Tuesday, January 05, 2010

Peguam Negara: Petra Didakwa Guna Pasport Palsu?

Petra didakwa jika guna pasport palsu.

EDITOR laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin mungkin didakwa menggunakan sebuah pasport asing untuk meninggalkan negara ini sekiranya ada laporan terhadapnya, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan jika ada laporan seperti itu.

Beliau diminta mengulas kemungkinan penulis blog itu didakwa jika didapati menggunakan pasport asing untuk melarikan diri tahun lepas selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

"Kami perlu menimbang (mendakwa Raja Petra) jika ada laporan terhadapnya dan siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat," katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Abdul Gani berkata perkara penting kini ialah untuk mendapatkan Raja Petra terlebih dahulu sebelum mendakwanya semula.

"Anda tidak semudah mendakwa seseorang apabila anda tidak mendapatkannya. Apabila hanya sudah pasti mendapatkan orang itu, maka anda boleh teruskan.

"Oleh kerana mahkamah membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra, dia boleh didakwa semula atas tuduhan sama apabila dia kembali ke negara ini," katanya.

Katanya, kerajaan masih dalam proses mengenal pasti lokasi Raja Petra dan sebaik sahaja dikesan permohonan sewajar perlu dibuat mengikut undang-undang negara berkenaan untuk membawa semula dia ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan.

Raja Petra didakwa menggunakan pasport sebuah negara jiran untuk melarikan diri ke Britain dan pihak berkuasa imigresen Malaysia telah mengesahkan tiada rekod menunjukkan dia telah melalui pemeriksaan di pintu keluar negara.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Dia didakwa menerbitkan artikel bertajuk 'Let's Send the Altantuya Murderers to Hell' dalam blog Malaysia Today bertarikh 25 April, 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 18 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 11 dan 13 Nov lepas membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak polis gagal menyampaikan waran tangkap kepadanya.

- Bernama

Pendirian Rasmi PAS, Bukan Islam Guna Nama 'Allah'

Oleh Hj Abdul Hadi Awang. Presiden PAS


"PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam."

Kenyataan Rasmi
Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang
Jan 04, 10.

Pendirian PAS ini dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi, Jan 04 2010.

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini. Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut. Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

(AK)

P/Hiburan Cabar Kerajaan Dg Wanita Tak Pakai Coli.

Sebahagian pegawai perhubungan pelanggan warga Vietnam yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

GRO Vietnam tanpa coli ditahan

Lebih mengejutkan, pusat hiburan terbabit pernah diserbu oleh sepasukan polis Bukit Aman, 13 Disember lalu. Dalam serbuan itu seramai 41 GRO ditahan. Namun kali ini, pusat itu bergerak lebih berani apabila beroperasi dengan GRO-GRO yang tidak memakai coli.

Bagaimanapun kegiatan pusat hiburan itu tidak bertahan lama apabila diserbu lagi sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi. Dalam serbuan itu, seramai 31 GRO wanita warga Vietnam serta seorang pengurusnya berjaya ditahan. Seramai 13 pelanggan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi.

Pengurus terbabit bakal berdepan dengan tindakan di bawah Akta Imigresen kerana membenarkan warga asing bekerja tanpa permit. Kesemua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut. Operasi yang dijalankan Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) IPK Kuala Lumpur itu tamat pukul 11.30 malam.

Pegawai Turusnya, Deputi Supritendan Razali Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan.

Sementara itu di KL, Bernama pula melaporkan 5 premis hiburan di sekitar Jalan P.Ramlee di sini ditutup kerana melanggar peraturan dengan menguatkan muzik sehingga mengganggu ketenteraman awam, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Katanya, lesen mereka dibatalkan ekoran aduan orang ramai bahawa kelima-lima premis hiburan itu menggunakan muzik yang kuat dengan meletakkan pembesar suara di hadapan premis masing-masing. Menurut beliau, pembatalan lesen premis hiburan berkenaan berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.

"Bukan sekali dua kita bagi amaran minta kurangkan bising, tapi banyak kali. Jadi bila kita tengok tak ada perubahan dan mereka masih berdegil, tindakan inilah yang kita ambil.

"Banyak aduan yang kita terima daripada penduduk yang tinggal berdekatan premis berkenaan termasuk penginap hotel-hotel berhampiran," katanya.

Ahmad Fuad menjelaskan bahawa hanya lesen hiburan premis berkenaan dibatalkan tetapi tidak bagi lesen perniagaan mereka.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Nampaknya pusat-pusat hiburan terus berani mencabar kerajaan BN. Kerajaan BN sudah tidak mampu perintah negara, eloklah menteri-menteri berkaitan letak jawatan. Begitu juga PMnya..

Ada Kaitan..

Monday, January 04, 2010

Bukan Islam Guna Perkataan Allah, Apa Pandangan PAS?


Jan 4, 10. KL: Sebanyak 13 badan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat laporan polis kerana membantah tindakan majalah Herald The Catholic Weekly, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya. Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Kesemua NGO tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman membuat 10 laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 3 petang.

Sementara PAS pula telah mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, YDP PAS Shah Alam itu juga seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan ahli dan juga masyarakat. Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbedaan pandangan secara terbuka antara Khalid dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS beranggapan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid, Tuan Ibrahim berkata: “Saya fikir tak perlulah sampai nak ambil tindakan disiplin terhadap beliau.. Kita dalam PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka apabila mengeluarkan pandangan, tapi dalam hal ini beliau bercakap mengikut pandangannya berdasarkan hukum ciptaan iaitu tuhan kepada semua manusia ialah Allah.”

Mengulas sama ada tindakan Khalid itu akan menjatuhkan imej PAS kerana masyarakat melihat wujudnya perselisihan pandangan di kalangan pemimpin parti itu terutamanya dalam isu-isu sensitif, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya tidak menyekat kebebasan bersuara.

“Kita tak sekat ahli-ahli PAS yang ramai ini untuk memberi pandangan, tapi pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan.

“Kenyataan mereka ini kita anggap sebagai kenyataan rasmi parti,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

“PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu,” katanya. (Sumber mStar online dll./2MA)

Ada kaitan...

2..Tunjukkan Nas & Dalil, Bukan Islam Tidak Boleh Guna Nama Allah ...
3..Agnes Monica: Sebab Allah Yesusku Mengerti, Bukan Itu ...
4.."PAS Dukung Umat Katolik Gunakan Nama 'Allah'"
5..Mahkamah: Bukan Islam Boleh Guna Nama 'Allah'
6..Bantah Guna Kalimah Allah, Jangan Nyalakan Api Aga...

Solat Jumaat: Patut Jadi Contoh Hotel-hotel Lain.


Solat Jumaat di hotel itu.

Jan, 10, Ampang: JARANG kita mendengar mengenai hotel yang menyediakan surau kepada pelanggan dan juga penduduk setempat untuk menunaikan solat Jumaat. Namun, apa yang ditampilkan oleh Surau Nurul Hikmah di Hotel De Palma Ampang, Jalan Ampang, Selangor sedikit berbeza.

Di sebalik hotel yang sering dilabelkan dengan pelbagai perkara negatif hotel ini tampil dengan elemen syiar Islam iaitu menyediakan surau taraf solat Jumaat kepada pelanggan hotel dan juga kariah berhampiran.

Pengerusi Surau Nurul Hikmah dan juga Pengurus Besar Kumpulan De Palma Hotel, Datuk Mohd. Ilyas Zainol Abidin, 57, memberitahu, beliau cuba membawa kelainan pada De Palma Hotel dengan hotel yang lain.

"Lagipun saya sudah berpengalaman selama 30 tahun dalam industri ini dan umur semakin lanjut. Mungkin ini merupakan salah satu cara saya berdakwah.

"Malah sambutan yang diberikan orang ramai cukup baik dengan 20 peratus jemaah terdiri daripada tetamui hotel sendiri," katanya sambil tersenyum.

De Palma Ampang merupakan hotel pertama di negara ini yang mempunyai surau untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

"Kami mendapat keizinan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjadikan Surau Nurul Hikmah sebagai surau untuk solat Jumaat pada 10 Oktober 2008.

"Kami mempunyai empat orang imam yang mempunyai tauliah daripada JAIS selain surau itu dapat menampung sehingga 1,400 jemaah pada satu masa," katanya yakin.

Bicaranya lagi, pihaknya turut menjemput penceramah luar selain mengadakan bacaan hadis selepas solat Subuh, kuliah agama selepas Zuhur dan aktiviti solat sunat hari raya serta melaksanakan ibadat korban dan tahlil.

"Keempat-empat imam bertugas Surau Nurul Hikmah juga mempunyai tauliah untuk menjadi jurunikah selain membaca khutbah Jumaat.

"Malah mereka akan bergilir-gilir menjadi imam solat berjemaah pada waktu solat yang lain yang menjadikan surau ini tiada bezanya dengan surau di luar," katanya lagi. (Sumber Kosmos!/2MA)

AS/UK Tutup Kedutaan, Takut Al Qaeda Yaman.



GAMBAR fail menunjukkan seorang askar mengawal Kedutaan Amerika Syarikat di Sana'a, Yemen pada 18 September 2008

SAN'A - Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Britain bertindak menutup kedutaan masing-masing di Yemen berikutan ancaman daripada sebuah sayap kumpulan Al-Qaeda yang terlibat dalam kejadian warga Nigeria yang mahu meletupkan sebuah pesawat AS pada 25 Disember lalu.

Di London, seorang jurucakap Pejabat Luar Britain memberitahu, kedutaan negara itu di Yemen ditutup semalam atas sebab-sebab keselamatan.

Beliau berkata, sama ada pejabat kedutaan tersebut akan dibuka semula akan ditentukan pada hari ini.

Konfrontasi dengan sayap kumpulan Al-Qaeda itu menjadi isu genting selepas pemuda Nigeria berusia 23 tahun, Umar Farouk Abdulmutallab membuat pendedahan kepada penyiasat-penyiasat AS.

Menurut Umar, dia menerima latihan dan arahan daripada anggota-anggota sayap Al-Qaeda di Yemen.

Kumpulan itu dikenali dengan nama Al-Qaeda di Semenanjung Tanah Arab.

Presiden AS, Barack Obama menyatakan percubaan untuk meletupkan pesawat jenis Airbus A330-323E milik Northwest Airlines yang membawa 290 penumpang dan krew itu didalangi oleh kumpulan Al-Qaeda di Yemen. - AP

Komen Blog Ibnu Hasyim: Yang dipanggil 'kuasa besar' pun tak besar mana, berbanding kuasa 'Yang Maha Kuasa'. Memang, kini sudah zaman keruntuhan mereka..

Britian: Ada Pula Buli Kanak-kanak Melalui Siber.

Gambar mangsa

Polis selamatkan mangsa buli siber

NORTHUMBRIA - Polis Britain menyelamatkan seorang gadis berumur 13 tahun, Beth Ellis (gambar) daripada terus menjadi mangsa buli siber oleh rakan-rakan sekolahnya di sini, lapor akhbar News of the World semalam.

Polis memberi amaran kepada rakan-rakan mangsa bahawa mereka boleh didakwa di bawah Akta Gangguan manakala kumpulan di Facebook yang dikenali sebagai Kami Benci Beth Ellis yang mereka tubuhkan turut digugurkan daripada laman jaringan sosial itu.

Ibu mangsa, Amanda, 40, menyatakan dia pada mulanya berasa janggal semasa membuat laporan polis berhubung kes itu kerana bimbang laporannya akan dianggap remeh oleh pihak berkuasa.

"Namun, saya kemudian berasa lega kerana mereka (polis) menganggap kes buli siber merupakan sesuatu yang serius," katanya.

Menurutnya, Beth yang pernah menjalani pembedahan jantung semasa kecil menjadi sasaran pembuli kerana saiz badannya yang kecil.

Mereka menyiarkan beberapa mesej berbaur penghinaan termasuk menyatakan dia memerlukan pembedahan pembesaran payu dara selain rambutnya yang dipenuhi dengan kutu.

"Kami memandang serius semua kes buli tanpa mengira sama ada ia berlaku di taman permainan kanak-kanak atau di dunia siber," kata seorang jurucakap polis di sini. - Agensi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails