ekoran halangan yang diterima itu, mereka akan mengadakan persidangan DUN di Hotel Herritage jam 11.30 pagi ini.
Terdahulu kesemua ADUN berkumpul di Wisama DAP bagi sesi taklimat dan perbincangan tertutup sebelum turun untuk menuju ke Bangunan SUK melalui Jalan Istana. Mengetuai perarakan ADUN tersebut adalah Yang DiPertua Speaker, V.Sivakumar, Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Dato' Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Meng. Perarakan tersebut bagaimanapun dihalang oleh pihak polis kira-kira 15 meter dari pokok yang pernah digunakan untuk bersidang 3 Mac lalu.
Tolak menolak berlaku apabila pihak polis langsung tidak memberi ruang kepada kesemua ADUN berkenaan memasuki kawasan larangan tersebut. Dalam aksi tolak menolak tersebut, ADUN Setiawan, Dato Ngeh Ko Ham dengan menggunakan pembesar suara beberapa kali memberi penjelasan dan meminta tidak dihalang untuk menuju ke bangunan SUK.
"Dalam perintah mahkamah ini menyebut, para penyokong tidak dibenarkan berkumpul dalam kawasan 30 meter dari bangunan SUK. Kami ADUN bukan penyokong," ujarnya sambil memegang salinan notis perintah mahkamah yang juga ditampal di beberapa bangunan berhampiran.
Datuk Seri Nizar dalam pada itu turut meminta pihak polis agar tidak bertindak kasar terhadap ADUN memandangkan bulan puasa. Polis bagaimanapun tidak menghiraukan rayuan dan penjelasan mereka malah terus menambah anggota membuat kepungan menghalang pergerakan ADUN. Dalam kekalutan itu, disebelah belakang pihak polis pula muncul sekumpulan pemuda berbaju kuning bertulis 'Daulat Tuanku' membuat provokasi dan ingin bertembung bagi menghalang ADUN daripada memasuki Bangunan SUK.
Bagaimanapun kesemua mereka 'dijaga' pihak polis dengan baik dan kemudiannya diarah bersuarai secara baik. Tidak berpuas hati dengan layanan polis terhadap kumpulan tersebut, ADUN dan penyokong Pakatan Rakyat mula mempertikai tindakan polis yang jelas dilihat berat sebelah. Ketika merakam aksi anggota kumpulan terbabit, jurugambar Nanyang Siang Pau, Stanley disentak kasar polis berpakaian biasa kerana didakwa manghalang tugas mereka.
Stanley yang berang dengan tindakan itu bagaimanapun sempat membalas kata-kata polis berkenaan sebelum dia dijatuhkan ketanah, ditindih beberapa anggota dan kemudian ditangkap. "Saya pun buat kerja saya juga, kenapa you (polis) halang saya," balasnya agak berang pada waktu itu. Dalam kekalutan tersebut, nama Dato' Ngeh disebut beberapa kali oleh Ketua Polis Ipoh sebelum dia ditangkap kerana menggunakan pembesar suara.
Pada masa yang sama, dua lagi ADUN, Chan Meng Kai dan Keshwinder ditangkap. Kesemua mereka yang ditangkap dibawa ke balai polis Sungai Senam. Melihat pergelutan itu, Nizar bagaimanapun mengarahkan kesemua ADUN bersurai menuju ke Wisma DAP bagi mengadakan sidang media.
Pada sidang media tersebut, Sivakumar mengumumkan untuk mengadakan persidangan DUN di Hotel Herritage tengahari ini. "Kita tetap akan buat sidang DUN di Hotel Herritage jam 11.30 ini. Kita buat ditempat selain Dewan Negeri kerana keperluan," katanya. Dalam perkembangan lain, sejumlah anggota Perkida dikatakan mula berhimpun di perkarangan hotel berkenaan bagi menghalang ADUN bersidang.(AK)
Sidang DUN Perak: Penahanan Bermula Dengan NGeh & Keshvinder
BERIKUT adalah perkembangan situasi di "Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)" Perak yang didakwa oleh Pakatan Rakyat negeri itu akan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh hari ini.
10.13 pagi: ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh ditahan. Mohammad Nizar meminta wakil-wakil rakyat Pakatan supaya bersurai.
10.07 pagi: Ngeh ditahan pihak polis.
10 pagi: Polis dan wakil rakyat Pakatan berhadapan bertemu dalam jarak 100 meter di luar bangunan SUK. Berlaku jeritan dan tolak menolak. Seorang jurugambar Nanyang Siang Pau ditahan.
Perbalahan berlaku. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berarak sambil menjerit ke arak pihak polis. Ngeh mendakwa arahan mahkamah hanyalah untuk para penyokong kerana katanya Seksyen 24, Kanun Keseksaan menyatakan tidak ada wakil rakyat yang boleh dihalang daripada memasuki dewan persidangan. Ngeh juga berkata, arahan yang diterima di bawah Seksyen 98, Kanun Acara Jenayah perlu diwartakan terlebih dahulu di bawah Seksyen 90. Polis mengakui arahan itu tidak diwartakan namun terus menolak mereka supaya berundur.
9.45 pagi: Wakil rakyat Pakatan mula berarak dari ibu pejabat DAP Perak ke arah bangunan SUK.
8 pagi: Peguam Pakatan, Chan Kok Keong berada di Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah.
IPOH: Pakatan Rakyat tetap akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Pakatan telah memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan perintah Mahkamah Majistret di sini yang membenarkan pihak polis menghalang sebarang perhimpunan dalam lingkungan 30 meter dari pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, yang melibatkan Jalan Istana hingga ke sekolah Poi Lam, bermula dari pukul 1 pagi tadi hingga 11 pagi esok.
Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di beberapa lokasi strategik yang menghala ke arah bangunan berkenaan. Polis meletakkan pita kuning dalam lingkungan kawasan yang dilarang bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan bangunan SUK.
Hanya kakitangan kerajaan bangunan tersebut dibenarkan masuk. Wakil rakyat Pakatan mula berkumpul di ibu pejabat DAP yang terletak bertentangan dengan bangunan SUK pada pukul 9 pagi sebelum berarak ke bangunan itu. Begitu, sumber Mstar Online.
Sementara itu Harakah menyebutkan, kesemua jalan masuk menuju ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak SUK pagi ini di tutup bermula jam 6.30 pagi tadi menjelang persidangan DUN pagi ini. Kesemua jalan itu termasuk dua jalan utama menuju dua pintu masuk ke SUK iaitu Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan Istana.Sekatan jalan raya dibuat lebih 30 meter dari kawasan bangunan SUK di mana terletak di dalamnya Dewan Negeri yang dijangka digunakan oleh Speaker dan kesemua ADUN Pakatan Rakyat untuk bersidang hari ini. Tinjauan mendapati sekatan jalan itu bagaimanapun hanya memberi laluan kepada Ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk ke sekolah, pekerja di bangunan SUK dan mereka yang bekerja di premis dalam kawasan lingkungan sekatan.
Lebih 300 anggota polis dilihat berkawal di kedua dua pintu masuk ke bangunan tersebut termasuk yang berpakaian biasa. (AK)
Kartika, Oh Kartika!
SEPT 1 – Ramadan kali ini agak berbeza dengan sebelumnya, berbeza pada saya ialah apabila pada empat hari pertama Ramadan saya bertungkus lumus di Permatang Pasir bagi memenangkan calon kita dari Pas dan Pesuruhjaya saya yang diberi amanah menggalas tanggungjawab mempertahan satu-satunya kubu kuat Pas di Pulau Pinang.
Selalunya menjelang Ramadan saya akan mengurangkan aktiviti politik dan lebih tertumpu kepada pembinaan jiwa dan muhasabah diri bersempena dengan puasa wajib yang dilalui oleh umat Islam. Maklumlah muhasabah diri memerlukan ketenangan dari hiruk pikuk dan hingar bingar rentak politik yang kadang-kadang menjadikan jiwa yang lembut “keras”.
Semasa waktu berkempen di Permatang Pasir sembahyang Tarawih pun tergesa-gesa, tak sempat mendengar Tazkirah Ramadan apatah lagi menghayati bacaan Al Quran yang meruntun jiwa. Tetapi walaupun demikian saya tidak kesal dengan empat hari Ramadan yang berlalu dalam “pertarungan politik” di Permatang Pasir kerana saya yakin keberadaan saya dalam kancah PRK baru-baru ini adalah medan jihad, medan dakwah dan medan tarbiyah dan yang paling utama ialah medan ukhuwah yang menjadi benteng kekuatan perjuangan Islam yang saya yakini.
Dalam kesibukan di medan, saya juga tidak dapat lari dari terpandang wajah Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah mendapat liputan yang meluas di dada-dada akhbar. Model sambilan yang menarik perhatian saya bukan kerana kejelitaannya walaupun sebagai model sambilan, saya harus akui, Kartika memiliki “cut commercial” tetapi Kartika terkenal kerana sebab yang tidak ada kena mengena dengan professionnya.
Kartika terkenal kerana kesalahan beliau meminum arak di khalayak ramai dan kemudiannya ditahan oleh penguatkuasa agama Pahang di Cherating. Penonjolan wajah Kartika di media kerana kesalahan seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (1982), dan Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987).
Pada awalnya saya hanya membaca kes ini dengan tanggapan yang yang biasa kerana ini bukan pertama kali penguatkuasaan terhadap kesalahan meminum arak di khalayak ramai oleh seorang Islam berlaku. Saya sebagai seorang Muslim sudah tentu bersetuju undang-undang Islam mengikut peruntukan yang ada dikuatkuasakan, pertama meminum arak adalah haram, kedua perlakuan seorang Muslim meminum arak di khalayak ramai adalah akhlak yang keji dan memualkan serta ketiga perbuatan meminum arak dikhalayak ramai oleh seorang Muslim lelaki atau perempuan perlu diberi pengajaran kepada Muslim yang lain.
Saya melihat kes Kartika dalam perspektif yang syarie’ (undang –undang Islam) dan akhlaki (moral), tidak ada apa yang pelik dalam kes ini. Walaupun saya bersetuju bahawa hukuman sebenar kepada pesalah minum arak ialah 80 kali sebatan, tetapi saya menerima bahawa lebih baik ada dari ditiadakan hukuman ini, iaitu hanya enam sebatan sahaja!
Saya juga tidak dapat lari dari membaca tanggapan si pelaku dan tanggapan golongan “liberal” yang pasti akan “melompat” dengan berita ini dengan bertempik “tidak adil” dan “tidak kepada Polis Moral!”
Bagi si pelaku pula saya membayangkan beliau akan mempertahankan habis-habisan bahawa beliau tidak bersalah malah mungkin akan menyaman pihak penguatkuasa! Jangan salahkan saya jika tanggapan saya kepada golongan ini bersarang di kepala saya kerana asas terbentuk tanggapan ini ialah dari pengalaman lampau di Zouk, Bangsar di mana secara ringkasnya mereka mengutuk tindakan penguatkuasa agama malah si pelaku menyaman pihak berkuasa agama. Dari sinilah bermula perjuangan golongan liberal dari kalangan orang Islam yang mahukan “polis moral” dihapuskan.
Sebelum itu Allahyarham Mufti Selangor Datuk Ishak Baharom dikecam hebat kerana tindakan menahan seorang wanita Muslim berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai. Sikap Datuk Mufti Ishak Baharom mempertahankan enakmen itu membawanya kepada “pencen sebelum masanya”. Bukan setakat itu sahaja malah tindakan menahan atas peruntukan undang-undang yang ada dikecam oleh pelbagai pihak termasuklah pemimpin Umno sendiri. Hanya PAS ketika itu mempertahankan kesahihan tindakan dari sudut peruntukan enakmen yang ada.
Dengan pengalaman yang lampau dalam kes penguatkuasaan enakmen Syariah, saya terus mengandaikan kes Kartika akan mengikut rentak yang sama kerana saya tahu golongan Liberal masih “bernafsu” melihat apa sahaja yang diperuntukan dalam perlaksanaan Islam akan terus dipolemikkan bagi mencapai tujuan mereka iaitu “Piawaian Moral tidak perlu dipaksakan!”
Dalam kesempatan ini, pengalaman juga memberitahu kepada minda saya bahawa ada dari mereka yang bukan Islam akan “tumpang” sama dalam isu penguatkuasaan Islam ini kerana mereka juga sudah lama mempertikaikan kedudukan undang-undang Islam seolah-olah melebihi undang-undang sivil yang ada! Itulah perjuangan suci mereka bagi membuktikan undang-undang syariah bukanlah yang supreme di negara ini.
Namun di sebalik semua bacaan tadi bersandarkan pengalaman lalu, Kartika sebagai pelaku menunjukkan reaksi yang sangat berbeza. Berlainan dengan pelaku-pelaku sebelum ini Kartika memilih untuk menghormati undang-undang syari’ah yang ada malah begitu bersungguh-sungguh meminta supaya hukuman ini dilaksanakan ke atasnya. Dia redha dan pasrah dalam kata-katanya"saya telah menconteng arang di wajah keluarga saya, saya menerima hukuman sebatan ini sebagai menebus maruah dan menjadi pengajaran kepada orang Islam lain supaya tidak melakukan perkara keji ini, saya benar-benar insaf".
Subhanallah, ini umpama kata-kata mutiara yang bersinaran dalam selerakan kaca-kaca yang tidak pernah melihat keindahan syariat atau sekurang-kurang mengiktirafi enakmen undang-undang Islam yang masih ada. Dalam kesibukan pengamal undang-undang dan golongan liberal berbahas tentang kesahihan hukuman ini, Kartika pula bersiap sedia untuk menerima hukuman dengan dada yang lapang dan redha, malah sudah bergegas ke penjara untuk menanti hukuman enam kali sebatan.
Ketika diberitahu hukumannya terpaksa ditangguhkan atas sebab Ramadan (walaupun hakikatnya ialah soal teknikal dan konflik undang-undang), Kartika membuat laporan polis atas penangguhan ini kerana tidak mahu difahami oleh sesetengah pihak sebagai cuba lari dari dikenakan hukuman. Satu lagi tindakan Kartika umpama bintang yang berkelipan dalam kegelapan cahaya di mana hukuman undang-undang syariah selalu diperlekehkan dan dipersendakan.
Bagi saya kesungguhan Kartika dengan dorongan yang kuat oleh ayahnya adalah satu petunjuk kepada mulianya undang-undang syariah dimana ia dihormati disanjung dan berjaya membawa kesedaran tentang kejijikan “air setan” itu. Bukankah Kartika menjadi model keinsafan hasil “belaian” dan berkahnya undang-undang syariah?
Kalau bertanya kepada saya setakat model sambilan yang menjadi kerjaya Kartika tidaklah sehebat model keinsafan yang diraihnya kerana pengajaran dari undang-undang syariah yang diterimanya. Saya tidak mengenali Kartika namun jauh di sudut hati saya, saya dapat merasai keikhlasan dan ketulusan jiwa Kartika menerima kesalahanya yang dilakukan dengan penuh ketundukan kepada undang-undang syariah. Kartika memang wanita yang cekal dalam suasana pesalah syariah mengejek dan merendahkan undang-undang Islam. Biarlah saya memberi jaminan kepada Kartika bahawa sikapnya ini adalah contoh yang mulia yang layak mendapat petunjuk daripada Allah, Insyaallah.
Lain halnya dengan penonton yang melihat kes Kartika, mereka lebih sudu dari kuah, tidak ketinggalan menteri wanita yang melihat hukuman sebatan sebagai zalim. Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir tidak ketinggalan memberi pandangan dengan menganggap hukuman sebat adalah tidak bertamadun.
Saya pelik, banyak kes sebelum ini kalau pun bukan kesalahan jenayah telah menggunakan sebatan mengapa tiada siapa yang menganggapnya sebagai tidak bertamadun? Apabila adanya hukuman sebatan jenayah syari’ah bergegarlah “satu Malaysia” mengutuk hukuman sebatan 6 rotan kerana kesalahan jenayah syaria’ah.
PM “Satu Malaysia” kata komuniti antarabangsa sedang memerhatikan kita..saya tidak faham apa maksud PM, adakah ia isyarat jangan laksanakan hukuman syari’at kerana dunia tidak suka atau apa maksudnya? Kerana Kartika usaha untuk menghapuskan hukuman sebatan tercetus semula!
Apakah yang menjadi terlalu kontroversi kepada hukuman sebatan ini sehingga semua pihak tiba-tiba berminat? Saya perlu membuat penjelasan , khusus kepada pembaca yang menganggap saya terlalu obsess dengan hukuman sebatan ini ataupun mereka menganggap saya yang banyak bercakap tentang kepelbagaian tiba-tiba menjadi taksob kepada perlaksanaan syari’ah kerana bagi pihak tertentu memilih syari’ah itu adalah eksklusif dan tidak sesuai di Malaysia. Izinkan saya menjelaskan.
Pertama: Undang-undang syari’ah di Malaysia diiktiraf dan wujud sejak sekian lama dan instituisi undang-undang syari’ah melalui berbagai perkembangan. Memandangkan Islam sebagai agama resmi persekutuan sewajarnya undang-undang syari’ah dihormati dan disanjungi sebagai identiti rakyat Malaysia, ini juga adalah kerana Raja-raja Melayu pelindung syaria’t.
Kedua: Undang-undang syari’ah di Malaysia adalah di bawah kuasa Kerajaan negeri dan kuasa itu diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah senarai negeri-negeri. Setiap warganegara harus menghormati peruntukan syari’at ini.
Ketiga: Undang-undang syari’at hanya dipakai untuk orang Islam, jadi yang bukan Islam tidak harus berasa mereka dipaksa, mereka hanya dituntut untuk menghormatinya sebagai undang-undang yang berdaulat dan berwibawa.
Namun apa yang diterima sebagai hukuman jenayah syari’at di Malaysia tidaklah lengkap, kita hanya melaksanakan sebahagian daripada syariat dan bukan sepenuhnya, tetapi saya dapat menerima kaedah Islam yang mengajar saya “apa yang tidak dapat dilaksanakan semuanya maka sebahagian yang ada jangan ditinggalkan”.
Tetapi apa yang saya kesal ialah dalam suasana tidak lengkap itu, institusi syari’at masih ketinggalan hasil dari sikap acuh tak acuh Kerajaan yang tidak ada kekuatan politik untuk memastikan undang-undang syariat diperkasakan, walaupun undang-undang syariat diiktirafi oleh perlembagaan persekutuan. Antaranya ialah tiada peruntukan tahanan di bawah mahkamah syari’at, tiada penyebat yang menyebat dengan cara sebatan syari’at yang jauh berbeza dan lebih bersifat rahmah dari sebatan sivil. Sebab itu tidak heranlah dalam kes denda sebatan hanya beberapa kes sahaja yang dapat dilaksanakan, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengakui bahawa aspek perlaksanaan denda syaria’t termasuk sebatan mempunyai berbagai kekurangan.
Saya memuji Kartika bukan sahaja kecekalan Kartika mentaati perintah syari’at tetapi dengan ketegasannya untuk dikenakan hukuman syariat ke atasnya, Kartika telah mendedahkan kelemahan institusi perlaksanaan syariat. Orang ramai pula menyamakan sebatan sama dengan sebatan sivil, memang tidak dapat disalahkan tanggapan mereka termasuklah tanggapan Tun Dr Mahathir kerana Kerajaan tidak menyediakan peruntukan sebatan cara syariat yang syaratnya ketat supaya tidak mencederakan , ia lebih kepada mengajar daripada mendera, bukan seperti sebatan sivil yang dengan sekali sebatan cukup mensoyakkan kulit si pelaku! Bukankah dah tiba masanya institusi undang-undang syariah di Malaysia diperkasakan?
Dalam menjawab persoalan itu semua, tidak terbayang oleh rakyat Malaysia bahawa Kartikalah yang telah menyedarkan kita tentang perlunya semua ini, memang ajaib, seorang model sambilan yang telah melakukan kesalahan syari’at membuka jalan kepada perlaksanaan syariah yang lebih berkesan, ini semua kerana berkat Kartika mentaati perintah Allah dan Rasulnya. Sesungguhnya bulan Ramadan membawa kebaikan kepada umat ini dan ketika rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan ke 52, Kartika seoalah-olah bertanya kepada kita merdekakah undang-undang syari’at di Malaysia? (Diangkat dari Malaysian Insider/AK)
Pelempar Kasut Ke Kepala Bush Bebas 14 Sept. Ini.
Al-Zeidi, 30, sangat benci dengan Bush yang telah membuat negaranya menjadi kacau-bilau. Bush adalah orang yang berada di belakang serangan AS terhadap Iraq pada tahun 2003. Ketika Bush akhir tahun lalu sedang berpidato, ia dibaling kasut oleh Zeidi. Akhirnya Zeidi diperosok ke penjara. Setelah setengah tahun lebih dipenjara, Zeidi yang dianggap pahlawan oleh masyarakat Arab, bukan hanya Iraq, sudah mendapat kepastian dibebaskan bulan depan se bagai imbalan atas perilaku baiknya selama di penjara.
“Peristiwa baling itu adalah perpisahan yang layak untuk Bush kerana perbuatannya di Iraq,” kata Dhaffir Al-Ani, seorang pelaksana undang-undang memberi komen mengenai pembebasan Zeidi. “Tindakan Zeidi adalah hasrat sebenar dari rakyat Iraq. Kemarahan terhadap Bush merupakan penderitaan dari seluruh rakyat.”
Zaidi sendiri sudah merengkok di penjara sejak 14 Desember 2008. Walaupun sebenarnya dihukum 13 tahun penjara, namun mahkamah menguranginya, menjadi satu tahun sahaja dengan pertimbangan beliau tidak mempunyai latar belakang jenayah sebelumnya. Zaidi akan dibebaskan pada 14 September, 3 bulan lebih cepat.
“Pembebasannya merupakan kemenangan dan penghargaan terhadap media Iraq.” Komen Karim Al-Shujairi, yang menghakiminya. (AK)Artikel berkaitan..
Ben Ries, Walau Bukan Islam Tapi Ikut Puasa Ramadzan.
"Puasa meningkatkan prihatin kita tentang masalah kelaparan di dunia," ujar Ries pada Bellingham Herald edisi Isnin (31/8). Beliau juga mengatakan, bahawa berpuasa membantunya bukan hanya untuk menjadi seorang Kristian yang lebih baik, tetapi juga sebagai seorang ahli gereja, suami, ayah dan sebahagian dari umat beragama.
"Salah satu perenungan saya adalah pertanyaan siapa saya di dunia ini?" kata Ries yang baru dua tahun lalu menjadi paderi di sebuah gereja kecil di Bellingham.
Dalam menjalankan puasa Ramadzan, beliau juga melaksanakan 'makan sahur' seperti umat Islam lainnya. Meski beliau mengaku agak susah hendak makan di waktu sahur kerana beliau bukan termasuk orang yang biasa sarapan pagi dengan makanan berat. (AK)
Pakai Tudung, Walaupun Tidak Islam -Spencer Wall