Friday, February 05, 2010

Bukti Nik Aziz Mampu Urus Sendiri Wang Royalti..


MENTERI Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi jaminan sebarang wang pemberian daripada Kerajaan Pusat, sama ada wang royalti atau ihsan tidak akan disalahgunakan dan sampai kepada rakyat jika disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata pengalaman mentadbir Kelantan kira-kira 20 tahun membuktikan kerajaan negeri pimpinan PAS tidak menyeleweng atau menyalahgunakan wang yang diperuntukkan bagi kepentingan rakyat.

"Kami boleh mengurus dan mentadbir sendiri wang daripada Kerajaan Pusat itu, walaupun tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di Kota Baharu.

Nik Aziz berkata demikian mengulas mengenai cadangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang ihsan melalui JPP dan tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri itu kerana dikhuatiri tidak sampai ke matlamat asal untuk kepentingan
rakyat.

"Sepanjang 20 tahun mentadbir negeri ini, pegawai kami amanah, tidak rasuah dan inilah yang ditarbiahkan supaya menjadi manusia yang beriman dan bertakwa," kata Nik Aziz.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam yang mengajak Umno duduk semeja untuk membincangkan isu agama, Nik Aziz berkata beliau bersedia bila-bila masa untuk mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai agama Islam.

Menurutnya persoalan yang beliau ingin tekankan ialah mengapa Umno menolak perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau berkata jika Umno berjaya menjelaskan kepada PAS bahawa prinsip perjuangan yang dibawa parti menyalahi Islam, beliau bersedia menerima Umno. - Bernama

Isu Disiplin PAS: Air Tenang, Siapa Buayanya?


PEMUDA PAS akan mendapatkan penjelasan seorang exconya kerana mempertikai kewibawaan jawatankuasa disiplin parti yang dipengerusikan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, secara keras dan terbuka.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, exco berkenaan, Abdullah Abdul Karim akan diminta menjelaskan sebab dan rasional kritikannya yang diutarakan melalui satu kenyataan pada hujung minggu lalu. Abdullah dilaporkan berpendapat, keputusan jawatankuasa disiplin PAS yang bersidang pada 29 Januari lalu tidak boleh diterima dan menghantar isyarat yang salah terhadap rakyat Malaysia.

Keputusan tersebut digambarkan sebagai berat sebelah apabila Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dilihat tidak sealiran dengan Khalid, hanya diberikan amalan bertulis, walaupun kedua-kedua mereka didapati bersalah. Abdullah bagaimanapun dijadual berlepas ke United Kingdom beberaha hari lagi dan akan menginap di sana selama setahun.

Sebelum itu, apa yang disifatkan ketegangan dalam PAS akibat kritikan keras seorang exco Pemudanya terhadap kewibawaan jawatankuasa disiplin dianggap telah ditutup kerana pemimpin berkenaan telah memohon maaf, kata setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menurutnya, exco tersebut, Andullah Abdul Karim dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, masing-masing telah berhubung bagi menyelesaikan ketegangan tersebut.

Keputusan kontroversi pada 29 Januari lalu dikritik hebat di blog-blog yang mengamati politik PAS dan dianggap berat sebelah apabila seorang lagi tertuduh, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hanya diberikan surat amaran sahaja.

Kemuncak ketidakpuasan hati itu, Abdullah - yang juga timbalan ketua Pemuda Pahang dan ahli jawatankuasa PAS negeri di bawah pimpinan Tuan Ibrahim - sendiri secara terbuka mengeluarkan kenyataan menghentam keputusan tersebut.

Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengakui telah berhubung dengan Tuan Ibrahim berhubung ketegangannya itu dengan Tuan Ibrahim. Bagaimanapun Abdullah berkata beliau tetap berpegang kepada tegurannya dan tidak mahu menariknya kembali walaupun sepatah.

"Saya minta beliau baca kembali kenyataannya (di blog) kerana faktanya yang berkaitan dengan saya tidak betul.

"Buat masa ini saya tidak mahu keluarkan kenyataan, Saya tidak mahu keruhkan suasana," katanya ketika dihubungi semalam.

"Saya juga telah hantar emel kepada pimpinan (PAS) pusat, dan buat salinan kepada naib-naib presiden, termasuk setiausaha agung, minta beliau (Tuan Ibrahim) perbetulkan kerana ia amat tidak tepat."

Abdullah enggan mendedahkan "perkara yang tidak tepat itu" kepada media buat masa ini. Dalam perkembangan berkaitan, Khalid yang sebelum ini akur dan diam kelihatan memulakan pencaknya dengan 'menyiku' keputusan tersebut.

"Saya sedih kerana hasil keputusan jawatankuasa disiplin, imej PAS tercemar. Selama ini PAS dilihat sebagai 'weak link' di Selangor.

"Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada PAS," katanya.

Menulis di blognya lewat petang semalam, pemimpin PAS yang terkenal dengan ketegasan dan kelantangannya itu turut membela Abdullah yang bermati-matian mempertahankannya.

"Saudara Abdullah, seorang AJK Pemuda (PAS) Pusat yang tidak langsung berkepentingan dalam isu ini menjadi marah. Apa sebabnya? Kita harus tanya diri kita sendiri.

"Jangan pula kita menempelaknya dengan ugutan tindakan atau tuduhan tidak bertanggung jawab dengan mengatakan 'kritik kemudiannya tinggal'," tulis Khalid.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Air tenang jangan disangka tiada buaya. Perlu disiasat, siapa buayanya? (Sumber Malaysiakini.com/AK)

Perancis Gantung Kerja, Polis Wanita Bertudung

GAMBAR bertarikh 19 Jun lalu menunjukkan seorang wanita berpurdah berjalan di bandar Marseille, selatan Perancis - AP Bukan Polis wanita...

PARIS 4 Feb. - Seorang pegawai pengawasan wanita polis Paris yang digantung kerja kerana memakai tudung semasa bertugas, akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin, menurut sumber terdekat siasatan kes tersebut kepada AFP semalam.

Pada November tahun lalu, pejabat polis Paris menggantung Nora B. yang akan dihadapkan ke jawatankuasa tersebut hari ini, kerana melanggar kewajipan berkecuali semasa sedang bertugas.

Nora, pegawai pengawasan beruniform yang bertanggungjawab ke atas rondaan di bandar raya itu, enggan menandatangani arahan penggantungan dan sengaja 'membangkitkan ketegangan' dengan terus memakai tudung semasa bertugas.

Kementerian Dalam Negeri Perancis memberitahu AFP, 'keputusan' tersebut diambil pejabat polis Paris dengan 'menggunakan kuasanya sebagai polis perbandaran' di bandar raya tersebut.

Nora, berdepan prosedur yang sama seperti pada 2004, namun bersetuju menanggalkan tudungnya selepas bertemu pesuruh jaya polis ketika itu, Jean-Paul Proust.

Piagam sekular Perancis daripada 2007, meminta penjawat awam supaya tidak memperlihatkan kepercayaan agama mereka semasa sedang bertugas.

Kes tersebut timbul di tengah-tengah perdebatan negara berhubung hasrat Perancis untuk menggubal satu undang-undang yang mengharamkan pemakaian burqa di negara itu yang dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Perancis.

Satu tinjauan baru-baru ini mendapati, 57 peratus rakyat Perancis, menyokong undang-undang mengharamkan pemakaian burqa dan satu laporan Parlimen mencadangkan supaya ia diharamkan di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan pengangkutan awam. - AFP

Dari Hal Bankrap: 23 artis, 81 Atlit, Dll -Jab Insolvensi

HALAMAN HIBURAN

23 artis culas langsai hutang

PUTRAJAYA: Kedegilan 23 artis terkenal melangsaikan hutang bukan saja mengakibatkan mereka diisytihar bankrap, malah berdepan masalah lebih serius apabila enggan berunding dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk menyelesaikan kes itu.

Ada antara artis terbabit berstatus bankrap sejak 20 tahun lalu dan diperintah membayar balik hutang secara ansuran, manakala sebahagian lagi bakal menghadapi tindakan tegas apabila hanya membayar RM50 untuk beberapa bulan seperti diarahkan mahkamah sebelum melesapkan diri.

Artis terbabit antara 275 individu daripada sektor hiburan yang diisytiharkan muflis. Kebanyakan mereka dikenal pasti sebagai artis terkenal dan diisytihar bankrap kerana gagal menjelaskan hutang selepas membuat pinjaman untuk perniagaan atau membeli kenderaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata 10 daripada artis terbabit diisytihar bankrap selepas gagal membayar pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan (enam), menjadi penjamin korporat (tiga), kad kredit (dua) dan masing-masing seorang gagal melunaskan hutang pinjaman rumah serta tidak membayar cukai pendapatan.

Beliau berkata, daripada 23 selebriti tersohor itu, 12 memberi kerjasama baik, tujuh lagi ‘tenggelam timbul’ manakala empat langsung tidak nampak batang hidung, menyebabkan tindakan tegas terpaksa diambil sama seperti individu bankrap lain.

Sehubungan itu, katanya, MdI bercadang ‘melawat’ artis terbabit pada bila-bila masa selepas mereka dilihat terlalu culas, malah tidak pernah hadir berbincang dengan jabatan itu untuk merancang pembayaran semula hutang sebelum ini sehingga diisytiharkan bankrap oleh mahkamah.

“Di sektor sukan pula, ada 81 atlit yang kami perlu tadbir manakala sektor hiburan seramai 275 orang diisytiharkan muflis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Abdul Karim berkata, selain sektor hiburan, pihaknya mengenal pasti beberapa golongan yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada kakitangan awam, swasta, profesional, bekerja sendiri, perniagaan, pelajar, pesara dan ahli sukan.

“Kami akan kesan untuk ‘bertanya khabar’ jika mereka masih enggan hadir berbincang. Jabatan bukan mahu menganiayai atau menyusahkan orang, sebaliknya ambil pendekatan memudahkan keadaan serta berharap sepenuh kerjasama supaya status bankrap itu boleh ditamatkan.

“Beri kerjasama dan berbincang dengan jabatan, kami akan cuba buat peraturan setakat mana dan selama bila mereka boleh melangsaikan pembayaran. Ini penting sebab kami hendak menjaga kepentingan awam, pihak pemberi hutang, mendidik mengenai kewangan dan moraliti perniagaan, sekali gus membantu kerajaan membangunkan sektor ekonomi,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai peranan MdI, Abdul Karim berkata, jabatan berperanan memberi nasihat dan membantu individu muflis keluar daripada kebankrapan menyebabkan kerjasama mereka amat diperlukan.

“Seseorang hanya akan diisytihar bankrap dengan perintah mahkamah dan selepas itu secara automatik semua harta mereka kecuali perkakasan kerja dan pakaian keluarga yang bernilai tidak lebih RM5,000 diletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvnesi (KPI) untuk dijual dan hasilnya diagih kepada pemiutang kerana diandaikan seseorang itu tidak dapat mengurus kewangan dengan baik.

“KPI berperanan mentadbir dan memantau perilaku si bankrap dan di sini penguatkuasaan dilakukan jika gagal membayar mengikut perjanjian atau melakukan jenayah seperti meminjam lebih RM1,000 tanpa memberitahu status muflis, menyorok atau memindahkan harta dan mempunyai niat tidak mengisytiharkan harta kepada Ketua Pengarah Insolvnesi,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat situasi kelonggaran diberikan seperti individu bankrap hilang upaya, menghidap penyakit kronik dan tidak bekerja kerana KPI ada budi bicara melepaskan mereka daripada kebankrapan, tetapi tertakluk kepada kriteria tertentu.

Abdul Karim berkata, individu yang diisytiharkan bankrap perlu hadir ke Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes kebankrapan mereka kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang boleh diambil. Seseorang bankrap atau muflis tertakluk kepada beberapa sekatan, umpamanya tidak boleh membuat pinjaman lebih RM1,000 tanpa memaklumkan kepada pemberi pinjam bahawa dia seorang bankrap, tidak boleh membuka akaun bank kecuali penerimaan gaji, harta termasuk simpanan di bank, simpanan Tabung Haji manakala pelaburan mana-mana skim akan ditahan serta diambil bagi tujuan pembayaran hutang kepada pemiutang serta tidak boleh menjadi presiden apa-apa persatuan.

Selain itu, individu terbabit tidak boleh bekerja dengan syarikat dipunyai sanak-saudara, hanya boleh bekerja dalam bidang tertentu, tidak boleh dilantik menjadi pengarah syarikat kecuali dengan kebenaran KPI dan disekat ke luar negara terutama melancong kecuali dengan kebenaran KPI.

“Kami bagaimanapun memberi kelonggaran untuk menunaikan ibadat haji dan umrah sekali saja sepanjang tempoh kebankrapan. Ramai salah faham mengenai tanggungjawab MdI menyebabkan mereka marah, tetapi kami melindungi mereka daripada diganggu pemiutang berikutan segala pentadbiran harta diambil alih MdI.

“Kami juga melindungi masyarakat daripada individu bankrap yang menipu dan membantu golongan jujur yang mahu melangsai hutang, tetapi tidak mempunyai kemampuan membayar. “Sehubungan itu, saya menasihatkan individu muflis supaya bekerjasama dengan kami menyelesaikan masalah mereka kerana kita bukan mahu menyusahkan, sebaliknya membantu mereka membina hidup baru,” katanya. (Mymetro/AK)

PAS-UMNO Perlu Duduk Se Meja, Bincang Isu Agama.. -Nik Aziz


KOTA BAHARU Feb 4, 2010: Bernama melaporkan, selepas menolak perbincangan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Umno dan PAS duduk semeja untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam daripada berterusan menghabiskan masa bertelagah mengenai politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata pemimpin Umno perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu-isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya sekiranya kedua-dua parti mengamalkan pendekatan permusuhan politik.

Nik Abdul Aziz juga berkata tidak ada sebab langsung untuk kedua-dua parti itu bertengkar mengenai isu pembangunan.

"Saya mahu majlis perbincangan mengenai agama Islam (seperti ini) antara Umno dan PAS sudah lama. 5O tahun Umno bertengkar dengan PAS apa hasilnya, banyak masa habis. Parti itu banyak menggunakan masa, kepakaran dan kewangan untuk melawan gerakan Islam seperti PAS, apa hasilnya melainkan bertengkar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar kalimah Allah di sini, hari ini.

Seminar sehari yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam (Putik) di sini dihadiri oleh Editor majalah Herald-The Catholic Weekly , Lawrence Adrewe dan wakil Buddha, Loo Choo Siang.

Isu kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno pernah dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti tahun lalu bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini dan pembangunan orang Melayu termasuk menjaga hak kaum lain, namun ia ditentang Nik Aziz.

Walaupun Umno menerima dengan tangan terbuka tentang kesediaan mereka untuk berbincang ia juga ditentang Nik Aziz dan beliau mendesak PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan.

Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Namun, akhirnya Abdul Hadi dan beberapa pemimpin PAS lain terpaksa akur untuk membatalkan perbincangan itu. - BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tutup buku sementara mengenai Kerajaan Perpaduan, tumpukan ke arah isu-isu agama demi kebangkitan Islam dan melahirkan insan yang sempurna, selamat dunia akhirat.

Thursday, February 04, 2010

Kota Medan Kini Aman, Raja Mafianya Tinggal Sejarah

CATATAN PERJALANAN, MEDAN 1

HARI ini, saya menulis dari kota Medan Sumatra Utara, Indonesia. Entah bagaimana saya malam tadi saya tinggal di penginapan Jalan Bintang.

"Jalan Bintang? Masya Allah.. kou tahu tempat apa itu?" Tanya kawan saya orang Medan, setelah bertemu dan mengajak saya ke rumahnya.

Ya. Memang di situ suatu tempat penginapan kelas rendah yang dianggap jijik dipenuhi pelacur murahan. Kalau di KL macam di Belakang Mati Chow Kit Road. Di situ saya sedang minum ringan bersama-sama orang-orang yang baru saya kenali. Ini, lebih kurang perbualannya..

"Sekarang Medan sudah aman.." Kata seorang perempuan berumur kira-kira 40 tahun tukang goreng mi di tingkat bawah rumah penginapan itu."

"Dulunya kenapa?" Saya tanya.

"Dulunya kota Medan ini, separuh dikuasai pemerintah, separuh lagi dikuasai kepala mafia Batak Karo.. Kiranya kita sedang mahu dirampok, sebut saja 'horas' (ertinya kira-kira 'salam sejahtera' dalam bahasa Batak), kita seolah-olah dapat rokemen tidak diapa-apakan oleh preman (penjenayah) itu. Bahkan dikatakan waktu itu kutipan parking kereta di banyak tempat di Medan pun terpaksa di bagi dua antara pemerintah dan preman itu!" Jelas perempuan tersebut.

"Kok, sampai begitu? Siapa nama raja preman itu??"

Seorang lain menambah, "Tanya saja sesiapa pun di kota Medan ini, semua kenal.. Olo Panggabean preman besar. Saya tahu betul sejarahnya. Nama sebenarnya Sahara Oloan Panggabean. Lahir di Tarutung 24 Mei 1941. Meninggal pada 30 April 2009 semasa berumur 67 tahun. Olo adalah anak ketujuh dari delapan bersaudara dari pasangan Friedolin Panggabean dan Esther Hutabarat, keluarga Kristen. Sampai akhir hayatnya tidak pernah menikah.."

Apa kegiatannya, hingga pemerintah pun tidak mahu ambil tindakan tegas? Saya lihat Wikipedia, Olo Panggabean..

"..adalah seorang tokoh yang terkenal karena kegiatannya di bidang perjudian dan juga karena sifat filantropinya... diperhitungkan setelah keluar dari organisasi Pemuda Pancasila, saat itu di bawah naunganEffendi Nasution alias Pendi Keling, salah seorang tokoh Eksponen ‘66’. Tanggal 28 Agustus 1969, Olo Panggabean bersama sahabat dekatnya, Syamsul Samah mendirikan IPK. Masa mudanya itu, dia dikenal sebagai preman besar.

Wilayah kekuasannya di kawasan bisnis di Petisah. Dia juga sering dipergunakan oleh pihak tertentu sebagai debt collector. Sementara organisasi yang didirikan terus berkembang, sebagai bagian dari lanjutan Sentral Organisasi Buruh Pancasila (SOB Pancasila), di bawah naungan dari Koordinasi Ikatan – Ikatan Pancasila (KODI), dan pendukung Penegak Amanat Rakyat Indonesia (Gakari). Olo Panggabean sering disebut sebagai seorang "raja perjudian" yang berpengaruh di kawasan tersebut, meskipun tuduhan terhadapnya belum dapat dibuktikan pihak berwajib.

Olo Panggabean pernah dituding sebagai pengelola sebuah perjudian besar di Medan. Semasa Brigjen Pol Sutiono menjabat sebagai Kapolda Sumut (1999), IPK pernah diminta untuk menghentikan praktik kegiatan judi. Tudingan itu membuat Moses Tambunan marah besar. Sebagai anak buah Olo Panggabean, Moses menantang Sutiono untuk dapat membuktikan ucapannya tersebut.

Persoalan ini diduga sebagai penyulut insiden di kawasan Petisah. Anggota brigade mobile (Brimob) terluka akibat penganiayaan sekelompok orang. Merasa tidak senang, korban yang terluka itu melaporkan kepada rekan–rekannya. Insiden ini menjadi penyebab persoalan, sekelompok oknum itu memberondong “Gedung Putih” dengan senjata api."

Ia pernah menerima perintah panggilan dari Sutanto sebagai Ketua polis Sumatra Utara, mengenai judi itu. Tapi ditolak Olo. Susanto memegang kuasa mulai tahun 2005, menyebabkan kegiatan perjudian Olo mulai terjejas. Olo dikhabarkan akhirnya memfokus pula pada bisnis legal, seperti POM Bensin , Perusahaan Otobus (PO) dan sebagainya.

Pada suatu masa, pernah muncul di media massa Indonesia. Ada keluarga yang anaknya ditahan di hospital kerana tak mampu bayar biaya bersalin. Tiba-tiba pihak hospital melayani keluarga itu sebaiknya. Rupanya baru diketahui Olo Panggabean telah melunasi sepenuhnya. Ada juga diceritakan peniaga yang dihancurkan warungnya oleh pihak penguasa, tapi diganti semula oleh Olo Panggabean.

Begitu juga kisah sedih bayi kembar siam Angi-Anjeli anak dari pasangan Subari dan Neng Harmaini yang tidak mampu membiayai operasi pemisahan itu di Singapura, tahun 2004. Dia yang menanggungnya. Begitu juga kisah ibu bayi, Neng Harmaini, melahirkan anai kembar siamnya di hospital Vita Insani, Pematang Siantar, 11 Februari 2004, melalui operasi penyelamat bernama 'operasi caesar'.

Olo Panggabean bertindak cepat menanggung semua biaya yang diperlukan. Bahkan sewaktu bayi bernasib malang itu tiba di Bandara Polonia Medan pada Julai 2004, Olo Panggabean menyempatkan diri menyambut dan menggendongnya.

"Ada juga berita menyebutkan, sebelum Brigjen Pol Sutiono menjabat sebagai Kapolda Sumut (1999), ramai yang sebelum itu ditukarkan ke tempat lain gara-gara tindakan tugas mereka bertentangan dengan kehendak Olo Panggabean'raja mafia' itu." Sampuk seseorang lain yang mengaku dari keturunan Batak. "Itu sebabnya Danau Toba (tempat orang Batak Kristian puak Olo Panggabean) sejak dulu lagi membangun melebihi tempat-tempat lain di Sumut (Sumatra Utara), Karena kekuatan kuasaannya."

"Oh ada seorang lagi, sepertinya di Jakarta..." Sambut perempuan yang memulakan perbualan tadi.

"Ha. Siapa pula?" saya tak sabar ingin tahu.

"Dia seorang perempuan. Kehadiran Bambang Presiden sekarang telah menumpaskan banyak kumpulan-kumpulan mafia dan preman termasuk orang-orang pemerintah yang korupsi. Semuanya dipenjarakan, termasuk si perempuan ini. Hebatnya perempuan ini, kamar penjaranya dibiayai sendiri menjadi kamar mewah, ada tempat saloon dan sebagainya.. Sehingga berlaku demontrasi seminggu dua lalu, menuntut pemerintah supaya menghalang penjara itu dijadikan hotel mewah melebihi taraf 5 bintang!"

Ya. Saya pun ada mendengar berita demontrasi itu melalui BBC London bahagian Indonesia, beberapa hari lepas. Terfikir saya, bagaimana penjara di negara miskin boleh jadi hotel mewah melebihi hotel 5 bintang? Saya tanya-tanya lagi, akhirnya saya dapat jawapan..

"Apa tidakmya? Perempuan itu adalah rakan baik isterinya Bambang, Bapak Presiden!!" Jawab perempuan di depan saya ini. Oh. Itu sebabnya. Tetapi sebelum pergi, perempuan ini tanya saya lagi, "Mau nggak?"

"Apaan?"

"Cewek. Nona.. Kupu-kupu malam? Hibur, hibur!"

Baru saya tersedar, rupanya saya sedang berada di kawasan pelacuran di kota Medan, Jalan Bintang. Tempat yang kebanyakannya manusia kesasar, otaknya hanya berpusing berbintang-bintang, belum nampak nikmat cahaya bulan.

Esok sambung lagi.. insya Allah.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Jalan Bintang Medan
Feb 04, 2010.

Lihat sebelum ini..

K'tan Contoh Bukan Agama Ganas -P/jaya Tinggi Ghana


KOTA BHARU, 4 Feb: Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Malaysia, Daniel Kwasi Abodakpi melahirkan minat untuk mengenali lebih dekat seorang pemimpin negeri yang mempunyai integriti seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata kunjungan ke sini untuk melihat hasil pemerintahan berintegriti yang diamalkan di Kelantan. Katanya, hasil ketelusan yang diamalkan itu membolehkan pelbagai program pembangunan berjalan dengan baik.

“Pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar sekarang menjadi contoh nyata bahawa Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan.

“Tidak ada satu agama pun di dunia ini sama ada Kristian, Buddha, Hindu mahupun Islam boleh dilabel sebagai agama pengganas, tetapi ramai sering menyebut Islam terrorist.

“Namun saya tidak pernah percaya, Islam sejak dahulu adalah agama yang membawa tamadun dan membawa manusia mengenal sains. Malah hari ini Kelantan adalah contoh Islam bukan agama keganasan,” katanya ketika mengunjungi hormat Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim semalam.

Rombongan itu turut disertai Menteri Penasihat Kedutaan, Muhammed Fuseini Inusah dan Setiausaha Pertama, F.M. Brown. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dan pegawai kerajaan negeri. Daniel Kwasi berkata, kunjungannya ke Kelantan amat bermakna kerana dapat mengenali dengan lebih rapat Menteri Besar Kelantan.

“Saya memilih Kelantan untuk peringkat awal lawatan kerana ia begitu unik apabila mempunyai seorang Menteri Besar yang penuh integriti,” ujar beliau. Katanya integriti yang ada pada Nik Abdul Aziz sudah lama diketahui ramai.

“Saya kagum dan teruja dengan apa yang sudah dicapai Menteri Besar di negeri ini. Beliau amat dikenali sebagai pemimpin yang baik dan berintegriti, tidak selalu kita jumpa pemimpin yang hebat dalam sejarah.

“Tuhan hanya memberi amanah kepada ‘true man’ dan saya berharap Tuhan akan terus memberi kesihatan yang baik kepada beliau untuk meneruskan segala kerja,” katanya.

Beliau memberitahu rombongannya kini dalam rangka lawatan ke seluruh Malaysia dan Kelantan dipilih negeri kedua selepas Sarawak. Beliau juga mengakui pembangunan Kelantan tetap rancak dan berharap hubungan dapat diperluas termasuk dalam sektor ekonomi dan sosial dengan Ghana.

Menurutnya juga pencapaian Menteri Besar Kelantan dalam menyatukan rakyat dan membawa pembangunan menjadi inspirasi kepadanya. Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan mengalu-alukan mana-mana kedutaan asing datang bagi mendengar dan melihat sendiri pembangunan sosio ekonomi negeri ini.(Sumber: Harakah)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails