Monday, June 14, 2010

Perak: BN Akan Tumbag, 3 ADUN UMNO Lompat?


IPOH JUN 14 10: PKR Perak hari ini mendakwa tiga ADUN Umno akan melompat parti kerana dikatakan tidak berpuashati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Pada tahun 2009, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tumbang selepas sepuluh bulan mentadbir Perak selepas tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra BN. Mereka ialah dua ADUN PKR - Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu - dan ADUN DAP Foong Hee Yit.

Hari ini, ketua penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim memberitahu satu sidang media di Ipoh bahawa rundingan sedang berjalan antara tiga ADUN Umno dengan pucuk pimpinan PKR. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama mereka tetapi berkata pucuk pimpinan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya tidak lama lagi serta mengumumkan nama tiga ADUN Umno yang akan melompat menyertai PKR.

Zulkifly juga mendakwa bahawa 12 ketua Umno bahagian di negeri itu juga tidak puashati dengan senario politik di Perak dan meracang untuk menyertai PKR tidak lama lagi. Menurutnya, ahli Umno di negeri itu tidak puas hati dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalalkan pertaruhan sukan dengan meluluskan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd milik hartawan Tan Sri Vincent Tan.

Di samping itu, Zulkifly mendakwa, wujud rasa tidak senang di kalangan ahli Umno di Perak kerana keutamaan dikatakan diberikan kepada ahli-ahli PKR yang melompat parti, berbanding dengan ahli Umno sendiri. Tiada butiran terperinci mengenai terma dan syarat mereka melompat parti. Pemimpin lain PKR di Perak tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Zambry menafikan dakwaan Zulkifly itu dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan. (Sumber Malaysiakini.com AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kalau berlaku betul Kerajaan BN Perak akan tumbang. Atau projek memahalkan diri?

Parti Seks Diserbu Polis.


PATTAYA: 14Jun 10:Sekumpulan pegawai dan anggota polis antipenyeludupan manusia Thailand melakukan serbuan di sebuah kediaman peribadi di sini semasa satu parti seks melibatkan aktiviti bertukar-tukar pasangan diadakan, lapor Pattaya Daily News semalam.

Polis melakukan serbuan setelah diberitahu bahawa satu perhimpunan seks haram sedang berlangsung di Banglamung di sini semalam. Semasa serbuan, polis menangkap 13 suspek terdiri daripada wanita dan lelaki yang sedang berada dalam keadaan bogel selain merampas enam paket kondom, sebuah telefon bimbit dan pelbagai peralatan perangsang seks.

Pemilik kediaman dan pengendali laman web yang mengundang tetamu ke parti itu ialah Thitphat Watthakawimon yang mengaku kepada polis bahawa dia mengundang orang ramai di laman berkenaan bagi menghadiri parti tersebut.

Kesemua yang ditangkap itu akan didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dan memiliki peralatan seks secara haram. - Agensi

Komen Blog Ibnu Hasyim:'Perbuatan tidak senonoh' itu juga dilarang oleh agama Islam. Antaranya termasuk membuat perkara-perkara yang boleh mengheret seseorang kepada perbatan zina atau seks tanpa nikah, menurut agama masing-masing. Semua agama benci kepada perbuatan yang tidak senonoh. Manusia perlu kembali kepada agama atau negara berdasarkan beragama.

Apa Makna 'suami Najib' Sehingga Nik Aziz Tegur Perwakilan PAS.

KOTA BHARU, 13 Jun 10— Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menyakitkan dan mengguris hati pihak tertentu ketika membahaskan ucapan dasar dan usul.

“Saya ada dengar dalam perbahasan dua hari, saya ada dengar perkataan-perkataan yang tidak senang... yang boleh menyakitkan hati orang,” kata beliau ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.

Kata beliau, tindakan sedemikian boleh menyebabkan rasa dendam dalam jangka panjang. Nik Aziz yang tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan pendirian keras mengenai tindak-tanduk pemimpin Umno termasuk presiden-presidennya, hari ini berkata, beliau terdengar ada perwakilan menyindir “suami Najib”.

“Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) ini lelaki, tak baik guna perkataan macam itu, kita tidak boleh gunakan perkataan-perkataan yang menyakitkan hati (dalam perbahasan),” katanya. Ada perwakilan yang menyifatkan “Najib suami kepada isterinya” Datin Seri Rosmah Mansor. Difahamkan istilah itu digunakan untuk merujuk dakwaan dan persepsi sesetengah pihak tentang “pengaruh” Rosmah ke atas Najib. Kata beliau, perwakilan boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu untuk bergurau tetapi jangan sampai menyakitkan perasaan orang lain.

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan sejak 1990 menambah, sebagaimana Nabi Muhammad SAW menggunakan istilah yang halus untuk membuat teguran dan nasihat perwakilan seharusnya sewajarnya menjaga hati orang lain ketika berucap.

“Kita kena mengikut cara Nabi Muhammad yang menggunakan perkataan, ayat (yang halus) untuk mencuri hati orang lain, tidak menyakitkan hati orang lain,” kata beliau.

Muktamar Tahunan PAS Ke-56 yang bermula kelmarin berakhir hari ini. Dalam ucapan ringkasnya Nik Aziz juga mempertahankan langkah diambil oleh PAS untuk menjalin kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat termasuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Sambil menegaskan ini bukan kali pertama PAS menjalin kerjasama dengan pihak-pihak yang boleh diyakini kalangan bukan Islam, Nik Aziz berkata, parti itu sanggup untuk menjalin kerjasama dengan bukan Islam yang tidak menyusahkan berbanding dengan “Umno yang menyusahkan” parti itu.

“Tolong memberitahu kepada Umno... daripada berkawan dengan yang menyusahkan lebih baik (kami bekerjasama) dengan kaum yang bukan Islam,” katanya. (The Malaysian Insider/2MA)

Penjelasan Blog Ibnu Hasyim: 'Suami Najib'? Najib (PM kita) ini lelaki... Suami kepada isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Apakah mereka merujuk kepada persepsi sesetengah pihak, tentang “pengaruh” Rosmah ke atas Najib. Seolah-olah Rosmah itu suami Najib? Mungkin itukah yang Tok guru tegur? Boleh bergurau tetapi jangan sampai menyakitkan perasaan orang lain..

The Malaysian Insider melaporkan, terdahulu dari itu AJK PAS Pusat Hanipa Maidin juga membidas perwakailan yang tidak menghormati demokrasi dan tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad, apabila cepat melenting setiap kali terdapat pandangan negatif atau bertentangan dengan pendapat mereka.

Hanipa memberitahu, sebagai sebuah parti yang melaungkan hak kebebasan bersuara dan mengikut sunnah Rasulullah, pemimpin parti sepatutnya mendengar setiap pandangan dengan fikiran terbuka. “Seharusnya menjadikan muktamar untuk mendengar pandangan semua pihak dan bukannya mudah naik marah dan tidak boleh terima pandangan yang negatif atau bertentangan dengan pendapat umum ahli parti,” kata beliau dipetik Bernama.

Penasihat undang-undang itu merujuk kepada tindakan meminta perwakilan dari Jerantut, Pahang Amirruslan Manaf supaya menarik balik kenyataannya pada perbahasan semalam. Iaitu kenyataan mendakwa Perlembagaan PAS diciplak dari Perlembagaan Umno yang dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian parti.

Timbalan Pengerusi Tetap Hussin Ismail meminta Amirruslan berbuat demikian kerana ramai pemimpin dan perwakilan tidak berpuas hati dan mempersoalkan kesahihan dakwaan itu. Hanipa turut kesal dengan tindakan mengejek perwakilan Pahang itu, dan mendesak kepimpinan memohon maaf kepada Amirruslan.

Hanipa turut mempersoalkan kenapa anggota dan pemimpin PAS perlu melenting dan marah sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dan memberikan jawapan pada sesi lain dalam muktamar itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Begitulah seni berpolitik dalam muktamar PAS kali ini...

Sunday, June 13, 2010

UMNO Biawak Hidup, Jangan Dicakar Lagi -Abd Hadi


PENGKALAN CHEPA, 13 Jun 10: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak perpaduan dengan Umno kerana tidak mahu menanggung "biawak hidup" dan yakin tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Berucap sewaktu penangguhan Muktamar Tahunan kali ke-56 di Pusat Tarbiayah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini, beliau juga berkata, Umno juga telah rosak akibat amalan rasuah yang berleluasa diamalkan mereka.

"Kita menolak perpaduan dengan Umno. Perpaduan menanggung biawak hidup, menyanjung rasuah," katanya. Keburukan Umno juga katanya turut diakui bekas pemimpin mereka sendiri yang melihat Umno sudah tiada masa depan. Umno juga katanya sudah jelas ditolak rakyat semenjak PRU ke-12 lalu.

"Tak ada pasal-pasal kita nak pikul orang yang sakit sampai ke usus ini," katanya lagi.

Menjelas lanjut pada sidang media selepas itu, ustaz Hadi mengulangi penegasannya bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno. Ianya antara lain kerana Umno juga mengamalkan perkauman sempit.

"Gagasan dengan BN tak boleh selesai masalah kerana mereka masih tebal dengan perkauman malah dibejati dengan rasuah," tegasnya.

Ahli PAS di segenap peringkat katanya mempunyai tugas besar untuk membebaskan bangsa Melayu dari kejahilan perkauman yang telah ditanam Umno. Umno katanya terlalu mementingkan bangsa dari agama sehingga sanggup menjadikan bangsa sebagai akidah perjuangan mereka. Semangat asobiyah katanya juga tidak salah, namun perlu dimanfaatkan untuk perjuangan Islam.

"Tak salah sayang bangsa sendiri, tapi jangan sampai bangsa dijadikan akidah.

"Islam dulu baru asobiyah," katanya lagi.

Mengulas muktamar pula, beliau berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan sepanjang muktamar berlangsung. Perwakilan katanya dilihat bersedia malah isu yang dibangkitkan juga dikupas dan dibahas dengan jelas. Malah lebih penting katanya, muktamar PAS kali ini berlangsung dalam suasana penuh persaudaraan yang dapat disaksikan oleh kesemua yang hadir.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pepatah Melayu kata 'Bagai mendukung biawak hidup'. Cuba bayangkan orang yang cuba mendukung biawak hidup, akhirnya kena cakar dada. Kalau tanggung, kena cakar belakang. Itu yang berlaku di zaman PAS di bawah pimpinan Datuk Asri Hj Muda. Waktu kerjasama dengan UMNO bawah ayah Najib Tun Razak lain, kerjasama bawah ayah Hishamuddin Tun Hussain lain.

Maaf. tolong jangan dipagut ular dua kali dalam lubang yang sama.

Bergantung Pada Bukan Islam Tetapi... -Nik Aziz & Abd Hadi


KOTA BHARU JUN 13 10: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, bagi menjayakan perjuangan Islam, umat Islam masih perlu bergantung kepada masyarakat bukan Islam bagi menjayakannya.

Katanya, Nabi Muhammad - yang diibaratkannya sebagai "pemandu pertama" ajaran Islam - juga melakukannya pada zaman awal penyebaran agama Islam, termasuk mendapatkan perlindungan daripada bapa saudaranya Abu Talib yang tidak memeluk agama itu.

Mengaitkannya dengan politik semasa di mana PAS bergabung bersama parti bukan Islam seperti DAP, Nik Aziz berkata,
tahaluf atau kerjasama politiknya dalam Pakatan Rakyat mengambil iktibar daripada sunah Rasulullah itu.

"Bagaimana hendak bawa Islam kalau timbul lagi isu tahaluf (kerjasama), dulu dengan Semangat 46, sekarang ini dengan DAP? (Hendak) marah kita kawan dengan DAP.

"Tolong beritahu pada Umno, bagaimana susah nabi (berjuang) sampai kena potong perkataan 'rasulullah' dalam perjanjian dengan Mekah. Sampai begitu Nabi buat asal Islam boleh bertahan," katanya yang juga menteri besar Kelantan.

Nik Aziz berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan mursyidul am dalam muktamar PAS ke-56 bertemakan "Islam Adil untuk Semua" di Pengkalan Chepa petang ini.

Dalam perjanjian Hudaibiah antara Nabi Muhammad dan kafir Quraish, baginda terpaksa menggugurkan perkataan "rasulullah" sebagai gandingan namanya kerana bagi menjayakan 'gencatan senjata' dengan golongan itu. Walaupun ditentang banyak sahabatnya, tindakan itu akhirnya membawa banyak faedah kepada kerajaan Islam yang baru bertapak di Madinah ketika itu.

Abdul Hadi: Politik berbeza dengan sembahyang

Sementara itu, berucap selepas itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula kali ini konsisten menyuarakan pandangan yang sama dengan Nik Aziz, walaupun tahun lalu beliau sering dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

Abdul Hadi menjelaskan, kerjasama politik yang diamalkan dalam Pakatan - bersama PKR dan DAP - sekarang ini dibuat berdasarkan al-Qurdan dan diizinkan syarak.

"(Sebaliknya) kerjasama (dengan) umno dalam menggadaikan prinsip dan akhlak. Dan ia tidak boleh dijadikan contoh dalam Islam," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Katanya, berdasarkan al-Quran dan muzakarah ulama yang dirakamkan dalam kitab-kitabnya, umat Islam dibenarkan melibatkan masyarakat bukan Islam dalam urusan politik.

"Amalan politik dalam Islam berbeza dengan sembahyang. Dalam sembahyang jemaah, imam (mesti) Islam, makmumnya Islam.

"Dalam politik, pemimpinya Islam, (tetapi) petugasnya boleh diambil daripada kalangan Islam dan bukan Islam," kata Abdul Hadi lagi.

Dengan ucapan itu, muktamar PAS ke-56 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu, yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan, berakhir hari ini. (2MA).

PR Akan Tumbang Di S'ngor -Pengarah P'raya PAS

KOTA BHARU. JUN 13,10: "Pakatan Rakyat berpotensi tewas di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya trend kemerosotan undi Melayu dan India di Hulu Selangor berterusan, kata Pengarah pilihan raya PAS, Abdul Halim Abdul Rahman hari ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu ekoran kemerosotan 6 peratus undi Melayu dan 10 peratus undi India dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen itu April lalu. "Kalau trend ini berterusan, kerajaan Selangor dan PAS hanya akan tinggal 2 kerusi sahaja di negeri itu," katanya.

Menyampaikan ucapan penggulungan dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Halim berkata penentuan kemenangan dalam pilihan raya akan datang bergantung kepada sokongan 4 juta orang muda yang masih belum mendaftar mengundi. Beliau juga mengingatkan kerajaan di negeri-negeri Pakatan dapat memainkan peranan bagi "membantu" menggerakkan parti di negeri masing-masing.

"Kekuatan di Kedah dan Selangor tidak sama seperti di Kelantan. (Ia) jauh kerana di Kelantan kerajaan banyak tolong gerakkan parti," katanya. Mengulas fenomena di Kelantan - negeri kubu kuatnya - pula, Abdul Halim berkata, berdasarkan kemerosotan sokongan 6.3 peratus dalam pilihan raya DUN Manek Urai, PAS kini bergantung kepada 24 kerusi bagi mempertahankan penguasaan di negeri itu, Beliau juga berkata, 18 lagi kawasan dalam negeri itu masih dikira "kawasan kelabu." (2MA)

Radhi Md Din Rasmi Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi.

SUKAN

KOTA BHARU.JUN 13, 10: PAS kini menampilkan bintang bola sepak negara Radhi Mat Din sebagai 'ikon' kempen menentang pemberian judi sukan di negara ini.

Dalam ceramah perdana sempena muktamar PAS ke-56 malam tadi, Radhi diminta merasmikan Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) - gabungan NGO dan pembangkang khusus khusus untuk menggagalkan usaha kerajaan itu.

Tampil dalam gaya kasual - berseluar trak dan berkemeja-T di hadapan kira-kira 3,000 penyokong pembangkang - Radhi mengimbau kembali bagaimana 'runtuhnya' kegemilangan bola sepak di zamannya lebih 10 tahun lalu akibat perjudian haram dan rasuah.

Menceritakan pengalaman peribadinya, Radhi berkata, ketika mengetuai pasukan Kedah pada tahun 1996 berlaku "peristiwa malang" apabila seramai 136 orang telah dituduh terlibat dalam rasuah yang diakibatkan oleh aktiviti pertaruhan haram.

"(Permainan) bola ini tiada kaitan langsung dengan judi. Malangnya sekarang sukan bola sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini. Ini umpama lain yang sakit, lain pula yang diubatnya.

"Kerajaan seharusnya mengetatkan penguatkuasaan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membenterasnya," katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Kedah.

Radhi, anak kelahiran Kedah merupakan kapten paling lama dalam skuad hijau-kuning. Pemain tengah itu pernah mewakili negara dan menempa populariti dalam liga semi pro negara sekitar 90-an.

Penampilannya malam ini dilihat bagi menarik sokongan peminat bola sepak tempatan yang merindui aksi-aski menarik sekitar zaman bola sepak tempatan yang mendapat perhatian besar ketika itu.

Ajak Dr M, Pak Lah berdemo

Berkongsi pentas bersama Mursyudul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Radhi menyuarakan kebimbanganya terhadap kemerosotan mutu bola sepak negara secara lebih serius.

"Yang menjadi pertimbangan utama kepada penontong selepas ini bukan kualiti permainan tetapi untung atau rugi, kaya atau miskin, dapat duit atau tidak," katanya.

Dalam ceramah di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Radhi membuat 'pendedahan' yang mengejutkan sebahagian penyokong yang hadir.

"Sebenarnya judi sukan bola sepak ini boleh dipecahkan kepada perbagai pertaruhan.

"Antaranya pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi," katanya.

Katanya, jika usaha bagi meluluskan pemberian lesen judi tidak dihalang, apa bakal ditonton bukanlah permainan bola sepak sebenar tetapi hanyalah "lakonan permainan bola", katanya.

Radhi juga menyeru dua bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi supaya turut serta dalam perhimpunan di Istana Negara pada 3 Julai depan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya berjanji akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong Gerakan Rakyat Membantah Judi ini.

"Ini penting bagi mempastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan," tambahnya.(AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails