Wednesday, September 16, 2009

Tips Hari Raya I: Berita Gembira Kepada Penyimpan Emas..

APAKAH tips hari raya tahun ini? Seoarang pelayar blog ini bertanya. Jawab Blog Ibnu Hasyim, kami ingin memberi khabar gembira kepada mereka. Mereka itu siapa? Mereka adalah orang-orang yang menyimpan emas dan perak, atau barangan berharga. Atau kalau sekarang, mereka yang menyimpan kenderaan mahal lebih dari keperluan sepatutnya, hartanah lebih dari yang diduduki dan segala macam..

Tetapi pemegang harta itu kedekut, tidak menginfaknya di jalan Allah, contohnya rumah-rumah lebih dari keperluan itu, dibayar tak zakat hartanya? Kerana di dalam hartanya itu ada harta orang miskin, ada harta keperluan jihad, musafir, muallaf atau lapan jenis manusia yang haknya ada dalam harta itu. Adalah lebih baik dinyatakan di mana mereka buat bayaran zakat. Kalau pemimpin-pemimpin, raja-raja, koperat atau konglomerat lagi baik diumumkan, supaya rakyat tambah gembira turut merahmati dan menyintai mereka.

Apa khabar gembira itu? Berilah khabar gembira kepada mereka dengan 'azab siksaan yang pedih'. Iaitu hari di mana 'emas & perak' itu dipanaskan dalam neraka Jahannam, lalu ditenyeh ke dahi, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka... "Ni. Rasalah kerana harta yang kamu simpan itu!!" dikatakan kepada mereka.

Seperti firman Allah SWT...

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ، يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا
جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ“



"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab pedih, iaitu hari di mana emas dan perak itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka, dan dikatakan kepada mereka: ‘Inilah harta benda yang kamu simpan untuk diri kamu, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’”. (at-Taubah: 34-35).Juga sabda Rasulullah SAW..

Sabda Rasulullah SAW...

;من آتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له ماله يوم القيامة شجاعا أقرع له زبيبتان يطوقه

يوم القيامة ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول: أنا مالك أنا كنزك

"Siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun tidak ditunaikan zakatnya, akan dijadikan harta itu untuknya pada hari kiamat sebagai seekor ular yang licin/botak kepalanya dan mempunyai dua taring. Ular itu akan membelit lehernya, kemudian menggigit kedua rahangnya serta berkata; “Akulah harta kamu. Akulah harta yang kamu simpan”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah RA)

Rupanya kalau tak bayar zakat, harta itu menjadi ular ganas berkepala licinbotak yang akan mengerjakannya balik di hari akhirat. Seperti kata ulama, "ular tersebut licin kepala kerana terlalu kuat bisanya. Ia adalah ular yang paling ganas dan amat menakutkan".

Jadi, apa hukum keluarkan zakat?

Mengeluarkan zakat adalah wajib berdasarkan dalil al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Mengabaikan zakat adalah dosa besar. Mengingkari kewajipannya akan menyebabkan seseorang Muslim itu murtad dari agama. Dalam Al-Quran, kalimah zakat diulang sebanyak 30 kali oleh Allah SWT. 27 kali darinya disebut di samping sholat (sembahyang) dalam ayat yang sama.

Antara ayatnya ial
ah...

“Dan dirikanlah solat serta tunaikan zakat. Apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, pasti kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah; 110).

Juga hadis Nabi SAW...


عن ابن عمر رضي اللّه عنهما قال: قالَ رسولُ اللّه صلى اللّه عليه وسلم: “بُنِيَ الإِسْلامُ على خَمْسٍ: شَهادَةِ أن لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ، وَإقامِ الصَّلاةِ، وَإيتاءِ الزَّكاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ” رويناه في صحيحيهما.


Dari Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Di bina Islam di atas lima rukun;1. Penyaksian bahawa “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah”.
2. Mendirikan solat.

3. Mengeluarkan zakat.
4. Mengerjakan haji.5. Berpuasa di bulan Ramadhan.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).


Zakat mula ditetapkan dan difardhukan pada tahun ke dua Hijrah, iaitu sebelum difardhukan puasa. Sekian, Allahu 'aklam.

Selamat Hari Raya, dari Ibnu Hasyim.

Rumah Putih Sepatutnya Dibebaskan -Osama Laden.

Pita video sepanjang 11 minit itu disiarkan dua hari selepas Amerika memperingati serangan 11 September

WASHINGTON Sept 2009: Pemimpin Al- Qaeda, Osama bin Laden, memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, bahawa beliau 'tidak berupaya' menghentikan peperangan di Afghanistan dan Iraq, serta perlu memikir semula dasar beliau mengenai Israel.

Pesanan pertama Osama dalam tempoh tiga bulan itu, yang disiarkan dua hari selepas Amerika memperingati serangan 11 September, menuduh puak 'neo-konservatif' masih menguasai Rumah Putih. Pita video sepanjang 11 minit itu disiarkan As-Sahab Ahad lalu memaparkan gambar diam Osama diiringi pita audio yang judulnya bermaksud 'Pesanan buat Rakyat Amerika', kata badan pemantau pengganasan, IntelCenter.

Menurut Osama, Al-Qaeda melancar serangan 11 September disebabkan 'ketidakadilan yang dilakukan Amerika' termasuk sokongan membabi buta terhadap Israel. 'Punca pertikaian kami dengan anda ialah sokongan anda terhadap Israel, yang menduduki tanah kami di Palestin,' kata Osama.

Menurutnya, peperangan di Iraq dan Afghanistan didorong kumpulan pelobi pro-Israel di Rumah Putih dan kepentingan korporat, bukan oleh kumpulan tegar Islam. 'Jika anda fikirkan masak-masak, anda akan tahu bahawa Rumah Putih diduduki kumpulan pendesak,' kata Osama.

'Daripada berperang untuk membebaskan Iraq - seperti yang didakwa (mantan presiden) Bush - Rumah Putih yang sepatutnya dibebaskan,' kata Osama.

Jika rakyat Amerika mahu menamatkan konfrontasi dengan Al-Qaeda, mereka mesti menimbang semula sikap mereka terhadap Israel dan hentikan peperangan di Afghanistan. 'Jika anda hentikan peperangan, itu bagus. Jika tidak, kami tak ada pilihan melainkan meneruskan peperangan di semua medan,' tegas Osama. (AP, AFP, Reuters)

Negara Hutang RM93B Tahun Ini Saja -Datuk Husam Musa.

Gambar: Seorang penduduk Cina turut menerima sumbangan hari Raya daripada Husam Musa

NEGARA terpaksa berhutang RM93 bilion, tidak ada sebab untuk rakyat mengundi Barisan Nasional di Bagan Pinang, kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

Husam berkata, tahun ini sahaja negara telah berhutang sebanyak RM93 bilion dalam bentuk jualan bon. Ia merupakan satu jumlah yang sangat menakutkan sehingga boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi negara. Oleh itu kata beliau, berdasar kepada perkembangan itu tidak ada sebab rakyat untuk menyokong calon BN di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

(Baca juga: Rakyat akan tolak parti bodoh sombong – Dr M)

“Kalau kita mengatur strategi yang tepat kita ada peluang untuk menang biar kawasan itu mempunyai lebih 4,500 undi pos.. BN kini sudah tidak mampu lagi memimpin negara ini. Rakyat harus menyedarkan BN dengan memberikan undi alternatif kepada pihak lain,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun sudah lebih lima bulan berada di puncak kuasa, namun pemulihan kedaulatan undang-undang masih belum berlaku. Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan berkata, perdana menteri masih lagi membisu terhadap banyak kes membabitkan pencabulan undang-undang negara.

“Kalau kita lihat dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Teo Beng Hock sehingga membawa kepada kematiannya.. Seorang pemuda India pula mendakwa diseksa semasa penyiasatan SPRM. Semuanya itu tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri.. Ini menunjukkan tidak ada pemulihan dari segi perjalanan kedaulatan undang-undang dalam negara kita. Manakala dari segi ekonomi, negara semakin parah,” katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri di Masjid Kamil Hassan, Salor dekat sini.

Pada majlis tersebut, sumbangan lebih RM100,000 disampaikan kepada golongan armalah, anak yatim, fakir miskin dan orang tua di Dun Salor. Penerima sumbangan termasuk juga penduduk bukan Islam. Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh. (Pelbagai sumber/AK)

Melayu Sri Lanka, Mabole Malay Association... Gambar..

Malay Keris
Kandy Gallery - Colombo National Museum


AGM April 5th 2008
Malay Rally at Ceylon Malay Cricket Club 17 August 2008

Seated R-L: Tuan Mahamoor Rajudin, Sec Gen-SLAMAC Dr. Mahathir, Malaysian High Commisioner HE Nazirah Bte Hussain, T K Azoor, Sagara Amit, Co-Presidents-SLAMAC, Taslim Rahman, Asst Sec Gen-SLAMAC Standing 2nd row 3rd from R-L - Sabir Sariffo’deen, President, Mabole Malay Assn with wife Minoll 2nd from right (Pic courtesy Aalul Mahifil Union)

Noracchole Madrasa Project Wamy's Bayan on 10th August 2008 At the Lailatul qadr program at Thaj Girsy's residenceTrip to Lagon Paradise Pamunugama

At Horogolla National park

DAP Melayu, Bukan Ancaman -Nik Aziz.


Sinar Harian: Melayu sertai DAP bukan ancaman.

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bimbang dengan langkah DAP Selangor yang membuka keahlian kepada orang Islam yang turut disokong oleh Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Beliau berkata, langkah itu bukanlah satu ancaman bagi Pas kerana DAP dan parti itu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung dalam satu pakatan.

“Dia (DAP) nak buka tu buka la. Orang nak terima itu dia punya fasal. Kalau nak sebut masalah ancaman tu biar dulu kerana DAP, Pas, PKR sedang bergabung dalam satu pakatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan :Majlis Pelancaran Kutipan Wakaf/Dera Tapa Masjid Al-Hussain bandar Baru Tunjung dekat sini, semalam.

:Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Penubuhan cawangan Melayu pertama parti DAP di Selangor.

:Kelmarin akhbar melaporkan Dr Hassan menyifatkan penubuhan itu sebagai satu fenomena biasa bagi Pas.

Dr Hassan dilaporkan berkata, kemasukan bangsa Melayu dalam DAP juga dilihat ada kebaikannya untuk jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata ia adalah hak individu dan tidak boleh dihalang.

“DAP juga parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan mungkin kemasukan Melayu ke dalam parti itu ada kebaikan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, biarpun ia cawangan pertama DAP yang dianggotai oleh majoriti kaum Melayu namun ia tidak menggambarkan Pas dan PKR tidak mampu menarik Melayu ke dalam parti komponen berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Nik Abdul Aziz berkata, beliau berharap pengundi akan terus menyokong calon Pakatan Rakyat yang dicalonkan untuk bertanding kerusi tersebut.

“Saya berdoa mudah-mudahan pengundi di Bagan Pinang kalau calon Pas undi Pas, PKR undi PKR. Kita ikut calon terdahulu,” katanya. (Sinar Harian/AK)

Lanjutnya sila lihat..

Tuesday, September 15, 2009

5 Tahanan ISA Jemaah Islamiah M'sia Dibebaskan.

Datuk Seri Hishammuddin



PUTRAJAYA: Lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia, dibebaskan petang ini setelah dianggap tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mereka ialah Abdullah Daud, Mat Sah Mohd Satray, Ahmad Kamil Md Hanapiah, Mohd Nasir Ismail@Hassan dan Muhammad Amir Md Hanapiah.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA terdiri empat rakyat Malaysia dan masingmasing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing. Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang," katanya kepada pemberita.

Hishammuddin berkata pembebasan kesemua tahanan itu adalah kerana mereka telah menunjukkan respon pemulihan positif sepanjang tempoh pemulihan dan tidak lagi dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan Isa manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakilwakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie dan Muslim mengenai pindaan ISA.

"Mereka ingin melihat usaha menambah baik mekanisme supaya akta ini tidak disalah guna atau dilihat sebagai mungkin boleh disalah guna," katanya.

Beliau berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin. BERNAMA

Michael Learns to Rock: Pertemukan PAS-SIS?

HALAMAN HIBURAN
Gambar:Dari kiri ke kanan: Penulis artikel Shanon Shah, moderator Fathi Aris Omar, dan ketua Pemuda PAS Nasrudin (Gambar oleh Chris Chong Chan Fui)

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, Datuk Zaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.

Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun.

Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka, bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Pendirian PAS

Kemudian, pihak Nasrudin dan pemuda PAS yang lain pula memberikan hujah mereka. PAS tidak anti-kesenian. PAS bukan anti-muzik, malah bukan anti-konsert. PAS hanya menentang bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan, dan yang menggalakkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada pelbagai jenis kemudaratan yang lain.

"Saya faham pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam," saya membalas. "Tetapi kenapa PAS tidak terangkan saja kepada masyarakat umum pendirian seperti ini? Bukankah itu dakwah PAS? Kenapa respons pertama daripada PAS selalunya menjurus kepada mengharamkan sesuatu yang PAS tidak suka?"

Panjang lebar juga jawapan yang diberikan oleh pihak pemuda PAS, tetapi akhirnya naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, tersenyum dan berkata, "Kami pun sentiasa mengalami evolusi dalaman. Kami pun sedang berusaha."

Banyak juga soalan kritikal yang ditujukan kepada PAS oleh mereka yang hadir. Contohnya, insan atau institusi mana yang berkuasa untuk menentukan apa itu "bermoral" dan apa itu "tidak bermoral"? Bukankah pihak berkuasa Islam juga pernah menggunakan alasan "moral" untuk mematahkan sentimen yang mengkritik kerajaan? Apakah PAS tidak mampu bertolak-ansur?

Di sini saya sendiri telah memetik pengalaman Yusuf Islam, yang pernah membuat persembahan dalam konsert HIV/AIDS di Afrika Selatan. Para penghibur lain di konsert tersebut banyak juga mempromosi pendekatan "sekular" untuk menangani HIV/AIDS, tetapi Yusuf Islam tetap berkongsi pentas dengan mereka.

Tetapi sekali lagi saya ingin tekankan keindahan dan keikhlasan dalam dialog antara saya dan Nasrudin. Sepertimana difirmankan Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Nasrudin dan saya memang berbahas dengan baik dan manis.

Erti dialog

Tetapi "berdialog" bukannya bererti "tumbang dan setuju seratus-peratus dengan pihak lain". Apabila mengakhiri sumbangan saya terhadap dialog tersebut, saya menekankan lagi sekali bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PAS. Saya bersetuju dengan hak PAS untuk bersuara dan berdakwah, dan juga menghormati hujah-hujah yang dikemukakan.

Saya berikan analogi ini kepada pihak Pemuda PAS. Sekarang ini pihak Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis hak asasi banyak mengecam akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi mungkin satu hari kelak, PAS akan mendapat mandat untuk memerintah negara ini dan akan meluluskan undang-undang hudud.

Apakah PAS akan membenarkan bantahan terhadap undang-undang hudud oleh pihak pembangkang, artis, wartawan dan aktivis? Apakah PAS akan akur jika sebilangan besar rakyat tidak mahukan undang-undang hudud?

Menurut Nasrudin, sudah tentu PAS akan mendengar suara rakyat. Katanya lagi, "Kami berpegang kepada prinsip yang didukung oleh khulafa ar-rashidun. Kalau kami betul, sokonglah kami. Kalau kami salah, perbetulkanlah kami."

Bagi saya, jawapan ini masih perlu dilihat dalam konteks sosio-politik tanahair secara keseluruhan. Sejak 8 Mac 2008, kredibiliti BN semakin merosot, dan pada masa yang sama saham PR semakin naik. Malah, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam pun sudah sanggup mengundi PAS demi menjatuhkan kerajaan BN.

Dan tidak dapat dinafikan, kerajaan BN juga menggunakan pelbagai taktik kotor dan ganas untuk kekal berkuasa, lihatlah saja rampasan kuasa di Perak, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata terhadap demonstrasi anti-ISA, dan sebagainya.

Dalam situasi kini, PAS dan rakan-rakan PRnya sudah nyaris-nyaris menawan puncak kuasa. Dan dalam keadaan seperti ini, memang mudah untuk mana-mana pemimpin politik dari kalangan mereka membuat pelbagai janji manis. Akan tetapi, kita juga perlu menumpukan perhatian kepada pendirian lain yang dibawa oleh parti komponen PR.

Dalam kes PAS, kita perlu mengkaji pelbagai kenyataan para pemimpinnya tentang isu hukuman sebat, pelaksanaan undang-undang hudud, isu pertukaran agama kanak-kanak, pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran Islam PAS, dan juga mazhab minoriti seperti golongan Ahmadiyah. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu ini konsisten dengan sistem demokrasi dan masyarakat madani yang ideal?

Kesanggupan kita untuk berdialog bukannya bererti kita berhenti bersifat kritikal antara satu sama lain. Selagi kita bersikap kritikal, selagi itulah masyarakat kita akan menikmati satu sistem semak dan imbang yang kukuh dan berprinsip. Dan selagi itulah kita akan dapat mencari jalan penyelesaian yang benar-benar menghormati perasaan dan pendirian semua pihak yang terlibat.

Oleh itu, amatlah penting jika PAS terus menyuarakan pendiriannya tentang pelbagai isu, dan berikhtiar untuk menyebarkan ideologinya di kalangan umum. Sumbangan PAS terhadap perkembangan demokrasi tanahair kita sangatlah besar. Akan tetapi, kita yang lain pun perlu menyuarakan pendirian kita dan menyumbang kepada perbincangan umum tentang pelbagai isu kemasyarakatan.

Kesimpulannya, kita masing-masing mengidamkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Pada penghujung dialog saya dengan Nasrudin, kami saling berpeluk dan bersalaman. Saya dapat merasakan keikhlasannya dan saya pasti dia juga dapat merasakan keikhlasan saya. Hakikatnya kami tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Begitulah tulisan 'Muzik: Berdialog dengan Pemuda PAS' tulisan Shanon Shah keluaran Harakah Daily.Net hari ini.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Cuba anda teliti keseluruhan tulisan tersebut, apakah sikap Dewan Pemuda PAS terhadap SIS? Sudah iktiraf atau dakwah?

Tulisan ini ada kaitan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails