Thursday, February 18, 2010

Sebat Yang Tidak Islamik -Ustazah Nuridah. Bagaimana SIS?


KL, 18 Feb: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, pelaksanaan hukuman sebat belum memenuhi kehendak Islam sepenuhnya kerana dilakukan secara tertutup, buka secara terbuka seperti yang dianjurkan dalam Islam.

"Hukuman sebat mesti dilakukan secara terbuka, bukan tertutup dalam penjara. Kita kena ingat, tujuan dilakukan secara terbuka adalah untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada rakyat agar tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berwajib agar melaksanakan hukuman sebat seperti yang dituntut dalam Islam, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.

Hishammuddin dilaporkan sebagai berkata, tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Hishammuddin juga berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.

Menurutnya, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya nak ingatkan menteri yang berkenaan, jangan ingat bila sudah laksanakan hukuman sebat, sudah cukup segala-galanya. Kerajaan kena kaji semula hukuman sebat yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. belajar daripada awal," kata Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Beliau juga berkata, tindakan Hishamuddin mendedahkan mengenai hukuman yang dijalankan terhadap tiga wanita itu hanya sekadar untuk menutup mulut rakyat daripada terus mempersoalkan isu Kartika.

"Saya nampak cara menteri memberitahu rakyat mengenai hukuman yang dilaksanakan itu seperti hanya meraikan pandangan orang sahaja dan ingin menutup mulut rakyat daripada terus bercakap isu sebat ini.

"Saya minta menteri laksanakan hukuman sebat ini kerana Allah, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Beliau juga mempersoal sikap kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan hukuman sebat ke atas bekas model sambilan yang didapati bersalah kerana minum arak, Kartika Sari Dewi Shukarno, 33.

Nuridah hairan dengan sikap kerajaan yang dilihat seolah-olah sengaja membiarkan Kartika ternanti-nanti untuk menerima hukuman sebat itu walaupun beliau sudah menyatakan kesediaan untuk menerima hukuman itu sejak dari awal lagi.

"Tiga orang yang dihukum itu, biarlah dihukum. Tapi yang saya persoalkan kenapa kes Kartika belum selesai lagi? Apa masalah kerajaan sebenarnya sehinggakan Kartika perlu menunggu begitu lama untuk menerima hukuman itu?" soal Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.

Sementara itu, Kartika sendiri, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam,berasa pelik pelik mendapat tahu tiga wanita telah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu kerana melakukan kesalahan syariah tersebut.

Menurut ibu tunggal kepada dua anak ini, apa yang berlaku seolah-olah 'mempermain-mainkan' perasaannya selama ini.

Kartika sebelum ini telah membuat permohonan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang (Jaip) untuk campur tangan bagi mempercepatkan hukuman terhadapnya memandangkan ianya masih tertangguh sehingga kini.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadapnya.

Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman bagaimanapun dilaporkan sebagai berkata, pihaknya masih menunggu reaksi daripada Tengku Abdullah selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebelum boleh mengambil sebarang tindakan susulan.

Sementara itu, tindakan Jabatan Penjara merotan tiga perempuan Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram dianggap satu diskriminasi terhadap wanita oleh Sisters in Islam (SIS). SIS mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh perlembagaan, kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Dalam kenyataan akhbarnya hari ini, Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican berkata memandangkan beberapa isu syariah berhubung perlaksanaan hukuman seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor yang masih belum selesai, tindakan kerajaan itu dipertikaikan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bercelaru habis bila pemerintah tidak mahu mengikut perundangan Islam sepenuhnya, walaupun Islam sebagai agama Persekutuan kononnya.. SIS pula tidak sepatutnya menggunakan nama Islam sedangkan kenyataannya sesat dan bercanggah dengan Islam. (AK)

PM & Isteri Dalangi Kes Liwat Anwar -Karpal Singh


KUALA LUMPUR, Feb 18 — Peguam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim Karpal Singh mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendalangi kes liwat yang dihadapi oleh ketua pembangkang kali ini.

“Sebagaimana saya katakan, adanya tangan ajaib dalam perbicaraan ini, dan ia adalah tangan Perdana Menteri sekarang... ada dua tangan dan satu lagi tangan isteri beliau,” kata beliau di mahkamah hari ini.

Anwar menyambut dakwaan Karpal Singh itu dari kandang tertuduh dengan berkata “konspirasi, pembohongan besar.” (AK)

Wednesday, February 17, 2010

Pertamakali 3 Penjenayah Syariah Disebat, Ikut Islamkah?


PUTRAJAYA: Buat pertama kali, tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sambil merujuk kepada hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum pun dilaksanakan, beliau berkata, kes itu sengaja digembar-gemburkan kerana jelas dari segi pelaksanaan hukuman sebat itu menunjukkan pesalah tidak mengalami kecederaan.

"Apa yang digembar-gemburkan dalam kes Kartika itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, saya harap janganlah hanya fokus kepada satu kes yang belum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Hishammuddin berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.

Menurut beliau, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata, didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan tersebut tidak mendatangkan kesan luka.

"Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.

Pelaksanaan hukuman sebat mendapat liputan meluas sejak Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang pada 11 Julai 2008.

Kartika yang mengaku bersalah kemudian didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bagaimanapun hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini. - BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim:Ikut hukum sebat cara Islamkah? Apa kesalahan dan bagaimana sebatnya?

Lagi SU Agung (Geng T'ganu) Kawal Politik Presiden PAS?



PAS perlu bimbang terhadap dominasi pemimpinnya dari Terengganu – atau dikenali sebagai 'geng Terengganu' – yang didakwa mengawal tindakan politik presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata seorang penulis blog popular.

Tulang Besi atau nama sebenarnya Abdul Rahman Talib – yang sering mendedahkan isu-isu dalaman PAS - berkata kumpulan tersebut mampu menguasai parti ekoran kedudukan 'strategik' mereka.

“Ini luahan beberapa ahli jawatankuasa PAS yang saya kenal, bahawa idea (kerajaan perpaduan) ini dipersetujui mereka yang dulunya menjadi pemimpin di PAS Terengganu, atau saya panggil geng Terengganu.

“Nama-nama seperti ustaz Abu Bakar Chick, Haron Taib, idea perpaduan, muzakarah (PAS-Umno) ini disokong mereka. Dan yang saya risau, presiden lebih suka menyokong kehendak-kehendak geng Terengganu daripada kehendak majorotiti ahli jawatankuasa,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau difahamkan, dalam kes tindakan terhadap pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hasan Ali yang dikritik mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai antara “beberapa kerat pemimpin bermasalah”, hanya Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Terengganu yang mempertahankannya.

“Jadi presiden hanya melebihkan geng Terengganu. Sebab itu setiausaha agung Datuk Mustafa Ali pernah keluarkan kenyataan (bahawa) keputusan dibuat sebulat suara. Kalau diambil undi, agenda kumpulan Terengganu akan ditolak,” katanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Abdul Rahman yang konsisten menentang keras idea kerajaan perpaduan dan muzakarah PAS-Umno berkata, penguasaan kumpulan tersebut berleluasa terutamanya di pejabat presiden.

“Tengok dalam pejabat presiden itu, semua orang Terengganu, (setiausaha politik) Dr Samsuri Mokhtar, setiausaha itu, setiausaha ini semuanya orang Terengganu,” katanya yang mengaku menjadi ahli PAS kawasan Lembah Pantai.

Penguasaan pemimpin-pemimpin Terengganu di peringkat pusat PAS, antaranya di kerusi presiden, setiausaha agung, Dewan ulama, Dewan Pemuda, akhbar organ parti Harakah dan unit IT PAS, sentiasa disebut-sebut.

Kumpulan tersebut yang sering dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno sering diperolokkan di blog sebagai kumpulan 'kerajaan perpaduang' - sebutan menurut loghat Terengganu.

Nama Abdul Rahman, seorang perunding perniagaan di luar negara mula menjadi perhatian banyak pihak selepas mendedahkan beberapa siri pertemuan PAS-Umno selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau yang sering menyerang Dr Hasan kerana tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat pernah berkhidmat sebagai penceramah motivasi tersebut selama dua tahun sehingga 2007 – yang menjadikannya 'orang dalam'. (Sumber Malaysiakini.com)

Sebelum ini...

Presiden PAS, Bukan Saja Penyelamat Orang Lemas, Tetapi...


CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas

HARI ini menurut Harakah, Marang, 17 Februari:
Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.

Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya. "Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.

Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi. Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.

Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.

"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut... saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.

"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau.

Ini adalah catatan beliau dalam facebooknya.

"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.

Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.

"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."


Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya. Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.

Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

Teringat saya puluhan tahun lalu, saya pernah menganjurkan ceramah PAS di Pulau Pinang (saya tak ingat pasti tempat ceramahnya), waktu itu rombongan ustaz Hadi datang lambat. Bila ditanya mengapa lewat, anggota rombongannya menjawab, "Ustaz Hadi nyaris maut kerana jirannya minta tolong tangkap orang gila yang sedang mengamuk berhampiran rumahnya. Tiada orang lain yang sanggup menangkap pada masa itu, maka beliau terus cuba menangkapnya. Parang panjang melintasi atas kepalanya, hingga terjatuh serbannya. Akhirnya orang gila itu berjaya ditundukkan dan beliau selamat, alhamdulillah!"

Jadi, bukan saja Presiden PAS itu berjaya menyelamatkan orang lemas seperti berita di atas, bahkan pernah menundukkan orang gila mengamuk. Sanggup menggadaikan nyawa sendiri demi menyelamatkan orang lain yang lemah. Itulah persiden PAS kini, yang saya kenal.

Sekian. Wassalam.

Ibnu Hasyim
17 Feb 2010.


Filem MNIK Pecah Panggung AS, Bolehkah F/M'sia Begini?

HALAMAN HIBURAN

FILEM My Name Is Khan (MNIK), berjaya memungut AS$761,000 (RM2.6 juta) pada hari Ahad lepas, sekaligus mencatatkan rekod pecang panggung bagi filem berbahasa Hindi itu di Amerika Utara.

Pengarah filem itu, Karan Johar mensasarkan kutipan akan jatuh tujuh peratus pada hari Ahad selepas mendapat kutipan AS$682,000 (RM2.3 juta) pada hari Sabtu. Bagaimanapun, filem itu menerima sambutan yang menggalakkan pada hari Ahad.

Filem tersebut yang dibintangi Shah Rukh Khan dan Kajol itu akan ditayangkan di 120 buah panggung teater termasuk di Amerika Syarikat dan Kanada selama tiga hari. Menurut satu laporan, tiket filem itu telah habis dijual.

MNIK juga adalah antara filem yang mendapat sambutan di Amerika Utara selepas mula ditayangkan pada 12 Februari lepas.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bolehkah filem Malaysia jadi begini? (AK)

Adik PM & Anak Mantan PM Antara Terkaya Di M'sia

Kiri Adik PM & kanan anak bekas PM antara Melayu terkaya..

KL, 16 Feb: Majalah Malaysian Business menamakan Adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak sebagai orang Melayu yang ke empat terkaya di Malaysia melalui senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Orang Melayu terkaya di Malaysia adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) yang memiliki harta sebanyak RM6.01 bilion, kedua dan ketiga adalah anak-anak Allahyarham Tan Sri Shamsuddin iaitu pemilik syarikat Sapura Holding. Mereka adalah Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin.

Baru-baru ini, Malaysian Busines mendedahkan senarai 40 orang terkaya di Malaysia melalui kajiselidik yang dibuat oleh majalah perniagaan itu. Orang terkaya di Malaysia, menurut majalah itu adalah Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang dinyatakan memiliki harta sejumlah RM42.76 bilion meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Berikut adalah 14 dari 40 orang terkaya di Malaysia menurut Malaysian Business.

1) Tan Sri Robert Kuok (Raja Gula) - RM42.76 bilion
2) Ananda Krishnan (Mexis) - RM27 bilion
3) Tan Sri Lee Shin Chen ( IOI) - RM11.92 bilion
4) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting) - RM10.38 bilion
5) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong) - RM7.09 bilion
6) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) - RM6.01 bilion
7) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting)
8) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau)
9) Tan Sri Vincent Tan (Berjaya)
10) Lee Swee Eng (KNM Group)
11) Datuk Shahril Shamsuddin (Sapura)
12) Shahriman Shamsuddin (Sapura)
13) Datuk Seri Nazir Razak (CIMB)
14) Ong Leong Huat (OSK

Sementara itu Datuk Mokhzani Mahathir, anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, demikian menurut hasil kaji selidik majalah Malaysian Business. Sehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.

Jutawan Melayu lain yang disenaraikan ialah Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary dari Yayasan AlBukhary, dengan kekayaan sebanyak RM6.01 bilion di tangga ke tujuh. Manakala Tan Sri Azman dari Arab-Malaysian Corp di senaraikan di tangga ke-11 denan kekayaan se banyak RM2.8 bilion. Datuk Seri Nazir Razak - adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dari Kumpulan CIMB, turut disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia.

Bernama pula melaporkan, menurut kaji selidik Malaysian Business, kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia mencatat peningkatan terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih RM96.3 bilion, berikutan pemulihan dalam pasaran saham.

Bagaimanapun, menurut kenyataan majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008. Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.

Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka telah diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran 16 Februari. Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Jan tahun ini.

Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih. Ada lebih jutawan tahun ini - 22 orang iaitu lebih lapan orang berbanding tahun lepas.

Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya "Raja Gula" tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu. Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion. Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion. Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. (Pelbagai Suymber: AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails