Monday, May 09, 2011
Esok Gula Pula Naik 20 Sen 1 Kg
KL, 9 Mei 11: Bemula esok, rakyat Malaysia terpaksa membeli gula dengan harga RM2.30 sekilogram iaitu peningkatan sebanyak 20 sen berbanding harga sekarang RM2.10.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom yang berkata kenaikan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada hari ini.
Kenaikan itu berlaku selepas lima hari rakyat negara ini dikejutkan dengan kenaikan 20 sen harga petrol RON 97 yang kini dijual dengan harga baru RM2.90 seliter
Jelas Mohd Zain, walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.
"Langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat," kata Mohd Zain.
Penyelarasan subsidi itu akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6juta.
Sebelum ini banyak pihak menyelar tindakan kerajaan dalam usaha mereka 'menyelaraskan subsidi' beberapa barangan keperluan rakyat selaku pengguna.
Kenaikan harga gula ini, turut dibimbangi akan memberi kesan kepada kepada harga makanan dan minuman pula.
Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).
Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram. (IH)
Wanted Osama USD50J,Selesai. Yang Ini Bila Lagi?
CATATAN PERJALANAN: Medan-Banda Aceh 11
SESEORANG saya temui di lobi sebuah hotel di Bandar Aceh, berkata, "Osama, wanted dead or alive. Reward USD50 juta .. Semuanya selesai sekarang. Cuma yang ini belum lagi.."
Beberapa orang di situ terkejut, "Siapa?"
"Bunuhnya, dapat pahala dan dapat duit! Cuma kurang sikit USD 1 juta... Kalau berani, bunuh orang ini.."
"Siapa??"
"Dia adalah novelis Salman Rushdie yang terkenal dengan bukunya berjudul "Ayat-Ayat Setan" atau dalam bahasa Inggeris "The Satanic Verses". Dia cabut lari ke England setelah bukunya banyak timbulkan kemarahan umat Islam.. hina Islam! Hina Nabi Muhammad!!" jawab orang itu.
Teringat, Februari 1989. Ayatullah Khomeini menjatuhkan hukuman mati pada pengkhianat Salman Rushdie. Novel Salman, Ayat-Ayat Setan, dinilai Khomeini menghina Islam. Seorang pengusaha Iran kemudian menyediakan sejumlah hadiah bagi mereka yang dapat membunuh novelis asal India itu.
The Satanic Verses adalah novel ke-empat karya Salman Rushdie. Yang pertama diterbitkan pada tahun 1988. Sebahagian dari kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diputarbelitkan dengan niat jahat. Novel ini, menggambarkan tokoh utama, bernama Mahound (merujuk pada Nabi Muhammad) diceritakan secara kilas balik paralel dengan dua tokoh utama lainnya Gibreel Farishta dan Saladin Chamcha.Di Great Britain, novel ini menjadi finalis Booker Prize tahun 1988, walaupun dikalahkan oleh Oscar and Lucinda karya Peter Carey yang menang Whitbread Award 1988 untuk novel terbaik tahun itu.
Namun bagi masyarakat Muslim, novel ini menghasilkan kontroversi yang luar biasa. Sebuah fatwa yang dikeluarkan terhadap penulis oleh pemimpin spiritual Iran, Ayatollah Khomeini. Hadiah 1 juta dollar telah diajukan kepada siapa saja yang membunuh Rushdie dan 3 juta dollar jika pembunuhnya adalah warga Iran.
Negara-negara lain segera ikut dalam kehebohan ini. Venezuela melarang buku tersebut dan mengancam 15 bulan penjara kepada siapapun yang membacanya. Sementara di Jepun, seorang penterjemah yang terlibat dengan buku tersebut ditikam sampai mati. Buku ini tidak boleh beredar di India, dan banyak yang dibakar pada demonstrasi di Britain. Novel ini juga menimbulkan kerusuhan di Pakistan pada tahun 1989.
Saya ingat, waktu itu saya pernah dipanggil berceramah di Yala, Thailand. Berceramah diperkarangan sebuah surau mewakili majalah Al-Ummah' yang saya pimpin waktu itu, sambil memegang senjata M16 plastik sebagai simbul kewajipan membunuh Salman Rushdie tersebut. Selepas itu diadakan perarakan dan berceramah di atas jeep pula, mengelilingi bandar Yala. Besoknya saya diberi tahu, terpapar gambar saya yang sedang berceramah di tv Thailand bahagian selatan. Ceramah-ceramah anti hina Nabi diadakan serentak di banyak negara di dunia, termasuk Malaysia.
Saya masih ingat, saya berceramah menekankan bahawa dalam Islam mesti ada orang yang membela kebenaran sewaktu Allah dan Rasulnya dihina. Maruah agamanya dicabar. Umat Islam tidak dayus. Apabila melihat suatu mungkar, apalagi dalam membela maruah Islam, hendaklah merubah 'dengan tangan' atau kekuasaan. Kalau tak boleh juga, perlu 'dengan mulut', dakwah, demontrasi dan lain-lain. Tak boleh juga, tanda teruk sangat, baru 'dengan hati', itupun termasuk dalam golongan yang paling 'lemah iman'nya.
Berkait mengenai maruah dan penghinaan ke atas Islam..
Sejarah mencatatkan kisah seorang Muslimah dari keturunan Bani Hashim.. Dia sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kekuasaan Romawi, di utara benua Asia, Yakni tepatnya di kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Semasa sedang berjalan, Muslimah itu diganggu oleh seorang lelaki Romawi dengan menyentuh hujung tudung atau jilbabnya hingga dia secara spontan menjerit, "Wa Mu'tashamah....!" Ertinya, "Dimana kau Mu'tasim...Tolonglah Aku"
Siapa Mu'tasim? Dia adalah khalifah al-Mu'tasim, khalifah Bani Abbasiyah (833-842 Masehi). Tercatat dalam kitab 'al-Kamil fi al-Tarikh' karya Ibn Al-Athir. Peristiwa bersejarah tersebut terjadi pada tahun 223 Hijriyyah, dalam judul 'Penaklukan kota Ammuriah'. Ketika itu, al-Mu'tasim, khalifah di masa Bani Abbasiyah, sedang memegang gelas untuk minum. Bila didengarnya seorang wanita Muslim dilecehkan oleh tentara Romawi, Khalifah pun langsung berseru kepada panglima perangnya agar bersiap menuju Ammuriah, tempat dimana muslimah tersebut berteriak meminta tolong.
Puluhan ribu tentera dari gerbang ibukota di Baghdad hingga ujungnya mencapai kota Ammuriah, bergerak membela maruah muslimah ini. Berlaku pada April, 833 Masehi dari Baghdad menuju Ammuriah. Kota Ammuriah dikepung oleh tentera Muslim selama kurang lebih lima bulan hingga akhirnya takluk di tangan Khalifah al-Mu'tasim pada 13 Ogos 833 Masehi, sebagai pembebasan Ammuriah dari jajahan Romawi. Hanya bermula dari seorang Muslimah yang dilecehkan maruahnya!
Pada zaman Nabi Muhammad SAW pun ada kisah begitu!
Ada seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa, dengan diam-diam dia ikat tepi baju seorang muslimah sehingga bila bangun menyebabkan tubuh muslimah itu tersingkap nampak aurat. Ertinya dia cuba menjatuhkan maruah seorang wanita Islam. Menganiaya kehormatan seorang Muslimah, bererti juga menghina agama Islam.
Waktu itu seorang lelaki Muslim kebetulan berada di sana. Demi mempertahankan maruah Islam dia membunuh orang Yahudi itu. Orang-orang Yahudi pun angkat geng, membalas dengan membunuh orang Muslim itu. Keluarga Muslim itu pun memanggil kaum Muslimin untuk membantu dan Nabi SAW., mengirimkan pasukan melawan mereka dan setelah 15 hari pengepungan seluruh suku Bani Qainuqa diusir dari Madinah. Subhanallah!
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul-Aziz pula...
Beliau pernah mengirim surat kepada tahanan perang Muslim di Konstantinopel. Beliau mengatakan kepada mereka...
"Kamu menganggap dirimu sebagai tahanan perang. Padahal kamu bukan tahanan perang. Kamu terkunci di jalan Allah. Aku ingin kamu tahu bahawa setiap kali aku memberikan sesuatu kepada kaum Muslim, aku memberi lebih banyak untuk keluarga kamu... dan aku mengirimkan sekitar 5 dinar untuk setiap salah satu dari kamu...
.. dan seandainya bukan kerana aku takut bahawa diktator Romawi akan mengambilnya dari kamu, aku akan kirim lebih. Aku juga telah mengirim banyak untuk menjamin pembebasan setiap salah satu dari kamu tanpa memikirkan berapa biayanya. Jadi gembiralah! Assalamu Alaikum. "
Pernah terjadi di India sebelum tercetus pergaduhan umat Islam berpisah dari India menjadi Pakistan. Seorang anak muda dari Pesyawar dari utara, menyeludup masuk ke mahkamah India di selatan. Membunuh penghina Nabi depan hakim dalam mahkamah dengan pisau belatinya, cuma dengan sekali rembat sahaja.. Mangsa itu terbongkang jatuh. Tetapi dia tidak lari.
Dia menyerah diri sambil berkata, 'Inilah hukuman kepada orang yang menghina Nabi orang Islam terang-terangan (mencabar Islam dalam mahkamah bukan Islam dengan hujah liarnya), hujah-hujah ilmiah sudah tidak berguna lagi.. Nah, hukumlah!" Akhirnya beliau itu dihukum mati secara bersembunyi.
Tetapi mayitnya dicuri oleh orang Islam, diarak, dan dijulang sebagai 'As-syahid', akhirnya ditanam di perkuburan Islam. Menyebabkan bertambah bencinya orang Islam kepada penjajah Inggeris di India waktu itu. Saya telah tuliskan cerita ini agak panjang dalam blog ini, tetapi saya tak ingat lagi bila dan nama tajuknya...
Begitu juga dengan kes hina Nabi oleh Salman Rushdie ini. Menghina kepercayaan Allah dan Rasul orang Islam, suatu jenayah besar yang perlu dihindari kalau ingin wujudkan toleransi beragama, walaupun di dalam negara bukan Islam sekalipun. Ini bukan fanatik atau ekstrem. Itu jugalah yang dilakukan oleh AS kepada yang dianggap penghina negaranya walaupun penghina itu berada di luar AS, bahkan bukan rakyatnya. Osama Laden contohnya.. Beberapa warga Malaysia yang ditahan di Guatanamo, tanpa dibuktikan di mahkamah. Yang sudah dilebelkan pengganas, walaupun sebenarnya penentang itu bukan pengganas.
Ramai Muslimah yang dilecehkan kehormatannya oleh golongan mustakbirin, seperti yang berlaku di Afghanistan. Berapa banyak Muslimah yang berteriak meminta tolong dari kezoliman yang dideritanya? Berapa banyak kaum mustad'afin dan Muslimin yang ditawan pemerintahan ganas mustakbirin dan murtad? Bukankah sudah terdengar teriakan mereka dari celah-celah penjara di Guantanamo (Cuba), Abu Gharib (Irak), Bagram (Afghanistan), Gaza (Palestin) Nusa Kambangan (Indonesia), dan penjara-penjara AS, UK, bahkan di seluruh dunia?
Bukankah saudari Muslimah kita Afia Siddiqui sudah berteriak meminta pertolongan dari penjara pemerintahan Pakistan? Juga saudara Muslimah kita, Putri Munawaroh berteriak meminta pertolongan dari kezoliman penjara Mako Brimob? Dan ramai lagi golongan-golongan mustad'afin tertindas yang bukan dari golongan Islam saja, pun wajib dibela juga? Dan Salman Rushdie masih belum dihukum lagi.. masih berhutang darah lagi.
Oh, agak panjang dan berlarut-larut.. Akhirnya mari kita renungkan wasiat-wasiat ini.
- Rasulullah SAW., bersabda, "Berikanlah makan pada seseorang yang merasa lapar, kunjungilah seseorang yang sakit dan bebaskanlah seseorang yang ditawan."
- Beliau SAW., juga bersabda, "Adalah sebuah kewajiban bagi Muslim dari harta mereka untuk membebaskan orang-orang yang berada dalam tahanan dan membayar tebusan."
- Syekhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, "Jika mereka menahan seorang Muslim, adalah sebuah kewajiban kita untuk tetap memerangi mereka sampai mereka membebaskannya atau mereka di musnahkan,"
- dan dia juga berkata, "Membebaskan Muslim dari tahanan adalah salah satu kewajiban yang besar dan membelanjakan kekayaan untuk membebaskan mereka adalah salah satu bentuk mendekatkan diri kepada Allah yang paling baik."
- Sahabat Umar Ibnu Khattab RA berkata, "Bagiku membebaskan seorang Muslim yang berada ditangan Musyirikin lebih aku sukai daripada seluruh Jazirah Arab." (Shahih Shahabi Jilid. 3).
Wallahu'alam bis showab!
Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
KL 9 Mei 11.
Lihat keseluruhan catatan perjalanan ini..
E-Buku IH-39: Catatan Perjalanan Medan-Banda Aceh
Jalan Rakyat, RM5.7 Juta Takdak Tol: Apa Komen BN?
Butterworth 9 Nei 11: Satu lagi kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat menunaikan janji pilihan raya membantu rakyat, bukan membebankan, sebagaimana yang menjadi amalam Kerajaan Barisan Nasional (BN). Demioian disifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika merasmikan jalan sepanjang 1 kilometer dari Jalan Bagan 29 ke Jalan Siram.
"Pulau Pinang sekali lagi mencatit sejarah apabila berjaya memperkenalkan 'jalan rakyat' bagi kemudahan penduduk di sekitar Butterworth yang hendak ke Seberang Jaya mahupun ke lokasi lain tanpa membayar sesen pun tol," terangnya diiringi tepukan hadirin.
Tindakan Kerajaan BN yang membenarkan sebuah syarikat mengutip tol di jalan sedia ada dari Seberang Jaya ke Butterworth tiga tahun lalu dilihat membebankan rakyat apabila pengguna jalanraya Butterworth-Kulim terpaksa membayar RM1 pergi balik.
Pembinaan jalan rakyat itu juga, sambungnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, boleh dijadikan pengajaran kepada pemerintahan yang zalim supaya membuang jauh tindakan menindas rakyat dengan bebanan kewangan.
Bahkan, katanya pembinaan tersebut juga merupakan satu contoh kebajikan yang Kerajaan Pakatan Rakyat berikan terhadap sokongan mereka pada pilihanraya umum lepas.
"Kita buat secara tander terbuka di mana kosnya RM5.7 juta dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri semata-mata untuk melihat rakyat gembira. Melalui tender terbuka itu sebuah kontaraktor Melayu yang tiada kabel dengan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat berjaya melaksanakan tugas dengan baik," jelasnya.
Dulu ujarnya, penduduk Taman Bagan tidak boleh keluar sebab jalanya adalah jalan mati melainkan menghala semula ke Butterworth tetapi setelah mendapati pembangunan pesat berlaku di situ, maka jalan rakyat dilaksanakan.
Kata Lim lagi, kerajaan negeri yang berjiwa rakyat bukan sahaja memberikan kesenangan dan kemudahan pada rakyat keseluruhanya malahan boleh menghidupkan semula jalan yang sudah mati.
"Untuk memberikan kesenangan kepada semua Kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menghidupkan jalan yang dah mati. Mana ada kerajaan yang sanggup buat macam tu," katanya. (IH)
Komen weblog Ibnu Hasyim: Kita nak dengar, apa komen buruk dari BN?
Utusan M'sia Tidak Beretika -K/Paderi Kristian M'sia
Dr Mujahid
George Town 9 Mei 11: Ketua Paderi Kristian Malaysia, Tan Sri Datuk Murphy Nicholas Pakiam menafikan laporan Utusan itu dan menyifatkan ianya sebagai satu laporan tidak berasas sama sekali dan tidak beretika.
"Bagi pihak Paderi Katholik Malaysia, saya menafikan dakwaan itu bahawa perjumpaan itu berlaku dan akan berlaku di mana-mana gereja Katholik, Pulau Pinang.
"Jelas, laporan ini tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab kerana pemberita atau editor akhbar berkenaan tidak pernah berusaha mengambil langkah untuk mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh blogger tanpa nama itu," kata Murphy dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas laporan Utusan 7 Mei lalu yang melaporkan di muka depannya dengan tajuk "Malaysia negara Kristian" yang mendakwa paderi Kristian sedang berbincang untuk menjadikan Kristian agama rasmi bagi membolehkan orang Kristian menjadi perdana menteri negara ini.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang menyokong kenyataan tersebut berkata, tidak timbul langsung soal Kristian mahu menjadi agama rasmi negara manakala Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman pula mengesyaki Umno di belakang isu ini.
Menurut Mujahid, sepanjang mengadakan dialog, pertemuan atau penerangan dasar perjuangan Islam di serata gereja termasuk di Sabah dan Sarawak tidak timbul langsung suara daripada kalangan paderi mereka mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini.
Jelasnya, hasil penerangan mereka sendiri pun tahu dan akur bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan yang telah termaktub dalam perlembagaan sejak dulu dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana -mana pihak.
"Saya hairan bagaimana isu ini boleh timbul di dada akhbar kononya pertemuan paderi di Pulau Pinang mahukan Kristian sebagai agama rasmi walhal ia mustahil sekali berlaku kecuali isu ini cuba dimainkan oleh Umno untuk mengwujudkan ke marahan Umat Islam menjelang pilihanraya umun kelak," terangnya.
Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang rasa 'pelik' tiba-tiba sahaja isu ini digemburkan dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) didapati gagal dalam urus tadbir negara dengan berkesan sehingga negara menjadi tercorot dalam kemajuan sebaliknya menjadi negara terlaris dalam bidang rasuah dan penyelewengan.
"Kepimpinan BN cuba belitkan isu sensitiviti perkauman pula selepas mereka gagal memecahkan Pakatan Rakyat. Banyak isu yang ditimbulkan akan hilang malahan ada yang makan diri. Jadi untuk memastikan BN senantiasa ada isu satu persatu dicipta sehinggalah bertemu tarikh pilihanraya, " tambah beliau.
Kata beliau, isu ini begitu bahaya kepada kestabilan negara seandainya pihak berwajib tidak tangani segera dengan menyiasat blog-blog yang menyiarkan isu berkenaan.
"Orang melayu mesti bangkit menunjukan bantahan jika sayangkan kestabilan negara ini. Kita tahu siapa sebenarnya yang mencorakan keadaan, " tegasnya. (IH)
Seterusnya..
Mat Sabu Dahului Pencalunan, Nasharudin Tarik Diri?
Setakat hujung minggu lalu, hampir 75 peratus kawasan atau bahagian sudah pun mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan masing-masing. Ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa pun. Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan ialah 15 Mei ini.
Walaupun begitu ada yang berpandangan bahawa jumlah pencalonan tidak semestinya akan mencerminkan arah aliran sokongan dan undi pada hari pemilihan kelak. Juga tidak menafikan pencalonan diterima oleh Mohamad, bekas naib presiden dan bekas ahli Parlimen, menggambarkan perkembangan semasa dalam parti Islam itu.
Mohamad, yang minggu lalu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, enggan mengulas perkembangan semasa ini. Pada pemilihan 2009, Mohamad hanya menerima sekitar 30 pencalonan sahaja. Rata-rata kini, Mohamad memperoleh pencalonan dari semua negeri - Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka Sabah, Kelantan, Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan. Kecuali, Terengganu.
Dari segi pecahan kasar, Mohamad menerima pencalonan paling banyak dari Johor dengan 15 pencalonan, diikuti Perak (13), Kedah (lapan), Kelantan (enam), Pulau Pinang dan Sabah (lima), Selangor dan Negeri Sembilan (empat), Pahang (tiga) manakala Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan masing-masing menyumbang dua pencalonan dan satu dari Sarawak
Tambah sumber itu, keputusan itu diperoleh dari maklumat yang diterima dari kawasan-kawasan yang telah selesai mengadakan mesyuarat bagi menamakan bakal calon yang akan ditentukan nasib pada pemilihan bulan depan.
Selain Mohamad dan Nasharudin, empat lagi pemimpin utama PAS turut dicalonkan bagi jawatan itu. Ketiga-tiga pemimpin itu adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, Menteri Besar Kedah dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima pencalonan), seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan satu pencalonan.
Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharudin sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut. Dalam laporan Harakah awal minggu lalu, akhbar parti PAS edisi terbaru, Nasharudin mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.
Nasharudin berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.
“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi timbalan presiden kerana PAS kawasan mencalonkan saya untuk kerusi berkenaan.
“Tambahan pula mereka telah mencalonkan saya, lagipun kita mengamalkan demokrasi dalam parti, malah perlembagaan parti menyebut seseorang itu layak untuk dicalonkan dan mencalonkan seseorang itu bertanding,” katanya.
Pada pemilihan 2009, kerusi timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad, Nasharudin dan Datuk Husam Musa yang mana keputusannya memihak kepada Nasharudin yang menghimpunkan 480 undi. Husam memperoleh 281 undi sementara Mohamad hanya mendapat 261 undi. Husam, kini ahli jawatankuasa PAS pusat telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan itu kali ini.
Seorang penyokong tegar PAS ditemui oleh weblog Ibnu Hasyim di sini tadi mengatakan..
"Mungkin pertarungan kali ini adalah anrtara golongan yang mahukan ulama sebagai timbalan presiden dengan golongan sebaliknya.. iaitu golongan yang disebut bukan ulama. Kalau Salahuddin Ayub dan Nizar Jamaludin tarik diri, berkemungkinan besar Muhamad Sabu akan menang.
"Oleh itu, jika golongan 'mahu ulama' ini hendak mengekalkan tokoh ulama mereka, maka perundingan perlu dibuat antara penyandang dan dua tokoh ulama yang dicalunkan iaitu Tuan Ibrahim dan MB Kedah. Supaya dua antaranya menarik diri.. dan undi tidak pecah."
"Eh, kamu macam kempen lawan Mat Sabu?" Seorang lagi penyokong tulin PAS lain mencelah.
"Syttt! Kempen boleh, tapi kena cerita baik sahaja. Tidak boleh cerita buruk tandingannya.. " Jawab penyokong tegar tadi. "Itu peraturan bertanding dalam PAS!".
"Jadi ada apa-apa cadangan kamu?"
"Pada saya, elok Ustaz Nasa (penyandang) tarik diri kerana sudah agak lama dilawan, beri peluang muka-muka baru. Beri laluan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man pula.."(IH)
Pemilihan pimpinan PAS..
Bekal Pasangan Gay Melalui Web Berleluasa
KL 9 Mei 11: Lebih dari 30 pelawaan kepada golongan gay dari Malaysia menjadi ahli dalam laman sebuah sesawang yang dihantar melalui laman berkenaan, kata wartawan Kosmo! hari ini.
Kegiatan seks songsang melibatkan golongan gay di Malaysia kini dikatakan semakin berleluasa berikutan wujudnya sebuah laman sesawang yang dijadikan medium oleh golongan itu untuk mencari pasangan masing-masing.
Laman sesawang yang beroperasi di Amsterdam, Belanda itu turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk muat turun video lucah, majalah dan khidmat teman sosial. Lebih mengejutkan, laman sesawang yang dilayari oleh kira-kira 65,000 pengunjung sehari itu turut menyenaraikan kelab-kelab khusus untuk golongan gay dari luar negara yang ingin berkunjung ke Malaysia.
Ia turut menyediakan khidmat tukang urut tempatan, lengkap dengan alamat dan nombor telefon. Golongan terbabit yang mendaftar menerusi laman sesawang itu secara percuma boleh memuat turun aksi mengghairahkan dan berinteraksi dengan ahli secara langsung. Pihak digesa supaya memantau kegiatan tersebut. (IH)Babi Dlm Daging Lembu, Pihak Agama Sila Beri Perhatian
KL 9 Mei 11: Bahagian agama dan pihak berwajib di negara ini, sila beri perhatian segera mengenai daging babi yang terdapat dalam daging lembu. Difahamkan, negara China yang sememangnya terkenal dengan kepakaran menghasilkan barang tiruan sekali lagi telah menghasilkan satu inovatif baru iaitu menghasilkan daging lembu daripada daging babi. Tidak mustahil ianya akan masuk ke pasaran Malaysia.
Media tempatan melaporkan, ekstrak perasa daging lembu di jual di Shanghai dan digunakan di restoran untuk membuat daging lembu palsu. Memasak daging babi mentah dengan bahan aditif selama 90 minit mampu memberikan rasa daging babi kepada daging lembu.
Berikut merupakan proses menghasilkan daging lembu tiruan selama 90minit:
1: Ekstrak Daging Lembu bermutu tinggi yang membolehkan daging babi menjadi daging lembu.
2: Agen glazing, untuk menghilangkan rasa daging babi. Pek kecil ini cukup untuk 50 kg daging babi.
3: Proses memerap daging babi dilakukan selepas ditambah ekstrak daging lembu
4: Perbezaan daging babi yang telah diekstrak dengan yang asli.
5: Perbandingan antara daging babi asli dan daging lembu palsu selepas dimasak selama 2 jam memasak. Daging babi telah di ekstrak mirip dengan daging lembu.
Sebotol ekstrak daging lembu seberat 500 gram dijual dengan harga 20 yuan (RM 9.13) cukup untuk mengubah rasa 25kg daging babi. Harga daging babi adalah setengah daripada harga dari daging lembu, dan ini berpotensi memberi penjimatan lebih dari 1,000 yuan (RM 456.55) jika 25 kg daging digunakan.
Menurut Fang Youzong daripada Jawatankuasa Penasihat Shanghai Food Drug Administration, Bahan penambah rasa ini banyak digunakan untuk memberikan rasa daging lembu didalam mee segera, katanya kepada Times Global. Dan China hanya melarang penggunaan bahan penambah rasa ini kedalam beberapa produk makanan yang meliputi makanan bayi dan susu, kata Fang lagi.
Dan baru-baru ini, sebuah jabatan industri dan perdagangan di Heifei telah mengatakan bahan penambah rasa ”ekstrak daging lembu” yang banyak di edar di pasaran, membolehkan daging ayam diproses menjadi “daging lembu”. Seorang penduduk bandar mendedahkan bahawa “ekstrak daging lembu” telah menjadi ”resepi rahsia” di beberapa restoran-restoran kecil.
Doktor juga telah mengesahkan penggunaan jangka panjang dari bahan penambah rasa ini, boleh menyebabkan keracunan jangka masa panjang, kecacatan, dan juga kanser. Tak mustahil ‘kepakaran’ ini akan sampai ke Malaysia. Seeperti telur tiruan yang kita sendiri tak sangka dengan kehadirannya. Soal makanan kita kena ah ambil berat sebab ianya akan sebati dalam badan kita dan menjadi darah daging. (IH)