Friday, October 01, 2010

Galas: Ku Li Lwn Nik Aziz -Dr P. Sivamurugan

Pertempuran Personaliti Ku Li & Nik Aziz Di Galas

KL 1 OKT 10: Keputusan pucuk pimpinan Nasional (BN) memilih pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya parti bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang dialu-alukan oleh parti komponen BN dan penganalsis politik.

Mereka yakin personaliti utuh anggota Parlimen Gua Musang itu akan menjadi faktor utama yang dapat membantu BN merampas semula kerusi DUN Galas, berdasarkan rekod baik dan pengaruh beliau di kawasan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berkata bagi memenangi semula sokongan kepada BN di Galas, tiga puak dalam Umno Kelantan perlu memberikan sokongan padu kepada Tengku Razaleigh.

"Mereka perlu menggunakan strategi Manik Urai, iaitu hanya ada satu pasukan," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Sivamurugan berkata walaupun Tengku Razaleigh mendapat sokongan padu daripada partinya di Gua Musang, beliau masih perlukan sokongan pemimpin Umno negeri seperti pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pengerusinya Tan Sri Annuar Musa dan timbalan pengerusi sekarang Datuk Dr Awang Adek Hussein untuk membantu beliau sebagai pengarah pilihan raya.

"Jika mereka ini tidak memberikan sokongan padu kepadanya, dengan itu agak sukar bagi Tengku Razaleigh walaupun beliau merupakan ikon di kawasan itu," katanya.

Tengku Razaleigh menjadi Adun bagi Hulu Kelantan Barat pada 1969 dan kemudiannya anggota Parlimen Hulu Kelantan sejak 1974. Hulu Kelantan kemudiannya diubah nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept.Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memperoleh 4,399 undi, menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Selain memilih Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya, pucuk pimpinan BN juga berkata mereka akan memilih calon setempat untuk bertanding di kerusi itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, jumlah yang mengundi di kerusi ini agak tinggi, kira-kira 80 peratus ekoran kedua-dua pihak meletakkan calon setempat berwibawa. Bagaimanapun, satu-satunya masalah yang perlu ditangani BN ialah mengenai kemerosotan sokongan di kalangan bukan Melayu," kata Sivamurugan.

Hakikatnya, katanya kegagalan BN mengekalkan kerusi itu pada 2008; pertama kali mereka tewas, adalah disebabkan kemerosotan sokongan daripada pengundi Cina kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.

Menurut senarai daftar pemilih yang lepas, terdapat 10,330 pengundi di kawasan itu, 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 10.5 peratus Orang Asli dan 1.8 peratus India. Kebanyakan masyarakat Cina tinggal di pekan Gua Musang.

"Kaum Cina pasti akan terpengaruh dengan pilihan raya kecil ini. Oleh itu, strategi BN perlu menumpukan mengenai bagaimana mereka memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang, iaitu kerana faktor calon dan bukannya faktor parti," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chiang Chin berkata kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN di kawasan itu tidak boleh dipersalahkan bagi keputusan pilihan raya umum di kawasan itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan agak huru-hara. Sebab itu kita menyaksikan penurunan sokongan kaum Cina. Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil kelak, dengan jentera yang lebih tersusun dan lebih bersedia, kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.

Walaupun Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, masih merupakan pertandingan yang sukar bagi BN ekoran beberapa isu.

Seperti ditegaskan oleh Sivamurugan, isu utama ialah royalti minyak untuk Kelantan.

"PAS pasti akan memainkan isu bagaimana Tengku Razaleigh menyokong kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam tuntutan bagi royalti minyak.

"Sebab itu kenapa dalam pilihan raya kecil ini, kita bakal menyaksikan pertempuran personaliti antara Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik (Abdul) Aziz Nik Mat," katanya. -BERNAMA

---------------------------------
Sila layari dan ikuti PRK Galas dari awal ...

E-Buku IH-14: P/Kecil DUN Galas

Antara kandungan:

Bab 1

Bab 2
Insya Allah liputannya bersambung hingga selesai pilihan raya kecil ini.
----------------------------------

Thursday, September 30, 2010

Perang PERKASA Lwn Nah, Siapa Perkauman?

KAJANG 30 SEPT 10: Kira-kira 100 mahasiswa Kolej New Era di Kajang hari ini berhimpun bagi menuntut pentadbiran universiti itu menarik balik pembatalan program Namewee di tempat mereka malam ini. Kumpulan yang dipimpin oleh majlis perwakilan mahasiswa dan persatuan pengajian medianya antaranya bagi menyatakan sokongan kepada penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi itu.

Mereka mempertikaikan tindakan kolej berkenaan yang membuat pembatalan mengejut itu tanpa mendapatkan sebarang pandangan daripada mahasiswanya. Kolej New Era tidak memaklumkan keputusan pembatalan itu sebelum membuat kenyataan kepada pihak media, dakwa mereka. Malaysiakini difahamkan kedua-dua pihak, mahasiswa dan pentadbiran kolej milik Dong Zong - NGO pendidikan Cina terbesar masih belum membuat keputusan berhubung

Antara cadangan yang dikemukakan adalah semua pihak - pelajar, Namewee dan juga PERKASA bersemuka dan berdialog bagi mencari jalan penyelesaian.

Kolej itu pagi ini membatalkan persembahan Namewee di kampus Kajang ekoran hasrat PERKASA untuk 'mengekori' ke mana saja penyanyi rap kontroversi itu mengadakan siri jelajahnya.

Siri jelajah itu diadakan sempena 'Nah' - tajuk video terbaru Namewee yang menyentuh mengenai isu perkauman di negara ini yang membabitkan beberapa pengetua sekolah yang menghamburkan kata-kata perkauman kepada masyarkat Cina dan India. Bagaimanapun bahasa yang digunakan dalam videonya itu dikatakan tidak bersesuaian dan menghina orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, kolej itu menjelaskan tindakan itu diambil kerana mereka tidak gembira dengan insiden yang berlaku di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebelum ini. Kelmarin, perkarangan KLSCAH kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang anggota PERKASA bagi membantah tindakan Namawee yang melancarkan albumnya. Beberapa orang daripada mereka membawa sepanduk PERKASA, bendera Malaysia dan membakar gambar Namewee.

PERKASA semalam 'mengisytiharkan' perang terhadap penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi Namewee selepas album sulungnya dilancarkan beberapa hari lalu. Ketua Wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah berkata, sebagai "panglima perang dan hulubalang Melayu" mereka akan sedia mengekori ke mana saja Namewee mengadakan siri jelajah dan persembahannya selepas ini.

"Kami sambut (siri jelajahnya) dengan tangan terbuka. Kalau dia buat konsert di dalam (dewan), kita akan 'berkonsert' di luar," katanya ketika diminta mengulas rancangan terbaru artis muda itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Hentikan perkauaman sempit. (Sumber Malaysiakini)

Sebelum ini...

KDN Larang Buku Ini Kerana Timbulkan Kebencian...




KDN Larang Penerbitan Buku Tulisan Kim Quek

KL Khamis Sept 30,10: Kementerian Dalam Negeri telah mengenakan perintah larangan terhadap sebuah buku tulisan Kim Quek yang boleh menghasut pembaca untuk membenci Perlembagaan.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku bertajuk 'The March to Putrajaya-Malaysia's New Era Is At Hand' tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Bahan penerbitan itu dikenakan Perintah Larangan kerana isi kandungannya mempunyai unsur-unsur tohmahan dan spekulasi serta tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin negara serta boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan masyarakat.

"Sekiranya ia dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Mahmood berkata mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Buku "The March to Putrajaya - Malaysia New Era Is At Hand" itu yang mengandungi 361 muka surat dikatakan memutar belit banyak perkara dan menghasut rakyat untuk membenci Perlembagaan. -BERNAMA

1 Israel Mampus, Ganti 500 Rakyat Palestin -Michael Ben-Ari


Tel Aviv, Thursday, 30 September 2010: Michael Ben-Ari, ahli Knesset yang terkenal radikal mengatakan, "Jika seorang warga Israel mati, maka perlu dibayar dengan 500 nyawa rakyat Palestin."

Menyusul laporan sebuah organisasi Israel Betsalam mengenai terkorbannya 6,371 warga Palestin dan 1,083 warga Zionis dalam 10 tahun terakhir, Michael Ben-Ari menyatakan, "Tentera Israel paling tidak, perlu membunuh 500 warga Palestin jika seorang warga Israel terkorban di tangan kelompok pejuang Palestin."

Di sudut lain, Jabatan Informasi Palestin dalam statemennya mengutuk keras kenyataan itu dan menyebut rejim Tel Aviv sebagai punca dari fenomena terorisme dan instabiliti di kawasan. Pemimpin Israel dengan kenyataan arogannya menambah parahnya krisis di kawasan. (IRIB/AK)

Iran: Bot Terbang Pula!

JOM KREATIF

Bot Terbang pula!

Sehari dua lepas, Iran memperkenlakan 'Bot terbang' atau 'Flying Boat' pula. Iran yang dilabelkan sebagai negara 'Paksi Kejahatan' oleh AS telah berjaya mengejutkan dunia dengan kecanggihan teknologi ketenteraan yang mereka miliki. Inilah antara negara Islam yang masih boleh dan kuat bertahan dari tekanan Amerika dan sekutu-sekutunya, terutamanya Israel dalam mengekang sumber-sumber perolehan bahan-bahan mentah dan material, terutamanya aspek pembangunan teknologi pertahanan.

Iran kerap buat gempar dengan pelbagai berita ketenteraan, bermula dengan teknologi nuklear, kapal terbang tanpa pesawat, misi dari kelas Fajr, kereta kebal, kapal selam, pesawat pejuang dan juga latihan ketenteraan skala besar yang sedikit sebanyak telah menarik perhatian dunia, betapa agresifnya negara ini dalam mempertahankan daulah dan haknya. Difahamkan menerusi jurucakap Ketenteraan Iran, Angkatan tentera Pasukan Pengawal Revolusi Iran telah mula menerima skuadron 'Bot Terbang' dan ianya akan dikendalikan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Elite Iran.

Setakat ini, pasukan tersebut telah menerima 3 skuadron bot terbang itu. Dengan situasi semasa dan rantau Timur Tengah yang sedang bergelojak dan kurang stabil sosio-politiknya, Iran semakin berani untuk mengumpul kekuatan ketenteraan untuk menghadapai sebarang ancaman yang tidak diduga. Bot terbang ini dilengkapai dengan senjata api, dan boleh diterbangkan sama ada malam dan siang dengan dilengkapi alat pandang malam yang terbaik.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kamera canggih yang akan digunakan untuk menangkap gambar ketika melakukan tugas-tugas pengawasan dan pemantauan. Menurut Pegawai Pemerintah Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Ahmad Vahidi sebagai memetik dari kata-katanya...

”Dengan teknologi rekabentuk yang termaju dan canggih tiada radar sama ada di laut, udara dan darat boleh mengesan kewujudan bot terbang ini. Ianya dapat bergerak dengan baik untuk keluar dari laut”.

Teknologi pembuatan bot ini, adalah hasil dari kejuruteraan tempatan. Ianya adalah satu kebanggan bagi industri teknologi ketenteraan bagi negara tersebut. Bot ini bakal ditugaskan dan diberi tanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas pengawasan, pemantauan sempadan perairan negara tersebut. Bahan-bahan yang diperoleh menerusi kameranya bakal dipindah segera kepada pihak pemerintah skuadron untuk tindakan selanjutnya.

Bot ini juga, boleh dibekalkan dengan misil dan ianya dapat melancarkan misi dengan tepat ke sasaran ketika sedang bergerak laju.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan persiapkanlah (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda yang disiap siaga. Dan dengan kekuatan itu, kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu." Surah al-Anfal ayat 60

Sila lihat siri Jom Kreatif yang lain dalam E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..'

-----------------------------------------------------------------

Sila lawati E-Perpustakaan IH.....

Rak 1
Rak 2
Akan bertambah lagi e-buku-buku seterusnya.

Mahyudin Cuba Bunuh Masa Depan Politik Ku Li

KOTA BHARU, 30 Sept 10: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikatakan cuba membunuh masa depan politik YBM Tengku Razaleigh Hamzah atau KuLi. Demikian kata seorang pengomen Blog Ibnu Hasyim, yang memberi komen mengenai Ku Li yang dilantik sebagai Penagarah PRK BN di Galas, katanya...

"Apabila Mahyudin dengan serta merta mengisytihar Ku Li sebagai Pengarah PRK Galas, bererti Mahyudin nak bunuh masa depan politik Ku Li. Hampir mustahil Ku Li boleh menggunakan pengaruhnya."

Menurutnya, ada beberapa sebab kenapa karier politik Ku Li perlu dibunuh.

1. Ku Li menyokong Kerajaan Kelantan menuntut hak royalti minyak Kelantan.
2. Ku Li akan menang sebagai Presiden UMNO jika pemilihan parti diadakan secara undian oleh semua ahli.
3. Ku Li sekarang kelihatan seperti menentang pelantikan Sultan Kelantan yang baru selepas adiknya yang juga abang Ipar Sultan Ismail Petra dipecat dari Majlis Perajaan Negeri dan juga dari menjadi orang kuat Istana Sultan kelantan.
4. Semua rahsia kerenah dan tingkahlaku Tun Razak semasa dalam kabinet dan UMNO serta Najib sendiri ada dalam tangan Ku Li.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun, tidak menolak PAS menghadapi sedikit masalah dengan perlantikan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurutnya, Ku Li telah memperlihatkan kewibawaannya sebagai pucuk pimpinan apabila berjaya mengalahkan Kelantan pada tahun 1978 sewaktu menjawat jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri. “Bagaimanapun kita akan sentiasa berhati dan terus berhati-hati memandangkan sikap PAS sendiri yang sedemikian dalam setiap pilihan raya,” ujarnya. (AK)

---------------------------------
Sila layari dan ikuti dari awal ...

e-Buku IH-14, 'P/Kecil DUN Galas'

Antara kandungan:

Bab 1

Bab 2
Insya Allah liputannya bersambung hingga selesai pilihan raya kecil ini.

Galas: Tentukan Undi Melayu PRU 13 -Merdeka Center


CEO Merdeka Center, Ibrahim Suffian

KL, 30 Sept 10: Bakal pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dilihat akan menjadi indikasi arah aliran sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil awal tahun depan, demikian menurut penganalisis dan ahli-ahli politik.

Malah, penganalisis juga berkata pertarungan untuk menguasai kerusi DUN Galas akan menyaksikan kemunculan isu-isu menyentuh kedudukan orang Melayu secara lebih agresif oleh kedua-dua Umno dan PAS. Bagaimanapun mereka tidak menolak pengundi masyarakat minoriti, membabitkan kaum-kaum lain termasuk Orang Asli, akan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan keputusan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008. “Saya melihat pilihan raya kecil Galas akan menjadi petunjuk tentang kedudukan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“Memandangkan kerusi ini terdiri daripada 70 peratus pengundi Melayu, ini akan menjadi tempat di mana Umno akan berusaha membuktikan bahawa ia parti pembela lebih baik berbanding PAS, malah lebih baik berbanding PKR,” kata beliau lagi.

PAS dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat (PR). Sehubungan itu Ibrahim memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi petunjuk langsung sama ada pengundi Melayu memihak kepada PR ataupun Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerusi yang akan menggambarkan bagaimana pengundi Melayu akan bertindak,” kata beliau dengan merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Ini salah satu daripada beberapa kerusi dalam Kelantan yang bukan memihak kepada PAS (selama ini).

“Jika Umno menang, mereka akan kelihatan kuat dan adalah baik bagi mereka,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun penganalisis menekankan, kerusi DUN juga mempunyai pengundi bukan Melayu dalam jumlah yang signifikan. Oleh itu katanya, jika kedua-dua pihak cuba memainkan isu perkauman, langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan pengundi minoriti kalangan Cina, India dan Orang Asli.

“Anda boleh lihat bahawa sejak kebelakangan ini PAS meletakkan diri mereka sebagai parti yang bukan sahaja memikat pengundi-pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi Cina dan India.

“Ada juga pandangan bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu boleh menentukan kemenangan pilihan raya kecil pada saat-saat akhir,” kata Ibrahim.

Malah beliau juga percaya bahawa tindakan kerajaan persekutuan dalam menghalang pembinaan gereja Orang Asli dekat Gua Musang akan memainkan peranan dalam arah aliran undi di kerusi DUN Galas. “Secara tradisi undi Orang Asli sangat kuat bagi BN,” katanya.

Oleh itu kata beliau, mengambil kira perkembangan terbaru ia kemungkinan akan memberi kesan dalam arah aliran sokongan Orang Asli. “Apa sahaja yang berkaitan dengan isu agama, adalah isu yang menyentuh emosi dan boleh mempengaruhi pengundi,” kata beliau yang merujuk kepada lebih 1,000 pengundi Orang Asli yang bakal membawa kesan besar kepada BN.

Awal bulan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengarahkan pembinaan gereja konkrit dibina oleh masyarakat Kristian Temian di Pos Pasik. Profesor Shamsul Adabi Mamat pula percaya PAS dan Umno akan memainkan isu-isu kaum dalam beberapa minggu menjelang pilihan raya kecil nanti.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya kecil Galas sudah pasti akan menjadi ujian bagi Umno sama ada ia boleh menarik penyokong kalangan Melayu di negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990. (Sumber: The Malaysian Insider).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails