Thursday, June 10, 2010

Laksanakan Undang Syariah Di Negeri PR.. -D/Ulama

MACHANG, 10 Jun 10: Dewan Ulama PAS menggesa agar segala peraturan undang-undang pentadbiran syariah di negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dilaksanakan sepenuhnya sehingga masyarakat Islam dan bukan Islam dapat melihat kebaikan pentadbiran ikatan itu.

Dalam ucapan dasarnya, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib berkata, menjadi tanggungjawab sayap PAS itu di negeri-negeri ditadbir PR agar berbincang, bermuzakarah dengan pihak berkenaan sehingga semua perkara yang berkaitan dengan hukum syarak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa adanya perasaan kurang senang dari pihak-pihak tertentu.

Menyentuh konteks hubungan dengan bukan Islam, kata beliau golongan ulama perlu menyediakan teks panduan berdasarkan nas Quran dan hadis tentang kedudukan bukan Islam dalam masyarakat Islam. “Ulama juga perlu menangani isu yang melibatkan hukum dalam hubungan dengan bukan Muslim,” kata beliau dalam ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini pagi ini.

Dewan Ulama PAS Pusat mengadakan muktamar tahunan sehari di sini hari ini. Ketika ditanya mengenai penerimaan bukan Islam jika semua undang-undang Islam dilaksanakan, Harun berkata, beliau tidak melihat akan ada masalah dalam penerimaannya. Selain mereka ada pilihan sama ada mahu menggunakan undang-undang konvensional sedia ada atau undang-undang Islam, kata beliau, undang-undang Islam yang dimaksudkan akan memanfaatkan semua pihak.

Sebagai contoh kata beliau, jika ada hukuman denda ia akan disalurkan kepada keluarga mangsa di bawah undang-undang Islam. Sedangkan di bawah undang-undang bukan Islam semasa kutipan denda pergi kepada kerajaan, katanya.

Malah menurut beliau, undang-undang Islam bukan setakat merujuk kepada hudud atau qisas tetapi juga undang-undang Islam dalam bidang lain seperti ekonomi. Dalam ucapannya Harun berkata, perkara tersebut telah ditekankan dalam muktamar Dewan Ulama tahun lalu, namun disebabkan tajuk ini adalah semasa, maka seluruh perwakilan ulama mesti memberi idea bagi tujuan pemerkasaan ini.

“Begitu juga halnya dengan tahaluf yang telah dilakukan oleh PAS dengan bukan Muslim.

“Perlu diingatkan kepada semua ahli PAS, terutamanya ahli Dewan (Ulama) bahawa salah satu tujuan utama kita bertahaluf ialah supaya kita mempunyai ruang yang lebih luas bagi melaksanakan Islam dalam politik yang kita perjuangkan,” katanya.

Harun menambah, tujuan PAS bertahaluf dengan parti bukan Islam adalah untuk menyampaikan dakwah yang sempurna selain mengajak mereka kepada titik pertemuan yang boleh dikongsi bersama seperti keadilan, keamanan, kesejahteraan disamping meyanggah segala bentuk amalan negatif seperti ketidakjujuran, ketidakadilan, salah guna kuasa dan merebaknya maksiat.

“Dengan itu, adalah sewajibnya kita meletakkan asas tersebut apabila kita diberikan sedikit kuasa di negeri yang kita berkongsi kuasa dengan Pakatan.

“Usaha hendaklah dilakukan sepenuh tenaga untuk mempastikan pelaksanaan Islam dalam negeri diperkukuhkan sebaik mungkin.

“Kita yakin dengan prinsip tadaruj dalam pelaksanaan hukum Islam,” katanya.

Oleh itu kata Harun, adalah menjadi tugas “kita untuk mempastikan bahawa pengharaman arak dan judi kepada orang Islam perlu dikuatkuasakan.” (AK)

Lihat Ucaptama Ketua Dewan Ulama..

PAS: Guna Peluang Terbaik Menuju Putrajaya..

Oleh G. Manimaran


Gambar-gambar sekitar muktamar hari ini

June 10, 2010 -The Malaysian Insider

ANALISIS, 10 Jun — Beberapa pemimpin PAS yang ditemui sebelum dan selepas majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti itu di Kota Baru malam tadi memberikan pendirian yang sama — fokus kali ini mereka ialah memperkukuh dan memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimana dengan kerajaan perpaduan atau UG (unity government) dengan Umno-BN? Tidak, demikian rumsuan mereka.

Pendirian ini semakin jelas berbanding dengan senario setahun lalu. Malah lebih jelas selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Susulan pertemuan di Ipoh dan Shah Alam, pada malam tadi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menekankan bahawa parti Islam ini sudah tidak lagi berminat dengan idea kerajaan perpaduan bersama Umno-BN.

Dimaksudkan lebih awal berbanding tahun lalu kerana Menteri Besar dalam ucapan perasmian muktamar ketiga-tiga sayapnya PAS di Kota Baru menekankan bahawa beliau sudah pahit dengan pengalaman empat dekad lalu.

Jika pada muktamar lalu, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan pendirian tidak memihak kepada idea kerajaan perpaduan ketika sedang berlangsungnya muktamar PAS Pusat, tetapi kali ini beliau menekankan pendirian beliau dengan jelas secara langsung tanpa menyebut perkataan “UG” ataupun “kerajaan perpaduan”.

Sebagaimana dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya pagi semalam, Nik Aziz memulakan ucapan perasmian beliau dengan mengimbas apa yang berlaku di Kelantan empat dekad lalu. Pengalaman di Terengganu juga dikongsi.

Pendirian beliau dinyatakan kepada kesemua sayap PAS serentak. Rata-rata mereka yang menghadiri majlis perasmian malam tadi merupakan mereka yang bakal mewarisi kepimpinan PAS pada masa-masa mendatang. Sama seperti pengalaman dilalui oleh Nik Aziz empat lalu.

Dalam ucapannya kira-kira 30 minit, kata Nik Aziz, PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah.

“Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat.

“Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah.

“Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga dalam mendepani cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat. Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pada tahun 1959.

“Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat — selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa,” katanya.

Kata Nik Aziz, PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut.

“Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978,” katanya.

“Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua dalam menongkah perjuangan,” kata Nik Aziz dengan mengulas lanjut bahawa “ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit Umno dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.”

Dengan membawa ahli-ahlinya melihat sejarah, Nik Aziz berkata PAS juga akan tetap bersama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi pilihan raya nanti kerana pakatan itu “semacam” pertolongan daripada Tuhan.

Beliau juga melihat Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Nik Aziz berkata melalui Pakatan Rakyat, ia membuka pintu lebih luas untuk PAS dalam berdakwah menyebarkan Islam kepada bukan Islam.

“Selama ini Islam diajar untuk orang Melayu sahaja di pondok dan tidak kepada bukan Islam,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya agar PAS tidak bergabung dengan Umno yang pernah mengkhianati parti pada 1978 sehingga parti itu terjejas teruk.

Pandangan-pandangan pemimpin spiritual ini turut dikongsi oleh pemimpin lapisan kedua parti Islam ini.

Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata pertemuan kali ini akan lebih menjurus kepada usaha memantapkan PAS dengan mengeratkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat.

“Kita akan lebih kepada soal ini,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan apabila ditanya sama muktamar kali ini khususnya Dewan Ulama akan turut menyentuh isu kerajaan perpaduan.

Sebagaimana dikatakan oleh Nik Aziz, PAS pernah bertanding pilihan raya secara persendirian. Kemudian ia bergabung dengan Barisan Nasional, keluar dan bertanding dalam pilihan raya tanpa gandingan dengan mana-mana pihak. Pada 1990 PAS turun gelanggang bersama Semangat 46 dan kemudian dengan kerjasama Barisan Alternatif sembilan tahun kemudian.

Yang dimaksudkan usaha itu membolehkannya menawan satu negeri, kemudian dua negeri pada 1999 dan lima negeri bersama Pakatan Rakyat.

Kejayaan PAS ini bukan bersama Umno tetapi bersama parti-parti bukan Umno.

Apakah ini memberi nilai tambah kepada PAS sehingga mereka mahu menjauhi daripada idea kerajaan perpaduan Umno-BN?

Dua tahun lalu PAS-DAP-PKR membentuk Pakatan Rakyat susulan pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Pertemuan kali ini akan digunakan untuk mencari jalan memperkukuhkan ketiga-tiga komponen dalam Pakatan Rakyat yang kini memerintah empat buah negeri.

Perak telah beralih tangan awal tahun lalu ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat - masing-masing dua PKR dan seorang DAP keluar parti.

“Kami hendak memperkukuhkan Pakatan tetapi apakah pendekatan kita?” kata Nik Mohd Amar yang cuba menjelaskan pendirian PAS.

“Perlu ada pemahaman... sikap bagi dan terima. PAS boleh menerajui, sebagai contoh dengan urus tadbir yang baik, agar komponen PR boleh menjadikannya sebagai contoh,” kata beliau.

Nik Mohd Amar memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS kini berada dalam kedudukan yang baik memandangkan ahli-ahlinya “lebih terbuka kepada realiti politik semasa.”

“Dalam usaha memperkukuhkan PAS, kami akan meminta ahli-ahli menerima realiti politik semasa,” kata beliau sambil mengakui ia sebagai satu cabaran bagi mengajak ahli-ahli PAS menerima kehadiran DAP dan PKR bersama Pakatan Rakyat.

“Kami mahu memberi tumpuan untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata beliau sambil menambah, respons kepada PAS mengalami pertumbuhan baik.

“Kelab Penyokong PAS, mereka menerima idea negara Islam,” Nik Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Sambil menekankan keperluan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan melupakan idea kerajaan perpaduan, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad berkata sayap PAS itu akan membincangkan usaha-usaha untuk menghalang budaya melompat dalam parti.

Ketika ditemui di Kota Baru malam kelmarin, Kamaruzzaman memberitahu The Malaysian Insider, muktamar kali ini akan membangkitkan syor-syor kepada Pakatan Rakyat tentang cara untuk memilih calon.

“Kami menggunakan kaedah yang ketat dalam memilih calon. Calon yang dipilih melalui pelbagai tahap, mereka yang betul-betul mempunyai perwatakan moral yang baik dan juga komitmen kepada parti,” kata beliau dengan mengaitkan sejauh mana pentingnya kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan sejauh mana seriusnya PAS dalam meneruskan kerjasama ini.

“Ini sebabnya mengapa kerajaan negeri Kelantan walaupun dengan beza satu kerusi boleh kekal antara tahun 2004 dan 2008,” kata beliau lagi.

Dua komponen Pakatan Rakyat — DAP dan PKR kehilagan lebih 10 wakil rakyat sepanjang dua tahun ini.

Ketika ditemui selepas majlis perasmian, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mereka bersama Pakatan Rakyat.

“Tidak, tidak. Bab lama (ini) sudah ditutup. Kita akan bersama Pakatan, ini sudah diputuskan,” kata beliau sambil menambah, Umno lazimnya akan cuba untuk menghidupkan semula isu ini.

“Umno boleh bawa, kami kekal dengan keputusan yang sudah dibuat... tumpuan kali ini ialah memantapkan PAS bersama Pakatan,” kata beliau.

Selepas dua tahun PAS semakin tegas dalam pendirian mereka berhubung isu idea kerajaan perpaduan. PAS kelihatan melihat masa depannya lebih cerah bersama Pakatan Rakyat.

PAS mahu memujuk ahli-ahlinya agar menggunakan peluang terbaik ini untuk menuju Putrajaya bersama DAP-PKR. Cabaran PAS: mengukuhkan kedudukan, memantapkan Pakatan Rakyat dan menjauhi idea kerajaan perpaduan serta tidak mahu mengulangi pengalaman pahit 1970-an. (AK)

Sambut Bola Dengan Penari Separuh Bogel

Penari separuh bogel di Afrika Selatan


Beberapa gadis dan pemuda menari dalam keadaan separuh bogel semasa meraikan ketibaan pasukan bola sepak Chile di Stadium Kanyamazane dekat Nelspruit, Afrika Selatan semalam

NELSPRUIT:
Penonton-penonton perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Chile dan New Zealand semalam dihiburkan dengan kumpulan penari yang terdiri daripada gadis yang mendedahkan payu dara.

Beberapa gadis itu menari tarian tradisional di Stadium Kanyamazane dekat sini bagi meraikan kedatangan kedua-dua pasukan tersebut yang turut bertanding pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kejohanan Piala Dunia itu bermula esok.

Afrika Selatan terkenal dengan pelbagai tarian etnik kerana ia mempunyai banyak kebudayaan tempatan. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bola dan sukan perlu dibersihkan dari gejala-gejala maksiat, seperti judi, dedah aurat, pergaulan bebas dan lain-lain. Terutama, bagi negara-negara umat Islam.

Jadikan PAS Alternatif Efektif Bagi Muslim Melayu -Nik Aziz


Nik Aziz berbual dengan Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh (kanan) selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak di Kota Baru malam tadi. — Gambar Choo Choy May

KOTA BARU, 10 Jun 10 — PAS, rakan komponen Pakatan Rakyat, perlu mempunyai daya penarik yang efektif kepada kaum Melayu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan berkata, PAS perlu mendapat sokongan Melayu dengan kadar yang lebih banyak bagi memastikan kemenangan parti itu, sekali gus menggantikan Umno.

“Kita mahu menjadikan PAS sebagai parti yang menarik kepada Muslim Melayu.

“Semoga dengan jumlah 110 kerusi parlimen yang majoritinya Muslim, akan berlaku suatu pendekatan terbaik bagi menjamin kemenangan Islam setidak-tidaknya kesemua kerusi yang PAS bertanding,” kata Nik Aziz.

“Pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu.

“Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius,” katanya.

Nik Aziz berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat serentak di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa dekat sini malam tadi.

Dengan mengambil kira perkembangan sepanjang dua tahun lalu, tegas Nik Aziz, PAS perlu bergerak cergas mulai sekarang bagi mendapatkan sokongan orang Melayu dengan membawa Islam sebagai ideologi perjuangan parti.

“PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno,” katanya.

Nik Aziz menambah, orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa kris yang dijulang oleh pemimpin Umno “bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.”

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri.

“Projek-projek pembangunan daripada pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup,” kata Nik Aziz yang menerajui Kelantan sejak 1990.

Secara kebetulan muktamar tahunan PAS termasuk ketiga-tiga sayapnya diadakan di Kota Baru memperingati dua dekad pemerintahan PAS di Kelantan.

Dalam ucapannya, beliau juga meminta ketiga-tiga sayap PAS membuat satu panduan terperinci dalam mendapatkan kepercayaan orang Melayu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kali pertama muktamar tahunan ketiga-tiga sayap dirasmikan secara serentak.

Nik Aziz menambah, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama PAS dalam pelayaran bahtera perubahan ini, “PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.”

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran,” katanya.

Nik Aziz menambah, usaha ini perlu dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya.

“Bahkan perlulah sentiasa memilih antara laluan fujuraha (maksiat) dan laluan taqwaha (ketaqwaan).

“Inilah beza antara jemaah Islam dan sekular. Pada sudut inilah, saya meletak harapan besar kepada Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat agar meletakkan keutamaan menguasai sasaran lebih besar pengundi Muslim Melayu,” katanya. (The Malaysian Insider/AK)

Tawarkan Alternatif Baru PR & Ikrar Kpd Rakyat -Nik Aziz

Suasana dewan persidangan di Putik ketika majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak oleh Menteri Besar Kelantan malam tadi - Gambar Choo Choy May

KOTA BHARU 9 JUN 2010: 'Kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.' Begitulah bunyi ikrar yang PAS perlu berani menawarkan alternatif terbaru Pakatan Rakyat dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya.

Demikian antara isi kandungan ucapan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak.

“Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah. Katanya lagi.

“Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa,” sambungnya.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau amat berharap agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Nik Aziz juga berkata, pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu,” kata beliau.

Nik Aziz mengingatkan agar memerhati perkembangan itu dengan serius. Ini kerana menurut beliau, PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

“Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri,” kata beliau.

Justeru, menurut beliau, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

“Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapan awalnya, beliau menegaskan, bahawa masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru. PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana yang diperlihatkan oleh Umno-BN dan negara-negara lain. Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

Nik Aziz juga berkata beliau melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

“Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim (Cina, India, Siam atau Orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja.

“Melayu ajar Melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakan kita adalah madu kita,” kata beliau.

Kata beliau, strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci PAS adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.

“Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” kata beliau.

Atas alasan inilah, tegas Nuk Aziz, beliau mahu PAS dan Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. “Pilihan raya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali,” katanya.

“Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini sebentar tadi. (2MA)

Wednesday, June 09, 2010

Parlimen Baru: Perancangnya 'Saudara Syaitan'?

New Parliament in Putrajaya

Soalan Di Parlimen: Sim Tong Him (Kota Melaka) meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kedudukan project membaik pulih, menaik taraf, mengubahsuai dan bina baru bangunan Parlimen Malaysia dengan butir-butir kerja-kerja yang akan dilaksanakan, jumlah kos terlibat, tarikh kerja dimulakan dan bilakah projek ini akan dapat siap dibina keseluruhannya.

Jawapan: Dato’ Seri Mohamed Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Tuan Yang Di Pertua,

Terdapat cadangan untuk membina sebuah Kompleks Parlimen yang baru di dalam kawasan yang sedia ada. Pembinaan Kompleks Parlimen yang baru adalah bertujuan memenuhi keperluan Parlimen Malaysia di masa akan datang dengan mengambil kira aspek keselesaan, keperluan, kemuduhan dan pertambahan bilangan ahli Parlimen.

Kerja-kerja membaik pulih, menaik taraf dan mengubahsuai bangunan Parlimen sedia ada pula adalah bagi membaik pulih struktur bangunan dan mengganti sistem mekanikal dan elektrik yang telah uzur. Cadangan ini telah di bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Baru-baru ini, Jemaah Menteri telah memutuskan agar bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya manakala bangunan Parlimen yang lama akan dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan. Walaubagaimanapun, butiran lanjut mengenainya masih dalam peringkat kajian oleh JKR.

Sekian, terima kasih.

————————

Parliament may move to Putrajaya
By Asrul Hadi Abdullah Sani | The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, June 9 — The government is considering moving the Parliament to the Putrajaya administrative capital, a move which could cost up to RM800 million.

However, Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Nazri Aziz told reporters that the Cabinet had yet to discuss the relocation.

“It’s not decided yet. We will bring it to the Cabinet to be discussed,” he said.

He added that the Cabinet would also look into possibly demolishing the current Parliament building.

“We will look into every aspect. The Parliament is actually a heritage building so we would have to see if we could demolish it.

The minister said another option would be to refurbish the existing building, which would cost substantially less than a new construction.

“We would need the RM150 million for upgrading [works], like fixing the roof and the electricity supply.

“While for the construction of a new Parliament [building], we might need RM800 million. So we will consider on the best proposal,” Nazri said.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kabinet pertimbangkan parlimen baru RM800 juta di Putrajaya, yang lama jadi bangunan warisan (membazir?). Sedangkan rakyat akan ditarik balik subsidi dengan ugutan 9 tahun lagi negara akan bankrap (tidak cukup duit). Cuba siasat balik, adakah perancang-perancang ini 'saudara syaitan' yang memboroskan harta rakyat? Kerana Nabi SAW berkata, pemboros-pemboros itu adalah saudara syaitan.

Dr Toh Kin Woon Bantah Judi, Cemarkan Fikiran Belia


Dr. Toh Kin Woon
Presiden
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG


PUSAT Pembangunan Kebudayaan LLG membantah kerajaan meluluskan lessen judi bola sepak, tindakan ini bukan sahaja menggalakkan gejala judi, mengaitkan aktiviti sukan dengan judi dan mencemarkan fikiran belia-belia, ia juga tidak dapat membendung perjudian haram secara berkesan.

Presiden LLG Dr. Toh Kin Woon berkata, asas pemberian lesen judi bola sepak – tidak dapat membendung perjudian haram bola sepak dan bagi meningkatkan pendapatan kerajaan – tidak menyakinkan kami. Kegagalan membendung perjudian haram adalah disebabkan kelonggoran penguatkuasaan. Kegiatan rasuah berleluasa di bahagian-bahagian penguatkuasaan ialah tanggapan umum rakyat, kerajaan harus merombakkan pasukan polis dan bahagian penguatkuasaan lain, bukanlah mengetepikan tanggungjawab sendiri.

Hakikatnya, jika bukan hasil cukai kerajaan habis diboros dan disalahgunakan, jika bukan skandal khazanah negara disalurkan ke parti-parti politik sering berlaku, negara kita tidak perlu meningkatkan hasil cukai dengan pendekatan mencemarkan fikiran belia dan membahayakan masyarakat. Seolah-olahnya kerajaan tidak berusaha menangani punca-punca permasalahan tetapi memaksa rakyat memikul beban kegagalan kerajaan.

Ujarnya, Pemimpin kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak dengan alasan “mesti adil terhadap komuniti bukan muslim”, membayangkan orang Cina dan Orang India gemar berjudi, kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab dan cuba merosakkan hubungan baik antara bukan muslim dan muslim. Judi bukan kebudayaan sesesuatu kumpulan etnik, sebahagian orang Cina atau orang India gemar judi tidak bermakna ia budaya seluruh kumpulan etnik, kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak. Beberapa pertubuhan orang Cina telah menyuarakan ketidaksetujuaan terhadap pemberian lesen tersebut. Judi bola sepak merosakkan nilai-nilai moral dan akhlak warganegara tanpa kira kaum.

Selepas kritikan daripada pertubuhan masyarakat madani dan parti pembangkang, kerajaan membimbang untuk meneruskan pertaruhan judi bola sepak, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan baru-baru ini mengatakan lesen judi bola sepak tidak semestinya dikeluarkan.

LLG menyeru pertubuhan masyarakat madani meneruskan protes terhadap isu ini, menghadiri perhimpunan besar yang dianjurkan oleh “Gabungan Rakyat Membantah Judi” (GMJ) pada 3hb Julai 2010 dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara. Rakyat mesti mengambil bahagian dalam isu-isu masyarakat, menerajui agenda rakyat, inilah maksud demokrasi.

Melainkan membantah pemberian lesen judi bola sepak, kami juga menggesa kerajaan menarik balik semua lesen judi Toto/Magnum (menasionalisasikan) dan menguruskan perniagaan tersebut sendiri, kesemua keuntungan akan digunakan untuk kebajikan rakyat. Kerajaan juga harus mengurangkan bilangan pembukaan toto/magnum, menggalakkan rakyat berajin kerja untuk menjana pendapatan, bukan berfikir secara opportunisma dan giat membeli nombor ramalan ekor .

Dr. Toh Kin Woon
Presiden
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG

Kenyataan Media Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG
8hb Jun 2010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails