Wednesday, April 07, 2010

Makmal Lengkap Syabu, Benjy Bagai Saintis. K/Polis KL


Benjy umpama 'saintis'

BUKTI KUKUH...Mohammad Sabtu (tengah) menunjukkan peralatan makmal  membuat syabu disyaki  dimiliki  Benjy.

Mohammad Sabtu (tengah) menunjukkan peralatan makmal membuat syabu disyaki dimiliki Benjy.

KUALA LUMPUR: Polis semalam menyifatkan pelakon terkenal, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, atau Benjy yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sebelum ini, tidak ubah seperti ‘saintis’ berikutan penemuan peralatan makmal lengkap untuk menghasilkan syabu dalam jumlah yang besar.

Lebih mengejutkan apabila Benjy didakwa mendapat ilham untuk menghasilkan resipi syabu melalui rujukan di laman web sebelum maklumat itu dipindahkan ke dalam pemacu storan mini (pen drive). Difahamkan, maklumat menghasilkan syabu dalam pen drive itu boleh dijadikan buku setebal lebih 300 muka surat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, berkata pendedahan terbaru penemuan peralatan makmal dadah milik Benjy terpaksa dilakukan bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan polis dalam menyiasat kes membabitkan artis popular itu.

Menurutnya, polis menahan semula Benjy pada jam 2.25 petang pada 25 Mac lalu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, sejurus dia dibebaskan dengan ikat jamin kerana memiliki dadah seberat 0.24 gram.

“Dia ditahan semula mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) LLPK 1985 kerana dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.

"Ketika dia ditahan dan disoal siasat semula, polis yang berpandukan maklumat diberikan Benjy melakukan pemeriksaan di sebuah kondominium di Segambut bagi mengesan bahan bukti lain yang mengaitkannya dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah,” katanya.

Menurutnya, pada kira-kira jam 3 petang 31 Mac lalu, polis ditunjukkan sebuah stor elektrik di tingkat 10 kondominium itu yang dipercayai digunakannya untuk menyimpan semua peralatan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, dia menyembunyikan peralatan membuat dadah berkenaan dalam dua kotak besar bersama beberapa botol bahan kimia.

Dalam kes ini, Benjy sendiri yang menunjukkan lokasi peralatan dan bahan kimia itu disembunyikan.

“Dia mungkin amat berhati-hati dan bimbang jika peralatan itu ditemui di rumahnya di tingkat enam kondominium itu,” katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, semalam. Menurutnya, anggota unit forensik polis turut diminta membantu menimbulkan kesan cap jari pada peralatan makmal dadah yang ditemui serta menganalisis bahan kimia dan sisa yang terdapat pada beberapa peralatan itu bagi memastikan ia digunakan suspek untuk memproses syabu.

"Pada masa sama, polis merampas satu ‘pen drive’ milik suspek yang mengandungi bahan dan video mengenai kaedah membuat syabu. Hasil siasatan mendapati ‘pen drive’ terbabit mempunyai 11 artikel termasuk gambar berhubung kaedah serta alatan digunakan untuk memproses dadah.

“Kita percaya dia baru cuba untuk mendalami ilmu menghasilkan dadah itu sejak enam bulan lalu. Maklumat yang dipercayai diambil melalui Internet itu amat lengkap dan berbahaya berikutan ia boleh dijadikan rujukan untuk menghasilkan syabu,” katanya.

Antara peralatan lain ditemui ialah puluhan balang tabung uji, alat penimbang elektronik, lesung batu, tiub getah, penyedut minuman dan pelbagai kimia cecair termasuk ethanol dan bendosen. Mohammad Sabtu berkata, Benjy masih ditahan mengikut LLPK selama 60 hari bermula 23 Mac lalu bagi siasatan lanjut.

“Kami (polis) akan memajukan laporan berhubung kes ini kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan terpulang kepada kementerian untuk membuat keputusan. Ada kemungkinan suspek boleh dikenakan tindakan tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan akhlak sama ada di Muar atau Simpang Renggam, Johor.

“Apa yang ingin saya tekankan polis menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang. Ini bukan perbuatan khianat dan polis tidak memperdaya sesiapa,” tegasnya.

Menurutnya, masyarakat perlu faham tanggungjawab polis walaupun ada spekulasi mendakwa pasukan itu tidak menangani kes berkenaan dengan baik.

“Hari ini, kami bersedia untuk menunjukkan semua bukti yang ditemui dan suspek sendiri sudah disahkan positif oleh Jabatan Patologi mengambil syabu. Semua bukti ini diharap dapat mematikan tohmahan terhadap polis,” katanya.

Mohammad Sabtu yakin penangkapan suspek menyekatnya daripada terus memproses dan mengedarkan syabu di sekitar Lembah Klang. (AK)

Lihat terbaru...

Jauhi Mazmumah. Bersifat Mahmudah. Kata Tan Seng Giaw



KUALA LUMPUR, 6 April: Anggota Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria menyifatkan tindakan beberapa anggota Parlimen bukan Islam menggunakan kalimah Islam ketika berbahas dalam Dewan Rakyat melambangkan Islam bakal berkembang pesat di negara ini.

Beliau mengulas ucapan anggota Parlimen DAP dari Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang menggunakan istilah-islah Islam ketika berucap.

"Dr Tan Seng Giaw (Kepong) dalam perbahasannya minta supaya Pasir Salak (Datuk Tajuddin Abdul Rahman) menjauhi sifat mazmumah, ujub, riyak dan takbur.

"Dia kata kena bersifat dengan sifat mahmudah, ikhlas, adil, itqan...

"Tak lambat dah kot orang cina akan terima Islam. InsyaAllah," tulis Nasir dalam laman komuniti Facebook beliau.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalu-alukan tindakan anggota Parlimen Taiping, Nga Koo Meng yang membaca beberapa ayat Al Quran dalam ceramahnya.

Bagi beliau, tidak salah orang bukan Islam membaca al Quran itu kerana dia bukannya menghina al Quran.

Untuk itu, Nik Aziz telah mengutuskan satu surat kepada Nga agar beliau terus tekun dalam ujian yang dihadapinya.

Nga telah dicemuh dengan pelbagai kata nista ekoran tindakannya membaca ayat-ayat al-Quran dalam satu ceramahnya.

Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin dalam satu diskusi ilmunya di Masjid Bandar Tasik Puteri baru-baru ini menolak Nga bersalah dalam kes ini.

"Apa salahnya dia orang bukan Islam membaca ayat Al Quran kerana dia hanya mahu menguatkan hujjahnya bukannya menghina al-Quran," kata Hanipa dalam diskusi ilmu itu. (AK)

Nikah Tanpa Kebenaran. Fikir Permudah & Cepatkan.



KUANTAN, 6 April 10
— Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas tuduhan menikahkan pasangan tanpa kebenaran pihak berkuasa, lima tahun lepas.

Tertuduh, Abdul Rahman Ariffin, 62, didakwa melakukan akad nikah tanpa kebenaran pendaftar atau Hakim Syariah Pahang di Masjid Kampung Kempadang, di sini Mac 2005. Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 40(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk tanda faham pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali dan meminta dibicarakan. Abdul Wahid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Borhan Hussin. Pada 25 Feb lepas, Unit Penguat Kuasa Jaip menahan Abdul Rahman dalam satu serbuan di rumahnya di Kampung Kempadang pada 1.40 petang dan menemui sejumlah dokumen termasuk sijil nikah dari Thailand yang masih kosong tetapi mempunyai cop mohor Majlis Agama Islam Wilayah Pattani dan Narathiwat.

Tertuduh yang juga seorang jurunikah bertauliah dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan sejak lima tahun lepas berdasarkan penemuan beberapa sijil pasangan yang pernah dinikahkannya sejak 2005. Tertuduh dipercayai menerima bayaran antara RM1,500 dan RM3,000 bagi perkhidmatannya yang sering digunakan warga asing dari Indonesia dan Pakistan yang mahu menikahi wanita tempatan. — Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Perlu difikirkan mengapa jadi begitu. Nikah adalah kerja baik, perlu dipermudah dan dipercepatkan. Sekurang-kurang perlu dikemaskinikan, supaya ianya dapat membantu mengatasi masalah sosial, buang anak, bersekedudukan cara haram dan lain-lain. (2MA)

Tuesday, April 06, 2010

Lagi Penyanyi Rock Ditahan Ugut Bekas Isteri.

HALAMAN HIBURAN

Ameng pernah didenda sebanyak RM3,000 dan diletakkan dalam pengawasan polis selama 2 tahun oleh Mahkamah Majistret Besut di Terengganu. Ameng, 37, dijatuhi hukuman setelah mengaku bersalah menagih methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September 2005. - Foto BERNAMA
Align Left

APRIL 06, 10. PETALING JAYA: Seorang penyanyi sebuah kumpulan rock 90an akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur esok berikutan ugutan yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas isterinya baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail ditahan ketika hadir di balai polis Sentul kira-kira pukul 2 petang tadi untuk membantu siasatan.

"Bekas isterinya membuat laporan polis pada 30 Mac lalu setelah menerima SMS ugutan itu. Esok, dia akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada 14 Disember 2005, Ameng pernah dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Kampung Raja dekat Jertih setelah mengaku bersalah menagih dadah jenis syabu awal September 2005.

Sementara itu di KL, aktor dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jalani (gambar disebelh) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, Badrul didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Julia Daud pada 24 Mac lalu kira-kira pukul 7 pagi di Lot 313E, Jalan 49, Bukit E, Kg Cheras Baru, 55100, Kuala Lumpur dengan menumbuk mangsa di muka dan menendangnya di perut.

Manakala pertuduhan kedua, Badrul didakwa pada hari dan waktu yang sama dengan sengaja memukul mangsa dengan menggunakan penyapu di bahagian kaki dan punggung. Hakim Wan Karimah Wan Mohd Ab. Ghani membenarkan dia dibebaskan melalui ikat jamin dan menetapkan denda sebanyak RM3,000 bagi kedua-kedua pertuduhan.

Badrul yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan bayaran denda sebanyak RM500 atas alasan laporan media mengenai kesnya telah menyebabkan pembayaran lakonannya tertangguh. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A Vasu memohon kepada mahkamah supaya mengekalkan denda itu.

Menurutnya, denda yang dikenakan adalah setimpal dengan kes yang diutarakan. Hakim kemudiannya menetapkan supaya Badrul membayar denda ikat jamin sebanyak RM2,500. Hakim juga menetapkan 13 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi memberi peluang kepadanya untuk melantik peguam. Jika disabitkan bersalah Badrul boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-keduanya sekali di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. (AK)

Coklat Telur Paskah, Ganti Dgn Kurma. 1M'sia?

PENGGUNA
Gambar atas, telur coklat Paskah yang amat digemari orang, kini terancam oleh rancangan kontroversi baru Eropah..
Buah kurma

SEBELUM puluhan juta orang Eropah mengecap manisn.ya coklat telur paskah akhir-akhir ini, Eropah membuka rancangan meganya untuk bertindaktegas dalam pasaran telur Paskah. Gerakan ini diadakan kerana keprihatinan kepada kesehatan. Terutama, masalah meningkatnya obesiti atau kadar gula tinggi yang diyakini berakar pada budaya makan manis-manis, khususnya telur paskah yang terbuat dari coklat.

"Masalah obesiti meningkat gila-gila di Eropah.. dan kami melihat kempen pemasaran telur paskah sebagai sebahagian dari masalah tersebut" kata pegawai Komisi Masalah kesehatan Egbert Oval. Terutama telur coklat berukuran besar yang membuat kami bimbang, kanak-kanak diberi jumlah gula yang sangat berlebihan. Sehingga kami terpaksa mengawal pasar telur coklat sepenuhnya."

Pasaran Coklat

Tindakan keras tersebut bermula di Brussels, pusat coklat Eropah dan tempat perusahaan coklat yang membuat giler banyak orang seperti Godiva dan Leonidas. Tetapi pejabat Kesatuan Eropah sudah lama mengamati sektor ini. Menurut mereka banyak didominasi oleh beberapa perusahaan besar sahaja. Perusahaan kecil merasa cemas, seperti Kraft yang baru saja mengambil alih perusahaan coklat asal Inggeris Cadbury, berpotensi untuk memegang 15% pasaran coklat.

"Saya takboleh sebut nama perusahaan tersebut tetapi kami sudah dapat banyak sekali laporan bahawa perusahaan kecil terrencat." kata Shelly White, pagawai anti persaingan Eropah.
Dia menyangkal kritikan Kesatuan Eropah telah melakukan kesalahan menghalang produk coklat yang populer. "Eropah membelanjakan wang jutaan euro untuk menikmati coklat, jadi memang tugas kita untuk memastikan bahawa pasaran itu terbuka dan hak konsumer terpelihara."

Hingar-Bingar

Khamis lalu, orang tua dan anak-anak di sekolah yang terletak di dekat pejabat di sini marah terhadap rencangan tersebut. "Apa berikutnya? Mengapa kami tidak boleh makan coklat dengan tenang tanpa campur tangan Big Brother? tutur salah satu ibu dengan dua anak. Jack berusia 14 tahun mengatakan sekolahnya akan mengadakan petisyen jika rencangan Kesatuan Eropah itu terusberjalan. "Sepatutnya terpulang kepada kami, bila kami makan coklat dan seberapa banyak kami makanpun. Itu bukan urusan orang lain, urusan kami!"

Sambil mengangkat bahunya, Egbert Oval menjelaskan, "Begini, kami di sini bukan untuk menjadi populer. Kadang, kita perlu lakukan langkah yang tidak begitu populer demi kesihatan umum masyarakat."

Respons negatif seperti ini tidak akan menghentikan pejabat Kesatuan Eropah untuk mengambil tindakan, walaupun di perayaan hari Natal, yang biasanya diwarnai dengan coklat Santa. "Ini sama dengan paskah, coklat Santa tersedia selama beberapa bulan menjelang Natal dan mereka tidak menjadi penting pada perayaan itu"

"Kita patut kembali kepada buah-buah, seperti kurma dan asam di perayaan Natal," kata Egbert Oval. Tetapi ketika ditanya apakah dia suka coklat, dia mengaku "lebih suka keju. So, hal ini tidak begitu mengganggu saya."

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Paskah', asal bahasa Yunani, (Πάσχα atau Paskha) adalah perayaan terpenting dalam tahun liturgi gereja Kristian. Bagi umat Kristian, Paskah identik dengan Jesus, yang oleh Paulus disebut sebagai "anak biri-biri Paskah" jemaah Kristian hingga kini percaya bahawa Jesus disalibkan, mati dan dikuburkan. Pada hari ketiga, bangkit dari antara orang mati. Paskah merayakan hari kebangkitan tersebut dan merupakan perayaan yang terpenting.

Jadi, telur choklat paskah dibuat ada kaitan dengan hari agama ini. Seperti juga buah korma atau tamar ada kaitan dengan bulan puasa antara bulan ibadat orang-orang Islam. "Kita patut kembali kepada buah-buah, seperti kurma dan asam di perayaan Natal," seperti kata Egbert Oval, patut dialau-alukan. Kalau boleh, di Malaysia pun begitu juga bagi penganut-penganut Kristian, jadikan korma sebagai lambang perlaksanaan 1 Malaysia? (Pelbagai sumber/AK)

Perisik Israel Dlm PDRM. Bersekongkol.. Anwar


KL: APRIL 06, 10: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar hari ini mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Diraja Malaysia (PDRM). Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu. Beliau yang juga MP Permatang Pauh menamakan sebuah syarikat yang terbabit dan dikatakan berpengkalan di Israel.

Katanya lagi ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing. Katanya lagi ini juga menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka. "Tak iktiraf israel tapi bersekongkol dengan rejim Zionis yang kejam," katanya. (AK)

Obama Yang Lucu... Najib?

INI gambar-gambar Obama Presiden Amerika Syarikat yang lucu. Cuma dikutip-kutip dari internet... Siapa punya kerja yang buat ni tak tahu la..
























Oh.. Maaf. 2 gambar terkebawah bukan Presiden AS, tetapi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia. Diangkat dari..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails